Showing posts with label UMUM. Show all posts
Showing posts with label UMUM. Show all posts

Friday, April 8, 2022

Kita tidak ada semangat patriotisme

CATATAN

PENJELASAN Ketua Arkid Negara (ANM), Jaafar Sidek Abdul Rahaman tentang betapa pentingnya negara memiliki bahan sejarah (arkid) negara seperti tidak dipedulikan oleh pihak-pihak tertentu khususnya dari kalangan orang politik. 

Saya tidak dengar ada orang politik, baik secara individu ataupun parti mengambil perhatian atas penjelasan itu. Keadaan lesu ini menyebabkan penjelasan Jaafar Sidek itu berlalu begitu sahaja. 

Baru-baru ini, BH Online,  [https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/04/942237/berjuta-bahan-arkib-malaysia-di-luar-negara] telah menyiarkan rencana temuramah dengan Jaafar Sidek yang disiarkan tanggal 4 April, berhubung kepentingan bahan arkid dan permasalahannya. 

Tuesday, October 27, 2020

Mari kita bercuti daripada politik

MENJOLOK MENTARI

KEPUTUSAN dicapai oleh Umno malam tadi membolehkan Muhyiddin Yassin menarik nafas lega pagi ini. Matahari untuk Muhyiddin masih bersinar dan dedaun juga sekejap lagi akan lebih aktif mengeluarkan oksigen apabila berlaku proses fotosintesis. Kita semua juga dapat menyedup udara beroksigen. Syukur. 

Kenyataan yang kedengaran sepanjang hari ini nanti ialah memuji dan kesediaan untuk bersama Muhyiddin, disamping Muhyiddin pula menerima keputusan Umno itu sebagai satu pengajaran buatnya. Mungkin Muhyiddin akan membuat koreksi diri untuk memenuhi pemintaan Umno dan samping mengemaskan kedudukannya. Boleh jadi mungkin juga tidak ada apa-apa yang dilakukan oleh perdana menteri itu kerana beliau tidak perlu melanjutkan komiterapi.  

Saturday, May 31, 2008

Ulasan Peristiwa

Hidup Di Negara Ini Perlu Kurang Ajar

BUKAN senang hidup dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia ini. Kalau tidak ada kerajinan, keberanian dan muka tebal mungkin apa yang diimpikan meskipun hak kita tidak akan tercapai dengan mudah.

Walaupun kita ada pemimpin yang dipilih untuk menjadi hamba rakyat membawa suara dan memperjuangkan kepentingan rakyat, namun tidak semua dapat memainkan peranan. Atau tidak semua suara mereka didengar oleh pihak atasan. Ianya bagaikan dilepas pada angin lalu saja.

Adakalanya pemimpin hanya mendengar saja tetapi tidak tahu dan berani untuk bertindak dan berusaha keras untuk kepentingan rakyat. Atau mereka merasakan masalah-masalah rakyat bukan tanggungjawab mereka lagi setelah mereka menang?

Apa yang berlaku kepada kira-kira 1,800 penduduk Bandar Mahkota Cheras dan taman-taman sekitarnya adalah bukti bagaimana hidup di negara ini bukan muda seperti disangkakan. Kemerdekaan, demokrasi, tidak bermakna rakyat boleh meriba tangan dan memperolehi hak mereka sepatutnya.

Rakyat masih diperlakukan sesuka hati untuk kesenangan pihak tertentu. Satu sudut rakyat negara ini macam kuli batak kepada pihak-pihak tertentu yang bersifat kapitalis.

Bayangkan bagaimana kalau penduduk Bandar Mahkota Cheras itu tidak bertindak melawan kapitilis yang membina lebuh raya yang telah menghalang laluan utama mereka. Pasti mereka akan terus terjerat dan terperangkap dalam tektik kapitalis itu dan terpaksa membayar tol yang bukan atas kehendak dan kewajaran bagi mereka.

Sudah lebih dua tahun mereka terseksa bila mana jalan laluan utama mereka untuk kelaur disekat dan mereka dilencungkan ke lebuh raya Cheras - Kajang. Gara-gara itu mereka kenapa membayar tol. Kerana merasakan apa yang dillakukan tidak adil dan membebankan mereka akhirnya mereka bertindak dengan memprotes sekatan berkenaan.

Mulanya protes itu dilakukan secara tertib dengan cara berunding dengan pihak-pihak tertentu. Tetapi ternyata gagal. Setelah gagal akhirnya mereka membuat tindakan fizikal dengan merobohkan sekatan (bongkah) batu.

Hasil perjuangan itu mereka kini bebas dan tidak kena membayar tol buta lagi.

Tetapi sebelum mereka bebas, apa sudah terjadi? Dalam satu perisitwa ketika merobohkan tambok simen beberapa hari lalu, beberapa penduduk telah cedera, sampai luka parah. Bermakna sebelum penduduk Taman Mahkota Cheras dan beberapa taman yang terlibat dengan perangkap itu bebas ianya memerlukan darah mereka sebagai korban.

Kita yakin kalau Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim tidak campur tangan dengan turun ke lokasi ia masih belum selesai. Selepas Khalid Ibrahim turun menemui penduduk itulah baru Menteri Kerja Raya, Ir Mohd Zain Mohamad turun dan mengarahkan sekatan itu dibuang. Apa yang dilakukan Ir Mohd Zain itu boleh diibaratkan sebagai membungkus ikan setelah dipancing oleh Khalid saja.

Mohd Zain hanya mengarahkan apa yang diputuskan oleh Kabinet. Yang jelasnya Kabinet membuat arahan itu apabila rakyat sudah berdarah dan sesudah Khalid Ibrahim sudah turun. Bayangkan bagaimana kalau darah tidak tumpas dan rakyat tidak parah? Mungkin sekatan itu masih wujud dan rakyat di situ masih terjerat tol itu buta itu.

Ini bermakna pembebasan yang dilakukan oleh kapitalis ke arah rakyat harus dilakukan dengan berani, memerlukan titisan darah dan sikap kurang ajar. Apakah kerajaan hari ini sudah tidak ada hati budi dan maruah lagi sehingga rakyat terpaksa menggunakan mekanisme sebegitu?

Hendaklah dalam menyelesaikan masalah berkaitan dengan rakyat kerajaan jangan sampai nanti darah rakyat tumpas dan menyiram bumi.

Sebagai kerajaan yang peka dan prihatin kepada rakyat sepatutnya kerajaan berada di belah rakyat dan bukan para kapitalis yang menjadi lintah darat kepada rakyat marhaen. [wm. kl 3:00 pm 02/06/08].

Tuesday, May 20, 2008

Pesanan Ringkas

Madah Ayah Saya dan Kenyataan Annuar Musa

ARWAH ayah saya Omar bin Othman apabila mengenangkan nasibnya dan dalam memberi ingatan kepada anak-anak sering kali bermadah; hina besi kerana karat, hina manusia kerana miskin! Setiap kali mengingati madah itu saya akan terkenang kepada sahsyiah ayah yang cukup sedrhana dan juga diri saya sendiri.

Benar, manusia akan dipandang hina apabila dia miskin. Sebaliknya manusia akan dipandang mulia kalau dia kaya walaupun kekayaan itu diperolehi dengan merompak dan menyamun harta rakyat. Walhal ukuran demikian tidak berlaku di sisi Allah. Allah mengukur kemuliaan seseorang itu kepada iman dan takwal seseorang.

Dalam politik pula kuasa dan kedudukan dipandang tinggi dan mulia. Orang akan hormat kepada kuasa kerana dengan kuasa mereka boleh melakukan apa saja. Kalau sudah tidak ada kuasa, kedudukan sudah hilang, maka ia tidak lagi dipandang mulia malahan akan dipersendakan.

Nasib orang politik yang sudah tidak ada jawatan samalah seperti pohon yang rebah di mana ianya akan dijadikan tempat kera dan beruk meniti (baca juga kura-kura).

Apa yang dialami Mahathir Mohamad kini nampaknya sama dengan besi yang disaluti karat ataupun pohon yang jatuh dan rebah menjadi tempat kera meniti itu. Kini semua orang menyalah dan berani untuk mengutuk dan mengatakanya bekas Perdana Menteri itu.

Satu pesanan ringkas (SMS) yang masuk ke dalam telefon saya pagi tadi 11:28
yang dihantar oleh Annuar Musa membuktikan apa yang dimadah dan disenandungkan
oleh arwah ayah saya itu. Untuk berlaku jujur saya siar sepenuhnya SMS berkenaan
tanpa sebarang editing kecuali penggunan huruf besar dan huruf kecil
dan titik saja.
"Statement Datuk Seri Annuar Musa Musa; Sesiapa
berjuang dalam Umno kerana
Mahathir, Mahathir dah tinggalkan Umno. Dan
mereka boleh ikut. Sesiapa yang
berjuang dalam Umno kerana agama bangsa
negara sesungguhnya perjuangan belum
selesai dan kita tetap bersama Umno....
it is not that we love him less but we
must love Umno more... lebih 20 tahun
kita pertahan Mahathir dalam semua keadaan
kerana Umno... kiranya kini
beliau memilih meninggalkan Umno maka kita ucapkan
selamat jalan padanya.
"Jasanya tetap dikenang Umno tetap Umno. Umno bukan Mahathir.... Mahathir
sebenarnya sedang melalui perasaan sense of insecurity.... satu sindrom
kecewa
teruk akibat tindakan PM mengubah dasar-dasar dan legasi zamannya.
Beliau rasa
tak dilindungi dan kepentingannya terjejas setelah dulu semua
kuasa ditangannya.
"Dia mahu PM jadi puppetnya. Mana mungkin begitu. Allah
telah mentakdirkan
begini pada Mahathir, mungkin qada atas perbuatannya
selama ini pada orang yang
dizaliminya.... Musa, Ku Li, Ghafar, Hussein,
Tunku, Harun, Anwar, Raja-Raja.
Itulah janji Allah. Ada bayaran tunai di
dunia, ada bayaran tertangguh di
akhiray. Walahualam... thank
you.. " [wm.kl 8:00 pm 20/05/08].

Monday, February 25, 2008

Penjelasan

Borang Tok Guru Tidak Silap, SPR Subahat
Selamatkan BN

BERHUBUNG catatan di bawah tajuk "Penamaan Calon" yang dipostingkan semalam ada sedikit penjelasan. Bahawa apa yang dilaporkan nama Tok Guru Nik Abdul Aziz juga tersalah tulis dalam borang pencalonan adalah tidak benar. Pencadang kepada Tok Guru merangkap peguam penal, Nik Bahrum Nik Abdullah menjelaskan laporan itu tidak tepat.

Dalam posting komenter yang dihantarnya kepada blog beliau menjelaskan tidak ada apa-apa kesilapan terhadap borang pencalonan Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Sebelum ini difahamkan bahawa bantahan ke atas kesilapan borang lawan Tok Guru Nik Aziz, Dr Nik Zain Nik Omar tidak diterima dan kononya ada kompromi kerana borang Tok Guru juga berlaku kesilapan kecil.

Persoalannya kalau tidak ada kompromi seperti mana yang dikatakan itu mengapa Dr Niik Zain boleh atau dibenarkan juga bertanding sedangkan kesalahannya jelas iaitu dikatakan tidak menanda tangani borang penamaan calon. Apakah yang berlaku sebenarnya kompromi antara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan Dr Nik Zain?

Jika berlaku kompromi demikian maka jelas lagi bersuluh SPR bersubahat menyelamatkan kerusi Chempa daripada dimenangi Pas secara percuma. [kb. 10:30 am 25/02/08]

Saturday, February 16, 2008

Ulasan Peristiwa

Daripada Rawat Kelantan Baik Rawat "Orang Tiga Botak"!

MSO

SEMALAM Najib Razak ke Kelantan. Dalam kunjungan itu beliau berjumpa dengan kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri di laman Hospital Zainab II, Kota Bharu. (Mungkin minta para doktor dan jururawat kerja lebih masa untuk merawat orang politik yang banyak sakit kepala masa ini).

Turut hadir sama geng orang Tigak Botak - Annuar Musa, Mustapa Mohamad dan Awang Adek Hussin. Nama Alwi Che Amat dan Ramzi Abdul Rahman tidak disebut oleh surat khabar kroni yang melaporkan kedatangan Najib itu. Mungkin kedua mereka tidak mahu sekongkol dengan kumpulan orang Tiga Botak itu. Kerana masing-masing menjaga tingkah laku maklumlah mereka sedang dinilai untuk dilantik menjadi MB!

Najib telah mengistyharkan tahun 2008 sebagai tahun Merawat Kelantan. Ia sebagai respon kepada pengistyharan tahun 2008 oleh Kerajaan Negeri sebagai tahun Melawat Kelantan. Satu merawat satu melawat! Jangan meliwat sudah!

Kedua slogan itu sedap bunyinya. Najib mengaitkan tahun merawat Kelantan itu dengan pilihan raya yang akan diadakan 8 Mac ini. Katanya BN akan merawat Kelantan yang tidak membangun - sakit, sejak 18 tahun lalu sekiranya parti itu menang di Kelantan.

Aduhai... sedap bunyinya. Semacam doktor pakar pula Najib hendak merawat Kelantan.

Apakah benar Kelantan berada dalam keadaan sakit kini? Sakit apa. Sakit gigi ke sakit kepala? (Saya sakit gaout).

Kata Najib kerajaan Nik Aziz mundur dalam semua aspek fizikal, kemanusiaan dan modal insan.

Berkata memang sedap. Lidah tidak bertulang buka mulut polek lidah maka akan keluarlah kata-kita atau janji atau penafian.

Apakah alasan dan hujah Najib mengatakan demikian? Apakah ia semata berpandukan kepada pembentangan bajet Negeri Kelantan yang lalu atau bajet sebelum ini yang senantiasa defesit?

Atau pun apakah atas alasan kadar jenayah tinggi?

Najib tidak boleh berkata sesedap rasa tanpa membuat kajian dan membentangkan fakta yang jitu. Rakyat Kelantan bukan orang 'Dungun' dan menerima apa saja yang keluar dari mulut merah Najib.

Kadar jenayah

Cuba Najib ukur dan nilai mengenai kadar jenayah di Kelantan. Cari indeks yang betul-betul dan bukan dibuat atas sentimen politik. Cuba cari nisbah perbezaan kadar jenayah Kelantan dengan beberapa negeri yang BN rintah.

Begitu juga pembangunan fizikal dan sosial untuk rakyat Kelantan. Kita menerima pembangunan (material) Kelantan tidak sehabat Kuala Lumpur, Pulau Pinang atau Terengganu yang memilik masjid kristal dan macam-macam. Tengok apa yang tidak ada di Kota Bharu? Semuanya ada. Apa yang ada di Kuala Lumpur juga ada di Kota Bharu, tetapi kapasitinya tentulah kecil. Pokoknya ia ada.

Dicadangkan Najib naik teksi (roda tiga) dan pusing Kota Bharu. Tambang lebih kurang RM25 untuk seluruh bandar Kota Bharu. Jangan melihat negeri Kelantan atas kertas dan mendengar apa yang keluar dari mulut orang Tiga Botak itu saja. Biar realistik sikit.

Soal pembangunan insan - pembangunan manusia Kelantan mendahului negeri-negeri lain. Ini yang orang tidak tahu sebab tidak mengerti apa dia pembangunan insan atau modal insan. Sebelum Nik Aziz jadi MB lagi Kelantan sudah ada program pembangunan insan. Nik Aziz cuma sambung dan memperhebatkannya saja.

Sekolah pondok, pengajian di masjid, semangat gotong royong, majlis kenduri kendara dan sebagainya adalah terjemahan kepada program modal insan - pembangunan manusia. Mengapa orang Kelantan dianggap sebagai suka berpuak ia adalah hasil daripada pembangunan insan berlandaskan Quran di mana Tuhan suruh berukhwah. Tuhan suruh berpakat dan hidup berkerjasama.

Satu hal paling kecil dalam urusan jual beli yang tidak ada di negeri lain tetapi ada di Kelantan, ialah masih ada penjual yang memberi lebih sebagai sedekah kepada pembelinya. Ini berlaku bila kita membeli etak, kancang dan buah-buahan. Tok peraih atau si penjual akan jeput sejemput dan masukkan ke dalam kelosong sebagai sedekah katanya. Mana ada di negeri lain hal-hal seperti ini. Apakah Najib tahu mengenai sahsiah ini?

Tradisi dan budaya ini ialah terbentuk kerana prgoram modal insan - pembangunan manusia yang sudah lama ditanam di dalam jiwa orang Kelantan.

Jadi kalau Najib bercerita nak bangunkan modal insan, ia menghabiskan air liur sahaja. Buat bueh di bibir mulut saja kalau bercakap apa yang kita tidak tahu dan kita tidak faham.

Modal insan dalam pengertian Najib ialah membangunkan manusia yang bobrok. Anak muda yang rosak akhlak dan moral. Yang rosak nurani dan jiwa.

Cukuplah dngan apa yang ada di Kuala Lumpur. Ragam dan aksi anak-anak muda yang malu kita melihatkanya. Minum arak sambil berdiri penuh kemegahan. Gendung betina atau jantan round seluruh bandar. Apakah itu manusia bermodalkan modal insan?

Najib dan orang Tiga Botak hendaklah celik mata sikit. Mereka boleh lihat dan banding sendiri. Pergi ke pasar raya dan lihat ragam anak-anak muda Kelantan. Mereka geletah, miang dan ruggerd tetapi masih terkawal. Pusat mereka masih belum terjelar dan terjelu di luar seperti mana di Kuala Lumpur.

Mereka masih peka kepada azan dan tahu menghormati masjid. Anak-anak muda yang telah ditanam dengan pembangunan insan seperti inilah yang hendak kita jaga, kawal dan benteng mereka daripada terjelapak dalam telaga modal insan sekular seperti fahaman Najib itu. [wm.kl 1: 20 pm 16/02/08]

Tuesday, February 5, 2008

Enekdot

Evolusi Tempe Ke Atas Khir Toyo!

MSO

SEMALAM (4 Feb) seorang kawan telefon bertanya apakah saya sudah baca akhbar Utusan Malaysia. Katanya ada cerita bagus mengenai Khir Toyo dan saya boleh ulas. Selepas selesai rutin saya, menulis saya belek akhbar berkenaan dan baca berita mengenai Khir Toyo itu.



Mulanya saya malas respon apa-apa mengenai apa yang dilaporkan itu. Khir Toyo berseloroh mengatakan mukanya menjadi putih melepak (balar) kerana dia banyak makan tempe. Khir berseloroh tetapi secara tidak langsung dalam masa sama menjawab isu mengenai dirinya.

Dalam jawaban itu Khir menuduh pembangkang memfitnahnya berhubung dengan evolusi mukanya itu dari gelap menjadi terang. Katanya Khir pembangkang menuduhnya melakukan pembedahan mencantikkan wajah.

Bila Khir sebut dan tuduh pembangkang fitnah menyebabkan selera saya untuk mengulas mengenai kenyataan gurau Khir itu terbuka. Sudah menjadi tabiat agaknya ahli politik Kerajaan kalau berhadapan dengan masalah yang boleh menjejaskan dirinya, ia akan menunding jari kepada pembangkang.

Di sini saya nak bercerita apa yang sampai ke telinga saya berhubung evolusi yang berlaku ke atas muka Khir itu. Bohong orang itu bohonglah saya. Saya percaya beliau tidak bohong kerana dia adalah rakan politik yang rapat dan intim dengan Khir dan pernah mengikuti rombongan Khir ke luar negara.

Menurutnya perubahan itu tidak kerana tempe. Tetapi kerana sesuatu yang lain tetapi tidak pembedahan seperti disangka. Memang logik apa yang dihujahkan oleh sdr Roslan SMS (sahabat saya di Jalan Raja Laut), orang lain juga makan tempe tetapi tidak pun sampai muka menjadi putih macam tapai ubi kayu.

Kita nak tahu jenis apakah tempe yang dimakan oleh Khir. Tentu para artis seperti Ning Baizuri, Hatta dan lain-lain kepingin juga. Apakah ianya made in Australia, New Zealand atau pun Maldis. Sebab khabarnya kerap benar beliau ke Australia pantang ada cuti panjang sikit. Macam orang Kelantan bila ada cuti berkembar hujung minggu berduyun-duyunglah mereka akan ke Kelantan.

Apa lagi kalau ada yang bini dua, sebaik lepas pejabat terus start engen pulang ke Kelantan. Atau sebaliknya kalau yang duduk di Kota Bharu petang Jumaat atau pagi Sabtu sahaja akan sampai di Kuala Lumpur!

Apakah kekerapan Khir ke Australia itu kerana semata-mata nak makan tempe made in Malaysia yang ada di sana ataupun kerana ada bini seperti kebanyakan orang Kelantan itu?

Sahih mengenai evolusi muka Khir tadi bukan kerana tempe. Tempe tidak akan merubah muka seseorang seperti berlaku ke atas Khir. Memang benar tempe berkhasiat boleh melawan kancer dan melalui proses frementasi tetapi tidaklah sehebat itu.

Kalau tempe terbukti seperti mana berlaku ke atas Khir saya kira sudah lama Samy Vellu, Kadir Sheikh FAdzil atau Riza Marican dan Khairy Jamaluddin mengamalkan makan tempe.

Apa yang masuk ke dalam telinga saya, perubahan ke atas wajah Khir ialah disebabkan terjadi satu suntikan vitamin C ke atasnya yang berlaku secara tidak sengaja? Kejadian ini berlaku semasa beliau membuat lawatan ke luar negara kira-kira tiga tahun lalu.

Diceritakan semasa lawatan itu Khir telah diajak oleh kawannya untuk melakukan rawatan muka bagi membuang lemak, jerawat dan minyak di muka. Entah macam mana semasa rawatan itu beliau tertidur. Sewaktu inilah kawannya itu mengarahkan perawat muka itu menyuntik satu suntikan kepada Khir.

Tujuannya baik iaitu untuk membuat surprise kepada Khir Toyo. Kononnya suntikan itu hanya vitamin C sahaja. Sebaliknya apa yang berlaku .... berlakulah seperti hari ini satu evolusi yang mengejutkan dunia ke atas wajah Khir. Khir sendiri katanya menyesal dan terkilan atas perbuatan kawannya itu!

Kerana ia sudah terlanjur, surprise sudah berlaku, muka Khir sudah putih kemerah-merahan hendak tidak hendak Khir terpaksa telan juga. Suntikan yang dikenakan itu perlu maintain, kalau tidak ia boleh mendatangkan side efect. Hari ini katanya setiap tiga bulan sekali Khir perlu mengambil suntikan itu bagi mengekalkan evolusi berkenaan kalau tidak wajahnya akan mengecut dan menggelendur.

Demikian apa yang disampaikan. Jadi tuduhan mengatakan pembangkang memfitnahnya tidak benar. Kalau ada pembangkang yang mempertikaikan mengenai evolusi wajahnya ialah kerana mereka melihat sendiri dan bukan sesutau yang sengaja direka.
Mungkin kerana pihak pembangkan tidak tahu dan pernah melihat isteri muda Khir maka cerita menfenai itu belum terdedah lagi. Tunggu...! [wm.kl 05/02/08]

Friday, January 25, 2008

Catatan Sulung Januari

Sepanjang Penerbangan Terkenangkan Pembangkang

MSO

SEWAKTU hendak melangkah menaiki ke pesawat KT 89 untuk kembali ke tanah air dan meninggalkan bumi penuh berkat Madinah Munawarah semalam, fikiran yang sengaja dikosong mengenai tanahair selama lebih 40 hari sudah mula ditumbuhi berbagai persoalan dan cetusan.
Berbagai pertanyaan dan persoalan mula berlegar dalam kepala.

Wajah Malaysia juga tiba-tiba terpeta-peta dalam mata. Seolah-olah pesawat MH 8287 itu datang khusus untuk meragut ketenangan selama lebih 40 hari itu dan membawa saya, khasnya, untuk terbelenggu semula dengan masalah-masalah politik negara.

Dalam banyak-banyak persoalan yang mula tumbuh itu ialah mengenai pilihan raya umum ke 12 bakal menjelang. Soal bila tarikh pilihan raya tidak timbul lagi sebab tiga bulan sebelumnya saya sudah meramalkan menerusi blog ini bahawa pilihan raya umum akan diadakan pada Mac dan tepatnya selepas perayaan Tahun Baru Cina.

Pilihan popular

Nampaknya secara kebetulan tarikh dan masa itu menjadi pilihan popular oleh umum termasuk juga oleh parti yang memerintah - BN.

Apa yang menjadi persoalan besar, ialah apakah nasib pembangkang dalam pilihan raya kali ini? Apakah pembangkang - Barisan Alternatif (BA) terdiri daripada Pas, Keadilan dan DAP itu masih wujud dan dapat berfungsi dengan baik seterusnya memberi cabaran kepada BN. Ataupun BA sudah terkubur dan tidak wujud lagi dan pembangkang akan kembali beraksi atas tapak kaki sendiri mengikut nafsu nafsi dan kepercayaan politik masing-masing!

Selepas pilihan raya 1999 DAP telah mengambil sikap mengasingkan diri daripada Pas kerana mereka merasakan kerjasama menerusi Alternatif tidak mengutungkan mereka. Betapa tidak selepas pilihan raya itu DAP kehilangan posisinya di Parlimen apabila kerusi Ketua Pembangkang terlepas kepada Pas.

Soal BN atau Umno tidak payah lagi difikirkan. BN dan Umno dalam keadaan bagaimana dan apa sekalipun berada dalam kedudukan teguh dan yakin. Sebagai parti pemerintah dan bertanggungjawab menentukan tarikh pilihan raya pastikan ianya berbuat untuk kebaikan dan kelebihan kepadanya.

Jentera kerajaan

Begitu juga apakah parti itu akan terus menggunakan berbillion wang haram (termasuk wang judi dan komisyen) dalam pilihan raya atau terus memperalatkan semua jentera kerajaan. Perkara itu tidak payah ditanya dan disoal lagi. Sebab sudah sahih (meminjam istilah Zainuddin Maidin) bahawa parti itu akan meneruskan tradisi jelek dan busuknya itu demi meraih kemenangan.

Seperti dalam 11 pilihan raya lalu parti pemerintah akan tetap menggunakan apa saja opoturniti yang menguntungkannya tanpa melihat dan memikirkan apakah tindakannya itu benar ataupun salah. Sejak bila parti pemerintah meletakkan demokrasi atas prinsip dan tunggaknya! Sejak dari zaman Dr Mahathir Mohamad yang dianggap zaman 'gila' hingalah ke zaman Abdullah Ahmad Badawi ini.

Di sepanjang penerbangan pulang itu apa yang menjadi buah pemikiran saya apakah pembangkang lakukan dalam masa 40 hari sepeninggalan saya itu? Tidak banyak maklumat (sebenarnya saya tidak peduli langsung soal politik semasa di sana), mengenai pembangkang dan persediaan mereka dalam menghadapi pilihan raya kali ini.

Walaupun ada jemaah yang gian nak bercakap soal politik saya cuba hadkan agar tidak menjadikan Makkah dan Madinah seperti Kuala Lumpur atau Kota Bharu.
Memang pembangkang sangat ghairah untuk menghadapi pilihan raya. Setiap kali menjelang tiba pilihan raya, pembangkang meletakkan konfiden yang cukup tinggi. Seolah-olah keyakinan yang dilontarkan itu akan meruntuhkan kerajaan BN pada bila-bila masa saja. Walhasilnya bila peti undi dibuka ternyata realiti masih tidak berubah.

Semasa meninggalkan negara 10 Disember 2007 lalu tidak banyak perkembang dan kemajuan dicapai pembangkang. Yang jelasnya kerjasama pembangkang kini tidak sekukuh semasa pilihan
raya 1999 yang mewujudkan Barisan Alternatif. Hubungan Pas dengan DAP, Pas dengan Keadilan masih tidak semantap mana. Kehadiran (pembebasan Anwar Ibrahim) tidak memberi banyak kemajuan.

Merasa kecewa

Keadaan ini menyebabkan ada orang berpendapat, Anwar seperti tidak memberi apa-apa advantage kepada pembangkang. Keadaan ini menyebabkan ada yang merasa kecewa dengan Anwar. Sukar untuk membaca sikap dan pendirian Anwar dalam hal ini. Cuma apa diharapkan tindak tanduk Anwar itu akan memberi kebaikan kepada dirinya sendiri dan juga pembangkang.
Begitu juga isu-isu yang timbul tidak banyak memihakkan kepada pembangkang. Apa yang dikatakan sebagai gelombang atau new wave tidak ada untuk merubah keputusan pilihan raya kali ini. Isu-isu yang ada masih lemah dan tidak boleh mengugatkan hati rakyat untuk menyembamkan BN. Maknanya BN masih berpeluang untuk meneruskan kerajaan yang didokong itu.

Kehebatan himpunan 100,000 rakyat yang dikira boleh mecetuskan suasana baru dan memberi semangat kepada rakyat penghujung tahun lalu, nampaknya tidak menjadi. Himpunan Gabungan Politik Adil dan Bersih (Bersih) itu gagal untuk membersihkan bayangan hitam Kerajaan yang 'ditebengkan' pembangkang selama ini.

Kehadiran kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Hindu Rights Action Force (Hindraf) telah menyapu gelombang dan simpati rakyat kepada kepada pembangkang yang dipamirkan oleh pembangkang menerusi himpunan Bersih itu.

Dalam konteks ini ada sedikit kesilapan sekiranya Hindraf itu adalah benar bikinan pembangkang seperti mana dakwaan parti Kerajaan. Namun hakikatnya antara Bersih dan Hindraf dan Hindraf dan pembangkang adalah subjek atau entiti yang berlainan maksud dan tujuan.

Protes kubra

Mengenai kenaikan harga barang dan kenaikan harga petrol yang disenandungkan oleh pembangkang dan diharap menimbulkan protes kubra oleh rakyat, nampaknya ia tidak memberi bekas kepada rakyat. Masalah ekonomi dan kemiskinan bukan isu yang boleh mengugah rakyat negara ini teristimewanya orang Melayu. Selagi rakyat boleh makan dan mereka terus mampu mengisi minyak kereta, isu kenaikan harga barangan dan minyak itu tidak akan memberi apa-apa kesan.

Jadi pembangkang mengharap kepada apa? Apakah isuyang dikira bileh mengusik hati dan jwia rakyat kemudian menggerakan rakyat untuk memangkah pembangkang. Sepanjang tujuh jam setengah penerbangan itu sesungguh saya tidak tahu kerana kosong dan buta politik dalam masa 40 hari.

Dalam penerbangan panjang itu saya terus membaca berbagai kebimbangan dan keresahan sendiri memikirkan pembangkang. Keresahan itu menjadi makin cemas apabila membaca berita utama dalam akhbar Utusan Malaysia yang dibekalkan oleh MAS berbunyi "Terus Beri Mandat" manakala di dalam Berita Harian pula berbunyi "Sokong Semua Calon BN".

Kedua berita muka depan itu dicemaskan lagi dengan kenyataan bekas PM, Dr Mahathir Mohamad yang membuat ramalan BN akan menang besar dalam pilihan raya akan datang. Kenyataan itu walaupun berbau ejekan ataupun mempunyai mesej tersendiri kepada rakyat mengenai terhadap Abdullah, namun hakikatnya ia menggambarkan akan sokongan bekas PM itu kepada Umno.

Kenyataan itu cukup melukakan orang-orang yang selama ini mengharapkan Dr Mahathir tidak akan aktif dalam menyokong partinya di bawah pimpinan Abdullah Ahmad Badawi. Kenyataan itu jelas menunjukkan bahawa Mahathir masih kental dan taksub kepada partinya. Beliau juga tidak merubah prinsip dan cita-citanya yang mahukan Najib Razak menjadi Perdana Menteri.

Kesimpulannya kebencian Mahathir kepada Abdullah tidak boleh diambil kesempatan oleh pembangkang untuk untuk dimanfaatkan dalam pilihan raya raya kali ini. Maknanya pembangkang kena berdiri atas kaki sendiri dalam berhadapan dengan BN dan tidak berpeluang menggunakan dahan pokok yang sama untuk dijadikan ulu kepak untuk menebang berkenaan.

Catatan: Terima kasih kepada rakan-rakan yang mengucap selamat atas kepulangan saya dan isteri. Maaf tidak dapat dibalas satu persatu ucapan berkenaan menerusi sms dan pernyataan ringkas ini sebagai gantinya. [wm 3:20 pm 25/01/08]

Thursday, December 6, 2007

Ulasan Semasa

Sia-sia Pembangkang Lawan Rashid

MSO

KADANG-KADANG saya kehilangan rasa dan perasaan apabila mengenangkan telatah pembangkang dan Pengerusi SPR, Abdul Rashid Abdul Rahman. Seingat saya tidak ada sedetik masa pun kedua pihak ini; pembangkang dan SPR reda daripada perbalahan dan sikap menegak benang basah masing-masing. Kedudukan mereka senantiasa tegang sepanjang masa.

Kalau hendak dikira pembangkang menghabiskan banyak masa untuk berhadapan dengan SPR dan Pengerusinya Rashid. Sudah beribu lali kenyataan dibuat oleh pembangkang membedal dan mengecam SPR. Rashid pula apa lagi tidak dilontar dan diucapkan kepadanya, habis semua bahasa kotor sampai disebut sebagai Rashit - tahi.

Untuk mengatasi masalah itu perundingan baik secara forma dan tidak formal juga diadakan. Itu tidak dikira lagi usaha secara peribadi (personal konteks) dilakukan oleh individu tertentu yang baik dan kenal dengan Rashid. Setengahnya mengakui Rashid baik dan bersedia membantu pembangkang, khasnya Pas.

Tetapi sayang mereka tidak faham mengenai kedudukan dan kapasiti Rashid yang mana antara diri Rashid dan SPR itu dua perkara yang berbeza sama sekali. Rashid adalah manusia dan kawan kepada pembangkang, manakala SPR ialah badan bebas yang dikontrol dan dikuasai oleh Kerajaan.

Janji Rashid

Silapnya pemimpin pembangkang dalam soal ini mereka mudah membuat kesimpulan. Apabila Rashid baik dan boleh diajak minum air dengan pemimpin pembangkang, mereka terus beranggapan Rashid bersimpati kepada mereka. Tetapi ternyata pertemuan dan janji Rashid kepada mereka itu tidak mengubah sikap dan 'kebebasan' SPR yang tidak menguntungkan pembangkang itu.

Saya hilang perasaan kerana hendak kata simpati pun tidak, lucu pun tidak kepada pembangkang mengenangkan nasibnya yang kena main kepada SPR. Tetapi saya rasakan apa yang pembangkang lalukan itu membuang masa saja.

Mereka tidak pernah serit-serit berhadapan degan Rashid. Kalau pembangkang faham mereka tidak patut melakukan apa yang mereka lakukan hari ini. Mereka tidak akan mendapat manfaat apa pun daripada apa yang mereka lakukan itu.

Mengharapkan Rashid bersikap adil samalah seperti mengharapkan polis berlaku adil dan mesra pembangkang, ia sesuatu yang sangat mustahil untuk diperolehi. Pemimpin pembangkang harus faham antara Rashid dan SPR dua perkara yang berbeza. Rashid adalah orang dan kawan manakala SPR ialah suruhanjaya bebas yang dikuasai oleh Kerajaan.

Betapa Rashid simpati dan berjanji untuk membantu pembangkang, siapalah Rashid. Dia hanya makan gaji dan dibayar upah oleh Kerajaan. Lagi banyak gaji dan upah lagilah Rashid harus berbudi kepada Kerajaan. Tidak faham ke?

Penjelasan dan hakikat ini harap dapat difahami dan dimengerti oleh pembangkang. Jangan meminta sesuatu daripada Rashid yang beliau tidak dapat menunaikannya. Kerja itu seperti mengharapkan sisik daripada belut. Kesiankan Rashid sahaja.

Melanjutkan khidmat

Khabarnya Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) akan berarak ke parlimen pada 11 Dismber ini untuk membantah pindaan akta Suruahanajaya Pilihan Raya (SPR) untuk melanjutkan usia persaraan pengerusi SPR. Pembangkang membuat perhitungan cadangan pindaan itu semata-mata kerana hendak melanjutkan khidmat Rashid sehingga setahun lagi.

Kalau desakan Bersih itu semata-mata hendak membantah penyambungan Rashid sebagai pengerusi SPR maka hebatlah Rashid. Kedudukan Rashid itu lebih besar daripada SPR itu sendiri. Tidak semena-mena pembangkang telah menaikkan pangkat dan martabat Rashid. Tidakkah dengan keadaan itu menyebabkan Rashid merasa dia hebat dan wajar kalau Kerajaan mempertahankannya sebagai pengerusi kerana beliau dapat berbudi kepada BN?

Kalau pembangkang sudah dapat mengagakkan yang Rashid sangat diperlukan untuk membantunya dalam pilihan raya akan datang jadi apa sibuk-sibuk membantah dan melawannya. Kerajaan BN tetap akan mempertahankan Rashid.

Justeru pada saya usaha dilakukan pembangkang, menyumpah Rashid dan juga termasuk usaha Bersih berarak mendesak agar pindaan akta SPR itu dibatalkan tidak akan membawa apa-apa hasil. Ia hanya sia-sia sahaja.

Pada saya tindakan paling baik kalau kita tidak percaya kepada SPR pulaukan saja pilihan raya. Jangan menyertai pilihan raya. Itulah protes paling kemundak dan bermakna. Pembangkang perlu mengajar SPR dan Kerajaan. Betapa kalau pembangkang mengambil sikap dan pendirian itu barulah apa yang pembangkang war-warkan kononya SPR tidak adil dan telus menjadi kenyataan.

Tindakan itu juga baru dilihat sebagai rasional oleh dunia. Ini tidak pembangkang hanya tahu mempertikai dan mengatakan SPR tidak adil tetapi dalam masa sama mereka tetap juga menyertai pilihan raya. Menyertai pilihan raya menunjukkan pembangkang setuju dengan SPR. Sikap tidak konsisten inilah menyebabkan orang merasakan protes kepada SPR itu hanya protes olok-olok sahaja. [kb. 10:10 am 07/12/07]

Monday, December 3, 2007

Tragedi Langkawi

Siasat Tragedi Penerjun Maut di Langkawi

SEMALAH tiga penerjun dari 10 Briged Para terkorban di Langkawi Kedah semasa mereka melakukan penerjunan dalam reptai penuh upacara pembukaan Pameran Udara dan Maritin Antarabangsa Langkawi (Lima) 2007 di Kedah.

Mereka terbunuh ialah Siti Hajar Yaakub 24, Nurul Wahida Yusuf, 20 dan Raymond Anak Ducan, 25. Mereka antara 20 anggota penerjun yang tersasar dari zon pendaratan di lapangan terbang itu. Dalam kejadian itu 11 yang lain juga cedera dan ada yang cedera parah dan masih kritikal.

Siti Hajar mati akibat lemas apabila ia terjatuh ke dalam laut sementara Nurul Wahida pula kerana kesejutakan selepas terbenam di lautan.

Sama-sama kita mengucapkah tahziah kepada keluarga ketiga-tiga penerjun berkenaan.

Kejadian seumpama itu adalah pertama kali sejak Lima diadakan. Walaupun kejadian itu adalah takdir namun seharusnya ia diberi perhatian sewajarnya. Pihak kerajaan perlu menyiasat kenapa kejadian demikian boleh berlaku.

Tidak dapat tidak berhubung kejadian itu akan timbul berbagai spekulasi. Angka yang terkorban atau yang terlibat adalah besar. Bagaimana kejadian itu boleh berlaku perlulah disiasat segera dan didedahkan kepada umum agar tidak menimbulan apa-apa tanggapan buruk.

Pertanyaan juga timbul apakah reptai berkenaan tidak dilengkapi dengan pasukan keselamatan secukupnya bagi menghadai sebarang kemungkinan seperti itu yang berlaku itu.

Walaupun ada pihak tertentu tidak mahu kejadian itu dispekulasikan namun ia tidak dapat dielakkan memandangkan kejadian seumpama itu pertama kali berlaku dan mengakibatkan kehilangan nyawa.

Sewajarnya kalau siasatan terperinci untuk mengenali sebab musabab kenapa ianya berlaku. Kerajaan khasnya Kementerian Pertahanan atau mana-mana pihak terlibat dengan pamiran itu tidak boleh menyerahkan kepada Ilahi saja dan menganggap ia sebagai takdir Allah.

Perdan Menteri telah melahirkan rasa sedih atas apa yang berlaku. Namun dalam pada itu beliau tetap berharap kejadian itu tidak menjejaskan persiapan majlis pembukaannya yang dijadualkan hari ini. Katanya majlis permbukaan perlu diteruskan juga.

Kenyataan dan sikap PM itu menimbulkan sedikit kepiluan kepada kita dan seolah-olah beliau tidak bersimpati atas apa yang berlaku. Benar, nyawa ketiga mereka itu tidak sepenting nyawa para menteri atau Perdana Menteri sendiri. Tetapi dari sisi Allah kedudukannya sama sahaja.

Kita ingin tahu apakah Abdullah akan mengambil sikap seperti itu juga sekiranya yang terkorban semalam melibatkan Menteri Pertahanan Najib Razak, atau istertinya Jeanne Abdullah, atau menantunya Khairy Jamaluddin? Apakah ucapan itu diteruskan juga tanpa terlebih dahulu memberi ruang untuk balasungkawa kepadanya?

Saya peraya kalau tragedi semalam turut meragut nyawa orang-orang itu mungkin upacara pembukaan yang dijadualkan hari ini itu di batalkan atau sekurang-kurangnya ditundakan beberapa jam sebagai penghormatan kepada mereka bertiga.

Tetapi kerana yang meninggalkan itu adalah rakyat atau prajurit marhaen maka ianya tidak sedikitpun dirasakan sebagai satu kehilangan. Walhal pengorbanan dan kesanggupan mereka bertiga mengambil bahagian dalam penerjunan itu sebagai menunjukkan kesetiaan dan komitmen mereka kepada negara.

Sikap yang ditunjuki Abdullah itu tidak menghairankan kita, kerana begitulah selalunya berlaku di negara ini. Berlakulah apa juga samada membabitkan nyawa harta benda orang yang bertanggjawab tidak pernah mengambil tanggungjawab dan risikonya.

Apa lagi untuk mengharapkan mereka akan meletakkan jawatan sebagai simbol kebetertanggungjawaban mereka, samalah seperti mengharap hujan naik ke langit! Al Fatihah untuk roh Nurul Wahida dan Saiti Hajar. [wm.kl. 12: 00 03/12/07]

Tuesday, November 27, 2007

Rencana Khas

Hindraf Jangan Melencung Sampai Menyakitkan Melayu

MSO


SEPERTI kita sedang berada di bawah mentari yang sedang naik lama kelamaan kita akan dapat nampak atau melihat kesemua sekali apa yang ada dan bermukim di hadapan kita. Amat susuh untuk melindungi sesuatu apabila mentari sudah tegak di atas kepala.

Bila mentari sudah berdiri tegak 90 darjah bukan saja hal-hal yang nyata dan jelas yang nampak tetapi sesuatu yang bersifat ‘sir’ dan zeni juga akan dijamah mata – dapat dilihat dan ditenguk dengan jelasnya.

Barangkali begitu juga dengan maksud dan tujuan Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang telah mengadakan himpunan secara berselerakan di sekitar ibu kota Ahad lalu apabila polis menghalang himpunan mereka. Sesuatu yang mungkin kabur tujuan dan matlamat hari itu menjadi jelas bila masa beredar dan beransur pergi.

Mereka yang seronok dengan aksi-kasi demonstrasi – menjadikan demonstrasi sebagai satu hobby, tanpa banyak menyelidik akan ikut sama dalam tunjuk perasaan demikian dengan penuh bangga. Mungkin setengah beranggapan himpunan Hindraf itu adalah kesenimbungan tulen kepada himpunan 100,000 rakyat 10 November dulu atau sambungan kepada demonstrasi pada tahun 1997 dan 1998 yang wajib dihadiri!

Bentang hujah

Sebelum ini rata-rata banyak orang mengira tujuan Hindraf berhimpun difahami adalah untuk menyerahkan petisyen kepada Ratu Elizabeth II supaya melantik Queen’s Counsel membentangkan hujah bagi saman yang dikemukakan mereka di Britain pada 30 Ogos lalu.

Hindraf mendakwa kerajaan Britain yang bertanggungjawab membawa kaum itu ke negara ini dan telah mengabaikan dan menganiayakannya.

Untuk itu Hindraf menuntut Kerajaan Britain membayar kira-kira 4 trillion Pound kira-kira RM27.7 trillion untuk kaum India di negara ini. Masyarakat India di negara ini 8% daripada jumlah 26 juta orang.

Saya yakin itu saja yang diketahui oleh kebanyakan mereka yang menyokong himpunan berkenaan atau bersimpati dengan himpunan itu. Mereka menyokong bukan sangat berlandaskan apa yang menjadi motif di sebalik himpunan itu tetapi kerana moral politik. Atau pun kalau yang tahu akan maksudnya sengaja memberi sokongan kerana mengharap benefit politik. Banyak orang tidak tahu apakah isi kandungan keseluruhan memorandum berkenaan.

Mungkin kalau perhimpunan itu tujuaannya sekadar untuk menyerahkan memorandum atau petisyen kemudian pulang ke rumah tidak menjadi masalah. Pihak polis tidak wajar menghalangnya sehingga turut sama menyusahkan pengguna jalan raya dan orang awam yang ingin memasuki ibu kota pada hari berkenaan. Mungkin pihak polis sendiri boleh mengiringi kereta yang membawa petisyen itu.

Sebagai manusia kita perlu bersimpati dan sedih atas apa yang berlaku ke atas masyarakat India. Sudah menjadi satu persetiaan antara kaum dan bangsa di negara ini perlu saling bantu membantu antara satu sama lain.

Tetapi dalam pada itu pun ia boleh dipersoalkan akan relevansi tuntutan itu. Kalau alasan itu yang digunakan bukan saja kaum India, tetapi kaum Melayu dan Orang Asli juga berhak membuat tuntutan seperti itu. Ikatan dan tolak ansur dalam mencapai kemerdekaan negara ini oleh bangsa Melayu menyebabkan bangsa Melayu mengalami banyak kerugian dan kepupusan hak-hak mutlaknya.

Secara logiknya kaum India dan Cina sebagai kaum pendatang tentulah tidak mengalami kerugian dan kehilangan kepentingan berbanding dengan bangsa Melayu yang mengorbankan hak dan kepentingan mereka untuk kaum lain sebab mereka datang hanya sehelai sepinggan.

Tetapi bangsa Melayu tidak kreatif untuk berbuat demikian. Bangsa Melayu jujur dan setia kepada ikrar yang dilapazkan demi kesejahteraan negara. Bagi bangsa Melayu setiap perjanjian mereka meteraikan samalah perjanjian Lebar Daun dengan Sang Sepurba di mana selagi ada bulan dan ada bintang selagi itulah perjanjian itu berlaku.

Keenggan bangsa Melayu untuk tidak menuntut itu juga bukan bermakna hidup bangsa Melayu mewah dan kaya raya dan mendapat semua nikmat kemerdekaan! Kaum India sendiri tahu kaum mana yang lebih mewah, gengsi dan memiliki kapal di laut atau gedung di darat di negara ini.

Persoalannya kenapa kaum India tiba-tiba bangkit dan bingkas membuat tuntutan demikian? Kejutan ini perlu diselidiki dan dikaji. Ia tidak terjadi secara nature atau sekadar suka-suka kalau bukan ia dilandaskan kepada sesuatu agenda.

Dijamin perlembagaan

Di sini tanpa menarik balik persepsi saya bahawa sekatan jalan raya yang dikenakan oleh polis untuk Hindraf mengadakan himpunan itu di mana ianya tetap bertentangan dengan semangat demokrasi dan hak-hak dijamin perlembagaan, tujuan dan motif sebenar di sebalik himpunan untuk menyerahkan memorandum itu kenalah dikaji dan dihalusi dari berbagai sudut.

Antara yang perlu dikaji ialah apakah pembangkang telah mengambil kesempatan secara hidup-hidup ke atas tunjuk perasaan itu? Kalau benar begitu ini bermakna himpunan Hindraf itu bukan saja untuk kepentingan kaum India, tetapi jelas ia telah ditangguk oleh pihak tertentu yang tertekan dan kurang nasionalisme.

Kini setelah diselak dan dibelek sana sini nampaknya maksud dan matlamat himpunan Hindraf itu semakin hari semain jelas. Pendedahan isi kandungan yang mereka faxkan kepada Kedutaan Britain (seperti mana didedahkan dalam blog) menjelaskan apa yang terkandung di sebalik himpuan berkenaan.

Ditegaskan, kita tidak akan merasa terkilan kalau tuntutan itu menyentuh kepentingan kaum India negara ini. Itu adalah hak asasinya dan semua kaum perlu menyokongnya. Mungkin munasabah kalau mereka menuntutnya sebagai jalan mudah untuk menjadi senang kalau tuntutan itu berjaya dan dilayani. Itu pun jika difikirkan tidak perlu sampai ke perkarangan Kedutaan Britain tetapi cukuplah diserahkan melalui pemimpin kaum berkenaan saja.

Bagaimana pun beberapa perkara yang terkandung di dalam memorandum itu sedikit sebanyak mengilankan dan menyentuh sensitiviti orang Melayu. Ada mauduk-mauduk yang didedahkan boleh menimbulkan kemarahan orang Melayu dan tindakan itu seolah mereka (Hindraf) tidak lagi menghormati perasaan orang Melayu yang berlembut sejak kesekian lama.

Salah satu dakwaan dalam memorandum itu yang boleh menyakitkan hati dan memedihkan telinga bangsa Melayu ialah apabila, ia menuduh Kerajaan yang ditulangi Melayu hari ini (Umno) hendak menghapuskan kaum India (ethnic cleasing) dengan merujukkan peristiwa yang berlaku di Kampung Medan tidak lama dulu.

Walaupun kita mengakui banyak kebejatan kerajaan Umno, namun apabila memorandum itu langsung menuduh orang Melayu (Umno) sebagai bertindak demikian ia sudah melampau dan mencabar perasaan tolak ansur Melayu terhadap kaum-kaum lain selama ini.

Bukan itu saja, tuduhan itu juga disusuli dengan beberapa kenyataan yang menggambarkan kezaliman kerajaan terhadap kaum itu; seperti tidak menjaga keselamatan mereka, tidak melayani permintaan mereka, meruntuhkan rumah ibadat mereka, mendakwa kaum India ditahan atau ditangkap pada sepanjang masa dan sebagainya.

Tuduhan-tuduhan itu walaupun tidak dilakukan terus kepada bangsa Melayu tetapi dihalakan kepada pihak polis dan pihak berkuasa lain, namun maksud tersiratnya ia dituju kepada bangsa Melayu kerana Kerajaan kini ditulangi Melayu.

Menyimpulkan apa yang berlaku dan meneliti ke mana hala tuju memorandum berkenaan sebenarnya apa yang digerakkan Hindraf ini bukan lagi berdasarkan atas kepentingan hak asasi manusia (human rights) kaum India di negara ini, tetapi ia jelas melencung kepada motif politik yang cukup sensitif dan bahaya serta boleh mengundangkan konflit kaum.

Adalah wajar kalau Kerajaan biarpun dianggap zalim perlu bertindak tegas dan berani memadamkan api yang dibawa Hindraf itu sebelum ini membesar dan boleh membakar banyak orang! [the mall 8:15 am 27/11/07]

Monday, November 26, 2007

Ulasan Semasa

Apa Ertinya Semua Ini Kalau Bukan Niat Jahat?

MAHKAMAH Sesyen Klang hari ini telah membebaskan tiga orang pemimpin Hindu Rights ActionForce (Hindraf) daripada tuduhan dibawah Akta Hasutan 1948. Mereka ialah P Uthayakumar, P Waythamoorthy dan V Ganapathy Rao.

Mereka dihadap ke mahkamah itu atas tuduhan di bawah akta hasutan kerana dikatakan menyampaikan ucapan berupa hasutan di Kuala Selangor beberapa hari menjelangnya perhimpunan 10,000 masyarakat India di hadapan Kedutaan British Ahad lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Zunaidah Mohd Idris memerintah mereka dibebaskan tanpa dilepas kerana pendakwaan gagal mengemukakan terjemahan di dalam bahasa Tamil mengenai dakwaan kononnya mereka berucap menghasut orang ramai.

Walaupun ketiga pemimpin Hindraf itu tidak dilepaskan dan boleh didakwa pada bila-bila masa. Namun pembebasan itu memberi tamparan hebat kepada pihak polis dan sekaligus menyerlahkan kelemahan pihak pendakwaan.

Apa yang dapat disimpulkan dengan perintah mahkamah itu bahawa penangkapan dan pendakwaan ke atas ketiga pemimpin Hindraf itu dibuat secara suka-suka dengan tujuan menyusahkan mereka.

Ia juga semakain jelas dan nyata pendakwaan itu dibuat bertujuan untuk menakut-nakutkan masyarakat India daripada terus berhimpun kerana ketiga mereka adalah orang penting disebalik perancangan itu. Ketiga mereka juga mulai Ahad lalu dikenali sebagai hero baru kaum India.

Apa yang berlaku itu dakwaan pembangkang sejak kesekian lama bahawa polis sering bertindak diluar batas, menyalahgunakan kuasa dan menjadi perkakas kepada pihak tertentu ada benar dan tepat. Seolah-olah polis hari ini bukan mengawal dan menjaga keselamatan rakyat sebalik menyusah dan menghura-harakan rakyat.

Sekiranya pihak polis dan pendakwaan bertindak atas tangungjawab sebenar, mereka tidak akan buat tindakan melulu dan menyusahkan orang ramai sebaliknya akan bertindak ke atas apa-apa yang boleh memberi kesenangan kepada rakyat. Mahkamah atau pendakwaan pula tidak akan mudah untuk gagal mengemukakan bukti di mahkamah kalau mereka serius untuk menegakkan keadilan.

Apabila sesuatu bukti atau pendakwaan ditolak secara mentah-mentah begitu nyatalah pendakwaan ke atas mereka bertiga itu dibuat kerana arahan pihak tertentu dan bukan bertindak atas landasan undang-undang sebenarnya. Tepatnya pendakwaan itu untuk menyusahkan mereka saja.

Polis di dalam kes ini jelas sekali telah menjadi alat dan perkakas buruk kepada pihak berkenaan. Mengenangkan ini polis jangan merasa marah kalau ada orang mengatakan bahawa mereka kini bukan lagi menjaga keselamatan negara, mengawal kententeraman awam, sebaliknya tanggungjawab dan tugas utama mereka kini ialah menjaga pihak tertentu terutamanya parti yang sedang memerintah.

Kita tidak tahu apakah tujuan dan akta polis diwujud di parlimen dulu termaktub di dalamnya antara tugas dan tanggungjawabnya ialah untuk menjaga keselamatan dan keutuhan kekuasaan parti pemerintah, khususnya Umno. Kalaulah benar dakwaan ini maka kehadiran polis kini tidak ada gunanya lagi dan eloklah dibubarkan sahaja! [vestan.htl 2:00 pm 26/11/07]


Saturday, November 24, 2007

Koreksi

Senda Khairy Ada Juga Benarnya!

RAMAI yang kecewa dan marah apabila mendengar komentar Khairy Jamaluddin yang mengajak rakyat Kelantan membandingkan antara Koridor Depu dengan plan Wilayah Pembanguna Ekonomi Pantai Timur (Ecer) yang dilancarkan oleh bapa mertuanya baru-baru ini.

Sudah pasti apa yang menarik perhatian Naib Ketua Pemuda Umno sehingga beliau membuat ajakan itu ialah apabila melihat papan tanda gergasi Koridor Depu yang terpasang di beberapa tempat strategik di sekitar Kota Bharu.

Khairy nampaknya menyinis dan menyindir projek penanam debu berkenaan. Katanya rakyat Kelantan boleh memilih sama ada hendak menjaga pohon debu ataupun plan Ecer yang boleh menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Kelantan.


Dalam soal ini saya tidak mahu duduk di belah sesiapa; baik di belah Khairy ataupun di sebelah orang yang mengilhamkan projek pohon kayu hutan berkenaan. Sebenarnya kedua projek itu, depu dan Ecer sama-sama bertujuan baik untuk membantu rakyat.

Matlamat yang sama

Kerajaan Pusat buat Ecer untuk pandu dan kembangkan ekonomi orang Pantai Timur termasuk Kelantan. Begitu juga dengan projek penanam pohon depu atau karas itu juga bertujuanan dan matlamat yang sama, membela dan memperbaiki ekonomi rakyat.

Bagi rakyat Kelantan antara depu dan Ecer sama sahaja. Keduanya projek politik dan ia perkara baru. Walaupun depu sebelum ini sudah lama wujud namun tidak dikomersilkan. Rakyat Kelantan kena berterima kasih kepada kerajaan Kelantan kerana telah mengkomersilkan depu sekurang-kurang satu lagi mata pencarian rakyat Kelantan bertambah.

Pemimpin yang kreatif akan mampu mengolahkan sampah untuk menjadi wang. Dan dalam keadaan Kelantan dianaktirikan pemimpin demikian diperlukan! Masih banyak lagi ‘sampah’ dan barangan terbuang lain untuk diolah menjadi dinar di Kelantan.

Kedua projek dan plan itu masih belum membawa hasil kepada rakyat. Depu memakan masa lima hinga 10 tahun untuk matang dan memberikan hasil. Manakaa Ecer pula memakan masa 12 tahun. Dari segi jangka masa, depu lebih cepat mengeluarkan hasilnya berbanding dengan Ecer.

Cuma apabila memperkatakan soal depu ini, apa yang sedikit merujakan dan membingungkan ialah untuk apa papan tanda gergasi itu dipasang. Apakah keperluan papan tanda berkenaan ditebingkan di sekitar Kota Bharu. Apakah sebenarnya yang hendak dipamirkan?

Memanglah kita tahu ia adalah untuk propaganda politik, di mana sifatnya untuk menarik perhatian rakyat. Papan tanda itu pun dipasang menjelang pelancaran Ecer. Namun begitu biarlah kalau boleh ianya rasional dan munasabah. Tidak baik menipu rakyat dengan cakap-cakap kosong!

Kalau niatnya hendak melawan Ecer kerja itu samalah seperti gelagat kancil yang cuba bertewas dengan gajah. Gajah berak besar kancil pun nak berak besar juga. Kancil terlupa dia punyai dubur yang kecil. Hendak tak hendak terpaksalah kancil berak atas pusu ...

Seperkara lagi kenapa papan tanda itu memapangkan gambar Tok Guru Nik Aziz? Tindakan ini rasanya tidak wajar. Nampak semacam ada niat tidak baik di sebalik pemasangan gambar Tok Guru bersama pohon depu itu.

Mungkin niat orang yang mengilhamkan projek itu hendak menterjemahkan sayangnya kepada Tok Guru. Tetapi bagi saya cara itu salah sebab ia memberi kesan tidak elok kepada Tok Guru. Orang boleh beranggapan dan menyindir Tok Guru dengan papan tanda murahan itu dengan mengatakan apakah selama 17 tahun mentadbir Kelantan Nik Aziz hanya mampu membina papan tanda Koridor Depu? Lainlah kalau tujuan signboard itu untuk membodek Tok Guru dan Raja Perempuan!

Pada saya sepatutnya kalau hendak berterima kasih dan menyanjungi Tok Guru kenapa tidak pasang papan tanda Koridor Islam? Tunjukkan ciri-ciri atau signifiken Kelantan dengan pentadbiran Islam. Ataupun boleh dipasangkan madah-madah dan nasihat Tok Guru di papan-papan tanda untuk dijadikan iktibar dan panduan.

Pemerintah minyak attar?

Macam-macam orang akan tafsirkan terhadap Tok Guru dengan papan signboard korido depu itu. Apakah kerana depu itu akan menghasilkan minya wangi, maka papan tanda itu ingin mendedahkan bahawa pemerintah Tok Guru selama 17 tahun lalu adalah pemerintahan minyak attar?

Secara peribadi saya tidak setuju dengan papan tanda berkenaan. Bukan bermakna ia tidak wajar dan salah atau memedih mata merenungnya, tetapi cata persembahannya kurang tepat dan tidak profesional.

Bagi saya adalah lebih baik kalau papan tanda itu menjelaskan mengenai projek berkenaan secara sepintas lalu. Misalnya mengenai tarikh pelancarannya, berapa keluasan projek itu, berapa ramai melibatkan rakyat dan apakah manfaat yang bakal diperolehi rakyat Kelantan dengan korido pohon kayu itu.

Dengan memaparkan papan tanda kosong begitu, orang akan mengira ia lebih kurang sama saja dengan apa yang dilakukan oleh nelayan yang suka melindungi mata joran dengan cacing kemudian mereka lempar ke laut bagi mengelirukan ikan. Kalau sebelum ini pemimpin Pas menempelak orang BN yang suka memacak signboard berbunyi “Ini Satu Lagi Projek Barisan Nasional”, apalah kurangnya dengan papan tanda gergasi itu.

Sebenarnya sudah banyak projek-projek murahan dan segera diwujudkan di Kelantan sejak akhir-akhir ini. Kalau hendak bilang lengguh juga jari. Sayang kebanyakan projek berkenaan hanya gah di telinga sahaja atau indah atas kertas, sedangkan hakikatnya hidup segan mati tidak mahu, seperti projek TvPas Kelantan, Darul IT, animasi, kambing dan lain-lain.

Jadi kalau papan tanda itu tidak mahu diubah, saya cadangkan turunkan saja. Lebih afdal taruhlah gambar orang yang mengilhamkan projek berkenaan. Kenapa tidak berani untuk tanpil ke hadapan dan bertanggungjawab? Seorang yang bercita-cita hendak jadi pemimpin seharusnya tidak bersifat dan bersikap demikian, berani buat beranilah memanggungnya dan tidak mengecerkan risikonya kepada orang lain. [wm.kl 7:00 24/11/07]

Thursday, November 22, 2007

Ulasan Kejadian

Cerita Polis dan Anjing

SAYU dan sedih membaca laporan bagaimana sekumpulan 15 wartawan telah diherdikkan sebagai anjing oleh seorang pegawai polis semasa mereka sedang menjalankan tugas masing-masing. Kejadian itu berlaku ketika kumpulan wartawan itu mengerumuni tempat penemuan dua mayat lelaki di sebuah ladang kelapa sawit di Bukit Hijau, Kedah.

Kumpulan wartawan yang merasakan terhina dengan kejadian itu telah membuat laporan polis.

Pegawai kanan polis yang berada di tempat kejadian itu dikatakan telah menghalang kumpulan wartawan berkenaan daripada mendekati dan merakam tempat kejadian dengan menyebut; “anjing jangan masuk,” di samping meminta agar anjing dilepaskan untuk mengertak kumpulan wartawan berkenaan.

Memang tidak dinafikan ada kalanya gelagat dan keghairahan wartawan dalam menjalankan tugas boleh menganggu tugas-tugas pihak lain termasuk polis. Ada setengah mereka kurang peka dan mempunyai perasaan sensitiviti kerana terlalu menekankan kepada profesionalisme mereka. Seharusnya semua pihak faham dan mengerti tugas seorang wartawan. Pantas, cergas, kurang beradab dan suka mendesak adalah wartawan!

Kalau mereka tidak berbuat begitu mungkin mereka tidak akan mendapat maklumat atau merakam gambar dengan tepat. Jadi untuk memastikan mereka mendapat sesuatu yang terbaik, lengkap dan cantik (berkualiti) menyebabkan mereka kadang kala bersikap agresif dan melewati sempadan sepatutnya.

Serigala atau sekawan babi

Pun begitu apabila polis mengeluarkan kata-kata itu, (anjing) (yang ianya lebih teruk dari hadiah penyapu seperti mana digunakan Khir Toyo), apa lagi dilepaskan anjing untuk menghalau wartawan, jadilah kumpulan wartawan itu seolah-olah seperti serigala atau sekawan babi. Betapa hina dan rendahnya martabat kumpulan wartawan itu.

Lebih malang lagi tidak cukup diherdik dan dianjingkan, maka anjing yang hidup yang selalu digunakan untuk mengesan pengganas dan penjenayah pula digunakan. Tindakan itu samalah lagaknya wartawan itu seperti serigala yang kena dihalau pakai anjing.

Kita faham apa yang berlaku itu bukan menggambarkan sikap polis keseluruhannya. Tidak dinafikan ada polis yang baik dan saling memahami tugas masing-masing. Namun kes berkenaan ia tidak boleh dianggap sebagai kes terpencil. Pihak atasan polis perlu menyiasat dan mengambil tindakan jika dakwaan itu berlaku. Tidak sewajarnya seorang pegawai polis bersikap biadap begitu.

Apa lagi kejadian itu berlaku dengan wartawan di mana entiti yang sangat-sangat diperlukan oleh pihak polis dalam membantunya menjaga keselamatan negara. Seharusnya kejadian yang keji dan buruk itu tidak patut berlaku. Mereka sepatutnya bekerjasama.

Polis yang menggunakan slogan, tepat dan betul dan senantiasa berkhidmat itu seharusnya menunjukkan suri tauladan yang baik. Akhlak dan diplomasi polis seharusnya melebihi daripada akhlak dan diplomasi orang lain.

Sedikit sebanyak sikap pegawai polis menggunakan anjing itu memberi implikasi buruk kepada pasukan polis. Kerana tindakan pegawai polis itu menyebabkan orang yang sudah terkilan dengan sesetengah tindakan polis sebelum ini menjadi lebih marah lagi kepada polis. Dengan kelakuan biadap polis itu orang boleh menerima atau menganggap kejadian itu sebagai itulah sikap dan budaya sebenar polis.

Kalau di tempat terbuka di hadapan khayalak polis tergamak menyumpah dan mencaci orang begitu rupa, bagaimana kalau di dalam bilik siasatan atau tahanan? Tentu bahasanya lebih kesat dan kasar lagi. Jadi tidak hairanlah kalau ada cerita atau pengalaman orang ditahan polis menceritakan mereka kena tumbuk, kena pukul, dilondehkan seluar dan sebagainya.

Kata Malek Hussein, yang ditahan di bawah akta Keselamatana Dalam Negeri (ISA) air kencing pun disuruh minum oleh polis. Berdebah, kata Malek!

Adalah elok kalau Polis di-Raja Malaysia (PDRM) menghantar mana-mana anggota atau pegawainya yang kurang memiliki sifat perikemanusiaan dan berlebihan pula sifat kebinatangan untuk mengikuti kurus sivik di Biro Tata Negara (BTN), ataupun kurus keperibadian sebagai seorang insan kamil di Jabatan-Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri.

Tidak terlupa juga Jawatankuasa Pembakaian Perkhdimatan Polis yang ditubuhkan tidak lama dulu seharusnya meneliti sama kes-kes dan kejadian pegawai polis yang ‘gila’ seperti itu. Dan mungkin juga perlu bagi pasukan polis terus menghantar anggota-anggota yang sudah jelas mereng dibuat uji kaji mental di mana-mana hospital bahagia! [wm.kl. 10:00 22/11/07]

Monday, November 19, 2007

Di Perjalanan

Tok Guruku Nik Aziz Dari Kaca Mata Siva Subramaniam

MSO

DARI jauh saya sudah nampak dia berjalan ke arah saya. Dia tersenyum. Dalam hati terfikir, mesti dia kenal aku? Mati-mati saya ingat dia tokoh DAP. P Patto atau V David? Itulah dua nama yang terlintas dalam fikiran. Wajahnya familiar sekali selalu muncul di skrin tv. Siapa?

"Apa khabar Datuk?" tembak saya. "Nak balik Penang ke?" acah memancing nak tahu ke mana dan siapa dia sebenarnya.

Dia terus duduk dekat dengan saya kemudian ketika di atas ekspres ERL dudu berhadapan pula. Semacam juga dia mengenali saya. "Ya..." dia jawab. Jawaban yang saya tidak pasti ke mana dan siapa dia sebenarnya. Dalam kepala terus mencari dan menanyai diri sendiri. Ah.. alangkah bodohnya aku, orang sehebat itu tidak dikenali.

Fikiran memang gelap. Agenda di Kota Bharu menenggelamkan akal fikir. Sebenarnya petang semalam (18 November) saya tergesa-gesa pulang ke Kota Bharu kerana sesuatu urusan yang perlu disegerakan!

"Macam mana Penang?" saya terus memancing untuk mengenalinya. "Saya ingat Penang akan dapat kali ini?" (Dapat ke DAP).

Menjadi keliru

Dia menggeleng kepala dan tersenyum sinis. Tidak segera menjawab. Saya menjadi keliru dan kesal sendiri, pancingan saya meleset. Siapa dia ini? V David atau P Patto. P Patto sudah meninggal. Jadi ini V David? Tetapi apakah V David bertanding di Penang. Mungkin? Saya bermonolog sendiri.

"Saya rasa kali ini Penang jatuh kepada DAP?" acah saya lebih berterus terang.

"Susah juga. Selalu macam itu, tetapi bila dekat dan saat-saat akhir, BN juga menang. Orang Cina susah nak teka politiknya. Mereka pandai!" katanya sependapat dan sama dengan analisa saya mengenai politik kaum Cina. Kata-kata itu menguatkan saya bahawa dia orang DAP. Namun siapa?

"Nak ke mana?" giliran dia pula menanyai saya.
"Kelantan..." balas saya.
"Selalu ke balik Kelantan?" tanyanya lagi, semacam sudah mengenali saya orang Kelantan.
"Selalu juga, mak ada sana. Sekali sebulan mesti kena balik, tengok mak?"

Saya terus tertanya sendiri. Mahu mengenali siapa dia ini. Dia pula cukup mesra menjadikan saya resah dan serba salah sendiri. Di baju t-shirtnya saya nampak ada sisa kuah kari, mungkin dia baru lepas makan. Sementara di tangkai begnya pula tertambat kain perca warna kuning sebagai penanda, macam orang kampung nak ke Makkah. Gambaran itu menunjukkan dia seorang yang low profail dan humble.

"Kelantan di mana?" tanya dia lagi.

"Rantau Panjang, dekat Golok!" balas saya.

"Saya fikir Kelantan masih lagi Tok Gurulah, susah Umno nak ambil?" tiba-tiba terlucut kata-kata itu daripada mulutnya sebagai melanjutkan persoalan saya mengenai Penang tadi. Dia sudah faham apa yang saya maksudkan tadi.

"Saya fikir kalau lagi Tok Guru ada susah orang Umno nak ambil Kelantan. Tok Guru cukup baik, akhlaknya cukup tinggi. Saya sungguh tertarik kepadanya," sambungnya lagi.

Meremang bulu roma saya bila dia sebut perkataan akhlak dan nama Tok Guruku serta memberi pandangannya Kelantan akan dapat dirangkul oleh Pas lagi. Kata-kata itu menjadi saya makin ingin mengenalinya.

"Saya ada pergi ke Kelantan baru-baru ini, saya tidak sangka Tok Guru mari jumpa saya. Dia sangat humble..." katanya lagi. Kali ini kata-kata itu mengurangkan persoalan saya mengenai dirinya. Tentu dia bukan orang DAP... kerana kalau dia orang DAP masakan dia pergi ke Kelantan untuk jumpa Tok Guruku. Namun siapa gerangannya?

"Memang Tok Guru ada pengaruh peribadi, tetapi .... sayang tidak ramai orang macam dia di Kelantan. Tidak jadi macam dia...," saya menambah sambil menduga akal politiknya.

Tidak tinggal agama

"Iya.... tetapi Tok Guru cukup baik, saya cukup senang dengannya. Dia berfikiran liberal, tidak fantik dan modern. Tetapi dia benar-benar berpegang kepada agamanya. Dia berpolitik tetapi tidak tinggal agama. Saya sangat suka caranya," ulasnya serius.

Bulu roma saya terus meremang mendengar itu. Dia memuji Menteri Besar Kelantan itu seperti penyokong fanatik Pas dari Kuala Krai atau Jeli.

"Kita tidak boleh main politik ikut sentimen. Kita kena terima realiti. Sebab itu saya selalu ingatkan orang agar kita kena terima realiti," dia mengalih kepada topik dan mendedahkan pemikiran politiknya.

"Itu hari himpunan rakyat saya rasa tidak bagus, tidak elok....orang jadi takut dan lihat negara kita sebagai ganas," katanya. Teka teki saya mulai hampir terjawab dan sekaligus terasa 'ugah' dengan kata-kata itu. Kalau dia orang DAP atau parti pembangkang dia tidak akan berkata begitu. Teringat saya semasa penyerahan memorandum kepada wakil Yang di-Pertuan Agong saya ternampak sama muka Lim Kit Siang. Bermakna himpunan itu disokong oleh DAP. Jadi masakan si tokoh ini orang DAP?

"Masa himpunan hari itu saya ada di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Depan mata saya sendiri, ada yang jerit marahkan polis, itu tidak boleh...," katanya. "Polis cukup timbang rasa hari itu," sambungnya menjadikan saya semakin yakin yang dia bukan orang parti.

"Tapi Pak Lah patut beri permit!" kata saya mahu memancingnya lagi.
Dia terdiam dan sedikit tergaman sekejap, terasa semacam kurang enak dengan kata-kata saya itu. "Apa Pak Lah perlu takut," kata saya.

Um....um... dia hanya mengangguk tidak mahu menjawab atau mengomen kata-kata saya itu.
"Tetapi saya ingat pilihan raya akan cepat diadakan, Pak Lah tidak berani tunggu lama-lama kerana boleh membahayakan kepada dia," setelah berberapa detik jadi diam, dia menyuarakan ramalan itu.

"Ini kes klik video Linggam sungguh menekan Pak Lah. Jadi dia kena cepatkan sikit. Lagipun kalau tunggu lama-lama Anwar akan bebas (boleh bertanding) lagi teruk Pak Lah," sambungnya lagi. Kata-kata ini menyebabkan saya keliru dengan tokoh ini. Tetapi yang sudah jelas dia bukan orang DAP.

Ketika ekspress ERL hampir sampai ke stesen saya tidak dapat mengagak siapa dia, cuma merasakan dia bukan orang tokoh parti politik. Setelah ekspres yang membawa kami benar-benar hendak berhenti di KLIA, barulah teka teki siapa dia terjawab apabila dia menghulurkan kad namanya kepada saya. Segera itu juga wajah dan nama yang pernah saya tulis dan kenal itu bangun dalam diri saya dan saya begitu terkilan kerana sepanjang bercakap dengannya selama hampir 30 minit saya tidak kenalnya secara pasti. Ah tololnya aku.

Pun saya merasa bangga ketika berjabat tangan denganya; pertama, kerana dia melayani dan mengenali saya serta membaca buku tulisan saya. Kedua kerana dia memahami dan memuji cara Tok Guru Nik Aziz berpolitik. Tokoh atau dia yang ku temui itu ialah Datuk Siva Subramanian a/l Nagaratnam, Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) (foto atas). [wm.kl. 11"45 pm 19/11/07]

Sunday, November 18, 2007

Susupan Pagi

Makin Jelas Siapa Yang Cuba Heret Raja

PIHAK yang terdesak dan gerun dengan himpunan 100,000 rakyat 10 November lalu nampaknya terus berusaha untuk memberi gambaran buruk mengenai himpunan berkenaan.

Kenyataan dan penafian oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Mohd Safiain Wan Musa bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak pernah terlibat memberi sokongan dalam himpunan berkenaan terus dijadikan sandaran untuk menjelaskan kepada umum himpunan itu tidak mendapat perkenan.

Walaupun rakyat umum sudah mengetahui bahwa himpunan itu memang tidak ada kena mengena dengan Yang di-Pertuan Agong, dan tidak ada mana-mana pihak pun mengaitkan dengan Yang di-Pertuan Agong nampaknya pihak-pihak terdesak itu terus menjadikan kekeliruan yang sengaja dicipta itu sebagai isu.

Semua ini dilakukan dan terpaksa dilakukan kerana pihak itu sangat tertekan dengan apa yang berlaku paa 10 November lalu. Sekiranya mereka tidak merasa apa-apa sudah tentu isu kononnya Yang di-Pertuan Agong tidak beri perkenan dan kononnya dukacita itu tidak timbul.

Dalam hal ini, walaupun penjelasan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara itu atas kemahuan dan perkenan Yang di-Pertua Agong, dan walaupun perkara itu tidak berbangkit, rakyat tidak akan berpuas hati selagi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin sendiri tidak tampil menyuarakannya.

Berbagai spekulasi boleh terjadi sekiranya Tuanku Sultan Mizan tidak tampil, termasuklah anggapan bahawa pihak Pengelola Istana itu sebagai telah diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu agar mempergunakan nama Yang di-Pertuan Agong untuk memuaskan hati pihak-pihak tertentu.

Kita tidak meragui akan ketelusan di Istana Negara, namun jika mengambil iktibar kepada kisah-kisah lampau bagaimana dengan mudah sultan dan raja di peralatkan atau difitnah hidup-hidup oleh golongan tertentu menyebabkan ketelusan itu boleh dipersoal dan dibimbangi.

Di zaman dulu orang-orang berkepetingan di istana kadang-kadang menjadi dan bertindak lebih daripada kuasa raja. Raja atau sultan hanya diberi tahu sesuatu yang telah selesai atau telah diputuskan di kalangan datuk-datuk di istana. Suasana itu juga tidak mustahil berlaku di zaman ini.

Bagaimana datuk-datuk di istana akan bersemabayam di singgahsana ketika raja atau sultan tidak ada di dalam negeri ataupun ketika sedang gering. Bukankah pada hari kejadian itu Sultan Mizan tidak ada di dalam istana?

Tidak menjadi kesalahan kalau Sultan Mizan sendiri mengulas dan menyatakan perasaanya mengenai hal itu. Rakyat rela dan bersedia apa yang sebenarnya tersekang di sukma jiwa baginda. Rakyat sedia menelan sesuatu yang pahit itu kalau ianya benar.

Saya yakin kalau baginda sendiri melapazkan apa-apa berhubung himpunan itu rakyat bersedia menerimanya dengan baik dan tidak akan mempertikaikannya lagi.

Dari awal-awal lagi ada usaha untuk damage (memburukan) himpunan berkenaan dengan berbagai rumusan dan kenyataan yang tidak tepat mengenainya. Misalnya mengenai jumlah himpunan itu sudah dikucar-kacirkan dengan angka-angka yang tidak munasabah.

Antara usaha bagi damagekan himpunan itu ialah:

1.

1. Jumlah kehadiran himpun itu berbagai-bagai. Pihak polis mengatakan 4,000 sahaja. Menteri Penerangan kata gagal tanpa menyebut kehadiran. Manakala media pula melaporkan di bawah 50,000. Bila media melaporkan di bawah 50,000 sudah tentunya atas arahan kerana angka itu menunjukkan sasaran 50,000 oleh himpunan itu tidak berjaya.

2. Kononnya ia tidak diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

3. Himpunan itu menimbulkan keganasan menyebabkan peniaga kerugian.

4. Ada pihak yang mengumpah dan mengangkut para himpunan ke ibu kota Kuala Lumpur.

5. Ada usaha mengaitkan himpunan itu dengan puak militan.

Manakala usaha paling baru ialah dengan membabitkan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah. Pihak berkenaan telah berjaya ‘memerangkap’ Sultan Ahmad Shah untuk sama memberi komen negatif mengikut kehendak mereka berhubung himpunan itu dengan mengatakan yang di-Pertuan Agong difitnah.

Kita tidak percaya kalau sebagai sultan yang bijak dan berjiwa rakyat, Sultan Ahmad membuat kenyataan yang jelas berat sebelah tanpa terlebih dahulu mendapat penjelasan daripada pihak berwajib mengenai himpunan berkenaan.

Seperti mana katanya; Saya dengan penuh kepercayaan yakin Seri Paduka tidak ambil bahagian apa-apa dalam perhimpunan itu," Memang pun sejak dari mula hingga akhir lagi Yang di-Pertuan Agong tidak mengambil apa-apa bahagian dan teribat menyokongnya.

Adalah dipercayai, usaha-usaha seterusnya akan dilakukan dengan lebih banyak lagi Sultan atau Raja-raja akan ditanya atau dibabitkan untuk memberi pandangan yang memihak kepada mereka.

Usaha ini mungkin tidak akan diperolehi secara serentak tetapi akan diusahakan secara berperingkat.

Tanpa prejudis kepada Sultan Pahang, di sini saya mencadangkan pihak berkenaan supaya meminta pandangan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. Sultan Azlan adalah paling layak untuk memberi pandangan berhubung himpunan berkenaan apakah ianya haram ataupun tidak.

Selaku bekas Ketua Hakim Negara, Sultan Azlan Shah akan dapat memberi pandangan yang adil dan tepat. Baginda akan mampu menjelaskan sejauh mana himpunan itu cuba mengheretkan raja-raja ke dalam kancah politik.

Selain itu ulasan dan pandangan juga boleh diminta daripada sultan, raja dan Yang di Pertuan Besar Negeri lain. Negara ini ada sembilan orang raja, jadi jangan tanya seorang dua sahaja, sebalik tanya semua sekali. Apa lagi kalau Majlis Raja-Raja sendiri membuat penjelasannya kelak, ia dikira lebih tepat dan muktamad mengenai status himpunan berkenaan. [wm.kl 10:00 18/11/07]

Friday, November 16, 2007

Berita Semasa

Razaleigh Anggap Himpunan 100,000 Wajar dan Munasabah.

MSO

TENGKU RAZALEIGH Hamzah menganggap tindakan 26 badan-badan NGO dan parti politik yang bergabung dalam Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) menganjurkan himpunan 100,000 rakyat, 10 November lalu sebagai satu tindakan wajar, munasabah dan mengikuti prosedur yang dibenarkan.

Menurut ahli Parlimen Gua Musang itu, kerajaan harus sedar kenapa rakyat berarak ke istana ialah kerana semua jalan atau saluran bagi rakyat mengemukakan bantahan terhadap perjalanan pilihan raya di negara ini didakwa tidak adil telah ditutupdan Perdana Menteri sendiri tidak mahu melayani permintaan dan desakan mereka.

Dalam pertemuan dengannya, Rabu lalu, beliau berkata penyerahan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong itu amalan yang diterima pakai dan pernah digunakan Umno sebelum ini dan bukan sesuatu yang ganjil.

Katanya, pada tahun 1946 Umno sendiri mengepalai perarakan mendesak Istana supaya tidak menerima gagasan Malayan Union yang hendak ditubuhkan.

"Jadi adalah tidak hairan dan mengejutkan kalau saluran sama digunakan rakyat pada 10 November lalu kerana ia pernah berlaku sebelum ini," katanya.

Bekas Menteri Kewangan itu juga kesal dengan tindakan dan keengganan kerajaan untuk memberikan permit kepada himpunan berkenaan. "Kenapa takut hendak berikan permit, walhal perlembagaan memberi jaminan kepada mereka untuk berhimpun," ujarnya.

Tambahnya sepatutnya pihak polis dan kerajaan menyedari dalam gabungan Bersih itu terdapat juga pertubuhan dan badan-badan yang didaftarkan atau sah di mana mereka berhak untuk mengadakan perhimpunan.

Ditanya apakah hasrat rakyat untuk memulih dan membersih pilihan raya di negara ini seperti mana terkandung dalam memorandum itu yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong itu, kata Tengku Razaleigh ia terserah kepada sultan atau raja.

Apa yang harus difaham katanya, raja-raja tidak mempunyai kuasa eksekutif seperti mana dimiliki perdana menteri, namun raja boleh serahkan perkara itu kepada perdana menteri.

"Sebagai raja yang berjiwa rakyat, saya percaya Yang di-Pertuan Agong akan menimbang memorandum berkenaan lagi pun ianya adalah untuk kebaikan bersama," tekannya penuh harapan.

Mengenai tuduhan Perdana Menteri ke atas pembangkang mengadakan himpunan itu sebagai usaha hendak mengheret raja-raja ke kancah politik, Tengku Razaleigh dengan tegas menolak tanggapan itu dengan mengatakan, saya tidak berfikir begitu.

"Saya tidak nampak himpunan itu hendak membabitkan raja. Apa yang berlaku mereka hanya menyerahkan memorandum itu kepada Sultan, itu saja. Lagipun itu (saluran) dibenarkan oleh perlembagaan negara,"

"Raja sebagai payung rakyat seharusnya menjadi tempat rakyat tumpang berteduh dan berlindung serta mengharapkan apa-apa pembelaan daripada baginda raja," sambungnya lagi.

Dalam pada itu Tengku Razaleigh juga menyifatkan himpunan 10 November lalu yang bertemakan warna kuning itu sebagai berjaya dan sewajarnya pihak kerajaan termasuk PM mengambil perhatian berat mengenainya.

"Eloklah Perdana Menteri meneliti tuntutan berkenaan sebaik-baiknya," katanya. [wm.kl. 11:30 pm 16/11/07]