SEBANGUN PAGI
"MSO tulis lagi fasal Pas sedap...tidak puas apa yang MSO tulis sebelum ini, terutamanya mengenai kisah "tahaluf syiaasi" itu. Banyak orang tidak faham". Begitulah SMS yang masuk ke dalam telefon saya, entah dari mana dan siapa dia saya tidak tahu. SMS bermaksud begitu juga dimasukkan ke dalam pm facebooks dan juga email dalam blog saya.
Saya terfikir sama ada hendak menulis lagi atau tidak. Rasanya tidak perlu. Orang semua sudah faham apa itu tahaluf siyaasi dan kenapa isu mengenai kerjasama dengan PKR, (saya baca dengan Anwar Ibrahim) minta dikaji semula. Lagipun makin tulis makin celaru dan meletihkan kerana bukan mudah untuk mendamaikan orang politik yang akalnya berbingkai-bingkai mengkut disiplin ilmu masing-masing.
Apa lagi kalau yang ada pandai terjemah dan menghurai filsofi mengikut firman dan hadith lagi menyerabutkan.
Bila minta dikaji semula, ertinya ada orang Pas yang tidak suka berkawan dengan Anwar. Senario ini sudah dapat dilihat lama sebelum ini, sebelum pilihan raya. Kedatangan Anwar ke Terengganu negeri Harun Taib tidak disambut baik. Bahkan ada majlis melibatkan Anwar disebotaj.