Showing posts with label Pirane Johor. Show all posts
Showing posts with label Pirane Johor. Show all posts

Sunday, July 12, 2026

Cerita pasca Pirane Johor (1)

RENACANA

Sepanjang berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, saya sering ditanya oleh rakan-rakan, sama ada secara berdepan ataupun menerusi WhatsApp. Sebenarnya mereka tidak perlu bertanya kepada saya kerana masih banyak sumber yang boleh diakses untuk mengetahui perkembangan pilihan raya itu, termasuk membuat jangkaan pihak mana yang bakal menang. Tetapi mungkin kerana ingin mendengar pandangan saya sendiri, maka mereka tetap mengajukan soalan.

Jawapan saya kepada semua pertanyaan itu ringkas sahaja. Mengenai Pakatan Harapan (PH), saya berpandangan sukar untuk PH menang, apatah lagi mengambil alih tampuk pemerintahan Johor. Saya memberikan beberapa alasan yang mudah bagi menyokong pendapat itu.

Pertama, pilihan raya itu boleh dianggap luar biasa. Pembubaran DUN Johor berlaku di luar jangkaan umum, khususnya PH. Pembubaran DUN Johor pada 1 Jun, kemudian SPR menetapkan hari pengundian pada 11 Julai, dilihat sebagai sesuatu yang pelik dan mempunyai strategi tersendiri.

Sedangkan DUN Negeri Sembilan juga dibubarkan hampir serentak. Ketika itu ramai menjangkakan pilihan raya Johor akan diadakan sekali dengan pilihan raya Negeri Sembilan. Namun, mengapa ia diadakan secara berasingan? Itu sendiri sudah menimbulkan tanda tanya. Ada sesuatu yang tersirat di sebalik keputusan tersebut.

Justeru, hujah saya, apabila pilihan raya diatur sedemikian rupa, kita dapat menyelami makna di sebaliknya. Ia seolah-olah diadakan untuk memberi keuntungan kepada satu pihak dan dalam masa yang sama mengenakan pihak lain. Dari sudut konsekuensinya, pilihan raya itu tidak berlangsung di atas padang yang benar-benar sama rata. Apabila wisel dibunyikan, semua pelari perlu berlari, tetapi ada yang sudah pun diberikan kelebihan sejak awal.

Lazimnya, pilihan raya negeri yang diadakan secara berasingan akan memberi kelebihan kepada parti yang memerintah. Contohnya pilihan raya negeri Kelantan pada tahun 1978 yang diadakan berasingan daripada pilihan raya umum. Taktik itu akhirnya memberikan kemenangan besar kepada Barisan Nasional.

Dalam perjalanan pertama saya ke Johor selepas penamaan calon bersama Dr. Wan Suhaimi Daud, beliau bertanya pandangan saya mengenai pilihan raya itu dan sama ada PH mampu merampas Johor. Secara khusus beliau ingin mengetahui keupayaan PKR setelah presidennya kini menjadi Perdana Menteri.

Ramai orang menyangka PH akan menang, lebih-lebih lagi jika mengambil kira keputusan pilihan raya umum yang lalu apabila PH memperoleh lebih banyak kerusi Parlimen berbanding BN di Johor. Dari sudut undi di peringkat DUN juga, PH mempunyai kelebihan. Berdasarkan ukuran itu, ramai beranggapan PRN kali ini memberi kelebihan kepada PH.

Saya tidak berfikir begitu.

Pada Pilihan Raya Umum 2022, rakyat Johor memilih wakil untuk dihantar ke Kuala Lumpur. Semanrtara kali ini mereka memilih wakil untuk dihantar ke DUN Johor. Mood dan sikap pengundian adalah berbeza. Sebagai orang Johor, mereka tetap mengutamakan semangat kenegerian. Mereka tidak lagi berdepan dua persimpangan dalam fikiran, sama ada hendak mengundi untuk Kuala Lumpur ataupun Johor. Kali ini mereka berhadapan dengan satu persidangan saja. 

Berdasarkan beberapa pertimbangan itu, saya menjawab, kalau PKR dapat menang satu atau dua kerusi pun sudah memadai. Jika berjaya memenangi lima kerusi, itu sudah dikira hebat. Malah saya menegaskan bahawa sekiranya PKR menang satu atau dua kerusi sahaja, itu pun sudah boleh dianggap suatu pencapaian.

Wan Suhaimi hanya terdiam tanpa membantah apa yang saya katakan.

Tanpa beliau bertanya mengenai Amanah yang bertanding di 19 kerusi, saya terus menyatakan bahawa Amanah juga tidak mampu mencatat kemenangan besar. Di Johor, parti itu boleh disifatkan seperti diserang strok selepas pemergian Allahyarham Salahuddin Ayub.

Saya pernah menyifatkan Amanah seolah-olah turut dibawa oleh Salahuddin ke dalam kubur bersama jasadnya.

Cuma mengenai DAP, saya sendiri tidak menjangka parti itu akan mengalami kekalahan seteruk itu. Fenomena yang berlaku di Sabah nampaknya turut berganjak ke Johor. Berlaku penolakan dalam kalangan pengundi Cina terhadap parti itu. Ini sesuatu yang berada di luar jangkaan saya.

Apa yang dapat difahami, proses indoktrinasi yang menggambarkan DAP sebagai musuh Islam dan Melayu ternyata berjaya mengunci tangan sebahagian besar pengundi Melayu daripada memberikan undi kepada DAP. Nampaknya DAP akan terus dijadikan modal politik oleh parti-parti Melayu seperti UMNO dan PAS.

Meneliti secara sepintas lalu keputusan PRN Johor yang berakhir petang semalam, saya melihat ada beberapa faktor yang membantu BN mencapai kemenangan besar.

Antaranya, PH tidak mempunyai seorang tokoh yang benar-benar menjadi idola rakyat Johor. Tokoh seperti itu penting dalam politik Johor. Walaupun Onn Hafiz Ghazi dianggap masih baharu, beliau ialah legasi kepada tokoh-tokoh ikonik Johor seperti Onn Jaafar dan Hussein Onn. Politik yang masih memberikan nilai kepada legasi dan ketokohan keluarga besar ternyata masih segar di negeri itu.

Dari segi pengurusan pilihan raya pula, pada hemat saya PH kelihatan lemah dalam hampir semua aspek. [wm.kl. 8:19 am 12/07/06]

Bersambung.

Thursday, March 10, 2022

Pirane Johor : Siapa akan jadi MB?

KEMPEN selama dua minggu pilihan raya negeri (pirane) Johor ke-15, bermula 26 Februari hingga 11 Mac akan tamat kira-kira 48 jam lagi. Menjelang pukul 00:00 12 Mac kempen akan berakhir. Dalam tempoh itu dipercayai semua parti politik yang meletakkan calon bertanding telah melaksanakan syarat "sunat" berkempen dengan cara tersendiri dan menggunakan semua kesempatan yang termampu. 

Tidak kira apakah cara kempen dan peraturan serta syarat kempen dibenarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sama ada memuaskan hati atau tidak, tetapi semua pihak telah melaksanakan kempen masing-masing. 

Tidak seperti biasa, saya tidak turun ke pilihan raya kali ini. Apa yang saya lakukan semasa pilihan raya negeri Melaka dan Sarawak, untuk Johor, saya juga tidak turun untuk membuat tinjauan dari dekat seperti lazimnya. 

Sunday, February 27, 2022

Sementara menanti kubur besar siap di Johor

ULASAN

PILIHAN RAYA negeri Johor sudah bermula dengan rasmi mulai semalam selepas berlangsung dan selesainya proses penamaan calon. Walaupun Pirane Johor diadakan dalam keadaan pandemik yang kembali menggila, tetapi ia tetap menjadi tumpuan umum khususnya parti politik. Orang politik ini gila semacam.  

Pilihan raya itu menjadi gelanggang menguji kekuatan parti-parti politik yang wujud dalam negara ini. Walaupun Melaka dan Sarawak baharu mengadakan pilihan raya masing-masing, tetapi ia berbeza dengan apa yang berlaku di Johor. Pirane Johor dikira penting kepada semua parti politik utama; Umno, Bersatu, Keadilan dan DAP. 

10 buah parti politik mengambil bahagian dengan pembabitan seramai 239 orang calon termasuk 16 bertanding atas tikit Bebas.

Thursday, January 27, 2022

Pirane Johor: Jangan mati beramai-ramai hidup berasingan.

PANDANGAN

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Johor telah pun dibubarkan. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat bagi menentukan tarikh pilihan raya pada minggu pertama bulan depan. Tampaknya SPR tidak begitu "gaduh lorak" untuk mengadakan mesyuarat bagi membincang perihal Pirane Johor itu. Kelambatan ini menyebabkan timbul persoalan, apakah Pirane Johor akan diadakan serentak dengan Piraum ke-15?