Monday, November 23, 2015

Mesyuarat MT esok tentukan nasib Muhyiddin dan Shafei

KATA PAGI

Esok MT Umno akan mengadakan mesyuarat. Mesyuarat itu yang sepatutnya diadakan pada 27 November dipercepatkan. Menurut Setiausaha Agung, Teuku Adnan Mansor ia dipercepatkan bukan kerana ada apa-apa motif melainkan kerana memandangkan kesuntukan masa untuk persiapan perhimpunan agung Umno awal bulan depan.

Kalau benar itulah alasannya, kenapa mesyuarat MT tidak diadakan lebih awal lagi. Sudah beberapa kali mesyuarat MT ditunda? Jadi alasan diberikan Teuku Adnan itu tidak masuk akal dan secara tidak langsung ia menggambarkan langkah percepatan mesyuarat MT kepada esok daripada 27 November tentu ada motifnya.

Apa difahamkan pada tarikh itu (esok) Muhyiddin Yassin dan Shafei Afdal tidak ada dalam negeri. Mungkin mereka sudah "noted" yang mesyuarat akan diadakan pada 27 hari bulan seperti awalnya. Jadi benarlah desas desus tersibar mengatakan mesyuarat itu dipercepatkan untuk tidak menerima kehadiran dua tokoh yang sudah dianggap menjadi "kian bekah" dalam Umno itu.


Persoalan sekarang ini apakah mesyuarat MT esok akan membuat keputusan mengejutkan? Apa yang dibayangkan agenda besar mesyuarat itu ialah mengenai perhimpunan agung Umno. Masalah utama berhubung dengan perhimpunan agung tentulah mengenai kedudukan Muhyiddin dan Shafei Afdal.

Apakah Muhyiddin dan Shafei perlu berada di pentas utama bersama pimpinan yang lain semasa perhimpunan agung itu nanti? Apakah Muhyiddin akan diberi tugas dan tanggungjawab tradisi merasmikan pembukaan persidangan wanita, pemuda dan puteri? Inilah yang akan diputuskan.

Kebiasaanya Timbalan Presiden akan melakukan pembukaan persidangan tiga sayap itu. Itu sebagai hak mutlak dan tradisi kepada timbalan presiden, sementara presiden pula merasmikan persidangan penuh. Menerusi perasmian itu timbalan akan menyuntik semangat kepada ketiga-tiga sayap itu baik dalam mengukuhkan parti, menumpahkan taat setia kepada pemimpin dan sebagainya.

Dengan keadaan Muhyiddin hari ini yang sudah menambat lilitan di kepala dan memakai mafela  di bahu mengkritik Najib apakah wajar dia dibenarkan berhadapan dengan ketiga-tiga sayap itu? Apakah Muhyiddin akan dapat menjaga mulutnya agar tidak mengkritik Najib dan menyentuh isu 1MDB? Atau kesempatan itu nanti digunakan Muhyiddin untuk terus membedal Najib.

Inilah yang sedang diperkiraan dengan penuh berhati-hati. Mungkin perkara ini akan dibawa dalam mesyuarat MT esok untuk mendapat endorsement bagi memudahkan Najib memancung Muhyiddin. Makanya, sebab itulah mesyuarat esok dipercepatkan bagi menghindarkan Muhyiddin dan Shafei Afdal ikut sama.

Sekali lagi disebutkan kalau begitulah niat maka mesyuarat MT dipercepatkan, ia bakal memberi natijah buruk kepada Umno. Kalau Najib beriya untuk menyingkirkan Muhyiddin bukan dengan cara itu. Ahli Umno yang berpelembagaan, suka kepada ukhwah dan membenci  persengketataan akan membantah atas apa-apa tindakan mengasingkan Muhyiddin dari perhimpunan agung itu.

Perkara buruk akan terjadi kalau ura-ura untuk tidak membenarkan Muhyiddin merasmikan persidangan wanita, pemuda dan puteri menjadi kenyataan. Khabarnya Zahid Hamidi akan diberi tanggungjawab untuk merasmikan persidangan serentak ketiga-tiga sayap itu. Zahid akan diserahkan untuk menggerakkan semangat dan menyakinkan mereka bahawa Nanjib seorang perdana menteri yang soleh.

Mesyuarat MT esok juga akan menentukan apakah Muhyiddin akan hadir sebagai timbalan presiden ataupun beliau tidak akan hadir langsung? Tindakan atau apa yang berlaku kepada Muhyiddin akan diikuti sama oleh Shafei Afdal dan beberapa mereka yang lain. [wm.kl.9:47 am 23/11/15]

No comments: