Thursday, July 8, 2021

Kerajaan Perikatan Nasional tumbang?

SUSUPAN SUBUH
(Ulasan Pertama)

Zahid : Penamatan sokongan
serta merta. 
APABILA Umno telah menarik sokongan kepada Mahiaddin Md Yassin dan kerajaan PN, secara
automatik kerajaan PN tumbang kerana kerajaan PN tidak lagi mempunyai majoriti. 

Hisabnya mudah untuk mengatakan Mahiaddin telah hilang sokongan dan kerajaannya tumbang kerana kerajaan PN itu dibentuk dengan sokongan kerusi terbanyak daripada Umno, yang mempunyai 39 kerusi. 

Semasa proses penubuhan kerajaan PN yang dibina atas semangat "pencurian" dahulu, Mahiaddin diyakini mendapat sokongan 115 ahli Parlimen. 

Jumlah itu terhimpun daripada anggota MP Umno 38 ketika itu, PPBM 31, UMNO 38, Pas 18, MCA 1, MIC 1, PRS 2, SUPP 1, PDP 2, PBB 13, PBRS 1, PBS 1, STAR 1, dan 4 bebas yang jumlah kesemuanya 116. Seorang ahli MP Umno meninggal, jumlah terkini 115.

Apabila 38 ahli Parlimen Umno menarik sokongan yang tinggal bersama Mahiaddin kini 77 kerusi.

Dipercayai tidak semua 38 ahli Parlimen Umno menarik sokongan. Masih ada tersisa mereka yang bersama Mahiaddin dipercayai seramai 11 orang. Ini bermakna tambahan suara kepada Mahiaddin jadi 88, masih belum tidak mencukupi. Belum nyata lagi sesiapa 11 orang ahli Parlimen Umno yang dikatakan meneruskan sokongan kepada Mahiaddin.

Boleh jadi mereka yang ada jawatan selaku menteri dan timbalan menteri dalam kerajaan PN. Seramai 14 ahli Parlimen Umno yang dilantik menjadi menteri dan timbalan menteri.

Semasa membuat kenyataan menarik sokongan, Zahid tidak memperinci siapa-siapa yang menarik diri, beliau membuat kenyataan secara umum sahaja. Dalam kenyataan itu juga tidak ada arahan agar ahli Parlimen yang memegang jawatan meletak jawatan masing-masing. 

Terdapat sembilan 14 ahli Parlimen Umno dilantik jadi menteri dan timbalan menteri. 

Namun kenyataan itu sudah cukup untuk menyifatkan bahawa Mahiaddin sudah hilang sokongan dan kerajaan PN sudah tumbang. Mengikut amalan biasa, apabila kerajaan sudah tumbang, tidak ada makna lagi sokongan mereka itu. 

Hari sibuk.

Sepanjang hari ini adalah hari paling sibuk kepada parti-parti politik. Semua parti akan bermesyuarat sebagai reaksi kepada keputusan Umno itu.  Parti yang masih belum didaftar juga akan mengadakan mesyuarat. Sementelah pula dengan parti Pas, MCA, MIC, Warisan. Parti dalam gabungan PH, Keadilan, DAP dan Amanah serta parti di Sarawak juga turut mengadakan mesyuarat.

Sesungguhnya keputusan Umno itu memuncak krisis politik negara ini yang bermula sejak lebih setahun lepas apabila kerajaan PH dirampas. Kemuncak kepada krisis ini memungkinkan rakyat negara ini akan menyaksikan pembentukkan kabinet fasa ketiga dalam parlimen ke-14. 

Mauduk besar yang ditunggu hari ini apakah Mahiaddin akan menghadap Yang di-Pertuan Agong memaklumkan perkembangan berlaku ekoran keputusan Umno itu. Atau beliau akan membisu seribu bahasa. Yang terbaik baginya ialah menulis surat meletak jawatan. Mesej jelas daripada keputusan dibuat oleh Umno itu meminta agar beliau berundur dengan cara terhormat.

Persoalan yang menjadi tanda tanya seandainya Mahiaddin letak jawatan siapakah yang akan dilantik menjadi perdana menteri? Kalau menurut versi Umno parti itu mahukan perdana menteri sementara sehingga masalah pandemik selesai kemudian akan menasihat Yang di-Pertuan Agong supaya parlimen dibubarkan. 

Umno telah membuat penegasan seperti mana diumumkan Zahid Hamidi, mereka tidak bersedia menyokong Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri. "Tidak akan menyokong sebarang usaha untuk mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ataupun kerajaan ditunjangi DAP - PH (DAP - PH Lead Government). Penegasan itu sesuai dengan keputusan Perhimpunan Agung Umno yang lalu.

Apakah pernyataan itu membawa maksud Umno hanya tidak akan bekerjasama dengan DAP, tetapi sedia untuk bekerjasama dengan PKR dan Amanah? Cukupkah majoriti kalau Umno hanya bersama PKR dan Amanah untuk ditubuhkan kerajaan?

Umno ada 27 kerusi dicampur dengan Keadilan 35, Amanah 11 dan Warisan 8 baru berjumlah 81 kerusi. Jumlah itu masih belum mencukupi. Melainkan DAP yang mempuynyai 42 kerusi sedia membantu, barulah kerajaan itu nanti yang berwibawa dari segi suaranya berjumlah 123 kerusi.

Atawa kekurangan kerusi itu akan ditopak oleh Pas yang mempunyai 18 kerusi? Mahukah dan sanggupkah Pas melakukan pengkhianatan kali kedua? 

Yang jelasnya Umno tidak berkeupayaan untuk membentuk kerajaan atau menamakan siapa perdana menteri dari kalangannya jika tidak berkolaborasi dengan parti komponen PH.

Satu lagi persoalan tergantung di kepala, siapakah yang akan jadi perdana menteri. Zahid sudah menyuarakan kehendak partinya mereka tidak mahu kepada Anwar. Apakah ia bersyarat asalkan jangan ada DAP. Dan sanggupkah pula Anwar untuk mengenepikan begitu sahaja DAP? Atau DAP rela berkorban berada di luar kerajaan tetapi menyokong kerajaan?

Semuanya masih kabur dan berteka-teki mengenai kabinet fasa ketiga parlimen ke-14 ini.  Jika ini berlaku Malaysia akan mencatat sejarah mempunyai tiga kerajaan dalam satu penggal parlimen. Atau ia tidak sempat jadi?

Ataupun orang dilantik jadi PM nanti, bukan daripada dominan parti. Kalau mengikut Zahid PM itu hendaklah bersifat sementara dilantik khas untuk menyelesaikan Covid. Apakah dia akan jatuh kepada Dr Mahathir Mohamad. Atau kepada Tengku Razaleigh Hamzah? Atau dengan menaikan timbalan perdana menteri baru, Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri?

Jikalah bukan Anwar jadi perdana menteri puncak krisis politik itu belum ke kemuncak lagi.

Akhirukalam semua masih kabur dan penuh dengan spekulasi. Apakah Yang diPertuan Agong menggunakan budibicara dan kuasa yang ada kepadanya mencadangkan diadakan kerajaan perpaduan yang membabitkan semua parti? 

Atau pun apabila tidak ada formula Parlimen dibubarkan. Kita tunggulah perkembangan selanjutnya. [wm.kl. 6:33 am 08/07/2021]

No comments: