Showing posts with label Laporan polis. Show all posts
Showing posts with label Laporan polis. Show all posts

Thursday, January 31, 2013

Wakil Rakyat Tunggu Hasil Laporan Polis Dibuatnya

CATATAN PAGI                                                                                                             

Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelantan yang dipukul menyebabkan cedera di bahagian leher dan punggung masih tertanya-tanya mengenai laporan polis yang dibuatnya berhubungan serangan oleh dua lelaki terhadapnya.

Setelah lebih dua minggu laporan polis dibuat beliau belum menerima apa-apa perkembangan atau maklumat mengenai status laporan berkenaan ini menyebabkan timbul tanda tanya, apakah polis sudah mengambil tindakan menyiasat kejadian itu atau belum?

"Sesuatu yang agak menghairankan juga kerana sehingga kini saya tidak mendapat apa-apa maklumat mengenai laporan polis itu saya, atau prosudernya memang begitu?" kata Adun berkenaan memaklumkan perkara berkenaan dengan rasa kesal.

Disebabkan keadaan itu beliau keliru apakah laporan itu disiasat atau tidak dan ia menghairankan kerana biasanya dalam kes-kes melibatkan orang kenamaan polis cepat bertindak.

Dalam kejadian tengah pada 17 Januari lalu di sekitar Jalan Bayam Kota Bharu, wakil rakyat berkenaan diserang oleh dua orang lelaki. Gara-gara itu menyebabkan beliau tercedera di bahagian leher dan punggung. Kecederaan di bahagian punggung agak serius dan kemungkinan ia boleh membawa kecederaan kekal.

Ekoran kejadian itu wakil rakyat yang baru sepenggal menang itu membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu dua hari kemudian pada 19 Januari setelah dinasihatkan mendapat laporan perubatan terlebih dahulu. Laporan itu diterima dan dimaklumkan kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 323 KK yang akan disiasat oleh Inspektor Siti Alina Mohd Adil Natkunasingam.

Bersama laporan polis itu disertakan juga perakuan dari doktor yang merawat wakil rakyat itu dan yang mengesahkan berlaku kecederaan agak membimbangkan.

Beliau sangat berharap agar laporan polis itu akan diambil tindakan segera demi keadilan semua. [wm.kl.8:35 am 31/01/13]

Tuesday, September 6, 2011

Susupan Pagi

Laporan Polis Menjadi Modal Politik

KERENCAMAN dunia politik jadi tambah buruk apabila pemain politik tidak tahu menggunakan akal untuk menimbangkan apakah sesuatu tindak dan tektik berterusan yang dilakukan itu baik atau tidak.

Sejak ke belakangan ini kerencaman tektik dan tindakan itu menjadi-jadi. Ia semacam satu penyakit bermusim atau berjangkit pula macam penyakit campak atau pun batuk kering. Seakan orang politik sudah bankrup idea ataupun strategi untuk mempengaruhi orang ramai agar membenci di antara satu pihak. Ada kalanya kerana kenaifan ini menjadikan kita meluat dengan gelagat orang politik yang bertindak dengan berselindung di sebalik Ngo.

Salah satu perkara yang remeh dan tidak banyak memberi kesan tetapi digunakan terus menerus ialah laporan polis. Pantang timbul sedikit isu yang berpotensi untuk dipolitikkan bagi memburukan pihak oposisi maka dibuatlah laporan polis. Laporan polis sudah dijadikan modal murahan untuk memburuk-burukkan atau memberi gambaran pemimpi oposisi jahat dan dalam sama mengugut rakyat dengan perbuatan itu.

Entah sudah berapa lori laporan polis dibuat membabitkan isu-isu politik di negara ini khasnya dalam tempoh setahun dua ini. Kalau diadakan pengumupulan data mungkin Malaysia mencatat rekod negara yang paling banyak menerima laporan polis membabitkan isu dan kes politik di dunia ini. Elok juga kalau ada badan khas membuat kajian dan penyelidikan ini untuk meletakkan nama Malaysia di peta dunia serta mengkhabarkan kepada mereka yang suka membuat laporan polis untuk mendapat laba politik.

Bayangkan sesuatu kes atau isu yang dilaporkan kepada polis mencecah ribuan laporan polis yang dibuat diseluruh negara. Walhal kalau hendak dikira sesuatu kes penting untuk disiasat oleh polis itu hanya cukup dengan satu atau dua laporan saja, tidak perlu sampai berguni-guni dan bergantang.

Tetapi bila laporan secara perdana dibuat maka jelas laporan itu ada tektik dan strategi untuk menakut-nakut orang ramai serta mahukan orang ramai membenci terhadap orang yang terbabit dengan laporan itu.

Misalnya laporan politik berhubung himpunan Bersih 2.0 mencecah angka lebih 2,000. Laporan mengenai hal itu menjadi pesta pula. Laporan polis mengenai masuk tanpa pamit Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke gereja di Damansara mencecah ratusan. Terbaru laporan polis mengenai ceramah Mat Sabu yang mempertikaikan hero kemerdekaan dalam peristiwa Bukit Kepong kini mencecah 500. Demikian juga laporan polis berhubung komen Karpal Singh terhadap Yang di-Pertua Agong tidak lama dulu mencecah ribuan angka.

Tidak cukup dengan laporan polis, serentak diadakan pula tunjuk dan laungan perasaan sambil mengangkat manila kad dan kain rentang dengan kata-kata kesat yang menggambarkan kebusukan hati orang yang membuat laporan polis. Kalau dilambakkan kain sepanduk dan manila kad yang digunakan untuk tunjuk-tunjuk perasaan yang mengiringi laporan polis mungkin ia sudah menjadi sebesar Smoke Mountain - gunung sampah seperti di Filifina.

Saya katakan semua tindakan itu tidak membawa hasil yang banyak. Tujuannya ialah untuk mempengaruhi rakyat supaya membenci individu yang dilapor itu yang biasanya ada kaitan dengan oposisi, dan dalam masa sama mengharapkan rakyat menyokong dan bersama mereka.

Melihat kepada laporan polis yang berlambak-lambak itu saya rasa pegawai polis yang menerima report juga sudah naik berbulu dan menyampah kerana muka yang membuat laporan polis itu adalah orang yang sama. Tidak tahulah kalau polis juga bersekongkol dengan golongan pembuat report.

Apakah mereka tidak membuat kajian terhadap tindakan dan cara itu memberi kesan atau tidak? Rasanya tidak. Kalau ada kajian dan penilaian mungkin kegiatan berpesta dengan laporan polis dihentikan. Tetapi ada kalanya orang kalau sudah bodoh tidak peduli apakah kerja mereka buat itu berbaloi atau tidak. Laporan polis bukan boleh digunakan sebagai satu kaedah untuk menarik sokongan dan mengharap orang ramai menolak sokongan kepada si yang kena lapor. Bukan semudah itu.

Dalam apa juga isu laporan tidak memberi kesan dan menyelesaikan masalah. Boleh dilihat kepada puluhan malahan ribuan laporan polis terhadap satu-satu kes. Apakah hasil laporan polis itu dibuat penyiasatan? Ada kalanya polis juga cerdik tidak mempeduli pun untuk bertindak ke atas laporan itu.

Kalaupun dijalankan apakah ianya memberi kesan. Ternyata juga tidak. Makanya laporan polis dibuat itu untuk menakut-nakutkan rakyat dan pihak yang dilapor tidak juga berbekas. Mereka sedikitpun tidak merasai hairan dan gentar malahan menambahkan semangat mereka dengan laporan-laporan yang dibuat itu. Laporan yang dibuat itu akan menjadikan orang yang kena lapor bangga dan menjadi lebih popular.

Dalam politik populariti dan kontroversi adalah penting dan menjadi modal kepada seseorang politician untuk berjaya.

Pihak yang membuat laporan polis sepatutnya buat kajian dan sedar hakikat ini, bahawa siasatan polis bukan sesuatu yang menakut. Orang zaman ini bukan seperti zaman dulu lagi, mereka mesra polis dan tidak gentar dengan polis. Polis bukan pasukan yang perlu ditakuti tetapi dikawani. Kalau zaman pasca merdeka dulu memang ya, usahkan nampak pistol polis, nampak landrover polis pun kita akan lari bercelidar.

Hari ini manusia sudah berani dan celik undang-undang. Fenomena ini sepatutnya disedari semua pihak. Jadi tektik membuat laporan polis tidak akan memberi impak dan bekas lagi. Rakyat juga sedikit lagi akan mentertawakan sesiapa yang membuat laproan polis mengenai isu-isu dan kes politik. Tidak mustahil juga mereka akan menuduh kumpulan yang suka membuat laporan polis, atau menggunakan polis, sebagai kumpulan yang tolol dan bangang. Kumpulan yang tidak ada kekuatan idea dan mental untuk mengatasi isu-isu yang berlaku tanpa meminta bantuan pasukan seperti polis.

Hentikan kerja membuat laporan secara melampau kerana ia tidak memberi faedah sebaliknya memburukkan reputasi pihak yang membuat laporan itu sebagai orang yang desprate dan menggunakan kuasa pihak lain agar membantu. Orang seperti ini adalah orang yang tidak ada kekuatan sendiri. Orang yang tidak ada kekuatan sendiri lebih baik tidur di rumah saja. [wm.kl.9:00 am 06/08/11]

Saturday, May 1, 2010

Hantar Terus Dari Pengkalan Chepa

Laporan Polis Terhadap Ancaman Bunuh Nik Aziz

KETIKA ini Pas kawasan Pengkalaan Chepa kini sedang membuat laporan polis terhadap kata-kata berupa ancaman untuk membunuh MB Kelantan, oleh seorang pelayar Facebook. Seramai lebih 50 orang yang hadir memberi sokongan terhadap laporan polis berkenaan. [ 4:15 pm 01/05/10]