Sunday, February 27, 2022

Sementara menanti kubur besar siap di Johor

ULASAN

PILIHAN RAYA negeri Johor sudah bermula dengan rasmi mulai semalam selepas berlangsung dan selesainya proses penamaan calon. Walaupun Pirane Johor diadakan dalam keadaan pandemik yang kembali menggila, tetapi ia tetap menjadi tumpuan umum khususnya parti politik. Orang politik ini gila semacam.  

Pilihan raya itu menjadi gelanggang menguji kekuatan parti-parti politik yang wujud dalam negara ini. Walaupun Melaka dan Sarawak baharu mengadakan pilihan raya masing-masing, tetapi ia berbeza dengan apa yang berlaku di Johor. Pirane Johor dikira penting kepada semua parti politik utama; Umno, Bersatu, Keadilan dan DAP. 

10 buah parti politik mengambil bahagian dengan pembabitan seramai 239 orang calon termasuk 16 bertanding atas tikit Bebas.

Melihat ghairahnya sesetengah pihak menyertai pilihan raya itu menyebabkan kemungkinan pilihan raya itu nanti menjadi kuburan besar buat parti-parti politik tertentu. Menanti selesainya Pirane Johor seperti menanti untuk melihat seluas mana lubang kubur nanti untuk menimbus mayat-mayat politik. 

Semestinya Pirane itu merupakan pertandingan tradisi UBN dengan parti-parti pembangkang tradisi yang menjadi lawan UBN sebelum ini. Pilihan raya itu  menarik dan agak kelainan apabila UBN bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan PH yang menjadi musuh tradisinya selepas Pas dan DAP sebelum ini, tetapi dua lagi komponen lain yang tidak kurang hebat memberi cabaran sama kepadanya. 

Komponen itu adalah PN yang merupakan gabungan Bersatu, Pas dan Gerakan dan satu lagi Pejuang yang bergerak secara tunggal. Walaupun ada parti-parti lain seperti Muda, Warisan, PSM dan Putera ia tidak begitu penting melainkan penyertaan mereka sekadar meributkan ruang sahaja. 

Walaupun Pejuang juga baru, tetapi ia dilihat ada kehebatannya kerana ia dipimpin oleh bekas PM Dr Mahathir Mohamad. Pejuang merupakan parti ketiga diasaskan olehnya selepas Umno Baru dan Bersatu sebelum ini. Apakah Pejuang ini akan menjadi parti terakhir buat Mahathir? 

Bagaimana pun secara umum pilihan raya itu pertarungan di antara, UBN, PH, PN dan Pejuang. Kehadiran Muda, Warisan, Putera dan PSM hanya sekadar menyibuk ruang sahaja.  Yang nampak terdesak untuk menang pilihan raya itu adalah UBN, PH dan Keadilan dan juga PN. Umno paling terdesak untuk menang bagi persiapan proses untuk kembali menguasai Malaysia selepas berjaya di Melaka. Ada juga individu dalam Umno menangih kemenangan itu untuk menyelamatkan diri sendiri. Dikatakan individu inilah menjadi jembalang mahukan pilihan raya itu. 

UBN telah meletakkan calon di semua 56 kerusi dalam pilihan raya itu, dengan Umno mewakili 37, manakala selebihnya di wakili oleh rakan abadi mereka McA (15) kerusi dan dan MiC empat kerusi. PN juga meletakkan calon disemua 56 kerusi dengan pecahan Bersatu 33 kerusi, Pas 15 dan Gerakan 8 kerusi. 

Manakala PH pula terdiri daripada DaP, Amanah dan Keadilan yang turut "bekerjasama" dengan Muda bertanding semua kerusi dengan pecahan Keadilan 20, Amanah 16, Dap 14 sementara Muda 7 kerusi. Nampak pembangkang (PH) ini seperti bersama, tetapi hakikatnya mereka bertanding dalam pilihan raya itu dengan semangat dan aspirasi tersendiri. Tidur sebantal tetapi mimpi berlainan, boleh juga dianalogikan minum sirap segelas gunakan straw tiga batang.  

Walaupun PKR berada dalam PH, tetapi ia bertanding atas simbolnya sendiri, ini memberi gambaran parti pimpinan Anwar Ibrahim itu tidak yakin lambang PH akan membawa tuah buat mereka. Apakah tindakan itu sebagai proses untuk mengasingkan diri dengan Amanah dan DAP yang dilihat setongkol dan intim? 

Pejuang pertama kali menyertai pilihan raya dengan bertanding di 42 kerusi. Secara umumnya sikap Pejuang dikira berani kerana ia tidak berkolabrosi dengan mana-mana pihak dan bertanding atas kaki sendiri. Keberanian ini tentu menghairankan dan teori apa yang dipakai oleh Pejuang? 

Pirane Johor kali ini membabitkan seramai 2,574,835 pengundi biasa daripada keseluruhan 2,597,742 pengundi berdaftar, layak mengundi. Daripada jumlah keseluruhan itu, 22,531 orang adalah pengundi awal yang terdiri daripada 10,955 anggota tentera dan pasangan serta 11,576 anggota polis manakala 376 lagi adalah pengundi tidak hadir luar negara.

Tumpuan dan perhatian sudah tentu akan tertuju kepada kira-kira 700,000 pengundi muda berumur 18 hingga 25 tahun yang pertama kali memilih. Apakah kehadiran mereka dapat mengubah lanskap politik atau pun ia tidak memberi impak besar. Masing-masing parti sangat berharap undi 18 berpihak kepada mereka atas keyakinan masing-masing. 

Parti Ikatan Demokrasi Malaysia (Muda) itu sendiri diwujudkan kerana obses kepada pengundi muda. Pilihan raya Johor itu akan menjadi kayu ukur sejauh mana keperluan dan kepentingan serta peranan pengundi muda yang diharap-harapkan itu. Apakah pengundi muda akan membuat pilihan berdasarkan idealisme perjuangan parti ataupun memilih calon popular dalam mata mereka.  

Semua pihak masing-masing yakin akan menguasai pilihan raya berkenaan. UBN sangat yakin mereka akan menang dan kembali berkuasa semula di Johor. Apa lagi pilihan raya itu diadakan juga kerana keyakinan Umno itu mereka dapat menang besar. Sekiranya Umno meleset mencapai matlamat ia merupakan satu kejutan dan kerugian buatnya. 

Selepas beberapa hari kempen berjalan gambaran akan mula dapat dilihat dengan jelas komponen manakah yang mendapat perhatian dan popular dari kalangan rakyat. Buat masa ini semua pihak saling dakwa mendakwa kononnya mereka lebih kuat dan berpeluang menang. Apa dilakukan itu tidak lebih sekadar perang psikologi sahaja, dan telatah itu hal biasa dalam pilihan raya. [wm.kl.5:47 pm 27/02/2021]



No comments: