Monday, March 17, 2025

Apa yang boleh ditiru daripada DAP?

ULASAN 


Ng Kor Ming, Gobind Signh, Lim Guan Eng
dan Teressa Kok.
PARTI PARTI Melayu baik Umno, Pas, Keadilan dan Amanah wajar mengikut jejak langkah parti DAP dalam melakukan perubahan menyuntik semangat ke dalam parti mereka agar kelihatan subur dan evergreen sepanjang masa dengan menukar dan menyusun barisan kepimpinan mengikut kehendak semasa. 

 

Anggota DAP tidak teragak-agak untuk memberi kesegaran kepada parti itu apabila kepimpinan sedia ada sudah tepu dan dirasakan tidak bergerak seiringan masa mengganti barisan pemimpinnya dengan pemimpin pelapis generasi baru. Keberanian dan tindakan parti itu menyebabkan DAP dilihat sebuah parti dinamik dan progresis. 

 

Menerusi kongres ke-18 Ahad lalu, DAP telah buat perubahan (reform) besar terhadap barisan kepimpinan mereka untuk tiga tahun mendatang 2025 – 2028, dengan bukan sahaja mengenepi dan merehatkan pemimpin veteran atau yang dilihat sudah kehabisan energi dengan membariskan saf kepimpinan baru generasi ketiga G3 yang lebih menyakinkan.


Perubahan itu memperlihatkan DAP bersedia untuk menongkas arus masa depan politik yang kian mencabar dan tidak berpuas hati dengan pencapaian yang ada. DAP sebuah parti yang membuat muhasabah kepimpinannya. 

 

Yang jelas kekuasaan atau dinasti LIM (Lim Kit Sing) yang menguasai parti itu sejak berdekad lalu kini sudah tiada lagi, apabila anaknya yang dianggap sebagai Putra DAP Lim Guan Eng yang bertanding CEC berada di tempat keempat corot dalam pemilihan 30 orang CEC parti itu. Lim menguntip 1,719. 

 

Bukan itu sahaja adiknya, Lim Hui Ying juga turut tewas untuk menganggotai badan eksekutif itu.  

 

Hampir semua generasi kedua G2 yang sebaya dengan Guan Eng sudah terbuang. Setengah daripada mereka mengambil jalan berlalu awal dengan tidak bertanding. Hanya seorang dua sahaja daripada 30 CEC yang terpilih, antaranya Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kuan Yow. 


Sebahagian besar CEC kini dibarisi oleh pemimpin muda generai G3, seperti, Datuk Ng Swee Lim Steven Sim, Hannah Yeoh, Ramkarpal, Syahredzan Johan, Wong Kah Woh, Howard Lee, Vivian Wong, Chan Foong Hin, Arulkumar, Yeong Shefura dan lain-lain.

 

Dengan kedudukan itu hegomoni Lim dalam DAP sudah berakhir. Dalam penyusunan kabinet baru semalam Guan Eng dilantik sebagai penasihat parti. Pelantikan itu dilihat sebagai penghormatan atas jasa-jasanya.

 

Tempat beliau sebagai pengerusi disandang oleh ahli Parlimen Damansara Gobind Singh Deo yang mendapat undi tertinggi 2,785. Manakala tempat Gobid sebelum ini sebagai timbalan pengerusi diberikan kepada ahli Parlimen Telok Intan Ngo Kor Meng yang menjadi regu perubahan bersama Anthony Loke. Loke pula dilantik menjadi Seriausaha Agong untuk penggal kedua. 

 

Penolakan DAP kepada Guan Eng sesuatu yang tidak mengejutkan, dan memberi gambaran parti itu tidak mengamalkan pengkultusan kepada pemimpin mereka. Padahal kalau hendak dikira kepada jasa dan pengorbanan Guan Eng mungkin tidak terlawan oleh pemimpin lain.

 

Beliau pernah dipenjara kerana prinsip perjuangan dan kemanusiaan DAP apabila membela seorang nenek yang cucunya menjadi mangsa kebuasan nafsu manusia politik. Bukan itu saja Guan Eng juga keluar masuk penjara beberapa kali dalam usaha mengarus perdanakan DAP dengan membangkitkan isu-isu sosial dan hak asasi.  

 

Tetapi itu bukan ukuran bagi DAP untuk terus mengekalkan Guan Eng, apabila cara beliau berpolitik sudah tidak sesuai dengan kehendak dan tuntutan semasa terutamanya dalam membina negara bersama kerajaan, maka beliau perlu ditolak.

 

Pembentukan empayar oleh dinasti juga tidak dibenarkan oleh parti itu. Pertuduhannya di mahkamah atas isu rasuah sedikit sebanyak mencacatkannya.

 

Penolakan terhadap Guan Eng dan amnya dinasti Lim itu jelas menunjukkan DAP bukan sahaja menolak politik kronisme dan nepotisme, tetapi juga tidak sedia mengamalkan politik mengkultus atau mendewa-dewa keramatkan pemimpin. Perhambaan politik tidak dibenar berlaku dalam DAP.

 

Selain itu perubahan yang berlaku itu memperlihatkan anggota DAP juga tidak menilai hubungan persahabatan bagi mengekalkan seseorang pemimpin berlapuk dikerusinya. Apa lagi untuk melantik mana-mana pemimpin yang sudah tidak popular untuk menjadi ketua, itu bukan budaya DAP.

 

Bagaimana pun apabila DAP merehatkan Guan Eng bukan bermakna mereka melempar terus putera DAP itu, namun sebagai tokoh hebat dalam DAP, Guan Eng tetap akan disanjung dan dihormati seperti mana diperkatakan Anthony Loke bahawa DAP tetap akan mengingat akan jasa dan pengorbanan Guan Eng untuk DAP.

 

Ironinya, Guan Eng pula dalam kenyataan selepas penolakannya, merayu agar semua anggota DAP merapatkan syaf dan memberi dukungan penuh kepada Loke. Kenyataan dan akuan diberikan Guan Eng itu menunjukkan politiknya understanding. Beliau mengucapkan tahniah kepada Loke. 

 

Sebenarnya hal demikian juga boleh dilakukan oleh parti Melayu. Mereka tidak perlu mengekalkan seseorang pemimpin atas dasar senioriti atau mengenang jasa dan pengorbanan seseorang. Hubungan sebagai kawan karib tidak sewajarnya dijadikan sandaran dan alasan untuk terus mengekalkan seseorang itu yang relatif lemah dan tidak mampu memimpin.

 

Harus difahami semua orang berjasa dan berbakti kepada parti. Namun yang perlu diutamakan masa depan parti, bukan nasib seseorang. Apa guna mengekalkan pemimpin yang menyebabkan parti hilang kredibiliti dan lesu daya tarikan (attractive) untuk ramai. Dalam keadaan ini DAP meletakkan keutamaan parti lebih dari segala-galanya, dan mereka juga insaf dan sedar bahawa generasi mendatang mahukan pemimpin yang bergerak seiringan dengan zaman. 

 

Selalu dijadikan alasan jika diadakan pertandingan dalam parti untuk buat perubahan ia dibimbangi akan berlaku perpecahan. Pertandingan akan membawa perpecahan. Perpecahan itu berlaku kalau masing-masing enggan mengaku kelemahan diri, meremehkan orang lain dan merasa diri hebat dan tidak ikhlas kepada parti.

 

Apa yang dialami DAP itu, khasnya Guan Eng dan kumpulannya yang ditolak secara total boleh dijadikan iktibar. Walaupun beliau ditolak dan dikira kalah, tetapi secara terbuka beliau merayu semua anggota parti agar memberi sokongan kepada Loke dan barisan kepimpinannya. Apa yang dipamerkan Guan Eng itu, itulah sikap dan sifat seorang pemimpin sejati. 

 

Sesungguhnya semangat yang ada kepada DAP wajar diikuti oleh parti-parti Melayu yang skepitikal untuk melakukan perubahan dan menukar pemimpin kerana dibimbangi berlaku perpecahan. [wm.kl. 3:57 pm 17/03/2025]

No comments: