Sunday, May 30, 2010

Kongres PKR di Kota Bharu

Kongres Bahas Lapan Usul

KONGRES PKR ke – 6 di Kota Bharu Kelantan telah membahas lapan usul yang mencakupi soal politik, visi kerajaan Pakatan Rakyat, ekonomi, sosial, pendidikan dan lain-lain. Usul berkenaan seperti mana berikut:

1. Ketuanan Rakyat.

Kemenangan di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak pada PRU 12 bukanlah lesen untuk kita ke Putrajaya. Sebaliknya ia hanyalah pencetus dan pengiktirafan perjuangan rakyat yang perlu dihargai dan diurus dengan baik untuk kesinambungan kemenangan di PRU13.

Kekalahan pada PRK P094 baru-baru ini menunjukkan bahawa kegagalan menghargai peluang dan kepercayaan rakyat tidak diberi keutamaan sebagai agenda kepimpinan yang diamanahkan rakyat.

Kepekaan kepimpinan terhadap pendokong perjuangan akan menguatkan
motivasi penerusan agenda perjuangan. Parti adalah wadah menjana kemenangan, kekuatan Parti adalah kekuatan wadah perjuangan. Kelemahan Parti adalah manifestasi kelemahan perjuangan.

Pemuafakatan kepimpinan dan kesatuan matlamat menjanjikan kejayaan, sebaliknya perpecahan, keangkuhan dan mementingkan diri sendiri adalah punca kemusnahan.

2. Perkongsian Sumber Negara - Harapan Baru Selamatkan Malaysia.

Mengutamakan keselamatan rakyat sebagai pra syarat keselamatan Negara.
Keselamatan sumber makanan, kesihatan awam, kelestarian alam sekitar.
Keselamatan Malaysia juga bermaksud keselamatan dan kestabilan tetangga dan rantau.
Keadilan pengagihan sumber penentu keselamatan Negara dan toleransi bangsa.
Menghormati dan menghargai kepelbagaian bangsa dan agama merupakan asas keselamatan Negara.

Pengiktirafan hak dan keusahawanan kelompok masyarakat orang asal, Felda, Risda, Felcra dan peneroka bandar asas kesejahteraan rakyat.

3. Pendemokrasian Pilihan raya Umum 13.

Menyedari agenda pemartabatan suara rakyat, suara keramat sebagai aspirasi pendemokrasian di Malaysia memerlukan ruang bersuara yang seluasnya demi pembentukan demokrasi yang tulin.

Ruang demokrasi negara semakin mengecil dan meruncing akibat kebiadapan pemerintah melanggari nilai-nilai demokrasi dan hak-hak perlembagaan dan pemerhambaan jentera kerajaan sebagai alat pembunuh demokrasi.

Keadilan sejagat menuntut pematuhan prinsip-prinsip keadilan universal dan perlanggaran dan ketidakpedulian pimpinan pemerintah menyinggung dan menjejaskan imej dan maruah negara.
Membuka ruang kebebasan bersuara dan media, menjanjikan ketelusan dan pencegahan penyalahgunaan kuasa yang dimungkinkan oleh sikap pemerintah yang rakus menindas hak dan ruang rakyat (public sphere).

Institusi kerajaan yang bebas memberi ruang kepada rakyat membuat pilihan tanpa tekanan

Kerjasama dan interaksi sesama parti dan badan suadaya (NGO) memasyarakatkan politik ke arah merealisasikan masyarakat madani. Menyokong cadangan kriteria pemilihan Calon PRU 13 yang lebih ketat agar semua wakil rakyat setia berkhidmat kepada pengundi di kawasan pilhanraya masing-masing berlandaskan 17 matlamat perjuangan Parti.

Menggiatkan usaha pendaftaran pengundi baru untuk memasyarakatkan politik negara.

4. Kedaulatan Undang-undang (Political Dignity & Rule Law) Politik Bermaruah.

Mengangkat maruah rakyat melalui politik bermaruah dengan menghormati hak-hak berperlembagaan rakyat dan kedaulatan Negara.
Mempertahankan keselamatan Negara tanpa mencemarkan maruah agama, bangsa dan adat.
Memelihara kehormatan dan maruah agama, bangsa dan Negara tanpa mengorbankan maruah dan kehormatan orang lain.

Menghargai kepelbagaian dan perbezaan kaum sebagai kekuatan dan bukan kelemahan.

5. Urus Tadbir (Good Governance) Mentadbir Parti Sebelum Mentadbir Negara.

Kemantapan pentadbiran Parti cerminan keyakinan untuk memimpin Negara.
Disiplin anggota parti dan pimpinan mesti dititikberatkan dengan menekankan semangat perjuangan parti yang asal.

Keutamaan merancang belanjawan mengikut dedikasi aspirasi kepimpinan.

6. Dasar Pembangunan Negara (Nation Bulding) Agenda Ekonomi Malaysia.

Mengangkat agenda keadilan sosial sebagai teras dasar pengagihan hasil mashul Negara.
Memanfaatkan potensi modal insan dengan berteraskan merit dan integriti.
Mengutamakan impak sosial dan pemberdayaan insan sebagai kayu ukur kejayaan ekonomi.
Membuka peluang dan ruang seluas-luasnya untuk bakat, kesungguhan dan daya saing sebagai kunci penyertaan inisiatif ekonomi.

7. Hak Asasi Manusia (Human Right) Kesetaraan Gander Substantatif.

Hakikatnya wanita sangat berpengaruh dan berkuasa bukan sahaja dari segi jumlah undi tetapi juga mempengaruhi kuasa ekonomi dan keadaan sosial negara. Penglibatan wanita sebagai penyumbang kritikal dalam lapangan utama Parti iaitu gerakerja pilihanraya.

Keazaman politik baru perlu menunjukkan kesungguhan dan keazaman Parti untuk memastikan kesetaraan gender substantif dilaksanakan di peringkat Parti, Pakatan Rakyat dan di Kerajaan-Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Pakatan Rakyat.

Ketetapan perencanaan berstruktur harus memberi laluan kepada wanita yang berkelayakan memegang jawatan-jawatan yang wajar mengikut perlembagaan parti.

8. Kepimpinan Muda (Future Leadship) Masa Depan Malaysia.

Menjadikan keberanian sebagai katalis aspirasi perjuangan.
Menjadikan ilmu dan keimanan sebagai teras kepimpinan.
Menggilap kepakaran untuk mendepani cabaran semasa.
Keyakinan dan kewibawaan cermin kepimpinan masa depan.
Kepekaan dan keperihatinan terhadap ketidakadilan sebagai pengesan dan halatuju kepimpinan.

Ketangkasan menggarap perkembangan semasa dan global sebagai indikator kepimpinan masa depan. [wm.kl. 11:30 am 30/05/10]

No comments: