Malam tadi PKR telah memutus dan memuktamadkan Presiden PKR Dr Wan Azizan Wan Ismail dinamakan sebagai bakal MB Selangor untuk menggantikan Abdul Khalid Ibrahim. Keputusan itu diumumkan Penasihat Umum PkR Anwar Ibrahim setelah pimpinan PKR mengadakan mesyuarat.
Apakah Azizah akan catat sejarah? |
Penamaan Wan Azizah itu dilihat sebagai untuk meredakan keadaan dan bagi merapatkan saf kepimpinan dalam PKR yang sebelum ini agak kalut sedikit gara-gara Khalid enggan mematuhi kehendak parti. Diharap selepas ini PKR akan dapat suntikan semangat baru dan keyakinan hidup yang lebih bertenaga.
Sewajarnya kalau semua pihak mengambil sikap "tasamuh" dan menerima keputusan parti kerana parti itu tidak ada masa untuk bergaduh panjang memandangkan kepentingan rakyat dan negeri Selangor lebih mustahak daripada kepentingan peribadi mana-mana pihak. Walaupun Selangor negeri terkaya dan ditadbir baik oleh Khalid tetapi masih banyak perkara yang belum lendek dan disapu ke bawah karpet.
Mungkin ada orang persoalkan kenapa PKR menamakan Dr Wan Azizah. Mereka yang termakan dengan jolokan pihak Umno yang mempertikaikan "ketanggungan" Azizah untuk jadi MB kerana dia seorang wanita akan menjadi iseng dan disampuk sawan babi. Dalam konteks ini adalah silap kalau penamaan Azizan itu disuluh dari sudut beliau seorang wanita. Apa yang patut dikenang dan diambil kira Dr Wan Azizah adalah presiden parti di mana dari segi hirearki beliau adalah paling layak selepas Mohamed Azmin Ali sebagai timbalan presiden untuk menjabat jawatan sebesar itu.
Pandangan terhadap Azizah yang dinamakan bakal MB itu seharusnya bukan atas gander, tetapi martabatnya sebagai Presiden parti. Kelestarian PKR sejak ia ditubuhkan hingga kini berjaya mengekang kemaraan Umno perlu diinsafi ianya dipimpin oleh Dr Wan Azizah.
Dalam hakikat berorganisasi kedudukan dan kuasa yang ada kepada Azizah samalah dengan kuasa yang ada kepada Mohd Najib Razak selaku presiden Umno atau Abdul Hadi Awang selaku presiden Pas. Kadang-kadang orang terlupa akan kapasiti yang ada kepada Dr Wan Azizah. Apakah dia dinasihati atau pun dipengaruhi oleh suaminya Anwar Ibrahim, tidak perlu ditakwilkan, dan penakwilan mengenai hal itu adalah dangkal kalau kita memahami kelok-kelok dan tribulasi dalam politik. Lagipun adalah logik dan bijak kalau beliau menerima pengaruh suaminya, kerana Anwar sendiri kualiti dan tarafnya sebagai seorang perdana menteri.
Mohd Najib juga tidak dapat menghindari daripada dipengaruhi isteri Rosmah Mansor, dan begitu juga Abdul Hadi Awang sering diheretkan dengan kuasa atau pun idea-idea politik Mustapa Ali. Tidak ada mana-mana pemimpin di dunia ini yang memimpin atau mentadbir tanpa ada penasihat dan terpengaruh dengan mana-mana pemikiran.
Cuma seperti dikatakan sebelum ini pemilihan Khalid yang bukan dari kalangan pimpinan utama adalah atas ehsah dan hubungan baik beliau dengan Anwar. Sesiapa tidak dapat menafikan kewujudan Khalid ditempatnya itu atas kehendak Anwar. Pilihan Anwar kepada Khalid walaupun "khilaf" dari segi kelaziman politik, tetapi ia satu pilihan tepat pada masa itu. Sayangnya Khalid tidak tahu berbudi dengan jawatan itu untuk memperkasakan parti menyebabkan beliau dipertikai ramai dan akhirnya minta pamit.
Penamaan Azizah sebagai bakal MB Selangor akan tetap dipertikaikan. Pihak lawan sebelum ini sudah melancarkan perang psikologi apabila nama Azizah disebut-sebut menjadi MB. Antara peluru yang digunakan ialah mengenai kedudukan Azizah sebagai seorang wanita yang dikatakan bermasalah untuk menjadi MB kerana berdepan dengan sifat biologi Azizah sebagai seorang wanita yang mengalami uzur syarie.
Pendangan itu diberi oleh peguam agung Umno bernama Hafarizam Harun yang mengatakan Azizah tidak layak jadi MB kerana uzur syarie. Pandangan "jahiliah" peguam itu mendapat kecaman hebat daripada semua pihak termasuk rakan komponen Umno dalam BN, MCA. Orang Umno selalu demikian bercakap dahulu sebelum merujuk kepada hukum fiqh.
Selain itu dipihak Pas juga menunjukkan kurang senang kalau PKR menamakan Azizah. Katanya Pas lebih cenderong kepada Azmin. Walaupun Pas ada hajat untuk memperjudikan calonnya sendiri, namun parti itu dipercayai ditekan oleh rasa persahabatan menerusi Pakatan Rakyat. Pas menjadi segan dengan DAP yang mengambil sikap terbuka dan menyokong penuh PKR untuk mewarisi kerusi MB Selangor menyebabkan Pas tidak begitu serius.
