Saturday, February 18, 2017

Keselamatan negara, jaminan yang tidak boleh dipercayai

KENYATAAN

Berkali-kali dan berkali kali kita mendengar jaminan daripada para menteri kita mengenai kesalamatan dalam negeri ini, baik mengenai jenayah, pengedaran dadah, perdagangan manusia, penyongsopan dan sebagainya. Berbueh-bueh sudah mulut mereka menyatakan perkara itu dan menanah pula telinga kita mendengar segala macam jaminan mereka.

Tentang keselamatan ini selalunya yang akan bercakap memberi jaminan dan memberi janji akan memperketatkan tahap keselamatan ialah Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi (foto). Beliau selalu menyatakan tahap keselamatan negara dalam keadaan memuaskan bila ada sesuatu kejadian menyentuh soal keselamatan berlaku.

Dialah yang akan berkokok apabila ada sesuatu perkara bersangkut dengan keselamatan. Suaranya bunyi tegas dan keras tetapi ia tidak sedikit pun menggerumkan. Macam guruh tanpa hujah sahaja...

Kata-katanya seolah-olah kata-kata keramat yang boleh memberi kepuasan kepada kita. Kononnya mengenai keselamatan dalam negara ini tidak ada kompromi hatta dengan sesiapa dan mana-mana pihak sekalipun. Itulah yang cuba ditonjolkan. Namun hakikatnya sangat mengecewakan. Hari ini kita hidup semacam dikejar pelbagai jenayah ringan dan berat. Makin laju dan keras kita berusaha melindungi dari jenayah, makin laju dan keras pula ia mengejar kita.

Pintu keselamatan negara kita senantiasa lolos dan dicerobohi. Bukan sahaja di daerah sempadan, tetapi di lapangan udara juga. Pintu masuk dari udara juga menjadi semakin rompong dan robek. Kegampangan perilaku jenayah berlaku seolah-olah pagar keselamatan negara kita persis pagar Abu Nawas, yang ada turus (taing) tetapi tidak ada kawat dan terbuka tanpa dikunci.

Terbaharu ialah macam mana pembunuh boleh lolos dan melakukan jenayah dengan mudah di lapangan terbang KLIA2 dua tiga hari lalu. Pembunuhan abang tiri kepada Presiden Korea, Kim Jong-Nam adalah antara contoh membuktikan tahap keselamatan kita lemah.

Persoalannya bukan sahaja jenayah tersebut -- pembunuhan boleh berlaku dalam lapangan terbang yang dikenal pasti sebagai kawasan yang kawalan keselamatan amat ketat sekali, tetapi penipuan pasport oleh mangsa itu dipertikaikan. Sebelum ini pihak KDN memberi tahu negara kita mempunyai alat pengesan yang canggih untuk mengesan setiap orang yang masuk keluar ke negara ini. Tetapi kenapa pemalsuan pasport dilakukan oleh mangsa itu gagal dikenal pasti? Apakah kita masih kekal dengan sikap negara mempunyai kemudahan kelas satu tetapi praktisnya kelas 3?

Sehubungan dengan jenayah yang berlaku itu Pakatan Harapan telah mengeluarkan satu kenyataan media mempersoalkan mengenai tahap keselamatan negara kita. Kenyatana yang ditanda tangani oleh Raja Kamarul Bahrin (Amanah), Saifuddin Nasution Ismail (PKR) dan Teresa Kok (DAP), itu mempersoalkan beberapa perkara.

Antaranya ialah, ekoran kelolosan mangsa itu yang menggunakan passport palsu, mereka bertanya berapa banyakkah pendatang asing yang menyusup ke negara ini menggunakan passport palsu?

Berikut adalah kenyatana penuh media berkenaan?

17 Februari 2017

Pakatan Harapan mempersoalkan tahap keselamatan pintu masuk negara yang melibatkan insiden warga Korea Utara

Pakatan Harapan melahirkan rasa kesal ke atas kejadian pembunuhan Kim Jong-Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dan menggesa Zahid Hamidi selaku Menteri Dalam Negeri untuk memberi penjelasan tentang kelemahan sekuriti dalam insiden ini. Dalam pada itu, Pakatan Harapan mempersoalkan beberapa perkara:

1. Bagaimanakah Kim Jong-Nam memasuki Malaysia dengan menggunakan passport palsu bernama Kim Chol? Adakah kedua-dua suspek juga memasuki negara ini dengan menggunakan passport palsu di mana salah seorang daripada mereka menggunakan nama Doan Thi Huong? Jika ya, mengapakah pihak imigresen tidak dapat mengesan perbuatan tersebut? 

Sehingga kini, berapakah pendatang asing yang berjaya menggunakan passport palsu tanpa dikesan oleh pihak berkuasa? Jika pihak keselamatan memerlukan masa sehingga tiga hari untuk mengenalpasti identiti mayat Kim Jong-Nam, adakah rakyat akan yakin mengenai keberkesanan sistem pengimbasan identiti di lapangan terbang negara kita? Pakatan Harapan difahamkan juga bahawa ketika kejadian MH370 pada tahun 2014, dua warga Iran berjaya menaiki pesawat dengan menggunakan passport yang dicuri tanpa dikesan oleh pihak berkuasa.

2. Zahid Hamidi telah memberi jaminan bahawa tahap keselamatan lapangan terbang di negara kita sentiasa berada pada tahap tertinggi. Jika ianya memang berlaku, mengapakah pihak keselamatan lapangan terbang tidak bertindak dengan segera untuk menahan kedua-dua suspek sejurus melakukan jenayah tersebut? Malahan, suspek dikatakan mempunyai masa untuk menunggu teksi. 

Pakatan Harapan dimaklumkan bahawa penahanan suspek mengambil masa kira-kira 36 jam hanya selepas media Korea Selatan mendedahkan secara umum. Sebahagian rakyat Malaysia masih mengingati ketika insiden MH370 pada tahun 2014, pihak kawalan trafik udara mengambil masa 17 minit untuk menyedari bahawa penerbangan MH370 telah hilang daripada radar dan empat jam selepas itu untuk melancarkan operasi menyelamat. Kejadian seumpama ini telah membangkitkan persoalan daripada orang awam mengenai keupayaan pihak keselamatan kita untuk bertindak segera sekiranya berlaku ancaman terhadap negara seperti serangan pengganas di lapangan terbang.

3. Adakah Kerajaan Umno BN telah membuat klarifikasi dengan Kerajaan Korea Utara terhadap insiden yang berlaku, sebelum menghantar pulang jasad Kim Jong-Nam ke negara asal? Kejadian pembunuhan ini memburukkan lagi imej Malaysia di mata dunia apabila media-media antarabangsa mendedahkan pelbagai isu hangat yang telah menjejaskan reputasi negara ini. Sekiranya pihak Korea Utara disahkan terlibat dalam insiden ini, adakah Zahid Hamidi akan meminta Kerajaan Korea Utara menjelaskan penglibatan mereka dan memohon maaf kepada Malaysia kerana melibatkan negara kita ke dalam konflik dalaman negara tersebut?

Pakatan Harapan berharap agar pihak berkuasa dapat memberi penjelasan dan menjawab segala persoalan dengan telus, terutama ketika pemerhati-pemerhati antarabangsa sedang menilai reaksi Malaysia dalam menangani isu ini.

Pakatan Harapan

YB Datuk Raja Kamarul Bahrin
Parti Amanah Negara
(AMANAH)

Datuk Saifuddin Nasution Ismail
Parti Keadilan Rakyat
(PKR)

YB Teresa Kok
Parti Tindakan Demokratik (DAP)
[wm.kl.1:23 pm 18/02/17]

3 comments:

Mali Bin Muyung said...

Setuju dgn tulisan penulis
Ada yg mengatakan pembunuhan sengaja d rancang d KL, sebab tahap keselamatan nya yg longgar. Boleh lah letak jawatan skrang kerana gagal bertugas dgn baik.

SolitaireHunter said...

PENUH DENGAN PENAFIAN ! Dakwaan airport kita selamat.. 2 kejadian memalukan berlaku termasuklah kes Duta Seri Langka dibelasah oleh ekstrimist hindu di KLIA.

Kes kubur besar disempadan Malaysia - Thailand sebelumnya telah dinafikan sekeras-kerasnya tetapi selepas itu dijumpai berlaku di sempadan sebelah sini. Kerajaan Thailand telah menangkap seramai 180 orang anggota polis dan tentera yang terlibat dalam salah laku tetapi di Malaysia nampaknya anggota keselematan yang bertugas bersih belaka!

Bosan said...

USA pun siap nak pasang pagar halang org Mexico masuk.