Saturday, February 23, 2008
Catatan Lewat
MSO
KETIKA dalam perjalanan ke Kota Bharu petang semalam (21 Februari), seorang kawan menghubungi memberi tahu Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika itu sedang mengumumkan calon-calon Pas di kediaman Menteri Besar (yang tidak pernah didiaminya) iaitu JKR 10, Kampung Sireh, Kota Bharu.
Kawan media itu bertanya kenapa saya tidak ada. Katanya pengumuman itu semacam tidak lengkap apabila saya tidak ada sama bergelewatan di JKR itu.
Biasa katanya saya akan turut hadir sama dan tidak pernah ketinggalan dalam majlis-majlis Pas apa lagi majlis sepenting kelmarin. Namun tahun ini nampak lain macam sikit, desahnya. Apakah anta sudah merasakan Pas akan kalah!" katanya kawan itu.
Asthrafirullahuazim... ke situ pula. Pas tidak akan kalah kata saya sebab Allah akan membantu perjuangan Islam sejati. Masakan Allah membiarkan perjuangan agamaNya. Lagipun calon MB Umno yang diperkenalkan kelmarin mampu ditandingi oleh calon MB Kelantan dari Pas bila-bila masa dan di mana saja. Siapalah Awang Adek Hssin dalam kancah politik Kelantan!
Dalam pada itu juga saya sudah berseloroh yang saya sudah tahu calon-calon Pas di setiap kawasan baik DUN dan Parlimen. Begitu juga dengan calon-calon dari Umno. Bukan itu saja tahu juga siapa yang mengatur dan mencaturnya. Siapa yang menjadi tangan ghaib yang mengangkat tangan Nik Aziz untuk ambil orang itu dan orang ini sebagai calon Pas.
Tidak bersalah
Siapa? Tanya kawan itu tiba-tiba jadi berminat. Dia tu ke.... usiknya. Sapa? Tekan saya. Saya tidak mahu kawan itu menuduh orang yang tidak bersalah dan tidak berdosa. Tidak... bukan dia....jelas saya serius. Habis siapa? Entahlah.
Sepanjang perjalanan saya kira soal calon sudah selesai. Saya membayangkan yang tidak dapat menjadi calon pun sudah menangis dan bergatang air mata gugur. Manakala yang sudah tersenarai pula sudah berangan-angan untuk jadi YB atau terus menjadi YB. Yang mencatur pula akan merasa bangga kerana percaturan yang dibuatnya berjaya, selepas ini mereka akan mengutip hasil mashyulnya.
Baguslah kalau begitu. Pas harus tenang dan bersiapa sedia. Semua pihak harus berkerjasama untuk berhadapan dengan BN dan Umno. Jangan dendam mendendami atau mengkhianati antara satu sama lain. Kali ini BN beriya benar hendak tawan Kelantan, sampai bapa mertua berpakat dengan menantu (Abdullah Ahmad Badawi dengan Khairy Jamaluddin)! Cita-cita BN ini saya dedahkan sejak berbulan dulu lagi sebagai warning kepada Pas Kelantan.
Telefon masuk lagi silih berganti memberi tahu perkembangan dari masa ke semasa mengenai Kelantan tanpa diminta. Semua panggilan itu menganggu konsentrasi saya untuk membuat analisa pilihan raya di Kelantan kali ini. Saya sudah tidak menghitung siapa yang harus bertanding dan digugurkan lagi tetapi mahu tengok kekuatan dan wibawa calon masing-masing. Dari sini nanti dapat dibuat analisa atau 'ramalan' parti mana yang bakal memerintah Kelantan.
Panggilan dari Pasir Puteh melaporkan bahwa pergolakan akibat perebutan calon di situ sudah selesai. Sudah ada kompromi di kalangan yang bertentangan. Alhamdulilah. Itulah yang kita mahu sebenarnya. Bergaduh untuk mencari kebaikan dan bukan untuk berdendam kemudian memusnahkan impian rakyat - yang akhirnya jadi semua 'ssaja... adalah tidak elok.
Lewat jam 9:00 malam saya sampai di Pasir Mas untuk melihat apa yang berlaku di Pasri Mas. Almaklumlah ... di sini Ibrahim Ali yang akan bertanding sebagai calon bebas dan menggunakan lambang Pas. Khabar mengatakan di sini ada pergolakan dan bantahan sedikit sebanyak mengenai strategi itu menarik minat saya untuk memberi tumpuan agak jitu. Kalau itu berlaku ia menjadi masalah dan semua pihak tidak untung.
Tetapi Alhamdulilah sebaik saya memijak kaki di padang Mini Stadium Pasir Mas kebetulan nama Ibrahim Ali disebut sebagai calon Parlimen Pasir Mas. Orang yang mengumumkan ialah Yang Dipertua Pas Pasir Mas, Ismail Nuh, yang juga bekas ahli Parlimen Pasir Mas dan pernah bertempur dengan Ibrahim dan menjadi ahli Parlimen Pasir Mas selama dua penggal.
Selepas pengumuman itu kelihatan keduanya berpelukan antara satu sama lain, pelukan ala Arab. Tanpa disedari air mata saya membekak di birai mata kerana seronoknya melihat dua hamba Allah yang sebelum ini berada di sudut berbeza namun hari ini boleh pula duduk atas pentas yang sama untuk menuju mardhatilah.
Ada masalah
Sebagai pemerhati saya merasa lega. Nampak tanda-tanda yang Parlimen Pasir Mas akan kembali ke tangan Ibrahim, di mana saya kira haknya memandangkan sudah banyak budi dan jasa yang beliau tumpahkan di situ. Petanda itu menyebabkan saya rasa Pas tidak ada masalah mengenai calonnya kali ini. Pas akan berhadapan dengan Umno dalam keadaan bersiap sedia dan penuh semangat.
Apa lagi terdengar selepas itu desas desus mengatakan calon Umno yang akan berhadapan dengan Ibrahim, dikatakan kurang berminat. Beliau yang katanya pandai-pandai dicalon Umno untuk mengugatkan Ibrahim bercadang untuk menarik diri. Ada pihak lain juga melarang dan marah kepada calon berkenaan.
Desas desus ini sekali lagi memberi gambaran Ibrahim akan melalui jalan mudah - walaupun belum selamat di Pasir Mas.
Setelah menyaksikan pengumuman calon di Pasir Mas dalam keadaan cukup harmoni, tiba-tiba masuk panggilan dari Rantau Panjang yang memaklumkan berlaku kekecuhan di majlis pengumuman calon yang diadakan di pejabat Pas di Lebuh Raya Rantau Panjang - Pasir Mas.
Menurut si pemanggil itu pengumuman calon Parlimen Rantau Panjang ditangguhkan. Berlaku rebut merebut pembesar suara ketika majlis itu berlangsung. Satu kumpul katanya tidak mahu kepada calon wanita yang dibawa atas restui Yang Dipertua Pas Kawasan itu Abdul Fatah Haron untuk bertanding di kerusi Parlimen. Mereka mahukan calon lain. Nama yang disebut ialah Sabri.
Sebagai menenangkan keadaan, Ketua Dewan Ulama Pas, Muhammad Daud Iraqi yang ditugaskan mengumumkan calon itu mengambil keputusan bijak menangguhkanbya. Jadi nama calon Parlimen Pas tidak diumumkan malam tadi walaupun di media massa hari ini sudah menyebut nama Wan Zailah... bekas Senator. Adalah dipercayai sehingga kini calon Parlimen bagi pihak Pas masih belum dimuktamadkan.
Namun apa yang diketahui jam 3:00 petang ini semua calon-calon Pas termasuk Ibrahim Ali akan menerima watikah perlantikan daripada Nik Aziz di Pusat Terbiah Islamiah (Putik), Pengkalan Chepa. Laporan akan menyusul selepas ini termasuk kedudukan calon Parlimen BN di Pasir Mas serta cerita bagaimana calon BN di Pengkalan Chepa menghilangkan diri kerana enggan bertanding. .
BERSAMBUNG... [kb, kel 2:12 pm 22/02/08] P/s disebabkan akses internet di Kelantan tidak baik maka gambar-gambar terkini tidak dapat dipostingkan buat masa ini.
Thursday, February 21, 2008
Ulasan Khas

Wednesday, February 20, 2008
Berita Menggemparkan
Gelombang Biru Makan Tuan!
PENGUMUMAN atau berita paling mengejutkan hari ini ialah mengenai keberanian Umno/BN Terengganu yang menggugurkan beberapa penyandang (wakil rakyatnya) yang selama ini dianggap popular dan menjadi ikon Terengganu khasnya di Parlimen.
Dua orang tokoh popular Terengganu yang digugurkan ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia, Abdul Rahman Bakar, Rosli Mat Hassan dan Tengku Putra Tengu Awang.
Abdul Rahaman tidak disenaraikan untuk bertanding semula mempertahankan kerusi parlimen Marang, Rosli Mat Hassan di parlimen Dungun dan Tengku Putera di parlimen Hulu Terengganu. Kerusi itu dimenangi mereka pada pilihan raya 2004 lalu.
Tidak perecaya
Sebelum ini sudah berhembus berita mengatakan Abdul Rahman bakal digugurkan namun berita itu dianggap sebagai angin lalu sahaja. Siapa pun tidak percaya memandangkan prestasi Abdul Rahman sebagai timbalan menteri sedikit sebanyak membanggakan rakyat Terengganu dan tidak mungkin beliau digugurkan.
Melihat kepada komtimen Abdul Rahman dengan tugasnya pemerhati meramalkan beliau bakal dilantik menjadi mentei penuh sekiranya beliau berjaya mempertahankan kerusi Marang 8 Mac kelak. Pengundi Marang sebenarnya sangat mengharap Abdul Rahman dilantik menjadi menteri penuh untuk berhadapan dengan pengaruh Abdul Hadi.
Begitu juga dengan Rosli dan Tengku Putera. Kedua mereka adalah dianggap sebagai pemimpin peringkat nasional yang mewakili Terengganu. Rosli antara ahli Parlimen yang latang menyuarakan kepentingan rakyat di Parlimen manakala Tengku Putra pula pernah dilantik menjadi Timbalan Menteri Kewangan.
Tindakan berani Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Idris Jusoh itu menunjukkan perjudian dan keyakinannya tanpa tokoh-tokoh hebat itu Terengganu dapat mengekang pengaruh Pas yang semakin pulih dan kian mendapat kerpercayaan semua rakyat akhir-akhir ini.
Dalam pada itu pemerhati berpendapat pengguguran itu terpaksa dilakukan Idris walaupun tokoh itu menjadi ikon Terengganu di Kuala Lumpur. "Saya kira tindakan Idris itu ialah kerana ingin menjaga kedudukan politiknya. Mereka itu digugur kerana mereka dianggap sebagai pencabar kepada politiknya," kata seorang pemerhati politik Terenggannu.
Beberapa muka baru yang diperkenalkan juga dilihat tidak mampu membantu Umno Terengganu mengekalkan Kerajaan pimpinan Idris berusia empat tahun itu sebaliknya mereka dilihat kroni Menteri Besar Besut itu.
"Saya tidak faham dengan tindakan Idris itu, beliau napaknya begitu berani bermain dengan ombak. Saya bimbang gelombang biru yang dicipta empat tahun lalu akan memakan dirinya kali ini," ujar seorang tokoh politik veteran Terengganu yang tinggal di Kuala Lumpur.
Beliau kesal dengan keputusan Idris itu bagaimana pun menghormatinya kerana kuasa menentukan calon terletak di tangan Idris selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu.
Sementara itu dipihak Pas menerima penyenaraian calon Umno hari ini serta pengguguran tiga tokoh utama Umno itu sebagai rahmat kepada mereka. Atas kertas hari ini peluang Prersiden Pas Abdul Hadi Awang untuk menduduki semula kerusi Marang sangat cerah. Calon yang diturunkan menggantikan Abdul Rahman Bakar, ialah Ahmad Ramzi Md Zubir, Sertiausaha Politik Menteri Besar Terengganu yang suatu ketika dulu dikatakan berlagak samseng dengan seorang penulis buku politik. [wm kl 8:50 pm 20/02/08]
Enekdot Politik
SESUATU yang tidak beres akan menganggu pemikiran. Menjadi lumrah penulis kalau ada yang tidak lengsai maka sukarlah untuk ia melakukan kerja-kerja lain. Apa lagi mengenai idea atau pun bila ada sesuatu topik yang menarik, ini menyebabkan tumpuan untuk melakukan kerja lain hilang.
Ketika inilah penulis akan bangun tengah malam, ataupun tidak lelapkan mata untuk menyudahkan kerja-kerja (gangguan idea) itu. Atau juga akan marah bini dan herdik anak-anak yang tidak tahu menghormati kerja bapa/suaminya sebagai seorang penulis atau akan membiarkan hidangan kesejukan berjam-jam.
Semalaman, sebenarnya sejak kelmarin lagi kepala teringat kepada bedalan Tok Guru Nik Aziz kepada orang Umno yang menyifatkan orang Umno sebagai Orang Utan. Perumpamaan itu sungguh menyakitkan orang Umno... aduh Saliha...tajamnya bidalan itu.
Mendengar bedalan itu terus tersemin dalam kepala saya wajah Najib Razak, Tengku Adnan Mansor, Nazri Aziz, Zakaria Mat Derus, Zahid Hamidi, Shahidan Kassim, Rosmah Mansor, Hamid Othman, Adnan Yaacob dan ramai lagi.
Melenting habis pemimpin Umno dengan bedalan atau perumpaman itu kerana tidak rela dan tidak sanggup mereka disamakan dengan Orang Utan. Orang juga tetapi Orang Utan! Orang Utan dalam konotasi biasa ialah haiwan yang menyamai manusia tetapi tidak manusia. Warnanya hitam, mulut besar dan pongek juga besar!
Mungkin ada benarnya juga kata-kata Nik Aziz... Tokguru itu. Dalam konteks politik orang Umno tidak mengira sangat soal undang-undang dan peraturan. Mereka gasak saja ikut sedap mereka. Tindakan tidak bertamdun inilah dikesalkan.
Umno mengajar orang Melayu berpolitik tanpa ada nilai dan maruah. Berpolitik ikut sedap godam sahaja. Berpolitik sehingga melampau batas adat dan agama. Politik petingkan diri sendiri dan kroni serta sanggup melakukan apa saja asalkan menguntungkan mereka.
