PANDANGAN MALAM
Dua hari lepas saya bersarapan pagi dengan seorang wakil rakyat BN asal Kelantan. Walaupun antara kami sibuk dengan urusan masing-masing, tetapi sesekali ada juga kami bersua muka. Dan bila bersua muka banyaklah perkara diperkatakan, ada yang serius mengenai masalah negara dan politik serta soal-soal yang rengan termasuk juga hal ehwal keluarga. Kebetulan saya dengan wakil rakyat berkenaan ada bau-bau bacang.
Entah kenapa, topik yang turut terbual pagi itu ialah mengenai nasib pelajar persendirian dalam bidang perubatan (doktor) di Timur Tengah khususnya di Mesir. Wakil Rakyat itu menimbulkan soal nasib pelajar persendirian itu yang tidak mendapat bantuan atau pun perhatian daripada pihak kerajaan.
Beliau telah mengajukan masalah ini kepada Menteri Pendidikan untuk dipedulikan dan tidak diabaikan begitu sahaja memandangkan kesemua mereka yang melanutkan ilmu perubatan di Mesir terdiri daripada anak berbangsa Melayu. Menurutnya adalah wajar kalau kerajaan mempedulikan nasib mereka atas semangat nasionalisme.