Monday, June 14, 2010

Kritikan Isnin

Negara Kita Mudah Menganugerah Dan Juga Menyerah

SESIAPA yang gilakan kepada anugerah, pangkat dan penghormatan datanglah ke negara ini. Begitu juga sesiapa yang mahukan sesuatu yang tidak mungkin diperolehi di negara lain datanglah ke negara ini.

Masyarakat negara ini sangat baik hati dan mudah menerima budi dan juga memberi budi kepada sesiapa saja. Kerajaan juga begitu. Apakah sikap ini berlaku kerana demikian pembawaan sikap dan fiil orang Melayu? Mudah memberi dan mudah berterima kasih walaupun atas sesuatu perkara yang remeh saja.

Ia juga mungkin ada kaitan dengan nilai-nilai ketimuran yang menjadi amalan masyarakat (khasnya Melayu) negara ini.

Tengok saja apa yang berlaku di sekeliling kita. Boleh dikatakan setiap hari ada-ada saja pihak menganugerahkan pingat, gelaran dan sebagainya kepada seseorang sebagai menandakan ketinggian budi penghormatan kepada sesiapa saja.

Kadang kala kerana terlalu murah itu menjadikan anugerah itu tidak ada nilai atau pun nilainya tidak setimpal dengan pengorbanan yang dilakukan seseorang.

Perhatikan sahaja, bagaimana menjelang hari lahir raja atau sultan, berpuluh orang dinobatkan sebagai penerima anugerah membawa gelaran datuk. Mereka yang dianugerhakan gelaran itu kadang-kadang tidak tahu apakah jasa dan pengorbanannya. Apakah pengorbanan kepada raja atau sultan bukannya kepada negara dan orang ramai? Ada juga yang diberi anugerah semasa dalam perut lagi!

Keadaan ini sehingga menjadikan lambakan datuk. Kalau kita masuk ke pasar dan kebetulan berjumpa dengan seorang bergelar datuk yang menemani isteri mudanya membeli asam, masa menyapanya, "Datuk..." akan berpuluh muka akan berpaling ke arah kita. Semua yang berpaling itu adalah datuk. Ini menunjukkan si datuk ini ada di mana-mana saja.

Anugerah datuk itu adalah anugerah terbesar dan hebat dan menjadikan seseorang berpresij. Anugerah dan gelaran-gelaran lain usahlah peduli lagi. Penganugerahan dan penobatannya berlaku setiap lima minit sekali. Semalam bekas PM, Abdullah Badawi telah mengalungkan selimpang 1 Malaysia kepada tiga orang tokoh di Kepala Batas. Saya lihat betapa hapraknya Abdullah dalam hal ini kerana beliau mengalungkan selimpang 1 Malaysia bukannya selendang Islam Hadhari. Patutlah baru orang gertak dia sudah berundur jadi PM.

Itu 12 orang sukarelawan yang menyertai flotilla kemanusiaan ke Gaza, telah dianugerahkan sebagai Wira Gaza oleh pihak tertentu. Tiap mereka dinobatkan sebagai Wira Gaza di atas pemergian mereka yang tidak kesampaian itu.

Semalam di Perak, kawan saya, Shamsul Akmal Musa Kamal yang ikut sama dalam misi itu dan berada di atas kapal Rachel Corrie disambut sebagai wira Gaza. Satu majlis menyambut kepulangan beliau ke kampug asalnya diadakan. Beliau dipakaikan tengkolok sebagai simbol kewiraannya. Bagi orang Melayu kalau pakai tengkolok itu kira beranilah. (Walhal si kitol, Patih Karmawijaya dan si antogonis lain juga pakai tengkolok). Sebab itu dalam majlis-majlis berunsur Melayu hostnya dikenakan tengkolol walaupun setengahnya perangai lebih teruk dari Yahudi.

Saya bukan dengki dalam hal ini. Anugerahlah dan berilah sejuta gelaran kepada mereka tidak mengapa. Jangan bagi duit sudahlah. Nik Abdul Aziz Nik Mat pun semalam semasa menggulung perbahasan di Muktamar Pas menyarankan supaya kita memanggil orang dengan panggil yang lunak dan baik. Itu Islam suruh.

Tetapi dalam bak memberi anugerah dan menyanjung tinggi kepada sukarelawan itu dikira kurang wajar. Apalah sangat perjuangan 12 orang yang membawa bantuan misi kemanusiaan ke Gaza itu. Apakah ciri-ciri kewiraan mereka yang boleh kita kagum dan bangga-banggakan. Apakah mereka pergi untuk berperang dengan Israel? Pemergian mereka itu adalah perkara biasa yang dilakukan oleh pejuang hak asasi dan NGO kemanusiaan di mana-mana saja.

Kejadian penawanan kapal Mirmara dan Rachel Corrie yang mereka naiki itu kebetulan saja. Mereka tidak pun fikir yang mereka akan dikepong dan ditawan oleh komando Isreal laknatullah itu. Mereka ditahan kerana dianggap mencerohi perairan Israel. Itu saja. Mereka pergi sebagai sukarelawan yang tidak sesiapa menyuruhnya. Saya yakin kalau mereka tahu yang mereka akan dikepong dan nyawa terancam mereka tidak akan pergi! Semasa pemergian mereka dulu tidak dihantar sebagai wira perang oleh rakyat negara ini pun.

Sudahlah begitu, flotilla kemanusiaan yang mereka hendak sampaikan tidak kesampaian pun. Rakyat Gaza tidak pun menerima sebutir beras dan sebiji penadol yang mereka layarkan. Entah ke mana peralatan, makanan, perubatan dan sebagai yang mereka bawa itu. Jadi adalah anih kalau mereka dinobat dan diarak, diusung bagaikan si bocah nak disunatkan sebagai wira Gaza hanya kerana mereka disekat oleh Israel.

Kerana itu penobatan mereka sebagai wira Gaza, memakai tengkolok dan entah apa-apa itu sudah berlebih-lebihan dan tidak sepatutnya. Kita merainkan sesuatu yang tidak menepati keadaanya. Justeru ia lebih kepada gimik saja. Televisyen pula sama siap buat telecast dan kepulangan mereka disambut bekas Perdan Menteri (yang suka mencari publisiti) dan juga Timbalan Perdana Menteri. Tidak cukup itu mereka dipanggil menjadi panel di tv dan radio.

Jika dibandingkan dengan kepulangan para pendaki gunung Everest dulu, jauh para pendaki itu lebih tepat untuk digelarkan sebagai wira. Mereka berjaya mendaki gunung sambil mencatat sejarah buat negara ini. Tetapi kepulangan mereka tidaklah disambut demikian rupa dan mereka tidak pun digelar sebagai raja gunung dan sebagainya. Walhal usaha mereka meletakkan negara di peta dunia itu juga satu usaha mencabar maut. Sayangnya rakyat dan kerajaan tidak begitu nampak akan kelebihan dilakukan pendaki ini berbanding misi kemanusiaan itu.

Makanya saya melihat ada muslihat politik disebalik raian berlebihan kepulangan sukarelwan yang tewas itu. Ada semacam usaha Umno hendak menunjukkan yang mereka bersimpati dengan Palestin. Benarkah begitu? Ia boleh dipersoalkan. Kalau benar Umno bersimpati dengan nasib Palestin mereka harus melakukan tindakan ke atas Israel termasuk menggunakan kuasa menerusi kerajaan bagi menindasnya bukan sekadar turut merayakan sukarelwan yang gagal menyampai misi bantuan itu. Tindakan utama dan pertama sekali ialah membatal kontrak bernilai RM77 juta dengan Apco syarikat yang ada kepentingan Zionis itu dan membekukan segala misi dagangan dengan Israel.

Iya saya benar confius apa yang dilakukan itu sama ada menepati keadaan atau pun sebaliknya. Betapa tidak sukarelwan itu pergi bersendirian, gagal menyampaikan bantuan tetapi kita menerimanya sebagai wira pula. Kalaulah begitu setiap apa saja misi yang gagal dilakukan rakyat negara ini boleh dianggap wira.

Membandingkan tugas sukarelwan itu dengan beberapa orang rakyat Malaysia yang ikut berperang melawan Amerika sebagai Mujhidin di Afghanistan satu masa lalu rasanya mereka lebih wajar dianggap sebagai wira bangsa kerana setengah mereka ada yang terbunuh kerana mempertahankan Islam di Afghanistan dari ganyangan Amerika dan Zionis. Malang sebaliknya mereka yang ke Afghan itu bila balik dikurung di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Makanya duhai rakyat Malaysia nilailah sesuatu apa yang hendak kamu lakukan jangan meletakkan raja plastik atas singgahsana dan berbuat sesuatu yang hakiki dan bukannya yang munafik! [wm.kl. 12:00 t/hari 14/06/10]

Sunday, June 13, 2010

Ulasan Berita

Projek Politik Katak Dan Melayu Bangkit Dua Kerja Sia-sia

[kemaskini] ADA dua peristiwa yang menjadi berita hari ini yang pada saya sia-sia saja. Berita pertama mengenai dakwaan PKR tiga orang Adun Umno akan menyertai parti berkenaan di Perak. Menurut orang yang membuat kenyataan seperti mana dipetik, ketiga-tiga Adun berkenaan akan mengumumkan tindakan mereka itu bila sampai masa sesuai berbuat demikian.

Kata jurucakap mengenai perkara itu, Adun berkenaan telah berjumpa dengan pihak PKR. Mungkin membincangkan proses kemasukan itu? Bersama tindakan itu juga 12 ketua bahagian Umno di Perak dikatakan akan mengambil tindakan sama. Alasannya kerana mereka tidak senang dengan Menteri Besar, Zambry Abdul Kadir.

Apa yang dinamakan Gerakan Anti Zambry (GAZ) juga dilancarkan. Saya rasa GAZ ini adalah ilham dari Gerakan Anti Samy Vellu (GAS).

Saya tidak fikir apa yang didakwa itu benar melainkan ianya satu gimik politik murahan saja. Dakwaaan itu adalah strategi orang tidak ada kerja atau kekeringan modal untuk membinasakan kerajaan UBN Perak.

Mungkin selepas usaha menerusi mahkamah dan gangguan di Dun Perak beberapa kali gagal maka PKR - Pakatan Rakyat mencari helah dan gimik demikian.

Rasanya dari bermain dengan gimik begitu lebih baik PKR menumpukan usahanya untuk menambah ahli serta mengatur strategi bagaimana untuk merampas Perak dalam pilihan raya umum akan datang. Daripada membuat gimik elok kalau PKR mencari kaedah bagaimana untuk menambahkan undi Melayu di Perak. Ataupun kerja mendaftar pemilih baru dirasakan lebih afda dari membuat gimik begitu.

Ada bahayanya juga gimik berkenaan. Kalau ia tidak menjadi menyebabkan orang ramai tidak akan memperacayai lagi kepada dakwaan atau kenyataan-kenyataan dari PKR. Ia menjadikan orang ramai akan serit dengan apa diperkatakan. Sepatutnya kegagalan menumbangkan kerajaan dengan projek 16 September dijadikan iktibar. Usahlah terus memperbodohkan rakyat dengan angan-angan mat jenin.

Dalam sifir politik saya, tidak ada sebab untuk tiga Adun BN hendak menyertai PKR. Tidak ada apa-apa kelebihan kepada PKR Perak waktu ini. Kalaulah atas alasan mereka tidak akan dipilih semula menjadi calon dalam pilihan raya akan datang, alasan itu dangkal dan meletakkan betapa rendahnya perjuangan dan politik tiga Adun berkenaan. Tindakan itu juga merendah-rendahkan martabat mereka.

Dengan Umno menguasai kerajaan di Perak hari ini mereka akan mendapat apa saja imbuhan yang mereka inginkan. Pengalaman yang menimpa dua Adun PKR, seorang Adun DAP dan Umno yang masuk PKR beberapa hari kemudian keluar semula cukup untuk memberi pengajaran terhadap apa yang didakwa itu. Rasanya orang ramai juga tahu tidak semudah itu Adun Umno untuk meninggalkan parti mereka.

Berita kedua yang saya rasa tidak ada manfaat ialah mengenai perhimpunan apa dinamakan Gertak - Melayu Bangkit yang akan diadakan di Terengganu 14 Jun ini. Untuk apakah himpunan berkenaan? Apabila ia menamakan himpunan Melayu bangkit ini bermakna Melayu sudah lama tidur dan lemah?

Apa yang hendak dibangktikan? Apakah himpunan yang dipelopori 20 NGO itu hendak menggerak perjuangan Melayu yang dirasakan lemah dan kurang bermaya hari ini. Begitukah? Kalau itulah tujuannya ia tidak akan membawa apa-apa erti. Himpunan itu sia-sia saja dan tidak kurang juga penaka gimik saja. Kalau ia bertujuan memberi isyarat kepada mana-mana pihak isyarat itu tidak akan kesampaian.

Saya yakin himpunan itu untuk kepentingan parti Umno. Bukankah perjuangan Melayu digerakkan oleh Umno? Kalau Melayu lemah dan tidur sebelum ini, salahnya Umno sendiri. Dengan senario itu bagaimana untuk himpunan itu dapat membantu Umno kerana Umno sendiri yang mendodoikan orang Melayu supaya tidur dan lena dalam lagu dan irama retoriknya?

Inilah saya katakan ianya sia-sia saja. Sebaliknya himpunan itu akan memberi keburukan kepada Umno. Himpunan itu yang pada mulanya hendak diadakan pada 13 Mei dilihat sebagai untuk meniup semangat orang Melayu. Anihnya perjuangan Umno sudah nipis waja Melayunya tiba-tiba ada pihak yang ingin membangkitkan semangat Melayu. Pelik.

Saya tidak tahu apakah penganjur Melayu Bangkit itu pihak yang menentang semangat 1 Malaysia, ataupun mereka tidak faham maksud Najib di sebalik slogan berkenaan. Jangan hendaknya tindakan Gertak itu sebagai sokong membawa rebah kepada Umno. Dan ingatlah perjuangan atau apa-apa himpunan yang bersifat perkauman sudah tidak menjadi penting lagi dalam saat orang Melayu Pas, Umno dan PKR tergilakan kepada kuasa untuk jadi pemerintah. [wm.kl. 8:00 pm 13/06/10]

Muktamar Pas Ke 56 Akhir.

Muktamar Pas 56 Melabuh Tirai Dengan Mengazamkan Kemenangan

TEPAT jam 3:44 minit petang baru sekejap tadi tirai muktamar Pas ke 56 telah dilabuhkan setelah berlangusng selama tiga hari bermula Jumaat lalu. Pengakhiran muktamar itu ditutup dengan ucapan penggulungan dan ucapan penangguhan oleh Presiden, Abdul Hadi Awang. Sebelum Abdul Hadi berucap beberapa pimpinan turut berucap menggulung dan menjawab segala perkara dibangkitkan oleh para perwakilan yang timbul di sepanjangan muktamar itu.

Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa dalam ucapan penangguhannya mengkhabarkan yang Pas kini makin mendapat perhatian bukan saja oleh masayarakat Malaysia tetapi masyarakat Islam di seluruh dunia terutamanya dari gerakan dan pertubuhan di negara-negara Islam yang sedang menghadapi penindasan.

Katanya Pas kini menjadi harapan sesetengah gerakan Islam agar menjadi penyelesai kepada masalah dialami umat Islam di tempat-tempa tertentu. Perkembangan ini menunjukkan dengan gerak kerja dan perjuangan Pas selama ini diyakini oleh dunia dan realiti ini sungguh menggembirakan.

Malam tadi katanya ketika meraikan para tetamu jemputan dari beberapa gerakan Islam sempena mukatamr kali ini, seorang aktivis gerakan Islam dari Iran tidak habis-habis menyatakan kekaguman mereka kepada Pas.

Menurutnya, tetamu itu kagum kerana Pas dapat menjadi sebuah gerakan utama dalam negara yang bermasyarakat majumuk. "Mereka mahu mendapat pengajaran daripada kita bagaimana kita boleh bergerak dan berkembang di negara ini untuk dicuba di negara mereka," katanya.

Dalam pada itu Pas juga menjadi kepecayaan dan harapan oleh beberapa gerakan Islam untuk menjadi penyelesai kepada kemelut yang melanda ummah Islam didunia seperti isu Palestin. Katanya, pemimpin Hammas dan pemimpin Palestin lain terus-terusan meminta komitmen Pas dalam membantu mereka bebas dari cengakaman Zinonis Israel.
'
Dalam hubungan itu ujar Nasharudin Pas akan meningkatkan bantuan kepada rakyat Palestin dari ditekan oleh Zionis Israel. Beliau berharap dalam masa terdekat Pas akan berusaha membawa sebuah kapal bantuan ke Gaza. "Kita diminta oleh Palestin agar membawa kapal bantuan ke Gaza yang di atasnya berkibar Pas," katanya disambut dengan takbir gemuruh oleh para perwakilan.

Nasharudin juga mengulangi cadangannya agar bulan Rejab di jadikan bulan Palestin bagi menandakan iltizam umat Islam dan Pas khasnya untuk membela dan memperjuangkan nasib mereka.

Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat juga turut mencuri peluang memberi ucapan dan amanah penangguhan. Beliau secara berkias menjelaskan mengenai keunikan Islam dengan mengisahkan sejarah bagaimana Rasullulah menggunakan orang kafir untuk melindungi keselamatan dirinya dalam menyebarkan Islam.

Katanya, pendekatan Pas berbaik dengan bukan Islam, (DAP dan mewujudkan Dewan Himpunan Pas) adalah atas maslahat untuk mendapai kemenangan seperti mana yang dilakukan oleh Nabi Muhammad. Dalam hal ini ujarnya Pas akan melakukan apa saja untuk mencapai kemenangan hatta dengan batuan orang bukan Islam.

Menurut Nik Aziz rasa cemburu sesetengah pihak kepada Pas yang berbaik dengan orang bukan Islam ada amalan politik sempit yang ditanam oleh Inggeris ke dalam minda Umno. "Inggeris memang tidak suka kalau politik dicampur dengan agama, pekara ini sudah lama wujud," jelasnya.

Dalam kesempatan itu juga Nik Aziz secara ikhlas menengur beberapa perwakilan yang menggunakan bahasa kasar atau pun menggunakan panggilan jijik terhadap pemimpin Umno. Beliau merujuk kepada sikap seorang perwakilan yang menggunakan istilah, "suami Najib" yang dirujuk kepada isteri Najib, Rosmah Mansor.

Beliau mengingatkan agar penggilan tidak elok itu tidak digunakan sebalik menasihati agar perwakilan (Pas) menggunakan panggilan yang enak dan disukai oleh orang berkenaan. "Kalau kita memanggil seseorang dengan panggilan yang tidak disukainya ia akan menyebabkan rasa marah dan dendam akan berterusan. Perkara ini tidak baik," nasihatnya.

Nik Aziz juga bersetuju dengan cadangan Nasharudin agar bulan Rejab dijadikan bulan Palestin.

Intipati ucapan penggulungan dan penangguhan Abdul Hadi Awang pula adalah menyimpulkan segala perbahasan dan isu-isu dibangitkan di muktamar. Ucapan beliau kali ini dikira bertenaga dan mempunyai roh perjuangan Pas sebenarnya. Iltizam dan ikrar politik demikianlah yang mampun mengusik jiwa perwakilan dan menempati kemahuan ramai. Ia dikira sesuai memandangkan semangat ahli patut digerakkan bagi menghadapi pilihan raya.

Tajuk ucapan penangguhan Abdu Hadi; Ke Putrajaya IsyaAllah sungguh menarik perhatian. Tajuk itu akan dijadikan azimat dan keyakinan kepada ahli Pas untuk memerintah negara ini bersama Pakatan Rakyat.

Iltizam Abdul Hadi dalam hal ini nampak kemas dan serius bila mana beliau mengulas bahawa untuk ke Putrajaya itu bukan mimpi. "Untuk ke Putrajaya ini adalah mimpi soleh, bukannya mimpi syaitan. Apa yang dapat difahamkan daripada apa diungkapkan itu mimpi ke Putrajaya itu adalah kebenaran dan Pas tidak main-main untuk menawan Putrajaya.

Sebelum itu Abdul Hadi menghuraikan bentuk kerjasama Pas dengan bukan Islam berbeza dengan bentuk kerjasama Umno dengan bukan Islam. Menurutnya Umno bekerjasama dengan bulan Islam, adalah kerjasama menggadiakan prinsip, manakala kerjasama Pas dengan bukan Islam adalah kerjasama tahlul siasahi - kerjasama untuk mendapat kemenangan demi Islam.

Diharap segala keputusan, rumusan dan resolusi yang dicapai dalam muktamar itu akan berjaya mencapai natijahnya seperti mana yang didoakan oleh Timbalan Mursyidul Am Pas, Dr Haron Din. [*** 4:00 pm 13/06/0]

Saturday, June 12, 2010

Perbahasan Muktamar

Wakil Negeri Sembilan Tegur Mahfuz Omar

Perbahasan ucapan dasar di muktamar Pas ke 56 di Putik, Kelantan bersambung pagi ini. Wakil Negeri Sembilan, Jamlus Mansur membuka panggung dengan mengutarakan beberapa perkara yang menyentuh isu pokok dalam ucapan dasar Presiden.

Apa yang menarik, Jamlus menarik perhatian meminta para pemimpin Pas tidak ghairah untuk memberi komen yang bersifat kritikan dalaman terhadap parti.

Beliau tanpa bersembunyi mengkritik cara Naib Presiden, Mahfuz Omar yang terlebih mesra media massa di mana pantang melihat tape rekoder wartawan di hulurkan ke mulutnya terus akan bercakap dan mengulas apa saja isu tanpa mengira apakah ianya memberi kesan negatif kepada parti.

Sikap nasi tambah Mahfuz yang meminta supaya kerajaan Kelantan mengugurkan serta merta menantu Nik Aziz Nik Mat, Ariffahmi Ab Rahman yang menjadi CEO Perbadanan Menteri Besat Kelantan (PMBK) diserang hebat oleh seorang bloger satu tindakan yang tidak baik.

Kata Jamlus tidak sepatutnya pemimpin Pas membuat kritikan terbuka demikan kerana ia merupakan masalah dalaman. Beliau lalu memberi nasihat kalau untuk mengkritik biarlah berhikmah dan dibuat dalam keadaan tertutup.

"Apa yang dilakukan Mahfuz Omar yang meminta supaya Ariffahami digugurkan segera dari jawatannya saya rasakan satu cadangan tidka baik," begitulah kira-kira ujarnya.

Beliau lantas membuat anologi dengan mengumpamakan seorang suami yang hendak 'memukul' isteri buatlah didalam bilik, tempat yang tertutup. Katanya masukkan ke dalam bilik, pukullah jangan sesekali dibuat di luar.

Akibat teguran tidak berhikmah menyebabkan pihak musuh akan menangguk situasi itu untuk kepentingan mereka.

Sehubungan itu Jamlus meminta supaya presiden mengawal kelakuan para pemimpin yang celupar dan tidak berhikmah di dalam membuat teguran atau mengkritik parti. "Saya minta presiden mengawal sikit budak-budak ini," katanya.

Kritikan Jamlus itu dikira pedas namun ada kebenarannya. Setengah masalah dalam Pas menjadi bertele-tele dan sukar diselesaikan kerana adanya ulasan dan komen yang sambrono dibuat oleh pemimpin Pas tanpa terlebih dahulu berifkir kesan daripada ulasan dan kenyataan mereka.

Seorang lagi pembahas ialah wakil Melaka. Perkara yang turut disentuh oleh wakil berkenaan berhubung dengan media parti Harakah dan media pro Pas, Siasah. Beliau menyinis Siasah dianggap sebagai media parti yang tidak bermaya dan meminta agar ianya diperbaiki. Beliau mencadangkan supaya Siasah tidak membuat kelainan dan elok mengikuti stail Harakah.

Sementara Pulau Pinang, Rushidi Hussein banyak bercakap bersimbolik mengenai Pulau Pinang. Beliau berbeza dengan tiga wakil sebelum ini yang agak begitu seronok dengan kewujudan Dewan Himpunan Pas wakil Pulau Pinang ini agak berhati-hati.

Rushidi menaruh kebimbangan disebalik sikap terbuka dan liberal Pas itu sehinggakan ia boleh menenggelamkan rupa diri Pas sebenarnya. Beliau memberi dua perumapamaan mengenai keahlian Pas, iaitu ada ahli yang macam simen keras dan simen tidak cukup. Simen keras diibaratkan kepada ahli dan penyokong tegas Pas yang memahami perjuangan Pas dan simen tidak cukup ahli dan penyokong baru yang belum arif dan mendalami perjuangan Pas.

Untuk memastikan simen tidak cukup ini menjadi simen keras beliau menyarankan supaya Pas menggunakan mekanisme pentarbiayah yang merupakan satu pendekatan ampuh Pas dalam mengebalkan keimanan para perjuangnya. [rais kb 10:55 am 12/06/10]

SMS Seorang Kawan

Adun Lompat Parti Kahwin Janda Korporat?

DI celah-celah kesibukan memerhati muktamar Pas ke- 56 dan sambil membawa anak-anak bercuti di negeri Serambi Makkah telefon saya masih sempat lagi menerima satu SMS dari seorang kawan berbangsa Umno dari Kuala Lumpur. Saya tidak tahu kenapa akhir-akhir ini kawan ini kerap mengirimkan SMS yang tidak berapa elok mengenai partinya dan juga individu di dalam parti kebangsaan itu.

Kali ini kawan itu mengirimkan SMS berhubung perkembangan salah seorang Adun PKR Perak yang telah keluar parti dan mengambil sikap bebas di Dun Perak dengan menyokong penuh UBN. Menurut SMS kawan itu, Adun berkenaan kini sudah lumayan hidupnya. Bukan itu saja, katanya dia juga sudah berkawhin baru dengan janda seorang korporat.

"Ini ada cerita menarik hendak saya bagi tahu kepada sdr. Semalam kawan saya terserempak dengan salah seorang Adun PKR yang kini tidak bersama parti itu lagi yang bersama bini barunya. Lokasinya ialah di Bukit Antarabangsa, Hulu Selangor.

"Menurut cerita kawan itu, bini baru Adun berkenaan ialah janda seorang korport. Mereka baru saja berkahwin dan 'berselindung' di Bukit Antarabangsa?"

Benarkah cerita kawan saya ini? Saya percaya ada orang merakam gambar Adun berkenaan dengan isteri barunya itu. Mereka dikatakan kerap melilau di Bukit Antarabangsa terutamanya waktu malam. Lambat laun kalau Adun berkenaan benar berkahwin baru dengan janda, pasti gambarnya akan terakam.

Saya akan cuba menjenguk ke lokasi berkenaan mahukan kepastian. Soal berkahwin tidak menjadi masalah. Sesiapa pun boleh kahwin kalau ada orang yang inginkan kepada kita, kita pula berkemampuan untuk melakukannya. Masalahnya kita tidak mampu dan tidak ada perempuan yang sudikan kita.

Yang saya rasa perlu mencatatkan ialah mengenai perubahan hidup Adun berkenaan yang dikatakan lumayan itu. Apakah ianya ada kaitan dengan dakwaan Anwar Ibrahim yang mendakwa mereka yang keluar parti mendapat bayaran sebanyak RM2 juta? Sekiranya dakwaan itu benar, jadi tidak hairanlah kalau Adun yang lompat keluar tiba-tiba berubah bulu termasuk menambah isteri seorang dua lagi. [rains kb 9:00 am 12/06/10]

Muktamar Pas 56

Awas Dengan Agen Ingin Pecah Belahkan Pas

ADA kecenderongan pihak tertentu termasuk media massa cuba membuat fasal sempena muktramar Pas ke 56 yang sedang berlangsung kini untuk menimbulkan kekalutan dalam Pas dengan mempertikaikan hubungan Presiden Abdul Hadi Awang dengan timbalannya Nasharudin Mat Isa.

Awal-awal lagi ada portal berita yang membuat ulasan dengan memberi gambaran atau menjemput perwakilan menimbulkan isu hubungan antara kedua mereka ini. Misalnya dalam sebuah portal yang ditaja (?), satu ulasan mengenai hubungan Abdul Hadi Awang dan Nasharudin yang renggang.

Dalam pada itu juga, ulasan berkenaan cuba memberi gambaran bahawa kepimpinan mereka berdua tidak serasi, tidak mantap dan membawa perubahan. Gambaran demikian diperkuatkan pula dengan pandangan beberapa pemimpin Pas sendiri yang dipetik walaupun tidak mengiyakan tetapi dalam jawaban dan ulasannya tidak menafikan agenda portal berita berkenaan.

Usaha protal yang ditaja ini tidak berakhir di situ saja. Semasa sidang akhbar oleh Abdul Hadi Awang ada agen-agennya bertanya soal itu. Membuat provokasi mengenai andaian yang mereka sendiri ilhamkan.

Tidak di situ saja, mereka juga akana berkeliaran mencari dan menanyai mana-mana pemimpin Pas berhubung dengan isu yang mereka cipta itu. Mereka mahu ada pemimpin Pas endorse apa yang mereka inginkan. Semua itu adalah merupakan jerat yang terbuka. Saya menjejaki agen ini di beberapa sudut dan memerhati soalan yang mereka lontarkan kepada pemimpin tertentu.

Nasib baiklah pemimpin Pas sudah dapat mengangak perangkap yang dipasang itu. Mereka tidak segera mengulas dan memberi jawaban seperti mana dikehendaki oleh egen berkenaan dan mengelaknya dengan penuh diplomasi.

Saya sendiri yang dilihat memahami masalah dalam Pas turut sama dijejaki dan ditanyai mengenai suasana muktamar kali ini. Apa yang ditanyai oleh agen berkenaan ialah tentang isu yang mereka cipta itu. "Apakah benar kepimpinan Hadi dan Nasha tidak berkesan?" tanya agen berkenaan dalam nada rileks.

Selain itu mereka juga turut menanyai mengenai ucapan dasar Abdul Hadi. Agen berkenaan yang berkerja dengan media cetak mempersoalkan untuk mendapat reaksi saya, katanya kenapa ucapan Abdul Hadi Awang tidak begitu meluas mengenai Dewan Himpunan Penyokong Pas, apakah itu menunjukkan Abdul Hadi tidak menyenangi dengan Dewan berkenaan.

Saya tidak tahu apakah agen berkenaan yang dilihat seorang wartawan preofesional memahami ucapan Abdul Hadi di dalam bahasa Melayu itu ataupun tidak. Apakah beliau membuat home work terhadap isu berkenaan. Bukankah pelancaran Dewan berkenaan yang diadakan di Klang Selangor dilakukan sendiri oleh Abdul Hadi Awang?

Bagi seorang yang celik dan tidak ada niat buruk terhadap Pas, rasanya mereka mengetahui sejauh mana komitmen Abdul Hadi. Bahkan dalam ucapan itu Abdul Hadi ada menekankan soal tanggungjawab dan peranan Pas terhadap semua golongan termasuk bukan Melayu. Bagi Pas mendekati bukan Islam bukan saja atas dasar untuk mendapatkan kuasa politik tetapi usaha itu adalah tanggungjawab dakwahnya sebagai parti Islam.

Usaha untuk memburukkan Abdul Hadi dan Nasharudin juga dilakukan dengan mempersoalkan bahawa gambar Nasharudin tidak digunakan untuk mempromosikan muktamar kali ini. Dengan mudah media berkenaan membuat kesimpilan Nasharudin tidak diterima oleh Kelantan.

Sekali lagi pertanyaan dan ulasan begini untuk memburukkan keadaan sahaja dan menunjukkan media massa gagal berfungsi dengan baik. Media seharusnya mendamaikan keadaan bukan mengeruhkan suasana dengan fitnah.

Mereka yang faham dan arif mengenai apakah tujuan promosi tidak akan membuat tafsiran nakal dan dangkal demikian. Saya tidak percaya kalau Nasharudin seperti mana jawabannya spotannya yang beliau tidak mahu gambarnya diletak di banner dan banting atau disangkut di pagar. Mungkin dalam hatinya beliau mahu. Tetapi dua wajah yang cukup gah dan mesra yang menggambarkan semangat dan menjadi tonggak kepimpinan Pas, iaitu Nik Abdul Aziz dan Abdul Hadi Awang sudah cukup.

Kalau andaian agen itu diterima ketiadaan gambar Nasharudin itu menunjukkan Kelantan tidak menerima beliau, apa halnya dengan gambar pemimpin Pas Kelantan yang lain juga tidak dijadikan promosi untuk muktamar berkenaan. Apakah ketiadaan itu boleh disifatkan sebagai Kelantan tidak menerima pemimpin Kelantan?

Pas harus waspada dengan rancangan dan tindak tanduk agen berbayar ini. Perwakilan hendaknya tidak mudah terikut dengan tarian dan rentak gendang mereka. Kalau perwakilan juga menimbulkan apa yang dibangkitkan itu ini bermakna Pas bercakap berpandunkan lidah agen-agen yang dibayar untuk kepentingan pihak-pihak tertentu itu. [rains kb. 8:00 am 12/06/10]

Friday, June 11, 2010

Cenderamata Muktamar Pas 56

Tamrin Ganti Ibrahim Ali Dalam Pas

KEHILANGAN dan pengkhiantan Ibrahim Ali kepada Pas tidak begitu menyakitkan hati orang Pas. Pas memang sebuah parti bernasib baik. Walaupun tindakan Ibrahim Ali mengencing Pas yang membantunya kembali ke Parlimen dalam pilihan raya umum lalu dengan memberi lambangnya namun itu hanya sebagai rempah ratus politik saja. Ternyata orang Pas marah peringkat awal saja, selepas itu mereka dapat menerima apa yang Ibrahim lalukan.

Anihnya juga perasaan marah atas sikap tidak mengenang budi Ibrahim itu ada yang bertukar menjadi simpati. Iya, kalau Ibrahim waras dan sihat mungkin dia tidak akan melakukan apa-apa kerja yang beliau lakukan dari dulu hingga sekarang. Makanya ada yang berdoa agar Ibrahim diberikan kekuatan oleh Allah dan dipulihkan kesihatannya. Amin.

Bukan orang tidak kenal siapa Ibrahim dalam dunia politik. Dia lebih ligat dan licit daripada bola yang dilarikan oleh para bintang handalan dunia dalam pesta piala dunia yang sedang berlangsung kini.

Bagaimana pun Tuhan mahal adil. Tuhan tidak pernah menzalimi makhluk kejadian-Nya. Dan Tuhan juga akan membalas setiap apa kebaikan yang dilakukan oleh makhluk-Nya. Cuma kadang kala manusia tidak dapat memahami dan sempat menerima budi baik Tuhannya. Manusia adakalanya begitu gopoh dan rakus dalam mentafsir dan menilai sesuatu yang penuh berhikmat dan memerlukan ketajaman akal mentafsirnya.

Misalnya tidak siapa menduga bahawa kehilangan Ibrahim dari persada Pas diganti Allah dengan watak yang sebelum ini tidak terfikir oleh sesiapa yang mereka akan bertandang ke majlis Pas. Tetapi itulah yang berlaku hari ini apabila anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tamrin Ghafar dan Zaid Ibrahim menjadi tetamu istimewa Pas pada muktamar ke 56 ini yang berlangsung hari ini. Kedua mereka adalah tokoh hebat dalam Umno sebelum ini. Bahkan Tamrim pernah menjadi Exco Pergerakan Pemuda Umno dan masih lagi ahli Umno.

Kehadiran Tamrin dan Zaid ternyata mendapat perhatian umum. Keberadaan Zaid mungkin tidak hairan lagi sebab beliau sudah dipecat dari Umno dan kini menyertai PKR. Sebelum itu pun Zaid sudah pun berjinak-jinak dengan Tok Guru dan sudah mula membaca bunga sepatu MB itu dan juga melihat berapa lilitan serban MB itu. Tetapi Tamrim masih ahli Umno.

Kehadiran Tamrin itu menjadi tanda tanya. Apakah kehadiran beliau itu sebagai satu isyarat bahawa beliau sudah tidak yakin dengan Umno lagi? Kerana belum berlaku dalam sejarah pemimpin malahan ahli Umno yang ternama hadir dalam muktamar Pas. Kehadiran seperti itu dilihat songsang dan menyebabkan mereka yang hadir akan dipersoalkan oleh partinya.

Tengku Razaleigh Hamzah pernah hadir dalam majlis Pas. Misalnya dalam majlis penjelasan isu royalti minyak, Tengku Razaleigh berada atas pentas sama dengan pemimpin Pas. Tetapi Tengku Razaleigh tidak pernah menghadiri muktamar Pas semasa beliau masih menjadi ahli Umno. Kehadiran Tengku Razaleigh sebelum ini ialah sesudah beliau tidak menjadi ahli Umno.

Persoalan kini apakah Umno akan mengambil tindakan ke atas anak bekas Timbalan Perdana Menteri itu? Atau pun Umno akan membiarkan begitu saja. Sebelum ini Tamrin juga membuat kejutan apabila beliau muncul di atas pentas PKR pada pilihan raya kecil Hulu Selangor baru-baru ini. Penampilan beliau itu mengejutkan ramai pihak.

Atau apakah Umno membiarkan Tamrin terus dengan gelagaknya itu? Umno akan mengambil sikap tidak peduli di mana dengan itu aksi Tamrim itu akan mati begitu saja? Ataupun Umno akan bermesyuarat dan surat tunjuk sebab akan diambil terhadapnya tidak lama lagi.

Bagaimana pun jika dilihat dari sisi lain, kebebasan dan demokrasi, kedatangan Tamrin itu tidak menjadi kesalahan. Malahan kedatangan beliau itu dilihat sebagai boleh membuka suasana baru dalam dimensi politik orang Melayu. Dengan kehadiran itu membolehkan Tamrin mengenali bagaimana politik Pas dan suasana mereka bermesyuarat, di mana situasi dan kondisinya berbeza dengan apa yang berlaku pada perhimpunan agung Umno.

Tentu kalau Tamrin berkesempatan untuk mengeliling Putik tempat berlangsungnya muktamr itu beliau akan dapat menyaksikan bagaimana humblenya orang Pas. Bagaimana gigih dan sabarnya orang Pas dalam perjuangan. Mereka datang bukan diangkut dengan bas dan diupah duit seratus dua, tetapi mereka datang sendiri, datang dengan dipandu dan ditolak oleh semangat perjuangan Islam.

Mereka cukup simple dan mudah, datang dengan membawa sebidang tikar dan duduk di mana-mana saja untuk mengikut dan memerhati muktamar berkenaan. Mana-mana ada anak kecil dibawa dan digantungkan buai di bawah bayangan pokok dan mereka bersantai di situ. Itulah perjuangan Pas. Walaupun zaman berubah namun sikap, pembawaan dan komitmen mereka tetap sama.

Apakah keserdarhanaan dan jiwa hamba Pas itu menyebabkan Tamrin sudah tertarik dengan Pas?

Saya tidak setuju kalau Umno mengenakan tindakan ke atas Tamrin. Sebaliknya Umno akan penggil Tamrin dan mendapat maklum balas bagaimana cara dan stail Pas bermuktamar. Baik Najib Razak atau Muhyiddin Yassin akan dapat input secara real daripada wakilnya itu. Mudah-mudahan selepas Najib dan Muhyiddin mendengar penjelasan dan takruf dari Tamrin mereka akan insaf dan sedar serta mengetahui bentuk dan rupa perjuangan Pas sebenarnya.

Dan seelokknya pula selepas ini biarlah Umno mengundang pula pemimpin Pas untuk menjadi tetamu pada perhimpunan agungnya. Kalau ini dapat dilakukan dan berlaku, saya merasakan banyak masalah politiking orang Melayu akan dapat diselesaikan.

Bagaimana pun kita perhatinkan apakah nasib yang akan diterima Tamrin kelak. Apakah Umno tidak akan mengenakan apa-apa tindakan ke atasnya atau sebaliknya. Kalau Umno mengenakan tindakan disiplin ke atas Tamrin, jelas Umno jauh lagi untuk muncul menjadi sebuah parti yang demokratik dan terbuka dalam menerima sesuatu pembaharuan. Apapun kemunculan Tamrin di muktamar berkenaan ia tetap memberi kelabaan kepada Pas walaupun mungkin bagi Umno Tamrin adalah melukut di hujung gantang! [kb.12:00 t/malam 12/06/10]

Catatan Muktamar Pas 56

Putik Sudah Kecil...!

[kemaskini] KIRA-KIRA tujuh tahun saya tidak menjejak kaki ke Pusat Terbiyah Islamiah (Putik) Pengkalan Chepa. Tujuh tahun banyak perubahan yang berlaku di sekitar pusat pendidikan yang menjadi kemegahan Pas Kelantan itu. Putik bolehlah dianggap sebagai mercu tanda Pas Kelantan di era Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kalau bangunan Pas di Jalan Dato' Pati menjadi mercu tanda Pas di zaman Allahyarham Ishak Lotfi, Mohd Asri Muda dan lain-lain, tetapi Putik adalah mercu tanda Pas di era kepimpinan ulama di bawah Nik Aziz yang disokong padu oleh golongan profesional.

Sudah lama saya tidak ke Putik terletak di Pengkalan Chepa itu. Ada peristiwa yang 'menyengahkan' kaki dan hati saya untuk lemah atau bermalas-malasan untuk ke Putik. Saya sebagai seorang yang cukup taat, disiplin dan insaf kedudukan dan profesyen saya sedar diri akan tetap mengingati apa yang berlaku di Putik tujuh tahun lalu.

Seorang penulis, pemerhati dan perakam sejarah seperti saya kehidupan dan pandangan terhadap saya tidak statik, ianya berubah-rubah mengikut selesa dan keadaan masa. Hari ini diperlukan esok belum tahu lagi. Begitu juga kalau hari ini tidak disenangi, esok mungkin saya dicari dan ditanyai untuk mengatakan apa yang saya perkatakan benar dan betul.

Kerana peristiwa itulah merenggangkan saya dengan Putik yang indah dan permai itu.

Tetapi hari ini saya menjenguk Putik setelah lama berenggang dengannya untuk mengikut muktamar Pas ke 56. Diam tidak diam sudah 56 tahun usia Pas. Ini bermakna sudah 35 kali saya mengikut muktamar Pas yang seingat saya pertama kalinya saya hadir di Balai Pustaka Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur. Ketika itu usia saya masih dalam belasan tahun.

Walaupun saya dibekalkan pas atas nama Media, Siasah namun saya masih belum berani untuk menjenguk ke dalam dewan Putik. Apa yang pernah menimpa diri saya tujuh lalu masih terkenang dan saya senantiasa mengingatinya. Mungkin agak melampau kalau saya kata saya jadi phobia dengan apa yang berlaku!

Menjelang tengah hari tadi saya hanya sempat singgah di belakang pentas untuk mengikut kenyataan akhbar yang diberikan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang. Sebelum itu saya terkayan-kayan di pintu masuk utama di ruang legar sambil memerhati orang ramai yang berasakan untuk masuk ke dewan.

Ceritanya di sini saya tidak memasuki ke Putik untuk berada di tengah dewan ataupun di bangku media massa. Justeru, gambar-gambar yang saya paparkan di blog ini, bukan hasil tangan saya sendiri. Gambar ini adalah milik jurufoto Siasah, Zamzarina.

Terus terang saya kata, gambar ini tidak begitu memuaskan hati saya kerana ia tidak dapat mencerita apa yang berlaku sebenarnya dalam dewan persidangan. Saya percaya keceriaan dan 'kesumeringahan' di dalam dewan lebih hebat lagi dari apa yang Zamzarina potretkan.

Dalam keadaan terbatas dan kelemahan kemudahan internet di sini saya tidak dapat membuat posting banyak berhubung muktamar itu. Ucapan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang akan saya ulas dikemudian hari di mana saya rasa ada sudut-sudut tertentu yang boleh dikupas dan dianalisa secara jujur dan adil khasnya bagi menilai Abdul Hadi sebagai seorang presiden.

Tetapi kerana demi untuk tidak menghampakan peminat blog ini saya postingkan juga gambar-gambar sekitar muktamar yang tidak seberapa ini. [jln berak 12 kb 4:30 pm 11/06/10]



Abdul Hadi sedang menyampaikan ucapan dasar.

Sebahagian daripada tetamu jemputan kelihatan Tamrin Ghafar.


Beberapa tetamu jemputan dari luar negara.

Satu demostrasi diadakan di perkarangan Putik sebaik selesai upacara perasmian.

Dua tiga orang ibu ikut hadir memerhati perjalanan muktamar walaupun terpaksa mengendung anak kecil.

Ulasan Perisitwa

Tarik Datuk Jangan Lemah Semangat

DUA darjah kebesaran yang dianugerahkan kepada Chua Jui Meng, yang membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri dilaporkan telah ditarik balik oleh pihak yang menguerniakan anugerah berkenaan. Sehingga kini tidak ada siapa yang mengetahui apakah sebab musabab kenapa darjah kebenaran itu ditarik balik,

Chua Jui Meng telah mengesahkan yang beliau telah dimaklumkan mengenai perkara itu. Tetapi beliau tidak sedia memberi apa-apa ualasan mengenai kejadian itu. Mungkin selepas beliau selamat menyerahkan dua darjah kebesaran itu beliau akan membuat ulasannya.

Kejadian itu mungkin agak malang bagi Anggota Pimpinan Tertinggin PKR itu namun ianya perkara biasa. Kejadian penarikan balik darjah kebesaran dan bintang adalah perkara biasa. Sultan atau atau Raja-raja berhak menarik balik apa juga darjah dan bintang yang diberikan.

Antara tokoh dan ahli politik yang pernah ditarik balik darjah kebesaran membawa gelaran Datuk ialah bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Hussein Ahmad (Hussein Serama), bekas Ketua Pemuda MCA, Lim Kim Sai, Senator Rosli Ibrahim, dan lain-lain.

Tidak ada siapa yang boleh membantah penarikan balik anugerah darjah kebesaran itu. Ia juga tidak boleh dibawa ke mahkamah untuk mendapat keadilan kerana ia kuasa mutlak sultan atau raja dalam hal itu.

Walaupun dengan penarikan itu boleh menimbulkan persepsi negatif kepada Chua Jui Meng tetapi ianya tidak akan mematahkan semangat Jui Meng dalam perjuangannya. Walaupun gelaran datuk atau anugerah itu boleh menambah nilai peribadi seseorang tetapi penarikan ballik atau penanggalannya tidak akan mengurangkan semangat perjuangan.

Dalam konteks hari ini ialah pejuangan Chua Jui Meng untuk menegakkan keadilan dan kebenaran mengikut terjemahan parti barunya, PKR. Dan apakah penarikan balik itu kerana Chua Jui Meng tidak berada dalam MCA dan BN lagi? Atau ia bertujuan untuk mengendurkan suara lantang Jui Meng yang kini mahu membawa orang Cina agar mengyokong Pakatan Rakyat?

Pihak yang menganugerahkan dan menarik balik darjah kebensaran itu harus adil dan telus dalam tindakannya. Sultan Johor atau mana-mana pihak eloklah menjelaskan sebab musababnya. Dengan membuat penarikan balik itu tanpa menjelaskan sebab dan alasannya ia menyebabkan akan timbul berbagai spekulasi yang mungkin tidak baik kepada pihak-pihak lain. [putik.10:30 am 11/06/10]

Thursday, June 10, 2010

Muktamar Pas 56

Pas perlu memimpin bukan dipimpin

MULAI Khamis hingga Ahad ini (10 hingga 13 Jun) giliran Parti Islam SeMalaysia (PAS) pula mengadakan kongres ataupun muktamar. Muktamar kali ini berlangsung di Pusat Terbiyah Islamiah (Putik) Pengkalan Chepa. Dua minggu lalu rakan mereka, PKR berjaya mengadakan kongres ke-6 di Kota Bharu Kelantan.

Muktamar kali ini menggunakan tema “Keadilan Islam”. Pemilihan tema ini dikira tepat dan bersesuaian dalam rencana PAS untuk menjadi parti global di masa akan datang.
Seperti muktamar yang lalu muktamar ke 56 ini juga penting. Walaupun ianya tidak melibatkan pertandingan tetapi ia tetap mendapat perhatian dari dalam dan luar negara.

Ada sedikit kelainan dalam muktamar kali ini. Di mana muktamar dewan pemuda dan muslimat yang ghalibnya di rasmikan oleh Timbalan Presiden tetapi kali ini perasmian serentak dewan-dewan akan dilakukan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sesuai dengan muktamar kali ini tidak melibatan pertandingan, sudah pasti ianya akan memberi lebih tumpuan kepada memesyuawarah beberapa isu semasa yang ada sangkut paut dengan hala tuju perjuangannya. Memandangkan pilhan raya umum ke – 13 semakin dekat sudah pastilah muktamar turut memberi fokus kepada persiapaan menghadapi pilihan raya dengan permantapan parti dan juga pengemasan ikatan dalam Pakatan Rakyat.

Yang tidak akan terelak dari disinggung nanti juga ialah mengenai isu kepimpinan dalam PAS. Isu ini akan akan dicuri oleh perwakilan untuk memperkatakan kerana pada tahun depan PAS akan berhadapan dengan pemilihan hierarki kepimpinannya, sedikit sebanyak kempen untuk pertandingan akan datang akan terbawa pada muktamar.

PAS yang kini dibawa pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Presiden dengan Nasharuddin Mat Isa, sebagai timbalannya manakala Datuk Mustapa Ali selaku Setiausaha Agung tentu akan dinilai sejauh manakah kemantapan dan keberkesanan kepimpinan mereka. Tidak dapat tidak kempimpinan mereka berdua yang diidolakan sebagai kepimpinan ulama akan diperkatakan.

Apakah perwakilan akan memberi kredit ataupun akan mengdiskreditkan kepimpinan mereka?
Dari zahir ianya seperti tidak ada masalah yang timbul setakat ini antara kedua mereka serta saf kepimpinan yang termasuk Naib-Naib Presiden dan ketua-ketua Dewan, Ulama, Pemuda dan Muslimat. Walaupun ada gangguan-gangauna kecil yang boleh sifatkan kenakalan semulajadi dalam sesebuah organisasi namun mereka utuh dan dapat melaksanakan tanggungjawab parti dengan baik.

Kemajuan yang dicapai PAS waktu ini, terutamanya mempamerkan kemantapan organisasi, kesetiaan dan komitmen ahli dan penyokong di bawah naungan mereka menjelaskan akan keberkesanan kepimpinan mereka. Kemantapan parti memberi erti kepimpinan mereka di terima dan disokong.

Sesungguhnya ahli PAS boleh berbangga dalam suasana rakan mereka PKR bersabung nyawa berhadapan dengan kerenah ahli yang tidak sabar dan lebih mementingkan diri sehinggakan ada yang berpaling tadah, namun fenomena ini tidak berlaku kepada PAS. Kekukuhan iktikad perjuangan di kalangan ahli PAS khasnya para wakil rakyat adalah berkat kepimpinan dan doa mutabar ulamanya.

Cuma malang sedikit bila mana ada usaha kecil untuk memecilkan mereka dari gelora mainstrem PAS waktu ini. Sifat kurang mesra atau wajah serius Abdul Hadi masih lagi menjadi sebutan. Begitu juga dengan pembawaan Nasharuddin yang dikatakan mirit keelitan, turut disebut-sebut. Sepatutnya roman kemanusiaan ini tidak menjadi perhatian sebaliknya apa yang perlu dilihat ialah keberkesanan dan kemajuan harakah di bawah tangan mereka. Bak seorang imam dalam solat, mungkin cara takbiratulihram dan rukuknya tidak sama atau sempurna, tetapi yang lebih afdal diperhatikan bahawa solatnya masih utuh pada rukun-rukun asasnya.
Begitu juga dengan lujnah yang diwujud di bawah pentadbiran mereka setahun lalu akan turut dinilai dan dikaji. Apakah ianya telah melaksanakan tanggungjawab parti yang disarankan dalam muktamar PAS lalu atau sebaliknya.

Isu-isu lain yang akan dikemukakan nanti tentulah berhubung persekitaran kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui oleh PAS dan peranan PAS dalam komponen itu sendiri. Kerjaaan Pakatan Rakyat Kedah yang diterajui PAS tidak akan terlepas dari disorot dan diulas oleh para muktamir. Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah kini agak gawat ekoran beberapa orang Adun telah menimbulkan masalah di Kedah. Isu itu akan jadi tumpuan para muktamir berkenaan.

Para muktamir akan bangkit mengemukakan cadangan atau memberi idea jalan keluar bagi mengatasi masalah yang berlaku di negeri berkenaan. Mungkin juga ada yang mencadangkan satu mekanisme perlu diambil bagaimana untuk menghalang kejadian keluar atau lompat parti dari berlaku.

Selain itu yang mungkin juga akan diberi pehatian ialah mengenai apa yang berlaku di Kelantan tertuamanya wujud apa disifatkan sebagai ‘musuh dalaman’ yang membuat onar sehingga mengkucar kacirkan pentadbiran kerajaan. Masalah ini perlu diberi perhatian agar Kelantan senantiasa berada dalam keselamatan dan terus menjadi negeri pemancu dan pemimpin kekuatan Pakatan Rakyat.

Perkara-perkara lain yang kemungkinan akan menjadi perhatian perwakilan ialah mengenai penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS. Pembentukan dewan ini satu kemajuan kepada PAS namun ia perlu diperhalusi secara komprehensif oleh para perwakilan. Apakah Dewan ini perlu diberi kuasa memilih seperti ahli lain atau sebaliknya.

Untuk memberi laluan kepada ahli Dewan Himpunan bertanding menggunakan lambang bulan tidak menjadi masalah, tetapi untuk menentukan dasar dan polisi parti mungkin ada masalah. Kalau PAS boleh memberi keizinkan kepada Ibrahim Ali, apa salahnya diberikan kepada ahli Dewan. Rasanya ahli Dewan lebih ikhlas dan jujur daripada Ibrahim Ali.

Isu lain yang tidak boleh dikesampingkan oleh perwakilan dan ini saya rasa cukup penting mengenai keupayaan PAS sebagai sebuah parti alternatif kepada semua parti dan semua bangsa dan kaum di negara ini. Dengan anjakan perubahan dan kemajuan yang dicapai PAS mendadak muasir ini, di mana melangkau batas-batas kebiasaan dan budaya, PAS sebenarnya sudah kuat dan relevan menjadi sebuah parti alternatif bukan saja kepada Melayu tetapi juga kepada bukan Melayu.

Misalnya kewujudan Dewan Himpunan yang mempunyai ahli seramai 20,000 menunjukkan keyakinan masyarakat bukan Islam kepada PAS sebagai sebuah badan siasah di negara ini. PAS patut mengkaji mengambil kesempatan ini untuk meletakkan diri mereka sebagai sebuah parti yang kuat. Apa yang umum nampak penerimaan itu kerana progresif dan rasionalnya perjuangan PAS waktu ini. Penerimaan mereka itu juga menunjukkan mereka percaya dan yakin dengan kepimpinan PAS pada masa ini.

Di sini menunjukkan orang percaya kepada PAS. Keyakinan ini bersendi kepada sikap dan pembawaan PAS yang realistik dalam masyarakat majmuk dan sedia membuat ijtihad politik yang baru. Misalnya kejayaan dan ketulusan serta penerimaan kerajaan PAS Kelantan menjadi sumbernya dan kejayaan ini turut sama disebut-sebut parti rakan Pakatan Rakyat dan juga parti lawan.

Kehebatan ini juga ada sangkut paut dengan kekeramatan pemimpin kerohanian PAS, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat.

Malangnya kelebihan dan penghormatan itu semacam tidak dikesan dan dimanfaat oleh PAS. PAS terus menjadi parti yang merendah diri dan tidak mahu menabirkan kekuatan dan kehebatannya. PAS masih merasakan diri mereka kerdil kerana terlalu menebalkan sikap zuhud.

Dengan kelebihan itu seharusnya PAS tidak berada di belakang parti lain yang menjadi penyedak ataupun penguat semangat. Sesekali pemimpin PAS harus berani mengemukakan idea dan berani memberi pandangan dan melentang keliberalisasian wawasan Pakatan Rakyat. Apa yang penting PAS perlu melorongkan idealisme Islam ke dalam Pakatan. Tidak ada guna PAS menang pilihan raya dan menawan beberapa negeri tetapi PAS tidak boleh untuk melaksanakan apa yang menjadi matlamat perjuangan asalnya.

Masalah dan perkara ini juga patut direnung dan diwacanakan dalam muktamar kali ini. Para perwakilan tidak perlu malu ‘alah’ mengenai hal ini dan takut untuk menyebutnya. Muktamar adalah forum untuk kita mengemukakan pandangan dan pendapat secara bebeas tetapi tetap beradat.

Sekali lagi ditegaskan PAS harus mempersiapkan diri untuk muncul menjadi parti memimpin dan bukan dipimpin. Lagipun disegi usia PAS merupakan parti yang tertua dalam Pakatan. Persediaan untuk menjelmakan PAS menjadi parti memimpin, para pemimpin harus menyatukan idea dan bergerak seiring memperbetulkan fikrah, uslub dan strategi seperti mana dimaktub dalam perlembagaan. Percanggahan ideologi, uslub serta buta strategi tidak memungkin untuk PAS mengapai harapan ini.

Isu-isu remeh dan lapok yang digunakan untuk tujuan peribadi seperti si anu masih berhubung dengan si anu ataupun si anu tidak Islamik, seharusnya dilupakan saja. Apa yang penting semua keretakan-keteretakan kecil yang berlaku dalam parti hendaklah diplaster biar ianya tidak nampak dek mata zahir. Yang penting PAS perlu dikonkrit dengan semangat ukhwah Islamiah dan iltizam yang satu demi menegakkan kalimah Allah atas muka bumi ini berdasarkan acuan Quran dan Hadith.

Manakala mengenai persiapan menghadapi pilihan raya akan datang PAS perlu meletakkan agenda utamanya untuk merampas Terengganu, mengekalkan Kedah dan Kelantan. Selain itu satu plan tindakan kena digarap bagaimana untuk menambahkan kerusi PAS di Perlis, Perak, Selangor, Pahang dan lain-lain negeri. Keperluan itu untuk menjadikan PAS akan memimpin negeri-negeri itu di masa akan datang. [Rencana ini boleh dikuti dalam Siasah terbaru esok]