Showing posts with label Kod etika bloger - Najib. Show all posts
Showing posts with label Kod etika bloger - Najib. Show all posts

Saturday, December 12, 2009

Ulasan Isu

Perlukah Kod Etika Kepada Bloger?

Perdana Menteri, Mohd Najib Razak menyarankan agar kod etika kepada blogger diwujudkan. Katanya kod ini perlu diwujudkan untuk menjamin bahan yang disiarkan dalam blog bermutu dan bagi menjaga wibawa ruang atau media baru yang semakin digilai dewasa ini.

Beliau sendiri mengakui blog merupakan ruang baru yang semakin diminati dan menjadi bahan rujukan para pemerhati politik khasnya dari kalangan yang celik IT.

Sehubungan itu beliau melihat kepada beberapa keperluan berikut perlu dijadikan paduan kepada penulis blog untuk menjamin media baru ini sihat dan dapat berfungsi dengan baik. Antaranya:

Penulis blog perlu jujur dan adil dalam mendapatkan, melapor dan menginterpretasi maklumat.

Penulis blog jangan sesekali menciplak dari blog lain apa lagi bahan yang disajikan itu tidak boleh dipertanggungjawab.

Penulis blog harus mengenal pasti dan membuat pautan pada sumber apabila sesuai dan boleh dilaksanakan.

Penulis blog jangan sesekali menyiarkan maklumat yang diketahui tidak tepat dan jika menyiarkan maklumat yang boleh dipersoalkan, pastikan dijelaskan akan keraguan tentang maklumat tersebut.

Penulis blog juga perlu tahu antara sokongan, komentar dan maklumat berdasarkan fakta. Bukan menulis sembarangan ikut suka hati saja.Penulis blog juga kena sedia mengakui akan kesilapan dan membetulkannya dengan segera untuk mengelakkan catatan atau bahan yang didedah menimbulkan masalah.

Penulis blog perlu perlihatkan cita rasa yang baik. Elakkan daripada memenuhi kehendak rasa ingin tahu yang mengerikan atau sensasi kerana mengharap kepada hit yang tinggi.

Penulis blog hendaklah jelas setiap misi blog dan alu-alukan dialog dengan khalayak ramai tentang kandungan dan cara pengendaliannya oleh penulis blog.

Penulis blog juga diharap memathui piawaian yang tinggi yang sama seperti mana yang mereka harapkan daripada pihak lain.Secara umumnya pandangan dan saranan Najib itu baik demi menjaga wibawa media baru ini dan juga bagi memastikan ia membawa impak baik.
Tetapi persoalannya perlukan kod etika ini? Sekiranya ia digubal sejauh manakah kod etika ini akan dihormati. Apakah kita dapat menjamin bloger akan memathuinya kerana blog ini tidak ada sesiapa yang bertindak sebagai pemantau dan hak peribadi pemiliknya.

Kita tahu dunia blog dunia bebas, tanpa pintu dan jendela. Sesiapa saja dapat menulis dan mengisi menerusi blog yang tidak memerlukan bayaran ataupun lesen. Kebebasan ini kita tuntut dan hormati. Cuma dalam bebas itu biarlah ia beretika untuk menjamin mutu dan kualiti blog itu sendiri.

Dalam kebebasan ini kita lihat pendedahan sesetengah blog langsung tidak beretika. Ia bukan saja bersifat fitnah tidak berasas tetapi kadang-kadang nampak jelas ianya sengaja diadakan. Hal ini bukan saja terbatas kepada catatan tetapi gambar (superimpose) juga kadang-kadang menjijikkan.

Disebabkan tidak waspada ini menyebabkan ada sesetengah blog yang menjadi penyokong kepada parti politik telah menimbulkan masalah disebabkan kurang cermat. Dalam keadaan kita tidak faham apakah tujuan penulisan atau bloger berkenaan?

Jelas penulisan dan catatan seperti ini dibuat oleh bloger yang tidak faham mengenai kod etika penyiaran dan mengetahui sedikit sebanyak ilmu kewartawanan. Kalau mereka faham dan ada sedikit pengalaman perkara-perkara yang buruk ini dapat dielakkan.

Adalah sangat baik kalau saranan yang dikemukakan Najib itu dihayati oleh semua pemerhati IT khasnya para bloger. Marilah kita bersikap bebas yang beretika dan bukannya secara sambrono sehingga akhirnya orang tidak akan mempercayai lagi kepada apa yang diblogkan. [wm.kl.7:50 pm 12/12/09]