Showing posts with label KENYATAAN. Show all posts
Showing posts with label KENYATAAN. Show all posts

Thursday, August 3, 2017

HARAPAN hantar warkah kepada Agong untuk murnikan perlembagaan

KENYATAAN

Dr Mahathir menunjukkan warkah kepada media.
Para pemimpin Pakatan Harapan (Harapan) tidak pernah berhenti dari terus melakukan aksi dan tindakan untuk menjaga maruah dan kedaulatan negara dari kerakusan penguasa hari ini terutamanya perdana menteri Najib Razak yang banyak bertindak di luar kehuluran perlembagaan untuk kepentingan politiknya. 

Saturday, February 18, 2017

Keselamatan negara, jaminan yang tidak boleh dipercayai

KENYATAAN

Berkali-kali dan berkali kali kita mendengar jaminan daripada para menteri kita mengenai kesalamatan dalam negeri ini, baik mengenai jenayah, pengedaran dadah, perdagangan manusia, penyongsopan dan sebagainya. Berbueh-bueh sudah mulut mereka menyatakan perkara itu dan menanah pula telinga kita mendengar segala macam jaminan mereka.

Tentang keselamatan ini selalunya yang akan bercakap memberi jaminan dan memberi janji akan memperketatkan tahap keselamatan ialah Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi (foto). Beliau selalu menyatakan tahap keselamatan negara dalam keadaan memuaskan bila ada sesuatu kejadian menyentuh soal keselamatan berlaku.

Dialah yang akan berkokok apabila ada sesuatu perkara bersangkut dengan keselamatan. Suaranya bunyi tegas dan keras tetapi ia tidak sedikit pun menggerumkan. Macam guruh tanpa hujah sahaja...

Saturday, August 13, 2016

Syukur misi kemanusiaan, kebajikan dapat diteruskan


KENYATAAN

 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Apabila saya jatuh sakit pada akhir tahun lepas, terfikir kepada saya, apakah segala kegiatan saya akan terhenti? Salah satu kegiatan yang paling diingati ialah menggerakkan misi kemanusiaan dan berkebajikan di kalangan penjengok blog saya dan juga rakan-rakan Facebook.

Sedar atau tidak media sosial menjadi wasilah (instrumen) untuk saya berkolaborasi dengan anda sekalian melakukan misi atau kegiatan itu.

Setiap kali saya menggerakkan misi ini, ia tidak pernah mengecewakan. Para penjengok memberi sokongan dan dokongan padu mengikut kemampuan masing-masing. Paling saya sukai sumbangan dan komitmen itu dibuat dengan seikhlas hati.

Wednesday, December 15, 2010

Ulasan Isu

Pendedahan WikiLeaks:
Percaya Juga Pendedahan Mengenai Najib


SETIUSAHA Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail meminta orang ramai memahami keadah operasi ataupun fungsi laman web bebas WikiLeaks sebelum terus menerima pakai setiap apa yang didedahkah oleh laman berkenaan.

Katanya menerusi kenyataan akhbar yang disebarkan kepada umum malam tadi, WikiLeaks adalah sebuah laman yang memberi ruang kepada orang ramai menghantar maklumat-maklumat sulit yang dirahsiakan dari pengetahuan orang ramai.

Jelasnya, orang ramai bebas untuk menghantarkan apa-apa jenis maklumat, jadi ada maklumat datang dari kajian terperinchi dan ada juga hanya rakaman perbualan di antara ahli-ahli diplomatik.

Mengenai pendedahan maklumat mengenai Malaysia katanya adalah maklumat yang dipetik dari komen-komen pengunjung blog berkenaan.

Misalnya laporan yang dipetik oleh akhbar The Sydney Morning Herald termasuk mengenai penglibatan Anwar Ibrahim dalam kes sodomi adalah dipetik dari komen-komen umum di blog berkenaan.

"Laporan The Sydney Morning Herald ditulis berdasarkan catatan pendapat peribadi ahli diplomat Singapura mengenai jiran serantau di dalam Asean, Jepun, China dan India," katanya.

Untuk memahami aktiviti laman berkenaan dengan lebih dekat lagi bahawa catatan itu adalah pandangan peribadi yang disensasikan, beliau meminta orang ramai meneliti secara keseluruhan maklumat-maklumat lain yang didedahkan oleh WikiLeaks yang terkandung dalam kabel yang sama merakam percakaan peribadi pegawai-pegawai diplomatik Singapura dan tidak kepada isu Anwar semata-mata.

Beliau memberi contoh bagaimana kenyataan atau percakapan Bilahari Kausikan pada satu mesyuarat September 2008 telah memberi tahu Timbalan Setiausaha AS, David Sedney bahawa; "ada kemungkinan besar berlakunya konflik perkauman di Malaysia" yang akan menyebabkan orang Cina akan meninggalkan Malaysia dan menyusahkan Singapura.

Mengenai kepimpinan Barisan Nasional pula, kata Bilhari masalah utama Malaysia adalah tiadanya pemimpin yang berwibawa, Najib perlu menang dalam pertarungan politik untuk mengelakkan didakwa.

Hurai Saifuddin lagi, selain itu percakapan itu juga secara jelas mengaitkan penglibatan Najib dalam skandal pembunuhan perempuan Mongolia, Altantuya Sharibu, dan berpendapat Najib Razak terancam diebabkan kes pembunuhan itu.

Selain itu menurut Saifuddin juga menurunkan contoh satu lagi rakaman menerusi kebal diplomatik mengenai bagaimana Peter Ho pada Mac 2008 telah mengutuk Dr Mahathir Mohamad sebagai melempar batu sembunyi tangan kepada penggantinya, Abdullah Badawi.

Justeru kata Saifuddin kebal sulit yang mengandungi pandangan peribadi Lee Kuan Yew dan perisikan Singapura mengenai fitnah terhadap Anwar Ibrahim peru dilihat di dalam konteks yang sama dan sebetulnya dengan komen-komen peribadi yang menghina semua pihak di Malaysia.

Tegas Saifuffin mengambil pendirian pandangan tersebut - termasuk pendedahan mengenai Anwar yang didedahkan adalah pandangan peribadi individu-individu tersebut yang tidak disokong oleh fakta.

Untuk berlaku adil kepada semua pihak, tegas Ahli Parlimen Machang itu, komen-komen itu perlu dianggap sebagai cakap-cakap kosong dan pendapat peribadi mereka, jika tidak perdana menteri, Najib Razak sendiri yang kena berhempas pulas untuk menjawab dakwaan demi dakwaan yang terkandung dalam kabel sulit yang sama yang mengaitkan beliau dengan pembunuhan Altantuya Sharibu," jelasnya. [wm.kl. 8:30 pm 15/12/10]

Wednesday, August 5, 2009

Kenyataan Penuh Dr Hassan Ali

“KONTROVERSI ISU ARAK DI NEGERI SELANGOR”

PENDAHULUAN

MEMINUM arak ataupun minuman berakohol yang memabukkan merupakan salah satu dosa besar dalam agama Islam. Ia haram diminum samada dalam kuantiti yang banyak ataupun sedikit, samada sipeminum tadi mabuk ataupun tidak akibatnya.
Allah swt berfirman di dalam al Quran, maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. “
(al Maidah: 90).

Nabi Muhammad s.a.w pernah melaknat mereka yang terbabit dengan arak ini iaitu sebanyak 10 golongan melalui sabdanya:

“Rasulullah s.a.w. melaknat tentang arak, sepuluh golongan:
(1) yang memerahnya, (2) yang minta diperahkannya, (3) yang meminumnya, (4) yang membawanya, (5) yang minta dihantarinya, (6) yang menuangkannya, (7) yang menjualnya, (8) yang makan harganya, (9) yang membelinya, (10) yang minta dibelikannya."
(Hadis riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah)

ENAKMEN JENAYAH SYARIAH (SELANGOR) 1995

Oleh itu kerajaan bertanggungjawab memastikan yang rakyat jelata khasnya yang beragama Islam tidak terlibat dalam aktiviti yang membabitkan arak ini tambahan pula di Negeri Selangor, umat Islam di negeri ini adalah tertakluk dan terikat pada Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang berkuatkuasa sejak 22 November 1996 yang telah mengkategorikan meminum dan menjual arak sebagai suatu kesalahan jenayah syariah.

Melalui Enakmen ini di bawah kategori kesalahan minuman yang memabukkan dinyatakan di bawah Seksyen 18 (1) dan (2) iaitu:

(1) Mana-mana orang yang, di mana-mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

(2) Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

INISIATIF MEMBEBASKAN UMAT ISLAM DARI ARAK DI SELANGOR

Diperingkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) contohnya di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berdasarkan sentimen dan tuntutan masyarakat, usaha telah dilakukan untuk memperkenalkan peraturan bagi mengawal penjualan arak ini iaitu di kawasan masyarakat yang majoriti penduduknya beragama Islam. Inisiatif ini turut diambil oleh ahli-ahli majlis di PBT-PBT yang lain di Selangor.

Walaubagaimanapun harus diberi perhatian bahawa segala usaha di atas TIDAK sama-sekali melibat atau membabitkan hak masyarakat bukan Islam di Negeri Selangor. PAS Selangor tidak pernah menuntut agar arak ini diharamkan dijual atau diminum dikalangan masyarakat bukan Islam.

Inisiatif yang diambil adalah untuk membebaskan umat Islam Selangor dari pengaruh dan budaya arak yang haram hukumnya disisi Islam dan bukan untuk menganggu-gugat hak masyarakat yang bukan Islam.

Oleh itu PAS Selangor kesal apabila inisiatif dari tindakan untuk mengawal pengurusan penjualan dan peminuman arak ini dikalangan masyarakat Islam telah dicampuri oleh pihak-pihak yang tertentu. Campurtangan membabitkan insiden di Shah Alam pada 30 Julai 2009 lalu dengan mempertikaikan keputusan pihak PBT dan para pegawai MBSA yang melaksanakan tugas ternyata telah mengingkari saluran-saluran pentadbiran yang sepatutnya.
Malah PAS Selangor mendapat laporan bahawa campurtangan itu (dan beberapa tindakan serupa sebelum ini) telah menganggu dan menjejaskan moral ahli-ahli majlis PBT dan para pegawai serta kakitangan kerajaan amnya.

TUNTUTAN-TUNTUTAN DAN TINDAKAN PAS SELANGOR

PERTAMA: Dengan perkembangan ini PAS Selangor mendesak agar kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB Tan Sri Dato’ Abd Khalid bin Ibrahim agar serius dan menyegerakan garis panduan yang seragam bersesuaian dengan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, untuk digunapakai seluruh negeri Selangor, supaya kontroversi seumpama ini tidak berulang sehingga meresahkan masyarakat Islam di sini.

KEDUA: PAS Selangor turut menggesa agar pemegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dikaji semula berikutan dengan rentetan beberapa peristiwa sebelum ini.

KETIGA: PAS Selangor mengeluarkan arahan kepada seluruh kekuatan parti di negeri ini untuk mengambil langkah-langkah yang wajar dan bersesuaian dengan kedudukan dan jawatan masing-masing agar usaha untuk membebaskan umat Islam dari arak ini dilakukan secara serius dan berterusan, menurut adab, peraturan dan undang-undang yang sedia ada, demi keselamatan dan kesejahteraan seluruh masyarakat dan umat Islam di negeri ini.

KEEMPAT: PAS Selangor akan segera mengemukakan deraf peraturan kecil mengenai penggunaan arak dikalangan masyarakat Islam untuk dikuatkuasa diperingkat PBT-PBT.

KESIMPULAN
Kesimpulannya, PAS Selangor mengesan bahawa keseluruhan rentetan kes-kes ini sesungguhnya berpunca dari kegagalan dan kelemahan pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) Selangor yang telah diberi peluang oleh rakyat untuk mentadbir negeri ini lebih 50 tahun lalu.

Pimpinan Umno Selangor semasa berkuasa dahulu terbukti tidak sama-sekali serius dan jujur dalam menyelesaikan masalah orang-orang Islam termasuklah berhubung penjualan dan peminuman arak ini. Oleh itu PAS kini melalui mandat yang diberikan rakyat kepadanya, bertanggungjawab untuk memperjuangkan isu ini demi kepentingan masyarakat Islam dan seluruh rakyat amnya.

YB DATO’ DR HASAN BIN MOHAMED ALI
PESURUHJAYA PAS NEGERI SELANGOR
4 OGOS 2009

Wednesday, August 27, 2008

Kenyataan Anwar

Kemenangan Di Permatang Pauh, Kemenangan Rakyat

KEMENANGAN ini merupakan saat penentu dan bakal menentukan hala tuju negara ini. Saya berkongsi kegembiraan yang dirasai oleh semua rakyat Malaysia pada hari bersejarah ini. Ianya merupakan kemenangan buat rakyat.

Pada 8 Mac rakyat Malaysia memilih Harapan Baru. Hari ini di saat kita bakal menyambut hari kemerdekaan, rakyat menyahut seruan tersebut. Dengan ini kita merayakan hari kemerdekaan sepertimana pendiri-pendiri negara kita inginkan-sebuah negara dan rakyat yang bersatu.

Berhadapan dengan cabaran yang getir, kita memilih untuk menumpukan perhatian kepada isu yang berkaitan dengan negara ini. Seruan kita agar negara ini bersatu, mulai mengamalkan urus tadbir yang baik dan memperkasakan ekonomi telah menguburkan kempen yang berbaur perkauman, cita-cita individu yang sering mendapat habuan hasil dari penyalahgunaan kuasa dan eksploitasi politik yang berasaskan ketakutan serta penipuan.

Kami telah menjanjikan satu lembaran baru untuk Malaysia dan kami pasti akan melaksanakan janji kami. Kami akan melaksanakan Agenda Ekonomi Malaysia untuk memulihkan keadaan eknomi kita, membasmi kemiskinan dan membantu sesiapa sahaja yang terpinggir tanpa berasaskan kaum.

Kami akan memulihkan intergriti badan kehakiman, memerangi rasuah dan membina sebuah negara yang bersatu. Dan kami akan menjadi sebuah kerajaan yang komited untuk merealisasikan aspirasi rakyat.

Dengan kejayaan 8 Mac dan juga kemenangan malam ini saya berani untuk menegaskan kita mampu bersama-sama menghadapi segala rintangan di masa hadapan. Kami tidak akan menang tanpa dokongan kukuh dari rakan-rakan kami dalam Pakatan Rakyat dan juga sokongan ribuan rakyat Malaysia tidak kira samada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, yang datang ke Permatang Pauh, bekerja keras, memerah keringat serta mengirim doa demi memastikan kemenangan ini.

Saya sangat menghargai keberanian, tekad dan kesungguhan kamu semua; saya mengucapkan tahniah terhadap komitmen saudara semua terhadap prinsip bersama sebuah kemerdekaan, keadilan dan demokrasi. Langkah kecil buat Permatang Pauh hari ini akan memastikan perubahan besar buat Malaysia.

ANWAR IBRAHIM
PERMATANG PAUH,
MALAYSIA,
26 Ogos 2008
[wm.kl 8:45 am 27/08/08]