Tuesday, July 28, 2020

Pas akan jadi parti besar kalau bergabung dengan Amanah

SESUDAH SUBUH

Khalid Samad.
MENARIK unjuran dibuat oleh Khalid Samad [foto] tentang keupayaan dan kejayaan Pas yang lebih besar dalam pilihan raya lalu sekiranya dalam pilihan raya lalu Pas kekal dalam Pakatan Rakyat (PR) dan tidak berpecah sesama sendiri.  

Menurut Khalid kalau Pas tidak meninggalkan Pakatan Rakyat (PR),  tidak mustahil parti agama itu memperolehi lebih 40 kerusi parlimen dan harapannya untuk meletakkan suara Melayu 2/3 di parlimen sudah tercapai.

Unjuran itu berdasarkan sekiranya dicampurkan kerusi milik Pas (18) dengan kerusi milik Amanah (11), Pas akan mempunyai 29 kerusi di mana angka itu boleh bertambah hingga 40 apabila ada beberapa kerusi kalau tidak berlaku pertarungan sesama sendiri di antara Pas dengan Amanah kerusi itu akan menjadi milik Pas atau Amanah.
Bukan itu sahaja kata Khalid sekiranya Pas kekal dalam PR dengan konsep Pas for All yang dibawa almarhum Tokguru Nik Aziz Nik Mat harapan untuk melihat suara Melayu - Islam menguasai 2/3 dalam parlimen sudah tercapai.

Selain itu katanya, Pas juga tentu sudah memiliki atau akan berada dalam kerajaan-kerajaan negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Kedah selepas pilihan raya lalu, disamping mengekalkan Kelantan dan Terengganu.

Khalid membuat unjur dan ulasan itu ketika menjawab pencelahan wakil Pasir Mas (Fadzli Shaari) ketika beliau membahas titah ucapan di raja di parlimen yang bertanya Khalid bertujuan untuk tempelaknya berhubung konotasi khianat berbunyi; "apakah tindakan 18 orang pimpinan Pas yang kalah dalam pertandingan dalam muktamar bertindak keluar parti kemudian tubuh Amanah bukan satu pengkhianatan?"

Khalid adalah antara 18 orang pemimpin Pas yang digolongkan sebagai pro-lib yang keluar Pas dan menubuhkan Amanah.

Khalid menjawab pencelahan itu memulang paku buah keras kepada wakil Pasir Mas itu dengan berkata yang melakukan pengkhianatan sebenar adalah Pas kerana telah meninggalkan Pakatan Harapan.

Unjuran dibuat Khalid itu ada kebenarannya. Apa yang berlaku satu kerugian kepada Pas keseluruhannya dan tindakan Pas meninggalkan PH dilihat sebagai undur ke belakang. Oleh sebab itu ia patut dinilai semula oleh Pas terutamanya. 

Sekiranya Pas bercita-cita untuk mewujudkan 2/3 suara Melayu - Islam dalam parlimen, maka Pas perlu mengekalkan status dan kedudukannya dalam PH seperti sebelum ini. Cara sekarang ini ialah kembali ke dalam PH dan bekerjasama dengan Amanah.

Sebenarnya tidak ada masalah dan halangan kalau Pas ingin berada semula dalam PH. Dengan bergabung dengan Amanah yang kini merupakan parti gabungan PH, secara automatik Pas akan berada sama.

Untuk mencapai unjuran dan kecemerlangan Pas seperti digambarkan Khalid itu, parti itu perlu menilai kembali hal ini dan berjiwa besar. Bergabung dengan Amanah adalah lebih baik daripada Pas bermuafakat dengan Umno. Setidak-tidaknya Umno menjadi musuh Pas sejak lebih setengah abad, sementara Amanah Pas baru bermusuh tidak sampai empat tahun. 

Pas perlu ingat dan sedar Umno telah ada rekod mengkhianati Pas sebelum ini dan apa yang berlaku itu tidak mustahil ia akan berulang sekali lagi. 

Rasa takut takut dan benci Pas kepada DAP yang ada sama dalam PH sebenarnya bukan isu atau sesuatu yang perlu ditakuti, bila-bila masa Pas dapat mengatasi kebimbangan yang sengaja diada-adakan itu sekiranya Pas bijak berpolitik. 

Seperkara yang Pas kena akui bahawa belum ada sejarah yang DAP melakukan pengkhianatan kepada Pas seperti mana rekod yang telah dilakukan Umno. Apa yang berlaku Pas hanya mencipta bayangan ketakutan dan kebimbangan kepada DAP tanpa asas yang kukuh. 

Selain itu Pas kena menerima hakikat dan perlu mengambil peluang, kalau bersama PH dan ada sama DAP, DAP bukan menjadi penghalang kepada Pas untuk muncul sebagai sebuah gabungan kuat sehinggalah untuk menjadi parti utama, kerana DAP tidak mempunyai peluang untuk menguasai pakatan seperti mana Pas dengan kedudukannya sebagai parti yang telah dikuncikan dengan persepsi ia sebuah parti Cina sedangkan negara ini pula dianggap sebagai Melayu adalah tuannya. 

Masa masih ada kalau Pas sedia untuk memperbetulkan perjalanan politiknya. Sekali saya katakan Amanah juga tidak menolak kalau Pas sedia bergabung dengannya bagi memperkuatkan politik Islam realis yang berasaskan Melayu. [wm.kl.10:07 am 28/07/2020]

No comments: