Wednesday, September 5, 2018

Pas dan Umno serta rakyat Kelantan perlu manfaatkan Husam

ULASAN PAGI

Mereka masih relevan bersatu untuk bangunkan Kelantan.
PELANTIKAN Husam Musa, 59 sebagai ahli Dewan Negara (Senator) membawa erti bukan sahaja kepada parti-parti gabungan Pakatan Harapan (PH) tetapi turut sama memberi erti kepada rakyat Kelantan secara amnya. Walaupun beliau dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong namun beliau tidak boleh diasingkan dengan Kelantan sebab negeri itu tanah kelahirannya. Sedikit sebanyak pelantikan itu ada hubungan dengan Kelantan.


Sudah pasti namanya dicadangkan Perdana Menteri kerana mengambil kira kapasiti itu, beliau asal Kelantan. Walaupun pelantikan Husam itu untuk tidak menyisihkan beliau dari koridor kekuasaan kerajaan Harapan apabila beliau dan partinya kalah dalam pilihan raya lalu, tetapi secara langsung ia dapat juga dimanfaatkan oleh rakyat Kelantan. Baik PH khasnya Parti Amanah Negara (Amanah) rakyat Kelantan juga perlu menjunjung kasih atas perkenan lantikan itu dan terima kasih kepada perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Husam menurunkan tanda tangan
ikrar untuk melaksanakan tugas sebagai Senator.
Sebelum ini Ketua Bersatu Ketereh Dr Radzi Jidin telah dilantik menjadi Senator dan menjadi timbalan menteri Hal Ehwal Ekonomi. Pelantikan Dr Radzi itu sudah dilihat ia sebagai menghormati rakyat Kelantan dan  meletakkan kerajaan sebagai negeri diberi perhatian.

Dengan terlantiknya Husam, ia dilihat kombinasi di antara keduanya menunjukkan kepedulian Dr Mahathir kepada nasib untung rakyat Kelantan sangat tinggi. Demi untuk Kelantan kedua Senator itu boleh bergabung dengan dua senator lantikan kerajaan negeri untuk membawa apa-apa suara daripada Kelantan dan membela untung nasib rakyat Kelantan di Dewan Negara.

Rakyat Kelantan bertuah kerana mempunyai empat anggota Exco kini, dua lantikan kerajaan negeri dua lantik Yang diPertuan Agong. Dengan keanggotaan itu ia sudah cukup untuk mempedulikan nasib Kelantan yang tertinggal sebelum ini kerana perbezaan fahaman politik. Atas kepentingan bersama semua pihak di Kelantan harus mengalu-alukan pelantikan itu dan memberi kerjasama sebaik mungkin.

Aset yang ada kepada Kelantan itu cukup baik untuk dimanfaatkan demi kesejahteraan dan pembangunan Kelantan. Sudah sampai masanya rakyat Kelantan memandang jauh melupai sentimen berasaskan ideologi politik dan menumpukan kepada pembangunan negeri Kelantan. Sudah lama Kelantan dijajah oleh kuasa politik demokrasi berasaskan sentimen kepuakan -- assobiyyah. Perubahan atau momentum baharu politik di Kelantan ini kini sesuai dengan pendekatan baharu Pas yang menggunakan pakai slogan Politik Matang dan Sejahtera. Inilah masanya untuk diprakti serta membuktikan anda pemain politik bijak dan kompeten.

Pendekatan itu pula sesuai dengan aspirasi kerajaan Harapan yang banyak melakukan perubahan, melakukan reform politik dan ingin menguburkan stail dan pendekatan politik masa lalu yang banyak merugikan daripada menguntungkan terutamanya di Kelantan. Politik dan tindakan diskriminasi yang berlaku selama ini perlu dimansuhkan.

Manakala Umno yang mempelopori politik pilihan kasih dan dendam sebelum ini, kini sudah tidak ada kuasa lagi. Umno sudah menjadi kupang tembaga bukan sahaja di Kelantan tetapi di Kuala Lumpur juga. Kekalahan memberi keinsafan mendalam kepada parti Melayu itu. Kekalahan dan tumbangnya kerajaan UBN membawa seribu makna kepada pemain politik dalam Umno yang ego dan sombong selama ini. Takdir malang itu juga molek bagi Umno untuk memperbetulkan pendekatan politik mereka supaya menjadi rasional dan berjalan atas demokrasi tulen.

Memahami situasi hari ini, adalah elok kalau tiga tokoh politik Kelantan masa kini, Ahmad Yakob, Mustapa Mohamed dan Husam Musa bersatu demi Kelantan. Mereka boleh mempraktikan politik matang dan terbuka, politik insaf dan sedar demi rakyat Kelantan. Walaupun mereka dalam kelompok atau parti berbeza tetapi mereka dapat duduk bersama. Apa lagi dilihat kepada gaya dan pendekatan politik mereka tidak berlandaskan emosi ia memberi kesempatan yang baik bagi membina Kelantan baharu dengan kerajaan baru Malaysia.

Kandati pun Umno Kelantan kini bukan dibawah pimpinan Mustapa, namun rakyat Kelantan dari kalangan Umno dan mereka tidak berparti masih melihat Mustapa sebagai pemimpin yang tepat dan berjiwa Kelantan dari kelompok Umno. Kemenangan beliau di kedua kerusi Adun Air Lanans dan Parlimen Jeli dalam Piraum lalu menggambarkan keinginan itu.

Umno dalam usaha untuk kembali semula di masa akan datang dan menyusunkan partinya terkhilaf apabila menukar Pengerusi Perhubungan daripada Mustapa kepada Jazlan Yaakob. Kapastiti baik dari segi pengalaman dan "jiwa rakyat Kelantan" dipunyai banyak oleh Mustapa dan rakyat Kelantan juga serasi dengan beliau. Umno sepatutnya tidak menukar ganti pengerusinya secepat itu. Apa dilakukan itu satu kesilapan.

Apapun Mustapa dan pemimpin Umno lain boleh membantu dari segi pengalaman pentadbiran. Ilmu yang ada kepada Mustapa sebagai menteri lebih 15 tahun sungguh banyak dan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. Husam dan Dr Radzi Jidin boleh menjadi jurucakap dan jambatan menghubungkan Kota Darulnaim dengan Putrajaya. Terutamanya Husam bekas Exco kanan Kelantan yang kini antara arkitek atau konsultans kerajaan Harapan boleh membawa sesuatu bermakna untuk Kelantan.

Manakala Ahmad Yakob sebagai Menteri Besar yang menguasai Kelantan boleh menyediakan prasarana bagi memungkin seberapa banyak pembangunan dapat dibawa oleh Husam ke Kelantan. Cuma Ahmad perlu lebih ikhlas bersedia untuk berkolaborasi dengan kerajaan pusat dan tidak mudah mendengar kepada beberapa kerat anak buahnya yang suka bercakap huduh dan memaki hamun orang.

Jika politik bersama untuk kepentingan Kelantan ini dapat direalisasikan insya-Allah Kelantan akan berubah untuk masa terdekat ini. Kesempatan terbaik untuk para pemain politik membaca arca baharu dalam politik adalah waktu ini. Sesungguhnya pertukaran kerajaan Pusat yang dipegang Umno selama 60 tahun lampau kepada PH bakal menjadi membentuk landskap baharu politik negara yang lebih ceria dan jaya.

Nah semua pihak di Kelantan ambillah kesempatan sebaik mungkin dan sebanyak mungkin. [wm.kl. 8:05 am 05/09/18]

No comments: