Sunday, July 5, 2020

Politik Malaysia macam Lego

SESUDAH SUBUH

BERMULA dengan tragedi rampasan kuasa atau penggulingan kerajaan sendiri pada 25 Februari lalu politik Malaysia jadi cacamerba. Bersimpang siur dan porak peranda, tidak tahu hujung pangkal. Sudah tidak ada hukum dan undang-undang lagi. Demokrasi sudah jadi tidak bermoral "bercapuah" dengan najis jahiliah.

Moral dan peraturan bukan lagi satu perkara yang dipatuhi, dihormati dan dibanggai lagi.

Maka politik Malaysia jadi seperti Lego atau Puzzle yang bertaburan, kucar kacir tanpa menampakkan apa-apa bentuk atau lembaga. Politik kita hilang rupa diri dan miskin dengan tatabudi dan akhlak. Sebagai Lego atau Puzzle yang berkecamuk ia perlu disusun atur kembali agar mewujudkan satu binaan atau bentuk yang indah dan cantik, baharulah Lego dan Puzzle itu bermakna.

Mungkin kita semua tahu apa itu Lego atau Puzzle, sejenis permainan (game) dimainkan kanak-kanak. Sesudah ia dibentuk dan direka menjadi apa-apa lembaga atau benda yang diingini, atau setelah selesai menyusun kepingan gambar lalu membentuk gambar lengkap ia kemudian dirombak kembali, dikucar, digaul buahnya kemudian dibina semula. Kalau permainan Lego atau Puzzle boleh mengasah otak dan membentuk kreativiti di kalangan kanak-kanak, tetapi tidak begitu dengan Lego dan Puzzle politik Malaysia, ia memual dan meloyakan.

Sebagai Lego parti-parti politik yang ada bolehlah dianggap sebagai bongkah-bongkah atau pun kotak-katak Lego yang berpecah dan berceperian dimana ia mempunyai fungsi tersendiri jika disambung dengan bongkah yang sepadan dengannya. Seorang penyusun Lego yang reti dan mahir akan membentuk sesuatu yang cantik dan menarik. 

Sebaliknya kegagalan memilih dan menyusun bongkah atau kotak-kotak kecil menyebabkan tidak terbentuk apa-apa lembaga atau benda yang diingini itu. Kewujudan Lego dalam erti kata sebenarnya tidak kesampaian. Jika diibaratkan kepada Puzzle pula ia tidak terbina gambar sebenar yang diingini. Gagal dan kecewa.

Pendeknya permainan Lego dan Puzzle menguji minda dan mencabar kreativiti seseorang, hasilknya nanti dapat dilihat sejauh mana kreativiti dan kecekapannya.

Lego dalam politik bongkah atau kotak-kotaknya adalah parti politik. Saiz dan bentuk bentuk hampir sama sahaja dan bersifat fleksible. Daripada bongkah inilah disusun menjadi bongkah besar. Bongkah besar adalah parti-parti yang bergabung membentuk kerjasama atau pun pakatan.

Pakatan Harapan (PH) adalah bongkah besar yang dibentuk dengan empat buah bongkah-bongkah kecil kecil; PKR, DAP dan Amanah, serta Bersatu. Bongkah besar itu sudah menunjukkan keberhasilan apabila dapat membentuk kerajaan dalam Piraum ke 14 lalu.

Bagaimana pun disebabkan ada bongkah kecil dan serpihan retak, menyebabkan bongkah besar bernama (PH) itu berkecai menyebabkan kejayaan membina kerajaan PH berkecai. Ia dihancurkan oleh serpihan daripada bongkah besar yang bersatu itu. Keindahan dan kehebatan bongkah bernama PH yang sedang dinikmati rakyat jahanam kerana serpihan bongkah berkenaan dan ada bongkah yang memencilkan diri.

Bongkah besar kedua adalah BN yang dibentuk terdiri daripada Umno, MCA, MIC dan 10 buah parti lain. Bagaimana pun bongkah bernama BN itu akhirnya relai dan kalah dengan bongkah PH apabila bentuk atau objek yang dipertahankan selama ini (kerajaan) tumbang dan dihancurkan oleh bongkah PH. Kehancuran bentuk dibina BN itu menyebabkan bentuk itu hampir-hampir musnah kesemua sekali.

Manakala selain daripada dua bongkah besar PH dan BN itu ada bongkah-bongkah kecil yang bersendirian dan terpencil, (parti politik) seperti Pas, GPS di Sarawak dan Warisan di Sabah. Bongkah ini tidak berdaya untuk mewujudkan lembaga atau bentuk sendiri yang hebat, tetapi ia boleh menjadi penampalan kepada bongkah-bongkah yang lebih besar daripada mereka.

Pas dan Warisan dan GPS hanya boleh membentuk lembaga atau bentuk bersifat kecil sahaja, (memerintah kerajaan peringkat negeri) bukan hebat seperti bongkah dibentuk BN dan PH.

Setelah pecah atau hilangnya kerajaan PH atau bongkah besar, maka bongkah atau kotak-kotak Lego kini berkucar-kacir.  Begitu juga bongkah-bongkah yang menyatu membentuk bongkah bernama BN dahulu. Perpecahan itu menjadi bongkah besar seperti PH dan BN tetapi ia tidak sekuat dan sehebat sebelum ini.

