Monday, October 14, 2013

Teguran terakhir Anwar kepada Khalid

ULASAN ISU                                                                                       

Khalid Ibrahim sekali lagi ditegur oleh Anwar Ibrahim. Teguran kali ini saya kira teguran terakhir dan penghabisan. Selepas ini Anwar tidak akan mengulangi perkara yang sama, sebab lama kelamaan kalau beliau bercakap perkara sama menyebabkan orang menganggap suaranya tidak laku.

Sebelum ini sudah beberapa kali Anwar membuat teguran dan sindiran kepada Khalid diberbagai tempat dan dalam majlis termasuk dalam mesyuarat parti. Tetapi teguran Anwar tidak membekas apa-apa ia jadi seperti mencurahkan air ke daun keladi saja. Anwar semacam menjadikan tunggul kayu mati untuk mengusik-usikkan Khalid dengan mengatakan ianya hantu. Ia sedikit pun tidak menakutkan Khalid.

Apa yang ditegur Anwar dan para pemimpin PKR lain supaya Khalid mengubah stail dan pendekatan dia sebagai ketua kerajaan Selangor. Beliau dikatakan mentadbir secara korporat dan mengabaikan kepentingan-kepentingan politik untuk mengukuhkan kedudukan kuasa politik itu sendiri. Khalid seakan menerima jawatan MB itu sebagai satu penswastaan daripada pakatan Rakyat dan terserah kepadanya untuk melakukan apa saja tanpa perlu menerima pandangan dan maklumat semasa dari parti. Inilah masalahnya.


Walaupun acap kali ditegur Khalid tidak mengubah stail dan tidak mengendahkan teguran ke batas dirinya. Paling melucukan dan dikesalkan dia merasakan teguran Anwar sebagai jenaka atau humor untuk mengambil hati orang yang tidak selesa dengan sikap dan pendekatannya. Walhal Anwar sudah serius meminta beliau mengubah stail dan memberi kepedulian kepada orang politik sama. Khalid rupa-rupanya seorang yang kurang sensitivi dalam soal-soal politik dalaman. Kita tidak tahu apakah beliau bersikap begitu kerana enak merasai keempukan kerusi MB?

Sikap acuh tidak acuh atau 'lembu kenyan' inilah memeningkan kepada ramai orang.  Menyebabkan sesetengah pimpinan parti khas PKR sudah tidak mahu ambil kisah lagi. Misalnya teguran terbaru Anwar itu sudah diberi tindakan balas positif oleh Khalid dengan mengatakan Anwar membuat teguran kecil dan menunjukkan Anwar suka kepada perbincangan. Selamba sahaja beliau membidas balik Anwar dan mempertahankan dirinya.

Sikap dan sifat Khalid adalah "bulat-bulat buah beluru, buat-buat tidak tahu".

Terbaru apa yang diulangi Anwar mengenai sikap Khalid yang syok dan bangga dengan kekayaan, wang lebihan perbelanjaan milik kerajaan negeri Selangor tetapi tidak menggunakan kekayaan itu bagi kepentingan rakyat sepenuhnya. Dari kaca mata Anwar banyak hal-hal mengenai rakyat tidak dipenuhi oleh Khalid misalnya masalah kemiskinan. Inilah yang dikesalkan. Sebaliknya Khalid menjawab dengan mengatakan bukan mudah untuk mengumpul wang lebihan yang banyak.

Bermakna bagi Khalid dia syok kerana dapat mengumpul wang dan bangga dengan kebolehannya. Perasaan itu terbalik, sepatutnya dia merasa bangga kalau wang yang banyak itu boleh memperbaiki taraf sosial ekonomi rakyat, menyediakan kemudahan semasa diperlukan rakyat Selangor bukannya mengumpul wang.

Khalid sebagai MB mengambil sikap sebagai seorang taukeh yang mengumpul wang syarikat tanpa mempedulikan nasib orang bawahan seoptimanya. Dasar orang korporat dia merasakan berjaya bila mempunyai lebihan wang yang banyak. Walhal apa yang dia patut utamakan kesejahtraan rakyat. Tidak ada guna kalau mempunyai wang lebihan tetapi masih ada rakyat yang menderita atau ternanti-nanti bantuan.

Inilah yang tidak difahami Khalid apa yang dikehendaki penasihat umum PKR dan juga orang bawahan. Seharusnya Khalid sedar kuasa dan kedudukan yang ada kini ialah kerana rakyat. Kerana susah payah orang politik berjuang siang dan malam untuk menumbangkan UBN. Jadi Khalid sepatutnya membayar atau memberi imbuhan atas usaha itu dengan membelanjakan wang yang banyak itu untuk rakyat serta memberi imbuhan kepada pekerja-pekerja parti.

