Thursday, March 21, 2024

Usah busukkan nama kerajaan Madani

 SESUDAH SUBUH

Anwar dan Farhah, jangan tunjuk saja..
BEKAS setiausaha politik kepada Anwar Ibrahim yang kini dilihat menyepikan diri dari politik dan
menumpukan kedunia perniagaan, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dilaporkan tidak seronok dengan tindakan bekas Ketua Penerangan Umno Isham Jalil yang membuat kesimpulan yang beliau merupakan pemegang saham utama sebuah kontrak kerajaan.

Lantaran itu Farhash memberi tempoh tujuh hari kepada Isham agar menarik balik kenyataannya yang dibuat dalam media sosial. 

Orang kuat Najib Razak itu juga dituntut membuat permohonan maaf secara terbuka kerana kenyataannya itu dianggap fitnah oleh Farhash? 

Menjelaskan dalam satu kenyataan, Farhash meminta agar Isham menarik balik kenyataan yang dibuat menerusi Tiktok itu. Sehubungan itu surat tuntutan telah dihantar kepada Isham petang semalam, demikian laporan dipetik.

Isham dipercayai membuat andaian itu berdasarkan selepas Farhash memperolehi kepentingan tidak langsung sebanyak 15.9% (16.1 juta saham) dalam penyediaan khidmat teknologi untuk Jabatan Imigeresen.

Khamis lepas, Bursa Malaysia telah mengumumkan HeiTech Padu Bhd mendapat lanjutan kontrak bernilai RM13.1 juta untuk perkhidmatan menyelenggara sistem imigresen MyIMMS.

Ekoran sudah kecur mengenai hal itu Farhash Wafa telah membuat penjelasan pegangan saham yang dimiliknya dalam HeiTech Padu Bhd melalui syarikat Rosetta Partners Sdn Bhd yang dimilik besama  Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V. Bagaimana pun menurut Isham dalam pemfailan di Bursa Malaysia tiada kedapatan nama Sultan Kelantan.

"Untuk rekod Rostta Partners Sdn Bdh adalah milikan penuh syarikat Mfivesouthses Sdn Bhd yang mana ia dimilik secara bersama oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammads V dan saya, bukannya milik saya sendiri seperti didakwa segelintir ahli-ahli Parlimen pembangkang," demikian jelas Farhash Wafa ketika merespon persoalan pemilikan saham itu olehnya dari kalangan ahli parlimen. 

Apa yang hendak dijelaskan oleh Farhash Wafa disini, bahawa pemilikan saham berkenaan adalah bukan bersendirian melainkan bersama dengan seorang Sultan. Mungkin beliau tidak mampu untuk membelinya secara solo sehingga perlu berpakat dengan sultan. Tetapi apa dipertikaikan di sini termasuk oleh Isham Jalil ialah kenapa ia dianugerahkan kepada Farhash? Farhash dilihat istimewa di sini.

Pembabitan nama Sultan Kelantan itu tidak akan menghentikan tundingan orang terhadap pemilikan saham itu oleh Farhash Wafa ianya tiada kaitan dengan perdana menteri. Selaku bekas setiausaha politik, beliau tidak boleh senang-senang untuk mengatakan beliau sudah "senjang" daripada Anwar.

Sekiranya Isham Jalil dan mana-mana pihak mengaitkan pemilikan saham itu ada kena mengena atau atas restui perdana menteri ia tidak pelik dan aneh. Itu adalah bukan luar biasa apabila kita membuka kitab-kitab pentadbiran negara demokrasi termasuk negara ini. 

Dalam hal ini suka atau tidak, pemilikan saham oleh Farhash itu sama ada ia direstui atau tidak oleh Perdana Menteri, namun ia tetap akan dikaitan dengan perdana menteri kerana beliau pernah menjadi orang penting kepada Anwar sebelum ahli Parlimen Tambun itu menjadi perdana menteri.

Sudah pasti kalau pun Farhash tidak mengetahui jalan untuk ke Puterajaya untuk "merukah" (panjat) pejabat Anwar Ibrahim, tetapi dia pasti masih ingat dengan baik, liku-liku dan jalan untuk ke pejabat Anwar semasa di Bukit Gasing, Petaling Jaya dahulu.

Pemilikan saham oleh Farhash itu walaupun bersama Sultan Kelantan sedikit sebanyak ia tetap memberi bau tidak baik kepada kerajaan Madani pimpinan Anwar hari ini. Anwar sendiri memerlukan penjelasan tuntas untuk menolak tanggapan itu yang tentunya akan dikembangkan oleh pembangkang. Yang sangat-sangat diwaspadai jangan kerajaan Madani ini juga akan disamakan dengan kerajaan-kerajaan sebelum ini. 

Jika sebelum ini dunia politik memberi persepsi buruk kepada bekas-bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, Abdullah Badawi, Najib Razak atau Mahiaddin Yassin masing-masing ada "buah", maka Anwar juga dengan apa diperolehi bekas Setiausaha Politiknya itu juga memiliki "buah" tersendiri. Persepsi bahawa Anwar mewarisi permainan dan amalan bekas-bekas PM sebelum ini tidak boleh dihindari.

Apa cara perlu dihentikan persepsi ini untuk menjaga nama baik dan wangi kerajaan Madani dan mengekalkan tatakelola yang baik. Kalau sebelum ini perlantikan Nurul Izzah sebagai penasihat kewangan dipertikaikan hangit sehingga lantikan itu dibatalkan, nah, tindakan sama juga perlu diambil terhadap Farhash oleh Anwar.

Mungkin Anwar tidak perlu membuat arahan kerana pemilikan saham itu tidak merupakan dosa atau melanggari peraturan Bursa Malaysia, tetapi jika Farhash ingin melihat kerajaan Madni ini murni beliau perlu melepaskan pemilikan saham yang diragui ada kena mengena dengan kroni itu. [wm.kl.6:48 am 21/03/2024]



No comments: