Wednesday, August 21, 2019

Mengenali ciri-ciri pemimpin haprak

ULASAN

SEMASA berucap menggulung konvensyen Kepemimpinan Berhikmah, baru-baru ini terluncur gesaan oleh Anwar Ibrahim agak menolak pemimpin Melayu haprak

Menurut Kamus Dewan;  Haprak, membawa maksud kata-kata makian untuk seseorang. Ia tidak mempunyai pengertian khusus, mengenai cacian itu tetapi berbentuk umum. Haprak itu membawa konotasi buruk, kotor, cemar dan busuk, tidak berguna.

Kata-kata itu bersifat hembuan untuk menggambarkan betapa buruknya sesuatu itu dan kalau ia rangkaikan dengan pemimpin bermakna pemimpin itu tidak boleh dipakai.

Kata-kata dan percakapan pemimpin sebegitu perlu ditolak dan jangan dipercayai. Ia tidak layak lagi untuk diberikan peluang meneruskan kerja kepemimpinannya.

Anwar semasa menghemburkan kata-kata itu beliau tidak memberi contoh atau nama pemimpin Melayu yang dikategorikan dalam pengertian haprak itu. Kalau beliau menyebut dapat sama-sama kita mengenali dan mengetahuinya serta dijadikan model pemimpin Melayu yang haprak.

Justeru apa yang boleh kita faham dan mengenali siapa pemimpin haprak itu atau golongan mana, ialah dengan kita memahami erti haprak itu sendiri. Kita bedah perkataan haprak itu nescaya akan ada dan terkeluarlah pemimpin demikian.

Jadi berdasarkan pengertian Kamus Dewan, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Edisi ke Empat 2005 saya boleh menghuraikan begini mengenai haprak dan untuk mengenali pemimpin haprak, sebagai ia sesuatu yang tidak berguna, busuk maka pemimpin haprak itu bolehlah digolongkan dalam beberapa ciri-ciri berikut:

1. Mereka yang tidak ada wibawa; wibawa ini termasuk lemah ilmu dunia dan akhirat. Dalam konteks kepimpinan lemah dan cetek ilmu politik. Sebagai orasng Melayu tentulah ia terkait langsung dengan ilmu agama. Dari segi siasah di negara ini yang masyarakatnya majmuk dia dangkal peranan dan hubungan kaum di negara ini.

2. Mereka yang tidak ada integriti, tidak amanah tidak bertanggungjawab dan malas berfikir dan merancang untuk negara. Mereka menggunakan kuasa yang diberikan untuk kepentingan diri dan tidak mempedulikan rakyat. Bila disebut tidak amanah bukan sahaja kerana terlibat dengan rasuah, merompak dan menyangak wang negara tetapi tidak menjaga harta benda negara juga.

3. Sebagai pemimpin Melayu, mereka tidak menjaga kepentingan Melayu dan agamanya sebaik mungkin dan sepatutnya. Mereka memungkiri dan mengkhianati apa yang dijanjikan kepada rakyat seperti mana tertera dalam manifesto.

4. Mereka yang hipokrasi, bercakap lain berbuat lain. Dalam konteks agama mereka bercakap dan berhujah mengunakan Quran dan hadith mengambil contoh dan tauladan kisah-kiasah sahabat dan para wali dengan niat untuk mengabui mata rakyat tetapi tidak sedia untuk mempraktikannya. Mereka hanya tahu berkata-kata dan berpesan untuk orang tetapi bukan untuk diri sendiri.

5. Pemimpin malas dan kosong, yang bercakap tanpa fakta dan dalil dan tahu mengeksploitasikan semua perkara kerana kepentingan politik, tanpa mengambil kira halal haram, haq dan batil. Mereka ini juga yang malas dan lembab mengisi diri dengan ilmu.

6. Pemimpin yang lembab dan babil untuk tidak mendengar nasihat dan penuh keegoaan kononnya dialah serba pandai dan terbaik. Tidak mahu berkonsultasi dan berintraksi dengan golongan di luar jabatan mereka untuk mencari solusi dan idea tambahan baik memperbaiki pentadbiran.

Itulah antara ciri-ciri pemimpin yang boleh dikategorikan sebagai haprak yang perlu ditolak dari kaca mata saya. Kesimpulannya mereka jadi haprak, kerana tidak berpekerti, tidak bersaksiah, berakal budi dan cemar moral.

Jadi pemimpin Melayu jenis demikianlah yang disarankan agar ditolak dan tidak dipercayai. Sudah tentu jika mereka diberi peluang dan kuasa mereka tidak akan melaksanakan apa dikehendaki itu. [wm.kl.7:22 pm 21/08/19]

No comments: