Wednesday, October 6, 2010

Promo

Kedudukan Tengku Razaleigh Dan Siapa Calon Pas?

Petang nanti saya akan postingkan kedudukan terakhir Tengku Razaleigh Hamzah apakah beliau akan menerima tawaran istimewa dari Umno untuk jadi pengarah pilihan raya Galas. Juga akan disorot beberapa nama yang mungkin akan dipilih Pas untuk diletakkan di kerusi Galas bagi mempertahankan kerusi berkenaan. Siapakah mereka? Tunggu petang nanti. Salam MSO.

Kemaskini: Penamaan calon pilihan raya kecil 26 Oktober manakala hari mengundi 4 November (Sabtu). Jumlah pengundi terkini 11, 553. Demikian diumumkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebentar tadi. [ttdi 12:55 t/hari 06/10/10]

Menggarut Gatal

Undang-Undang Kecil Tidak Boleh Laksanakan Gagasan Besar

TELAH lama kita bercakap untuk memartabatkan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa penghantar dan bahasa ilmu dalam segala bidang di negara ini. Sejak sebelum merdeka usaha itu sudah dilakukan hinggalah kini. Percakapan ini menjadi cakap-cakap saja. Ia juga persis air laut yang ada pasang surutnya.

Saya sendiri tidak tahu apakah cakap-cakap mengenai bahasa ini berpandukan kepada kedudukan laut. Bila mana waktu pasang maka berbuehlah mulut kita bercakap-cakap mengenainya. Manakala bila laut suruh maka kita diam senyap tupas, malah tidak mengingatinya lagi. Bahasa Inggeris pun mula terjeluak semula dalam mulut kita.

Bercakap-cakap mengenai bahasa kebangsaan ini juga tidak konsisten dan berpanjangan. Ia bermusim macam musim buah-buahan. Tak mengapa kalau pun bermusim macam musim buah asalkan bunga menjadi buah, tetapi soal bahasa ini cakap-cakapnya bermusim macam rambai jantan sahaja. Berbunga tetapi tidak berputik. Nampak indah dijulai tetapi tidak mengeluarkan hasil. Begitu juga dengan cakap-cakap soal bahasa kebangsaan ini indah dari mulut tetapi hasilnya nol.

Hari ini sempena dengan Bulan Bahasa Kebangsaan kita bercakap lagi soal bahasa Kebangsaan. Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin semalam menyarankan supaya pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memainkan peranan untuk memartabatkan bahasa Kebangsaan dengan menguatkuasakan Undang-Undang Kecil Iklan dan Garis Panduan Iklan. Dengan cara itu katanya ia bukan saja memartabatkan bahasa Kebangsaan tetapi memperbetulkan penggunaan bahasa itu.

Selain itu katanya, syarikat dan badan korporat juga hendaklah menggunakan bahasa Kebangsaan dalam surat menyurat, borang dan sebagainya. Sekali lagi saya ulang, saranan ini merupakan cakap-cakap saja. Sebelum ini sudah acap kali saranan berkenaan dibuat, walhasilnya balik asal saja.

Syarikat dan badan korporat terus tergilakan menggunakan bahasa Inggeris dan mengabaikan bahasa Kebangsaan. Kalau tidak percaya cuba tulis surat dalam bahasa Melayu dan tulis dalam bahasa Inggeris guna dua nama surat mana yang akan dibalas dulu?

Pada saya selamanya bahasa Kebangsaan tidak akan tegak sebagai bahasa utama yang disanjung oleh bangsa sendiri apa lagi oleh orang lain. Kalau kita sendiri tidak menyanjunginya apa diharap kepada orang lain. Jadi apa yang disuarakan Muhyiddin itu sia-sia saja. Ia jadi cakap-cakap dan kicau-kicau murai cuma.

Sebenarnya kita tidak bersungguh untuk memartabatkan bahasa ibunda kita. Usah pergi jauh, tenguk saja kepada tajuk undang-undang dibawah PBT itu; Undang-Undang Kecil Iklan dan Garis Panduan Iklan. Kalau kita serius kita tidak menamakan Undang-Undang Kecil tetapi kita namakan dengan Undang-Undang BESAR. Tukar perkataan kecil itu kepada besar. Maksudnya perlaksanaan bahasa kebangsaan itu bukan berstatus sunat atau makruh tetapi kena di WAJIBKAN. Dari penggunaan tajuk undang-undang itu secara psikologi kita sudah dapat menilai sejauh mana kesungguhan dan iltizam kita.

Setiap PBT dari Majlis Daerah di negeri-negeri hingga ke DBKL hendaklah mewajibkan penggunaan bahasa Kebangsaan pada setiap iklannya. Bila tajuk undang-undang itu ditukar barulah ia menjadi kenyataan. Selagi arahan itu bersifat sunat maka selamanya ia tidak akan terlaksanakan. Hanya syarikat atau mereka yang mempunyai semangat bahasa Kebangsaan yang tinggi saja menggunakannya.