Sebenarnya kalau hendak dikira, Orang Utan lebih baik daripada manusia seperti itu. Meskipun tidak ada akal fikiran, tidak bersekolah dan jauh dari tamadun mengikut acauan manusia, namun Orang Utan tetap ada peraturannya sendiri. Mereka hormati peraturan dan tabiat semujadi yang mereka warisi daripada datuk nenek mereka turun temurun.
Ini bermakna Orang Utan lebih mulia daripada mereka yang tidak mengikut peraturan. Yang bertindak untuk perut semata-mata. Atau pun yang berpolitik seperti 'kucing timbus tahi' atau pun yang tidak tahu bertanggungjawab dan sanggup berbohong secara kering-kering. Sanggup menuduh dan menunding jari ke arah orang lain selepas ianya melontar kerikir.
Sebenarnya anologi atau pun bidalan Mursyidul Am PAs itu bukan valid dalam skop Umno saja tetapi ia boleh diterima pakai dalam skop yang lebih luas lagi. Barang kali juga di dalam Pas pun ada manusia ataupun ahli politiknya yang bersifat macam Orang Utan itu.
Maknanya apa yang boleh difahamkan bahawa sudah ada perangai-perangai Umno di dalam Pas. Sudah ada pemikiran ataupun pengamal teori-teori matlamat menghalalkan cara di dalam Pas. Meniru budaya Umno dan juga belajar berhipokrasi macam Umno. Tegasnya kalau pun tidak ada ibu dan bapa Orang Utan dalam Pas, tetapi sekurang-kurang anak Orang Utan yang cacat tetap ada dalam Pas! Walahualam.... [wm.kl 6:30 am 20/02/08]
Tuesday, February 19, 2008
Susupan Senja
MSO
UMNO Kelantan juga kalut dalam menentukan calon-calon yang akan diturunkan dalam pilihan raya 8 Mac kelak. Khabarnya separuh daripada 22 wakil rakyatnya yang menang dalam pilihan raya lalu digugurkan. Manakala 70 peratus calon yang diseneraikan adalah muka baru termasuk beberapa orang Ketua Pemuda Bahagian. Salah seorangnya Ketua Umno Kota Bharu, Rosmadi.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Annuar Musa dikatakan menggunakan formula tersendiri untuk menyenaraikan calon BN kali ini. Mana-mana calon yang pernah tewas dalam pilihan raya lalu tidak disenaraikan lagi.
Selain itu Annuar juga mengambil keputusan unpopular menggugurkan lima ketua bahagian termasuk yang menang dalam pilihan raya lalu.Yang digugur
Mereka ialah Hashim Shafin (Tanah Merah), Zaid Ibrahim (Kota Bharu), Dr Nik Zain Nik Omar (Pengkalan Chepa) dan Abdul Rahim Abdul Rahman (Pasir Mas). Hashim dan Zaid menang dalam pilihan raya lalu.
Formula yang dipakai Annuar ini katanya menimbulkan bantahan dan tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu terutamanya mereka yang menang seperti Hashim Shafin dan Zaid serta beberapa wakil rakyat yang berjaya menunjukkan prestasi cemerlang. Juga ada dakwaan mengatakan penguguran itu tidak adil kerana mereka menang dalam pilihan raya lalu. Sekaligus pengguguran ini juga melanggar formula yang Annuar sendiri gunakan itu dan secara automatik menafikan kebolehan mereka.
Para penyokong Zaid Ibrahim dikatakan sudah bersiap sedia untuk melakukan protes. Adalah dipercayai perisitwa yang berlaku menjelang hari penamaan calon pilihan raya empat tahun lalu akan berulang kembali di mana ribuan penyokong Zaid mengamuk apabila nama Zaid tidak disenaraikan. Gara-gara protes itu akhirnya nama Zaid disenaraikan semula.
Manakala pengguguran Zaid di parlimen Kota Bharu membolehkan Pemangku Ketua Bahagian Kota Bharu, Fatmi Che Salleh di senaraikan untuk mempertahankan kerusi parlimen Kota Bharu.
Tanah Merah juga bergolak
Begitu juga khabar yang diterima dari Tanah Merah. Penyokong Hahim Shafin yang tidak berpuas dengan desas desus itu sudah mula bertindak. Bagaimana pun kemungkinan Hashim Shafin dikekalkan agak cerah berbanding Zaid sekiranya protes itu berleluasa dan diambil kira.
Dalam pada itu Umno dikatakan sudah tiga kali menyerahkan senerai kepada Presiden Umno, Abdullah Ahmad Badawi. Hebat! Senarai pertama diserahakan kira-kira sebulan lalu sewaktu Abdullah mengunjungi Kelantan.
Senarai kedua pula ditunjukkan kepada Najib ketika Timbalan Presiden Umno itu ke Kelantan dua minggu lepas. Manakala senarai ketiga yang dikira muktamad untuk diputuskan oleh Abdullah diserahkan lewat petang ini atau selewatnya pagi esok.
Apa yang menariknya dalam ketiga-tiga senarai itu kedudukan orang yang bakal memainkan peranan utamanya (bakal MB) sering kali berubah-berubah. Dalam senarai pertama Annuar dikatakan telah cuba meletakkan tokoh lain untuk dilantik menjadi Menteri Besar sekiranya Umno menang.Nama beliau 'digugurkan' dan beliau akan beralih ke kerusi Parlimen. Dalam senarai kedua pula beliau dikatakan meletakkan semula namanya di DUN Kok Lanas untuk membolehkan beliau menjadi MB.
Bagaimana pun kedudukan itu kekal beberapa hari saja kemudian berubah dan sekaligus tokoh yang bakal dilantik menjadi MB juga berubah dalam senarai ketiga. Awang Adek Hussin dikatakan akan diturunkan ke DUN dalam pilihan raya akan datang dan diura-urakan untuk dilantik menjadi MB.
Kedudukan Annuar dalam senarai terakhir ini masih belum pasti apakah beliau langsung tidak bertanding atau akan bertukar kerusi dengan kawan sepamainannya Alwi Che Amat, di mana Alwi akan diturunkan ke DUN Kok Lanas dan Annuar ke kerusi Parlimen Ketereh.
Terdengar juga desas desus Alwi bakal dilantik menjadi Timbalan Menteri Besar (TMB) sekiranya Umno menang.
Timbalan Menteri Kewangan, Awang Adek Hussin dijaja bakal menjadi MB kerana beliau mempunyai hubungan baik dengan istana manakala Annuar ternafi untuk menjadi MB apabila hubungan beliau dengan istana yang meletus sejak 10 tahun lalu dikatakan masih belum pulih.
Menyimpul berhubung perkembangan di dalam Umno itu, parti itu juga kekok dalam mencaturkan calon-calonnya untuk menentang Pas pada 8 Mac hadapan. [wm.kl. 7:25 pm 19/02/08]
Berita Lewat
PAS Perlis nampaknya mendahului Pas negeri-negeri lain yang muncul sebagai negeri pertama mengumumkan senarai lengkap calon-calonnya. Perkembangan ini menunjukkan Pas Perlis memang bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke -12 dan memberi tentangan sengit kepada BN.
Mungkin Pas Perlis bersemangat untuk membuat persediaan awal memandangkan kepada kemelut di dalam Umno yang masih belum selesai. Tiga tokoh utama Umno Perlis, Radzi Sheikh Ahmad, Azmi Khalid dan Shahidan Kassim dikatakan bercakaran sesama sendiri.Masing-masing cuba menunjuk hero dan dalam masa sama cuba menjatuhkan antara satu sama lain.
Kena pada tempatnya kalau Pas perlis mengambil kesempatan ekoran kemelut itu. Mungkin pilihan raya ini merupakan peluang terbaik untuk Pas Perlis sekurang-kurangnya menafikan majorii 2/3 BN di DUN Perlis kalaupun tidak buat pertama kali dalam sejarah menguasai Perlis.
Perlis mempunyai 15 kerusi DUN dan tiga Parlimen. Pas meletakkan calon di 12 kerusi DUN dan dua Parlimen.
Calon-calon Parlimen Pas ialah Dr Haron Din (Arau) dan Zolkharnain Abidin (Padang Besar).
Sementara kerusi DUN pula Dr Haron Din (Chuping), Mohd Ali Puteh (Mata Air), Wan Kharizal Wan Khazim (Santan), Abdul Rashid Abdul Rahman (Bintong), Mohd Anuar Tahir (Sena), Osman Abdullah (Kuala Perlis), Ahmad Tajuddin Salleh (Kayang), Yaakob Adenan Fadzil (Pauh), Abu Bakat Ali (Tambun Tulang), Che Nordin Ahamad (Guar Sanji) Ahmad Adenan Fadzil (Simpang Empat) dan Hashim Jasin (Sanglang).Penurunan Timbalan Mursyidul Am Pas di kerusi Chuping itu mungkin sebagai persediaan untuk dilantik menjadi Menteri Besar sekiranya Pas berjaya membentuk kerajaan di Perlis. [wm.kl 19/02/08]
Monday, February 18, 2008
Analisa Berita
Beberapa hari lalu Annuar menjelaskan anak sulungnya itu tidak akan bertanding dalam pilihan raya 8 Mac nanti. Mungkin Anwar fikir belum masa lagi untuk Nurul Izzah berbuat demikian.

Namun hari ini Nurul Izzah dalam nada lain menyatakan mengenai dirinya terserah kepada pucuk pimpinan.
Ada alasan dan hujah kenapa kawasan Wangsa Maju ditunjukkan kepada Nurul Izzah. Wangsa Maju kawasan pinggir bandar di mana mempunyai kompilisi pengundi antara cerdik dan tidak berapa cerdik. Maksudnya pengundi yang taksub kepada Umno dan pengundi yang terbuka dan bersedia memilih selain daripada Umno.
Kalau Nurul Izzah bertemu dengan Khairy ia seperti ruas bertemu dengan buku. Atau Khamis bertemu dengan Jumaat! Saya percaya keduanya mempunyai peminat dan penyokong masing-masing. Pertemuan mereka juga boleh dijadikan kayu pengukur menilai sejauh mana populariti kedua orang yang menjadi idola mereka, Khairy (Abdullah) manakala Nurul Izzah (Anwar).
Sekiranya desas desus mengatakan Khairy akan turun belajar berpolitik di Rembau Negeri Sembila, tidak menjadi masalah kepada Nurul Izzah untuk mengikuti Khairy Jamaluddin di situ. Pasti kalau Nurul Izzah berlawan dengan Khairy ia akan menjadi legasi yang tiak terlupa kepada pilihan raya ke - 12 khususnya untuk generasi sebaya mereka. [wm kl. 8:30 pm 18/02/08]
Bingkisan Rasa 4
Politik di sini keras dan adakalanya sangat rendah mutu dan akal budinya. Barang kali analogi Orang Utan yang digunakanpakai oleh Tok Guru Nik Aziz terhadap orang Umno itu juga boleh dipakai untuk politik Pas di kawasan-kawasan seperti Pasir Puteh ini.Kalau di Rantau Panjang Umno hendak memilih Ketua Bahagian sampai tembak menembak, tidak kurang juga dengan Pasir Puteh. Pernah berlaku seorang pemimpin Pas kawasan ini dipukul dengan kapak. (Bukan Kapak Jangak!)
Pemimpin tertinggi
Budaya dan amalan itu terus berlaku dan terbawa ke hari ini. Setiap kali menjelang pilihan raya umum kawasan ini bergolak dan akan berlaku perebutan menjadi calon. Tahun ini tidak terkecuali. Pasir Puteh juga ada masalah tersendiri. Mungkin bagi mereka yang baru menjejak kaki ke situ akan pening dan tidak sanggup berhadapan dengan politing yang semrawik itu.
Khabarnya masalah perebutan calon di kawasan ini masih belum tuntas. Calon bertukar setiap lima jam sekali! Ini sungguh menghairankan. Kenapa berlaku demikian. Bukankah nama-nama calon diangkat oleh Pas Kawasan yang mendapat petunjuk dari cawangan. Kenapa harus menjadi rumit.
Misalnya calon Parlimen Pasir Puteh, mulanya nama Bendahari Agong Pas, Dr Mohd Hatta Ramli disebut-sebut akan bertanding di sini. Dr Mohd Hatta katanya sudah pun turun ke Pasir Puteh untuk membuat persiapan. Beliau sudah pun mengira-ngira berapa wang yang harus di belanjakan. Rumus mengenainya akan bertanding di Pasir Puteh juga sudah tersebar ke seluruh dunia.
Alih-alih kini nama Dr Mohd Hatta hilang dalam senarai diganti dengan nama lain. Siapakah angkara menyebabkan Pasir Puteh menjadi caca merba begitu?
Berkorban
Malu... malu apa yang berlaku. Kalau pun Pas tidak malu kepada Umno kerana mereka 'Orang Utan', tetapi malulah kepada Dr Mohd Hatta Ramli. Beliau orang luar yang berpolitik secara profesional dan ikhlas. Beliau bukan menangih untuk ke Pasir Puteh tetapi dibawa. Orang macam mana lagi yang Pas inginkan untuk jadikan jurubicara rakyat kalau pejuang rakyat segigih Dr Mohd Hatta pun dipermainkan. Seharusnya orang yang membawanya bertanggungjawab dan berkorban kerusi dan berikan kepada beliau.
Katanya masalah di Pasir Puteh bermula apabila salah seorang bekas pemimpin Pas kawasan itu tergila-gila untuk bertanding. Beliau tidak mendapat sokongan peringkat cawangan. Namun kerana beliau dikatakan ada hubungan dengan pemimpin tertinggi Pas Kelantan dan mempunyai kepakaran membuat heboh, maka namanya disenaraikan. Beliaul inilah polong yang meracau di Pasir Puteh.
Penyenaraikan nama orang itu yang mendapat restu salah seorang pemimpin Pas Kelantan itu menimbulkan kemarahan dan bantahan. Kehadirannya yang pernah dikapakkan itu dianggap sebagai pengacau. Di sinilah bermulanya kemelut perebutan calon Pasir Puteh.
Mulanya beliau berminat untuk bertanding di Gaal kerusi yang diduduki Exco Pertanian Dr Nik Mazian Mohamad. Apabila beliau memasuki Gaal inilah keadaan menjadi kelam kabut. Untuk tujuan itu ada pelan untuk menghantar Nik Mazian ke Selising. Tujuan bawa Nik Mazian (foto) ke Selising tidak lain dan tidak bukan untuk mengkarunggunikan Exco itu di situ.
Berlakulah bantahan sehingga penghantaran memorandum ke Pejabat Agung Pas di Jalan Raja Laut. Kenapa harus berlaku sampai begitu sekali? Di era tahun 70an dan 80an dulu kalau pun ada bantahan setakat rumah Pesuruhjaya di Kota Bharu saja, tidak sampai ke Kuala Lumpur. Namun akhir-akhir ini bantahan dan bangkangan terbawa begitu jauh sekali. Apakah ini menandakan akan kehebatan Pas di era profesionalisme dan menggambarkan kelemahan era kepimpinan ulama di bawah Tok Guru Nik Aziz?
Apakah akan berlaku kepada Pas di masa akan datang? Diharap mereka yang terlibat secara langsung menjadi hantu, menyocok dan mengaturkan agenda peribadi insaf dan sedar. Bahawa perbuatan anda itu tercela dan busuk. Lebih busuk daripada tahi kambing jamnapari yang kering!
TERBARU : Katanya soal pembahagian kerusi di pasir Puteh telah selesai lewat petang tadi. Nik Mazian dikembalikan semula ke Gaal, manakala tempat Dr Mohd Hatta diganti oleh orang yang begitu ghairah untuk bertanding salah sebuah DUN dengan harapan dilantik menjadi Exco. Dr Mohd Hatta disebut pula akan dihantar ke Jeli untuk berhadapan dengan Mustapa Mohamad.
Soalnya apakah penyelesaian itu membawa kemenangan kepada Pas? [wm.kl 9:45 pm 18/02/08]
Berita Pagi

Sunday, February 17, 2008
Bingkisan Rasa 3
(Kemelut Kota Bharu)
MULANYA saya menafikan dakwaan seorang pemanggil yang mengatakan Pas juga bermasalah di Kota Bharu. Saya hanya tersenyun apabila pemanggil itu memberi tahu demikian walaupun nadanya bersungguh. Saya ingat ia gimik pemanggil itu saja setelah beliau membaca blog saya.
Apa masalah Kota Bharu? Setahu saya mulanya Yang Dipertua Pas Kota Bharu, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (Cikgu Rahim) berhajat untuk bertanding di kerusi Kota Bharu tetapi bila Pengerusi PKR Kelantan, Nik Mahmood Nik Hassan berkeras nak bertanding tidak jadilah Cikgu Rahim nak mencu
ba nasib di situ.Masalah Cikgu Rahim itu dikira selesai apabila Abdul Fatah Haron (rakan seTiga Abdulnya) bermurah hati 'membeli' Cikgu Rahim agar bertanding di Parlimen Rantau Panjang. Cara Abdul Fatah menawar kerusi Rantau Panjang kepada Cikgu Rahim itu macamlah kerusi Rantau Panjang hak keluarganya. Beliau tidak berunding dengan sesiapa yang patut di peringkat kawasan dan membuat keputusan sendiri sehinggakan ada yang terasa hati dengannya.
Apa masalahnya di Kota Bharu? Menurut pemangil itu, masalah timbul apabila Takiyuddin Hassan dipindahkan bertanding dari kerusi DUN Bunut Payung ke Parlimen Kota Bharu. Saya tidak percaya perpindahan itu kerana Nik Mahmood mulanya beriya benar nak bertanding di Kota Bharu.
Dipindah
Selepas merisik dan menghubungi beberapa orang di Kota Bharu, dakwaan itu benar - Takiyuddin dipindah ke Parlimen. Kenapa? Mengapa Exco Kanan dan Setiausaha Badan Perhubungan Pas itu dipindah ke parlimen. Apakah penyakitnya? Pening saja memikirkannya.
Jika melihat kepada 'sejarah' lama mungkin saya tahu serba sedikit apakah sebab dan keperluannya maka Takiyuddin harus dipindahkan ke Parlimen. Ini sejarah lama dan pelan politik lama! Tetapi pelan lama itu sepatutnya tidak berlaku lagi hari ini, disaat-saat Pas terdesak untuk menang ia harus dilupakan. Hari ini bukan masanya untuk sesiapa di dalam Pas meluaskan jurang perbezaan atau pertelingkahan apa lagi mementingkan agenda peribadi.
Seharusnya yang sudah itu sudah... enough is enough dan kalau pun hendak berganduh sampai hendak bertetak biarlah selepas menang kelak.
Pada saya sepatutnya Kota Bharu tidak perlu bergolak. Kota Bharu kawasan bandar di mana ahli dan pengikut Pas tidak sempit dan 'segenius' seperti ahli Pas di kawasan pedalaman. Politik Kota Bharu tidak seperti politik Sungai Petai, Pasir Puteh ataupun Bukit Tandak di Rantau Panjang ataupun Manik Urai di Kuala Krai.
Kalau Kota Bharu yang ahli dan penyokongnya lebih terbuka dan cerdik itu pun bergolak apa lagilah kalau di Pasir Puteh, Kuala Krai, Rantau Panjang dan lain-lain.Sama sekali pada saya perpindahan Takyuddin tidak bijak. Maka Pas perlu memikirkannya semula. Beliau bukan ketua cawangan tetapi Setiausaha Badan Perhubungan, Timbalan Pas Kota Bharu dan salah seorang Exco kanan. Maruah dan dirinya juga patut dihormati.
Tentulah bagi Takiyuddin perpindahan yang dibuat atas motif itu sedikit sebanyak melukakan hatinya. Dalam hal ini Takiyuddin pasti akan banyak mendiamkan diri daripada bercakap membela dirinya. Dia sedar dan tersudut apabila soal anak negeri diungkitkan. Dia merasakan dirinya sebatang kara di Kelantan.
Ini pun satu perkara lagi, soal tempat asal dan tempat lahir tidak wajar dibangkitkan. Pas sebagai parti universal (Islam) tidak pantas mempertikai dan menjadi itu sebagai isu. Sebab itu secara peribadi saya kesal dengan apa yang berlaku di DUN Kijang, penghalauan Adun di situ atas alasan beliau bukan orang kawasan itu sesuatu kejadian yang tidak patut sangat.
Demi politik
Kalau ini diambil kira dengan adil, kenapa Pas bersedia menerima empat orang calon dari luar bertanding di Kelantan kali ini? Kalau Ibrahim Ali Pas boleh berikan laluan demi politik kenapa untuk sesama darah daging sendiri Pas rela mengabaikannya.
Mengapa tergamak dilakukan begitu kepada Takiyuddin. Apakah kerana beliau berperawakan seperti Umno? Atau kerana dia rapat dan baik dengan Nik Abdul anak Nik Aziz. Atau kerana dia kahwin lebih daripada satu.
Sekali lagi kalau ini isu dan alasannya tidak relevan kerana ada orang lain lebih bersifat Umno berbanding Takiyuddin, manakala bab soal kahwin lebih daripada satu bukan saja Takiyuddin tetapi orang lain juga berbuat demikian. Bahkan ada yang orang yang kahwin namun tidak istyharkan perkahwinannya.
Persoalanya bagaimana sikap Tok Guru Nik Aziz dalam hal ini? Apakah dalam hal ini Tok Guru hanya tersenyum dan tersegen sahaja tanpa memahami dan cuba membaca kilau dalam kilat di sebalik perpindahan Takyuddin itu. Apakah Nik Aziz terus menerimanya tanpa mempersoalkannya? Mempercaya kepada orang yang bertanggungjawab membuat cadangan ini sertaus peratus?
Kurang elok dan kurang adil kalau Tok Guru hanya menerima pandangan secara sulit pihak tertentu kemudian menerima keputusan yang beliau sendiri tidak tahu apakah hujung jatuhnya.
Tok Guru patut bertanya orang lain dan tidak terbatas kepada orang yang sering berlutut kepadanya saja.
Apa yang Pas lakukan terhadap Takiyuddin - sekiranya beliau tetap dipindah ke Parlimen, samalah seperti habis manis sepah dibuang. Jika hendak dikira bukan sedikit jasa Takiyuddin pada Kerajaan Kelantan. Bahkan sebelum orang lain jadi Exco, beliaulah Exco yang berkerja rapat dan kuat memberi semangat kepada Tokguru.
Mungkin ramai yang tidak sedar. Beliau adalah Penasihat Undang-Undang Pas Kelantan. Jasa dan budinya bukan sedikit. Banyak kes-keas yang melibatkan individu Pas dan organisasi itu beliau yang tangani.
Saya masih ingat bagaimana cemas dan sibuknya Takiyuddin di malam pengumuman keputusan pilihan raya umum ke-11 2004 lalu di Pejabat Pas Kota Bharu. Beliaulah yang menasihati Tok Guru dan dipanggil Tok Guru untuk berbicnang perkembangan yang genting ketika itu. Saat itu tidak ada seorang pun pemimpin kanan Pas bersama Tok Guru melainkan beliau dan Wan Ismail Wan Jusoh bekas Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan.
Orang seperti ini sepatutnya tidak dianiaya dan dipermainkan. Beliau sepatutnya diajak berunding dan berpakat untuk membina Kelantan dan bukan dengan cara membunuhnya dalam senyap tetapi dalam suasana terang benderang.
Hendaknya masalah di Kota Bharu ini diselesaikan dengan baik tanpa menjejaskan mana-mana pihak. Perkara paling penting diinsafi, Pas memerlukan komitmen semua pihak dan individu untuk menang. Umpama pasukan boleh sepak kekuatan di sesuatu bahagian saja, ia tidak menjamin pasukan itu akan menang.
Masa masih ada. Penamaan calon tinggal enam hari lagi. Fikir dan bertindaklah sebelum terlambat! BERSAMBUNG Esok Pergolakan di Pasir Puteh. [wm.kl 7: 05 17/02/08]