Showing posts with label RENUNGAN. Show all posts
Showing posts with label RENUNGAN. Show all posts

Sunday, October 4, 2009

Tertinggal Bagan Pinang

Hari-Hari Paling Sibuk Seorang Saya

DARI petang kelmarin membawa ke malam tadi adalah hari-hari paling sibuk buat seorang kecil seperti saya. Kalau Anwar Ibrahim mencatat dari stesen ke stesen di Amerika Syarikat kerana menghadiri syarahan, forum dan mengadakan perjumpaan dengan pelbagai pemimpin dunia sehingga tidak sempat menghadiri hari penamaan calon pilihan raya kecil Bagan Pinang semalam, saya juga begitu, kesibukan yang berkebetulan itu menyebabkan saya tidak sempat untuk melapor atau mencatat apa-apa mengenai Bagan Pinang.

Mungkin penjenguk blog ini merasa terkilan dan marah dengan keadaan ini. Saya pohon maaf kerana mengsia-siakan waktu anda untuk membuka blog ini sedangkan tidak ada laporan atau catatan terkini, apa lagi mengenai perkembangan di Bagan Pinang.
Semuanya ini kerana kesibukan melampau.

Kesibukan itu bermula pada petang kelmarin, 1 Oktober dengan mengunjungi beberapa sahabat dan juga veteran politik yang sudah lama tidak ditemui. Sengaja mencuri suasana hari raya untuk menemui mereka. Tujuan ialah untuk mendengar khabar dan juga pandangan mereka terhadap perkembangan dan trend politik hari ini yang mencemaskan!

Antara yang dikunjungi ialah veteran politik Umno, bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abdin Zain di Ampang Jaya, Selangor. Zainal, yang lebih merasa dipanggil abah, bukan asing kepada sesiapa juga dalam politik khasnya penulis. Kebaikan, keramahan serta sikap rendah diri beliau bersama isterinya Datin Asima Abdul Latiff, yang dipanggil mama, menyebabkan sesiapa juga mengenalinya akan senang dengannya, dan bila mereka mengundang sukar pula untuk menolaknya.

Sungguh lama tidak mengunjungi ke rumah mereka dan merasai masakan mama. Kalau dulu semasa abah dalam parti Semangat 46 dan berhubung akrab dengan Pas, saya dan kekawan sering ke rumahnya, makan tengah hari atau malam yang dimasakkan mama. Masakan Pataninya sungguh menyelerakan. Menjadi tabiat saya pula bila seseorang itu sudah jatuh dan tidak mempunyai kuasa, saya akan mendekatinya. Dan bila mereka sudah ada kuasa saya akan menjauh diri dan ralik melihat mereka berlenggang lengguk di atas awan bagaikan wau bermain dengan angin..

Sebelah malamnya bersama isteri, menghadiri perkahwinan anak Allahyarham Rustam Sani, - Ariani dan Eddy L Suheri di Dewan Merak Kayangan, Felda di Jalan Gurney. Kehadiran ke majlis perkahwinan ini juga saya wajibkan kerana Kak Ani (isteri Allahyarham) datang sendiri membawa kad jemputan eksklusif ke rumah.

Tahniah kepada kak Ani kerana mendapat menantu dan kepada Ariani dan suaminya Eddy pemuda Aceh diucapkan selamat penganting baru semoga bahagia dengan zuiarat yang soleh dan solihah. Kerana Eddy juga seorang penulis dan pejuang, semoga dapat meneruskan tugasan Allahyarham bapa mertuanya, Rustam Sani yang masih belum selesai.

Majlis malam itu sungguh meriah dengan kedatangan ramai kawan-kawan Allahyarham. Panjang senarainya untuk dibilang satu persatu di sini. Antaranya Subky Latiff bersama isterinya, Kamadurdin Jaafar, Syed Shahir, Lutfi Otman dan isteri, Firdaus Abdullah, Aziz Deraman, Hassan Ahmad, Bahan Zain dan ramai lagi. Cuma bagi saya tetamu yang isitmewanya malam itu ialah Nurul Izzah dan suaminya Raja Shahril yang turut hadir dan berada di meja penggantin bersama Syed Husin Ali, Napsiah Omar dan lain.

Izzah lama tidak berjumpa dan berbual seperti sebelum kahwin. Semasa disinggah di meja saya sempat saya mengingatkan Nurul Izzal dan suaminya agar menjaga kawasannya, Lembah Pantai sebaik mungkin kerana Shahrizat Abdul Jalil dan Raja Nong Chik bersungguh mahu merampas kerusi berkenaan.

Di majlis itu juga tidak lama dan saya kurang selesa kerana seorang kawan dari Medan, Indonesia bersama 10 anggota keluarganya sudah pun tiba. Sebaik hendak menjamah hidangan kawan itu sudah telefon memberi tahu dia sudah sampai di hadapan Zoo Negara. Keadaan ini sungguh serba salah! Jadi dalam keadaan tergesa-gesa saya meninggalkan majlis perkahwinan itu sebelum ia sampai ke majlis penutupnya.

Di rumah sepanjang malam berborak dengan Saiful dan keluarganya. Apa lagi topiknya ialah mengenai segelintir orang Indonesia yang membenci Malaysia. Saiful nampaknya membela negara dan saya pula membela negara saya, Malaysia.

Pagi semalam saya seharusnya ke Bagan Pinang melihat proses penamaan calon. Tetapi satu lagi upacara yang tidak dapat dielakkan, majlis konvokesyen anak perempuan ketiga Erma Esmah di PICC, Putrjaya. Acara itu bermula jam 8:00 pagi. Terpaksa dikirimkan isteri dulu ke PICC kemudian, saya menyusul kemudiannya. Ketika sampai majlis pertama sudah hampir selesai.

Di PICC tumpuan bukan kepada majlis konvokesyen, tetapi kepada Bagan Pinang. Apa lagi beberapa penjenguk blog Merah Tinta yang ada di PICC dan mengenali saya datang seorang demi seorang bertanyakan tentang Bagan Pinang dan juga minta ulasannya secara ringkas. Nampaknya upcara konvo di kesampingkan tetapi diganti dengan politik. Ah, politik di mana-mana saja sampai tak sempat hendak rihat.

Dari Putrajaya saya meneruskan kesibukan menghadiri rumah terbuka seorang kawan baik asal sedaerah di Pasir Mas, di Shah Alam. Kehadiran ke rumah kawan ini juga adalah wajib. Falsafah saya dalam hidup ini simple saja, kita tidak perlu mempunyai seribu kawan, tetapi cukup kalau memiliki lima kawan yang baik dan sejati.

Maksud kawan yang baik yang mengerti perasaan dan juga tahu hati budi kita. Yang berkawan bukan kerana materalistik tetapi berkawan kerana ilmu dan tahu menghiburkan kita. Dan bagi saya pula kalau mahu menilai baik dan buruk seseorang kawan itu, pinjamkan wang kepada mereka.

Kawan yang baik ialah yang tidak mencari alasan untuk tidak membayar wang kita dengan mencipta masalah dan kemudian bergaduh dengan kita! Saya kehilangan beberapa kawan yang asalnya baik tetapi terlerai apabila dipinjamkan mereka sedikit wang yang tak seberapa. Dan kawan yang baik yang bertanyakah apakah kita mahu wang atau tidak semasa mereka memilikinya.

Dari rumah kawan seorang pegawai kanan kerajaan itu saya bergegas pula ke Puncak Alam menghadiri majlis perkahwinan seorang kawan satu muassasah semasa mengerjakan Haji dua tahun lalu. Kehadiran ini bukan untuk makan melainkan untuk beraya dengan kekawan yang sama-sama satu muassasah yang dijemput oleh kawan ini.

Semasa melalui jalan ke Puncak Alam saya memberi taklimat kepada anak-anak mengenai tempat dan lokasi penghancuran mayat Altantuya Sharribbuu. Di sekitar jalan menuju ke rumah kawan saya itulah mayat Altantuya diletupkan dengan peledak C4 milik tentera di raja Malaysia yang hancur berkecai. Sehingga kini kejadian itu terus dibelit misteri siapakah ampunya cerita dan apakah tujuannya.

Ada lagi kesibukan, sebaik pulang dari Shah Alam, sesampai di rumah jam 8:5 malam, seorang lagi sahabat sudah menuggu di luar pagar untuk dibawa ke majlis sembahyang hajat dan bacaan Yassin sempena di rumahya anaknya yang memasuki rumah baru di Jalan Kucing. Walaupun capek, boring dan marah kerana tidak dapat mengemaskini blog, apa nak buat terpaksa juga mengikutinya. Dia sudah berada di luar rumah. Yang menjempur sunat yang kena jemput wajib memenuhi jika tiada keuzuran yang besar.

Dan malam tadi cuba menguatkan diri untuk mengisi blog jurufoto rajin, Zamzaria sudah pun mengirim beberapa keping gambar untuk tatapan penjenguk blog ini. Tetapi apakan daya badan terlalu letih, pengisian tidak dapat dilakukan malam tadi. Dan kini sesudah tenaga kembali pulih sebelum kesibukan tiba menjelang tengah dan petang ini, dipostingkan beberapa keping gambar di sekitar proses penamaan calon di Bagan Pinang semalam khas untuk penjenguk blog ini. [wm.kl.10:00 am 04/10/09]

Calon Pas Zulkefly diiringi presiden Pas, Abdul Hadi Awang dua dari kiri.

Dua orang kuat muslimah Pas ikut sama mengiringi calon Pas.

Gabungan dua generasi, muda dan tua turut memberi sokongan kepada Pas.


Apabila artis A Rahman Hassan bergambar dengan orang Pas apakah ianya memberi sesuatu alamat?

Hero DAP Gobind Singh Deo, turut sama mengiringi calon Pas.

Gerombolan para penyokong Pas penuh sesak!


Penyokong Mat Isa hanya ada empat orang saja?

Sunday, September 27, 2009

Siratan Mingguan

Tok Guru Nik Aziz Masih Sayangkan Ibrahim

BARANG kali Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah tidak dapat menahan rasa kesal dan marahnya kepada Ibrahim Ali. Kalau tidak masakan di hari baik bulan baik, di rumah terbukanya sempena hari raya, Mursyidul Am Pas itu menggesa supaya wakil rakyat itu melepaskan jawatannya sebagai ahli Parlimen Pasir Mas.

Mungkin kerana tidak tahan dengan kerenah dan sikap dan fiil anjing terjempit yang dilepaskan, maka gesaan itu terpancut juga dari mulutnya. Mungkin juga kerana beliau masih berusaha nak selamatkan Ibrahim Ali di sisi Allah.

Gesaan ini kalau tidak silap merupakan kali kedua. Sebelum ini Nik Aziz turut menyokong cadangan Takiyuddin Hassan supaya Ibrahim mengosongkan kerusi Pasir Mas yang dimenanginya atas tikit Pas. Alasan Takiyuddin, apabila Ibrahim Ali tidak sebulu lagi dengan Pas beliau wajar melepaskan kerusi yang dipinjamkan oleh Pas itu. Iyalah kalau beruk pun tahu tidak akan makan pisang yang penanamnya dimarahi, inikah pula manusia!

Kalau dihalusi gesaan Nik Aziz itu bukan sangat soal Ibrahim Ali ‘belawak’ dan munafik dengan rakyat dan Tok Guru, tetapi untuk menyalamatkan Ibrahim dari dijilat api neraka. Bagi Tok Guru soal hidup mati lebih penting dari segala-galanya. Lebih penting dari jawatan MP atau MB. Gesaan kali ini melibatkan soal keimanan dan aqidah. Soal keberertian hidup Ibrahim Ali sebagai as nas dan muslim. Kalau mereka dapat menyelami tujuannya akan melihat gesaan itu ikhlas dan demi sayangnya Tok Guru kepada Ibrahim. Begitulah tugas dan tanggungjawab seorang ulama dalam menjaga amanah Allah s.w.t.

Kata Tok Guru, Ibrahim kena berhenti atau melepaskan jawatannya sekiranya beliau (Ibrahim) mahukan amal ibadat dan amal solehnya diterima Allah. Ertinya selagi Ibrahim tidak melepaskan jawatan itu, amal solehnya tidak akan diterima Tuhan. Ia juga bermaksud segala wang yang Ibrahim makan hasil dari pendapatan sebagai wakil rakyat adalah haram.

Ini sudah kes berat yang sepatutnya direnungi secara mendalam dan penuh keinsafan oleh Ibrahim. Ibrahim tidak boleh merasakan Nik Aziz membencinya dan melihat pandangan itu sebagai pandangan politik. Di sini saya nampak bukan soal politik tetapi soal hidup mati dan hakikat sebagai manusia yang wajib berhadapan dengan Rabuljalil.