Dia sepatutnya kena insaf kalau bukan kerana parti, orang bawahan yang bekerja dia tidak akan sampai di tempat itu. Khalid jangan berfikir dia diletakkan disitu semata-mata kerana perkenan Sultan. Dia kena tahu sejarah dirinya.

Teguran dan sindiran macam mana lagi dari Anwar baru Khalid hendak pedulikan. Sebenanrya Anwar sudah tidak dapat tahan lagi dengan sikap dan telatah Khalid. Mungkin isu 'penolakan' kehadiran Saifuddin Nasution Ismail di pejabat MB Selangor sebagai ketua staf menyebabkan Anwar terpaksa menyuarakan sekali lagi rasa kurang enaknya terhadap Khalid. Teguran akhir.

Sebelum ini Saifuddin dihantar ke pejabat MB untuk menjadi ketua staf. Melihat kepada program yang akal diuruskan Saifuddin menunjukkan Anwar mahu Saifuddin mencairkan wang lebihan yang banyak itu untuk kepentingan rakyat. Progrem membantu dan mensejahtra rakyat telah diatur oleh Saifuddin. Program itu menumpukan ke kawasan luar bandar. Peringat awal empat kawasan parlimen luar bandar yang diberikan perioriti; Sabak Bernam, Tanjung Karang, Kuala Selangor dan Hulu Selangor. Malangnya perancangan Anwar tanpa menolak Khalid ke tepi itu, tidak disetujui oleh Khalid.

Khalid perlu insaf apa yang berlaku. Beliau tidak boleh menganggap teguran Anwar itu untuk mengambil hati sahaja. Teguran Anwar itu sudah terakhir kali dan serius. Teguran macam mana lagi harus dilakukan. Sebagai seorang tua begitulah teguran yang wajar dilakukan. Lembut tetapi menyusuk. Sepatutnya Khalid sudah insaf dan sedar mengenai kedudukan dia. Apabila ada ura-ura untuk melantik orang lain sebagai MB selepas pilihan raya lalu dia sudah mengambil sikap berundur secara terhormat. Atau pun kalau mahu berundur kerana syok menjadi MB, bersedia menurut arahan dan kehendak parti.

Kahlid tidak boleh bersikap mempertahankan diri dan menjadikan sokongan rakyat kepada pentadbirannya sebagai alasan. Betapa besar sokongan rakyat sekali pun kalau parti tidak memberi restui kedudukan Khalid dalam tidak halal.

Apa yang penting beliau jangan hanya mendengar nasiaht dan pandangan dari para manegernya sahaja. Yang dimaksudkan menager ini ialah pegawai politik yang dilantik untuk mengeliling dan membantunya. Biasanya maneger akan memuji seorang CEO apabila makan dan minumnya cukup. Meneger lebih bersikap kapatlis berbanding CEO itu sendiri. Mereka tidak akan pedulikan kehendak dan keperluan pekerja bawahanm, iaini orang parti. Khalid perlu mengadukan kedua-dua pandangan; maneger dan pekerja.

Adalah dibimbangi dengan teguran terakhir Anwar itu sekiranya Khalid tidak berbuat ia boleh menyebabkan orang hilang sabar. Kalau Anwar hilang sabar masih boleh menyelamatkan keadaan. Tetapi kalau rakyat (parti) hilang sabar ia akan menyusahkan semua orang. Jadi sebelum berlaku apa-apa yang tidak diingini Khalid perlulah sedar dan insaf. [wm.kl.9:34 am 14/10/13]

2 comments:

ras abu said...

Khalid sudah macam kaduk naik junjung - rakyat perlu diutamakan - bagus dapat kumpulkan duit tetapi tiada gunanya jika tidak dibelanjakan untuk kesejahteraan rakyat yang mengundi PR sehingga menjadi kerajaan.

Harap Khalid jangan angkuh sangat.

walid's blog said...

Salam tuan MSO,
Dia mantan CEO bukannya asalnya politikus. Maka terbawa-bawalah gaya bos seorang korporat dlm pentadbirannya. Betul jugak tu, kena buat kajian selidik ke atas rakyat Selangor tanpa mengira ras keturunan bagi melihat adakah beliau seorang pemimpin yg masih 'laku' atau sebaliknya...sekadar pandangan.