Kenyataan Setiausaha Agung Pas, Mustapa Ali yang menegaskan kerusi MB Selangor hak PKR dan Pas tidak akan ganggu memancungkan angan-angan dua Exco Pas yang berminat untuk jadi MB. Sebelum ini kedua-dua Exco berkenaan sudah mula berjalan meniru gaya MB dan tidurnya juga diganggu mimpi YAB. Ruangan media sosial seorang Exco juga sudah mulai lebat dengan catatan-catatan aktivitinya yang berjumpa rakyat siang malam persis seorang MB. Manakala Exco berkenaan juga sering mengeluarkan pendapat "berkelidah" antara satu sama lain yang menjurus kepada melobi kerusi MB.
Tindakan Pas itu yang memperakui kerusi MB Selangor adalah hak PKR boleh diangkat tabik dua kali. Dua kali sahaja, sebab Pas juga ada kalanya berdolak dalih dan main "keret" ekor. Contohnya apa yang berlaku di beberapa buah kerusi dalam pilihan raya umum lalu.
Pun begitu walaupun kedua-dua rakan PKR, Pas dan DAP tidak ada masalah dengan Azizah, tetapi prsose penggantian itu dijangka selepas Aidifitri bukan mudah. Yang nyatanya ia bukan rahmat malam lailatu qadar? Ia tetap keputusan politik. Bila disebut politik maka akan adalah politikingnya. Justeru ada beberapa halangan atau kemungkinan lain boleh berlaku. Di sinilah memerlukan kerjasama dan sikap understanding yang tinggi semua pihak.
Cukup penting ialah ketulusan daripada Khalid Ibrahim. Sekiranya Khalid tidak ikhlas dan sukar menerima apa yang dihukumkan ke atas dirinya, ia boleh menyebabkan kesenimbungan projek Kajang Move itu terganggu. Hendaknya jangan sampai terganggu untuk kedua kali, apa lagi melibatkan suami dan isteri. Malu weh....
Hasrat PKR atau Anwar untuk menobatkan Azizah sebagai wanita pertama menjadi MB di negara ini itu boleh sangkut. Masih ada "kluk klik" lain yang boleh menganggui tujuan itu. Kalau hasrat Anwar untuk bertanding di pilihan raya kecil DUN Kajang sebagai persiapan menjadi MB diganggu, tidak kurang juga dengan peralihan Kajang Move kepada Wan Azizah ini. Akan ada usaha ke arah itu. Musuh tidak pernah berhenti dari mengadu domba dan berusaha mengagalkan langkah kawannya. Para ustaz yang diupah dengan wang emas seuncang seorang juga akan berdoa agar ia terhalang.
Kalau mahkamah dan undang-undang yang dikendalikan manusia rela menjadi alat politik dan jahat, menganggu langkah Anwar di Kajang, apakah pula ganguan terhadap rancangan meletakkan Azizah sebagai MB ini? Dalam tilikkan saya ada dua faktor yang boleh menjejaskan perkara ini. Pertama, oleh Khalid Ibrahim sendiri dan kedua pihak Istana. Kalau (dibuat) Khalid tidak mahu berundur, proses ini akan terganggu. Apa lagi kalau tindakan Khalid itu dipersetujui oleh Istana. Begitu juga kalau Sultan Selangor enggan memberi perkenan kepada Wan Azizah menyebabkan proses ini akan tersangkut.
Benar, Sultan harus menerima sesiapa sahaja menjadi MB daripada parti yang mendapat kepercayaan dan majoriti. Sultan tidak ada hak untuk menghalang kerana begitu kehendak Perlembagaan. Perlembagaan adalah "Quran" kepada sesebuah negara atau negeri yang harus dipatuhi secara adil dan saksama. Namun pun begitu ia sering kali terlanggar dan dilanggar. Mungkin peristiwa yang berlaku di Kelantan, Terenganu, Kedah atau Perak atau di Pahang dan Johor tidak lama dahulu, boleh dijadikan paduan dan iktibar, bagaimana apabila ada campur tangan pihak Istana menyebabkan maksud parti politik yang menang untuk melantik seseorang yang dikehendaki terganggu dan menjadi kucar kacir.
Tetapi kita percaya dalam hal Selangor ini, risikan sudah dibuat terlebih dahulu. Boleh jadi tindakan PKR menamakan Azizah sebagai pengganti Khalid itu sudah pun mendapat perestuan daripada pihak Istana atau pun dimaklumkan. Atau pun pihak Istana bersikap terbuka sedia menerima sesiapa sahaja sebagai MB asalkannya orang itu mendapat sokongan parti. Keadilan yang ditunjuk setakat ini boleh dihormati.
Bagi mengejapkan kedudukan atau cadangan PKR ini, elok kalau Azmin Ali membuat kenyataan dan pendirian memberi sokongan sepenuhnya kepada presiden parti sebagai bakal MB. Begitu juga dengan Khalid Ibrahim nyatakan sokongan padu dengan tulus. Dengan cara itu mereka akan dilihat sebagai seorang ahli politik yang mempunyai wisdom yang tinggi dan segala kusut masai tidak ada lagi. [wm.kl.6:30 am 22/07/14]
No comments:
Post a Comment