Thursday, September 20, 2007

Berita Semasa

Nurin Jazlin abdilah kamu dalam syurga!

POLIS hari ini telah mengesahkan mayat budak perempuan yang ditemui di dalam beg beberpa hari lalu di Petaling Jaya Utara adalah Nurin Jazllin Jazimin, 8 yang hilang sebulan lalu.

Pengesahan mayat itu dibuat menerusi DNA. Bagaimana pun kedua ibubapa Nurin masih belum bersedia mengakui jenazah itu sebagai anak mereka, dan mereka merasakan anaknya masih lagi hidup dan selamat.

Perkembangan terbaru itu akan menghentikan penantian orang ramai sejak sebulan lalu mengenai nasib malng murid Sekolah Rendah Desa Setapk, Kuala Lumpur itu.

Berbagai usaha telah dilakukan oleh orang ramai dalam mengesan dan mencari Nurin Jazlin sejak beliau dilaporkan hilang dari rumah di Wangsa Maju 20 Ogos lalu. Ini termasuklah sembahyang hajat dan berdoa di beberapa buah surau atau masjid.

Seorang Exco di Kelantan khabarnya turut simpati dan memberikan doa kepada keluarga malang itu dalam kunjungan beliau ke rumahnya di Wangsa Maju. Adalah dipercayai pemberiaan doa itu pertama kali dilakukan oleh seorang Exco bagi membantu mereka yang menghadapi masalah seumpama itu.

Penemuan mayat Nurin Jazlin yang dimasukan dalam sebuah beg sungguh menyedih dan menyayukan. Rasa sedih dan tertekan itu bukan saja dirasai oleh ayah dan ibubnya, tetapi kita semua. Kita marah dan kesal dengan kejadian itu dan si pelakunya perlu dikutuk dan dihukum sekeras-kerasnya.

Sewaktu mengetahui bahawa mayat yang ditemui dalam beg itu adalah mayat Nurin Jazlin saya menitiskan air mengenangkan apa yang berlaku itu.

Bayangkanlah dalam usia sementah itu kanak-kanak itu tidak mengerti apa-apa yang berlaku ke atasnya. Dia hanya mampu pasrah apa yang yang berlaku dan dilakukan ke atasnya selama beliau berada diluar jagaan kedua ibubapanya.

Bayangkan bagaimana keadaan saat dia dianiaya dan diperkosa! Tentunya dia melaung sehabis suara dan berusaha sehabis kudrat untuk melepaskan diri dari belitan ganas penjenayah tidak berhati perut itu. Tetapi apalah yang bisa dilakukan dengan tenaga tidak berapa dan cukup lemah itu.

Walaupun kedua ibubapa Nurin Jazlin, ayahnya Jazimin Abdul Jalil, 33 dan ibunya Norazian Bistaman, 35 masih belum mengakui jenazah itu sebagai anaknya kerana tidak boleh menerima hakikat yang berlaku ke atas anaknya. Namun seperti mana dikatakan diawal tadi perkembangan itu mengakhiri sebuah penanti cukup merimas dan penuh emosi. Kita akan tetap kenang dan ingat perisitwa itu betapa sadis dan kejamnya makhluk bernama manusia!

Iktibar dari kejadian itu semoga kita semua menjadi penanggungjawab sepenuhnya bukan saja ke atas anak-anak kita tetapi ke atas anak jiran kita bahkan ke atas anak-anak Malaysia seluruhnya.

Jangan kita hairan memang ada mahkluk yang tidak berhati perut seumpama itu. Dalam hal ini kita jangan mudah membuat pertimbangan bahawa seseorang yang kelihatan baik dan waruk itu tidak akan terkecuali dari melakukan kekejaman demikian!

Kini apa yang boleh diharpakan ialah semoga pihak polis akan dapat memberkas penjenayah berkenaan secepat mungkin. Kala inilah polis perlu menunjukkan kecekapan dan juga kehebatan mereka dalam mebenteras jenayah. Kalau rakan mereka di Terengganu dapat merakam aksi perusuh, maka seluruh polis harus bergabung tenaga untuk memastikan penjenayah terkutuk itu dapat diberkas segera.

Kepada ibubapa Nurin Jazlin dan keluarganya kita hulurkan sedalam simpati dan didoakan diberikan kekuatan iman oleh Allah untuk menghadapi ujian dari-Nya yang sangat getir itu. Al Fatihah untuk Nurin Jazalin. [wm.kl 4:15 20/09/07]

Wednesday, September 19, 2007

Sajak

Mohd Sayuti Omar

Melayu


Nahhh.......>>>

Iss! /cisss.........!!!

Aurkhhhhhhhh.......(.)

Wangsa Melawati,
Kuala Lumpur.
Ogos 2007

Tuesday, September 18, 2007

Ulasan Berita

Terima Kenyataan Takiyuddin Sebagai Suara Kerajaan Kelantan

MSO

KENYATAAN Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Datuk Takiyuddin Hassan yang menyatakan Kerajaan Kelantan bersedia berkerjasama dengan Kerajaan Pusat untuk melaksanakan Koridor Pantai Timur walaupun Kerajaan tidak pernah diajak berunding hendaknya bukan kenyataan peribadi beliau. Kenyataan itu biarlah ianya menggambarkan kenyataan rasmi Kerajaan Negeri Kelantan.

Kesediaan itu biarlah bukan kesediaan Takiyuddin sebagai ahli politik, tetapi sebagai suara dan nurani Kerajaan Kelantan.

Satu hakikat yang perlu diterima untuk memaju dan mensejahterakan rakyat Kelantan ia bukan menjadi hak satu-satu pihak saja. Ia bukan saja hak mutlak baik oleh Umno ataupun Pas semata-mata. Ia adalah kewajiban kedua-dua pihak dan pihak-pihak lain juga.

Kebetulan Pas menjadi Kerajaan maka Pas diberikan peluang mengatur dan menguruskan negeri Kelantan. Dan Umno yang menjadi pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) hendaklah membantu memberi idea dan juga sokongan moral serta kritikan konstruktif.

Disebabkan Umno di peringkat Pusat menjadi Kerajaan, maka eloklah kalau Umno Kelantan berusaha menyakinkan Kerajaan Umno (BN) agar turut sama membangunkan Kelantan sejajar dengan negeri-negeri lain. Umno Kelantan boleh memainkan peranan itu dengan jujur dan ikhlas.

Umno tidak perlu menanti mereka dapat menguasai Kelantan baru hendak membawa pembangunan ke Kelantan. Keikhlasan Umno dalam membela nasib rakyat akan terserlah kalau mereka berusaha membangunkan Kelantan meskipun tanpa kuasa seperti hari ini.

Amalan dan stail politik menindas sebelum ini perlulah dihentikan. Pemimpin Umno perlu kena ketepikan sentimen dan juga rasa marah kepada Pas, sebaliknya lebih meletakkan kepentingan rakyat lebih diutamakan.

Kalaupun sebelum ini ada suara-suara nyaring di kalangan sesetengah pemimpin Pas Kelantan yang mengkritik kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi namun realitinya mereka tidak boleh menolak akan prerogetif dan hak yang ada kepada Abdullah selaku Perdana Menteri dalam memajukan Kelantan.

Kerjasama

Abdullah berhak untuk sama-sama membangunkan Kelantan, cuma dalam konteks hari ini beliau memerlukan kerjasama Kerajaan Kelantan misalnya dalam soal mendapatkan kelulusan tanah dan sebagainya. Sekiranya kenyataan Takiyuddin itu menjadi kenyataan, sudah pasti ia melegakan Abdullah sendiri.

Kuasa dan tanggungjawab Abdullah hendaklah diterima sebaik mungkin. Sudah sampai masanya kalau Pas dan Umno (di Kelantan) bersikap profesional dan liberal dalam perjuangan membela rakyat dan menjaga kedaulatan negeri dan agama.

Politik tuduh menuduh, balun membalun di antara satu sama lain lebih merugikan daripada menguntungkan rakyat Kelantan dan bangsa Melayu. Sebenarnya juga Pas dan Umno (di Kelantan) tidak perlu mendabik dada akulah yang benar dan betul kerana jika diukur dan dinilai kepada perangai beberapa kerat pemimpin Pas mereka salin tidak tumpah dengan Umno sahaja.

Jika boleh diambilkan contoh politik wang yang sangat dibencikan oleh semua orang itu, dan selama ini ia terpandang kepada Umno saja, namun fenomena itu juga kini sudah mula tumbuh yang dicambahkan oleh pemimpin tertentu di dalam Pas Kelantan.

Pada pilihan raya kecil Pengkalan Pasir dua tahun lalu mengesahkan bahawa amalan politik wang dan rasuah pengundi berkembang dengan meluasnya yang turut sama melibatkan Pas. Walaupun ia bukan arahan Pas namun gejala ini berlaku secara terang-terangan dan dilaksanakan sendiri oleh pemimpin kanannya?

Alasan

Manakala keterlupaan atau kesengajaan Umno Kelantan tidak mengundang atau menjemput Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menghadiri majlis-majlis kerajaan Persekutuan yang dihadiri Abdullah di Kelantan tidak sepatutnya dijadikan alasan dan penyebab untuk Pas terus berperang dengan parti pimpinan Abdullah itu. Anggap sahaja keadaan itu sebagai perkara remeh.

Lagipun jika dihalusi dan ditilik, memang wajar juga kalau Umno Kelantan merasa kekok untuk menjemput pemimpin Pas dalam majlis dihadiri Abdullah. Kerana tidak kurang teruk dan buruk juga sesetengah pemimpin Pas yang mengata dan mengumpat Abdullah Ahmad Badawi.

Misalnya terdapat salah seorang pemimpin telah menjadikan Abdullah sasaran utamanya dalam mengodam Umno pada ceramah-ceramah dan tulisannya. Kepada pemimpin ini seolah tidak ada secalit pun kebaikan pada diri Abdullah, sedang beliau sendiri 'berporah' dengan kekotoran yang lebih busuk daripada tahi kambing jamnapari!

Pemimpin-pemimpin seperti inilah yang bersikap sebagai kuman di sebarang nampak tetapi gajah di hadapan mata tidak kelihatan.

Kalau pun Abdullah seorang kaki tidur, hanyut dan mudah lena, namun bukan pemimpin yang berkedudukan setinggi beliau itu untuk mencaci dan mencela Abdullah. Soal-soal peribadi dan sifat semula jadi Abdullah itu (suka tertidur) cukuplah kalau ia menjadi bahan syarahan dan bahan ocehan pemimpin Pas di peringkat cawangan saja.

Berbalik kepada kenyaatan Takiyuddin tadi hendaknya ia dijadikan permulaan untuk sesetengah pemimpin Pas yang pongoh (emosi) membuat koreksi diri dan kata-katanya. Jagalah kata-kata dan sahsiah masing-masing. Pas sebagai parti Islam yang perlu mengutamakan akhlak yang mulia; tidak sombong, mudah mendekati orang hendaknya senantiasa menunjukkan sikap dan sifat demikian.

Betapa pun kita pandai dan pakar dalam bidang tertentu seperti ekonomi, menguruskan kewangan (termasuk menangguk kewangan juga) namun kalau akhlak kita buruk, hendak menghulur salam pada orang pun susah, nak jumpa terpaksa tunggu berjam-jam dan apa lagi menepis tangan orang yang hendak bersalam, ia tidak akan menjamin pemimpin begitu akan dihormati dan dimuliakan oleh rakyat.

Sekali lagi sesungguhnya apa yang ditunjukkan Takiyuddin itu adalah akhlak dan politik profesional yang wajar ditiru kerana ianya baik dan sesuai dengan sikap dan sifat sebagai pemimpin dalam sebuah parti Islam bernama Pas. [pjaya.6:40 18/09/07]

Monday, September 17, 2007

Sayang Kelantanku...

Sebaknya Hati Melihat Keadaan Jihad Ternak.
MSO

PENGEMBALIAN ke Kelantan semalam (16/09/07) saya sempat singgah di ladang Jihad Ternak di Rong Chenak. To' Uban Pasir Mas. Sambil melaram di Pasir Mas untuk mencari nyira kelapa teringin untuk menjenguk ke ladang kambing berkenaan. Agak lama juga tidak menjenguk ke situ. Sebenarnya hati sudah tawar dan hambar untuk melihat ladang kambing usahasama antara Mohd Amin Pipit - Fauzi Daud dengan Akademi Pembangunan Keluarga Bahagia Berhad itu yang direstui Kerajaan Negeri Kelantan dan dicetuskan oleh orang baju merah petak-petak itu. Al maklumlah, projek berkenaan tidak mencapai sasaran yang dihasratkan!

Begitu sampai di ladang berkenaan hati terus diusik sayu dan ditindih kehibaan. Suasananya tidak ceria dan sumaringah seperti dulu. Seperti ketika projek itu mula berjalan penuh mesra dan persahabatan antara kedua rakan kongsinya.

Suasananya muram dan masam. Tempat itu tak ubah persis tempat keras di mana menurut orang tua-tua di tempat keras bila ketika gerimis turun ia boleh meremangkan bulu roma. Saya melihat ladang itu bukan mengembirakan tetapi menyeramkan! Itulah yang terbata dalam mata petang semalam.

Bagaimana pun kedamaian dan kebersihannya masih terjaga. Rumput napiar yang ditanam sudah mulai tumbuh menghijau. Rumput itu subur dan berlumba untuk berbudi kepada alam tanpa mengetahui apa yang sebenarnya berlaku di sekelilingnya. Longgokan sampah sarap di tengah padang ragut sudah diangkat atau dibakar. Suasananya menjadi bersih dan tenang. Lapang tetapi kosong!

Tembakan pistol

Suasana ini juga terbayang kepada pekerja ladang yang hanya tinggal beberapa orang saja. Mereka juga tidak ceria dan seperti dalam ketakutan. Wajah-wajah mereka juga turut menjadi kusam dan lemas. Mungkin gema tembakan pistol sebanyak tiga das di ladang itu masih menghantui mereka. Justeru setiap kereta yang menghampiri ladang berkenaan dicurigai dan menjadikan mereka berdebar dan takut. Bimbang peristiwa melepaskan tembakan itu akan berulang lagi.

Kira-kira 60 meter berhampiran kandang kambing itu, sudah kedengaran tembakan kambing dan biri-biri. Mereka bertebek bersahut-sahutan. Beekkk... beeekkk...seolah-olah meminta agar diselesaikan segerea kemelut dan masalah yang menimpa ladang itu. Hanya manusia yang berhati perut sahaja dapat memahami dan menterjemahkan raungan hiba binatang berkenaan.

Betapa tidak masalah ladang itu masih dalam dilema. Ia masih dalam perbicaraan di mahkamah anatara Mohd Amin - Fauzi dan Akademi. Kedua pihak sedang mendapat proses mahkamah untuk memiliki ladang dan kambing berkenaan. Kedua mereka kini seperti pasangan isteri yang sedang berhadapan dengan Tok Kadhi yang memohon untuk bercerai. Keduanya tidak dapat pandang muka antara satu sama lain lagi.

Yang jadi mangsanya kini ialah anak-anak yang tidak berdosa. Kambing dan segala macam makhluk di ladang itulah yang menjadi mangsa dengan keadaan sekarang ini. Mereka seakan terbiar dan dibiarkan oleh kedua ibubapanya yang sedang bercakar untuk bercerai.

Buat masa ini Mohd Amin - Fauzi menguasai kandang berkenaan. Manakala pihak Akademi tidak dibenarkn masuk atau melakukan apa-apa aktiviti seperti sebelum ini. Akademi sedang memohon perintah mahkamah untuk mengenepikan injuksi yang diperolehi Mohd Amin.

Semalam kedua pihak menerusi peguam masing-masing sudah menghadap Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi mencari penyelesaian. Pihak Akademi dikatakan telah mengemukakan injuksi balas ke atas injuksi yang diperolehi Mohd Amin. Tetapi penyelesaian masih belum putus. Khabarnya kedua pihak diminta hadir semula ke mahkamah itu pada 3 Oktober hadapan bagi mencari penyelesaian muktamad.

Proses sedang berjalan. Sementara keputusan selesai, ladang itu dalam keadaan dilema dan tidak ceria, kambing dan biri-biri yang ada di situ terus diancam masalah. Walaupun Mohd Amin berhak namun kuasa itu sementara sahaja. Keadaan inilah menjadi tumpuan seratus peratus kepada ladang itu sudah tidak ada. Kesan daripada itu menyebabkan ladang itu seakan terbiar dan membebankan.

Apa yang paling memeritkan ialah waktu ini kambing atau biri-biri di landang itu sedang beranak. Kesemua lebih 1, 700 ekor kambing dan biri-biri yang berada di situ dalam keadaan bunting. Sebahagian daripadanya sedang menanti saaat untuk melahirkan. Hari ini antara lima hingga lapan ekor sehari kambing atau biri-biri yang melahirkan anak.

Penjagaan rapi

Dalam suasana seperti ini haiwan itu memerlukan panjagaan rapi. Mana-mana anak kambing yang lahir perlu dirawat dan diberi bantuan. Makanan untuk ibu juga harus bergizi dan berkualiti. Sebaliknya apa yang berlaku sekarang ini tidak seperti mana sepatutnya. Kambing-kambing yang lahir itu dibiarkan tanpa diurus oleh manusia. Sudahlah pekerja tidak mencukupi semangat mereka juga sudah terjejas dengan apa yang berlaku kini.

Apa yang paling ketara ialah makanan sudah berkurangan. Penjagaan terhadap kambing juga tidak serapi dulu. Doktor juga tidak ada. Manakala pihak Mohd Amin sudah merasai perit untuk terus membekal makanan kambing bersendirian di situ yang jumlah semakin bertambah dari sehari ke sehari. Keseluruhan bebanan ladang berkenaan terpikul ke atas bahunya. Tahap penjagaan juga semakin meningkat dengan kelahiran kambing dan biri-biri baru.


Misalnya selama saya berada di situ tidak sampai setengah jam empat ekor biri-biri melahirkan lapan ekor anak. Disebabkan tidak cukup kakitangan anak haiwan itu dibiarkan begitu saja kepada ibu mereka. Apa lah yang boleh diharapkan kepada seekor ibu kambing untuk menjaga anak-anaknya dalam susana kalut dan ramai begitu.

Anak-anak kambing yang masih lembek itu terbiar begitu saja, tanpa dipedulikan sesiapa. Kalaulah ada manusia yang tidak tahu bertangungjawab, apa lagi dengan binatang bernama kambing, terdapat juga kambing yang sama dengan manusia seperti itu - tidak bertanggungjawab atau bersikap lepas tangan untuk menyelamatkan diri.
Saat melihat keadaan inilah hati jadi begitu tersentuh apabila mengenang apa yang berlaku ke atas ladang berkenaan. Suasana hiba dan sedih itu tidak akan berlaku kalau ladang itu diurus dengan baik. Kalau semua pihak bertanggungjawab, tidak tamak dan berpegang kepada janji asal, anak-anak kambing yang baru dilahirkan tidak akan terbiar berbelit dengan tali pusat ataupun kelemasan sehingga membawa maut.

Bagi mereka yang mempunyai perasaan kebinatangan dan perikemanusiaan akan menitis air mata melihat dan mengenang apa yang berlaku di Jihad Ternak sekarang. Tetapi bagi mereka berhati batu dan buat kerja macam kucing timbus tahi tidak merasai apa-apa melihat suasana yang menyayatkan itu. Mereka melihat panorama itu seperti mana musang atau tikus melihat kayu dan batu saja. Bahkan mungkin ada yang ketawa mengejek menyedari hal ini.

Menurut pengawal ladang berkenaan jumlah kambing di ladang itu kini sudah mencecah ke angka lebih 2,000. Mereka menjangka dengan kadar kelahiran hari ini (enam hingga 10 ekor) sehari dengan kira-kira 500 ekor yang sedang bunting dan menanti saat untuk melahir, landang itu akan mempunyai 2,500 sebelum menjelang tahun depan.

Penambahan ini sesungguhnya merumitkan keadaan dan membebankan kepada pihak yang mengawal ladang tersebut. Tidak mustahil kerana masalah dan bebanan itu menyebabkan kambing-ambing itu akan terus menjadi mangsa. Kerana kurang penjagaan dan makanan berkhasiat menyebabkan kambing itu akan mengalami sakit dan seterusnya akan mati begitu saja.

Keindahan dan kebahagiaan

Demikianlah lukisan dan realiti di ladang kambing Jihad Ternak di Rong Chenak hari ini yang dibangunkan atas hasrat suci dan murni untuk membantu rakyat Kelantan yang miskin. Keceriaan dan kesumaringahan yang wujud sebelum ini, seketika saja bak menjelmanya pelangi di senja hari. Ia mempamirkan keindahan dan kebahagian sekejap saja. Selepas itu ia hilang dan ghaib begitu saja dengan meninggalkan setitik nostalgia.

Begitu juga dengan keindahan dan seri ladang Jihad Ternak, ianya indah sekejap saja, kini ia sudah mula berbalam dengan kehuduhan dan keburukan yang menakutkan. Mungkin ramalan sebelum ini ladang itu akan menjadi tempat hantu dalam tempoh tidak berapa lama lagi akan menjadi kenyataan. Orang akan mengenangkan ladang itu nanti sebagai kubur korban pembunuhan orang-orang petah bercakap tetapi rapuh dengan janjinya.

Ketika melangkah meninggalkan ladang berkenaan, kambing-kaming terus bertebek sahut menyahut seakan terus memberi tahu masalah mereka dan memohon agar manusia-manusia yang membawaaya ke situ segera menyelesaikan kemelut yang berlaku. Mereka tidak mahu mereka yang tidak berdosa dijadikan mangsa amarah jahat mansia.
Dalam sahutan itu juga seakan terdengar seperti mereka minta agar dihantar pulang semula ke tempat asal mereka di Kaligeseng, Yogjakarta. Mereka seakan perit dan tidak betah untuk terus mendiami dan senak perut berada dibumi Kelantan Darulnaim. Dan terdengar juga di telinga saya dalam sahut-sahutan itu seperti ada kambing yang menyumpah-nyumpah manusia yang munafik dan bersikap 'mulut manis jubur masam' (bikin tak seperti cakap) dengan projek berkenaan. [wm.kl 5.55 am 17/09/07]

Sunday, September 16, 2007

Ulasan Berita

Perihal membakar bendera.

Bendera adalah panji diri sesebuah negara. Ia juga adalah panji kepada sesuatu bangsa. Maruah dan kehormatan bangsa dan negara itu terletak kepada bendera. Bendera menjadi lambang kepada bangsa dan negara.

Bagaimana pun menghormatinya bukan sampai kepada peringat hukum wajib seperti mana hukum agama, seperti rukun Islam dan rukun Iman. Maknanya kalau tidak menghormati bendera tidak sampai akidah seseorang itu syirik atau kufur. Hukumnya berbeza dengan aksi ataupun perilaku umat Islam yang masuk ke dalam rumah berhala dan menghormati Tokong Budha.

Bendera hanya sehelai kain yang dicat dengan lambang sesebuah negara itu. Meterial kain itu adakalanya mahal dan ada kalanya lebih murah daripada sehelai stoking budak sekolah Tadika. Namun nilai dan maruahnya sangat mahal.

Oleh sebab itu bendera di letak dibawah atau ada peruntukan undang-undang untuk memelihara dan menghukum orang yang menghinanya. Perbuatan itu boleh disifatkan sebagai tidak petriotik dan cintakan dan boleh disifatkan penderhakaan kepada negara. Mereka yang tidak sayangkan kepada negara tidak berhak untuk berada di negara ini.

Jadi apabila ada orang bakar bendera di Batu Buruk, Kuala Terengganu minggu lalu ia sungguh menyakitkan hati kita semua. Perbuatan itu sebagai satu penghinaan dan tidak bermaruah terhadap bangsa dan negara berdaulat ini. Sesungguhnya perbuatan itu kena dikutuk sekeras-kerasnya. Dan si pelaku berkenaan hendaklah dihukum dengan hukuman setimpal dan seberat-beratnyanya tidak kira siapa orang itu.

Melainkan yang membakar bendera itu orang gila mungkin dia perlu dilepaskan. Tetapi kalau dia waras, tiak kira siapa dia, dan anak siapa, harus dikenakan tindakan. Kalau ia anggota polis sekalipun, polis tidak perlu menyelindunginya, atas alasan apa saja termasuk tidak dapat dikesan atau sebagainya.

Kalau dia orang Pas atau Keadilan, Pas dan Keadilan harus mengambil tindakan disiplin kepadanya walaupun perbuatan itu dalam rangka untuk memproteskan demi perjuangan parti berkenaan. Memang orang itu bersalah dan tidak boleh dilindungi atas dasar apa sekalipun, kecuali dia adalah seorang yang tidak waras dan sinting.

Hari ini masih kabur siapakah si pelaku itu sebenarnya? Apakah ianya dilakukan oleh orang yang memang atas niat datang ke situ kerana ingin membakar bendera ataupun pembakaran itu suatu provokasi oleh pihak-pihak tertentu (polis?) bagi memburukkan pihak pembangkang?

Apapun kita berharap ia akan selesai tidak lama lagi.

Dalam prihal membakar bendera ini kita juga mengalu-alukan tindakan polis yang berusaha untuk mengesan dan menangkap orang yang bertanggungjawab melakukannya. Terima kasih juga kepada rakyat Malaysia yang memberi komen melahirkan rasa benci atas apa yang berlaku. Itulah tanda sifat orang yang sayangkan kepada negaranya.

Tetapi di sini ingin saya timbulkan sedikit mengenai peristiwa pembakaran bendera kita di negara lain. Misalnya di Jakarta sudah berapa banyak bendera kita dibakar. Paling baru ialah baru-baru ini ketika timbul isu polis Malaysia pukul jurulatih karate Indoensia di Nilai Seremban, Negeri Sembilan (melibatkan polis juga), rakyat Indonesia yang marah dengan kejadian itu telah membakar Jalur Gemilang di Jakarta.

Kenapa orang kita tidak melenting dengan kejadian itu? Tidak ada pun orang kita yang tampil dalam tv atau surat khabar mengutuk kejadian itu. Paling menyedihkan seolah-olah orang kita tidak pun peduli langsung dengan kejadian itu.Pembakaran bendera kita itu tidak pun memedihkan hati kita.

Walhal ketika kejadian itu Menteri Luar Malaysia Syed Hamid Albar berada di Jakarta dan mungkin beliau turut terhidu bau hamis bendera kita dibakar. Tetapi apa yang menteri luar itu dilakukan? Beliau dan Ketua Polis Negara, Musa Hassan yang juga turut berada di Jakarta hanya memohon maaf kepada rakyat Indoensia atas salah laku polis tetapi tidak pun kata apa atas perbuatan biadab rakyat Indonesia itu.

Kenapa mereka tidak berani mengutuk rakyat Indonesia yang biadab itu?

Berbeza dengan apa yang berlaku di Terengganu itu. Polis bukan main lagi menunjukkan keberengan dan dan belang keberanian mengutuk pembakar bendera itu. Siap dengan gerakan memburu si pelaku itu. Gambar-gambar orang yang disyaki dapat membantunya mengesan si pelaku itu di siarkan dalam akhbar bagaikan penjenayah sekejam pembunuh Altantuya!

Apakah rakyat kita bacul dan penakut untuk berhadapan dengan rakyat Indoensia? Kita hanya berani dengan anak buah – rakyat kita sendiri saja? Mungkin benarlah juga 'sabda' Sanusi Junid yang Melayu hari ini sudah penakut dan bacul!

Sepatutnya kalau kita benar petriotik, kita kutuk apa yang berlaku di Indonesia itu. Kita kecam kalaupun tidak sampai kita membalas dendam membakar bendera merah putihnya. Jangan kita hanya berani di kampong sendiri saja tetapi kecut perut bila berhadapan dengan orang lain.

Dalam hal ini nampak sangat polis kita bertindak double standard. Kalau dengan Melayu - sesama sendiri mereka berani tetapi kalau dengan orang lain, tidak usah kira rakyat Indonesia dengan penternak babi di Paya Mengukang, Alor Gajah Melaka pun mereka takut.

Nampaknya sikap polis ini sudah mewarisi sikap para atlit kita. Mereka berani dan menunjukkan hebat di gelanggang sendiri saja, tetapi kalau di luar mereka konyol dan kecut perut dan kalah roma!

Begitu juga dengan media arus perdana. Mereka tidak sepatutnya menonjolkan akan kejadian di Terengganu itu saja tetapi lebih elok kalau mereka minta komen orang ramai mengutuk apa yang berlaku di Jakarta tempoh hari. Kenapa tidak berani?

Hendaknya kita janganlah hanya berani kalau sesama sendiri dan menikus dan gerekuk macam ulat gonggok kalau dengan orang lain. Berani sesama sendiri tidak ada gunanya bahkan orang akan mengatakan kita bodoh.

Kita harus berani dengan orang luar yang jelas cuba mempermian-main dan merendahkan martabat kita. Sikap double standard ini adalah sifat hipokrit terhadap bangsanya sendiri yang tidak perlu diwarisi. [kb.kel.16/09/07]

Thursday, September 13, 2007

Berita Lewat

Dua Buah Kereta Razak Abas Terbakar?

SEMALAM saya menerima dua tiga khidmat pesanan ringkas (SMS) yang memberi tahu dua buah kereta kepunyaan Abdul RAzak Abbas yang tersimpan di perkarangan rumahnya di Rantau Panjang Kelantan terbakar.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 3.00 pagi disyaki perbuatan khianat. Razak menyedari kejadian itu apabila terdengar letupan.

Menurut SMS itu apabila Razak keluar dari rumahnya beliau sudah dapati kedua buah keretanya Mercedez dan Honda Jazz telah hangus terbakar.

Abdul Razak adalah bekas ahli Umno dan salah seorang anggota Pemuda Tahan Lasak di era 60-an. Beliau meninggalkan Umno dan menyertai Parti Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah pada tahun 1989.

Apabila parti berkenana dibubarkan dan sebahagian ahlinya menyertai Umno, Razak tidak ikut serta sebaliknya beliau memilih Pas sebagai wadah perjuangannya.

Di dalam Pas beliau mendapat tempat dan pernah dilantik menjadi Pegawai Penerangan Pas Kelantan. Beliau juga pernah bertanding dalam pilihan raya umum 1999 menentang Tengku Razaleigh Hamzah di parlimen Gua Musang, tetapi kalah.

Beliau juga pernah dilantik menjadi Penyelia Parlimen Gua Musang dan ahli Majlis Daerah Gua Musang. Sebelum aktif dalam politik , Razak merupakan serang pengusaha wayang gambar (wayang pacak) pada tahun 70-an.

Razak pernah didakwa atas tuduhan melakukan perbuatan tidak senonoh kerana menyelak kain kepada Puteri Umno, bagaimana pun beliau dibebaskan dari tuduhan memalukan itu. [wm.kl 13/09/07]

Ucapan

Selamat Menjalani Ibadah Puasa

Assamualaikum warahmatullahiwabaraktuh... DI SINI saya mengambil kesempatan mengucapkan selamat menjalani ibadat puasa bulan Ramadhan kepada semua kaum muslimin dan muslimat teristimewa kepada pengunjung blog saya. Semoga di sepanjang Ramadhan ini kita diberikan kekuatan iman, kesihatan tubuh badan oleh Allah s.w.t.bagi menjalani ibadat puasa dan lain-lain ibadat.Mudah-mudahan Allah menerima segala amal kebajikan kita dengan sesempurnanya. Terima kasih.- mso

Wednesday, September 12, 2007

Susupan Dinihari

Mangsa 'Rusuhan' Batu Buruk, Terengganu.

JAM 7.30 pagi tadi, saya telah berlepas ke Kota Bharu. Tujuannya satu saja untuk mendapatkan gambar mangsa 'rusuhan' Suwandi Abdul Ghani 37, yang terkena tembakan polis (yang menggunakan peluru hidup) semasa berlaku apa yang dikatakan sebagai 'rusuhan' di Batu Buruk, Kuala Terengganu pada malam 9 September lalu.

Gambar berkenaan (foto) dirakam oleh seorang kawan yang telah menziarahi mangsa di Hospital Universiti Sains Kubang (HUSM) Kubang kerian pada malam 10 September.

Rakan itu berjanji ingin mengirimkan segera gambar berkenaan kepada saya untuk dimuatkan ke dalam blog untuk tatapan pengunjung blog saya. Saya rasa gambar mangsa itu perlu disiarkan memandangkan tidak ada mana-mana pihak menyiarkan ataupun dapat merakam gambar mangsa berkenaan bagi memberikan gambaran yang sebenarnya.

Apabila diberi tahu yang beliau dapat merakamkan gambar itu saya tidak sabar untuk melihatnya dan menyiarkan dalam blog ini bagi dikongsi bersama perasaan sayu dan hiba atas nasib yang menimpa mangsa pemuda berasal dari kampung Binjai Rendang itu.

Malangnya selepas hampir enam jam menunggu gambar berkenaan tidak juga tiba-tiba saya, mengambil keputusan terbang ke Kota Bharu untuk melihat sendiri mangsa berkenaan.

Keingina itu makin membuak-buak lagi apabila di dalam surat khabar hanya gambar anggota polis yang cedera saja yang dimuatkan. Kelihatan anggota polis berkenaan sihat dan tidak mengalami luka-luka yang serius.

Sesampai di Kota Bharu pagi tadi (jam 11: 45) saya terus menghubungi kawan berkenaan dan bertanyakan khabar gambar yang dimaksudkan itu. Selepas menanyai itulah dan memberitahu saya berada di Kota Bharu beliau baru tergesa-gesa untuk mengirimkannya.

Kebetulan semasa di Kota Bharu tadi saya tidak dapat membuka email kerana masalah teknikal yang berlaku kepada laptop di samping sedikit sibuk. Maklumlah bila sampai di Kota Bharu banyaklah kerenahnya dan orang-orang yang tidak diundang datang untuk mendapat berita-berita politik!

Semasa di Kota Bharu tadi juga saya bercadang untuk ke HUSM, bagi melawat Suwandi. Namun malangnya saya diberitahu sukar untuk menziarahi mangsa kononnya ada kawalan ketat oleh pihak tertentu.

Mendengar itu saya batalkan niat itu, lagi pun gambar yang dimaksudkan itu sudah pun dikirimkan ke email saya.

Sebaik menjejak kaki ke rumah (jam 12: 40 pagi) baru saya dapat membuka email dan melihat gambar yang dikirimkan itu.

Sungguh memilukan sekali. Dan gambar ini disiarkan di sini untuk tatapan pengunjungi blog ini. Bandingkan siapa lebih azab apakah anggota polis yang cedera di telapak tangan itu ataupun mangsa 'rusuhan' ini, (Suwandi Abdul Ghani).

Gambar ini diambil ketika Suwandi di HUSM menanti masa untuk pembedahan bagi mengeluarkan peluru di paru-parunya.

Sementara itu perkembangan terbaru Suwandi beliau telah selamat menjalani pembedahan pada malam kelmarin (10 September) dan kini masih lagi dirawat di HUSM , Kubang Kerian. [wm.kl 12:53 12/09/07]

Monday, September 10, 2007

Rencana Khas

Tembak Demokrasi Kerajaan Abdullah Sudah Terdesak!

MSO

SEKALI pandang apa lagi kalau menerima kenyataan daripada Ketua Polis Terengganu, Ayub Yaakob peristiwa atau tragedi yang berlaku di Batu Buruk malam Sabtu lalu memberi gambaran betapa jahat dan sadisnya puak pembangkang kerana mereka sanggup menyakitkan anggota keselamatan negara.

Sekali lagi kenyataan itu memberi gambaran bahawa parti pembangkang suka bertindak diluar batas dan melanggar peraturan negara dan tidak peduli biarpun nyawa terancam.

Kejadian itu juga memberi kesan psikologis kepada penyokong parti pembangkang. Bagi mereka yang mudah ditimpa phobia dan lemah semangat mungkin akan berfikir dua kali untuk menghadiri apa-apa majlis anjuran pembangkang di negeri berkenaan.

Mereka bimbang dengan keselamatan diri mereka. Betapa tidak, kalau menghadiri ceramah pun terpaksa menggadai nyawa sedangkan mereka ada anak, isteri atau ibubapa yang perlu dijaga di mana tanggungjawab kemanusiaan itu tentulah lebih afdal daripada menghadiri ceramah yang berisiko.

Ketiak Kerajaan

Berlainan dengan pihak parti Umno yang berlindung di bawah ketiak kerajaan sangat gembira dan bahagia dengan kejadian itu. Lebih-lebih lagi Umno Terengganu, mereka akan merasakan selepas ini tiada lagi ‘gangguan’ pembangkang. Mereka mengira tentu selepas ini penyokong pembangkang tidak lagi berani untuk menganjurkan apa-apa perhimpunan besar?

Peristiwa dan tragedi itu meninggalkan phobia – rasa takut mendalam kepada mereka!

Sekiranya itu perhitungan Umno, ia silap. Perhitungan itu meleset jauh sama sekali. Bagi mereka (penyokong Pas) yang hadir ke tempat-tempat ceramah atas semangat perjuangan (jihad), peristiwa atau kejutan seperti itu sesekali tidak menggentarkan mereka. Mereka sudah diajar dan berpengalaman berhadapan dengan peristiwa sebegitu, bahkan lebih sadis daripada itu.

Aksi demonstrasi dan juga pukulan cota polis di era reformasi 1998 dulu menjadikan mereka kalih dan ada yang merasa sedap bila dikejar polis dan ketawa terbahak-bahak takkala melihat ada anggota polis FRU yang terjatuh atau rebah ketika mengejar para demonstran.

Apa lagi kalau tragedi itu seperti mana dakwa Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mustafa Ali ia adalah pre-plan oleh pihak Umno yang melibatkan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Senator Wan Farid Wan Salleh dengan pihak polis.

Dalam satu kenyataan khas mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Pas di Jalan Raja Laut petang tadi, Mustafa memaklumkan ada maklumat yang diterima menunjukkan tragedi itu adalah satu konspirasi di antara Umno Terengganu dengan pihak polis.

“Maklumat yang diterima daripada Abdul Wahid Endut, menyebut bahawa kira-kira jam 3 hingga 4 petang pada 8 September lalu, sewaktu satu kursus diadakan, seorang polis yang mengendalikan kursus tersebut telah menerima satu panggilan yang memaklumkan bahawa satu 'huru-hara' akan berlaku menjelang malam nanti di pantai Batu Buruk dan pegawai polis bertugas yang tidak beruniform dikehendaki memastikan identiti dengan memakai riben,” cerita Mustafa.

Menitis darah

Mungkin di pihak Umno bersorak sakan dengan kejadian itu kerana mereka dapat melihat bagaimana sebuah perhimpunan pembangkang dapat digagalkan oleh pihak polis. Mereka tidak perlu fikir apakah tindakan menggunakan peluru hidup dan sampai menitiskan darah, itu tidak penting, yang penting tragedi itu akan memberi perlindungan kepada mereka (di Terengganu).

Bagaimana pun di samping ia memberi ‘kebahagiaan’ kepada BN, namun ia tetap mendatang impak dan implikasi tersendiri kepada BN. Konspirasi itu sebenarnya menyusahkan Umno Terengganu. Kejadian itu menyebabkan orang ramai dan pemerhati mula membuat analisa apakah sebab musabab maka kejadian itu berlaku.

Kalau sebelum ini umum tidak mudah mempercayai kata-kata pembangkang bahawa akan berlaku satu gelora di Terengganu dalam pilihan raya akan datang, namun dengan meletuskan tragedi itu orang ramai mula membuat analisa sendiri.

Secara ringkas ada dua kesan dan kesimpulan yang boleh dibuat di sebalik kejadian itu.

Pertama, Umno Terengganu sudah takut dengan kebangkitan rakyat akhir-akhir ini yang mempersoalkan kewibawaan kerajaan. Dan kedua, menunjukkan kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi berada dalam keadaan terdesak sehingga terpaksa dan sanggup menggunakan pasukan keselamatan.

Seperti mana yang diperkatakan akhir-akhir ini, rakyat Terengganu sudah mula merasai kurang selesa dengan kerajaan BN pimpinan Idris Jusoh. Setengahnya yang sebelum ini tersihir dengan janji dan dakwaan Umno sehingga tergamak mengenepikan Pas, kini sudah mula insaf dan sedar dan mahu Pas kembali memerintah Terengganu semula.

Keadaan itu ditambah dengan rasa kurang senang terhadap sikap dan gaya kepimpinan Idris Jusoh yang dikatakan bersikap kejam dan zalim kepada rakyat. Tindakan kerajaan Terengganu merampas balik tanah yang diberikan kepada rakyat miskin oleh kerajaan Pas lalu sesuatu yang sangat dikesali dan menimbulkan kemarahan rakyat kepada Idris Jusoh.

Keburukan itu ditambah lagi dengan sikap Idris Jusoh yang dikatakan telah membahagikan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di kalangan kroninya sahaja serta banyak membawa projek ke Besut.

Legasi

Manakala bagi Abdullah pula beliau sudah pasti mahu BN kekal menguasai Terengganu. Terengganu adalah negeri pembangkang pertama yang berjaya dirampas oleh Abdullah dalam pilihan raya pertama beliau menjadi Perdana Menteri. Kejayaan itu menjadi legasi kepadanya dan ianya harus dipertahankan bagi membuktikan beliau masih popular dan berpengaruh.

Demi itu semua tidak mustahil kalau Abdullah bersedia membenarkan pasukan keselamatan melakukan apa juga tindakan bagi memastikan Terengganu kekal kepada BN pada pilihan raya akan datang. Walaupun ketika tragedi itu Abdullah tidak berada dalam negeri, namun ia tidak memudahkan orang untuk tidak mengaitkan beliau dengan kejadian itu. Lagipun Setiausaha Politiknya Wan Farid ada di Terengganu dan antara orang paling awal mengulas mengenai kejadian itu. Sudah pasti sebagai Menteri Keselamatan Dalam Negeri, (KKDN) Abdullah perlu tahu dan dimaklumkan tindakan berkenaan.

Hakikat ini tidak boleh ditolak atau ianya suatu andaian mentah saja. Kerana kurang 48 jam selepas kejadian itu, KKDN telah membuat pengumuman perhimpunan atau majlis ceramah politik tidak dibenarkan lagi. Timbalan Menterinya, Johari Baharum berkata KKDN memutuskan tidak akan membenarkan sebarang ceramah awam diadakan di tempat terbuka sebelum pilihan raya diadakan. Katanya, langkah itu untuk mengelakkan berlakunya rusuhan.

Melihat bagaimana tergesa-gesanya kenyataan dan arahan itu dibuat semacamlah tragedi di Batu Buruk itu sebagai sengaja dilakukan untuk dijadikan turning point bagi menutup pintu dan menghalang pembangkang turun menemui rakyat. Serentak itu membenarkan dakwaan pembangkang bahawa tragedi berdarah di Baru Buruk itu adalah satu perancangan.

Yakinlah kalau rakyat sudah bangkit dan rasa marah sudah meledak, halang dan sekatlah dengan apa juga akta ataupun senjata, mereka tetap akan bangkit dan mara. Apabila sudah ke tahap melampau manusia akan hilang perkiraan dan mereka tidak akan hirau lagi apa akan terjadi. Hanya satu penawar sahaja untuk menyekat keadaan ini Kerajaan (Polis) hendaklah bersikap adil, berikan permit dan kebebasan menurut peraturan demokrasi kepada pembangkang.

Nescaya kalau mereka dilayan sesuai kehendak prinsip dan semangat demokrasi, kejadian buruk seperti berlaku di Batu Buruk itu dapat dihindarkan! [wm.kl 9:55 10/9/07]

Susupan Pagi

Usaha Angkat Ashaari Sebagai Pemimpin Dunia

MENJELANG Maghrib semalam ada seseorang mengirimkan sebuah buku mengenai Ashaari Muhammad, bekas Syaikul Al-Arqam kepada saya. Buku itu dititipkan menerusi isteri saya. Menurut isteri orang yang memberikan buku itu menyebut, ia pula dipesankan oleh seseorang yang lain agar memberikan buku itu kepada saya.

Memang kalau ada buku-buku baru yang ditulis/idea alias khayalan Ashaari akan dikirimkan kepada saya. Dalam hal ini orang-orang Arqam begitu rajin menyampaikan maklumat atau apa-apa bahan yang dihasilkan oleh pemimpin mereka itu. Mereka juga bersungguh dan komited. Satu masa Ashaari mengirimkan wakil khasnya untuk menyampaikan hemper dan sebuah buku barunya kepada saya walaupun ketika itu saya berada jauh di kampung kerana berhari raya.

Buku yang dikirimkan lewat Maghrib semalam berjudul "Abuya Hj Ashaari Muhammad Adalah Putera Bani Tamim". Buku itu disusun oleh Mohd Nizamuddin Hj Ashaari dan Laila Ahmad. Nizamuddin dan Laila adalah anak dan menantu Ashaari.

Buku itu tidak tebal hanya 92 muka surat saja. Di sudut sebelah kiri buku itu ditulis (cop) "Bukan untuk dijual". Ianya diterbitkan Ogos lalu oleh syarikat Perniagaan Mata Angin. Maknanya buku ini bukan untuk sebaran terbuka tetapi dikhususkan kepada di kalangan orang atau simpatis Arqam sahaja.

Begitu melihat kulitnya saya sudah mengagak apa yang ada di dalamnya. Ia adalah cerita mengenai kehebatan Ashaari yang didaulatkan orang-orangnya selama ini. Tidak ada perkara baru dalam buku itu melainkan cerita dan isu yang sudah didebat dan diperkatakan serta disimpulkan mengenai Ashaari selama ini.

Isinya berkisar mengenai kejayaan Ashaari sebagai pemimpin Arqam dan kehebatannya. Apa yang hendak dicerita dan ditekankan bahawa Ashaari adalah seorang pemimpin agung bertaraf nabi-nabi yang dipilih Allah s.w.t. untuk memimpin dunia ini. Beliau bukan pemimpin biasa dan sembarang tetapi yang dipilih khusus oleh Allah.

Beliau bukan setakat bercita-cita untuk menjadi wakil rakyat atau menteri tetapi seorang mujadid bakal mememerintah dunia ini menerusi ilmu secara laduni. Di sinilah kehebatan Ashaari. Hebat!

Buku berkenaan masih membawa masej dan cerita lama mengenai Ashaari. Ia diulang dan diingatkan kepada orang-orang yang masih menyokongnya agar terus yakin Ashaari adalah Pemuda Bani Tamim, (bukan kicap cap Tamim) yang dipilih dan akan muncul memerintah alam jagat. Pemuda Bani Tamim akan memberi perlindungan dan sufaat di akhirat kelak.

Hujah bagi menguatkan sokongan itu diambil daripada risalah-risalah ataupun doktrin-doktrin Ashaari sebelum ini. Keseluruhan hujah itu pernah menimbulkan kotroversi dan telah pun difatawakan sebagai salah atau sesat. Tidak ada hujah atau penemuan baru bagi mengesahkan Ashaari apa yang diakui sebagai Pemuda Bani Tamim itu.

Penerbitan dan pengedaran buku itu menjelaskan bahawa masih ada saki baki pengikut dan penyokong Arqam yang terus berkhayal dengan cita-cita dan doktrin Ashaari. Mereka masih berpegang dan yakin Ashaari adalah pemimpin (Al-Mahdi) di akhir zaman!

Walaupun buku ini cuba menghidupkan semula Ashaari dan menghijaukan khayalannya, namun ianya tidak perlu bimbang kerana ia tidak akan mengubah pendirian orang ramai kepada Ashaari dan ajarannya yang dianggap menyimpang itu.

Yang ralatnya penobatan Ashaari ini dengan segala macam khayalan dan bidaah itu dilakukan sendiri oleh anaknya. Sebelum ini orang yang gila-gila dan gila meletakkan Ashaari di langit tinggi adalah isterinya Khatijah Am. Apakah ada konspirasi untuk meletakan Ashaari di situ demi mendapat sesuap nasi! Ashaari dijadikan alat atau sumber untuk mendapat rezeki? [wm.kl 9:44 10/9/07]