Monday, April 26, 2010

Hulu Selangor Dalam Ulasan

Kemenangan di Hulu Selangor Bukan Ukuran Sebenar

KATA pepatah Melayu biduk lalu kiambang bertaut. Pilihan raya kecil Hulu Selangor sudah jadi 'arwah'. Ia sudah berlalu meninggalkan seribu kenangan, pahit manis suka dan duka. Secara muktamad pilihan raya itu memberi kemenangan kepada calon BN, Kamalanthan yang mendapat 24,997 undi manakala calon PKR, Zaid Ibrahim 23,272. Majoriti sebanyak 1,725.

Atas semangat demoksrai tulen marilah kita menerima hakikat itu, dan mengucapkan tahniah kepada Kamalanthan dan BN atas kemenangan itu dan marilah pula kita meminta supaya PKR dan Zaid Ibrahim bersabar menerima kekalahan itu dengan penuh redha setelah memaklumi tentang kerenah politik yang bersendikan kepada 4C.

Kepada penyokong dan ahli parti pula hendaklah bermahasabah diri. Mencari di mana punca apa kelemahan diri dan apakah sebab kalah. Selepas menemuinya perbetulkan, insyaAlah dalam perlawanan akan datang akan menang.

Lipat dan simpan bendera parti sebaik mungkin untuk dibuka semula bila ada medan perlawanan. Jangan bila sudah kalah mencarikan dan 'keronyok' bendera, meninggalkan bendera terus tercegak atas paksinya dibiarkan lusuh dan buruk ditelan hujan dan panas. Sikap itu sikap tidak bertanggungjawab dan mereka yang tidak berjiwa besar dan pejuang tulen. Sekali kalah, ayuh... bangkit melangkah memburu sejuta kemenangan. Ingat di sebalik kekalahan ada kemenangan yang kita kadang-kadang lupa untuk mengsyukurinya.

"Kalau kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmatnya,"

Kepada BN kemenangan itu bukan sesuatu yang besar sangat dan boleh dicanangkan kepada seluruh dunia. Pastinya Barrack Obama tidak akan merasai apa-apa perubahan drastik terhadap Malaysia atas kemenangan BN itu. Mungkin, Obama tidak pun tahu bahawa di sebuah kawasan di Hulu Selangor sedang berlansgung pertaruhan menantukan maruah dua orang manusia Najib Razak dan Anwar Ibrahim.

Pihak kalah bukan mengalami kekalahan semuanya. Kerana dalam kekalahan itu ada hikmah yang terselit untuk direnungi kemudian buat perubahan. Memahami dan menerima kekalahan itulah sebenarnya kemenangan.

Tidak dapat tidak BN akan melaungkan kemenangan itu kerana kelebihan, kecanggihan dan juga kerana tema 1 Malaysia yang mendasari pilihan raya itu diterima rakyat. Benarkah begitu? Najib Razak dan ulasan-ulasan di pihak BN mula menyimpulkan konklusi begitu. Kalau ia benar, kepada saya penerimaan itu hanya oleh 2,018 orang sahaja, iaini dikutip dari angka penambahan undi BN berbanding dengan undi diperolehi oleh Palanivel 2008.

Malahan kemenangan itu tipis berbanding dengan sasaran dibuat Muhyiddin Yassin untuk mendapat mojoriti 6,000 itu. Mereka yang masak dan matang dengan politik tidak gembira dengan angka itu, kecualilah peminat politik baru lepas sekolah menengah. BN boleh mendabik dada kalau majoritinya lebih 3,000 iaini separuh dari apa yang disasarkan.

Najib perlu ingat masih banyak lagi yang belum menerima slogan 1 Malaysia. Dalam konteks pilihan raya itu rakyat Cina jelas menolak 1 Malaysia. Ini berdasarkan kepada lonjakan pengundi Cina yang dianggar 75 peratus ke atas menyokong PKR alias Pakatan Rakyat. Persoalan lain, apakah Najib tidak mengira penerimaan itu disebabkan undi dipengaruhi dengan kebendaan agar menerimanya? Umum tahu jumlah yang dibelanjakan BN untuk membeli undi baik secara legal dan ilegal di dalam pilihan raya berkenaan.

Juga kemenangan di Hulu Selangor itu bukan kemenangan 1 Malaysia tetapi kemenangan Umno yang memimjam secara paksa dan perkosa calon MIC Kamalanthan.

Dan sekiranya benar dakwaan Zaid pengundi dibeli malam dan siang, itu bermakna penerimaan terhadap 1 Malaysia itu selepas pengundi dituba dengan wang ringgit, janji projek dan sebagainya. Penerimaan itu tentu juga kerana aksi provokasi yang menjadikan rakyat kampung menjadi kecut perut dan terpaksa memilih 1 Malaysia.

Sesungguhnya Najib tidak perlu selesa dengan hakikat yang dicerminkan dalam pilihan raya itu terhadap slogan 1 Malaysia. Apa lagi pengundi Hulu Selangor yang rata-rata dari kalangan rakyat yang tidak bebas pemikirannya, tidak bebas pergerakannya untuk membuat keputusan sendiri. Misalnya mereka yang yang berada dalam empat gugusan Felda adalah sebahagian besarnya mereka yang telah lama disuntik dengan pelali angguk dan terima saja apa yang ada.

Realiti ini boleh diperhatikan kepada aliran pengundian di mana peti undi dari gugusan Felda saja yang sarat dengan undi BN manakala peti undi dari luar berkedudukan hampir sama rata manakala peti undi yang dimonopoli China dan di peti undi kawasan bandar dikuasi oleh PKR. Kesimpulan mudah dari keadaan ini BN masih disokong oleh orang kampung, manakala Pakatan Rakyat disokong oleh orang bandar atau celik IT.

Persoalan mengenai Felda dan orang Melayu yang bernostalgia, bilakah mereka akan berubah? Merujakan saya apabila Orang Asli yang dianggap primitf dalam serba serbi tetapi kali ini menunjukkan mereka juga ingin kepada perubahan, beralih angin dari terus hanya menerima janji yang disumpitkan oleh BN kepada perubahan yang ditawarkan Pakatan Rakyat. Apakah Orang Asli akan mengalami tamadun kedua berbanding dengan orang Melayu tradisi?

Begitu juga Najib tidak boleh berbangga dengan kemenangan itu kerana ianya kerusi PKR sebelum ini dan Selangor adalah kerajaan. Kalau itulah alasan maka Pakatan Rakyat juga boleh berbangga seperti Najib itu kerana Pakatan Rakyat menerusi Pas berjaya merampas kerusi UBN di Kuala Terengganu dulu, dan negeri itu asalah negeri diperintah UBN.

Keseluruhan ini, dalam cacatan ringkas saya ini, saya melihat pilihan raya di Hulu Selangor itu walaupun PKR kalah tetapi kekalahan itu tidak membunuh semangat ahli dan para penyokongnya. Seperti mana kata Kahlid Ibrahim, kekalahan di Hulu Selangor itu membolehkan PKR menjadi titik tolak kepada kemenangan akan datang. Yang jelas dan nyata Zaid masih dapat mempertahankan sokongan rakyat kepada PKR tidak berubah.

Zaid sendiri dalam ucapan selepas kekalahan, berharap semoga rakyat Hulu Selangor akan menerima Pakatan Rakyat di masa akan datang. Kekalahan Zaid itu juga tidak memalukan dan masih bermaruah kerana beliau bukan kalah di gelanggang sendiri, tetapi kalah di rantau orang. Iya, sejauh mana kuat dan gagahnya kita bila berada di rantau orang , bila berlawan tentulah tepok soraknya dan sokongannya akan lebih kepada pihak lawan. Kekalahan di rantau orang lebih mulia dari menang dalam geluk dengan meminjamkan lambang orang lain.

Pada saya, dalam keadaan dagang tetapi masih tetap berjaya menjaga undi yang diperolehi Dr Zainal Abidin Ahmad (Allahyarham) 2008 dulu, ia adalah satu kejayaan yang boleh dibanggakan. Tahniah sekali lagi kepada Kamalanathan dan syabas buat Zaid dan PKR kerana dapat mempertahankan sokongan Pakatan Rakyat di negeri kawasan Hulu Selangor. [wm.kk. 9:30 am 26/04/10]

Sunday, April 25, 2010

Selamat Kembali Hulu Selangor 13

Pulang Untuk Turun Kembali Dalam Medan Juang

KUALA KUBU BARU kini mulai dtinggalkan oleh para penyokong Pakatan Rakyat. Yang datang dari Utara bergerak untuk pulang ke Utara, dari Selatan akan pulang ke Selatan, manakala dari Timur akan pulang ke Timur. Yang datang dari Selangor mereka akan pulang ke rumah berihat setelah bertungkus lumus selama lebih seminggu di Hulu Selangor dalam rangka memancing rakyat untuk melakukan perubahan.

Perjalanan penyokong di Utara, Selatan dan Timur tidak semeriah sewaktu datang semasa hari penamaan calon. Kalau semasa datang untuk meraikan calon mereka penuh bersemangat, bersorak sorai dan melaungkan takbir Allahuakbar. dengan penuh yakin akan menggapai kemenangan. Tetapi perjalanan pulang malam ini dalam keadaan lemah longlai dan hilang semangat. Mungkin ada yang lemah jantung dan malas untuk bergerak pulang.

Kejutan dengan kekalahan calon PKR, Zaid Ibrahim dengan kekurangan lebih 1,500 (1,725) undi dalam keadaan tidak terduga menjadikan sesetengah penyokong hilang semangat. Mula sebelum menjelang malam semuanya bersemangat dan yakin PKR akan menang. Apa lagi terdengar desas desus kemenangan itu dengan majoriti besar.

Mereka kebanyakan membuat andaian melalui pandangan mata kasar dan bukan firasat politik ternyata tertipu oleh keyakinan sendiri. Parahnya juga mereka mempercayai kepada analisa dan kajian badan-badan NGO yang profesional. Saya dari awal lagi tidak mempercayai analisa dan dapatan badan berkenaan kerana ia dibuat dengan penuh akademik dan bukan berdasarkan pengalaman.