Kalau amal soleh kita tidak diterima Allah, segala kebaikan dan kebajikan yang kita buat seperti menabur garam ke lautan sahaja. Apalah erti dan maknanya kita sebagai hamba Rabbi kalau segala perbuatan kita kosong dan nihil. Kerja sebegitu hanya sia-sia sahaja. Geram habis, tenaga habis, wang habis, hasilnya tidak ada.

Ibrahim selalu mendabik dada dia banyak berbuat kebajikan. Ini tidak dinafikan. Setiap kali tiba Ramdhan dia akan bahagikan serunding kepada sesiapa saja. Untuk Mahathir Mohamad sahaja akan dikirim antara 20 hingga 50 kg. Menjelang Syawal pula 'bergeriuk' macam ulat tahi rakan-rakan yang menjadi tukang angguk di kedai-kedai kopi menunggu untuk mendapatkan baksi raya. Orang-orang ini tidak tahu berkata tidak atau membantahnya melainkan yes yes dan ok sahaja. Kerana apa kerana mengharapkan sesen dua daripada Ibrahim.

Ketika pilihan raya usahlah dicerita lagi. Ibrahim akan membahagikan wang macam memberi kertas kelender Cina yang sudah dikoyak. Duit mengalir macam air car. Tenguk cerita Ali Baba Dengan 40 Penyamun, bagaimana P Ramlee membayar gaji penyamu dalam gua begitulah Ibrahim Ali memberi wang kepada orang ramai.

Menurutnya juga wang elaun sebagai ahli Parlimen sebanyak RM7,000 juga dipulangkan kepada rakyat. Begitu juga dengan wang pencen sebagai bekas timbalan menteri dihadiahkan kepada rakyat miskin. Tetapi kalau berpegang kepada fatwa Nik Aziz tadi segala kemurahan hati Ibrahim itu tidak memberi apa-apa kebaikan kepada hidup Ibrahim. Segala amal soleh itu tidak ada nilai kepada Allah. Maknanya Ibrahim tidak dapat membeli tikit syura dengan amal ibadat itu.

Secara tidak langsung juga Ibrahim mencipa dosa kepada para penerimanya. Penerima wang Ibrahim itu dianggap sebagai bersubahat. Mungkin sebab itulah mereka yang mengambil wang Ibrahim kebanyakan buta hati dan mata jadi kelabu iras-iras Ibrahim juga!

Sebagai orang Islam, Ibrahim harus ingat bahawa setiap daripada kita akan mati. Kulinnafsin zaikitimaut! Segala perbuatan baik dan jahat kita akan dihitung. Selepas mati kelak Tuhan akan menanyai apa-apa yang kita lakukan. Setiap kebaikan atau kejahatan sebesar zaharah akan ditanyai dan akan dijelmakan ke muka kita. Berapa jumlah komisyen untuk itu dan untuk ini akan dipamerkan diskrin perdana yang turut disaksikan semua orang.

Amal ibadat, sedekah kifayah itulah yang akan menjadi modal untuk kita menemui Allah. Besok kita tidak akan membawa janji-janji atau pun jasa-jasa politik kepada Allah. Allah tidak menerima pengakuan kita kononnya sekolah itu dibuat kerana aku, jambatan itu dibina hasil usaha kawan, tidak. Kalau kita benar terlibat mengusahakannya pun tetapi kalau kebajikan itu tidak diterima ia tetap ditolak oleh Allah.

Kebajikan dan amal soleh yang kita lakukan hari ini samalah dengan wang yang kita tabungkan untuk digunakan pada masa yang diperlukan. Nah begitu jugalah dengan amal kebajikan yang kita lakukan kini, ia akan digunakan di padang Mashyar kelak. Kalau wang yang kita tabung itu palsu ia tidak ada nilai dan tidak boleh digunakan. Maka begitu juga kalau selaut kebajikan yang dibanggakan itu ianya tidak diterima Allah (kerana hasil wang haram, rasuah, komisyen) ia tidak memberi apa-apa makna pun dalam kehidupan kita. Samalah kita berada di kedai tetapi membawa wang palsu... Makanan yang dibeli dengan wang itu hanya boleh menghasilkan berak rumput mampus saja.

Jadi gesaan Nik Aziz itu hendaknya direnungi dengan hati yang bersih dan kepala yang sihat oleh Ibrahim dan sesiapa juga. Jangan anggap Nik Aziz khianat dan dengki pada Ibrahim, tidak. Dari segi jasa dan budi, rasanya tidak ada pemimpin lain yang boleh mengatasi pengorbanan dan jasa Nik Aziz kepada Ibrahim. Bayangkan kalau Nik Aziz tidak memberi laluan dalam pilihan raya ke-12 dulu Ibrahim tidak akan jadi ahli Parlimen dan dapat menyalak Pas di parlimen dan dipentas ceramah mutakhir ini.

Sebaik-baik Mahathir Mohamad dalam kamus Ibrhaim, Mahathir tidak pernah memberi jawatan sebesar itu. Perlantikan sebagai timbalan menteri hanya tiga bulan saja. Mahathir juga semasa menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan tidak memberi jawatan timbalan pengerusi kepada Ibrahim Ali, melainkan Mahathir mengambil Zaid Ibrahim.

Tegasnya, Ibrahim tidak boleh berdolak dalih mengatakan kemenangan di Pasir Mas itu kerana sokongan rakyat. Dunia semua tahu termasuk rakyat Unganda, Jiboti dan Orang Asli Kuala Betis kalau orang Pas tidak memberi sokongan Ibrahim tidak akan menang. Pengorbanan besar Nik Aziz ini seharusnya dikenang oleh Ibrahim walaupun dia ditakdirkan dihidup dan dimatikan Allah sebanyak tujuh kali. Ibrahim akan dilihat bermaruah kalau dia akur dengan gesaan Nik Aziz itu. Tetapi soalnya apakah orang bernama Ibrahim bin Ali ini masih ada sisa-sisa maruah? [wm/kl/ 9:20 am 27/09/090]

Friday, September 18, 2009

Memulang Maklumat

Benarkah Wakil Rakyat Kelantan Tidak Ada Wang?

SEMASA hendak melelapan mata pagi tadi telinga saya terus terngia-ngia dengan rungutan dan rintihan seorang wakil rakyat Kelantan mengenai masalah dirinya dan diri rakan-rakannya (YB) yang lain yang ketiadaan wang. Katanya dia bimbang mengenai masa depan Pas Kelantan kerana wakil rakyat tidak dapat melayan rakyat dengan sempurna disebabkan ketidakcukupan wang.

Misalnya waktu raya ini, rakyat menjadi makin gila untuk mendapat layanan daripada wakil rakyat. Mereka datang menemui wakil rakyat tidak kira pagi, tengah hari, petang dan malam. Malah katanya waktu bersahur pun ada yang mengirimkan SMS bertanyakan bantuan. Yang datang berjumpa itu pula semua membawa masalah dan cerita. Ceritanya ialah mahu bantuan kewangan.

Alasan atau 'proposal'nya macam-macam, nak beli baju raya anak, nak beli pulut buat ketupat dan macam-macam. Pendekanya wakil rakyat tak ubah seperti bank – tempat mengaduh rakyat susah. Cerita ini menurut wakil rakyat itu sudah lama dan menjadi budaya, dan inilah nasib wakil rakyat di Kelantan.

Rungutan itu menggigit-gigit lubang telinga saya. Saya jadi antara percaya dengan tidak dengan cerita itu. Betulkah wakil rakyat Kelantan tidak ada duit? Teruk sangat ke mereka? Dan begitu sekalikah mereka melayani kerenah rakyat?

“Cuba anta bayangkan, elaun saraan wakil rakyat hanya RM3,600. Lebih murah daripada gaji seorang cikgu lepasan ijazah! Apa yang boleh dibuat dengan wang sebanyak itu. Wang itulah nak bantu rakyat dan nak tampung keperluan keluarga. Memang tidak cukup.”

“Bayangkan kalau ada kematian, wakil rakyat kena pergi, ada sakit kena pergi, ada kenduri kendara pergi. Ada anak yatim, ibu tunggal kena pergi. Pergi bukan tangan saja, paling tidak kena hulur RM10 atau RM50. Kalau sehari 10 tempat, sebulan berapa? Paling tidak dalam sebulan kena siapkan RM1,500 sebulan untuk wang entertaimant itu saja,” jelasnya menerusi telefon.

Lainlah kalau Exco... mereka ada elaun tambahan. Seorang Exco elaunnya mencecah ke angka RM10,000..,” huraian wakil rakyat itu terus terniga-ngia dalam lubang telinga.

Katanya lagi mereka (Exco) juga ada peruntukan tersendiri yang boleh diberikan kepada rakyat. Sebab itulah kawasan yang wakil rakyatnya menjadi Exco kawasannya agak ‘belengah’ sikit. Banyak projek kecil-kecil dilaksanakan, berbeza dengan wakil rakyat biasa, kohor dok mamah gosi saja” tuturnya lagi penuh kekecewaan.

Saya tidak tahu kenapa dia meluahkan itu kepada saya. Apakah sekadar sengaja nak lepas angin yang menyebak di dalam dada atau untuk diangkat ke atas, biar rakyat mengetahuinya. Tetapi kenapa kepada saya? Mungkin untuk diblogkan! (Nah saya blogkan kini).

Sekali dengar sukar untuk dipercayai kebenaran rungutan itu. Bagi orang Umno lagilah mereka tidak percaya. Mereka akan kata aduan itu sebagai auta sahaja. Alasannya bagi orang Umno memang mudah, masakan sesudah 19 tahun jadi kerajaan wakil rakyat Pas masih dibelenggu dengan masalah kewangan? Apakah mereka tidak tahu hendak mencari duit dalam kerajaan Pas Kelantan? Bukankah kerajaan adal sumber kewangan maksudnya bila jadi kerajaan banyaklah lubang belakang tempat mencari duit?

Mungkin orang Umno akan berhujah kalau tidak ada wang masakan ada yang mampu berkahwin sampai lebih pada dua? Biasanya mereka yang berkahwin adalah orang yang mempunyai kemampuan zahir dan batin. Bukan itu saja, kawasan balak kan banyak? Masakan mereka tidak merasai itu semua? Tanah yang diluluskan kepada syarikat untuk dibangunkan juga banyak. Masakan syarikat itu tidak hulur sesen dua? Begitulah fikir orang Umno.

Andaian itu dibuat mungkin berdasarkan kepada pengalaman. Kalau wakil rakyat Umno mungkin ia, mereka pandai dalam mencari wang dan menangguk di mana-mana pergentingan yang ada. Disebabkan terlalu pandai itulah akhir menyebabkan wakil rakyat Umno hilang intergriti.

“Apakah wakil rakyat tidak ada sumber kewangan lain ke? Tidak ada projek?” saya menyoal wakil rakyat berkenaan untuk menjelaskan tanggapan-tanggapan negatif seperti mana dilakukan orang Umno kepada mereka selama ini.

“Ada bukan tidak ada, tetapi bukan semua wakil rakyat ada sumber keewangan lain. Wakil rakyat tertentu saja yang mendapat kemudahan itu. Yang menjadi kroni kayalah, tetapi yang tidak termasuk dalam kroni seperti ana, kering gosi jawabnya,” balasnya.

Dengan penjelasan itu fahamlah saya. Bahawa wakil rakyat yang terjempit dengan masalah kewangan ini yang tidak tahu meletakkan diri mereka dalam kelompok tertentu. Yang tidak sanggup menjadi pandir kepada pihak tertentu. Yang suka melawan orang besar ataupun tidak tahu membuat mukanya tebal untuk mengemis belas ehsan MB untuk dapatkan kawasan balak.
“Siapa dia kroni itu?” saya memancingnya tetapi dia tidak mahu menjawab, sebaliknya menjelaskan; “semua wakil rakyat yang dikelaskan sebagai kroni kaya raya. Semua mereka dapat kawasan balak atau dilantik menjadi ahli lembaga pengarah syarikat itu dan syarikat ini. Dengan cara itu mereka dibayar wang imbuhan atau elaun,"

Selepas mendengar luahan itu barulah saya faham kenapa wakil rakyat itu menceritakan hal itu. Bukan maksudnya hendak memburukkan sesama sendiri tetapi kerana dia bimbang dengan masa depan Pas Kelantan. Baginya kalau wakil rakyat Pas tidak dibekalkan dengan sumber kewangan cukup mereka tidak akan dapat berkhidmat dengan baik kepada rakyat. Natijahnya nanti Pas akan kalah.

Menurut hematnya dia yakin Jika amalan yang berlaku sekarang di mana sebahagian wakil rakyat saja dijaga tetapi yang lain dibiarkan, dia bimbang mana-mana kawasan yang tidak dijaga akan ditolak oleh rakyat menyebabkan Pas akan kalah. Kalau kawasan itu kalah ini membahayakan Pas Kelantan. Ia boleh menyebabkan Pas akan kehilangan negeri pada pilihan raya ke – 13 nanti.

Almaklumlah kata wakil rakyat itu rakyat kini sudah makin cerdik dan tidak mudah boleh dikelirukan dengan janji dan ucapan semata-mata. Rakyat juga sudah tahu meminta dan menangih apa yang dijanjikan kepada mereka.

Kesimpulannya wakil rakyat itu mahukan mereka diberikan sumber kewangan secukupnya. Kawasan balak hendaklah diberikan sama kepada mereka dan tidak terus diberikan kepada kroni saja. Beliau juga mempertikaikan tidak banyak untungnya kawasan balak diberikan kepada kroni kerana mereka tidak menyumbang kepada parti. Masing-masing himpun duit untuk membeli Mercedez dan buat rumah baru saja.

Sehubungan itu juga memahami daripada luahan wakil rakyat itu saraan hidup untuk wakil rakyat hendaklah ditambah sekurang-kurang RM5,000 untuk sebulan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh wakil rakyat yang kurang kreatif mencari wang.

Makanya eloklah kalau MB, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mengambil perhatian mengenai hal ini. Dalam persidangan DUN akan datang bentanglah rang undang-undang pindaan saraan hidup wakil rakyat dan tambahlah eluan mereka beberapa peratus lagi.

Mudah-mudahan kebimbangan yang disuarakan wakil berkenaan tidakakan berlaku. Tetapi jangan lupa sesudah elaun naik kerja juga kena dipertingkatkan lagi dan ukhwah juga perlu dieratkan. [d'kota kl 6:55 pm 18/08/09]

Thursday, September 17, 2009

Susupan Petang

Pegawai Kerajaan Jadi Haiwan Serkas

MINGGU lepas saya berbuka puasa dengan seorang kawan, pegawai kerajaan yang berkedudukan juga. Kami tidak ke hotel ataupun restoran mewah, tetapi cukup membeli dua tiga jenis jaudah dan lauk pauk di pasar Ramadhan di Taman Melawati dan berbuka di satu tempat. Sengaja kami memilih begitu untuk lebih rileks dan tidak membazir.

"Kita beli saja dan makan di mana-mana,"begitulah cadang kawan itu. Ternyata dengan cara itu kami hanya habis tidak sampai RM30.00 jimat dan berbaloi. Lagipun bila usia sudah sebegini apa sangat hendak dimakannya, tak berapa kemaruk lagi dan makan pun tidak banyak seperti dulu. Ya... saya sendiri kini lebih sedap dan terhibur melihat anak-anak makan yang lahap dan berselera. Kata orang lihat anak makan kenyangnya jatuh ke perut kita.

Sementara menunggu tiba masa berbuka kami mengisi masa dengan berborak. Biasalah kalau jumpa dengan penulis politik, isu politiklah yang diborakkan dulu. Dan saya pula suka mendengar kawan ini bercerita, kerana dapat maklumat politik dari versi pegawai kerajaan. Dapat mengetahui bagaimana penerimaan pegawai kerajaan dengan stail pentadbiran Najib Razak. Lepas satu babak ke satu babak dan akhirnya terbawa kepada bidang kerjanya.

Katanya kebanyakan pegawai kerajaan menyambut baik saranan dan iltizam Najib Razak yang diluahkan menerusi slogannya berbunyi; Rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan. Bagi pegawai kerajaan sepertinya merasa polisi itu sangat baik. Sudah lama kepentingan rakyat terabai ataupun dilayan secara lewa saja.

Jadi sesuai dengan slogan itu katanya pegawai kerajaan jadi bersemangat untuk berbakti kepada negara. Ketuanya sendiri telah mengeluarkan satu pekeliling dalaman meminta supaya semua pegawai tegas dalam melaksanakan tugas masing-masing dan tidak melayan kerenah-kerenah mencacatkan tanggungjawab masing-masing. Para pegawai diminta bertindak tegas dalam menentukan projek kerajaan yang dikawal masing-masing agar berjalan lancar, tepat dan siap dengan sempurnanya demi rakyat.

Sehubungan itu katanya, arahan diberikan mana-mana kontraktor yang lambat menyiapkan projek yang diberikan hendaklah diambil tindakan. Tindakan itu termasuklah memberhentikan dan memberi kepada kontraktor lain. Tidak perlu ada lagi nasihat dan amaran! Tujuannya ialah untuk mengawal duit kerajaan dan memastikan rakyat dapat menikmati kemudahan projek berkenaan sesegera yang boleh. Bayangkan berapa banyak duit kerajaan habis kalau projek tertangguh atau pun lewat.

Memang banyak projek yang gagak disiapkan. Paling ketara di sebuah negeri di pantai timur.

Jadi katanya apabila arahan itu dilaksnaakan maka banyaklah kontraktor yang dikenakan tindakan kerana gagal menyiapkan projek. Kontraktor berkenaan lalu diminta berhenti. Surat pemberhentian pun diedar kepada mereka memaklumkan tindakan itu.

Malang ceritanya, apabila mereka dikenakan tindakan mereka mengadu kepada orang politik, Menteri Besar. Mereka memberi berbagai alasan kepada MB termasuklah kalau projek mereka itu ditarik balik, sumbangan mereka kepada parti tidak ada. Maknya sumbangan kepada parti sebelum ini diberikan oleh para kontraktor. Apa lagi kerana merasakan ia menjejaskan kewangan parti MB terus bertindak membela mereka.

MB katanya terus membuat tindakan dan melaporkan hal itu kepada Perdana Menteri. Perdana Menteri pula bila mendengar hal ini segera bertindak memanggil ketuanya supaya membatalkan balik arahan itu. Apabila ia melibatkan Perdana Menteri sendiri apalah yang pegawai kerajaan dapat lakukan! Jadi katanya arahan itu terpaksa dibatalkan serta merta dan para kontraktor 'malas dan lembab' itu pun diberikan semua projek itu.

Tindakan ini menurut kawan itu benar-benar mengecewakan pegawai kerajaan. Mereka merasakan kuasa yang ada kepada mereka tidak dihormati dan boleh diatasi oleh kuasa politik. Di masa akan datang kalau ada arahan-arahan baru sudah pasti mereka tawar hati untuk mematuhinya.

Kata kawan saya itu inilah yang berlaku dalam jabatan kerajaan dan masalah yang terpaksa ditanggung oleh pegawai kerajaan. Mereka jadi serba salah dalam melaksanakan tugas. Adakalanya mereka diasak supaya tegas dan bila tegas itulah jadinya. Jadi pegawai kerajaan ini katanya tak ubah macam bola ataupun haiwan serkas saja untuk dijadikan mainan mereka - orang politik.

Memahami cerita yang dikisahkan kawan saya itu menjelaskan betapa buruknya kerenah politik. Politik terus membelenggu para teknokrat untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka. Selagi pengaruh politik membayangi mereka ini bermakna buatlah apa-apa polisi pun ia tidak akan berjaya. Polisi atau dasar itu hanya menjadi slogan saja yang indah disebut dan sedap didengar tetapi hakikitnya hampa. Begitulah juga dengan slogan popular Najib itu ianya hanya retorika saja. [wm.kl. 3:00 pm 17/09/09]

Friday, September 11, 2009

Tazkirah Jumaat

Renungan Untuk Najib Dan Nik Aziz

[kemaskini] RUPANYA semua orang Melayu yang berparti politik mahukan kepada Islam. Agama Islam tidak boleh dipisahkan dari politik. Ia sebagai modal dan aset paling ampuh buat parti politik. Kalau tidak ada perkataan Islam dalam parti politik, parti politik itu macamlah makanan yang tidak dimasukkan ajinomo. Parti itu tidak menarik dan berperisa. Sebab, Islam adalah agama utama dan asas orang Melayu negara ini. Sentimen agama cukup tinggi dan hebat sekali dalam politik.

Cubalah, sesiapa yang mengenepikan agama atau tidak menghiaskan diri mereka dengan kosmetik agama, akan ditolak. Sebab itu orang mempersendakan agama dikecam oleh orang yang menjadi pengamal agama yang tegar pun! Sebab itu bila Nik Aziz Nik Mat mengatakan sosialis adalah anak komunis maka Syed Husin Ali enggan bertanding di Kota Bharu kerana dia tahu dia akan ditolak pengundi yang bersentimen agama.

Kecuali Melayu yang dibasuh kepalanya dengan kebendaan dan agama hanya menjadi sebahagian ritual kehidupan mereka tidak merasakan agama itu penting. Bagi mereka agama itu hanya bahan sampingan yang tidak memberi bekas sedikit pun.

Kerana itu sama ada tokoh politik itu berkelayakan, berautoriti atau tidak mereka akan cuba juga bercakap fasal agama dalam parti mereka. Setidak-tidaknya kalau tidak boleh membaca ayat-ayat Quran atau hadith dalam bahasa Arab akan cuba diangkatkan terjemahannya dan filsafatnya dalam bahasa Melayu. Semua itu untuk menunjukkan dia adalah pengasih kepada agamanya.

Semalam Najib Razak cuba mempertahankan parti yang dipuasaki dari ayahnya sebagai parti Islam. Semasa berbuka puasa dengan peneroka Felda di Kedah, katanya Umno adalah perjuang Islam sebenar walaupun ia tidak menggunakan lebel-lebel Islam. Kenapa tidak mahu guna lebel Islam?

Alasannya mudah sekali, ini kerana Umno memperjuangkan untuk memajukan rakyat menerusi pelagai projek pembangunan seperti Felda adalah perjuangan Islam. “Apakah yang Umno buat kini bukan selari dengan Islam?” tanya beliau.

Najib berkata begitu bersadarkan kepada satu hadith yang bermaksud, kemiskinan itu akan membawa kepada kekufuran. Hadith ini adalah butiran ratib tokoh-tokoh Umno sejak dulu, kini dan selamanya. Dalam mempertahankan dasar sekular Umno hadith inilah yang menjadi sanadnya sepanjang zaman.

Jadi selama ini Umno membuat projek untuk memberi kesenangan dan kekayaan kepada orang Melayu bagi menghindarkan mereka dari kekufuran. Kufur boleh menyebabkan mereka akan terjerumus ke dalam neraka. Bukan saja kerana menyertai Umno akan kufur tetapi miskin melampau juga kufur! Orang miskin yang tipis iman akan mudah memikirkan hal-hal negatif mengenai keadilan Tuhan kepadanya yang memungkinkan ia tersalah anggap terhadap takdir Tuhan itu.

Bagaimana pun tidak semua yang miskin itu kufur. Bahkan ada yang miskin mempunyai daya keimanan yang tebal dan zuhud mereka kepada Allah lebih daripada yang kaya. Jika mereka redha dan sedar dengan kemiskinan mereka, mereka masih berada atas keimanan yang sebenarnya dan jambatan ke syurga akan terbentang juga buat mereka. Untuk ke syurga tidak ada karcis kebendaan.

Argumen Najib itu sangat mudah dan ringkas sekali. Benar Islam itu ringkas dan Islam itu tidak ada paksaan - la ikrafidin. Tetapi dalam hal-hal tertentu ia juga sulit dan memerlukan pengamatan dan pengorbanan (ujian) yang tinggi. Islam itu mencakupi alam nyata dan alam ghaib. Nama lagi akidah maka ia begitu seni dan halus. Islam mempunyai dua dimenasi, zahir dan batin.

Kenyataan Najib itu dilihat sambungan terhadap apa yang beliau ucapkan di Kuala Krai yang memberi ingatan kepada Pas supaya jangan melihat Umno sebagai menganut Islam luaran sahaja. Najib kecewa dengan kata-kata Nik Aziz yang berbunyi; sesiapa yang memisahkan iman akan tidak masuk ke syurga. Bagi Najib kata-kata Nik Aziz itu ditumpukan kepada Umno dan ia sangat mencela parti itu.

Mengambil kira hal ini Najib begitu takut kalau dia dan ahli Umno tidak akan masuk ke syurga. Maka beliau kena jawab kenyataan Nik Aziz itu dengan mengatakan atau menghujahkan Umno memperjuangkan Islam sebenarnya. Yang lebih penting jawaban itu bagi tidak menakutkan ahli Umno dengan neraka tafsrian Nik Aziz itu. Ingatan kepada Najib dan sesiapa saja untuk memasuki ke syurga Allah bukan berdasarkan kata-kata tetapi harus berbuat – amal.

Kenyataan terbaru Nik Aziz pula sebagai membalas kenyataan Najib, katanya mana-mana perjuangan yang mengambil dasar kebangsaan ia umpama setinggan di bawah langit. Tahap dan taraf setinggan ini katanya kena dirobohkan. Memahami kata-kata Nik Aziz itu, perjuangan Umno samalah dengan setinggan yang tidak perlu disokong.

Pada kaca mata Nik Aziz tidak ada jurus yang elok dan baik pada Umno, semuanya buruk dan huduh. Apakah Umno akan melayan gelaran baru Nik Aziz kepada Umno ini? Umno tidak akan menang dalam berpolemik dengan Nik Aziz. Dalam minda orang Melayu terkini kupiah tetap mengatasi songkok!

Memang benar dan tepat apa yang diperkatakan oleh Nik Aziz. Perjuangan yang selain berdasarkan Islam adalah bathil. Perjuangan berdasarkan bangsa, kaum, negeri, tokoh, sentimen, semangat adalah bathil, kerana dasar yang betul ialah perjuangan berlandaskan kepada agama (Islam). Sebab itu Tuhan menyebut Islam itu diturunkan untuk membawa keselamatan (rahmatanlilalamin) kepada semua termasuk haiwan, tumbuh-tumbuhan dan bukit bakau.

Tidak ada ayat-ayat mengatakan Umno diturunkan untuk keselamatan, atau Pas diturunkan untuk kemajuan, atau PKR dizahirkan untuk kedamaian. Atau DAP dimunculkan untuk kebebasan sosial, atau MCA dan MIC untuk kemerdekaan kaum mereka. Tidak ada! Tidak ada!

Kenapa Nik Aziz menganggap Pas sebagai Islam sejati kerana Pas berlandaskan kepada Quran dan Hadith. Itulah yang dilaung-laungkan oleh para ulama dan ustaz dalam Pas sejak dulu lagi. Pas berbangga dengan dasar parti mereka. Manakala Umno pula meletakkan bangsa sebagai dasar dan matlamat perjuangannya. Umno mahu memperjuangkan bangsa di mana dalam pendangan Pas dasar berkenaan sebagai bathil.

Dalam pada itu Umno mempertahankan mereka juga memperjuangkan Islam dengan perjuangan bangsa itu kerana bangsa Melayu itu automatik menganut Islam. Dalam erti kata lain Umno membungkus Islam itu dalam bangsa Melayu. Ini tidak ‘dikelih’ oleh Pas dan Nik Aziz atau beliau sengaja menutup mukanya dengan serban dalam menyilau helah ini. Nik Aziz mahu melihat perkataan agama itu didepan bangsa itu, ataupun biarlah nama Islam sahaja tanpa ada gandingan dan akronim lain.

Di sini saya tidak mahu mencari jawaban hujah siapa yang betul dan benar. Saya menerima kedua-duanya sebagai betul. Baik Umo dan Pas sama-sama betul dalam pegangan itu. Tetapi apa yang hendak saya persoalkan di sini, sejauh manakah 'keaulitan' dasar itu dalam perjuangan. Apakah di sini kita mementingkan dasar daripada apa yang terhasil dari tindak tanduk dan implimentasi kita?

Apakah sesuatu perjuangan itu cukup dengan membentangkan dasar-dasarnya saja. Ia sudah cukup walaupun pelaksanaan kepada dasar itu masih tertangguh atau tidak terbuat. Dalam kata mudah, sahkan amal ibadat itu kalau hanya dikerjakan setakat dengan niat sahaja?

Pas menggariskan dasar Islam yang bersinar banar dalam perlembagaannya. Tetapi dalam masa sama masih ada sikap, perbuatan pengamal atau pejuang dasarnya bertentangan dengan dasar Quran dan Hadith sendiri. Apakah ini tidak salah? Ada juga konsepsi dalam Pas, Pas hanya perlu nampak indah atau Islam itu cukup menjadi amalan pemimpinnya saja tetapi tidak kepada ahlinya sama. Sebab itu kehebatan dan kewarakan Nik Aziz diuar-uarkan dan dibanggakan oleh Pas. Sebagai umat Islam ahli Pas kena ingat bahwa Nik Aziz tidak mempunyai safaat untuk merekminkan mereka memasuki syurga. Syurga itu adalah hak individu yang diperjuangkan bersama. Perjuangan Pas tidak syumul kalau yang Islaminya hanya Nik Aziz saja.

Dan bagaimana kalau pihak Umno atau pihak-pihak lain yang tidak meletakkan dasar berkenaan tetapi mereka bertindak sealiran dengan matlamat Islam itu? Apakah kerana Umno tidak meletakkan dasar Islam kandatipun ada ahlinya mematuhi perintah Allah taala maka ia terbatal sebagai ahli syurga?

Asas atau pokok Islam ialah mentauhidkan Allah s.w.t. dengan kalimah syahdat, La ilahaillah waashadu ana Muhammadul Rasulullah. Sesiapa yang mentauhidkan Allah maka seseorang itu automatik menjadi pemeluk Islam dan berpeluang untuk mendiami syurga-Nya. Tetapi selepas dia mentahudikan Allah dia harus melaksanakan ajaran-ajaran yang dituntut dan diwajibkan.

Belajar ini adalah wajib. Orang bodoh tidak akan dapat masuk syurga! Kerana dengan kebodohan mereka tidak akan menemui papan tandan dan simbol-simbol ke syurga. Apakah selama ini Pas dan Umno hanya mengharapkan imbuhan Allah dengan kalimah syahdat sahaja tanpa berbuat dan berusaha melaksanakan segala perintah Allah?

Mengikut dasar dan prinsip perjuangan, Pas memang berada dalam kawasan lebih kondusif, mewah dan istimewa dari Umno yang dihumban ke pantak setinggan oleh Nik Aziz. Tetapi Pas kena ingat kalau mereka ditempatkan di kawasan mewah dan istemewa seperti taman, kondominium, banglo dan sebagainya tetapi kalau penghuninya tidak sedia mematuhi rukun-rukun hidup berkomuniti ia tidak memberi makna. Taraf mereka juga sama rendah dengan setinggan.

Sebaliknya kalau masyarakat setinggan dapat hidup harmoni, biarlah tidak ada fasalitis berkelas mewah namun mereka mungkin lebih bahagia dari pengundi di tempat mewah. Di sini lokasi tidak menjadi perhitungan yang penting sejauh mana komuniti itu dapat hidup aman dan rukun dalam kawasannya. Menjadi setinggan tidak hina kalau mereka dapat hidup aman dan damai. Manakala menjadi penghuni di lokasi mewah lebih bererti lagi kalau semangat kejiranan dan hidup rukun damai terlaksana! [wm.kl 11:20 am 11/09/09]

Tuesday, September 8, 2009

Susupan Malam

Pas Perlu Sahut Kesediaan Najib Untuk Berunding

SEMALAM semasa berbuka puasa dengan penduduk Manik Urai di Kuala Krai, Najib Razak telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM8.6 juta untuk membina jambatan menghubungkan Manik Urai Baru dengan Manik Urai lama. Sebanyak RM600,000 diperuntukan untuk membesarkan masjid Temalir.

Najib cuba menunjukkan UBN prihatin, mendahului rakyat dengan peruntukan itu. Walaupun kalah dalam pilihan raya kecil Manik Urai katanya, kerana UBN sudah berjanji maka peruntukan diberikan juga. Bersyukurlah rakyat Manik Urai menerima projek berkenaan. Jarang penduduk yang bernasib baik seperti Manik Urai. Alangkah bertuahnya rakyat negara ini kalau pemimpin bersikap seperti mana Najib amalkan itu.

Rupanya ada rahmat dan hikmatnya bila seseorang wakil rakyat di sesuatu kawasan itu meninggal. Projek akan datang bersepah-sepah. Saya yakin kalau bukan kerana kematian dan diadakan pilihan raya kecil, penduduk Manik Urai Baru dan Manik Urai lama masih menggunakan jambatan kecil bagi kemudahan kedua buah kampung itu. Apa yang diumumkan Najib itu itulah nikmat politik demokrasi ala negara ini.

Di samping menemui penduduk dan mengumumkan projek itu Najib juga tiba-tiba mengulangi kesediaannya untuk berunding dengan Pas demi Melayu. Sekali dia menunjukkan keprihatinan untuk bangsa Melayu. Najib tiba-tiba menjadi makin sedar dan insaf kepada nasib bangsa Melayu yang terabai oleh UBN selama ini. Orang ramai juga tahu kenapa Najib tiba-tiba mengambil pendekatan baik kerana Umno tertekan dan semakin hilang keyakinan rakyat.

Tak mengapalah. Itu kebetulan saja. Tetapi apa yang penting kemurahan dan kesedaran Najib itu sepatutnya disambut baik oleh pihak Pas. Apa yang Najib nak bawakan itu adalah untuk kebaikan Melayu juga. Pas khasnya sepatutnya tidak begitu prejudis dengan kenyataan dan nawaitu Najib itu. Sepatutnya Pas juga menguji sejauh mana keikhlasan Najib itu.

Misalnya dalam hal ini Pas jangan lagi mencaci dan mencerca Umno seperti mana yang dikesali oleh Najib itu. Pas boleh uji sejauh mana keikhlasan Najib. Pas hendaknya berhenti attack Umno dan cuba mengambil sikap baru yang kondusif untuk orang Melayu, iaitu sedia beruding dengan Umno demi kepentingan Melayu.

Bukankah pada saat ini Pas sedang berusaha untuk mendapat haknya ke atas royalti minyak apakah tidak boleh bagi Pas mengendurkan sedikit serangan ke atas Umno bagi melihat sejauh mana pengakuan Najib itu. Pas Kelantan harus berfikir kebaikan untuk rakyat negeri itu daripada memikirkan kepentingan ataupun cita-cita politik individu tertentu.

Seharusnya Pas Kelantan mengutamakan kepentingan rakyat daripada kepentingan-kepentingan lain. Pembangunan yang menjadi satu realiti yang dibuntuhkan oleh rakyat tidak boleh ditolak oleh Pas. Walaupun royalti itu sahih sebagai hak Kelantan tetapi pemimpin politik Kelantan perlu bijak bagaimana untuk mendapatnya. Dan kesempatan yang terbuka kini ialah dengan menerima pelanwaan Najib itu untuk berunding kemudian bagi memperolehi royalti berkenaan.

Dan sekiranya selepas Pas memenuhi permintaan Najib itu, tidak mencerca Umno dan sedia berunding dan hak Kelantan itu tidak juga dipenuhi barulah Pas boleh mengistyharkan perang ke atas Umno. Rasanya tidak salah kalau Pas bersikap tawaduk dalam hal ini. Apa pula sikap demikian tidak sampai merosakkan akiqah. Sikap ego yang melampau dan merasai diri kita yang betul rasanya tidak sesuai diamalkan.

Pas boleh mencubanya dan tidak perlu hanya menanti atau mengharapkan akan terbentuk kerajaan Persekutuan yang baru, barulah Pas Kelantan boleh merasai royalti berkenaan. Dalam konteks ini Pas harus berbagai usahanya untuk kepentingan rakyat.

Apa kata kalau tiba-tiba kerajaan Persekutuan yang diharapkan itu tidak tercapai bermakna Pas akan terlepas peluang yang terbuka. Ingatlah kepada pepatah pendeta Islam kalau tidak dapat semua jangan buangkan semua sekali. Makanya elok kalau pemimpin Kelantan menyahut kenyataan Najib di Manik Urai semalam demi kepentingan rakyat Kelantan dan juga sebagai ujian terakhir buat Najib! [wm.kl. 11:00 pm 08/09/09]

Wednesday, August 26, 2009

Sudut Serong

Yang Perlu Dipelajari Dari Permatang Pasir

YANG jelas dan nyatanya pencapaian Pas pada pilihan raya kecil Permatang Pasir semalam lebih bagus daripada pilihan raya kecil Pengkalan Pasir tiga tahun lalu dan pilihan raya kecil Manik Urai di Kelantan sebulan lalu. Di Pengkalan Pasir, Pas terpaksa menangis tidak berlagu, manakala di Manik Urai Pas hampir-hampir terjun ke Sungai Peria. Pas menang hanya 65 undi sahaja, cukup-cukup menang saja.
Kemenangan di Pengkalan Pasir semalam menebus kekalahan di Pengkalan Pasir dan kemenangan tipis di Manik Urai itu. Kemenangan besar dengan majority 4,551 menenggelamkan UBN Pulau Pinang itu menyebabkan kesedihan dan keterkejutan Pas di Manik Urai hilang ghaib sekalip mata saja. Pas berjaya menebus kesakitan di Manik Urai.

Tahniah kepada calon Pas, Mohd Salleh Man dan seluruh jentera pilihan raya kecil Permatang Pasir kerana menggondong kemenangan itu.

Perkara menarik untuk diperhatikan kenapa pencapaian di Permatang Pasir itu naik mendadak jika di bandingkan dengan Manik Urai. Apakah sebab musababnya? Mungkin sesetengah ahli Pas merasa jelek untuk dibandingkan dua pilihan raya ini. Mungkin akan ada mengatakan ianya tidak relevan dan saya sengaja mahu cari gaduh.

Tetapi suka tidak suka perbandingan ini kena ditenguk dan diselidiki demi untuk kebaikan dan masa depan Pas. Apa lagi Kelantan adalah negeri kubu Pas, seharusnya perbezaan pencapaian pilihan raya kecil itu tidak begitu menonjol. Apakah kubu itu sudah bertukar dari Kelantan ke Pinang?

Pandangan di luar amat berbeza dengan pandangan didalam yang kadang bermotif untuk melindungi kebusukan sendiri. Tetapi kerana saya tidak ada kepentingan biarlah saya sebut secara terus terang mengikut firasat saya dan kalau tidak suka pun tak mengapa.

Bagi saya kecemerlangan Pas di Permatang Pasir adalah fakor Anwar Ibrahim. Anwar berasal dari kawasan itu. Dia mengundi di situ. Sokongan kepada Pas itu adalah kerana menumpang pengaruh Anwar. DUN Permatang Pasir termasuk dalam parlimen Permatang Pauh yang diwakili Anwar. Ini bermakna pengaruh Anwar dan auranya masih kuat dan memberi kuasa tambahan kepada Pas di Pulau Pinang. Saya percaya kalau tidak kerana sokongan padu Anwar mungkin agak ‘rohok’ juga untuk Pas meraih kemenangan sebesar itu.

Faktor lain ialah cara jentera pilihan raya kecil itu di gerakkan. Ternyata sokongan Pas kepada pilihan raya itu sepadu dan mantap. Tidak ada perpecahan dalaman yang boleh dieksploitasikan UBN. Ini kerana kebijaksanaan jentera pilihan raya kecil itu. Dalam hal ini mungkin yang boleh diberikan ucap selamat ialah kepada Pengarahnya, Mahfuz Omar. Mahfuz nampaknya mengarah dengan baik di sepanjang pilihan raya berkenaan.
Sepanjang pilihan raya itu berjalan tidak ada kenyataan songsang dan berkadas yang dikeluarkan oleh Mahfuz. Pendekatan yang diambil juga menyenangkan dan tidak cuba mengenepikan kepakaran orang lain sebaliknya dijalinkan dengan sepenuhnya. Ia dibantu kejap oleh seorang lagi Naib Presiden Sallahuddin Ayub yang mana dikatakan dalam keadaan diserang demam pun tidak pernah menjauhi gelanggang.

Di Permatang Pasir tidak kedengaran kenyataan dan pendekatan sonsang melarang mana-mana pemimpin Pas dari menghadiri dan berkempen. Soal pemimpin itu menyokong Unity Goverment (UG) dan pemimpin ini anti UG tidak timbul. Tidak kedengaran larangan gambar si anu tidak boleh dinaikan dan gamgar si anu saja yang perlu ditonjolkan seperti mana berlaku di Manik Urai.

Di Manik Urai dulu jentera pilihan raya kecil itu telah membuat larangan terbuka kepada tokoh-tokoh tertentu daripada memasuki kawasan pilihan raya kononnya ia memberi liabaliti kepada calon Pas. Akibat ada asimilasi itu menyebabkan para penyokong dan ahli Pas dari luar rasa terkilan dan merasakan tenaga dan fikiran mereka tidak diperlukan. Naijahnya menyebabkan pilihan raya itu tidak dihadapi secara sepadu dan penuh hati.

Alasan kenapa berlaku demikian kerana pilihan raya itu mengambil pendekatan lokaliti. Pendektan lokaliti ini yang lebih mirip kepada pendekatan Orang Asli – pendekatan kolot dan tertutup, ini pertama kali diperkenalkan dalam pilihan raya di Kelantan. Hasil daripada pendekatan lokaliti ini walhasilnya maka Pas hanya menang sebanyak 65 undi daripada majoriti sebelumnya sebanyak 1,352 undi.

Kesimpulannyanya, jentera pilihan raya kecil itu dan khasnya JPN Kelantan kena belajar dari Mahfuz Omar, Mujahid Yusuf Rawa dan jentera pilihan raya kecil Permatang Pasir itu. Belajarlah bersikap terbuka dan sedia mengakui kebodohan diri dan sedia menerima tunjuk ajar dari luar juga. Saya yakin kalau semua pemimpin Pas bersatu dan tidak ada blok-blok Pas boleh menang besar di Manik Urai tempoh hari.

Dan sekiranya ada mana-mana pilihan raya kecil di Kelanan selepas ini sewajarnya kalau jentera itu tidak lagi dikendalikan oleh orang yang sama iaini Abdul Fatah Haroh sebagai pengarah, yang dinasihati rapat oleh Wan Abdul Rahim Wan Abdullah. Kedua-duanya adalah barang kitar semula dalam Pas Kelantan yang cuba diguna pakai semula. Mereka adalah satu geng dalam trio Tiga Abdul yang pernah membuat onar pertengahan tahun 90-an dulu. [wm.kl. 7:00 am 26/08/09]

Friday, August 21, 2009

Marah Jumaat

Salahkah Berkahwin Lebih Dari Satu?

CALON UBN Permatang Pasir, Rohaizat Othman terus dililit tuduhan demi tuduhan yang menyebabkan nafas politiknya sukar untuk bernafas. Semakin jadi beringus hidung calon UBN itu menjadi-jadi.

Terbaru ialah dakwaan beliau berkahwin seorang lagi dengan perempuan bernama Hafizah yang menjadi ketua kerani di pejabat guamannya.

Dakwaan itu dibuat oleh Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasaruddin Hassan? Rohaizat telah menafikan tuduhan itu menjelaskan beliau tidak berkahwin pada tahun 2005. Katanya dia ada seorang saja bini.

Kesihan kepada Rohaizat. Begitulah adat politik kalau kita dipilih jadi calon maka semua tentang kita akan dibuka dan diselak sampai ke paras paha dan pusat. Fitnah adalah senjata paling ampuh dalam dunia politik.

Bukan saja persoalan di sekitar diri kita saja, hal-hal lain seperti anak bini, keluarga juga akan turut sama diheret dan dijadikan isu. Misalnya kalau isteri kita tidak pakai tudung, main badminton pakai skirt, bercakap kasar di telefon dan sebagainya akan dibangkit dibongkar sampai lumat. Pendeknya apa saja bahan yang dikira boleh menarik perhatian pengundi akan dibongkar dan dieksploitasikan.

Tidak mengapa kerana lumrah politik begitu. Tetapi di sini saya nak tanya ketua Dewan Pemuda Pas itu sepatah. Apakah berkahwin dua atau lebih daripada satu menjadi kesalahan?

Apakah ianya bertentangan dengan Islam? Kalau tidak kenapa perkara itu perlu dijadikan isu.
Dalam soal berbini dua bukan saja dari kalangan ahli Umno tetapi dari Pas sendiri juga ikut sama mengamalkan sunah Nabi itu. Presiden Pas, Abdul Hadi Awang kahwin dua. MB Kedah, Azizan Razak kahwin dua. Bekas pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang kahwin dua. Exco Kelantan, Takiyuddin Hassan kahwin dua atau tiga. Bekas timbalan speaker Dun kelantan, Wan Ismail Wan Jusoh kahwin dua atau tiga.

Speaker DUN Kelantan Nasaruddin Daud juga kahwin dua. Bekas speaker DUN Kelantan, Wan Abdul Rahim Abdullah juga kahwin dua atau tiga. Timbalan speaker DUN Kelantan, Zaki Ibrahim juga kahwin dua.

Bekas wakil rakyat Jeli, Apandi Mohamad juga kahwin dua atau tiga. Bekas wakil rakyat Guchil, Zulkefli Yaacob juga kahwin dua. Adun Air Lanas, Ustaz Abdullah Yaacob juga kahwin dua atau tiga.

Sebenarnya banyak kalau nak disenaraikan pemimpin Pas yang berkahwin dua atau lebih daripada dua. Sebab itulah saya pernah mencadangkan agar ditubuh Penshawat di Kelantan iaini persatuan lelaki yang berkahwin lebih daripada dua bagi menyelesaikan apa-apa masalah yang timbul di sebalik amalan sunnah itu.

Sebenarnya kahwin dua, tiga dan empat tidak jadi masalah. Yang jadi masalah ialah apabila perkahwinan itu mendatangkan masalah sosial dan menganggui orang lain. Yang bermasalah yang berkahwin secara gelap, maksudnya tidak diberi tahu kepada isteri pertama. Misalnya ada yang susuk bini di apartment, yang berkahwin di Medan, di Cina, Kemboja dan lain-lain. Ini yang menjadi masalahnya. Setengah itu kerana kahwin tak daftar atau lambat daftar jadi masalah bila-bila bini dah beranak.

Pada saya apabila Nasaruddin membangkitkan isu Rohaizat kahwin itu nampak sangat kerendahan pemikiran ketua dewan pemuda Pas itu. Nampak sangat yang beliau tidak ada modal untuk dijual bagi memburukkan calon UBN itu. Kalau nak buruk pun carilah yang logik, munasabah dan isu yang membabitkan umum dan isu yang bertaraf nasional. Apa yang didedahkan mengenai penyalahgunaan wang guaman koperasi pekebun kecil getah itu sudah cukup untuk merobekan cita-cita politik Rohaizat.

Kepada Nasaruddin belajarlah berfikir perkara-perkara besar bersifat global dan nasional bukannya terus terperosok dalam isu peribadi seperti soal kahwin dua, tidak berkhatan ataupun cucuk hidung dan telinga. Apa juga isu, ulasan dan idea yang dilontarkan mestilah menggambarkan sebagai orang muda yang berfikiran jauh dan melepasi dari belitan soal-soal remeh temeh seperti tuduhan ke atas Rohaizat itu. Perkara kahwin lebih dari dua ini bukan isu sebenarnya. [wm.kl. 1:00 t/hari 21/08/09]

Tuesday, August 18, 2009

Pilihanraya Permatang Pasir 1

Perang Akhir Syabaan: Nik Aziz Lawan Harussani?

PRITTTT....! Pilihan raya kecil Permatang Pasir, Pulau Pinang sudah pun bermula semalam. Untuk kesekian kalinya dua musuh tradisi yang mungkin sampai ke ahirat(?), Umno dan Pas bertemu dalam gelanggnng politik sekali lagi dan akan berlawan antara satu sama lain.

Pas telah meletakan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mohd Salleh Man sebagai calonnya. Manakala UBN meletakkan Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman sebagai calonnya. Perbezaan jelas antara antara kedua-dua calonnya ini seorang agak berusia dan seorang pertengahan.

Keduanya tentu ada kelebihan tersendiri menyebabkan parti masing-masing menyandangkan harapan kepada mereka. Walaupun politik hari ini memberi peluang lebih kepada Pas, tetapi UBN juga menaruh keyakinan besar kepada pilihan raya berkenaan. UBN mahu menjadikan keputusan pilihan raya itu sebagai penanda aras baru pengaruh UBN di negeri berkenaan terutamanya kepada pengerusinya, Ahmad Zahid Hamidi.

UBN jadi lebih bersemangat untuk menyertai pilihan raya itu ekoran lonjakan pengaruhnya di Manek Urai yang lalu. Walaupun sebelum ini UBN mengaku kalah awal tanpa menyertai pilihan raya kecil Penanti tidak lama dulu atas alasan yang dangkal untuk mengelakkan malu besar pada pilihan raya itu, tetapi nampaknya kekalahan tipisnya haya 65 undi di Manek Urai merangsang UBN untuk menyertai pilihan raya itu walaupun terpaksa menyanggah keputusan yang diambil sebelum ini iaitu enggan menyertai pilihan raya Penanti kerana tidak ingin membazirkan wang rakyat.

Sementara bagi Pas pilihan raya 25 Ogos itu akan dijadikan peluang untuk memperbaiki kedudukannya serta menebuskan apa yang berlaku di Manek Urai. Sesungguhnya nasib dialami Pas di Manek Urai tempoh hari benar-benar mencabar Pas Kelantan khususnya. Justeru pilihan raya Pengkalan Pasir adalah peluang bagi Pas membuktikan kekuatan mereka.

Kemenangan yang bakal diraih Pas di Permatang Pasir nanti juga bolehdilihat sebagai keberkesanan jentera pilihan raya Pas di Permatang Pasir.

Ini kerana sehingga ini tidak ada bentuk kempen atau pun pendekatan pelik di ambil Pas Pulau Pinang seperti mana dilakukan Pas Kelantan pada pilihan raya Manek Urai tempoh hari. Di Permatang Pasir ini tidak ada halangan kepada tokoh tertentu dan juga pendekatan 'lokaliti' seperti di Manek Urai. Pendekatan lokaliti yang lebih mirip politik Orang Asli di Manek Urai itu tidak ditiru Pas Pulau Pinang.

Disebabkan Permatang Pasir diangap kubu Pas di Pulau Pinang, maka Pas akan cuba merembahkan UBN semahunya. Pas mungkin tidak mengharap majoriti yang mereka perolehi pada pilihan 2008 sebanyak 5,433 tetapi cukup kalau Pas berjaya mempertahakan majoriti atas 3,000. Kejayaan itu bolehlah disifatkan kemenangan besar kerana pilihan raya kecil yang selalunya UBN akan menggunakan apa saja ruang, senjata, herta benda dan wang ringgit.

Sebaliknya kalau UBN boleh mengurangkan majoriti Pas sampai bawah 1,000 untuk ia menjadi petunjuk tidak baik bagi Pas dan juga Pakatan Rakuat. Harus diingat Permatang Pasir termasuk dalam kawasan kubu kuat Penasihat PKR Anwar Ibrahim. Kemerotoan majodiri Pas bermakna kemesorotan juga pengaruh Anwar.

Isu yang akan dilambungkan dalam pilihan raya ini hampir sama, tidak banyak beza dengan isu-isu yang dimainkan pada pilihan raya Manek Urai. Isu nasional yang akan dibangkitkan Pas tentulah mengenai kematian misteri Teoh Beng Hock, isu 1 Malaysia, wabak selesema babi dan juga tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM yang kini gila-gila sedang menyiasat pegawai-pegawai Exco dan Adun Pakatan Rakyat Selangor.

Manakala di sebelah UBN pula sudah pasti akan menggunakan pendekatan politik Najib Razak sebagai isu utama mereka. UBN tidak akan lekang dengan isu pembangunan seperti mana Pas yang tidak pernah mis memperkatakan isu keagamaannya. Politik dunia dan akhirat akan terus dimainkan. Isu-isu peribadi mengenai Anwar juga akan turut sama dimainkan di samping isu keretakan dalam Pakatan, terutamanya sikap DAP dengan Pas. Laungan 'Anwar Pengkhianat" mungkin juga lebih bergemercingan lagi di Permata Pasir.

Apabila melihat pilihan raya Permatang Pasir ini ia sudah mula menunjukkan sympthom menarik yang tidak seharusnya berlaku. Misalnya pertuturan Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengeluarkan kenyataan kononnya anggota Umno tidak akan masuk syurga dilihat sebagai perasmian kempen Pas yang bakal menimbulkan kontroversi dan kesenimbungan kebencian Umno kepada tok guru ini.

Sudah pasti kenyataan Nik Aziz itu akan menjadi isu dan kontroversi. Walaupun isu itu sudah lama tetapi ia dipercayai akan dieksploitasikan oleh Umno. Soal ahli Umno tidak akan berbau syurga (alias kafir) ini sudah lama ditagang oleh Pas. Isu ini sering kali tenggelam timbul mengikut musim.

Apabila Mufti Perak yang merangkap 'Mutfi UBN' telah menjawab pertuturan Nik Aziz itu ia akan 'membekahkan' perbalahan dan polemik agama antara Pas dengan Umno. Harussani dalam kenyataan balasnya terhadap kata-kata Nik Aziz itu menjelaskan tidak ada mana-mana nas menyatakan syarat seseorang yang ingin masuk syurga itu mereka perlu menjadi ahli politik.

Kenyataan balas Harussani itu sudah tentu akan diberi tindakan selepas ini dan naasnya beliau akan dipalu oleh orang Pas.

Untuk apa Harunsani membalas kenyataan Nik Aziz itu? Bila dia balas ia akan berpanjangan dan menimbulkan polimek. Wahal isu sudah lapok. Pada saya Nik Aziz sengaja menimbulkan isu untuk meletakkan dirinya terus menjadi sebutan dan popular. Apabila beliau berkata begitu, beliau akan dikecam kiri dan kanan oleh UBN. Dan kecaman inilah yang Nik Aziz perlukan untuk meraih simpati khasnya pengundi Islam di Permatang Pasir untuk terus menyokong Pas.

Atas wajah politik di sinilah bijaknya Nik Aziz dalam melambungkan isu untuk kepentingan Pas. Beliau mungkin tidak peduli atau mengirakan musibah atas kata-katanya itu seperti mana Harussani fikirkan.

Kalau Harussani memikirkan kata-kata Nik Aziz itu boleh merosakkan akidah, tetapi tidak bagi Nik Aziz kerana ia bertolak dari niat politiknya. Kalau Harussani merasakan kata-kata Nik Aziz menyinggungkan perasaan Umno namun tidak itu yang dirasakan bagi Nik Aziz, malahan beliau (Nik Aziz) mungkin merasakan wajar ahli Umno dihukum dengan kata-kata sebegitu.

Apapun sama-sama kita tenguk sejauh mana fatwa lapok Pas yang diulang Nik Aziz itu apakah ianya dimakan oleh pengundi Permatang Pasir atau pun tidak. Kalau ianya berkesan sudah pasti Pas akan menang besar mungkin sampai mencecah majopriti 10,000 kerana pegundi Melayu atau Islam yang mewakili kawasan itu sebanyak 14,652.

Sebaliknya kalau Pas menang hanya sekitar 3,000 undi ini bermakna kira-kira 10,000 pengundi Islam di situ tidak teruja dengan fatwa Nik Aziz itu! [wm.kl 8:00 am 18/08/09]

Friday, August 14, 2009

Geram Jumaat

Permatang Pasir Selamatkan Arak Di Selangor

BILA Pesruruhjaya Pas Selangor, Dr Hassan Ali bagaikan Jebat yang marah dengan kedurjanaan sultan kerana arah agar sahabatnya Tuah dibunuh, bangkit menentang penjualan arak secara terbuka umat Islam di Selangor dan juga di luar Selangor menyokong penuh tindakan itu. Mereka merasakan Hassanlah pahlawan (bacaan paslawan) menentang kemungkaran dalam Pas. Dalam sekelip mata saja Hassan menjadi wira.

Tindakan Hassan itu dialu-alukan oleh golongan konservatif dan yang membenci air kencing syaitan itu. Hassan pun dianggap sebagai Taliban di Afghanistan oleh golongan modern dan penganut politik liberal di Selangor dan di luar Selangor.

Secara peribadi saya sendiri pun memberi kredit kepada Hassan dengan mengucapkan syabas kepada Pas Selangor. Tindakan Hassan itu sudah lama ditunggui. Orang Islam dagahakan pemimpin yang komited dan berani dalam perjuangan amal maaruf nahi mungkar.

Walaupun ketika itu Hassan bercakap menggunakan pembesar suara politik namun beliau dilihat ada kesunggahan dan sedikit ikhlas.

Apabila Hasaan dalam sidang akhbar dengan tersembur air liur mengatakan dia tidak akan tunduk kepada desakan atas tindakannya itu - menentang arak, orang pun makin memuji dan percaya kepadanya. Merasakan Hassan lebih hebat dari Jebat dan pahlawan-pahlawan 'sekondeng' yang lainnnya.

Saya sempat mendengar kenyataan Hassan yang disunting dan dipetik oleh sebuah stasen tv. Entah saya tidak pula merasa kagum ketika beliau membuat kenyataan itu. Pada saya kenyataan itu semacam berlebihan pula. Hassan semacam cuba mencari publisiti murah di sebalik keberanian dan ketegasannya itu. Katanya dia tidak akan tunduk dengan desakan dan rela melepaskan jawatan sebagai Exco sekiranya beliau ditekan bersabit isu arak itu.

Kenapa saya kurang yakin mengenai kenyataan itu kerana dalam politik boleh kira dengan jari pemainnya yang tidak inginkan jawatan. Banyaknya gilakan jawatan sampai disuruh dan diasak turun pun enggan berbuat demikin. Perbalahan sama sendiri dalam parti bukan sangat kerana perbezaan pandangan kerana ingin tegakkan agenda perjuangan tetapi kerana perebutan kuasa! Lantaran itu saya tidak fikir Hassan akan tolak jawatan kerana segelas arak.

Apa lagi arak yang dijual di kedai serbaneka itu mengikut kata salah seorang pemimpin Pas, tidak sampai ke tahap kelas minuman keras, kerana kadar alkoholnya rendah. Saya tidak tahu rupa-ruapanya dalam soal arak ini ada kelas dan kadar-kadarnya? Saya kira semua arak ringan dan berat, haram. Maka teringatlah saya kepada seorang guru Tariket yang sudah meninggal dunia katanya, arak kalau minum setitik tidak mengapa, tetapi jangan sampai sebotol. Alasannya setitik tidak mabuk sebotol muntah dan mabuk.

Apakah pemimpin Pas yang beranggapan demikian mengamalkan Tariket berkenaan? Yang melihat hukum Allah iu dengan akal dan bukan dengan iman? Kerana setahu saya, kalau segelas air sejuk pun diniatkan arak maka ia tetap berdosa. Begitu juga kalau menjual makanan subahat pun tidak boleh. Begitulah Islam menjijikkan arak.

Berbalik kepada Hassan Ali tadi, apa yang saya bimbangkan itu akhirnya menjadi kenyataan. Petang semalam, tut tut.... dia sudah berpelukan dan bersalaman dengan Ronnie Liu orang yang mempertahankan arak di Selangor. Tentunya gambar ini sengaja dipoteretkan mengecewakan orang yang membenci arak. Orang yang suka arak tentu suka melihat keduanya membuat cheer.... berbaik semula. Saya percaya selepas ini arak tidak menjadi isu lagi di Selangor.

Apakah mananaya semuanya ini. Gambar itu diambil selepas kepimpinan Pakatan Rakyat mengadakan mesyuarat. Mesyuarat itu turut sama dihadiri Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, Lim Kit Sing, Sallahuddin Ayub dan Anwar Ibrahim. Apakah sudah ada konsesus dalam mesyurat itu megenai arak? Nampaknya begitulah. Isu arak perlu dihentikan kerana Pakatan Rakyat ingin hadapi pilihan raya 25 Ogos ini.

Kalau ia dibuat atas dasar politik itu, maka pilihan raya Permatang Pasir telah menyelamatkan isu arak di Selangor. Lain kali kalau ada isu melibatkan agama dan akidah bolehlah adakan pilihan raya untuk selesaikannya. Selalunya isu-isu besar akan mati dengan sendirinya bila ada pilihan raya kecil. Pilihan raya adalah segala-galanya dalam maya politik.

Apapun Hassan Ali tetap menjadi mangsa. Penghormatan orang kepada Hasaan Ali terjejas juga. Selepas ini apa-apa yang Hasaan buat ia tidak mudah untuk dipercayai dan disanjung lagi. Kecualilah Hasaan Ali melepaskan jawatan Exco baru orang akan menghormatinya. Tetapi mahukan Hassan Ali kehilangan pendapatan RM15,000 sebulan serta berbagai kemudahan lain? Saya tidak fikir Hassan akan mencipta sejarah melepaskan jawatan Exco kerana menentang penjualan arak kelas ringan di Selangior. Tidakkkkk! [wm.kl. 12:00 t/hari 14/08/09]

Thursday, August 13, 2009

Rileks Tengahari

Mahu Tengok Zahid Berlaga Dengan Anwar di Permatang Pasir

BELUM tiba hari penamaan calon Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Ahmad Zahid Hamidi telah memberi amaran akan memecat mana-mana ahli Umno yang mensebotaj pilihan raya kecil Permatang Pasir pada 25 Ogos depan. Katanya mereka yang sebotaj akan dipecat dalam masa 60 hari, dua bulan. Tegasnya juga dia tidak main-main dengan kata-katanya itu.

Amboi, amboi beraninya naib presiden Umno seorang ini. Tegas sekali bunyinya. Mendengar kata-kata itu seolah-olah Zahid tidak main-main dalam perjuangan. Seolah-olah dia tidak akan berkompromi dengan dengan mana-mana pengkhianat. Seolah-olahnya dia juga seorang yang berprinsip dan tidak pernah melakukan kesalahan kepada Umno atau mana-mana individu. Baguslah kalau begitu.

Soalnya apakah ahli Umno mendengar kata-kata Zahid itu? Apakah ahli akan akur kepada kata-katanya?

Apabila awal-awal lagi Zahid sudah memberi amaran itu ia memberi gambaran Umno Pulau Pinang khasnya di Permatang Pauh seperti bermasalah. Semacam sudah ada desas desus ada pihak yang akan sebotaj pilihan raya berkenaan. Mungkin Zahid sudah dapat menghidunya.

Kalau begitu lah gayenye (sling Perak sikit) bermakna UBN 'rohak'lah hendak merampas kerusi berkenaan. Kalau sama sendiri sudah mula tunjal menunjal ibarat kata Pas akan menang besar pilihan raya berkenaan. Kenyataan dan gambaran yang diberikan Zahid itu menjadikan Pas tidak perlu gusar untuk menghadapi pilihan raya kecil berkenaan.

Sesungguhnya pilihan raya berkenaan penting bagi Zahid untuk menguji sejauh mana wibawanya sebagai ketua Umno Pulau Pinang. Permatang Pasir adalah ujian pertama buat Zahid. Walaupun sudah berlaku pilihan raya kecil di Penanti baru-baru ini, tetapi Zahid terselamat kerana UBN pengecut tidak bertanding dan berselindug disebalik alasan pilihan raya itu sebagai mainan politik PKR. Padahal hakikatnya tidak yakin boleh menang.

Saya rasa bukan saya saja ternanti-nanti untuk melihat pilihan raya Permatang Pasir itu. Tetapi orang lain juga kerana nak tenguk bagaimana Zahid akan ‘berjumpa’ dengan bekas bosnya Anwar Ibrahim dalam pilihan raya berkenaan. Orang ramai tunggu nak dengar apakah Zahid juga akan turut sama menghirup air liur Muhyiddin untuk mengutuk Anwar sebagai pengkhianat bangsa di Permatang Pasir.

Jika diukur kepada peribadi Zahid kita tidak yakin dia tergamak mengutuk Anwar atau menggunakan isu pengkhianat bangsa itu melainkan dia terpaksa berbuat begitu. Dalam politik selalu berlaku tersalah sangka, orang baik sebenarnya jahat dan orang jahat boleh jadi baik. Sama-sama kita tunggu sebaik saja selesai penamaan calon pada 17 Ogos ini. [wm.kl.11:40 am 13/08/09]

Monday, August 10, 2009

Nordin Mat Top Dan Anwar

Kebenaran Akan Memenangkan Perjuangan Mereka

PEMERINTAH Indoneisa mungkin boleh menarik nafas lega buat seketika apabila terrorist terhandal dan diburui, Noordin Mat Top, 41 dilaporkan sudah terbunuh dalam satu tragedi tembak menembak di Temanggung, Jawa Timur kelmarin bersama empat rakannya. Walaupun jenazah yang terbunuh masih dalam proses ujian DAN namun pengumuman polis Indonesia mengenai kejadian itu seakan mengesahkan Noordin Mat Top sudah terbunuh?

Noordin menjadi buruan kerajaan Indoensia selama lebih enam tahun apabila dituduh menjadi dalang dalam beberapa siri pengeboman di tempat awam di negara berkenaan. Sebanyak 250 orang awam berbagai bangsa dilaporkan telah terkorban gara-gara keganasan dan perjuangan Noordin Mat Top.

Beliau dikatakan bertanggungjawab dengan peristiwa pengemboman di Bali 2002 melibatkan kematian 202 orang. Di JW Marriott di Jakarta 2003 dan terbaru di hotel sama pada bulan lepas dan di hotel Ritz Carlton menyebab sembilan mati.

Meskipun naas itu mungkin bukan kerjanya seratus peratus namun ia telah dicampak ke atas bahu Noordin. Begitulah nasib Noordin Mat Top anak kelahiran, Johor, Malaysia.

Ekoran kerja-kerja jenayah yang tidak berperikamanusiaan Noordin dan kumpulannya itu beliau dibenci oleh Indonesia. Mereka diburu bagaikan serigala ganas. Gerakan pemburuan diadakan secara bersepadu dengan kerjasama Amerika Syarikat dan pihak berkuasa lain termasuk Malaysia.

Kempen membenci Noordin dan Jemaah Islmiah (JI) dilakukan secara besar-besaran dengan kerjasama dan batuan daripada Amerika Syarikat yang begitu phobia dengan pengeboman di World Trade Centre (WTC) 11 September 2001.

Walaupun sesuatu kejadian itu belum jelas, namun Amerika dengan gampang meletakkan kepada gerakan pengganas yang dianggotai orang Islam sebagai pelakunya. Tuduhan melulu Indonesia yang mengikut telunjuk Amerika ini jelas apabila seorang ulama tradisi Indonesia, Abu Bakar Bashir yang turut didakwa terlibat dalam pengebomaan di Bali akhirnya dibebaskan oleh mahkamah Indonesia.

Apakah hal ini berlaku di Indonesia kerana pemerintah itu begitu mendengar kata-kata dan dakwaan Amerika yang sangat membenci Islam? Kesalahan Noordin, Amozi dan Iman Samudra (telah ditembak sampai mati) bukan mudah untuk disahkan sejauh mana benar dan salahnya mereka. Hanya Tuhan saja yang tahu niat dan tujuan mereka itu. Manusia mampu mengukur dari segi zahiriah saja.

Mengapa Noordin Mat Top diburu dan kemudian dibunuh? Tentunlah kerana kejahatan yang beliau lakukan. Tetapi orang tidak pernah bertanya dan cuba mencari alasan kenapa beliau berbuat begitu? Biarlah Noordin dan Tuhan saja yang tahu. Yang jelasnya Noordin menerima balasan setimpal dengan apa yang dilakukann itu. Walaupun benar tetapi kalau jalan diambil tidak benar, maka begitulah jadi. Inalilah wainalihirajiun buat Nordin.

Mengenangkan betapa seriusnya pemerintah Indoensia memburu Noordin maka teringat kita kepada apa yang berlaku ke atas Anwar Ibrahim yang tidak habis-habis menerima tentangan dan kejian daripada kerajaan UBN di Malaysia. Kedudukan Anwar di Malaysia hampir sama dengan kedudukan Noordin Mat Top di Indonesia.

Cuma bezanya Noordin diburu kerana jenayah dilakukan, sebaliknya Anwar kerana dibimbangi pengaruh politiknya boleh mengugatkan kerajaan UBN. Kedua-dua tujuannya sama untuk menjaga kedudukan, kuasa dan kerajaan cuma atas kesalahan berbeza. Maka Anwar kena dihapuskan dari atas muka dunia ini seperti Noordin Mat Top.

Tindakan mendamagekan Anwar terus dijalankan. UBN meletakkan Anwar sebagai bahaya besar kepada mereka. Kesalahan dan tuduhan ke atas Anwar direka kemudian dicari bukti bagi mengenakan hukuman ke atasnya. Bukan saja terhadap kes yang sedang dihadapi kini – tuduhan liwat ke atas pembacuh kopi, tetapi kes-kes penganiayaan ke atasnya sebelum ini sudah terjawab dan terbukti bagaimana Anwar dianiaya dan dizalimi secara melampau.

Apapun Anwar masih ada kekuatan. Beliau mendapat keyakinan daripada rakyat marhaen. Seolah-olah segala kejahatan Anwar yang ditaja UBN tidak sedikit pun mengugat keyakinan rakyat kepada bekas TPM itu. Keyakinan dan sokongan itu bukan saja kerana Anwar bijak dalam bermain mata dan body language dengan rakyat tetapi mungkin kebenaran berada di pihaknya. Atas sifat kebenaran itu akan menghapuskan kebatilan maka itulah Anwar tetap disanjung dan diikuti selamanya.

Lakukanlah apa juga kejian, kecaman dan tuduhan ke atas Anwar, beliau akan menang selagi rakyat bersamanya. Siapa yang boleh menolak kuasa rakyat? Seperti Noordin Mat Top apapun kebecian dan tuduhan pemerintah Indonesia ke atasnya hatta mengajak seluruh dunia membencinya ia tidak akan berakhir kecualilah Noordin sudah menemui Tuhannya. Pun begitu perjuangan Noordin yang dibangunkan atas keyakinan dan kebenaran yang diyakini tidak akan mudah terhapus. Pemergian Noordin pasti akan diganti dengan ratusan Nordin yang lebih top lagi.

Demikian juga dengan Anwar, kalau tertakdir beliau terpenjara maka akan ada ribuan Anwar di luar penjara yang masih bebas dan bersemangat! Sesungguhnya semangat jihad berlandaskan kebenaran tidak boleh dimusnahkan walaupun dengan apa cara sekali pun. [wm.kl. 10:45 am 10/08/09]

Sunday, August 9, 2009

Kuliah Subuh Minggu

Kemunafikan Pemimpin Melayu Islam

DI DALAM biara atau masjid, surau, atau pun bila berbicara di majlis-majlis berbau keagamaan, pemimnpin politik tampil sebagai jaguh agama. Muncul sebagai pejuang Islam nombor wahid. Dibacalah berangkaian hadith-hadith dan ayat-ayat al-Quran untuk menunjukkan betapa kuatnya keimanan mereka. Begitu menyinarnya iltizam mereka kepada agama, iras-iras seakan rela syahid di medan juang adden. Seakan kalau mereka terpanah musuh ketika itu darah yang mengalir membentuk kalimah Lailahaillah macam cerita-cerita sufi dalam filem Hindustan.

Maka bersoraklah para pendengarnya, banggalah dan kembanglah dada dan merindinglah bulu roma di lengan dan bulu tengkuk sampai ke janggut. Jika dikerah para pendengar itu, saat itu juga mereka turun ke medan jihad fisabilah. Maka bersahutan takbir yang dikemudikan oleh seorang juru tempik yang berada di hadapan penceramah, yang menempik takbir....!

Tokoh yang bercakap dan bersyarah bersembur air liur tadi pun dipuji dan diusung dan dinobatkan sebagap muhyiddin (pebela agama). Jika berkesempatan bersalaman, dipeluk dan dicium tokoh itu dan air serban dan jubahnya pun turut diminum untuk jadikan penawar menguatkan jiwa dan mengebalkan kulit tubuh untuk menghadapi pedang kuffar. Sebelum melangkah ke kereta pancuan empat roda akan dihulur sampul yang di dalamnya ada beberapa keping nota RM50 atau RM100.

Itulah warna dan senario yang dapat dilihat bila pemimpin berada di pentas syarahan mereka. Tetapi bila turun ke bawa lain sekali jadinya. Bila berhadapan dengan ujian dan masalah, dengan mehnaj, berbeza jauh dengan ketika berada di pentas. Mereka jadi macam anak ayam kesejukan disimbah hujan. Jiwa kental mereka untuk menegakkan Islam, menentang kemungkaran ghuyup dan lunyai.

Usahkan berdepan dengan Yahudi, tetapi bila berdepan dengan rakan politik yang yang bukan sesama Islam pun sudah cukup melemahkan mereka. Nada cakapnya tiba-tiba jadi berubah, dari suara rimau sebelum ini kepada suara burung hantu bisu.. Mereka bukan pun mengeluarkan senjata tetapi cukup setakat meninggikan suara saja, akan diakur dan dituruti atas alasan kemanusiaan. Iya kemanusiaan politik gilakan kuasa.

Topik perbicaraan pun bertukar daripada menceritakan soal-soal agama kepada soal-soal dunia semasa, soal perpaduan membina masa depan negara dan sebagainya. Soal untuk angkat pedang sudah tidak ada lagi. Apa lagi bila sesekali rakan Islam menjadi tiong meniru-niru membaca ayat Quran ataupun berkokok memberi salam dan berhipokrit dengan selendang di kepala dirai dengan menyembelih tujuh ekor unta dari padang pasir.

Inilah hakikat yang berlaku? Hakikat yang perlu disedari dan difahami oleh semua orang Islam dan Melayu. Bukan baru, fenomena ini dah lama dah. Apakah tokoh-tokoh seperti ini yang boleh diharapkan untuk membela Islam? Menjadi muhyiddin? Apakah dalam keadaan iman lemah dan senang digemulaikan itu yang boleh mereka perlakukan? Dan apakah tidak berdosa bagi mereka yang memberi undi untuk menaikan mereka?

