Showing posts with label Kadir Sheikh Fadzil. Show all posts
Showing posts with label Kadir Sheikh Fadzil. Show all posts

Thursday, September 27, 2012

Bila Kadir Menari Sumazau Depan Hj Hadi

SELEPAS SUBUH                                                                                                                  

Politik sekular membenarkan maksiat dan hak asasi mengizinkannya. Namun batas-batas dan hukum agama tidak membenarkan walaupun dalam keadaan apa dan untuk apa sekali pun. Ketegasan ini dikatakan rigid, oleh anti agama tetapi sebenarnya inilah istimewanya agama yang membezakan penganutnya dengan penganut agama lain.

Kiri - Kadir membelakangkan camera mendepa tangan menari.
Atas prinsip itu saya membuat catatan ini dengan harapan ia akan melepaskan tanggungjawab saya sebagai orang Islam dan ia juga melepaskan tanggungjawab orang Islam lain sebagai kewajiban umum, fardu kifayah. Dalam istilah fardu kifayah kalau sesutau tanggungjawab umum itu tidak dilaksanakan oleh semua orang tetapi cukuplah seorang saja memikulnya ia sudah memadai, yang lain terlepas dari dosa.

Semasa kunjungan para pemimpin Pakatan Rakyat ke Sabah dan Sarawak baru-baru ini, dalam satu majlis di Tuaran, Sabah para hadirin khasnya para pemimpin Pakatan Rakyat dijemput untuk sama-sama menari Sumazau di pentas bersama beberapa orang jelitawan Kadazan Dusun yang putih melepak.

Tarian atau komitmen pemimpin PR itu sebagai membuktikan mereka tidak memperkecilkan tarian tradisional Kadazan Dusun itu yang merupakan tarian meraikan tetamu yang menjadi amalan tradisi. Slog untuk tarian itu sebagai menjawab satu fitnah dilemparkan oleh blog yang menyamar atas nama Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memperkecil-kecil dan menghina tarian berkenaan sebagai tidak berakhlak dan tidak tamadun.

Walaupun slog itu tidak perlu dalam majlis sambutan Hari Malaysia itu, tetapi itulah yang disediakan. Untuk menunjukkan semua sporting dipanggil semua pemimpin yang ada naik ke pentas. Sebegitu mendengar pengumuman itu saya yang berada agak jauh dari pentas mendekati kerusi-kerusi viip...di hadapan pentas, bukan teringin hendak menari, tetapi kerana timbul juga rasa bimbang manalah tahu ada pemimpin Pas yang berpinar biji mata naik ke atas.

Di hadapan itu ada Abdul Hadi Awang, Muhammad Sabu, Husam Musa, Dr Mohd Hatta Ramli, Mustapa Ali dan lain-lain. Pemimpin PKR pula, ada Anwar Ibrahim, Mohamed Azmin Ali, Khalid Ibrahim, dan lain-lain. Alhamdulilah semua pemimpin Pas dan PKR beragama Islam tidak naik ke pentas dan tindakan mereka itu difahami oleh pihak penganjur.

Persefahaman dan penghomatan kepada budaya dan agama masing-masing ada.

Tetapi beberapa orang pemimpin PKR bukan Islam naik ke pentas. Tidak hairan sebab tidak ada apa-apa masalah dan halangan buat mereka. Namun yang sedikit merujakana saya apabila Kadir Sheikh Fadzil ikut sama naik ke pentas, mendepa tangan dan terhinjuk-hinjuk macam anak kucing kaki terpijak duri menari dengan jelitawan Kadazan Dusun. Untuk pengetahuan, Kadir bukan pemimpin PKR dia hanya menyelit dalam majlis atas kapasiti dirinya sendiri. Setahu saya tidak ada hubungan atau ikatan apa-apa dia dengan Pakatan Rakyat melainkan hadir atas kehendaknya sendiri.

Nampak selamba saja Kadir dengan tarian itu. Seperti saya kata tadi itu adalah hak peribadi dan dibenarkan oleh hak asasi manusia. Tetapi Kadir seorang Islam adalah tidak wajar berbuat demikian. Kalau pun majlis sosial begitu biasa baginya tetapi dia perlu menghormati kepada pemimpin Melayu lain yang ada di bawah. Kalaupun bukan kepada Anwar dan Muhammad Sabu tetapi kepada Abdul Hadi Awang. Dia juga perlu sedar di mana beliau berada, di majlis Pakatan Rakyat.

Janganlah gara-gara tindakan itu menyebabkan Pakatan Rakyat terpalit noda yang tidak diudang.

Saya malas ulas panjang nanti timbul tanggapan lain pula. Cuma kepada Kadir kalau hendak berkawan dengan Pakatan Rakyat khasnya Pas ubahlah perangai dan budaya itu. Beliau kena studi Pas berbeza dengan parti lain. Wajar juga kalau selepas ini Pas memikir banyak kali untuk mengundang Kadir ke majlis ceramahnya.

Kalau selepas ini Pas tidak mengundang Kadir diceramahnya jangan berkecil hati. Pas dalam keadaan apa jua keadaan parti itu perlu menjaga integritinya. Integriti Pas bukan saja individunya tetapi organ itu sendiri.

Pas bukan Umno, Pas bukan DAP dan Pas bukan PKR. Pas adalah Pas yang dikatakan rigid tetapi pendirian dan dasarnya berlandaskan keyakinan apa yang diajarkan agama yang menjadi ideologinya. Kita tidak mahu Kadir masuk ke dalam majlis-majlis Pakatan Rakyat menjadi semak dan masalah kepada Pakatan Rakyat. Lagi pun pengaruh Kadir bukan besar sangat, hadirnya tak lebih dan tak kurang bagaikan melukut di hujung gantang saja. Sebagai melukut Kadir sepatutnya tahu sebesar mana bakul dan sebesar mana cupak. [wm.kl.9:55 am 27/09/12]

Sunday, April 22, 2012

Berita Malam

Kadir Sheikh Fadzil Akan Tubuh Parti Baru?


Ada angin senja yang berhembus membawa khabar bekas MT Umno yang sudah tidak lagi mempercayai kepada parti itu dan telah mengucapkan selamat tinggal kepada parti yang disertai lebih 50 tahun itu, Kadir Sheikh Fadzil akan menubuhkan parti politik baru sebagai platform barunya untuk berjuang membela rakyat dan serentak itu mendedahkan kebusukan Umno.

Kadir Sheikh Fadzil
Kadir dikata mengambil keputusan itu selepas beliau gagal untuk menyalin Ngo Angkatan Amanat Merdeka (Amanah)  sebagai parti politik apabila mendapat bantahan daripada kebanyakan anggota Ngo berkenaan.

Sebelum ini Kadir yang juga timbalan presiden Amanah dikatakan telah mencadangkan kepada Tengku Razaleigh berbuat demikian tetapi permintaan itu tidak disetujui Tengku Razaleigh kerana beliau menghormati majoriti ahli yang mahu Amanah kekal sebagai sebuah Ngo bebas tanpa berparti.

Bekas menteri penerangan itu kini dikatakan sedang memikirkan apakah nama parti politik baru itu. Khabar angin tersebut secara langsung menjelaskan Kadir masih belum puas berjuang menerusi parti politik. Kadir yang meninggalkan Umno kerana menyedari parti itu sudah jauh terpesong dari perjuangan asal serta amalan politik wang dalam parti itu, kebelakangan rancak memburukkan parti tersebut.

Tindakan terbaru beliau kini sudah mulai turun ke gelanggang dan berada sepentas dengan pemimpin Pakatan Rakyat terutamanya dari Pas. Di Kedah minggu lalu beliau berceramah bersama Presiden Pas, Abdul Hadi Awang dan timbalannya Muhammad Sabu. Katanya puluhan ribu hadir mendengar syarahan Kadir dan sambutan hangat itu semakin menghairankan beliau untuk bersama Pakatan Rakyat.

Sebelum itu beliau telah mengunjungi ibu pejabat Pas di Jalan Raja Laut dan beramah mesra dan bertgukar-tukar fikiran dengan Abdul Hadi Awang, Mahfuz Omar dan lain-lain.

Beliau juga pada malam Sabtu lalu turun ke Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru dalam majlis countdown Bersih dan ikut sama berucap. Sebelum ini Kadir menegaskan beliau akan berada di barisan hadapan dalam himpunan Bersih: Duduk dan Bantah 3.0 pada 29 April nanti.

Dalam pada itu ada desas desus menyebut kemungkinan sekiranya usaha Kadir untuk menubuhkan parti politik gagal beliau akan memilih untuk menyertai salah satu parti komponen Pakatan Rakyat. Penyertaan itu bagi membolehkan beliau bertanding dalam pilihan raya. Disebut-sebut juga Pas telah menawar keahlian kepada Kadir.

Untuk Kadir berundur dari langkah 'songsangnya' sekarang kerana meninggal parti yang pernah meletakkan beliau sebagai menteri, tidak mungkin lagi kerana beliau sudah menapak dan terlanjur begitu jauh. [wm.kl.8:25 pm 22/04/12]

Monday, March 19, 2012

Berita Terkini

Tinggal Umno: Selepas Kadir Tengku Razaleigh Pula?

Duri yang mencocok punggung Umno sejak kebelakangan ini telah tercabut dengan sendirinya apabila Kadir Sheikh Fadzil telah mengumumkan keluar dari parti berkenaan hari ini. Surat keluar dari Umno dihantar kepada Setiausaha Agung Umno hari ini.

Tindakan bekas menteri penerangan itu dikatakan menjadi duri dalam daging kepada Umno dengan sikapnya mengkritik parti berkenaan. Kritikan yang tidak dapat diterima Umno ialah berhubung dakwaan Kadir yang Umno membeli undi dalam pilihan raya lalu.

Sehubungan itu Umno sedang mengumpul maklumat untuk mengambil tindakan ke atasnya. Mungkin Kadir yang juga timbalan presiden Amanah Merdeka sudah dapat menghidu yang Umno akan bertindak ke atasnya menyebabkan beliau mengambil tindakan mendahului Umno meninggalkan parti yang disertai sejak tahun 1956.

Persoalan kini ke manakah Kadir selepas ini? Apakah dia akan menyertai salah satu parti gabungan Pakatan Rakyat ataupun kekal sebagai ahli politik tidak berparti?

Sehubungan tindakan itu tanda tanya juga timbul mengenai nasib presiden Amanah, Tengku Razaleigh Hamzah. Apakah Tengku Razaleigh juga akan mengambil tindakan sama dengan Kadir meninggalkan Umno?

Ada kemungkinan? Khabarnya Umno Gua Musang akan menolak sekiranya BN masih mencalonkan Tengku Razaleigh bertanding dalam pilihan raya akan datang. Beberapa hari lalu beberapa ketua cawangan Umno dan pemimpin budak-budak dalam bahagian Gua Musang membuat kenyataan mendesak Tengku Razaleigh tidak lagi dicalonkan.

Sekiranya Tengku Razaleigh Hamzah juga mengambil tindakan sama ia memberi pukulan hebat kepada Umno menjelang pilihan raya. Belum pernah berlaku dalam sejarah Umno pemimpinnya meninggalkan parti menjelang pilihan raya.

Tengku Razaleigh juga dianggap sebagai duri dalam daging bila mana lantang menyuarakan kritikan atau pandangan yang tidak menyeronokkan Umno seperti meminta royaliti petroleum yang digali di perairan Kelantan dikembalikan kepada Kelantan. [wm.kl.1:25 t/hari 19/03/12]