Bagi mereka yang mempercayai kepada berita dan tidak tahu membaca riak dan alun ombak politik tentu akan merasa kecewa dan terkejut dengan kekalahan itu. Tetapi mereka yang membaca dan tidak mudah terpengaruh dengan psywar akan terperagah dengan apa yang berlaku.

Lemah gumulai seluruh tubuh badan. Mata, kepala, kaki, tangan dan segala anggota badan yang lengguh dan lemah selama berkempen, menjadi semakin lemah dan longlai apabila menerima berita sedih kekalahan.

Tetapi duhai para pejuang sejati, pulanglah ke rumah masing-masing dengan tenang dan penuh keinsafan. Jangan mudah mengaku kalah dengan kekalahan. Kalah sekali bukan bermakan kalah selamanya. Kekalahan adalah ujian dan Allah hanya menguji orang-orang yang beriman dan sabar saja.

Hakikatnya PKR tidak kalah atau apa-apa perjuang tidak boleh diiktiarfkan kalah kalau perjuangan itu menentang kemungkaran dan untuk menegakkan kebenaran. Perjuangan sejati bukan kemenangan tetapi masih mampu meneruskan perjuangan dalam keadaan ditekan dan ditindas oleh lawan itulah kemenangan dalam perjuan gan. [wm.kl.8:50 pm 25/04/10]

Ke Pusat Penjumlah Undi

Penjumlahan Undi Sudah Bermula

[kemaskini dari masa ke sesama] 8: 01 Keputusan tidak rasmi dari SPR mengatakan PR kalah dengan majoriti lebih 1,500 (1,725). Ini menejutkan. Seperti mana diduga sekiranya peratus undi melebihi 75.87% ia menyebabkan kedudukan tegang. Bagaimana pun tunggulah keputusan dari SPR sekitar jam 9:30 malam.

7: 25 Sehingga kini dari hampir separuh keputusan liar dari
pusat mengundi melaporkan PKR mendahului BN dengan majoriti 1,000 undi. Keputusan ini disahkan oleh Bilik Gerakan Peribadi.

6: 45 KEPUTUSAN liar dari beberapa peti undi telah mula diketahui. Kedudukan setakat jam 6:45 menunjukkan PKR mengatasi BN dengan kelebihan 500 undi. Keputusan liar ini tidak boleh dijadikan petunjuk sahih apa lagi untuk mengatakan PKR akan memenangi pilihan raya ini.

KIRA-KIRA setengah jam tadi kesemua pusat pengundian pilihan raya kecil Hulu Selangor tlah ditutup. Jumlah peratus keluar mengundi kira-kira 72%. Jumlah ini dikita rendah dan gagal mencapai sasaran SPR sebanyak 85%.

Penjumlah undi di pusat-pusat pengundian sedang rancak dijalankan. Selepas ini peti-peti undi akan dibawa ke pusat pengiraan undi di Kuala Kubu Baru. Agen parti politik kedua-dua, sibuk membuat perhitungan awal mengenai berapa jumlah undi yang diperolehi masing-masing. Bilik gerakan parti juga dijangka mengetahui kedudukan tidak rasmi. Sejam dua lagi para petugas yang dapat menghidu kekalahn akan mulai meninggalkan Hulu Selangor, manakala yang menang akan berasak ke pusat pengiraan undi.

Ketika ini juga berbagai ramalan analisa disebarkan. Daripada lima agensi yang membuat analisa, kesemuanya berpihak kepada PKR ada mengatakan PKR mengatasi BN antara 51% hingga 56%.


Apapun ramalan dan kajian rambang ini bertentang dengan kenyataan Muhyiddin Yassin mengatakan BN akan menang besar dengan majoriti 6,000 undi.

Seperti mana saya katakan awal pagi tadi jumlah peratus mengundi 72% itu menyebabkan kedudukan kedua pihak dalam 50 - 50. Sama ada BN atau PKR menang ianya dalam skala kecil di bawah 500 undi. Sebalik kalau PKR menang lebih 1,000 atau BN diumumkan pemenang inilah apa yang saya katakan kejutan yang tidak terjangka.

Saya percaya penganalisa kini sedang membuat analisa mengenai peratus mengikut etnik.
Laporan akan bersambung. [*** kl 5:20 pm 25/04/10]

Dari Lokasi

Suasana pengundian tidak rancak. Pengundi seakan takut untuk keluar. di kawasan Cina tidak serancak dan sehebat sambutan ceramah. Apakah ada ugutan pada masyarakat Cina? Sementara undi lokaliti Melayu agak memberangsangkan. Senario semalam berubah secara drastik.[12.00 pm 25/04/10]

Di Serendah belum sampai 30 peratus keluar mengundi. Cina dan India ramai keluar manakala Melayu pula berkurangan. Ada semacam protes dari undi Melayu. Di sini perayu undi BN melebihi perayu undi PKR nisbah 10 : 3.Di Batang Kali berlaku pertengkaran dan pemuda BN roboh barung PKR. Di Sungai Buaya ada empat buah trak kedudukan sama nisbah 10 : 3. [1.00 pm 25/04/10]

Di peti undi Ulu Bernam berlaku perbalahan dan tumbuk menumbuk antara penyokong PKR dan BN sampai berdarah mulut dan bengkak dahi. Kedua-dua Melayu. Penyokong BN dari Gombak. [1.40 pm 25/04/10]

Sehingga jam 2 petang ini sebanyak 59 peratus keluar mengundi. Dianggarkan sekitar 25 persen lagi akan keluar lewat petang ini. Sekiranya peratus keluar mengundi melebihi 75 menyebabkan kedudukan PKR tergugat. Ada kencenderungan peratus undi Cina yang dijangka berpihak kepada PKR sebanyak 75 peratus sebelum ini akan berkurang sekitar 75 peratus saja. Ada juga kemungkinan pengundi luar akan di bawa masuk. [2.50 pm 25/04/10]

Angka dan Kata-Kata Hulu Selangor 12

Kemenangan Boleh Bertukar Tangan

PENGUNDIAN sedang berlangsung. Apa yang yang boleh dilakukan kini hanya menunggu sehingga pengundian tamat jam 5:00 petang nanti. Cuaca dilaporkan baik dan memberi peluang kepada pengundi keluar mengundi dengan selesa dan tenang. Sehingga tengah malam tadi sampai ke saat ini tidak ada apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku.

Kalaupun ada sedikit yang tidak senang, apabila ada dakwaan mengatakan Orang Asli dari dua buah kampung cuba dihalang dari keluar mengundi. Adalah diharap polis akan menyelesaikan kes ini kalau ia benar berlaku.

Selain itu ada juga laporan mengatakan bas membawa pengundi dari luar kelihatan di Ampang Pecah. Sejauh mana kebenarannya masih boleh dipertikikan.

Startegi sulit BN seperti mana dibimbingi PKR, iaini pemberian wang, ugutan dan sebagainya tidak berlaku. Bukan bermakna tidak ada pemberian wang, tidak ada usaha atau rasuah politik lain dilakukan BN. Kalau melihat kepada kesungguhan Najib Razak, Mahathir Mohamad yang mahukan BN menang, tidak mustahil ada strategi jahat tersembunyi. Selalunya BN sering kali mengubah strategi dan juga tektik pada setiap pilihan raya kecil.

BN tidak pernah kekal dengan modus operandi sama untuk meraih undi. Apakah ia berlaku kali ini dan hanya tidak terkesan? Ada juga desas desus mengatakan BN akan menggunakan tentera untuk memastikan kemenangan. Dari maklumat yang diterima BN sangat bergantung kepada bantuan tentera. Macam mana bentuk dan caranya ia tidak disebut dan dijelaskan.

Semalam menurut laporan risik tentera, PKR masih mengatasi BN. PKR dikatakan mendahului BN dengan 42% berbanding dengan BN 38%. Manakala menurut maklumat itu sebanyak kira-kira 15 hingga 20% yang tidak dapat dipastikan menyokong pihak mana. Kumpulan yang belum menyatakan sikap inilah menjadi penentu.

Untuk melihat senerio pilihan raya ini sila lihat kepada 'kajian andaian' seperti mana berikut. Dari sini anda akan dapat membuat telahan sendiri berpandukan apa yang saya amati ini dan juga kesimpulan ringkas saya.

1. Jentera kempen: Jentera kedua-dua pihak seimbang. Dari segi poster dan bahan kempen BN mengatasi PKR. Bagaimana pun pada hari kedua, ketiga dan keempat kekuatan BN begitu menyerlah. Sebaliknya dari segi kekuatan kempen dan semangat pada hari ke kelima, keenam dan ketujuh PKR mengatasi BN sekitar 2% hingga 3% sahaja.

2. Jumlah kehadiran ceramah: ternyata berpihak kepada PKR. Mana-mana ceramah PKR mendapat sambutan hangat. Ceramah dua malam terakhir adalah bingkasan yang merangsangkan. Tetapi perlu diingat lebih 3/4 mereka yang hadir adalah orang luar dan juga pelancong politik. Keadaan ini tidak menjadi ukuran konkrit untuk PKR mengatakan mereka mengatasi BN dalam hal ini.

3. Calon: Zaid Ibrahim lebih popular dari Kamalanathan. Ternyata calon BN kali ini tenggelam terus. Kalau pemilihan dibuat berdasarkan calon PKR akan menang mudah. Isu arak, kuda dan sebagainya tidak memberi kesan secara menyeluruh, malahan serangan kecang BN menimbulkan simpati kepada Zaid dari kalangan atas pagar.

4. Sokongan: PKR mendapat sokongan padu dari rakan mereka DAP dan Pas dan pelancong politik. Sebaliknya BN berpecah di mana yang mendokong hebat Kamalanthan ialah Umno. BN juga tidak mendapat sokongan padu dari MCA. Seperti PKR tidak menaruh kepercayaan penuh kepada MIC, begitu dengan BN meragui akan undi MIC akan berpihak kepada mereka lebih 60%, ini kerana Kamalanathan bukan calon MIC.

5. Senjata sulit: Dalam hal ini PKR tidak mempunyai senjata sulit, di mana BN sudah mesti ada senjata sulit yang tidak dapat dikesan. Saya menganggarkan sekitar 3,000 hingga 5,000 BN sudah mendapat undi tunai hasil dari pemanipulasi senarai pengundian, undi pos dan undi polis dan tentera. Undi cash ini dikira mengancam kedudukan PKR.

6. Peluang kemenangan bergantung kepada peratus keluar mengundi. Sekiranya peratus keluar mengundi di bawah 65% ini bermakna PKR akan menang besar, mungkin melebihi 1,000 majoriti. Sebaliknya kalau peratus 70% hingga 80% menjadikan keadaan 50 - 50 tetapi dijangka masih berpihak kepada PKR tetapi dengan majoriti kecil. Sebaliknya kalau peratus keluar mengundi mencecah 85% ke atas kedudukan PKR agar membimbangkan dan tidak mengejutkan kalau PKR kalah. Kalau kemenangan tetap juga berpihak kepada PKR ini sesuatu mengejutkan.

7. Nilai tambah untuk PKR dalam hal ini bergantung kepada seramai mana pengundi saluran 3 dna 4 orang-orang muda keluar mengundi. Kalau saluran 1 dan 2 yang keluar mengundi mengatasi saluran 3 dan 4 ini memberi peluang kepada BN.

Yang pastinya dalam pilihan raya Hulu Selangor ini dijangka ada kejutan yang sukar untuk dipercayai tetapi ianya haus diterima kerana itulah politik. [wm.kl. 9:30 am 25/04/10]

Foto Larut Malam Hulu Selangor 12

Banding Dengan Akal Bukan Dengan Luncai!

APA yang paling saya kesal dalam hidup ialah apabila orang tidak mempercayai apa yang kita kata dan orang yang tidak mahu menerima hakikat kebenaran yang nyata. Saya juga menyesali kalau keadilan dan kebebasan yang kita amalkan ditolak dengan rasa sentimen mentah dan sama sekali tidak berpegang kepada kebenaran.

Seorang penjenguk (mungkin masih mentah) mempersoalkan angka yang saya berikan mengenai 'kehebatan' himpunan terakhir BN di Taman Bunga Raya. Cara dia mengomen seperti mahu menuduh saya memfitnah dan tidak adil dalam memberi gambaran berhubung perkara itu.

Angka saya berikan dalam himpunan BN itu sekitar 3,000. Tidak mungkin dalam ruang sempit begitu ia mampu memuatkan jumlah 10,000 atau ribu-ribu, ribu-ribu dan ribu-ribu. Sebuah protal bebas hanya menyebut angka itu sekitar 2,000 sahaja. Ini bererti saya telah memberi bonus 1,000 kepada BN.

Sebenarnya perbahasan ini membuang masa saja. Tetapi saya sengaja menjawab untuk menjelaskan bahawa masih ada penjenguk yang bersifat sebegini, yang tidak pernah berterima kasih kerana dapat membaca laporan dan catatan percuma dari blog saya.

Mungkin catatan dan kata-kata boleh dimanipulasikan. Di sini saya memuatkan gambar di sekitar himpunana itu seperti mana yang disiarkan dalam blog tegar menyokong BN. (Maaf kerana saya menyedutnya). Saya tidak mahu berhujah panjang apa lagi dengan penjenguk-penjenguk otak kemetok yang belum matang. Saksi dan nilailah sendiri dengan akal intelektual dan bukan dengan akal Luncai. Saya rasa Pak Pandir, Pak Kador, Lebai Malang dapat menilainya walaupun dengan kebodohan tradisi mereka terhadap apa yang ada.

Kepada sesiapa yang memilih gambar lebih besar dan lebih ramai tentang himpunan itu bolehlah dikirimkan untuk dipostingkan di sini! [wm.kl. 9:10 am 25/04/10]

Pandangan dari jauh pentas himpunan terakhir BN di Taman Bunga Raya.

Pandangan skrin besar (berukur 100 kaki kali 1,000 kaki? yang disediakan untuk memberi peluang orang ramai menantap wajah Mahathir.

Pandangan dekat skrin yang memaparkan wajah Mahathir.

Skrin lebih besar memaparkan wajah Najib. Mungkin saiz skin ini 5,000 kali 10,000 kaki.

Pandangan dari dekat skrin memaparkan wajah Najib.

Foto Larut Malam Hulu Selangor 11

Himpunan Besar Pakatan Rakyat Menutup Tirai Perjuangan

INI adalah gambar larut malam perhimpunan penutupan tirai kempen PKR di stadium Kuala Kubu Baru malam tadi yang dikirimkan Zamzarina. Sayang saya tidak dibekalkan gambar himpunan terakhir BN di taman Bunga Raya, Bukit Sentoasa, kalau tidak ia boleh dijadikan perbandingan. Gambar ini khusus kepada penyokong Pakatan Rakyat dan dilarang keras bagi penyokong BN. Tanpa prejudis dipersembahkan beberapa keping foto berkenaan.

Tok Guru Nik Aziz, Khalid Ibrahim dan Zaid Ibrahim di pentas utama.

Sekali lagi anak Tun Ghabar Baba, Tamrin tampil di pentas Pakatan Rakyat. Apakah Umno berani untuk memecat Tamrin kerana turut menyokong Pakatan?

Dari satu sudut di stadium mini Kuala Kubu Baru.

Dari sudut lain di tempat yang sama.

Kalau jumlah penyokong ini diambil kira, sudah pasti calon PKR Zaid Ibrahim akan menang.



Sampai Dari Hulu Selangor 9

BN dan PKR Sudah Menamatkan Kempen Masing-Masing

KEMPEN rasmi dan tempoh yang dibernar untuk pilihan raya kecil Hulu Selangor sudah pun tamat kira-kira dua jam lalu. Kedua pihak telah memerahkan keringat dan idea sehabis-habisannya malam ini. Dua himpunan besar yang menjadi penamat kepada kempen diadakan kedua-dua belah pihak.

BN mengadakan himpunan 1 Malaysia di perkarangan flat Taman Bunga Raya di Bukit Sentosa. Himpunan ini menampilkan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, Najib Razak, Muhyiddin Yassin. Semua pemimpin BN berhimpun di program penamat ini.

Untuk menyaksikan sendiri kehebatan himpunan 1 Malaysia ini saya memasuki ke taman berkenaan. Kebetulan waktu saya masuk MC membuat pengumuman kedatangan mantan Perdana Menteri, Mahathir Mohamad. Terdengar tepukan tetapi tidak begitu bergemuruh sangat.

Sekejap kemudian berderau motosikal yang membawa bendera dacing berwarna biru gelap. Hampir semua penunggangnya terdiri dari anak-anak muda remaja. Mereka mengiringi kedatangan Najib. Suasana seperti biasa tidak berlaku kesesakan lalu lintas. Apa yang bising ialah bunyi motor-motor pengiring Perdana Menteri yang saya percaya dari kumpulan mat rempit.

Jumlah yang datang tidak dapat di pasti. Pentas di adakan di laman flat berkenaan, bukan di atas tanah lapang ataupun stadium. Jumlah mereka yang hadir kurang dari 3,000 orang. Mustahil dalam ruang seluas itu ia dapat memuatkan orang berjumlah 10,000. Mungkin ini kerana flat berkenaan terkenal dengan kubu kuat Pas sejak lama sebelum ini. Kedatangan seramai itu dikira sudah cukup berbaloi buat BN, apa lagi mereka adalah kebanyakannya pengundi.

Selepas berputar di taman berkenaan saya keluar dari Bukit Sentosa menuju ke Rasa. Dari bandar Rasa menghala ke Kuala Kubu Baru (KKB). Di KKB bertempat di stadium mini berlangsung himpunan Pakatan Rakyat sebagai menamatkan majlis kempen mereka di situ.

Himpunan di stadium itu akan menampil Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat. Nik Aziz dijangka akan memberi amanat dan pesanan terakhir kepada orang ramai khasnya pengundi.

Dalam perjalanan ke KKB telah ada inform mengatakan keadaan jalan ke KKB sudah sesak. Kira-kira 10 km sebelum masuk ke bandar KKB , jalan jalan sudah jam. Masa lebih satu jam diambil untuk sampai ke simpang memasuki KKB. Kereta terpaksa diparking di luar dan orang ramai terpaksa berjalan kaki sejauh lima kilometer ke stadium.

Katanya sejak jam 8:00 malam lagi kesesakan berlaku di bandar KKB. Orang ramai semua tertumpu ke situ untuk mengikut himpunan terakhir itu. Himpunan di KKB mungkin tidak dapat menambahkan undi PKR melainkan dapat membangkitkan semangat penyokongnyha saja. Kerana tidak munasabah pengundi yang berada nun jauh di Kelumpang atau pun Ulu Bernam sanggup untuk datang ke KKB.

Himpunan tadi melibatkan semua pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat. Selain Nik Aziz turut hadir antaranya, Karpal Singh, Lim Guan Eng, Anwar Ibrahim dikhabarkan turut berada sama. Anwar sendiri terpaksa mengambil masa lebih sejam untuk masuk ke stadium kerana kesesakan di bandar KKB.

Alhamdulilah selepas keduanya menamatkan kempen tidak ada kejadian buruk dilaporkan dan dalam pengetahuan saya. Suasana malam ini tenang. Cuma di jalan-jalan tertentu kedengaran ngauman suara motosikal pembawa bendera biru pekat yang membingitkan telinga. Biarlah suasana tenang dan semangat muhibbah semua pihak akan berterusan esok.

Sementara itu setelah kempen kedua pihak tamat, berbagai rumusan dan telahan dibuat mengenai siapakah yang akan menang besok. Berbagai rumusan dibuat dan ada yang bersifat psywar untuk melemahkan semangat antara satu sama lain. Berbagai angka yang dikeluarkan, kononnya kedudukan terkini 52 PKR 48 BN, ada yang mengatakan PKR tertinggal lebih 5% dan ada juga yang berterus terang sukar untuk meramalkan siapakah akan menang.

Penilaian berbagai itu menyebabkan orang ramai jadi bingung dan menyakitkan kepala. Saya tidak mempercayai kepada apa yang diramal dan dianalisis baik oleh badan rasmi ataupun tidak. Pada saya semua ramalan itu hanya ramalan saja yang mungkin tepat atau meleset.

Esok saya akan mengemukakan ulasan dan analisa saya sendiri berdasarkan pengalaman dan apa yang dilihat, didengar dan dirasa. Tunggulah saya akan membuka pintu firasat saya esok mengenai keputusan pilihan raya Hulu Selangor yang akan melabuh tirainya kurang dari 15 jam dari sekarang. [wm.kl. 2:00 am 25/04/10]

Saturday, April 24, 2010

Sambaran Kamera Saya Hulu Selangor 9

Cerita-Cerita Yang Tersembunyi di Sebalik Gambar

DALAM perjalanan meninjau suasana pilihan raya Hulu Selangor semalam saya sempat merakam beberapa keping gmbar khas untuk penjenguk blog ini. Kebanyakan gambar ini dirakam sekitar kawasan gususan Felda Sungai Tengi, Sungai Tengi Selatan dan Seoharto. Semoga gambar tidak seberapa ini dapat menebus 'kekosongan' semalam kerana blog ini tidak terisi.

Saya percaya ramai penjenguk yang menunggu pengisiannya semalam. Tatapi apalah boleh dilakukan dengan kudrat hanya sebatang kara, saya berusaha semampu mungkin untuk memberi maklumat dan laporan untuk anda budiman. Namun tetap ada hari-hari yang tidak terisi kerana kedaifan diri. Gamabr ini ada berunsur candid dan tafsirlah sendiri.


Sebuah kereta kancil yang ditemui Kuala Kubu dipenuhi dengan gambar Tok Guru Nik Aziz.

Sebuah rumah asal untuk kediaman peneroka di Felda Seoharta. Mungkin empunyanya sengaja tidak mahu merombak atau mengubahnya kerana ingin terus bernostalgia.


Perangai biasa yang berlaku dalam pilihan raya, penurapan segera mana-mana jalan yang ronggak dan lompong. Semoga penurapan ini untuk kesenangan pengguna dan bukan untuk membeli undi.

Papan tanda besar memaparkan calon PKR Zaid Ibrahim yang dibangunkan berhampiran masjid. Semoga perubahan akan berlaku dan perubahan yang baik itu akan kekal.

Mungkin bila semangat terlebih inilah yang akan berlaku. Bendera yang dibawa boleh menganggu pemanduan yang boleh mengundang kecelakaan.

BN mendirikan papan tanda mempamerkan gambar sejarah ceramah Perikatan. Mungkin golongan tua yang terlibat dengan sejarah ini akan sebak dan menangis melihat papan tanda ini. Satu kebijaksanaan!

Pemandangan di pekan Gesir, Hului Bernam di tempat ini terdapat bilik gerakan Pemuda Pas, bilik gerakan PKR dan markaz BN.

Jalan laluan Zaid masih berduri!

Umno cuba menghalang Tok Guru Nik Aziz di Hulu Selangor. Tapi ternyata tidak berjaya bila sejak semalam Tok Guru sudah bermukim di Kuala Kubu Baru.

Letih Malam Hulu Selangor 8

Semangat Pakatan Rakyat Bangkit Kembali

[diperkemaskan] MALAM ini adalah malam paling bererti bagi saya sepanjang mengikuti ceramah PKR di pilihan raya kecil Hulu Selangor. Bagi saya kalau PKR kalah pun ia tidak mengilankan. Apa yang berlaku malam ini satu hadiah atau cenderamata paling bermakna buat saya sendiri. Saya percaya kepada orang lain juga terutamanya penyokong Pakatan Rakyat dan setiap mereka yang ingin melihat perubahan yang dijanjikan Pakatan Rakyat.
Apa yang berlaku malam ini adalah satu bingkasan yang menakjubkan.

Malam ini bertempat di Sungai Buaya, ceramah PKR yang diuruskan oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) mencatat rekod sebagai majlis paling berjaya, berkesan dan penuh dengan semangat. Keyakinan semua orang juga bertambah bahawa PKR akan menang. Kejayaan malam ini juga sebagai membayar kelemahan dan kesuraman yang meredahkan beberapa puluh jam lalu!

Kehadiran malam ini dianggarkan lebih 10,000. Padang seluas pandang bola di dalam sebuah taman perumahan di situ penuh sedak. Di kiri jalan, belakang dan hadapan padang berkenaan juga penuh sesak.
Di jalan besar untuk masuk ke taman itu juga berbondong-bodong dengan orang ramai, kecil besar, tua muda, lelaki dan perempuan. Pemandangan tidak ubah seperti di masjidi Haram di Makkah selepas usai solat waktu.
Kereta memenuhi kiri jalan sepanjang lebih satu km.
Keadaan itu seolah-olah majlis meraikan pra kemenangan!
Kalau majlis berkenaan adalah majlis BN sudah tentu akhabr dan tv akan merekodkan kehadirannya melebih 20,000. Tetapi saya tidak suka menambahkan angka. Saya lebih suka memberi gambaran angka sebenarnya walaupun mungkin ada yang tidak bersetuju dan merasa kurang senang dengan sikap ini.

Sekiranya laporan dalam blog atau media pro pembangkang menyimpulkan orang yang hadir pada majlis malam ini 15,000 saya bersetuju dan angka itu bukan palsu. Tetapi untuk adil saya tidak mahu mencatat demikian.
Kenapa? Kerana mungkin 3/4 daripada jumlah itu adalah pemerhati luar, namun apa yang jelasnya bahawa semangat rakyat untuk melihat kerajaan BN runtuh berkobar-kobar di jiwa orang ramai. Tepukan dan sorakan bergemuruh apabila ucapan penceramah mengusik hati dan perasaan hadirin.

Mungkin tidak salah kalau dikatakan berdasarkan perkembangan malam ini bahawa pintu untuk Zaid Ibrahim melangkah masuk ke parlimen kini sudah mulai terbuka perlahan demi perlahan dan akan membuka luas pada keesokkannya sekira suasana malam ini berterusan sehingga ke hari mengundi.

Suasana malam ini merubah sama sekali senario beberapa malam lalu yang boleh dianggap sebagai redup dan kabur. Semangat orang ramai dan para petugas jentera PKR juga naik dengan tiba-tiba. Ada yang sudah bersiap membungkus tikar bantal untuk pulang esok, membatalkan semula niat apabila merasai dan melihat perubahan mendadak malam ini.

Kenapa malam ini saya mengatakan malam yang cukup melegakan, (saya percaya bukan saja saya tetapi pemerhati lain juga) kerana kesemua pemimpin tertinggi PKR turut sama berada di pentas dan mendampingi Zaid Ibrahim. Keempat-empat pemimpin PKR yang sebelum ini saya tandai di dalam kepala dan tercari-cari wajah mereka semuanya ada kecuali seorang, Mustapa Kamil Ayub. Bagaimana pun Mustafa dilaporkan pada masa sama beliau berada di Hulu Berenam.

Saifuddin Nasution Ismail, Mohd Azmin Ali dan Shamsul Iskandar Md Akin turut berada di pentas dan masing-masing menyampaikan ceramah. Barisan ini diperkuatkan dengan kedatangan Ketua Pemuda DAP, Pengerusinya Lim Kit Siang. Mengejutkan juga pada majlis itu diumumkan kemasukan bekas ahli parlimen MCA ke dalam PKR dan beberapa orang anak muda dari Negeri Sembilan.
Bukan itu saja majlis malam ini juga bertambah bererti lagi apabila anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghabar Baba, Tamrin Ghafar turut sama berada di pentas. Selain Tamrin beberapa rakan seangkatannya dalam Umno turut sama hadir memberi sokongan moral kepada Zaid Ibrahim. Mereka berada dalam kelompok orang ramai.

Meskipun Tamrin tidak bercakap tetapi penampilannya sudah cukup memberi mesej kepada rakyat. Sebaik Anwar menyedari kehadiran Tamrin dan mengumumkannya, orang ramai bertepuk tangan mengalu-alukan kedatangan Tamrin. Walaupun Tun Ghabar sudah meninggal tetapi dengan kehadiran warisnya itu menunjukkan bahawa semangat Tun Ghafar bersama Pakatan Rakyat.

Dengan kehadiran hampir semua pemimpin tertinggi dan semangat yang ditunjukkan orang ramai malam ini seolah ceramah PKR sudah berada di kemuncak. Dan malam ini seperti malam penutup sebelum para penyokong menanti untuk merayakan kemenangan pada Ahad ini.

Pada mulanya Tok Guru Nik Aziz dijangka akan bersama dalam majlis berkenaan. Tetapi kerana beliau keletihan kehadirannya dibatalkan. Seperti mana dijanjikan MB Kelantan itu telah memasuki Hulu Selangor petang tadi. Mulanya beliau dijangka menyampaikan kuliah Maghrib di masjid al Rahimiah, Kuala Kubu Baru tetapi dibatalkan kerana ada larangan keras agar masjid tidak digunakan untuk berpolitik. Apa yang Tok Guru boleh lakukan dalam masjid itu hanya bersujud saja.

Selepas mendirikan solat jemaah Maghrib beliau ke sidang akhbar bersama Zaid Ibrahim kemudian menyampaikan ceramah di Kampung Rasa.

Disebabkan keletihan beliau minta menuzurkan diri dari hadir di Sungai Buaya. Kemalangan itu sedikit mengecewakan hadirin. Bagaimana pun petang esok Tok Guru akan ke Felda Sungai Tengi dan malamnya akan berceramah di stadium Kuala Kubu Baru. Apakah ceramah beliau bakal mengegarkan stadium? Sama-samalah saksi sendiri dan sama-samalah mengaminkan doa Tok Guru untuk kemenangan rakyat.

Kesimpulannya dari pengamatan malam ini, semangat dan prestasi PKR juga meningkat mandadak. Saya berani mengatakan graf PKR naik mencanak malam ini. Sekiranya semangat dan momentum malam ini dapat dipertahankan dan tidak ada kejahatan-kejahatan lain dari BN yang luar biasa, sudah pasti keputusan pilihan raya Hulu Selangor yang tidak sampai 48 jam itu akan mengejutkan ramai pihak. [wm.kl. 1:15 am 24/04/10]