Setelah bongkah PH pecah kini wujud bongkah baru PN sebagai gantiannya hasil daripada pengabungan dua bongkah serpihan dari PH. Bongkah itu adalah Bersatu dan serpihan dari bongkah PKR. Tetapi kewujudan bongkah PN belum rasmi dan ia masih baru untuk dilihat dan dinilai sejauh mana ketahanan dan artistik bongkah berkenaan. Sebaliknya bongkah bernama Umno dan Pas sudah menyatukan diri membentuk bongkah Mufakat Nasional, (MN).

Bongkah serpihan daripada bongkah PH itu kini sedang mencari keserasian untuk menempel di bongkah MN. Timbul persoalan pula siapakah yang akan mendominasi bongkah MN itu nanti apakah parti yang mempunyai banyak kerusi atau parti yang ketuanya menjadi perdana menteri? MN kini mengalami kesamaran bentuk yang pasti. 

Dengan perkembangan hari ini, bongkah-bongkah politik Malaysia yang berpecah dan tidak ada kesatuan bongkah yang kuat, menyebabkan ia jadi semakin menarik dan suspen. Apa yang menjadi pertanyaan, bongkah manakah yang akan membentuk suatu objek cantik, berkuasa kelak. Atas prinsip politik itu ibarat Lego atau Puzzle yang dikucar-kacirkan, maka ia memerlukan penyusunan semula. Mana-mana pihak yang kreatif dan bijak menyusun bongkah-bongkah bertaburan itu merekalah akan berjaya membentuk lembaga dan wajah tertentu.

Atas sifat semua bongkah ada nilai tersendiri, dan sifat fleksible dan tidak ada jaminan pembentukan bongkah sebelum ini sesuatu yang rigid atau tetap, maka kesempatan dan ruang terbuka kepada semua untuk bersatu di antara satu sama lagi bagi membentuk lembaga atau wajah yang diingini nanti. Semua bongkah tidak terikat dengan apa-apa syarat ataupun rukun mereka akan wajib atau kena melekat dengan mana-mana bongkah tertentu sahaja.

Misalnya bongkah bernama MN, yang terbentuk hasil tangkupan antara bongkah Umno dengan Pas, tidak semestinya ia kekal dan menjadi bongkah politik yang padu. Ia boleh berpecah dan relai bila-bila masa sahaja. Bongkah MN itu boleh rosak atau menjadi cacat apabila bongkah bernama Bersatu dan serpihan daripada PKR cuba hendak menempel di situ.

Tanpa bijak dan menemui satu idea kreatif untuk menyusun bongkah-bongkah berkenaan menyebabkan bongkah MF itu boleh relai sebelum dipamerkan.

Demikian juga dengan bongkah PH. Selepas bongkah itu hilang bentuk, hilang kerajaan menyebabkan timbul pertikaian sesama sendiri kononnya kedudukan bongkah-bongkah tertentu pada posisinya sebelum ini perlu diubah dan diganjakkan. Berlaku pergaduhan sesama sendiri apabila para pemainnya cuba mengemukakan idea baru bagi mengganti atau mengembalikan bentuk yang hilang 25 Februari lalu.

Mengenangkan bahawa politik Malaysia seperti Lego dan Puzzle itu maka ia masih berselubung dalam persoalan panjang apakah bentuk yang bakal dihasilkan kelak. Tidak ada siapa dapat membuat ramalan dan kepastian apakah bongkah-bongkah yang dilihat bersatu kini akan kekal dan menjelmakan gambar dan bentuk yang indah. Apakah bongkah PH akan kekal dengan kesatuan kini yang akan mempamerkan bentuk indah, atau ia terganggu dengan serpihan atau habuk Lego yang bernama Bersatu yang ada?

Atau apakah bongkah MN yang kini menjadi asas atau geragang kepada pembentukan lembaga atau gambar yang akan disiapkan nanti dengan kehadiran bongkah bernama Bersatu dan serpihan PKR mampu menzahirkan sebuah gambar yang indah berstruktur kukuh. Atau macam mana?

Ataupun bongkah-bongkah yang kini cuba menempel dengan bongkah MN akan menukar akal melekat kepada bongkah PH, atau pun bongkah-bongkah dalam PH akan mencari ruang dan sudut lain bagi bergabung dengan mana-mana bongkah MN? Tidak siapa dapat menduga dan meneka. Semua boleh berlaku dan boleh jadi atas prinsip bongkah-bongkah Lego itu bebas disusun dan diatur menurut citarasa dan idea.

Cuma kalau ia disifatkan sebagai puzzle, sekiranya perletakan kepingan gambar itu tidak sekata dan tepat pada kedudukannya maka ia tidak akan menjelmakan gambar asal yang sepatutnya. Salah meletakkan kepingan Puzzle itu ia bakal memberi kesan gambar yang huduh dan jijik. Misalnya kalau kepingan atau cebisan gambar kepala diletakkan di bahagian punggung, maka ia akan jadi gambar atau hasilnya sebuah lukisan yang sangat buruk. Apa lagi kalau bertukar cabisan gambar kepada anjing diletak di ruang kepala kucing.

Nah, hari ini kerana kedudukan bongkah lego masih belum tersusun kemas dan bersepahan sukar untuk kita dapat menyaksikan sebuah bentuk indah dan menarik yang akan menjelma nanti. Yang jelas dan nyatanya politik kita persis Lego sebuah game dan permainan menarik. [wm.kl.7:09 05/07/2020] 

No comments: