Wednesday, February 22, 2017

Ada kebenaran ramalan Salahuddin Pas akan berpecah lagi

STORY PANAS

Menarik pendedahan berupa spekulasi oleh Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub (foto) yang meramalkan parti agama (Pas) akan berpecah sekali lagi dalam masa terdekat.

Salahuddin tidak memberi dalil-dalil nyata mengenai kenyataan itu, tetapi sebagai orang pernah bergelumang dalam Pas, kenyataan beliau itu tidak boleh dipandang ringan.

Menurut Salahuddin yang pernah berada dalam Pas lebih 40 tahun beliau yakin perpecahan itu akan dapat disaksikan dalam tempoh sebulan dua lagi.

Bekas Naib Presiden Pas yang pernah menang dengan undi tertinggi, hanya memberi alasan perpecahan itu berlaku apabila Pas kini dilihat mesra dan baik dengan Umno. Hubungan itu beliau menterjemahkan akan menimbulkan kemarahan ahli yang sama sekali tidak dapat menerima Umno yang selama ini bertindak menjadi seperti Israel terhadap Palestin terhadap Pas.

Mungkin apa menjadi ukuran beliau dilihat juga kepada sejarah sebelum ini yang pernah berlaku dalam Pas. Tahun 1974 dan sekali lagi pada tahun 1978. Hubungan politik yang dijalinkan Allahyarham Mohd Asri dan Mohamad Nasir berakhir dengan perpecahan dalam Pas. Asri menjalani hubungan dengan Tun Razak sementara Mohamad Nasir dengan Hussein Onn dan Hussein Ahmad.

Alasan Asri menerima Razak (Umno) demi perpaduan Melayu ekoran peristiwa 13 Mei, manakala Mohamad Nasir kononnya untuk selamatkan Kelantan dari "keporakan" kerajaan Kelantan pimpinan Pas. Walhasil gara-gara hubungan itu Pas berpecah sampai hilang sebuah kerajaan. Mungkin dalam makrifat politik Salahuddin perkara sama akan berulang di mana kerajaan Kelantan hampir 28 tahun pula akan tumbang.

Ahli Pas yang tidak dapat menerima falsafah politik Asri bertindak keluar parti menubuhkan kumpulan Bebas Bersatu kemudian melawan Pas yang menyertai BN tahun 1972. Begitu juga ahli Pas yang tidak senang dengan pendekatan politik Mohamad Nasir yang baik dengan Umno akhirnya membawa perpecahan kepada parti agama itu dengan wujudnya Berjasa.

Mungkin menggunakan "teori" itulah menyakinkan Salahuddin yang Pas akan berpecah sekali lagi dalam masa terdekat.

Bagaimana pun ada sangkalan pantas oleh pemimpin kanannya terhadap ramalan Salahuddin itu dengan memberi kenyataan balas sekiranya (benar) Pas berpecah dua tentulah ahli Amanah mencapai 500,000.

Hujah balas pemimpin itu jelas menampakkan kurang matangnya dalam ilmu politik. Beliau seakan tidak faham dalam menganalisa kenyataan Salahuddin itu sekali gus menggambarkan pemimpin Pas itu bukan seorang ahli politik yang mendalami dan masak dengan kerenah politik. Dunia politik tidak boleh diukur dengan teknikal. Mungkin kerana terikut-ikut berfikir secara teknikal pemimpin itu nampak kekok untuk membuat keputusan apabila partinya dalam kekusutan kini.

Salahuddin dalam kenayataan itu tidak pun mengakui ekoran perpecahan Pas itu partinya, Amanah memperolehi untung sehingga menerima separuh daripada keahlian Pas yang didakwa hampir satu juta.

Apa dijadikan asas oleh Salahuddin Pas akan mengalami perpecahan kedua apabila parti itu dilihat rapat dengan Umno yang mana hubungan itu ditentang ahli bawahan kerana perbezaan dasar dan matlamat. Pandangan Salahuddin itu benar kerana kalau Pas tidak bimbang dengan penghijrahan ahli sudah pasti Pas akan mengumumkan kerjasama dengan Umno secara terbuka bukan berjalan secara senyap dan berselindung di sebalik aktiviti sosial. Namun hingga ke hari ini Pas masih berani membuka mulut.

Hakikat hari ini Pas terus bermain di balik tabir dengan Umno dan menggunakan program tertentu bagi menjalin dan merapatkan kerjasama. Cara dan tektik Pas dan Umno itu sudah difahami orang ramai. Terbaharu ialah Himpunan 355 di Padang Merok beberapa hari lalu. Bagaimana pun bagi ahli bawahan masih tetap menganggap ia bukan suatu yang salah kerana masih percaya kepada pengakuan (khilas) pemimpin mereka yang kononnya Pas tidak akan bersama Umno. Sikap ini tidak pelik kerana mereka diindoktrinasikan kesekian lama dipaksakan mengatakan kambing walaupun haiwan itu (burung) berkaki dua dan boleh terbang.

Dalam perkembangan sama bagi menguatkan ramalan Salaluddin itu, beberapa jam lalu telah diviralkan pertemuan Presiden Pas Abdul Hadi Awang dengan seorang korporat yang dikenali sebagai "muncikari" politik di luar negara.

Dipercayai pertemuan itu ada kaitan dengan perkembangan dan suasana politik dalam Pas. Sekiranya pertemuan itu bagi membincangkan soal, ayam itik, atau kambing lembu, tidak perlu ia diheret ke luar negara. Dipercayai selain daripada korporat muncikari itu hadir bersama seorang bloger yang dikenali sebagai tukang pusing isu (Mr Spin) nombor satu.

Khabarnya korporat berkenaan tidak mahu Abdul Hadi rapat dengan Najib dan mahukan kerjasama Pas - Umno diputuskan. Apabila dianalisa tugasan korporat berkenaan ia menunjukkan hubungan Pas dengan Umno sudah terlanjur jauh.

Apakah Pas kini sudah menghamilkan anak luar nikah dengan Umno? Walahu'alam.

Berbalik kepada ramalan Salahuddin tadi mungkin ia bertolak dari pekembangan dan maklumat yang ada dalam pengetahuannya.Tunggu perkembangan lanjut saya mahu jumpa dengan Salahuddin dan membuat sedikit research tentang pertemuan di luar negara itu. [wm.kl.4:38 am 22/02/17]

No comments: