Friday, September 18, 2009

Memulang Maklumat

Benarkah Wakil Rakyat Kelantan Tidak Ada Wang?

SEMASA hendak melelapan mata pagi tadi telinga saya terus terngia-ngia dengan rungutan dan rintihan seorang wakil rakyat Kelantan mengenai masalah dirinya dan diri rakan-rakannya (YB) yang lain yang ketiadaan wang. Katanya dia bimbang mengenai masa depan Pas Kelantan kerana wakil rakyat tidak dapat melayan rakyat dengan sempurna disebabkan ketidakcukupan wang.

Misalnya waktu raya ini, rakyat menjadi makin gila untuk mendapat layanan daripada wakil rakyat. Mereka datang menemui wakil rakyat tidak kira pagi, tengah hari, petang dan malam. Malah katanya waktu bersahur pun ada yang mengirimkan SMS bertanyakan bantuan. Yang datang berjumpa itu pula semua membawa masalah dan cerita. Ceritanya ialah mahu bantuan kewangan.

Alasan atau 'proposal'nya macam-macam, nak beli baju raya anak, nak beli pulut buat ketupat dan macam-macam. Pendekanya wakil rakyat tak ubah seperti bank – tempat mengaduh rakyat susah. Cerita ini menurut wakil rakyat itu sudah lama dan menjadi budaya, dan inilah nasib wakil rakyat di Kelantan.

Rungutan itu menggigit-gigit lubang telinga saya. Saya jadi antara percaya dengan tidak dengan cerita itu. Betulkah wakil rakyat Kelantan tidak ada duit? Teruk sangat ke mereka? Dan begitu sekalikah mereka melayani kerenah rakyat?

“Cuba anta bayangkan, elaun saraan wakil rakyat hanya RM3,600. Lebih murah daripada gaji seorang cikgu lepasan ijazah! Apa yang boleh dibuat dengan wang sebanyak itu. Wang itulah nak bantu rakyat dan nak tampung keperluan keluarga. Memang tidak cukup.”

“Bayangkan kalau ada kematian, wakil rakyat kena pergi, ada sakit kena pergi, ada kenduri kendara pergi. Ada anak yatim, ibu tunggal kena pergi. Pergi bukan tangan saja, paling tidak kena hulur RM10 atau RM50. Kalau sehari 10 tempat, sebulan berapa? Paling tidak dalam sebulan kena siapkan RM1,500 sebulan untuk wang entertaimant itu saja,” jelasnya menerusi telefon.

Lainlah kalau Exco... mereka ada elaun tambahan. Seorang Exco elaunnya mencecah ke angka RM10,000..,” huraian wakil rakyat itu terus terniga-ngia dalam lubang telinga.

Katanya lagi mereka (Exco) juga ada peruntukan tersendiri yang boleh diberikan kepada rakyat. Sebab itulah kawasan yang wakil rakyatnya menjadi Exco kawasannya agak ‘belengah’ sikit. Banyak projek kecil-kecil dilaksanakan, berbeza dengan wakil rakyat biasa, kohor dok mamah gosi saja” tuturnya lagi penuh kekecewaan.

Saya tidak tahu kenapa dia meluahkan itu kepada saya. Apakah sekadar sengaja nak lepas angin yang menyebak di dalam dada atau untuk diangkat ke atas, biar rakyat mengetahuinya. Tetapi kenapa kepada saya? Mungkin untuk diblogkan! (Nah saya blogkan kini).

Sekali dengar sukar untuk dipercayai kebenaran rungutan itu. Bagi orang Umno lagilah mereka tidak percaya. Mereka akan kata aduan itu sebagai auta sahaja. Alasannya bagi orang Umno memang mudah, masakan sesudah 19 tahun jadi kerajaan wakil rakyat Pas masih dibelenggu dengan masalah kewangan? Apakah mereka tidak tahu hendak mencari duit dalam kerajaan Pas Kelantan? Bukankah kerajaan adal sumber kewangan maksudnya bila jadi kerajaan banyaklah lubang belakang tempat mencari duit?

Mungkin orang Umno akan berhujah kalau tidak ada wang masakan ada yang mampu berkahwin sampai lebih pada dua? Biasanya mereka yang berkahwin adalah orang yang mempunyai kemampuan zahir dan batin. Bukan itu saja, kawasan balak kan banyak? Masakan mereka tidak merasai itu semua? Tanah yang diluluskan kepada syarikat untuk dibangunkan juga banyak. Masakan syarikat itu tidak hulur sesen dua? Begitulah fikir orang Umno.

Andaian itu dibuat mungkin berdasarkan kepada pengalaman. Kalau wakil rakyat Umno mungkin ia, mereka pandai dalam mencari wang dan menangguk di mana-mana pergentingan yang ada. Disebabkan terlalu pandai itulah akhir menyebabkan wakil rakyat Umno hilang intergriti.

“Apakah wakil rakyat tidak ada sumber kewangan lain ke? Tidak ada projek?” saya menyoal wakil rakyat berkenaan untuk menjelaskan tanggapan-tanggapan negatif seperti mana dilakukan orang Umno kepada mereka selama ini.

“Ada bukan tidak ada, tetapi bukan semua wakil rakyat ada sumber keewangan lain. Wakil rakyat tertentu saja yang mendapat kemudahan itu. Yang menjadi kroni kayalah, tetapi yang tidak termasuk dalam kroni seperti ana, kering gosi jawabnya,” balasnya.

Dengan penjelasan itu fahamlah saya. Bahawa wakil rakyat yang terjempit dengan masalah kewangan ini yang tidak tahu meletakkan diri mereka dalam kelompok tertentu. Yang tidak sanggup menjadi pandir kepada pihak tertentu. Yang suka melawan orang besar ataupun tidak tahu membuat mukanya tebal untuk mengemis belas ehsan MB untuk dapatkan kawasan balak.
“Siapa dia kroni itu?” saya memancingnya tetapi dia tidak mahu menjawab, sebaliknya menjelaskan; “semua wakil rakyat yang dikelaskan sebagai kroni kaya raya. Semua mereka dapat kawasan balak atau dilantik menjadi ahli lembaga pengarah syarikat itu dan syarikat ini. Dengan cara itu mereka dibayar wang imbuhan atau elaun,"

Selepas mendengar luahan itu barulah saya faham kenapa wakil rakyat itu menceritakan hal itu. Bukan maksudnya hendak memburukkan sesama sendiri tetapi kerana dia bimbang dengan masa depan Pas Kelantan. Baginya kalau wakil rakyat Pas tidak dibekalkan dengan sumber kewangan cukup mereka tidak akan dapat berkhidmat dengan baik kepada rakyat. Natijahnya nanti Pas akan kalah.

Menurut hematnya dia yakin Jika amalan yang berlaku sekarang di mana sebahagian wakil rakyat saja dijaga tetapi yang lain dibiarkan, dia bimbang mana-mana kawasan yang tidak dijaga akan ditolak oleh rakyat menyebabkan Pas akan kalah. Kalau kawasan itu kalah ini membahayakan Pas Kelantan. Ia boleh menyebabkan Pas akan kehilangan negeri pada pilihan raya ke – 13 nanti.

Almaklumlah kata wakil rakyat itu rakyat kini sudah makin cerdik dan tidak mudah boleh dikelirukan dengan janji dan ucapan semata-mata. Rakyat juga sudah tahu meminta dan menangih apa yang dijanjikan kepada mereka.

Kesimpulannya wakil rakyat itu mahukan mereka diberikan sumber kewangan secukupnya. Kawasan balak hendaklah diberikan sama kepada mereka dan tidak terus diberikan kepada kroni saja. Beliau juga mempertikaikan tidak banyak untungnya kawasan balak diberikan kepada kroni kerana mereka tidak menyumbang kepada parti. Masing-masing himpun duit untuk membeli Mercedez dan buat rumah baru saja.

Sehubungan itu juga memahami daripada luahan wakil rakyat itu saraan hidup untuk wakil rakyat hendaklah ditambah sekurang-kurang RM5,000 untuk sebulan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh wakil rakyat yang kurang kreatif mencari wang.

Makanya eloklah kalau MB, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mengambil perhatian mengenai hal ini. Dalam persidangan DUN akan datang bentanglah rang undang-undang pindaan saraan hidup wakil rakyat dan tambahlah eluan mereka beberapa peratus lagi.

Mudah-mudahan kebimbangan yang disuarakan wakil berkenaan tidakakan berlaku. Tetapi jangan lupa sesudah elaun naik kerja juga kena dipertingkatkan lagi dan ukhwah juga perlu dieratkan. [d'kota kl 6:55 pm 18/08/09]

1 comment:

Tok ayah Su said...

salam hormat !

Wakil rakyat pembankang juga perlu sedar bahawa penduduk kampung yang memilih atau mengundi beliau juga menghadapi banyak kesulitan diantaranya disebotaj atau dipulau muhupun disisih daripada pehak yang memegang kuasa dengan kata lain didiskriminasikan daripada untuk mendapat sebarang bentuk bantuan ataupun rakyat itu sendiri akan malu malu alah untuk datang merayu hal kepada wakil rakyat UBN bagi menyokong sesuatu perkara permohonan dan sebagainya daripada kerajaan.

Jadi kemana lagi tempat yang hendak dituju untuk mengadu nasib jika tidak kepada wakil rakyat yang dipilihnya.Dan wakil rakyat pula perlukah menjadikan isu ini sebagai satu alsan untuk "Demand" supaya elaun bulanan dinaikkan? terkecualilah seorang wakil rakyat itu seorang OKU,bagi 'cas keligah' sudah tentu tahu untuk "service' diri bagi mendapat sumber tambahan kerana kata orang "money can make money',jadi fikir fikirkan....!