Showing posts with label PERINGATAN. Show all posts
Showing posts with label PERINGATAN. Show all posts

Thursday, March 19, 2009

Selepas Subuh

Ingatan Kepada Pemegang Password Blog Tok Guru

TOK GURU Guru Nik Abdul Aziz juga akan buka blog sendiri. Blognya akan dilancarkan pada 26 Mac ni. Makin meriahlah nampaknya dunia ciber kita. Tentu blog Tok Guru itu akan popular dan dikunjungi ramai dari dalam dan luar negara. Baguslah kalau begitu. Patutnya dah lama Tok Guru buka blog sendiri.

Apapun tahniah kepada Tok Guru kerana ada blog sendiri. Didoakan pengunjung blog Tok Guru akan mengatasi pengunjungi blog Dr Mahathir dan hitnya akan tinggi.

Dengan ada blog bolehlah Tok Guru gunakan untuk berdakwah sekali. Pengisinya nanti diharap bukan saja bersifat politik, tetapi ilmu-ilmu keagamaan juga. Walaupun ada kalanya Tok Guru campur sekali ilmu agama dengan politik, dalam kuliah dan syarahannuya tetapi ada yang tidak dapat memilihnya. Jadi bercampur gaullah, macam antah bercampur dengan beras.

Ada yang dapat tangkap ada yang tidak. Bagi yang jahil kala inilah akan menganggap Tok Guru sebagai menyeleweng, buat fatwa baru dan sebagainya.

Blog adalah medium terbaik kalau Tok Guru nak bercakap soal-soal kerohanian lebih mendalam lagi. Atau mendedahkan kerahsiaan Tuhan dan manusia. Dakwah menerusi tulisan lagi berkesan. Pengisiannya juga agak detail dan tidak mengelirukan. Lagipun menerusi tulisan boleh dibuat dengan cermat dan hati-hati.

Ada hal-hal yang kalau kita berdua dengan Tok Guru terlepas juga cakapnya mengenai agama yang bersifat rahsia, tasauf. Apa kata kalau dalam blog ni Tok Guru membuka rahsia dirinya dengan Tuhan seluas-luasnya. Biarlah rahsia itu dapat dipetik dan dimanfaatkan oleh banyak orang. Misalnya mengenai amalan dan juga wirid-wirid peribadi yang menjadi amalannya sejak dulu hingga sekarang.

Saya rasa dalam banyak-banyak pengkagum Tok Guru mereka bukan saja mahu memetik dan meniru pendekatan, falsafah dan juga teknik politik, tetapi mereka juga mahu meniru dan berba'ih dengan Tok Guru sebagai tok guru.

Mengenai rahsia ketuhanan ni Tok Guru tak buka atas kedai. Dia hanya royak kepada orang terpilih dan di tempat tertentu saja. Sapa rajin geletek dan cungkilnya akan dapat. Selalunya mereka yang minat ilmu ni datang jumpa Tok Guru bukan nak minta balak atau tanah tetapi nak tambah ilmu, nak tambah iman dan taqwa kepada Allah daripada Tok Guru.

Ini kelebihan yang ada kepada Tok Guru dan tidak ada kepada Dr Mahathir Mohamad atau Tun Razak.

Apa lagi kalau ilmu dan rahsia itu ditulis sendiri ilmu itu terus datang dari hati dan turun atas kertas (skrin) dan dibaca oleh pengunjung terus masuk ke dalam hati. Jelira kata orang. Kalau tutur Tok Guru ditulis oleh orang lain banyak koner-konernya, ikut sedap dan kehendak dia saja.

Misalnya kalau Tok Guru sebut bulat, macam-macam bentuk bulat yang akan dibuat nanti, bulat leper, bulat panjang, bulat berkedut, bulat bujur dan sebagainya. Di sinilah ia memerlukan seorang yang arif dan makrifah dengan Tok Guru (ilmu) barulah akan menjelma bulat yang sengoti (sebenar).

Ada juga penulis ini bersifat yang molek ditulis, tak molek ditinggal atau ambil hak mana dia berkenan saja.

Apakah Tok Guru ada masa nak tulis sendiri blog tu nanti? Atau ada yang tukang kendalikannya? Barangkali tidak munasabah kalau Tok Guru nak tulis sendiri. Tentulah ada yang jadi tukang mengisinya.

Sangat diharap kepada orang memegang password blog Tok Guru seorang yang jujur, ikhlas dan bertanggungjawab. Jangan pula guna blog itu nanti untuk tujuan lain. Saya tak jamin Tok Guru akan memantaunya sepanjang masa. Kalau salah guna nanti nyanyalah Tok Guru.

Saya taruh kebimbangan ini, al maklumlah.... manusia ini apa-apa saja boleh jadi. Diharap pengisinya nanti benar-benar dari dhamir dan lidah Tok Guru sendiri jangan cuba nak tuil-tuil ke tujuan lain. Malang sekali kalau penjaga password itu nanti menyeleweng diselit apa-apa yang ada kepentingan atau agenda politiknya.

Saya kata ini bukan apa sekadar mengingatkan saja berpandukan kepada apa yang telah lepas. Tidak perlu cerita panjang. Selamat berblog duhai Tok Guruku. [wm.kl. 6:00 am 19/03/09].

Wednesday, May 21, 2008

Susupan Pagi

Pas Perlu Waspada Dengan Mahathir

MACAM-MACAM ulasan dan tafsiran kenapa Mahathir Mohamad sampai terlepas mulut mengumumkan keluar daripada Umno. Ada yang mengatakan pengumuman itu kerana beliau diprovok oleh seorang hadirin pada majlis yang diadakan di sebuah hotel di Alor Star kelmarin.Hadirin berkenaan ialah Ismail Wan Teh (foto).

Ismail adalah ahli Pas dan bekas calon dalam pilihan raya lalu di Dun Kota Seputih. Beliau kalah.Maka seronoklah orang-orang Pas kononya mereka mempunyai saham dengan tindakan Mahathir itu. Orang Pas suka kalau Mahathir tinggalkan Umno dengan harapan ia akan memberi tekanan kepada Abdullah dan mereka akan meraih sedikit kelabaan.

Soalnya benarkah Mahathir memberi keuntungan kepada Pas?Sebelum ini ada yang beranggapan tindak tanduk Mahathir memberi kemenangan kepada Pas. Kalau tidak silap, MB Kedah Azizah Razak sendiri mengakui kemenangan Pas di Kedah kerana Mahathir. Apakah bentuk yang Mahathir sumbangkan untuk kemenangan Pas?

Peringkat awal ketika Mahathir bergerak untuk mengkritik dan menghentam Abdullah Pas memberi rangsangan yang cukup membanggakan. Pemimpin kanan Pas ikut sama hadir dalam sebuah majlis di Kelab di Taman Melawati. Ulu Klang.

Tidak cukup dengan majlis itu pemimpin Pas termasuk Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri menghadiri majlis makan malam bersama Mahathir di sebuah hotel di Kota Bharu. Selepas itu Mahathir dipanggil untuk memberi ucaptama dalam satu persidangan mengenai Dinar Emas Kelantan di PWTC. Pas telah menggunakan pemikiran dan aura politik Mahathir mempengaruhi orang ramai.

Atas kerjasama ataupun layanan politik Pas kepada Mahathir mungkin telah memberi sumbangan kepada kemenangan besar Pas dalam pilihan lalu khususnya di Kelantan?
Berdasarkan strategi itu tidak hairan kini kalau ada orang berpendapat keputusan Mahathir itu terus memberi keuntungan kepada Pas. Malahan ada orang mula mengira bagaimana Mahathir akan turut berceramah di atas pentas Pas selepas ini. Peristiwa tahun 1969 akan berulang kembali.

Apabila ketika itu Mahathir dipecat daripada Umno beliau menumpang pentas Pas, menghentam Umno.Tentu bukan main seronoknya orang Pas menerima kehadiran Mahathir ketika itu. Mereka mengira Mahathir akan memberi keuntungan dan membantu perjuangan Pas dalam merealisasikan Islam!Tetapi apa jadi selepas itu? Apabila Mahathir menjadi PM tahun 1982, bagaimana keadaan Pas.

Apa yang Mahathir lakukan kepada Pas? Hadiah atau cendermata yang Mahathir berikan kepada Pas atas budibaik Pas kepadanya hanya dengan mengutuk dan mengecam Pas setiap kali perhimpunan agung Umno. Mahathir melihat Pas seolah-olah Barat melihat Osmah Bin Laden.

Kalaupun satu peristiwa yang dapat dilihat Mahathir berlunak dengan Pas ialah ketika majlis Malam Kemanusiaan membela Palastin di Dewan Bahasa dan Pusataka di mana beliau berucap bersama Almarum Mohd Fadzil Noor. Apa yang Mahathir tidak kata dan nesta kepada Pas?

Sampai hari ini Mahathir tidak mengikhtiraf Nik Aziz sebagai ulama atau Tok Guru. Sikap Mahathir itu satu penghinaan kepada Pas walaupun Nik Aziz sendiri tidak merasai apa-apa dengan sikap Mahathir yang mempelecehkannya itu.Bukan itu saja, apa sikap dan pandangan Mahathir kepada institusi ulama?

Apa yang Mahathir tidak kata kepada ulama? Dan siapa yang mengatakan yang Rauslullah s.a.w. tidak bercukur kerana tidak ada pisau cukup? Dan siapakah yang bertanggungjawab atau mencampuri urusan pemecatan Mufti Selangor Almaruh Ishak Baharum kerana cuba mengharamkan pertandingan ratu cantik?

Kata-kata dan perbuatan itu memedih dan menyakitkan hati bagi mereka yang mencintai dan menyayangi Rasulullah s.a.w. dan sunnahnya. Ianya masih terdengar di cuping telinga. Apabila di ukur dari sudut sentimen keagamaan menyebabkan kita terfikir kehinaan yang beliau terima hari ini mungkin disebabkan kifarah Allah atas apa yang beliau lakukan itu.

Hari ini jika Mahathir atau mana-mana pihak mengatur dan meminta untuk Mahathir berceramah atas pentas Pas, mesti Pas akan sambut dengan dua belah tangan. Tidak cukup surau stadium akan disediakan oleh Pas. Pas akan menangguk apa sahaja di air keruh meskipun yang masuk nanti sampah sarap.

Perlu diingatkan sebelum Pas berfikir untuk berbuat begitu elok kalau Pas berfikir sejenak. Melihat dan mengenang apa yang telah Mahathir lakukan sebelum ini. Paling penting ialah apakah sumbangan Mahathir untuk perpaduan Islam dan Melayu. Selama 22 tahun Mahathir tidak pernah berfikir bagi mengurangkan ketegangan Melayu.

Beliau menghalalkan kerenggangan hubungan Pas dengan Umno dengan berpandangan bahawa Parlimen memerlukan pembangkang sebagai check and balance. Jangan nanti kerana terlalu mengharpakan laba, mahu Abdullah berundur cepat, Pas sanggup berbuat apa saja tanpa mempedulikan kepada prinsip dan perasaan orang-orang Pas yang pernah disakiti oleh Mahathir.

Dalam situasi hari ini selepas ketiadaan Mahathir dalam Umno Pas bolehlah berfikir jauh ke hadapan bagaimana untuk memperkuatkan kuasa politik Melayu untuk dua tiga puluh tahun akan datang dengan membuka jalan kerjasama dengan Umno. Kita percaya Abdullah juga dalam saat berhadapan dengan simpang siur politik mungkin lebih mudah untuk diajak berunding berbanding dengan empat tahun lalu.

Manakala bagi saya tugas Mahathir paling afdal waktu ini sebagai mengisi sisa-sisa usianya ialah dengan menjadi mediator bagaimana hendak menyatukan politik orang Melayu baik dalam Umno, Pas dan PKR daripada beliau berterusan menggodam Abdullah. [wm.kl 6:30 am 21/05/08] .