Wednesday, July 8, 2009

Belaga Rasa

Azizan dan Lim Kit Siang Berpakat Semula

TIADA benang yang kusut yang tidak dapat dihuraikan dan tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Sekiranya semua pihak sedia berunding duduk semeja berbincang dengan tenang dan rasional, semua masalah dapat diatasi. Serumit mana pun kalau ada keikhlasan di hati ia akan menemui jawaban dan menyelesaikan masalah betapa pun rumit.

Begitulah apa yang berlaku dalam Pakatan Rakyat di Kedah, kemelut atau huru hara yang ditimbulkan oleh DAP kerana tidak berpuas hati mengenai beberapa perkara dianggap telah selesai hari ini setelah Menteri Besar Kedah, Azizan Razak dan Lim Kit Siang bersama pemimpin DAP Kedah duduk semeja di Kuala Lumpur hari ini.

Ketiga-tiga pihak Pas, PKR dan DAP hari ini bersetuju untuk mewujudkan satu sekreteriat bagi dijadikan medan ataupun saluran untuk para pemimpin Pakatan Rakyat duduk membincang apa-apa masalah yang timbul.

Perkara ini diumumkan oleh Azizan Razak dalam satu sidang media khas selepas mengadakan pertemuan dengan Lim Kit siang dan para pemimpin DAP Kedah. Pertemuan yang berlangsung dalam semangat muhibbah itu juga bukan saja bersetuju mewujudkan sekreteriat tetapi turut sama menyelesaikan beberapa isu lain. Penyelesaian dicapai hari ini dibuat secara pakej.

Adalah diharap selepas ini tidak akan timbul lagi kecam mengecam antara satu sama lain, khas DAP di Kedah. DAP hendak menerima dengan terbuka dan sedia mematuhi persetujuan yang dicapai hari ini tanpa mempamierkan berbagai kerenah ganjil.

Sudah tentu dalam menjamin hubungan baik ini DAP bukan saja perlu mengharapkan semua permintaannya dipenuhi tetapi sebaliknya bersedia juga memahami perasaan dan keperluan pihak lain, PAS dan PKR. Foto Zamzarina. [jln pahang 6:20 pm 08/07/09]

Berita Terkini

Isu PPSMI
Akhirnya Berakhir Dengan Kemenangan!


PELBAGAI pihak mengalu-alukan keputusan Kabinet memansuhkan PPSMI seperti mana diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin hari ini. Kecuali Dr Mahathir Mohamad yang melahirkan rasa sedih atas tindakan itu, mereka yang lain menyatakan rasa gembira dan puas hati atas tindakan kerajaan itu.


Isu PPSMI ini berlarutan selama enam tahun. Ia mula dicurigai kemudian dibantah sejak awal diperkenalkan tahun 2002


Walaupun masih ada tiga tahun lagi pelaksanaanya, di mana pemansuhan bermula tahun 2012,tetapi ia sudah menampakkan ada cahaya terang di hujung terowong. Usaha pencinta bahasa, sasterawan, seniman negara dan mereka yang cintakan bahasa ibunda dari pelbagai etnik akhirnya membuahkan hasil


Pemansuhan PSPMI merupakan kemenangan untuk rakyat jelata. Segala kepedihan para pejuang bahasa dan pelopor anti PPSMI sampai ada yang dilingkungi polis atau diheret ke balai polis berbaloi juga akhirnya.


Kejayaan ini menjelaskan tindakan secara berpasukan membabitkan gerakan massa yang dikendalikan para profesional membawa natijah diharapkan. Belum tentu kalau isu itu diperjuangkan oleh badan siasah ia akan menemui pengakhiran. Sudah tentu kerajaan akan berkeras untuk memansuhkan walaupun ada bukti-bukti jelas mengenai ketidakberkesanannya kerana bimbang akan dianggap sebagai akur kepada tuntutan politik.


Manusia politik adalah seangkuh-angkuh dan sedegil-degil manusia untuk mengakui kesilapan mereka meskipun jelas dan terang!


Menerima kemenangan rakyat hari ini, seharusnya pujian patut diberikan kepada Muhyiddin Yassin, selaku Menteri Pelajaran yang bertanggungjawab langsung dengan hal ehwal pendidikan. Tindakan diambil Muhyiddin adalah satu keberanian dan bijaksana menggambarkan beliau mendengar kepada suara rakyat.


Saya yakin kalau menteri pelajaran masih dijabati Hishmuddin Hussein belum tentu isu PPSMI ini menemui perakhirannya. Mungkin berpuluh kali lagi persidangan meja bulat (yang tidak perlu itu) diadakan untuk mengkaji keberkesanan PPSMI atau membaca laporan-laporan mengenainya. Entah berapa ratus juta lagi wang rakyat juga terpaksa dikorbankan.


Sebelum ini ada oranag mengatakan PPSMI lambat untuk dimansuhkan kerana ingin menjaga periuk nasi orang- orang tertentu yang membuat kerak menerusi dasar pendidikan itu.


Segala tender mengenai peralatan untuk pembelajaran itu diberikan kepada mereka yang ada hubungan dengan orang-orang tertentu. Dalam erti kata lain pertimbangan dan kajian itu bagi menimbunkan berapa banyak wang kepada penender berkenaan bukannya mencari keabsahan dalam menyelesaikannya.


Tak mengapalah, yang habis biarlah habis. Yang penting apa yang dikemukakan dan diperkatakan oleh mereka yang anti PPSMI selama ini benar belaka. Saya rasa kalau semua orang yang anti PPSMI meludah dalam satu tasik, mungkin tasik itu sudah melimpah dengan air liur kebencian dan kecemuhan mereka kepada PPSMI yang diilhamkan Dr Mahathir Mohamad itu.


Bermula daripada NGO, parti politik, pejuang bahasa dan budayawan sehingga melibat sasterawan negara turut sama memerangi PPSMI yang akhirnya membawa kepada kewujudan apa yang dinamakan Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP). GMP inilah badan yang paling berkesan dan digeruni kerajaan sehingga akhirnya PPSMI dimansuhkan. GMP memulakan langkah untuk menentang PPSMI dari kaki lima Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman sampailah ke Parlimen hinggalah menjelajahi ke pentas-pentas ceramah oposisi.


Apa yang dapat direnungi disebalik keputusan hari ini menjelaskan tindakan kerajaan dalam hal ini ternyata tidak sempurna dan salah. Ia dibuat secara ad hoc tanpa perundingan dan perbincangan dengan rakyat dari semua lapisan khasnya yang bakal mengenai pendidikan dan pengembangan bahasa Melayu. Makanya, kerajaan Najib Razak harus belajar dan mengambil iktibar daripada kesilapan besar yang merugikan bangsa dan wang rakyat ini.


Mana-mana polisi dan dasar yang melibatkan orang ramai sebelum hendak dilaksanakan perlulah diadakan kajian dan pandangan secara komprehensif dan tidak bersifat tergesa-gesa.


Jelas keputusan dibuat ala diktatorship oleh Dr Mahathir akan menjahamkan negara. Bayangkan berapa banyak wang yang dilaburkan untuk melaksanakan dasar berkenaan yang ternyata gagal total. Betapa tidak seperti kata Muhyiddin peningkatan kualiti bahasa Inggeris menerusi dasar berkenaan hanya 3% saja dalam tempoh enam tahun. Manakala kemerosotan pelajar dalam kedua mata pelajaran itu begitu ketara sekali.


Makanya di sini sama-samalah kita mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat baik secara kumpulan atau individu dalam memperjuangkan bahasa Melayu menerusi pengnyahan PPSMI.


Terlalu ramai nama kalau hendak disenaraikan. Di posting ini biarlah saya mencatat beberapa nama yang sinonim dengan perjuangan ini yang mengerakan menerusi GMP. Mereka ialah Dr Hassan Ahmad, Prof Abdullah Hassan, Puan Ainon Mohd, Prof Zaharin Mat Zain, A Samad Said, Abu Bakar Chik, Annuar Ridhwan, Dr Awang Sariyan, Zainal Abidin Ahmad, Dinsman, Pyan Habib, Dr Ghafar Ibrahim dan lain-lain. Tahniah!


Percaya dan yakinlah usaha kalian akan dicatat dalam buku emas dengan tinta emas dan akan dikenangkan bangsa bukan hari ini tetapi 100 tahun lagi. [wm.kl. 10:00 pm 08/06/09]


PPSMI Akhirnya Dimansuh

Akhirnya pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan, demikian diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Muhyiddin Yassin sekejap tadi. Pemansuhan itu akan berkuat kuasa 2012. [jln pahang 3:10 am 08/07/09]

Susupan Pagi

Bila Pas Bermain Politik Sesama Sendiri

APAKAH kebenaran dan kejujuran juga sudah terhakis dalam Pas? Di manakah ajaran dan prinsip Islam yang menuntut seseorang itu berkata benar! Berkata benarlah meskipun pahit! Itu adalah ajaran Islam yang didokong dan diperjuangkan oleh Pas. Kalau orang-orang Pas juga tidak mempraktikan itu maka Pas juga sama dengan parti lain yang dituduh macam-macam oleh Pas.

Semalam apabila Pengarah Pilihan Raya Pas Manik Urai merangkap Pengarah Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPN), Abdul Fatah Haron mengatakan dan menjelaskan ketiadaan Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa pada hari penamaan calon dan tidak menjejak kaki ke Manik Urai sehingga hari ini adalah kerana 'malu mata', adalah sungguh menyesalkan sekali.

Menurut Fatah ketiadaan Nasharudin itu kononnya atas kehendak Nasharuddin sendiri dan tidak ada siapa yang melarangnya untuk datang. Sebagai seorang pemimpin parti Islam dan besan kepada Mursyidul Am Pas, kenyataan dan penjelasan Fatah itu sungguh memalukan dan songsang.

Apakah untung dan labanya kalau Fath menceritakan hal dan sebab sebenar kenapa Nasharudin tidak muncul di Kuala Krai dan Manik Urai. Usahlah melindungi sesuatu yang bersifat ianya berbau kerana lama kelamaan ia akan dihidu juga oleh orang ramai suatu hari nanti.

Apa salahnya Fatah menceritakan hakikat sebenarnya bahawa ketiadaan Nasharudin itu adalah kerana adalah atas kehendak Pas sendiri. Tidak timbul soal 'malu mata' dalam soal ini. Sebagai seorang pejuang Islam tidak berlaku itu kepada Nasharuddin saya rasakan.

Dari maklumat yang sampai ke telinga saya, ketiadaan Nasharudin itu adalah atas kehendak Pas Kelantan sendiri. Dalam mesyuarat Badan Perhubungan Pas pada 25 Jun telah memutuskan untuk tidak membenarkan Nasharudin hadir pada hari penamaan calon atau diharamkan menjejak kaki di Manik Urai hingga selesai pilihan raya kecil itu.

Bukankah Fatah sendiri atas sifatnya sebagai Pengarah JPN Kelantan, sebagai ketua Pas Kawasan Rantau Panjang dan merangkap sebagai besan kepada Nik Abdul Aziz Nik Mat turut sama berada dalam mesyuarat berkenaan. Mustahil kalau Fatah tidak faham dengan arahan dan order yang ditetapkan dalam mesyuarat berkenaan.

Fatah perlu menjelaskan kesilapan kenyataan itu. Kenyataan Fatah itu bersifat cuba memburuk atau menambahkan lagi keburukan kepada Nasharudin. Sebagai parti mengaku mengamalkan prinsip Islam cara itu tidak baik. Fatah kena ralat kenyataan itu dan menceritakan hakikat sebenarnya. Janganlah menimbulkan kekeliruan sesama sendiri.

Tidak salah kalau Fatah memberi tahu apa yang diputuskan. Nik Aziz juga tidak akan marah, malah saya rasa Tok Guru itu suka kerana mesyuarat itu dipengerusikan olehnya sebagai Pesuruhjaya Pas Kelantan. Ahali-ahli Pas yang membenci Nasharudin juga akan suka dengan tindakan dan keputusan Pas Kelantan itu. Jadi kenapa harus bermain politik disebalik arahan dan keputusan itu?

Janganlah Pas juga hendak terus berpolitik sesama sendiri. Ahli yang cetek pengetahuan dan hanya mengharap maklumat dari cakap-cakap di bawah akan keliru dengan tindak tanduk dan sikap Fatah itu. Lebih teruk lagi ahli akan menyalahkan Nasharudin. Cara Fatah jelaskan itu seakan hendak memburukkan Nasharuddin. Ya kalau benci kepada Nasharudin kenapa harus diperpanjangkan.

Apakah situasi demikian tidak boleh disamakan dengan satu fitnah mentah-mentah kepada Nasharuddin. Semua orang beriman dengan Muhammad s.a.w. tahu hukum fitnah!

Saya percaya kalau tidak ada larangan itu Nasharudin akan muncul di Kuala Krai dan turut bertungkus lumus di Manik Urai. Tetapi kerana ada larangan demikian, beliau tentu sekali mendiamkan diri dan memerhati pilihan raya itu dari juah atau menerusi blog kerana menghormati larangan berkenaan.

Jadi di sini soal Nasharuddin tidak muncul di Manik Urai kerana malu mata itu tidak timbul. Saya juga difahamkan keputusan melarang Nasharudin itu disampaikan sendiri kepadanya. Pas Kelantan telah menghantar tiga wakil bagi memaklumkan perkara itu kepada Nasharuddin. Kenapa sampai tiga wakil, berat sangat kes ini?

Kalau dihantar seorang wakil pun sudah memadai. Atau kalau memaklumkan keputusan itu dengan telefon pun cukup. Nasharudin bukan seorang yang keras pedal dan sukar untuk diajar. Dia tahu di mana bumi dipijak dan di mana langit dijunjung. Nampaknya apa yang Pas Kelantan lakukan terhadap Nasharudin langsung tidak menghormati Nasharudin sebagai Timbalan Presiden Pas.

Pas Kelantan janganlah 'manggak' sangat. Jangan kita bermegah dengan kekuatan kita. Kalau Allah s.w.t. nak balikkan sesuatu itu cukup dia hanya mengatakan 'kun fayakun' saja, maka jadilah. Saya bimbang dengan pergolakan dan politiking di dalam Pas kini akhirnya menyebabkan Pas Kelantan dihadiahkan musibah tidak terhingga oleh Allah s.w.t. Dan kalau Pas sudah tidak suka kepada Nasharudin nyatakan kepadanya dan biarlah keputusan itu istiqamah. [jln pahang 10:45 am 08/07/09]

Tuesday, July 7, 2009

Jenguk Manik Urai 2

Kenapa Ramzi Digambarkan Bersama Tuan Aziz?

LEBIH daripada dua kali saya tepandang calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat ditampilkan di kaca tv dengan didampingi Ketua Umno Kuala Krai, Ramzi Abdul Rahman. Kali pertama ialah semasa beliau memberi kenyataan akhbar selepas pegumumannya sebagai calon UBN oleh Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin, dan kedua selepas selesai proses penamaan calon tengah hari semalam.

Kedau-dua kali penampilan itu Ramzi (foto) berada di sebelah kanan Tuan Aziz, dan kebetulan memakain baju yang sama!. Walaupun ada beberapa pemimpin lain tetapi Ramzilah yang ditonjolkan. Yang difokuskan oleh cemera. Ramzi pula tidak berkata apa-apa cuma tersenyum dengan mengembangkan pipinya yang sedia tembam (maaf).

Mungkin keadaan itu sudah menjadi kebiasaan. Seseorang calon atau bakal calon perlu dikapit oleh penyokong dan pemimpin untuk memberi semangat dan aura kepadanya. Untuk menampakkan kepada khalayak penonton yang dia disokong sepenuh hati oleh pemimpin tertinggi partinya. Tetapi bila yang cuba ditonjolkan tv hanya muka penuh Ramzi menyebabkan timbul pertanyan di kepada saya, kenapa?

Misalnya kenapa Muhyiddin Yassin tidak mendampingi Tuan Aziz? Apakah aura Ramzi melebihi arua yang ada kepada timbalan presiden Umno itu. Ataupun penampilan Muhyiddin di samping Tuan Aziz tidak berjaya menarik undi dan minat pengundi Manik Urai. Apakah orang Manik Urai tidak kenal dengan timbalan perdana menteri itu dan tidak dapat mempengaruhi penduduk Manik Urai?

Barang kali ya juga. Kerana seingat saya inilah kali pertama Muhyiddin menjijak bumi Manik Urai. Sudah lebih 30 tahun jadi pemimpin UBN tetapi baru kali ini tergerak hendak ke Manik Urai. Mungkin kalau Pak Su Weil tidak mati Muhyiddin tidak akan menjejakkan kakinya lagi Manik Urai.

Begitu juga dengan Najib Razak masih belum tergerak nak merasai lembut dan lunaknya tanah Manik Urai. Kalau dalam keadaan berpilihan raya ini pun Najib masih lagi tidak nak mencemar duli untuk memijak kawasan spara pedalaman itu, bila lagi? Waktu inilah sepatutnya Najib memijak bumi Manik Urai bersama pemimpin lokal yang lain dan bersalaman dan merasai bagaimana kasarnya jari jemari penduduk Manik Urai.

Berbalik kepada soal penonjolan wajah Ramzi di kaca tv tadi, saya rasa kalau hendak dibandingkan antara aura Ramzi dengan Muhyiddin jauh lebih hebat aura Muhyiddin. ‘Perfume’ yang dipakai Muhyiddin lebih menyengat lubang hidung rakyat Manik Urai daripada perfume yang dipakai Ramzi. Muhyiddin ialah timbalan perdana menteri yang boleh mengumumkan apa-apa saja projek kepada penduduk Manik Urai. Berbeza dengan Ramzi, hanya seorang ketua bahagian biasa dan menjadi pengerusi Kesedar. Apa yang boleh dilakukan oleh Ramzi?

Lagipun kedudukan Ramzi sendiri ‘cokngik cakdong’ di Kuala Krai. Nasibnya sendiri masih belum tentu. Sekiranya pemilihan kepimpinan bahagian tidak lama dulu dilangsungkan dalam keadaan betul tanpa ada helah mungkin Ramzi sudah bungkus di Kuala Krai. Kehebatan Razmi merudum dengan tiba-tiba apabila mentornya tidak lagi menjadi Perdana Menteri. Namun disebabkan ada permainan ilat, di mana beberapa cawangan yang menyokong lawannya Wan Zahid Wan Abdullah dimatikan, maka Ramzi selamat, menang tanpa bertanding.

Tindakan dan cara Ramzi itulah menyebabkan wujud kudis. Situasi dan permainan inilah menyebabkan 24 daripada 42 cawangan Umno bahagian Kuala Krai dikatakan tidak berpihak kepada Ramzi. Mungkin gara-gara inilah juga menyebabkan Ramzi walaupun ketua bahagian terlepas untuk dicalonkan sebagai calon di Manik Urai.

Umum sedia maklum Tuan Aziz ialah orang kanan kepada bekas ketua, Wan Zahid yang gagal untuk menentang Ramzi dalam pemilihan dulu. Selain itu Ramzi juga ada kudis lain dengan Tuan Aziz. Tuan Aziz pernah diturunkan pangkat dalam Kesedar. Orang yang bertanggungjawab menurunkan pangkat ialah Ramzi. Pernah berlaku tunjuk perasaan dari kalangan peneroka menentang penurunan pangkat Tuan Aziz itu. Kenapa Ramzi berbuat demikian tentulah ada kena mengena dengan sokongan Tuan Aziz kepada seteru politiknya, Wan Zahid.

Jadi senario itu saya rasa dapat difahami kenapa tv beriya sangat nak menonjolkan Ramzi sering mendampingi Tuan Aziz? Tujuannya ialah untuk memberi tahu dunia Manik Urai sampai ke Oslo, bahawa Ramzi menyokong penuh pencalonan Tuan Aziz. Bahawa beliau tidak terkilan dan sedia memastikan kemenangan Tuan Aziz. Tujuan dipamerkan itu untuk memberi gambaran bahawa Umno Kuala Krai tidak ada masalah. Bahawa Tuan Aziz bertanding dengan sokongan padu dari semua pihak lawan dan kawan dalam Umno sendiri.

Itulah tujuanya kenapa Ramzi di tampilkan sering bersama dengan Tuan Aziz. Umno ingin menyembunyikan masalahnya di Manik Urai. Sebaliknya dengan cara penojolan berlebihan itu menyebabkan orang ramai makin mengetahui masalah dihadapi Umno; bahawa Ramzi dan Tuan Aziz tidak nggam.

Kesimpulannya berpandukan kepada sejarah dan budaya Umno tidak mudah seseorang yang terkeduh hati untuk memberi sokongan padu kepada seseorang lain dalam meraih kemenangan. Apa lagi kalau kemenangan itu bakal membawa binasa kepadanya. Lainlah kalau selepas selesai pilihan raya kecil Manik Urai ini Ramzi mengistyharkan diri bersara dalam politik dan kembali ke tempat asalnya di Kubang Batang, Tumpat. [wm.kl. 11:30 am 07/07/09]

Monday, July 6, 2009

Jenguk Manik Urai

Perarakan Calon
Pusingan Pertama Pas Sudah Menang

PROSES penamaan calon pilihan raya kecil Manik Urai sudah pun selesai. Dua calon bertanding telah pun diumumkan. Mereka ialah Fauzi Abdullah, 50 dari Pas dan Tuan Aziz Tuan Mat dari UBN, 39.

Nampaknya kali ini tidak ada calon bebas yang ikut serta bagi memeriah dan sekaligus menganggu pilihan raya berkenaan. Mungkin dalam keadaan ekonomi tidak sihat, tiada siapa untuk jadi tidak siuman bagi menghabiskan wang untuk dijadikan deposit RM5,000. Mungkin juga di Manik Urai tidak ada wanita yang kurang siuman yang tergila-gila nak melihat foto mereka ditampal di pokok kayu!

Pertandingan antara Pas dengan UBN adalah pertandingan tradisi. Apapun keadaan mereka akan bertanding dan terus bertanding antara satu sama lain. Pertandingan kadang kala bukan sangat kerana yakin menang tetapi kerana dendam kesumat antara satu sama lain.

Jika dilihat kepada semangat dan sokongan, ternyata calon Pas, Fauzi mendapat sokongan hebat. Lebih 12,000 para penyokong dan ahli Pas mengiringi Fauzi ke pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Yahaya Petra, di Kuala Krai.

Berbanding dengan penyokong dan ahli Umno yang mengiringi calon mereka, Tuan Aziz sekitar 5,000 orang saja. Jika jumlah sokongan ini diambil kira sudah pasti Pas akan dapat mengekalkan kerusi berkenaan dengan begitu mudah.

Tetapi kerana politik adalah politik, tidak kira musim hujan, panas atau sejuk; Pas dan Umno tetap juga akan bertarung. Keduanya perlu menyertai mana-mana saja pilihan raya bagi membuktikan mereka masih kuat. Soal kalah menang soal kedua yang boleh dijustifikasikan dengan sifar-sifar dan ilmu politik. Apakah kerana amalan politik bermusuhan itu merugikan bangsa dan agama, kedua-duanya tidak akan menghiraukannya. Yang penting nafsu mereka terpenuhi.

Misalnya kalau UBN tewas pada 14 Julai nanti, akan adalah alasan-alasan yang direka dan dicipta khas untuk tidak menampakkan parti berkenaan lemah dan semakin ditolak rakyat. Begitu juga sebaliknya. Akan dituduhkan kononnya ada permainan dan tektik-tektik kotor yang dimainkan oleh pihak Pas atau UBN.

Kita berharap biarlah keadaan itu tidak berlaku lagi. Kalau UBN kalah maka UBN kena menerima hakikat kekalahan mereka dan jangan cuba hendak mencari helah seperti orang yang tidak pandai menari akan salahkan tanah tinggi rendak apabila tarian mereka songsang dan canggung.

Dalam perarakan menunju ke pusat penamaan calon hari ini keyakinan dan kehebatan Pas terserlah sekali. Dua pemimpin utama Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Abdul Hadi Awang turut sama mengiringi Fauzi di samping pemimpin Pas lain.

Perarakan yang berlangsung dalam suasana ukhwah dan semangat tinggi menampakkan Pas tidak menghadapi apa-apa masalah. Ternyata isu unity goverment dan perselisihan pendapat antara Nik Aziz dengan Abdul Hadi yang cuba dieksploitasikan oleh UBN tidak menjadi. Ahli dan penyokong Pas cukup bijak dalam menghadapi provokasi musuh.

Jelas sekali kehadiran begitu ramai penyokong Pas menggambarkan sikap semula jadi orang Pas di mana mereka akan bersatu bila berdepan dengan lawan. Mereka boleh melupai soal titik bengit dan melangkah sederap untuk menghadapi musuh, UBN. Ahli Pas tidak membawa masalah peribadi dalam parti mereka sehingga boleh memporak perandakan parti itu.

Manakala taburan penyokong UBN hanya sekitar 5,000 itu menunjukkan bahawa UBN kurang yakin dengan pilihan raya berkenaan. Mungkin penyokong UBN dari luar Kuala Krai tidak 'ada angin' (tidak ada semangat) untuk datang kerana sudah dapat membayangkan awal-awal lagi calon mereka akan tewas. Jumlah yang kecil itu juga mungkin kalangan Umno Kuala Krai sendiri tidak berpadu dalam menghadapi pilihan raya itu kerna masalah perpecahan dalaman.

Sekiranya penyokong UBN dapat merasakan mereka berpeluang sudah tentu mereka akan ramai-ramai ke Kuala Krai dan Manik Urai kalau pun bukan untuk melihat kemenangan tetapi sekurang-kurangnya untuk memakan lemang atau durian dan rambutan yang menjadi waktu ini.

Apabila mereka jadi tidak 'ada angin' maka jelaslah UBN dalam keadaan sudah kalah sebelum berjuang. Mungkin berdasarkan hakikat inilah menyebabkan Pas menyarankan supaya lebih baik UBN tidak bertanding dan membiarkan kerusi itu kekal ditangan Pas.

Petunjuk yang dapat disaksikan hari ini pastinya akan menjadi perkiraan dan hisab pengundi di Manik Urai. Tidak ada guna kalau mereka bermati-matian untuk memberi undi kepada Tun Aziz kalau petanda UBN akan kalah sudah jelas kelihatan. Pastinya pengundi yang seronok dengan kemenangan Pas akan mengekalkan undi mereka kepada calon Pas. [*** 11:20 am 06/07/09]

Sunday, July 5, 2009

Rencana Ahad

Membimbangi Pakatan Rakyat (1)

KALANGAN anak-anak muda, bawah 40 tahun mungkin tidak dapat merasai apa yang sedang berlaku dalam Pakatan Rakyat (PR) sehari dua ini atau mereka tidak mahu mempedulikannya. Mereka yang sarat dengan semangat ingin melihat perubahan dan excited unutk menukar kerajaan baru tidak mahu mempedulikan apa yang berlaku. Mereka teramat benci kepada UBN. Lantaran itu mereka memejamkan mata dan memekakan telinga dari melihat dan mendengar itu semua.

Kerana betapa kuatnya semangat dan rasa ghairah itu menyebabkan jika ditulis atau dicatatkan sesuatu yang negatif mengenai Pakatan Rakyat, mereka akan marah dan memberontak. Apa yang mereka mahu ialah yang positif saja walaupun yang pun positif itu retorik semata-mata.

Golongan muda ini yang menjadi penaksub kepada sesetengah pemimpin PR kadang-kadang sudah tidak rasional! Mereka tidak mahu dikritik dan tidak mahu mendengar cerita-cerita negatif mengenai kumpulan mereka. Bagi mereka PR dalam keadaan baik tanpa ada sesiapa lagi yang boleh mengugatnya. Pendeknya PR perfect semuanya.

Pandangan dan pendekatan yang pemimpin mereka ambil dikira terbaik dan tepat. Mereka menerima apa yang ada bagaikan ikan lapam Jawa menelan ketulan kuning yang jatuh ke dalam air. Bagi mereka tidak ada timbang tara lagi dengan pendekatan, perjuangan yang pemimpin mereka lakukan. Semuanya dianggap baik. Bagi mereka apa yang pemimpin mereka lalukan meskipun menyalahi undang-undang atau melanggar tatacara budaya dan hukum agama tidak dipedulikan lagi.

Apa yang mereka tahu PR bila-bila masa saja akan mengambil alih kekuasaan. Lantaran itu kalau diceritakan mengenai masalah dan kelemahan PR mereka jadi histeria dan menuduh pengkritik dengan berbagi-bagai tuduhan. Mereka membalunya dan menuduh pengkritik sebagai musuh.

Golongan ini sudah tidak rasional bagi saya. Justeru sikap dan pendirian mereka tidak boleh diterima sebagai pemandu arah masa depan politik. Dalam erti kata lain kecerdikan dan profesional mereka dalam bidang yang mereka pelajari tidak menjamin membawa kesejahteraan politik yang diharapkan. Mereka lebih menggunakan nasfu dan naluri daripada akal fikiran.

Sebaliknya bagi yang sudah pernah melalui liku-liku politik negara ini, yang sudah melalui sejarah, begitu bimbang dan cemas dengan apa yang berlaku dan perkembangan dalam PR hari ini. Kebimbangan ini menyebabkan keyakinan yang berbunga Pakatan Rakyat akan dapat mengambil alih kerajaan Persekutuan dalam pilihan raya umum akan datang jadi tergugat. Keyaklinan itu kini seakan mengendur.

Keyakinan itu tidak mustahil akan menjadi igauan yang menakutkan sekiranya perkembangan dan masalah yang berlaku dalam PR kini tidak diatasi dan diselesaikan dengan tuntas.

Kebanyakan masalah yang berlaku dalam PR akhir-akhir ini adalah bawakan atau jangkitan virus dalaman yang berlaku dalam parti-parti gabungan pakatan itu. Masalah itu lebih bersifat peribadi parti-parti itu bukannya masalah bersama yang sewajarnya ditimbulkan. Pertelingkahan oleh ahli dalaman parti dibawa keluar sehingga menampakkan ianya menjadi masalah PR.

Misalnya apa yang berlaku di Kedah dan di Pulau Pinag. Masalah sebenarnya berlaku dalam DAP yang mendapat tekanan ahli-ahlinya. Kerana kurang bijak dicampur dengan rasa ‘manggak’ (ego) pemimpin DAP menyebabkan masalah itu 'terkobek' ke luar menjadi masalah PR. Bila ia sudah terkobek keluar maka dengan mudah pula ianya dieksploitasikan oleh UBN.

Masalah dalam parti politik tak ubah seperti guni beras yang carik. Mulanya ia carik sedikit saja, tetapi lama kelamaan bila guni itu diangkut dan diangkat menyebabkan ia semakin membekah. Lama kelamaan carik yang sedikit itu akan terus mengoyak guni berkenaan menyebabkan habis beras terburai.

Bagaimana pun masalah dalam parti-parti Pakatan Rakyat mungkin masih belum parah dan boleh diatasi dengan semangat oppositionisme – kepembangakan yang tinggi untuk menumbangkan UBN. Mungkin masalah di Kedah dan juga di Pulau Pinang dapat diselesaikan sedikit masa lagi.

Tetapi masalah yang besar dan berat dalam PR kini ialah masalah yang yang dihadapi oleh ketua mereka Anwar Ibrahim. Nasib malang yang menimpa Anwar bakal meletakkan PR dalam keadaan kucar kacir. Apa yang dituduh konspirasi untuk menghantar Anwar kembali ke penjara kini sudah pun bermula.

Permohonan Anwar untuk mengkalkan pendakwaan kes liwat ke atasnya dikekalkan di Mahkamah Sesyen ditolak leh Mahkamah Rayuan. Perbicaraanya akan bermula pada 8 Julai di Mahkamah Tinggi seperti mana dirancang.

Walaupun pihak UBN menafikan mereka tidak terlibat dan tidak ada niat untuk menyusah Anwar dengan pendakwaan itu, tetapi yang jelas apa yang menimpa Anwar adalah satu pakatan busuk. Ia satu petaka celaka kepada PR. UBN melihat tindakan ke atas Anwar adalah satu-satu cara terakhir bagi UBN menyelamatkan kerajaannya hari ini. Kejayaan memenjarakan Anwar adalah usaha terakhir yang paling penting bagi UBN untuk mengekalkan kuasanya.

Perbicraan ke aras Anwar itu adalah permulaan untuk menganggu Anwar dan juga PR. Sudah pasti sedikit sebanyak perbicaraan itu akan menganggu tugasan Anwar. Perbicaraan menyebabkan Anwar akan hilang konsentrasi untuk mengatur dan memperkukuhkan PR.
Mungkin semasa sepanjang berlakunya perbicaraan Anwar masih larat lagi untuk memberi tumpuan kepada PR. Hari ini pun jika timbul masalah dalam PR beliaulah yang menjadi penyelesainya. Keadaan hari ini meletakkan semua masalah dalam PR dibawah pikulan Anwar.

Ternyata hari ini Anwar masih mampu. Tetapi apa kata kalau nanti Anwar akan dijatuhi hukum penjara 10 hingga 15 tahun. Paling mengejutkan sebaik perbicaraan itu selesai, Najib Razak mengumumkan pembubaran Parlimen? Apakah keadaan PR ketika itu? Berdsambung [wm.kl. 2:20 pm 05/07/09]

Friday, July 3, 2009

Singgung Jumaat

Kritikan Terhadap Abu Talib
Jelas Kepuraan-puraan Slogan 1Malaysia


NAMPAKNYA semangat 1 Malaysia yang digagaskan oleh Najib Razak tidak menyerap ke dalam diri Mnteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz. Ataupun mungkin Nazri belum bersedia untuk mempraktikan 1 Malaysia itu dalam konteks menyeluruh pada semua peringkat.


Kenapa dikatakan begitu, kerana kalau semangat 1 Malayisa yang membawa slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, sudah tentu Nazri tidak bersedia untuk mengkritik Pengerusi Hak Asasi Malaysia (Suhakam), Abu Talib Othman begitu rupa.


Kalau pun beliau tidak berkenaan dengan Abu Talib beliau akan menggantungkan kata-katanya sehingga tidak lancang begitu sekali. Tetapi Nazri yang dikenali sebagai seorang anggota kabinet lantang dan bercakap terus terang telah mengkritik secara terbuka terhadap bekas Peguam Negara itu di parlimen semalam ekoran pandangannya mengenai pergolakan politik di Perak baru-baru ini.


Pada pandangan Abu Talib rakyat Perak sepatutnya diberikan haknya bagi menentukan kerajaan yang mereka ingini. Ternyata pandangan bebas dan tanpa motif politik Abu Talib itu tidak disenangi Nazri kerana ia dilihat tidak memihak kepada UBN.


Nazri mentafsirkan kenyataan peribadi Abu Talib itu boleh mempengaruhi para hakim yang sedang membicarakan kes perebutan jawatan MB antara Nizar Jamaluddin dengan Zambry Abdul Kader kerana beliau adalah bekas Peguam Negara.


Alasan Nazri, Abu Talib tidak berhak memberi ulasan begitu kerana soal politik Perak tidak termasuk dalam bidang kuasa Suhakam.


Terbukti sikap Nazri itu menunjukkan beliau tidak menghayati slogan yang dibawa oleh bosnya. Sekiranya beliau menghayati beliau tidak perlu berpandangan pesimis begitu dan membiarkan saja Abu Talib memberi pandangan itu kalaupun bukan atas sifatnya sebagai Pengerusi Suhakam tetapi sebagai seorang warganegara yang tertakhluk dalam slogan ‘rakyat didahulukan’ itu.


Apa yang difahamkan dengan slogan ‘rakyat didahulukan’ itu bukan saja bermakna rakyat perlu diberi khidmat, bantuan atau janji-janji molok tetapi juga termasuk dalam menerima pandangan dan kritikan rakyat!


Lagipun bukankah Abu Talib pengerusi Suhakam dan kedudukan itu juga sebagai haknya untuk memberi pandangan sebagai memastikan hak-hak rakyat umum terbela dan dijaga? Apabila pandangan begitu juga disekat ini jelas menunjukkan slongan Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan tidak menjadi kenyataan.


Sekiranya semua menteri berpandangan seperti Nazri kita bimbang 1 Malaysia tidak lebih daripada slogan semata-mata yang sedang didengar tetapi sukar untuk dilakasanakan dan dihayati oleh para menteri. [wm.kl. 11:30 am 03/07/09]

Thursday, July 2, 2009

Pening Petang

Mungkin Pas Perlu Kaji Pakatan Dengan DAP!

APA yang berlaku di Kedah kelmarin, tindakan DAP mengumumkan keluar dari Pakatan Rakyat meskipun tidak merubah status quo kerajaan Kedah, namun ia menjadi pencetus kepada kemelut dan polemik berlarutan. Tidak dapat tidak, kes itu menyerabutkan kepala pemimpin Pakatan Rakyat.

Semalam Pengerusi DAP Kedah/Perlis, Thomas Su telah mengumumkan parti itu keluar dari Pakatan Rakyat di Kedah. Pengumuman itu walaupun bersifat peribadi DAP Kedah namun ia semacama mendapat restu daripada DAP pusat. Hubungan kurang mesra DAP dengan kerajaan Kedah sudah kedengaran sebelum ini.

Dengan keluarnya DAP ini bermakna kerusi Pakatan di Kedah berkurangan satu menjadi 21 kerusi. Dengan kedudukan itu kerajaan Kedah mengatasi UBN dengan enam kerusi. Kerusi UBN ialah 14.

Adalah terlalu awal untuk mengatakan akan berlaku huru hara politik di Kedah seperti mana menimpa Perak yang akhirnya membawa kepada tumbangnya kerajaan Perak. Walaupun lama sebelum ini pihak tertentu dalam UBN berusaha mengugat dan menyerang kerajaan Kedah dengan nawaitu ianya bubar seperti mana kerajaan di Perak, tetapi ia tidak semudah itu.

Satu hakikat UBN kena ketahui kedudukan kerajaan Pakatan di Kedah berlainan dengan situasi di Perak. Kerajaan di Kedah dipimpin oleh Pas yang ternyata memperolehi kerusi terbanyak dalam pilihan raya lalu jika dibanding dengan PKR dan DAP. Pas menang 16 kerusi, PKR 5 manakala DAP hanya satu kerusi sahaja.

Berlainan di Perak DAP menang 18 kerusi, PKR tujuh dan Pas enam kerusi. Bila mana Adun Pas, Nizar Jamaluddin dipilih menjadi MB ia menyebabkan timbul rasa tidak adil dari kalangan masyarakat Cina yang rata-rata menyokong DAP. Orang Cina merasakan mereka sepatutnya dipilih jadi MB. Setengahnya tidak peduli dan tidak tahu perlembagaan Perak menghalang bukan Melayu menjadi MB.

Pun begitu apa-apa saja boleh berlaku dengan pemulaan dan cetusan yang dibuat oleh DAP itu. Hari ini pemimpin UBN telah mengambil kesempatan atas isu yang dicetuskan DAP itu. Pandangan negatif terus dilemparkan kepada kerajaan Pakatan di Kedah. Malahan sudah ada cadangan agar ditubuhkan kerajaan campuran UBN dengan PKR dan DAP. Jelas cadangan ini menunjukkan betapa bencinya pihak yang mencadang itu kepada kerajaan pimpinan Azizan Razak dari Pas itu.

Sudah barang pasti tindakan DAP itu menyebabkan orang Melayu tidak senang hati dengan tindakan itu. Memang jika diperhatikan DAP mencetuskan keadaan tidak elok dalam politik Pakatan sejak lama dulu. Lepas satu demi satu isu yang ditimbulkan di mana semua isu menyebabkan keadaan Pakatan sering kali berombak. Jika diperhatikan, DAPlah yang banyak membuat onar dalam Pakatan. Sikap DAP dalam hal ini seolah-olah gelombang politik yang berlaku kini disebabkan mereka apabila berlaku perpindahan sokongan Cina kepada Pas dan PKR.

Sebelum ini Pengerusinya, Karpal Singh pernah meminta penasihat PKR, Anwar Ibrahim supaya letak jawatan. Gesaan itu sangat keras dan tidak menggambarkan sebagai rakan dalam sebuah gabungan. Sebelum ini juga Karpal pernah mengeluarkan kenyataan agar Pas melangkah mayatnya dulu kalau Pas ingin menubuhkan negara Islam. Jelas kenyataan dan gesaan itu menunjukkan kesombongan DAP.

Melihat telatah DAP ini ia jelas menggambar sikap 'individualistik' parti berkenaan. DAP hanya mementingkan komunitinya saja tanpa mengira pengorbanan Pas dan juga PKR untuk mengukuhkan Pakatan. Jika dilihat kepada telatah dan sejarahnya sebelum ini pun DAP memberi gambaran ianya parti yang mementingkan diri. DAP tidak akan berfikir panjang untuk melakukan sesuatu tindakan jika ia dikira tidak banyak menguntungkan.

Misalnya DAP pernah menarik dari dari berkerjasama dengan Pas setelah kalah teruk dalam pilihan raya 1995.

Ternyata tindakan DAP Kedah itu menjadi isu utama dan perbualan hangat hari ini. Isu itu juga turut sama memeningkan kepala para pemimpin Pakatan Rakyat terutama penasihatnya, Anwar Ibrahim yang kini sedang bersiap sedia untuk menghadapi perbicaraan kes liwat di Mahkamah Tinggi. Sekiranya DAP memahami masalah dihadapi Anwar dan implikasi dari keputusan itu mereka tidak akan mencetuskan isu seperti berlaku di Kedah itu.

Lantaran itu barangkali seharusnya orang Melayu khasnya dari Pas mengerti akan telatah rakan mereka ini. Meraka boleh menghitung apakah DAP ikhlas atau menjadi duri dalam daging dalam pakatan berkenaaan?

Apa yang terjadi di Kedah itu menjelaskan apa yang diragui sebelum ini sudah hampir menjadi kenyataan. Mungkin melampau kalau dikatakan tuduhan pemimpin UBN bahawa pakatan itu longgar ataupun rapuh, tetapi tampaknya itulah hakikatnya.

Pas sendiri kena faham risikonya atau kekhilafan mencari rakan sejati politik. Kalau kerjasama dengan Umno (sesama Melayu sendiri pun akhirnya relai dan tidak dipercayai Pas), inikah pula dengan rakan berlainan bangsa dan agama dan mempunyai ideologi politik berbeza.

Justeru itulah mengenangkan pembaharuan ini kita bingung memikirkan bagaimana Pas boleh percaya kepada DAP daripada Umno parti yang dianggap serumpun dengannya.

Semoga dengan meletusnya isu di Kedah itu dan kita percaya akan menjadi polemik selepas ini orang Melayun amnya dan Pas khsusnya yang dianggap parti harapan Melayu selepas Umno akan memikir balik polisi, pendekatan dan keyakinan politik mereka yang ada pada masa ini. Adalah tepat kalau Pas membuat perhitungan semula kerjasama dengan DAP kalau parti itu terus bersikap mahu menang sendiri! [d'kota kl 6:10 pm 02/07/09]

Wednesday, July 1, 2009

Susupan Malam

Kerajaan Pas Kedah Masih Stabil

TINDAKAN DAP Kedah mengumumkan keluar dari gabungan Pakatan Rakyat hari ini tidak menjejaskan kerajaan Pakatan dibawah pimpinan Azizan Abdul Razak. DAP hanya ada seorang saja Adun dalam Dewan Undangan Negeri Kedah.

Kerajaan Pakatan (Pas - PKR) masih lagi menguasai DUN Kedah dengan kelebihan enam kerusi. Kedudukan terbaru dalam DUN Kedah kini, Pas 16, BN 14, PKR 5 dan DAP 1. Kesemua jumlah Adun Kedah ialah 36 orang.

Dari segi kedudukan mengikut bangsa pula, 31 Adun Melayu, empat Cina dan satu India.

Bagaimana pun tindakan DAP itu sedikit sebanyak mengoyangkan kerajaan Kedah. Sudah tentu perkembangan terbaru itu menyebabkan Azizan Razak tidak berapa lena tidur. Sekiranya Adun DAP menurut keputusan DAP untuk tidak bersama PKR sebaliknya berpihak kepada UBN, kedudukan BN di Dun kini bertambah menjadi 15 kerusi.

Dengan kedudukan itu UBN masih tidak dapat berbuat apa-apa kerana Pakatan masih menguasi Dewan Undangan Negeri Kedah.

Bagaimana pun dengan perkembangan yang berlaku hari ini Pakatan Rakyat khsusnya Azizan harus berbuat sesuatu untuk memastikan kerajaan beliau yang berusia setahun lebih itu stabil. Tidak mustahil kalau keadaan yang dicetuskan DAP itu tidak dibendung ia akan membawa kepada pergolakan lebih parah sehingga memungkinkan kerajaan itu juga akan bertukar tangan seperti mana berlaku di Perak.

Sesungguhnya untuk mengembalikan ketenangan di Kedah dengan apa yang berlaku hari ini memerlukan kebijaksanaan Menteri Besar itu. [wm.kl. 8:45 am 01/07/09]

Pengantar Julai

Kenali Dua Wajah Tok Guru Nik Aziz

SEJAK akhir-akhir ini Tok Guruku, Nik Abdul Aziz Nik Mat dikata dan dicercakan orang macam-macam. Seperti juga Tok Guru bercakap macam-macam, maka macam-macam juga dilemparkan orang kepadanya. Bagaimana lancangnya Tok Guruku bercakap begitulah lancangnya kata-kata dipanah ke arahnya.

Seolah-olah apa juga kata-kata, bidalan, tamsil ibarat, kiasan yang Tok Guruku pakai selama ini telah kembali semula kepadanya. Kata-kata Tok Guru menganjalkan membidasnya balik.

Sebagai seorang yang minat dengan Tok Guru sedari kecil, sebagai seorang kasih kepadanya sebagai pemimpin tentu saya merasa sedih, kesal dan terkilan atas apa yang berlaku. Saya menerima Tok Guru sebagai Tok Guru! Dan menerima beliau sebagai ahli politik yang tidak larut dalam dirinya sebagai tok guru. Tok Guru bukan ahli politik lawak atau ahli politik sekodeng! Tok Guru adalah ulama. Itulah jurus Tok Guru dalam kaca mata saya.

Di sini bukan saya hendak membela ke atas batang tubuh Tok Guru berkenaan atau ingat meralatkan kritikan saya kepada beliau akhir-akhir ini, tiak! Kritik tetap istiqamah. Tetapi apa yang hendak dikemukakan di sini (seolah-olah fatwalah) untuk sesiapa tidak mahu merasa sedih dan kesal dengan ulah Tok Guru hari ini.

Tok Guru hendaklah dilihat dari dua dimensi. Kita perlu mempunyai dua pasangan mata dalam melihat wajah dan karektor sebenar Tok Guru. Tok Guru belum sampai peringkat dapat memcahkan (tawajuh) dirinya menjadi tujuh seperti Tok Kenali, tetapi dia hanya ada dua wajah dan karektor saja.

Tok Guru Nik Aziz adalah dua dalam satu, atau satu dalam dua. Satu batang tubuhnya sebagai seorang agamawan yang tahu hukum hakam agamanya yang zuhud dengan Tuhan dan tawaduk dengan alam. Satu dimensi lagi ialah Tok Guru sebagai ahli politik. Sebagai ahli politik dia harus berpolitik bagi mengekalkan kuasa dan jawatannya. Dan diri politik ini ada kalanya kontras dengan batang tubuhnya selaku agamawan. Dia cuba mensebatikan namun tidak berhasil dan inilah menimbulkan kekecamukan.

Makanya kita tidak boleh mencampuri kedua itu sekaligus. Atau tidak boleh melihat Nik Aziz dengan dua pasangan mata sekali gus, mesti terpisah-pisah mengikut suasana dan keperluannya.

Sebagai ahli politik Tok Guru Nik Aziz memang handal, licit dan bijak. Rasanya kehandalan ini tidak terlawan oleh agamawan lain. Beliau seorang berpandangan jauh dan ‘ceka’ dalam politik. Manusia sepertinya hanya akan lahir dalam satu zaman saja. Bolehlah dianggap sebagai mujadid atau pembawa pembaharuan siasah Pas.

Pemikiran dan silat politiknya melewati zamannya. Beliau pandai memilih isu dan meletakaan dirinya atas jambangan popular.

Juterus kadang-kadang kerana terlebih berpolitik, hilang serinya sebagai agamawan. Inilah mengelirukan. Saya tidak mahu mengulas mengenai dirinya sebagai orang agama kerana itu adalah bersifat peribadi. Itu adalah sir atau makrifahnya dengan Tuhannya. Siapa yang tahu waktu bila dan di mana seseorang itu berjumpa dengan Tuhan? Tidak ada siapa yang tahu.

Tetapi sebagai orang politik dia adalah public figure. Dia hak orang ramai. Dia kepunyaan dunia di mana dunia berhak mengkritik dirinya dan beliau harus terbuka menerimanya. Kita boleh menilai atas kapasiti dia sebagai ahli politik saja dan bukan sebagai ahliLah.

Dengan menerima konsep 4C tidak ada masalah untuk beliau melakukan apa saja. Tok Guru boleh melakukan apa sahaja, walaupun lebih buruk daripada pemimpin lain lakukan. Tidak menjadi masalah dan kesalahan. Itul dihalalkan dalam politik dan itu disenangi penganutnya.

Dalam dunia politik bukan matlamat dicari tetapi keseronokan dalam berusaha untuk mendapat kuasa dan kekayaan! Sebab itu bagi saya politik tidak menjamin syurga.

Dalam catatan mengingati Tok Guru dalam masa celaru ini saya ingin nukilkan mengenai sikap dan pandangan Tok Guru terhadap Umno atau BN. Bak ini Tok Guru memang konsisten.

Kebencian dan kemarahannya keapda UBN adalah istiqamah, bukannya degil.

Sebelum ada orang menerima herdikannya kerana hendak membawa Pas berbincang mengenai unity goverment dengan UBN saya sudah mengetahui isi hati dan pendirian Tok Guru tentang UBN ini. Baginya UBN tidak boleh diterima atas alasan apa sekalipun. Saya sendiri mencari-cari sehingga ada kalanya membenci Tok Guru dalam hal ini namun tidak diketahui apakah punca dan sebab musabab secara hakikinya.

Apa yang beliau sebutkan dan diulang-ulang sampai menanah telinga mendengar ialah kerana Umno itu jahat!

Untuk menjelaskan sikap konsisten beliau ini saya masih ingat persitiwa pada malam keputusan pilihan raya umum ke-11, 2004 lalu. Saat menanti keputusan mendebarkan itu, Annuar Musa telah menghantar SMS kepada saya meminta agar cadangkan kepada Tok Guru diwujudkan kerajaan campuran Pas-Umno di Kelantan memandangkan kedua parti gagal mendapat majoriti dua pertiga.

Saya mengemukakan kepada Tok Guru cadangan itu. Tanpa kompromi dan bimbang dengan kadaan yang ada beliau menolaknya mentah-mentahnya. Antara lain katanya; (sama seperti diucapkan hari ini), "kita sudah serik dengan Umno ini." Beliau merujukkan kepada perisitwa Pas ditendang keluar dari BN tahun 1974.

Jadi dalam isu atau sikap Nik Aziz untuk berkerjasama atau bergabung dengan UBN ini, ianya konsisten dan istiqamah. Dari dulu beliau tidak mahu hingga kinilah beliau tidak mahu. Jadi dalam konteks ini saya tidak bersama mereka yang menuduh Tok Guru dengan berbagai tuduhan kesat dan melampau itu. Tok Guru tidak bersalah, dia adalah konsisten dan istiqamah dengan sikap, pendirian dan keyakinannya.

Jadi atas sifat sebagai seorang mengasihi Nik Aziz, usahlah mempersoalkan sikap beliau mengenai perkara yang satu ini. Atas perkara-perkara lain boleh dipersoalkan kerana saya tidak mendengarnya dari mula hanya mengambilnya di tengah saja. Pun begitu atas keyakinan dan semangat cintakan nusa dan bangsa saya tetap berdoa kalau-kalau suatu hari nanti Tok Guru akan ada fikir lain mengenai hal ini yang lebih positif. [jln pahang 3:20 pm 01/07/09]