Wednesday, February 9, 2011

Rencana Khas

Nik Abduh Ganti Nik Aziz

MENJELANG pilihan raya ke-13 nanti banyak orang memperkatakan soal transformasi dan pembaharuan politik yang akan berlaku atau perlu dilakukan oleh parti-parti politik. Transformasi dan pembaharuan itu diperlukan bagi menyuburkan parti politik dengan tujuan untuk mendapat perhatian dan penilaian baru oleh rakyat.

Pembaharuan atau perubahan juga perlu untuk mengelakkan berlaku rasa cemuh dan loya oleh rakyat. Misalnya terlalu lama seseorang menjadi wakil rakyat juga memberi kesan tidak baik kepada pembangunan parti dan kerajaan. Kandati wakil itu baik dan tidak melakukan kesalahan fatal, namun beliau tetap ada memiliki kesalahan dan kecacatan tertentu. Yang pastinya mereka akan kemandulan modal dan idea untuk membangunkan rakyat dan kawasan. Kelamaan itu akan ditafsirkan sebagai satu ketidakbagusan.

Tokoh seperti ini perlu diganti dengan wajah baru untuk mengelakkan parti bermasalah atau dikatakan ketandusan pemimpin. Meletakkan muka yang sama sudah diketahui sejauh mana kemampuan dan kelemahannya boleh menjadi liabaliti kepada parti.

Dalam konteks Kelantan, menjelang pilihan raya ke-13 saya tidak mahu bercakap mengenai kedudukan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Saya kecualikan dari membahaskan mengenai kedudukan beliau atas kapasiti sebagai Pesuruhjaya Pas Kelantan dan juga selaku MB Kelantan.

Biarlah diserahkan kepada Pas sendiri untuk menimbang dan memutuskannya. Lagi pun juga sebelum ini saya sudah memberi isyarat dan bayangan mengenai masa depan beliau selaku MB. Sudah bergantang saya disumpah oleh pentaksubnya seperti mana pentaksub Abdul Hadi hemburkan kepada saya bila saya menyentuh 'kemaksuman' presiden Pas itu.

Di sini apa yang saya hendak perkatakan mengenai siapakah yang akan mengganti Nik Aziz dalam keluarganya sebagai penerus kepada jihadnya. Tidak dapat tidak, sebagai mujahid Nik Aziz mesti ada cita-cita agar perjuangannya diteruskan oleh generasinya. Sebagai seorang penyayang kepada siasah, pastilah beliau mahukan baqanya juga menyayangi siasah. Apa lagi siasah telah meletakkan darjah dan martabat serta menjadi sejarah tersendiri buat Nik Aziz dan keluarganya apabila beliau dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan.

Nik Aziz mempunyai 10 orang anak, lima lelaki dan lima perempuan. Beberapa orang anaknya menjadi sebutan dan dikenali kerana penglibatan dalam berbagai aktviti termasuk politik. Antara anak lelakinya ialah Nik Omar, dikenali sebagai seorang pendidik. Beliau banyak terlibat dalam dunia pendidikan dan seorang pengendali sekolah (dunia pendidikan) yang berjaya.

Seorang lagi Nik Adli. Beliau juga terlibat dalam dunia pendidikan. Seorang yang mengejutkan serta memberi markah tinggi kepada keluarga Nik Aziz apabila Nik Adli pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas tuduhan terbabit dengan Jemaah Islamiah (JI). Dalam konteks orang politik ditahan di bawah akta ini satu keistimewaan.

Seorang lagi ialah Nik Abduh. Di antara dua tadi Nik Abduh yang terlibat secara langsung dalam politik. Beliau juga menaruh minat mendalam dalam dunia politik. Perwatakan dan gerak gerinya menunjukkan kecenderungan itu. Waktu ini beliau adalah Exco Pemuda Pas Malaysia. Sebelum ini pernah menjadi Naib Ketua Pemuda Pas Kelantan. Percubaannya dua tahun lepas untuk melonjak diri sebagai ketua pemuda Pas Kelantan dalam mencetak kejayaan politik beliau tewas.

Selain bergerak sebagai ahli politik, Nik Abduh juga seorang pendakwah dan ahli perniagaan berjaya. Beliau sering diundang menyampai kuliah dan berceramah di masjid atau surau di seluruh Malaysia termasuk ke Sabah dan Sarawak. Kesempatan ini menjadikan Nik Abduh dikenali berbanding dengan anak Nik Aziz yang lain termasuk Nik Abdul Rahim dan Nik Asri. Kebolehan ini juga menampilkan diri sebagai ahli politik muda berhemah di Kelantan.
Wajah ini ditambah lagi dengan sesekali beliau tampil pada keramaian parti. Atau pada tunjuk perasaan menentang kezaliman Yahudi dan Amerika. Suaranya di dalam blog dan pandangan politik terbuka dan berpandangan jauh serta menjadi kontroversi. Situasi ini menjadikan beliau dilihat ada kredibiliti tersendiri dan sedang diperhati umum. Kenyataan dan ulasan politik khasnya berbelit dengan ayahya juga ditunggui ramai.

Memang tepat kalau Nik Aziz ingin ada baqanya menerus perjuangan dalam bidang politik, dan puteranya itu ialah Nik Abduh. Selain mempunyai keulitan itu, Nik Abduh sendiri ada mirip wajah Nik Aziz. Beliau juga memiliki sifat tawaduk dan zuhud sama seperti ayahnya. Anak butir. Tetapi itu bukan hujahnya, alasan tepat ialah kerana kebolehan dan wibawa serta benih politik yang cambah dalamnya sendiri.

Dalam tilikan saya kalau Tok Guru ingin mewasiatkan perjuangannya dari kalangan keluargnya Nik Abduh dirasakan penerima wasiat paling layak. Untuk itu Tok Guru Nik Aziz sudah boleh merintiskan masa untuk Nik Abduh. Rasanya ia tidak susah kerana Nik Abduh ada aura dan kebolehannya sendiri dan jika hendak diukurkan dengan penglibatannya Nik Abduh sudah sampai peringkat sarjana muda dalam politik. Usianya pun sudah mencecah 40 tahun.

Tidak timbul kalau beliau menempel di sebalik wajah Tok Guru seperti mana kebanyakan wakil rakyat Pas lain yang berebut untuk meletakkan gambar bersama Nik Aziz.

Tidak ada salahnya juga kalau Mursyidul Am itu memberi peluang kepada anaknya itu. Untuk tujuan ini Nik Abduh boleh diletakkan bertanding dalam pilihan raya akan datang. Beliau boleh belajar mencari pengalaman bagaimana menjadi seorang wakil rakyat. Suasana hari ini dengan kondisi menjadi wakil rakyat berbeza. Wakil rakyat akan menguji sejauh mana kemampuan, kepimpinan dan ketahanan jiwa Nik Abduh.

Kalau Nik Abduh hendak diperlimaukan, kerusi paling sesuai ialah Parlimen Pengkalan Chepa. Kerusi itu adalah kerusi asal Nik Aziz. Kalau Nik Abduh diletakan bertanding di sini ia akan menuruti jejak Nik Aziz. Nik Aziz dulu pun belajar politik dan menjadi wakil rakyat menerusi kerusi berkenaan.

Beliau diletakkan bertanding dalam usia 36 tahun dalam pilihan raya kecil itu.
Selepas tiga penggal di Parlimen baru beliau dibawa turun ke negeri seterus menjadi MB.

Mungkin terlalu awal untuk meramal perjalanan Nik Abduh akan menyerupai ekspedisi politik ayahnya. Tetapi kalau ia dirancang dan dibuka peluang ia tidak mustahil akan menjadi realiti. Sama-sama boleh diperhatikan di kala Abduh mencecah 60 tahun iaini 20 tahun dari sekarang Nik Abduh jangan terkejut kalau Menteri Besar Kelantan pada masa itu adalah Nik Abduh?

Untuk melaksanakan ini Tok Guru tidak perlu merasa kekok dan malu untuk berbuat demikian. Seperti menjadi kelaziman pula penjawat dalam politik disambung oleh anak dan waris. Tugas sebagai wakil rakyat diteruskan oleh zuriat masing-masaing. Beberapa wakil rakyat di Kelantan kini menyambung tugas ayah mereka. Di mana ada yang menjadi jawatan itu sebagai warisan turun temurun macam mewarisi resipi 'ubat kuat'.

Mohd Amar Nik Abdullah mewarisi kerusi (Panchor) itu dari ayahnya Nik Abdullah Arshad. Dr Mohd Fadzli Hassan, mengambil kerusi itu dari ayahnya Hassan Mohammad di Kemuning. Begitu juga dengan Abdul Fatah Haron mengambil kerusi Bukit Tuku (Lemal) itu dari ayahanya, Haron Sulong. Manakala Nasaruddin Daud pula mewarisi kerjaya politik dari ayahnya Tok Guru Haji Daud Yusuf yang menang dua penggal di Tumpat Barat (Pengkalan Kubur).

Saya percaya dan yakin selepas ini, Abdul Halim Abdul Rahman, Wan Rahim Abdullah atau Omar Mohammad atau Abdul Fatah Haron akan meletak anak masing-masing untuk meneruskan tugas dan mengambil tanggungjawab jihad? Kalau yang mana tidak ada anak besar berminat dalam politik akan diambil sepupu atau anak saudara masing-masing.

Makanya kalau Nik Aziz memberi laluan kepada Abduh bertanding dalam pilihan raya akan datang sebagai penerus jihadnya ia tidak akan dipertikaikan oleh sesiapa melainkan oleh orang Umno yang akan mengatakan Nik Aziz memilih roni walhal Umno sudah lama berbuat demikian. [wm.kl 2:00 pm 09/02/11]

No comments: