Thursday, February 14, 2008

Maklumat Terbaru

Awang Adek Popular Sebagai MB Kelantan

NAMA bekas Timbalan Menteri Kewangan, Awang Adek Husin kini menjadi sebutan bakal dilantik menjadi Menteri Besar (MB) Kelantan seandainya BN menguasai Kelantan pada 8 Mac nanti.

Satu sumber rapat dengan pejabat Presiden Umno, Abdullah Ahmad Badawi menyebut nama Awang Adek Husin disenarai bertanding disalah satu DUN di Kelantan pada pilihan raya akan datang.

Ditanya apakah beliau turut mengekalkan kerusi Parlimen Bachok sebagai mengikut formula yang dilakukan Mustapa Mohamad dalam pilihan raya lalu yang bertanding dua kerusi Parlimen Jeli dan DUN Air Lanas, sumber itu enggan mengulas.

Bagaimana pun keputusan belum muktamad lagi.

Sehubungan itu tersebar juga khabar mengatakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Annuar Musa tidak akan bertanding di mana-mana kerusi baik Parlimen ataupun DUN pada pilihan raya akan datang.

Langkah itu diambil bagi mengurangkan masalah kepada Umno Kelantan.

Annuar yang dianggap sebagai menjadi liabiliti kepada Umno dikatakan akur dengan kemungkinan strategi itu.

Sebelum ini dalam satu kenyataan akhabr Annuar menyatakan kesediaanya untuk tidak dicalonkan bertanding dalam pilihan raya akan datang. Manakala dalam kenyataan lain beliau mengeluarkan pandangan semua ahli politik menjadi liabiliti.

Menurut sumber itu juga alasan pencalonan Awang Adek sebagai bakal MB Kelantan ialah memandangkan bekas ahli Parlimen Bachok itu mempunyai hubungan baik dengan pihak istana Kelantan.

Umno masih lagi menerima paradigma lama iaitu sesiapa yang bermasalah dengan istana sukar untuk dicadangkan menjadi MB Kelantan. [jln tar kl. 11:05 pm 14/02/08]

Analisa Semasa

Umno dan Pas Mencari Bakal MB

MSO

UMNO dan Pas Kelantan masih terus bermain 'silap mata' dan mencari strategi terbaik untuk menguasai Kelantan pada pilihan raya 8 Mac hadapan. Kedua parti masih tercari-cari idea ampuh bagaimana memastikan parti masing-masing menang.

Mungkin keseluruhan calon yang bakal diletakkan Umno dan Pas sudah hampir muktamad. Kalau pun masih ada calon-calon untuk beberapa kawasan belum diumumkan, itu adalah tektik untuk mengelakan timbul sesuatu masalah. Pada dasarnya calon untuk semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen sudah pun berada dalam genggaman Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Annuar Musa dan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Apa yang menjadi sedikit kesulitan kepada Pas dan Umno kini ialah mengenai siapakah tokoh yang bakal ditonjolkan sebagai Menteri Besar (MB) sekiranya menang. Inilah subjek dikatakan menyerabutkan kedua parti itu. Pas dan Umno sangat berhati-hati untuk menonjolkan calon ini kerana ia boleh mempengaruhi sokongan pengundi terhadap kedua parti itu.

Watak

Sebilangan rakyat Kelantan melihat kepada siapakah bakal dilantik untuk menerajui Kerajaan Kelantan sebelum mereka membuat pilihan. Golongan ini tidak mempedulikan warna parti namun mereka melihat watak dan peribadi bakal MB itu. Biasanya golongan berpandangan begini menerima Umno itu sama dengan Pas dan Pas itu sama saja dengan Umno.

Bagi Pas walaupun Nik Aziz terus bertanding namun pemerhati politik merasakan kerja itu adalah untuk memastikan Pas menang saja. Beliau yang dianggap keramat hidup masih diperlukan untuk menarik sokongan kepada Pas kandatipun sudah tidak relevan untuk menjadi MB selama lima tahun lagi.

Yang pastinya beliau sudah uzur dan sudah berkali-kali minta untuk berihat. Tidak mungkin dan adalah tidak munasabah kalau Nik Aziz terus dilantik menjadi MB sekiranya Pas berjaya mengekalkan Kelantan. Desakan agar beliau terus menjadi MB sesuatu penganiayaan mental dan fizikal kepadanya.

Ada beberapa nama berpotensi untuk mengganti Nik Aziz. Namun kerana mereka mempunyai kelebihan dan kelemahan sendiri menyebabkan tidak ada satupun di kalangan nama itu dikira solid (mempunyai kelayakan) untuk mengambil tempat Nik Aziz.

Yang disebut-sebut hari ini seperrti Bekas Exco Kelantan, Mohd Amar Abdullah, bekas TMB Ahmad Yaacob (bekas TMB) dan bekas Ahli Parlimen Tumpat dan Setiausaha Agung Pas. Kamarudin Jaafar. Walaupun terdapat satu lagi nama yang suatu masa dulu cukup popular, munasabah serta berperwatakan sebagai MB, sayangnya akhir-akhir ini nama itu sudah kurang disebut orang.

Tiga nama

Dapat disimpulkan tokoh yang bakal ditonjolkan Pas untuk menjadi MB sekiranya Pas menang ialah samada Ahmad Yaacob, Kamaruddin Jaafar dan Mohd Amar Abdullah. Inilah tiga nama yang harus ditapi dan dipilih oleh Nik Aziz tanpa melupai satu lagi nama itu. Untuk tujuan Pas Kelantan dikatakan sedang berbincang untuk menurunkan Kamarudin ke kerusi DUN.

Demikian juga di kalangan Umno. Parti itu sukar untuk menonjolkan tokoh yang bakal menjadi MB. Annuar Musa yang mana sepatutnya ditonjol menjadi MB, awal-awal lagi beliau ditolak oleh sebahagian besar rakyat Kelantan dan Umno sendiri.

Latar belakang dan sejarah hitamnya masa lampau menyebabkan Annuar sendiri tidak yakin beliau akan diterima dan disokong untuk menjadi MB. Annuar dikatakan menjadi liabiliti kepada Umno Kelantan? Ada pendapat mengatakan kalau Annuar dirihatkan dalam pilihan raya ini peluang Umno untuk menang adalah cerah. Kajian rambang menunjukkan kira-kira 15 peratus Annuar boleh menyumbangkan kekalahan kepada Umno.

Maka beberapa nama lain dibariskan untuk menjadi MB Kelantan dari Umno. Mereka ialah bekas Timbalan Menteri Kewangan, Awang Adek Husin, bekas Ahli Parlimen Ketereh yang juga Ketua Penerangan Umno Kelantan, Alwi Che Amat, bekas Menteri Pengajian Tinggi, Mustapa Mohamad dan terbaru bekas Adun Dabong yang juga Setiausaha Umno Kelantan, Ramzi Abdul Rahman.

Persoalannya kini apakah Annuar tidak akan bertanding di mana-mana kerusi baik DUN dan Parlimen pada 8 Mac akan datang? Kalau Annuar tidak bertanding ini bermakna riputasi Umno adalah lebih baik daripada Pas melainkan Pas juga mengambil keputusan agar orang-orang yang menimbulkan masalah kepada Pas juga turut tidak diberikan kerusi. [kl 3:55 pm 14/02/08]

Wednesday, February 13, 2008

Analisa

Lincahnya Politik DUN Kijang!

SALAH satu DUN yang menjadi tumpuan dan perhatian ramai di Kelantan ialah DUN Kijang terletak dalam Parlimen Pengkalan Chepa. DUN ini menjadi sedikit kontroversi apabila ada pihak tertentu yang dikatakan kurang senang dengan wakilnya sekarang ini. Sudah lama berita ini tersebar. Seolah ada grand desing untuk menghalau Adun Kijang keluar dari Pengkalan Chepa.

Khabarnya masalah Adun berkenaan sampai dibincang dalam mesyuarat sebuah cawangan. Satu usul dikemukakan agar Adun berkenaan tidak lagi dikekalkan bertanding di situ alasannya beliau orang luar - kawasan lain. Bila ia sudah menjadi usul maka ianya tentulah perkara serius.

Apa sebenarnya yang tidak kena sampai terjadi begitu sekali. Apakah salah dan dosa Adun berkenaan.?Walhal Adun berkenaan digembar gemburkan sebagai tokoh baru Pas yang bakal mewarnai di masa depan dan banyak membawa perubahan fizikal Pas Kelantan. Beliau juga disebut-sebut akan menggantikan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan.
Sekali fikir tidak sepatutnya berlaku demikian. Masakan tokoh yang menjadi impian rakyat diperlakukan begitu sekali! Maruah politik Adun berkenaan perlu dijaga. Apakah keadaan sekarang tidak boleh diselamatkan lagi. Apakah tidak ada mana-mana pihak menenangkan keadaan dan memastikan Adun berkenaan terus kekal di Dun berkenaan?

Adalah malang sekali kalau apa yang didesas desus itu menjadi kenyataan. Perpindahan segera Adun berkenaan boleh menimbulkan masalah. Sudah pasti pihak Umno akan mengambil kesempatan atas pertukaran itu dengan menyebabarkan fitnah kononya Pas bermasalah. Tentu sekali Umno gembira melihat keadaan ini.

Saya kurang faham mengenai masalah ini. Paling memeningkan lagi, khabarnya seorang wanita telah disebut-sebut untuk diletakkan bertandign di DUN Kijang menggantikan wakilnya sekarang. Manakala wakil Kijang itu pula akan pulang ke kawasannya.

Apakah munasabah dan logiknya bagi Pas Pengkalan Chepa khasnya, menghalau wakil berkenaan dan diganti dengan seorang wanita? Apakah pengisian itu memenuhi tuntutan perjuangan dan aspirasi parti? Apakah tuntutan yang tidak syarie atau utama itu wajar dipenuhi? Khabarnya wanita itu seorang janda.

Pada saya kalau setakat hendak menyusahkan Adun yang sedia ada, rasanya tidak begitu bijaksana. Bukan masanya untuk berbalah dan membalas dendam dalam keadaan sekarang. Apa-apa sengketa dan rasa tidak senang kepada sesuatu keadaan perlulah disembunyikan buat sementara. Keputusan itu siapa pun yang memutusnya tidak fatanah dan perlu dikaji semula.

Dan sekiranya muslimat berkenaan sudah tahu desas desus ini beliau hendaklah menolaknya dengan penuh hormat dan sukarela. Beliau jangan terperangkap dengan manipulasi politik dan perlu meletakkan kesejahteraan parti di hadapan. Lagipun wanita berkenaan dikatakan sudah mempunyai kedudukan yang selesa dan sudah mendapat anugerah daripada parti menurut koutanya.

Apakah kerana ada janji calon perempuan akan ditambah dan seorang wanita akan dilantik menjadi Exco maka Adun Kijang menjadi korbannya? Apakah kerana cadangan itu diumumkan oleh wakil Kijang itu maka Pas (Pengkalan Chepa dan sekitarnya) beranggapan orang yang mencadangkan itu perlu berkorban?

Kalau pun orang Kijang tidak suka kepada wakil Kijang, kenapa mereka tidak memilih di kalangan mereka untuk mengisi tempat itu. Apa lagi calon wanita yang disebut itu tidak pun tingal di Kijang. Rasanya masih ada lelaki kalau tidak hebat Adun sekarang pun dari segi pemikiran dan merancang untuk perubahan parti, sekurang-kurang masih ada yang mempunai janggut dan misai di Kijang yang boleh diletakkan menjadi calon menggantikan wakilnya yang dihalau itu.

Kesimpulannya persoalan di Kijang ini perlu dilihat dengan rasional. Jangan campurkan masalah peribadi dalam DUN Kijang dan perjuangan. Belajarlah menjadi bijak di mana pandai mengasingkan antara antah dengan beras sebelum ianya ditanak! Untuk itu orang Pas umumnya dan Tok Guru khasnya kenalah 'ayak' badang sebaik mungkin untuk menyelesaikan persoalan ini. [wm.kl 3:45 pm 12/02/08]

Terkini

PARLIMEN BUBAR

PERDANA MENTERI, Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan pembubaran Parlimen hari ini bagi membolehkan pilihan raya umum ke - 12 adakan dalam tempoh 60 hari. Timbalan Perdana Menteri Najib Razak berdiri di samping Abdullah ketika mengumumkan pembubaran Parlimen yang ditunggu-tunggu sejak beberapa bulan lalu.

Semalam orang ramai sudah mengagak Parlimen akan dibubarkan hari ini berpandukan kepada beberapa perkembangan semasa dan suasana di sekeliling Abdullah dan Kerajaan BN. Bagaimana pun pemerhatian orang ramai itu sedikit terganggu apabila tiba-tiba menafikan khabar angin itu.

Menurut Abdullah tarikh penamaan calon akan ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas pembubaran itu diwartakan.

Ramalan popular membayangkan tarikh penamaan calon akan diadakan 23 Februari sementara hari menggundi pula pada 3 Mac.

Menurut perangkaan SPR seramai lebih 10 juta pengundi berhak menunaikan kewajiban pada pilihan raya kali ini.

Seperti tradisinya perlawanan sengit dalam pilihan raya kali ini ialah antara Barisan Nasional (BN) yang mengandungi 14 komponen parti dengan pembangkang Pas, PKR dan DAP.

Pas membayangkan akan bertanding 60 kerusi Parlimen, manakala DAP 50 dan PKR sekitar 60 hingga 70 kerusi.

Pembankang tidak meletakkan harapan tinggi dalam pilihan raya kali ini cuma berazam untuk menafikan majoriti 2/3 BN di Parlimen. [wm. kl. 1:10 13/02/08]

Balasungkawa dan Tahniah

Kehilangan Kapak Jangak dan Kemunculan Fajar Islam
Tahniah Sdr Ramli

MSO

SEJAK petang semalam blog Kapak Jangak kepunyaan sahabat saya Sdr Ramli Abdul Halim tidak dapat dilayari. Semua data termasuk masheadnya hilang. Hairan! Ketika saya bersusah payah mencari ke mana hilangnya Kapak Jangat, tiba-tiba masuk satu SMS dari Ramli memaklumkan kehilangan itu.

"Blog kawe telah dimusnahkan oleh musuh. Blog demo lagi mane?" Begitulah bunyi SMS sdr Ramli. Saya tergaman seketika kemudian cepat-cepat membuka blog saya. Risau juga takut blog saya turut menjadi mangsa 'musuh' seperti disebutkan Ramli itu. (Mudah-mudahan tidak).


Semasa menghadiri majlis di Damansara malam tadi beberapa rakan turut bertanya mengenai kehilangan Kapak Jangak. Walaupun blog berkenaan tidak disenangi oleh sesetengah pihak kerana "kebebasan dan keterbukaannya" namun kehilangannya dirasai dan dikesali.

Beberapa teman lain menghubungi saya bertanyakan Kapak Jangak. Para peminat Kapak Jangak memang resah gelisah dan merasa kosong dengan kejadian itu. Kapak Jangak sudah menjadi tea tarik atau nasi berlauk kepada mereka.

Sebagai orang yang turut mengalu-alukan kewujudan Kapak Jangak pada awalnya dengan harapan ia memeriahkan alam siber dan dapat pula sdr Ramli melontarkan idea bernas dan bebasnya, saya merasa sedih atas kejadian itu. Betapa kalau kehilangan bukan kerana teknikal sebaliknya perbuatan musuh ianya peru dikecam. Mereka yang melakukannya tidak menghormati kebebasan media dan merupakan golongan yang pengecut.

Memang ada bahan-bahan yang dipostingkan dalam blog berkenaan agak melampau dan bersifat peribadi. Namun melenyapkan blog, merebohkannya bukan cara sebagai anak jantan. Patutnya blog dilawan dengan blog bukannya menggunakan tektik kotor.

Apapun kepada sdr Ramli saya harap tidak mudah patah semangat. Hilang Kapak Jangak lepas ini diharap akan timbul pula Golok Dogol. Sesungguhnya kehilangan Kapak Jangak sesuatu yang menyedihkan.

Dalam perkembangan lain mengenai diri sahabat saya ini, beliau baru emailkan kepada saya cover majalah terbaharunya iaitu Fajar Islam. Nampaknya sebuah lagi majalah muncul di pasaran. Kemunculan Fajar Islam itu sudah pasti sedikit sebanyak dapat mengubati kedukaan sahabat yang tidak pernah mengaku kalah dengan cabaran kehidupan itu.

Tahniah dan semoga Fajar Islam terus bersinar menyuluh alam dan umat manusia ini. [wm kl 9:30 am 13/02/08]

Tuesday, February 12, 2008

Gelombang Pembangkang di Pasir Mas

Ibrahim Ali Bantu Pas

WALAU pun ceramah Perdana di mini Stadium Pasir Mas pada malam 10 Februari lalu disebotaj oleh pihak tertentu namun ia tetap mendapat sambutan ramai.

Lebih 10,000 hadir untuk mendengar ceramah dan ulasan isu semasa disampaikan oleh tiga penceramah, Naib Presiden Pas, Muhammad Sabu, Pengarah Strategi/Politik PKR, Saifuddin Nasution Ismail dan bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Ibrahim Ali.

Beribu-ribu sekelar (sebaran) di tabur di sekitar Pasir Mas dan bebeberapa buah daerah yang memaklumkan kononnya ceramah perdana itu dibatalkan.

Sebotaj itu juga disebarkan menerusi SMS. Gara-gara itu orang ramai menjadi keliru dan ada yang batalkan niat untuk menghadiri ceramah berkenaan.

Sekiranya ceramah berkenaan tidak disebotaj dipercayai kehadiran mencecah 20,000.

Kehadiran itu menjelaskan bahawa rakyat masih memberi sambutan terhadap ceramah pembangkang. Ura-ura Ibrahim akan bertanding atas tikit Pas pada pilihan raya akan datang di kerusi parlimen Pasir Mas mendorong minat orang ramai menghadirinya.

Ceramah berkenaan bolehlah dianggap sebagai test merket untuk melihat kekuatan Pas pada pilihan raya akan datang. Sekiranya apa yang berlaku di mini stadium itu menjadi realiti Pas pasti akan dapat mengekalkan dua DUN yang dimenangi dalam pilihan raya umum lalu iaitu Chetok dan Pengkalan Pasir di samping mengekalkan Parlimen Pasir Mas dan merampas semula DUN Tendong.

Dalam pilihan raya akan datang Ibrahim Ali diberi laluan oleh Pas bertanding atas simbolnya. Manakala bekas calon pilihan raya kecil Pengkalan Pasir, Hanifa Ahmad disebut akan diturunkan semula di DUN Pengkalan Pasir, manakala DUN Tendong Pas dikatakan akan meletakkan Penyelia DUN berkenaan Abdul Hamid Abdul Aziz.
Bagi DUN Chetok Pas mengekalkan Adunnya sekarang Abdul Halim Abd Rahman. [wm.kl 2:00 pm 12/02/08]

Berita Panas

Parlimen Bubar Besok?

APA yang sedang berputar dalam kepala orang ramai kini ialah bila Parlimen akan dibubarkan? Nampaknya semua orang jadi hilang selera makan. Lebih-lebih lagi mereka yang berhajat untuk bertanding. Semua parti yang ingin menyertai pilihan raya kita percaya sudah pun mempunyai senarai calon masing-masing.

Ada maklumat dari Putrajaya mengatakan Abdullah menghadap Yang Di-Pertuan Agong hari ini? Sebenarnya mengenai menghadap Yang Di-Pertuan Agong bukan hari ini tetapi ia sejak minggu lepas lagi. Khamis dikatakan Abdullah telah menghadap Yang Di-Pertua Agong. Sukar untuk disahkan apakah ianya ada hubungkait dengan pembubaran Parlimen.

Berita paling panas hari ini ialah kononnya Parlimen akan dibubarkan esok, 13 Februari. Sehubungan itu pernamaan calon akan diadakan pada 23 Februri, manakala hari mengundinya ialah 3 Mac. Kalau mengundi 3 Mac makna waktu berkempen hanya lapan hari saja.

Sukar untuk dikatakan di sini. Jelasnya angka-angka itu adalah mainan media yang dirumuskan berdasarkan hobi dan kesukaan Perdana Menteri kepada angka 3.

Apakah ia benar-benar akan berlaku walahualam. Hanya Tuhan dan Perdana Menteri yang tahu bila pembubaran itu akan dilakukan. Dan siapa pula berani hendak meramal kalau Abdullah tiba-tiba menukar hobinya itu dengan memilih angka lain?

Yang penting kini bukan menanti dan meramal bila tarikh pembubaran, penamaan calon dan hari mengundi. Paling afdal ketika ini semua pihak membuat peritungan terakhir bagi memastikan kemenangan.

Masa masih ada untuk memperkemaskan mana-mana yang tidak kemas. Semakan terakhir kepada calon-calon bakal bertanding boleh dilakukan. Pemeriksaan yang mendalam dan tepat perlu dilakukan. Analisa kekuatan calon yang diletakkan juga perlu dibuat apakah ianya boleh memberi kemenangan atau sebaliknya.

Jangan kerana tersilap letak calon menyebabkan kalah nanti. Tidak ada guna pilihan raya kalau calon yang diletakkan bertanding kalah. Jadi semua parti politik hendaklah menggunakan sebaik mungkin masa yang sedikit ini untuk membuat semakan terakhir. [wm kl 1:30 th 12/02/08]

Susupan Pagi

Rendahnya Politik Annuar Musa

MSO

BANYAK terhimpun dalam kepala. Lima hari round-round Kelantan macam-macam cerita dan berita masuk dalam kepala.Macam-macam gelagat yang dapat disaksikan. Paling teruk dan menyeronokkan macam-macam soksek-soksek kedengaran. Ada juga yang lucu, mencemaskan dan yang mengejutkan!

Semuanya nak tulis dan nak catat untuk hidangan anda penjenguk blog ini. Tapi apa boleh buat tangan hanya dua dan kepala hanya satu, bahan-bahan itu akan dimasukan satu demi satu. Sebaik sampai di rumah semalam cuba nak mencatat dan mengisi blog ini tetapi tak berdaya, letih.

Pagi ini sebaik nak mula mencatat dan mengisahkan politik mutakhir Pas dan Umno di Kelantan tiba-tiba terbaca pula berita mengenai ulasan dan pandangan Annuar Musa di akhbar mengenai calon import Pas ke Kelantan.

Sedap juga komen dan ulasan Annuar mengenai kemasukan calon import itu. Katanya Pas mengimport calon itu kerana nak bagi elaun dan gaji kepada mereka. Selain itu kerana Pas tidak ada calon-calon yang layak, tidak seperti Umno yang mempunyai berlambak calon.

Katanya mereka ini (calon import) tidak laku di tempat sendiri dan sesudah bertanding satu penggal mereka akan pindah ke tempat lain pula. Beliau lantas mengambil contoh Muhammad Sabu yang bertanding di Kubang Kerian dan pernah mengalahkannya, tidak buat apa-apa pembangunan untuk rakyat.

Kita cukup faham kenapa Annuar Musa berkata demikian. Beliau mahu damagekan calon-calon import Pas berkenaan. Beliau mahu merendah-rendahkan mereka. Dari perngertian politik kenapa beliau berbuat begitu ialah kerana beliau (Umno) takut kepada kehadiran mereka berkenaan.

Sebenarnya untuk pengetahuan umum soal elaun dan gaji tidak timbul. Pas mengundang mereka ialah kerana perjuangan. Kerana ingin manfaatkan ilmu dan juga kepakaran yang mereka ada. Pastinya calon-calon import berkenaan bukan taraf kaki lima atau pun jenis politik panggung kaki dan berdengkur dalam dewan. Mereka boleh berkerja dan berkhidmat kepada rakyat, agama dan bangsa. Misalnya apa yang dibuktikan Muhammad Sabu semasa tiga penggal menjadi ahli Parlimen cukup mengkagumkan.

Pandangan atau politik Annuar itu juga rendah nilainya. Baginya apa yang bersarang dalam kepala seseorang wakil rakyat ialah wang dan harta. Tidak begitu bagi Pas! Inilah berbezanya Pas dengan Umno. Sebab itulah wakil rakyat Pas rata-rata lebih miskin dan tidak semewah hidup seperti wakil rakyat Umno. Wakil rakyat Pas tidak begitu gila menghimpun duit untuk perut sendiri atau membina rumah bernilai jutaan ringgit! Kalau ada pemimpin Pas buat rumah pun ialah dengan menggunakan kayu selinak (serpihan) balak saja.

Bagi Pas pula perjuangan bukan saja pembangunan. Bukan subsidi atau pun bantuan atau hamper ataupun sampul surat rahsia. Seorang wakil rakyat bukan sahaja kerjanya membahagikan wang Kerajaan kepada rakyat dan kadang-kadang menyapu wang rakyat. Namun tugas dan tanggungjawabnya lebih daripada itu. Dalam Pas ada dua pembangunan duniawi dan ukhrawi! Umno memang banyak pembangunan duniawi tetapi kurang ukhrawi.

Yang diperlu dan diharapkan daripada pemimpin (wakil rakyat) ialah ideanya, pandangannya dan juga menjadi pemantau membenteras kemungkran. Bila sebut kemungkaran ia bukan sahaja menentang penyelewengan, salah guna kuasa dan sebagainya, tetapi mengisalahkan pemikiran dan idea yang salah. Memperbetulkan pemesongan akidah dan sebagainya.

Jadi calon-calon import ke Kelantan itu mempunyai kepakaran masing-masing. Mereka boleh menggunakan kepakaran dan profesional mereka di parlimen untuk mengkritik, memberi pandangan dan berbincang dengan pihak Kerajaan.

Mengenai Pas tidak ada calon sehingga terpaksa mengimport calon luar mungkin Annuar dan orang sekampung dengannya tidak faham politik Pas. Pas sebuah parti terbuka dan tidak seperti Umno. Pas jauh fleksible berbanding dengan Umno. Pas tidak mengutamakan kroni tetapi mengutamakan perjuangan.

Sesiapa pun menyertai Pas dengan niat suci untuk memikul tanggungjawab dan amanah akan diterima oleh Pas. Kalau Annuar sendiri menyertai Umno, rasanya turut sama diberi peluang oleh Pas. Sebab itulah Pas bersedia memberi laluan dan menyokong Ibrahim Ali di Pasir Mas. Bagi Pas ada sesuatu yang boleh Ibrahim sumbangkan untuk perjuangan Islam.

Amalan mengambil calon luar ini bukan baru. Ia berlaku sejak lama dulu. Soal kekurangan calon tidak timbul sama sekali. Keterbukaan Pas ini tidak ada kepada Umno. Penyokong Pas juga cukup arif mengenai strategi dan keperluan ini. Ianya tidak ada kepada Umno. Sebaliknya di dalam Umno pemilihan calon bukan bergantung kepakaran tetapi berdasarkan siapa rapat dengan orang atas, siapa ada wang banyak, siapa dapat menyedia dan meyumbangkan wang banyak dialah yang akan dipilih. Kepakaran, kebolehan tidak menjadi perioriti.

Sebab itulah di dalam Umno orang yang tidak berapa cerdik dan tinggi tahap pemikirannya dan walaupun buruk akhlaknya tetapi kerana mempunyai wang banyak boleh menjadi calon. Sebaliknya orang yang cerdik, berilmu tetapi kerana tidak ada wang, dia hanya akan jadi pengikut dan tukang ceramah sahaja. Inilah perbezaan ketara antara Umno dengan Pas dalam memilih calon. Kriteria yang digunakan berbza.

Jelas kriteria atau pendekatan Pas lebih luas sesuai dengan perjuangan Pas itu sendiri bersifat sejagat dan bukan kedaerahan seperti mana Umno. Berdasarkan itu pengambilan calon import tidak ada masalah kepada Pas. Rakyat juga bersedia memberi sokongan kepada sesiapa saja. Dan ternyata sekali calon import ini lebih baik dan berkualiti berbanding dengan calon tempatan Umno.

Buktinya calon import Pas tidak pernah kecundang di bumi Kelantan, kecuali Khalid Samad, adik Shahrir Samad di Kuala Krai satu masa dulu! [wm kl 10:10 am 12/02/08]

Monday, February 11, 2008

Eksklusif

100,000 Pengundi Luar atau Pengundi Hantu?
MSO

UMNO Kelantan dikatakan sedang membuat persiapan terakhir untuk membawa kira-kira 100,000 pengundi yang berada di luar khasnya di Kuala Lumpur dan Selangor ke Kelantan menjelang beberapa hari sebelum hari mengundi pada pilihan raya akan datang.

Sebuah jawatankuasa khas dibentuk untuk menangani perkara itu termasuk bagi mengenal pasti alamat dan juga kaedah atau cara bagi membawa balik pengundi berkenaan.

Sebahaian daripada identiti pengundi-pengundi berkenaan dikatakan telah pun dikenal pasti yang dikumpul sejak bulan Ramdhan lalu. Beberapa perjumpaan dengan pengundi luar mengikut kawasan mengundi (lokaliti) masing-masing yang turut dihadiri beberapa wakil rakyat kawasan tertentu juga diadakan di sepanjang bulan Ramdahan lalu.

Setengah daripada perjumpaan itu dihadiri tidak sampai 50 orang yang didakwa pengundi luar.

Jawatankuasa berkenaan yang dianggotai oleh pemimpin dan pendokong Umno tertentu Kelantan yang tinggal di Kuala Lumpur dikatakan mengemukakan cadangan bagi mendapatkan kira-kira 500 buah bas untuk tujuan itu. Manakala bagi mereka yang akan pulang sendiri ataupun menerusi kenderaan awam seperti bas dan keretapi akan dibayar sebanyak RM300 hingga RM500 mengikut destinasi masing-masing.

Barangkali tidak perlu dipersoalkan apakah jumlah sebanyak kira-kira 100,000 itu benar-benar wujud ataupun sekadar angka yang dicatat kerana motif lain? Ada juga pendapat mengatakan angka itu sengaja disebut kerana pihak yang menguruskan pengundi itu mahu 'berniaga' dengan angka itu di mana mereka akan mendapat peruntukan lebih banyak bila mengemukakan jumlah yang banyak.

Bagaimanapun maklumat dalaman ini yang diperolehi dari pengawai peribadi tokoh politik terkenal Kelantan tidak boleh dipandang ringan. Kemungkinan angka berkenaan benar-benar wujud atau sebaliknya. Boleh jadi juga angka pengundi luar itu sengaja diwujudkan dengan tujuan lain iaini bagi melindungi pengundi hantu yang bakal diimport ke Kelantan.

Sebelum ini sudah terbongkar aktiviti cuba membawa pengundi hantu ke Kelantan pada pilihan raya akan datang. Dari maklumat risikan bebas, Umno bercadang untuk memasukan sebanyak 200 hingga 500 orang pengundi hantu ke satu-satu kawasan bagi mengatasi Pas.

Dalam congakan Umno sekiranya mereka dapat menambah pengundi hantu di beberapa kawasan yang dikira sukar untuk dimenangi, ia akan dapat ditawannya. Kemungkinan wujud pengundi hantu ini juga tidak mustahil.

Kenyataan Setiausaha Agung Umno, Radzi Sheikh Ahmad mengatakan Pas membantah pendaftaran di beberapa kawasan di Kelantan menunjukkan fenomena itu seolah-olah wujud dan sedang dikendalikan oleh Umno.

Kemungkinan apa yang didakwa 100,000 pengundi yang berada di luar itu tidak wujud sebaliknya apa yang akan diangkut kelak ialah pengundi hantu yang diusahakan seperti mana didedahkan sebelum ini.

Pas tidak perlu berdiam diri atau menganggap maklumat ini sebagai sampah tanpa berbuat sesuatu. Penemuan beberapa 'ekor' pengundi hantu semasa pilihan raya kecil Pengkalan Pasir tidak lama dulu mengesahkan aktviti itu benar-benar berlaku. [ wm.kl 12:50 am 31/01/08]

Sunday, February 10, 2008

Berita Semasa

Kubu Umno Pasir Puteh Pecah

DUA kubu kuat Umno dalam Parlimen Pasir Puteh berjaya ditembusui Pas. Kubu itu ialah di Kampung Dalam Rhu dan Kulim yang masing-masing mempunyai 2,300 (Dalam Rhu) dan 2,000 pengundi (Kulim).

Perkembangan itu membuka senerio baru kepada Pas Pasir Puteh sekaligus memberi harapan cerah untuk Pas menawan semula kerusi Semerak daripada tangan BN. Sebelum ini kerusi Semerak sering kali bertukar tangan antara Pas dengan BN.

Menurut Penyelia DUN Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim perubahan selera pengundi itu ialah disebabkan kebanyakn mereka kurang senang dengan sikap wakil rakyat kawasan berkenaan Kamaruddin Mohd Noor yang dikatakan kurang memberi perhatian kepada rakyat.

Katanya banyak janji yang ditaburkan tidak ditunai menyebabkan rakyat marah.

"Antara janji yang ditabur kononya Umno akan benteng pantai Semerak dan membina jambatan baru menggantikan jambatan kayu yang masih kedapatan di Semerak," ujarnya.

Selain itu dakwanya sikap Umno Pasir Puteh yang suka berpuak-puak dan mengutamakan kroni juga menjadi punca.

"Banyak projek terutamanya projek menerusi wakil rakyat tidak diagih sama rata. Setengah pemimpin Umno lebih mengutamakan kroni dalam membahagikan projek," katanya lagi.

Satu lagi punca kenapa ramai penyokong BN Semerak beralih angin ialah kerana mereka bimbang dengan perjuangan Umno akhir-akhir ini yang dilihat boleh merugikan Melayu dan Islam.

"Beberapa kes atau isu terbaru benar-benar memberi kesedaran kepada mereka untuk bersama Pas," kata Wan Hassan.

Pada 7 Febtuari lalu satu ceramah penerangan isu semasa telah diadakan di kampung Dalam Rhu oleh tiga bekas pemimpin Umno. Mereka Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Ibrahim Ali, bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Pasir Puteh, Ibrahim Mohd Noor dan bekas Timbalan Pengerusi Umno Bahagian Pasir Puteh, Ibrahim Ismail.

Ibrahim Ali dalam ceramahnya mejelaskan bahawa perjuangan Umno hari ini tidak menguntungkan Melayu.

Sikap lembut melampau pemimpin Umno menyebabkan banyak kepentingan Melayu dan Islam hilang ini menyebabkan perjuangan Umno sudah tidak relevan lagi.

Katanya, soal Melayu sudah tidak boleh dibincang lagi dalam Umno kerana pemimpinnya begitu takut dan wajar kalau Umno ditutup sahaja.

"Kalau dalam Umno tidak boleh bincang soal Melayu, tutupsajalah Umno," katanya disambut dengan laungan takbir dan sorakkan gemuruh.

Ibrahim yang kini menjadi penceramah kegemaran ramai juga mengingatkan rakyat supaya tidak lagi memilih BN dan memberi sokongan kepada Pas.

Katanya dalam pilihan raya akan datang bukan soal kebendaan yang perlu dihitungkan tetapi soal survival agama dan bangsa.

"Kalau Umno bagi emas dan intan sekali pun, ia perlu ditolak kerana perhitungan sekarang bukan soal kebendaan tetapi soal kedudukan agama dan bangsa," tegasnya. [r pjg 10:30 am 10/02/08]