Thursday, May 20, 2010

Kemarau Akan Berakhir

Warkah Untuk Istana Kelantan

PATIK tidak berniat untuk mengatakan kematian Ramli Mohd, 50 adalah pengakhiran kepada pergeseran yang berlaku di istana Kelantan waktu ini. Kematian itu adalah takdir dan ketentuan mutlak Allah s.w.t. Tetapi kerana ia berlaku dalam edah istana sedang bergeser, kematian Ramli itu tetap ada signifikenya sendiri. Ia tidak dapat lari dari disunting mengikut suasana yang berlaku kini.

Semalam Pengawal Istana Kelantan yang setia itu telah meninggal dunia selepas di masukan ke hospital 1 Mei lalu selepas ditembak dari jarak dekat berhampiran rumahnya di Kok Keli, Tumpat Kelantan. Ramli meninggalkan lima orang anak dan seorang isteri. Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra telah bermurah hati dan menzahirkan simpati dengan menghulurkan bantuan RM100,00 kepada keluarga Ramli.

Sama-samalah kita menghadiahkan al Fatihah kepada roh Allahyarham.

Seperti mana dikatakan disebabkan kematian Ramli itu dalam edah pergeseran, ia mungkin akan dilihat ada sebab musabab dengan apa yang berlaku dewasan ini. Atau pun akan ada spekulasi sebegitu. Bagaimana pun kita serahkan kepada kebijaksanaan polis untuk menanganinya. Kita percaya polis akan membuat keputusannya nanti berhubung kes ini. Hendaknya ada keadilan sewajarnya atas apa yang berlaku itu tanpa mengira siapa yang menjadi peniat atas kematiannya itu.

Didoakan biarlah apa yang terjadi itu diluar ruang pergeseren di dalam istana itu.

Menerusi catatan ini apa yang hendak patik menarik perhatian ialah mengenai pergeseran dalam istana Kelantan itu, sambil bertanya bila ianya akan berakhir. Kita yakin tiap-tiap yang bermula ia akan berakhir. Ada pangkal pastilah ada hujungya. Betapa sesutau itu rusuk kalau rajin dan gigih mengatasinya ia akan terlerai jua. Apakah jalan pengakhirannya akan ditemui setelah adanya darah yang mengalir dan nyawa yang melayang? Kalaulah kematian Ramli itu ada hubung kait dengan keadaan yang berlaku, mungkin pergeseran itu sudah menuju lurah muktamad.

Dalam sejarah silam, krisis yang berlaku dalam istana atau membabitkan keluarga di raja selalunya berakhir dengan kematian. Darah menyelesaikan segala-galanya. Darah atau pembunuhan menjadi ikon kononnya Melayu berani dan hebat. Walhal ada kalanya ikon ini menunjukkan kebodohan Melayu. Apakah mitos ini turut terheret dalam pergeseran di Kelantan itu? Sekali lagi diminta dengan Tuhan agar ianya tidak.

Sejarah kejatuhan kerajaan besar Melayu Melaka, berkahir dengan kematian. Satu demi satu raja dan keturunannya dibunuh atau terbunuh. Nostalgia klasik, persahabatan lima bersaudara Hang Tuah, Hang jebat dan kawan-kawannya, berakhir dengan kematian. Simbahan darah Hang Jebat di istana Melaka bukan saja memutuskan talian persahabatan antara dua sahabat, yang bersumpah setia membela raja, sebaliknya ikut melenyapkan institusi raja dan kehebatan Melaka sebagai sebuah empyar Melayu Islam.

Perbalahan dalam istana selalunya berkisar kepada beberapa aspek yang sama. Kuasa, perempuan dan harta. Inilah subjek yang menjadi rebutan. Seorang bapa atau pemuda kampung boleh mati kalau cuba mempertahankan tunannya yang digilai kerabat atau seorang raja. Orang kampung yang punya tanah dusun boleh mati, bila raja mahukan tanah mereka. Dan adik beradik putra raja boleh bunuh membunuh kerana ingin merebut takhta ataupun puteri raja.

Apa yang mendorongkan semua kejadian-kejadian jahiliah dan tidak bertamdun ini berlaku? Ianya tidak ada helah lain melainkan kerana hasutan dan fitnah.

Patik sangat berharap subjek-subjek ini tidak ada di Kelantan. Pergseseran hari ini anggaplah salah anggap dan kurang pendekatan fatnah bagai mengatasinya. Siapa yang bersalah dan kenapa ia terus dibiarkan? Sejarah juga mencatatkan perbalahan dalam istana atau dari kalangan kerabat bukan senang untuk didamaikan. Apa lagi kalau memanda dan pengasuh tua sudah tiada lagi atau tidak diendahkan. Dalam hal Kelantan ini masalah berlarutan kerana tidak ada pengasuh tua dan memanda tua untuk menjadi orang tengah menghuraikan masalah dan membina jabatan tangan kasih dan persaudara sesama mereka.

Kalau ada pun pengasuh atau memanda, mereka yang bekepentingan. Mereka memberi nasihat yang salah. Mereka mengambil kira keselamatan dan kesenangan diri, keluarga sendiri dulu daripada keamanan istana, rakyat dan negeri serta kegahan sesebuah istana. Pada patik pergseran di istana Kelantan, kecelakaannya disebabkan oleh para pengasuh dan para gembala dan hulubangnya yang berhidung kerbau.

Darah telah mengalir nyawa sudah hilang! Jadi eloklah kalau semua pihak memejam mata dan menuduk ke sejadah memerhati apa yang sudah berlaku. Titik-titik keinsafan masih ada cuma menuggu kekuatan iman saja untuk diraut ke dalam relung hati masing-masing. Kecelaruan ini hanya boleh diheningkan dengan doa dan keinsafan saja. Tuhan masih ada dan sangat dengan dengan kita semua. Dakaplah Ia.

Kegeringan Tuanku Sultan Ismail bukan sia-sia. Kegeringan itu satu ujian Allah maha hebat kepada seluruh kerabat di raja Kelantan dan juga rakyat jelata. Tuhan mahu menguji sejauh mana semua pihak dapat bersabar dan membuat keputusan yang bersih dan jilah. Patik melihat hakikat ini kurang diselami oleh kebanyakan orang di Kelantan, terutamanya dari dalam istana sendiri.

Kalau masing-masing insaf dan sedar, patik rasa ianya tidak akan berlarutan. Sia-sialah cogan kata yang tetera di jata negeri Kelantan yang berbunyi; Kepada Tuhan Kami Berserah. Semua kena tanya diri sendiri sejauh mana kita menyerahkan diri kepada ketentuan Allah dan jangan sesekali cuba mengatasi takdir dan ketentuanNya? Allah yang Maha Berkuasa dan mengetahui segala-galanya, baik nyata dan ghaib.

Tanggal 24 Mei ini genaplah setahun Tuanku gering. Semua pihak dan rakyat jelata sudah mengetahui dan maklum situasi dan kondisi Tuanku. Utusan Malaysia yang diterbitkan oleh Utusan Melayu Sdn Bhd, akhbar yang memperjuangkan Melayu(?) juga telah menyiarkan gambar Tuanku. Tenguk sendirilah apakah Tuanku sihat atau sebaliknya. Gambar menceritakan seribu makna yang tidak dapat ditamsilkan dengan kata-kata.

Iya, kalau Tuanku sihat dan dapat menjalankan tugas dengan sempurna, maka Majlis Perajaan Kelantan (MPN) harus memansuh perlantikan Tengku Muhammad Faris sebagai Pemangku Raja. Sebaliknya kalau Majlis Perajaan merasakan Tuanku tidak berkemampuan, tidak berkeupayaan baik mental dan fizikal maka MPN perlu memahsyur dan menabalkan Tengku Faris sebagai Sultan Kelantan. Carilah masa dan cerlak yang baik untuk melaksanakan tanggungjawab itu.

Bagi patik pacar yang hina ini mengira, hanya dengan pemahsyuran Tengku Faris sebagai Sultan Kelantan saja segala-galanya akan selesai. [wm.kl 10:00 20/05/10]

Glosori:

1. Jilah = baik, molek, jernih.
2. Cerlak = masa, ruang, waktu.

3 comments:

Unknown said...

Abg MSO,
Ambo setuju dengan ulasan dan pandangan bernas itu. Semuga hendaknya semua yang terlibat masing masing menilik kedalam diri mencari kebenaran yang membahagiakan kerabat dan rakyat seluruhnya.Semua rakyat kelantan rasanya mengharapkan episod ini epat berlalu.Tq

SAIFUL LIZAN BIN MOHD LAJIS said...

Saya bersetuju dengan ulasan tersebut

YUSSOF said...

Salam,
Tuan MSO,
Tahniah atas keberanian saudara mengulas dengan penuh tanggungjawap berkenaan isu istana kelantan yang tiada berkesudahan ini.Rasanya luahan dan pandangan saudara seperti doa dan harapan seluruh rakyat kelantan yg mahukan krisis berdarah ini selesai dgn sebaiknya. Tetapi tanpa usaha segera pihak bertanggungjawap iaitu MPN akan mengundang padah jika ianya kembali meruncing setelah kelihatan reda seketika.Banyak pihak kelihatan mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi telah dan akan mengeruhkan keadaan.