RENCANA
GOLONGAN ulama mempunyai kedudukan yang tinggi dalam haraki Islam kerana mereka menjadi rujukan umat dalam memahami ajaran Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW. Mereka bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi turut memikul amanah untuk membimbing masyarakat, menjaga kesucian agama dan menegakkan kebenaran.Ulama sering disebut sebagai warathatul anbiya’, iaitu pewaris para nabi. Gelaran ini membawa tanggungjawab yang besar. Pewarisan tersebut bukan bermaksud mereka memiliki kuasa mutlak, sebaliknya mereka mewarisi amanah ilmu, hikmah dan keberanian untuk menyampaikan kebenaran walaupun berdepan tekanan.
Dalam banyak keadaan, ulama tidak memilih untuk berada di tengah-tengah hiruk-pikuk politik. Mereka lebih selesa berperanan sebagai pendidik, penasihat dan penegak hukum dalam urusan muamalat, munakahat, kemasyarakatan serta pentadbiran.
Namun, sikap tenang dan berhati-hati itu tidak bermakna mereka harus berdiam diri apabila berlaku penyelewengan, ketidakadilan atau penyalahgunaan agama.
Apabila sesuatu keadaan membawa kemudaratan, menzalimi rakyat atau bercanggah dengan prinsip Islam, ulama mempunyai tanggungjawab untuk menyatakan pendirian. Teguran yang lahir daripada ilmu dan keikhlasan bukanlah campur tangan yang tidak wajar, tetapi sebahagian daripada amanah keagamaan.
Dalam perkembangan politik negara kebelakangan ini, muncul beberapa orang ulama dan ilmuan yang tampil memberikan kritikan serta teguran secara terbuka. Mereka tidak lagi sanggup membiarkan agama ditafsirkan secara sempit atau dieksploitasi sebagai modal politik. Bagi mereka, agama tidak boleh dijadikan alat untuk menghalalkan fitnah, menanam kebencian atau memburukkan pihak tertentu tanpa asas yang kukuh.
Eksploitasi agama berlaku apabila istilah, hukum dan simbol Islam digunakan untuk meraih sokongan politik, sedangkan tujuan sebenar ajaran Islam ialah menegakkan keadilan, amanah, persaudaraan dan kemaslahatan. Apabila perbezaan politik digambarkan sebagai perbezaan iman, atau apabila lawan politik dituduh bersekongkol dengan orang kafir tanpa bukti yang jelas, agama telah diseret ke dalam ruang permusuhan yang sempit.
Lebih membimbangkan apabila ada pihak yang mendakwa pemerintahan negara ini bersifat sekular, pemimpin tertentu tidak layak menjadi amir atau perdana menteri, dan konsep Malaysia Madani pula dianggap sebagai sesuatu yang palsu. Tuduhan seperti ini tidak boleh diterima hanya berdasarkan sentimen atau kepentingan politik. Ia perlu dinilai melalui fakta, prinsip perlembagaan, realiti pentadbiran dan tujuan sebenar yang ingin dicapai.
Begitu juga dengan naratif bahawa kerjasama politik antara Kerajaan Madani dengan DAP merupakan usaha untuk memusnahkan agama dan umat Islam. Naratif sedemikian bukan sahaja menyederhanakan persoalan politik yang kompleks, malah berpotensi menimbulkan ketakutan serta permusuhan antara kaum dan agama.Ia sungguh jelek.
Islam tidak mengajar umatnya membuat kesimpulan berdasarkan prasangka, apatah lagi menggunakan kebimbangan masyarakat sebagai bahan kempen politik.
Atas sebab itulah beberapa orang ulama yang sebelum ini lebih banyak berperanan dalam lingkungan pusat pengajian, pondok dan halaqah mula tampil ke hadapan. Mereka menyatakan sokongan terhadap kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, khususnya apabila melihat serangan politik yang disandarkan kepada agama sudah melampaui batas kewajaran.
Antara tokoh yang vokal ialah Sheikh Wazir Che Awang al-Makki dari Kelantan,Tuan Guru Haji Abdul Rahim Abdul Rahman dari Pendang, Kedah, dan Ustaz Zuliadin Abdullah dari Terengganu. Nama-nama ini turut muncul dalam kegiatan dan kenyataan berkaitan Majlis Ulama Malaysia.
Kemunculan mereka memperlihatkan satu perkembangan penting dalam wacana agama dan politik negara. Buat pertama kalinya pendirian agamawan politik yang selama ini jarang dicabar mula berdepan teguran terbuka daripada ulama lain.
Perbezaan pandangan ini penting kerana ilmu agama tidak seharusnya dimonopoli oleh mana-mana kelompok atau parti politik.
Kebangkitan tersebut juga kelihatan semakin tersusun melalui penganjuran majlis, persidangan dan pertemuan yang menghimpunkan ulama serta agamawan daripada pelbagai latar. Dalam suasana inilah muncul Majlis Ulama Malaysia (MUM) sebagai wadah yang memperlihatkan kesungguhan sebahagian ulama untuk menyuarakan pandangan terhadap isu agama, politik dan pentadbiran negara.
Peranan MUM tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai usaha mempertahankan kerajaan atau pemimpin tertentu. Lebih penting, kewujudannya mencerminkan keperluan untuk mengembalikan perbahasan agama kepada landasan ilmu, adab dan tanggungjawab sosial. MUM juga berpotensi menjadi ruang semak dan imbang terhadap tafsiran agama yang terlalu dipengaruhi kepentingan politik, ketaksuban kelompok dan semangat asabiyah.
Kemunculan kelompok ulama ini turut memberi isyarat bahawa tokoh politik yang menggunakan agama sebagai asas hujah tidak lagi boleh bercakap tanpa teguran. Abdul Hadi Awang, misalnya, mula berdepan cabaran daripada agamawan yang mengambil pendirian berbeza terhadap tafsiran politiknya.
Sebagai reaksi terhadap kemunculan ulama yang berhimpun dalam MUM, Abdul Hadi Awang dilaporkan mengeluarkan kenyataan yang menyifatkan agamawan tertentu sebagai “terompah kayu” yang digunakan untuk membela DAP. Kenyataan tersebut dilihat sebagai serangan terhadap agamawan yang tidak sehaluan dengan pendiriannya.
Analogi tersebut amat keras dan tidak membantu membina wacana agama yang sihat. Perbezaan pandangan sepatutnya dijawab dengan hujah, bukan penghinaan atau pelabelan. Ulama yang mengambil pendirian berbeza tidak wajar terus dianggap sebagai alat kepada mana-mana parti hanya kerana mereka tidak bersetuju dengan tafsiran politik tertentu.
Sebelum ini, Presiden PAS itu juga mempertikaikan laporan RCI Tabung Haji sebagai langkah yang sengaja mahu membentuk persepsi buruk terhadap Islam. Jika pendirian tersebut benar, ia menunjukkan bagaimana isu pentadbiran dan akauntabiliti boleh ditafsirkan melalui kaca mata politik. Sedangkan tujuan siasatan dan laporan rasmi adalah untuk mencari fakta, mengenal pasti kelemahan serta memastikan pengurusan institusi awam dapat diperbaiki.
Tuduhan seperti ini sepatutnya dijawab dengan bukti dan penjelasan, bukan dengan sentimen agama. Institusi Islam tidak menjadi lebih kukuh dengan menutup kelemahan atau menolak kritikan. Sebaliknya, kekuatan institusi lahir daripada ketelusan, amanah dan kesediaan menerima teguran.
Reaksi terhadap kemunculan ulama yang berbeza pendirian menunjukkan bahawa dominasi satu-satu tafsiran agama dalam politik mula dicabar. Ayat-ayat al-Quran dan prinsip Islam tidak boleh diputarbelitkan untuk mengabsahkan kepentingan politik, menjustifikasikan permusuhan atau menutup persoalan yang wajar dijawab.
Kebangkitan ulama ini bukan semata-mata usaha mempertahankan seorang individu atau sebuah kerajaan. Ia lebih besar daripada itu, iaitu usaha mengembalikan agama kepada kedudukannya sebagai sumber kebenaran, keadilan, amanah dan panduan hidup. Agama tidak sepatutnya dijadikan alat untuk menakutkan rakyat, memecah-belahkan masyarakat atau menghalalkan segala cara dalam perjuangan politik.
Ulama yang benar-benar memahami amanah ilmu tidak akan tunduk kepada tekanan politik. Mereka akan menegur apabila perlu, menyokong apabila wajar dan menolak penyalahgunaan agama tanpa mengira siapa yang melakukannya. Dalam konteks inilah kemunculan Majlis Ulama Malaysia dan kebangkitan agamawan yang berani bersuara perlu dilihat sebagai satu perkembangan yang penting dalam usaha membina politik yang lebih matang, beradab dan berteraskan kebenaran. [wm.kl. 10:46 am 23/08/2026]