Showing posts with label Chin Peng - Komunis. Show all posts
Showing posts with label Chin Peng - Komunis. Show all posts

Tuesday, November 24, 2009

Ulasan Isu

Jangan Politikan Chin Peng

KALAU Chin Peng, 85 insaf untuk memohon maaf atau pun tidak biarlah dia buat atas dirinya sendiri tanpa ada mana-mana pihak yang cuba membantunya baik menyokong agar kerajaan memberi kemaafan ataupun mengemukakan cadangan bagi menyelesaikan isu Chin Peng ini.

Biarlah Chin Peng bertindak bersendirian tanpa dibayangi oleh mana-mana pihak.

Sejarah hidup dan perjuanagn Chin Peng sebahagian besar dari kita mengetahuinya. Apakah dia bersalah atau tidak, kita semua juga dapat menilai dan memikirannya secara bebas dan bukan tertakhluk kepada buku sejarah lama semata-mata.

Bagi Chin Peng kalau kebenaran ada di pihaknya, cukuplah sejarah membelanya. Apa lagi diharap daripada itu, bukankah sejarah lebih bernilai dari segala-galanya?

Sekadar untuk menjejak kaki ke tanah air atau berkubur di sini rasanya tidak membawa apa-apa erti daripada umum mengetahui mengenai sejarah sebenar perjuangan komunis.

Penulisan, buku-buku sejarah baru dan wacana perjuangan diawal kebangkitan kemerdekaan negara sejak kebelakangan ini menyebut bahawa Chin Peng dan Parti Kominis Malaya (PKM) tidak sekejam seperti mana didakwa oleh kerajaan selama ini. Sejarah perjuangan Chin Peng yang ditulis atas semangat British itu tidak boleh dipercayai dan banyak kekeliruan.

Hasil pendedahan dan kebebasan itu sudah ada kini pemikiran yang menerima bahawa komunis itu lebih baik daripada perjuangan orang-orang Melayu seperti Umno itu sendiri.

Persoalan mengenai itu sudah lama berlaku bukan saja diwarung-warung kopi tetapi di dewan-dewan kuliah di pusat-pusat pengajian tinggi. Sudah ada mahasiswa yang tidak lulus kertas sejarah kerana cuba membela Chin Peng dengan maklumat-maklumat terkini mengenai perjuangan Komunis dan kemerdekaan negara itu.

Hari ini saya nampak diri Chin Peng hendak dijadikan isu dan modal politik pula. Ia juga cuba dipolemikkan oleh pihak tertentu.

Satu pihak tidak mahu menerima permohonan maaf daripada bekas Pengerusi PKM itu kerana ingin menjaga hati sebilangan orang yang kecewa dengan perjuangan Chin Peng. Pihak ini bimbang kepada sentimen rakyat yang sekian lama berdendam dengan Komunis akan menuduh pihak itu sebagai lebih bersimpati dengan Chin Peng berbanding dengan nasib keluarga mereka yang menjadi mangsa kekejaman komunis.

Kematian kaum keluarga mereka disebabkan kekejaman komunis menjadikan mereka tidak dapat memaafi dan menerima Chin Peng kembali ke ibu Pertiwi. Mereka mahu biarlah Chin Peng merasa penderitaan mereka selama ini dengan terus berada di luar negara. Kebenaran kepada Chin Peng kembali menjadikan mereka merasakan perjuangan kaum keluarga mereka menentang PKM di zaman dharurat dulu sia-sia saja.

Manakala satu lagi pihak yang memberi ruang kemaafan kepada Chin Peng. Pihak ini ingin menjadikan kelonggaran itu sebagai modal baru politik. Pihak ini mengira realiti rakyat negara ini yang berbilang bangsa akan memberi kebaikan kepada mereka kalau mereka bersetuju sekiranya Chin Peng diberikan pengampunan. Rakyat akan nampak kononnya perjuangan merela terbuka, liberal dan lebih adil dari segi kemanusiaanya.

Kedua pihak ada asas masing-masing. Pihak yang enggan memaafi Chin Peng ada hujahnya. Hujah mereka ialah semata-mata kerana ingin menjaga hati rakyat yang berdendam dengan Chin Peng.

Begitu juga pihak yang mahu menerima Chin Peng menjadikan alasan perikemanusiaan dan usia Chin Peng yang lanjut sebagai alasan untuk menerimanya.

Mungkin sifat perikemusiaan itu harus ada kepada semua manusia. Tetapi dalam konteks dan iklim politik negara ini seperti hari ini menyebabkan kita merasakan pihak yang mahu menerima Chin Peng itu ada motif tertentu atau mengharapkan keuntungan politik kepada mereka.

Kalaulah, kedua pihak mengambil keputusan itu, terima dan menolak kerana politik, eloklah lupakan saja isu Chin Peng ini. Biarlah Chin Peng sendiri berusaha mendapat keampuan untuk dirinya tanpa adanya campur tangan ataupun ulasan pro kontra di muka awam dari mana-mana pihak. Rasanya cara ini lebih berperikemanusiaan dan adil. [wm.kl 7:51 pm 24/11/09]