Showing posts with label Marahkan - DAP. Show all posts
Showing posts with label Marahkan - DAP. Show all posts

Wednesday, February 10, 2010

Pencerahan Minda

Mengapa Harus Bencikan DAP?

PAGI ini saya tidak mahu mengulas mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang memberi kemenangan” 5 – 0” kepada UBN dengan mengesahkan Zambry Abdul Kadir sebagai MB. Blog dan portal berita dan media cetak sejak semalam lagi telah mengulas keputusan itu dengan berbagai gaya berlandaskan sentimen masing-masing. Yang jelasnya UBN suka, Pakatan Rakyat kecewa dan marah-marah.

Apa yang hendak saya catat pagi ini ialah mengenai DAP, parti yang lahir dari sayap atau terilham dari parti Petir yang memerintah Singapura hari ini. Ramai yang marah-marah dengan DAP. Adakalanya marah itu tidak berasas dan menolak prinsip demokrasi.

Secara tersirat ada yang suruh haram DAP, kononnya dengan kewujudan DAP menyebabkan politik Malaysia huruhara. Politik orang Melayu menjadi haru biru. Perpaduan orang Melayu pecah kerana parti itu. Mereka ini nampak DAP menjadi ancaman kepada perpaduan orang Melayu.

Saya juga tidak suka kalau begitu. Wajar kalau DAP diharamkan kalau ia boleh memecah belahkan orang Melayu. Bukankah organisasi atau pergerakan yang boleh memberi masalah kepada negara ia menjadi satu ancaman? Ia merupakan musuh negara.

Tetapi kita kena ingat DAP ditubuhkan sebagai parti politik menurut undang-undang negara. Pendaftaran pertubuhan memperakuinya. Jadi DAP boleh bergerak dengan bebas dalam lingkungan undang-undang. Setakat ini kita nampak DAP tidak melakukan apa-apa aktiviti yang boleh mengancam negara. Perpecahan yang dikatakan kerana DAP itu subjektif dan tidak ada bukti yang nyata.

Sekiranya DAP membawa unsur-unsur berkenaan saya rasa sudah lama ia diharamkan.
Di zaman penjajah dulu, British pernah mengharamkan parti Hizbul Muslim kerana pada pandangan mereka ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada negara yang dikuasainya ketika itu. British melihat Hizbul Muslim akan menjadi benteng kepada Tanah Melayu. Justeru itu dengan dokongan Umno (parti Melayu) parti itu diharamkan.

Makanya jika pihak tertentu dan kerajaan merasakan bahawa DAP berpotensi mendatangkan masalah parti itu boleh diharamkan.

Tetapi soalnya apakah DAP ada kecenderungan boleh mendatangkan masalah kepada negara? Apakah parti itu mempunyai gerakan tersembunyi? Mungkin fikiran saya salah dalam hal ini dan tidak mempunyai bukti-bukti mengatakan DAP adalah sebuah parti subervesif. Mereka yang beranggapan demikian mungkin begitu.

DAP masih berjalan atas landasan betul dengan cermat sekali. Bagi saya kenapa saya lihat DAP dimarahi oleh sesetengah orang Melayu ialah kerana keaktifan parti berkenaan. Keberkesanan parti berkenaan dalam menggerakkan perjuangannya dan mempengaruhi minda Melayu. Kejayaan yang dicapai oleh parti berkenaan inilah menjadi puncanya. Misalnya kejayaan DAP menawan Pulau Pinang menjadi titik marah besar kepada sesetengah pihak khususnya Umno. Kemenangan DAP itu dicemburui dan dibimbangi.

Kejayaan itu tidak boleh dimarahkan kepada DAP. Apa lagi sengaja mencari alasan-alasan remeh untuk menjadikan orang marah kepada DAP. Kejayaan DAP kerana kegigihan mereka berjuang. Masih ingatkah kita bagaimana DAP mensasarkan untuk menawan Pulau Pinang menerusi Projek Tanjung, 1 sampai 3.

DAP tidak pernah beralih dari tumpuannya walaupun mengalami kekalahan demi kekalahan. DAP tidak pernah terikut-ikut dengan sindiran dan tempelakan yang dilemparkan kepada mereka ekoran kegagalan itu. Parti itu bekerja dan berjuang sehinggalah kerajaan berjaya digenggamnya. Jadi kejayaan merampas Pulau Pinang dari Gerakan adalah hasil keintiman dan istiqamah perjuangan DAP.

Kepada saya kejayaan DAP itu kerana kegigihan dan kerajinan para aktivisnya. Mereka tidak pernah berundur setapak walaupun kalah. Pemimpinnya tidak pernah berputus asa untuk mendapat sebuah kerajaan negeri selepas lebih 40 tahun berusaha mendapatkannya. Sebenarnya semangat kegigihan DAP itu patut diteladani oleh parti orang Melayu termasuk PAS dan Umno. Semangat dan cara DAP bekerja yang patut dicontohi bukannya mencari jalan mudah agar DAP dihapuskan.

Ada orang kata DAP parti anak dan bapak. Kalau begitgu hebatlah DAP kerana hanya dengan anak dan bapak (Lim Kit Siang dan anaknya Guan Eng) sahaja mereka berjaya menawan sebuah negeri yang menjadi kubu kaum Cina. Ini bermakna kaum Cina sudah mula mempercayai kepada DAP. Sudah berpalut dengan parti anak dan bapak. Usahlah bawa cerita DAP chauvenis.... nama lagi Cina semua mereka akan bersifat chauvenis. Kita tahu kaum Cina adalah kaum yang kuat berpegang kepada idetiti asal mereka dan tidak mudah berkompromi dan sedia menentang apa saja kalau kepentingan dan hak mereka tergugat.

Kalau kita bimbang kepada kemaaran DAP dan ideologi sosialis demokratnya menyerap ke dalam kelompok Melayu dan Malaysia, orang Melayu harus cepat sedar dan cepat bertindak. Gerak kerja seperti mana dilakukan DAP perlu ditiru. Perkara paling pokok ialah parti Melayu kena jaga intergriti pemimpinya. Kena bersih, tidak tamak harta dan hidup sedarhana. Selebihnya kena eratkan silaturahim berasaskan matlamat yang sama.

Dalam hubungan ini kurangan jumlah tangkapan mereka yang terlibat dengan dadah dan rasuah. Pendekatan yang diambil oleh Lim Guan Eng yang meniru Khalifah Umar Abdul Aziz sepatutnya dirampas dan dipraktikan oleh pemimpin parti Melayu.

Zaman ini untuk menolak seseorang ke dalam lubang bukan guna jentolak lagi. Ia boleh digunakan sihir ataupun teknik dengan menggunakan elemen yang tidak nampak seperti angin. Kalau kita menolak dengan jentolak nampaklah akan kekasaran dan kezaliman kita. Tetapi kalau ditolak dengan angin kekejaman kita tidak ketara dan orang tidak pun tahu yang kita kejam.
Demokrasi adalah lapangan terbaik untuk menolak sesiapa saja atau mana-mana puak melampau secara baik tanpa melukkan kulit atau mencelakan tubuh mereka.

Kesimpulannya marahkan kepada DAP kerana cemburu kepada kejayaannya tidak ada gunannya. Marah ala Umno itu akan menyebabkan DAP semakin kuat. Apa lagi waktu ini DAP ada batang yang melindungi mereka dari pukulan ribut. DAP dalam menerima pelindungan ini persis monyet. Lagi kuat angin berhembus ke arah mereka lagi kuat mereka berlindung dibalik batang itu. Apa lagi batang itu kini sudah rela memberi perlindungan atas nama kemanusiaan dan kuasa kepada DAP. [wm.kl.9:10 am 10/02/10]