Bukankah memberi undi itu memberi kuasa? Dengan kuasa itu sebagai wali untuk mereka melaksanakan apa yang dipersetujui? Dalam konteks ini ialah melaksanakan perintah Allah s.w.t. dan melaksanakan sunnah Rasulullah s.a.w. Jadi kalau mereka gagal melaksana itu apakah hukum dan tindakan yang harus dilakukan? Bukankah Allah mengecam mereka yang melakukan persubahatan?

Ringkas ceritanya, analogi ini untuk melihat apa yang berlaku di Selangor sekarang ini mengenai larangan penjualan arak secara terbuka di negeri berkenaan. Bukan maksud saya ingin menyatakan larangan atau tindakan itu kurang bijak, tetapi dilihat dari konteks orang yang memimpin hari ini ialah bangsa Islam. Pemimpin ini diberikan harapan dan kepercayaan untuk mendaulatkan Islam kerana dia Islam tindakan dan keputusan itu adalah satu yang sangat kontras dan menyakitkan jiwa.

Bagi orang Islam mereka memberi kuasa untuk pemimpin bukan saja menegakkan keadilan, tetapi kebenaran juga. Keadilan satu hal kebenaran satu hal. Dalam beragama, ia bukan sahaja mesti adil, tetapi wajib benar, haq. Keadilan tanpa kebenaran adalah batal. Kebenaran tanpa keadilan adalah zalim. Islam itu bukan zalim dan hampa. Islam itu padat dan realitas.

Menjual arak untuk keperluan bukan Islam, adalah keadilan sosial sebagai memenuhi budaya mereka. Tetapi tidak melarang dan membiarkannya atas kehendak penjual dan pembelian bukan yang haq, dan itu satu kesalahan dan dibenci dan dilaknat Allah. Salah bila perbuatan bertentangan dengan hukum Tuhan. Haq di dalam Islam ialah menegakkan kebenaran dalam keadaan apa sekalipun bukannya memberi keadilan sehingga dibenci Allah.

Mencegah ianya dijual samalah cegahan atau larangan Tuhan menghampiri zina (maksiat). Kerana maksiat itu membawa kecelakaan maka undang-undang (pencegahan) telah ditekankan. Begitulah dengan arak walaupun dijual bukan untuk Islam tetapi membiarkannya atas nama keadilan itu ia mendedahkan kecelakaan kepada orang Islam.

Sikap memberi kuasa kepada penjual itu telah memberi kesempatan kepada peminumnya. Apa yang patut difikirkan bila benda itu sudah tersedia (dijual bebas) ia mengundang pembeli yang tidak sepatutnya membeli. Fitrah manusia macam fitrah kucing dengan ikan tawar yang pantang melihatnya. Filsafat kucing jika ia tidak membaham ikan tawar itu maka ia sudah tidak menjadi kucing lagi.

Jika kucing memakan ikan tawar yang terdedah itu bukan salah si kucing tetapi tuan yang tidak melindungi ikan tawar itu. Jadi di sini salahnya mereka yang berkuasa dan diberikan kuasa untuk melindunginya tetapi sengaja tidak mahu melindungi rakyatnya. Kerajaan seperti ini samalah orang yang sengaja mendedahkan ikan tawar kepada si kucing itu.

Tindakan penguasa yang menyerahkan kepada penjual dan pembeli membuat keputusan mengenai minum keras itu adalah tindakan paling lemah sekali dan tidak menujukkan kesungguhan dalam membenteraskan maksiat dan kegiatan haram. Dari segi keimanan, imannya sangat lemah dan naif. Tiada kekuatan adden dalam dirinya. Jiwa agamanya sudah longlai.

Iya kita sering berbalik kata, inikan negara majmuk? Iya.. ini negara majmuk tetapi apakah kemajmukan ini menyebabkan kita harus bertolakansur tetapi tidak dipihak lain? Apakah kerana kita digembar gemburkan berkuasa dan menjadi tuan maka kita syok atas dendangan itu dan perlu bertolak ansur. Kita sudah berlebih-lebih dalam soal ini. Satu hakikat yang perlu diingati bahawa tidak semua majoriti itu berada dalam keadaan selesa. Majoriti bukannya segala-galanya. Majoriti bukan tanda kehebatan dan kemenangan!

Umat Islam yang memberi undi dan kuasa kepada pemimpin demikian tentu rasa kesal dan bersalah. Wajar mereka merasakan begitu kerana hasil kelonggran itu ia memberi kesan dan saham dosa buat mereka. Seorang yang merindui keimanan yang jernih tidak akan relah mendedahkan diri mereka terendam dalam lopak subahat yang kekeruhan.

Dari sudut lain, kegagalan menangan isu-isu bersabit dengan soal keimanan dan akidah (seperti arak, judi dsbnya) umat Islam dalam sesebuah negeri yang ada raja, dimana raja pula berkuasa dalam bidang agama menunjukkan kuasa sudah tidak memberi apa-apa erti lagi. Kuasa itu hanya berkuasa ats kertas saja. Maka eloklah kalau kuasa-kuasa mutlak turun temurun itu difikirkan untuk dicabut. Sebab kalau ia ada tetapi tidak digunakan tak ubah seperti keris pusaka yang tersarung tergantung di dinding rumah.

Jika ia sudah tidak berguna dan digunakan ia meyerabutkan mata memandang saja. Sebenarnya dalam hal ini kita tidak merasa kesal dengan kekuatan dan usaha musuh berbagai itu kerana kita sendiri tidak melindungi diri dan agama dengan kuasa yang terbekal kepada kita! [wm.kl. 7:45 am 09/08/09]

Thursday, July 30, 2009

Susupan Petang

Himpunan ISA: GMI & Magaran Selamat Bergasak

HARI Sabu ini, 1 Ogos akan berlangsung dua himpunan oleh dua kumpulan yang bertentangan antara satu sama lain secara serentak. Kedua perhimpunan itu mengenai akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Mereka akan berhimpun dan berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum. Apakah acara itu boleh disifatkan sebagai pembukaan kepada acara sambutan bulan kemerdekaan 31 Ogos?

Satu kumpulan ingin menyerahkan memorandum meminta akta itu dihapuskan. Manakala kumpulan satu lagi ingin menyerahkan memorandum mendesak agar akta itu dipertahankan.

Kumpulan yang mahu ISA dihapuskan menamakan diri mereka, Gerakan Mansuhkan Isa (GMI). Sementara kumpulan yang mahu akta itu dipertahakan menamakan diri mereka sebagai Gabungan NGO Pembela Kerajaan (Magaran). Usia GMI ternyata lebih lama berbanding dengan Magaran yang diwujud sejak beberapa bulan ini saja.

Kedua-dua kumpulan ini ada rasionalnya sendiri kenapa mereka berhimpun dan membuat desakan itu. GMI menyifatkan akta berkenaan zalim dan menghalang hak asasi manusia dan ketinggalan zaman. Ia juga disifatkan sebagai akta yang wajar dikenakan ke atas haiwan dan diamalkan di hutan belantara. Sementara dipihak Magaran pula merasakan akta itu perlu dipertahankan untuk mengawal dan menjamin keselamatan negara.

Jika diamat-amati, alasan kedua-duanya itu logik dan munasabah. Keduanya masuk akal. Kalau ISA zalim ia tidak wajar diteruskan lagi kerana bertentangan dengan fitrah manusia itu sendiri dan menganiaya manusia. Akta itu juga bercanggah dengan piagam hak asasi manusia.

Begitu juga, kalau akta itu untuk mengawal keselamatan negara dan bangsa ia juga penting. Kerana keselamatan adalah tuntutan dalam kehidupan dan satu keperluan bagi sesebuah negara. Tidak ada gunakan kebebasan dan kemajuan kalau hak-hak diri sendiri tergadai dan bangsa tidak mendapat manfaat yang sepatutnya.

Ada juga pihak berpendapat dengan mengambil jalan tengah dimana akta itu tidak perlu dimansuhkan sebaliknya perlu diperbaiki dan diperkemaskan mana-mana sudut. Misalnya mengenai tempoh tahanan dan kaedah penyiasatan. Atau mereka yang ditahan hendaklah bawah ke mahkamah untuk dibicarakan. Pihak ini tetap beranggapan akta itu masih diperlukan untuk keselamatan negara. Hatta kerajaan bertukar suatu hari nanti mungkin kerajaan baru itu juga akan menggubalkan undang-undang yang persisnya untuk tujuan keselamatan.

Hujah golongan ketiga ini kita faham. Akta itu akan bertindak menjadi senjata lama (senjata akhir) di zaman moden, di mana ia akan berguna bagi menghadapi ancaman-ancaman berbentuk ‘klasik’ alias licik yang tidak boleh dileraikan dengan akta moden yang sedia hari ini seperti akat hasutan, OSA dan sebagainya. Tidak dinafikan ada pesalah terlepas disebabkan kekurangan bukti. Biasanya dalam kes-kes seumpama inilah ISA digunakan.

Disebabkan kedua-dua pihak ada alasan tersendiri di manakah untuk orang ramai berada dalam perhimpunan itu nanti? Apakah mereka perlu menyertai GMI yang agak ekstrem dalam hal ini ataupun Magaran juga kelihatan begitu taksub terhadap sokongan mereka kepada kerajaan dengan mempertahankan akta berkenaan?

Kedua pihak nampaknya akan meneruskan juga rancangan mereka meskipun pihak polis tidak mengeluarkan permit dan melarang perhimpunan haram itu. Kedua pihak sudah menyatakan agenda itu akan diteruskan. Larangan pihak polis itu tidak memberi bekas malahan ia menjadikan himpunan itu makin menarik perhatian bagi mengudang penyertaan.

Di pihak Magaran menganggarkan mereka akan mengumpulkan 70,000. Manakala dipihak GMI pula meletakkan sasaran seramai 50,000. Tertakdir angka yang disasaran itu tercapai ini bermakna Sabtu ini akan menyaksikan perhimpunan raksasa terbesar yang ibu kota dengan jumlah seramai 120 ribu. Angka ini boleh menyebabkan seluruh ibu kota jam dan sesak.

Namun saya tidak yakin himpunan esok akan dapat mengumpulkan khayalak sebanyak itu. Walaupun soal ISA itu penting namun orang ramai tidak merasakan mereka perlu berada dalam himpunan itu, baik yang menyokong atau menolaknya. Kalau sekadar hendak menyerahkan memorandum ia boleh dilakukan oleh kedua pemimpin NGO itu dengan menaiki teksi secara bersama untuk ke Istana Negara. Mungkin juga tambang boleh dikongsi bersama!

Pun begitu sudah pasti jumlah dipihak GMI akan berkali ganda dengan jumlah dipihak Magaran. Kebiasaan program yang didalangi oleh pihak pembangkang dan bersikap anti kerajaan mudah mendapat sambutan dan sokongan.

Apa pun tafsir berhubung himpunan itu semua pihak kena hormat kepada usaha dua kumpulan itu. Baik di pihak GMI maupun Magaran jangan dihalang himpunan mereka. Asasnya mereka bertindak atas keyakinan sendiri untuk kebaikan sejagat. Kedua-duanya yakin dengan apa yang mereka perjuangkan. Cuma dalam hal ini saya sedikit musykil dan menimbulkan kebimbangan kalau dua kumpulan itu menjadi alat kepada parti politik.

Nampaknya GMI lebih cenderong diperalatkan oleh Pakatan Rakyat manakala Magaran pula oleh pihak kerajaan. Hakikat ini menyebabkan perhimpunan esok boleh jadi simbol perhimpunan antara dua puak politik terbesar negara ini Pakatan dan UBN. Apapun himpunan yang didokong parti politik tidak mudah menemui jalan penyelesai secara baik.

Saya tidak mahu membayangkan perhimpunan itu dicemari unsur-unsur kotor. Tetapi sekiranya begitu hakikat perhimpunan itu, perhimpunan itu nanti bolehlah dijadikan indikator untuk melihat puak mana akan menang. Sekiranya jumlah sokongan menjadi ukuran, bermakna kumpulan yang ramai penyokong bolehlah diisytharkan pemenang.

Saya percaya dalam tempoh 48 jam ini kedua pihak sedang melakukan psywar untuk memenangi himpunan berkenaan. Usaha dan kerahan kepada orang ramai dilakukan berterusan. Mungkin dipihak yang mempunyai wang akan mula memberi wang minyak untuk ke perhimpunan berkenaan.

Didoakan semoga kedua himpunan itu akan berjaya! Biarlah kedua-duanya sempat menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertua Agong. Sesudah itu nanti Yang di-Pertua Agong akan membuat keputusan memorandum siapa yang boleh diterima pakai untuk kebaikan agama, bangsa dan negara!

Selamat bergasak GMI dan Magaran! [wm.kl. 7:15 pm 30/07/09]