Peringkat awal JPM sendiri kena mulakan. Mulai hari ini semua surat-surat rasmi di JPM hendaklah ditulis dalam bahasa kebangsaan. Kalau boleh surat kepada negara luar (kedutaan) juga ditulis dalam bahasa kebangsaan yang disertakan terjemaah dalam bahasa Inggeris. Cara ini sajalah baru bahasa Kebangsaan boleh dimartabatkan.

Seperkara lagi penguasaan terhadap bahasa kebangsaan seperti Undang-Undang Kecil tadi hendaklah diletakkan di bawah Persekutuan bukan negeri-negeri. Dengan meletakkan undang-undang berkenaan di bawah Persekutuan sajalah baru ia berkesan. Kawalan terhadap bahasa ini boleh dibuat seperti mana kawalan terhadap sempadan negara yang terletak di tangan polis.

Selagi undang-undang ini dipecahkan ia tidak akan terlaksana kerana selera atau kesungguhan hendak melaksanakan itu terpulang kepada PBT masing-masing. Makanya kalau kita bersungguhan mungkin pindaan ke atas akta ini boleh dibawa ke Parlimen. Tetapi soalnya bersungguhkah kita ataupun usaha untuk memartabatkan bahasa kebangsaan itu hanya sebagai melepas batuk ditangga kerana mahu mengambil hati golongan pencinta bahasa saja? [wm.kl. 8:10 am 06/10/10]

Tuesday, October 5, 2010

Ulasan Isu

Cerita Tuanku Ismail Dan Tengku Razaleigh

DUA berita yang tersebar petang ini yang menarik perhatian saya untuk diblogkan. Berita itu keduanya cerita ini bersabit dengan raja Kelantan. Satu berita mengenai laproan polis terhadap satu SMS yang kononnya ada usaha untuk membawa Tuanku Ismail Petra yang masih gering ke luar Kelantan.


Destinasinya ialah ke Selatan Thailand. Mungkin Petani kalaupun tidak Takbai atau Golok. Kenapa?

Dalam SMS itu disebut semua pihak keselamatan di sempadan Kelantan - Thailand diminta berjaga-jaga. Niat membawa Tuanku Ismail yang masih gering itu dianggap sebagai satu niat jahat. Sejauh mana berita (SMS) berkenaan betul atau tidak tidak boleh disahkan.

Kalau betul perbuatan itu tidak lebih daripada usaha untuk mengyusah dan menganiyaan baginda saja.

Apabila pengawai tentera Istana Mahkota Kelantan membuat laporan polis terhadap SMS itu ini bermakna tidak benar berita yang disebar menerusi SMS itu. Mungkin ianya gimik saja dan ada motif tertentu.

Semua orang perlu berfikir panjang dan menyihatkan otak masing-masing. Untuk apa kalau Tuanku Ismail Petra hendak dibawa lari ke Siam? Macam dalam cerita wayang pula bunyinya. Bukankah baginda sedang gering. Kalau di bawa untuk berubat ada munasabahnya. Apakah ianya cuba hendak menjadikan Tuanku itu sebagai Raja di negeri Pasir Dua Butir? Bersemayam di bawah pokok kayu?

Eloklah dibuang saja berita yang disebar menerusi SMS itu kerana ia tidak masuk akal. Jelas ianya dibuat oleh orang tidak bertanggungjawab dan mahu menggeruhkan istana Kelantan. Semua pihak haruslah menerima hakikat hari ini bahawa Sultan Kelantan ialah Tengku Mohamad Faris Petra yang bergelar Sultan Mohammad ke V. Hubungan mereka sebagai anak dan ayah tetap kukuh. Susan senang Sultan Mohamad keV akan menjaga kebajikan dan maruah ayahandanya.

Berita kedua juga berkaitan dengan kerabat di raja Kelantan juga itu mengenai Tengku Razaleigh Hamzah yang kini menjadi perhatian umum sejak Umno mengidam untuk menggunakan tenaga dan wibawanya bagi menggalas kerusi DUN Galas di Gua Musang.

Seorang penyokong setia Tengku Razaleigh menghantarkan SMS kepada saya - harapnya bukan palsu yang melaporkan kepulangan Tengku Razaleigh pada 9 Oktober (Sabtu) ini. SMS itu memaklumkan sambutan besar-besaran akan diadakan bagi menyambut kepulangan itu.

Pengirim SMS itu juga memberi gambaran kalau hendak bawa sepanduk pun boleh kalau mampu.

Sekiranya kepulangan Tengku Razaleigh nanti disambut rasanya inilah kepulangan paling bererti kepadanya. Sudah lama kepulangan Tengku Razaleigh tidak disambut dan diraikan. Selalunya beberapa orang kawannya saja yang menunggu di airport dan pemergiannya ke luar negara sebelum ini tiada siapa peduli pun. Tetapi kalai ini beliau akan diberi permaidani merah.

Tentu Razaleigh juga akan gembira kalau beliau disambut. Tentu nanti akan ada berbagai sepanduk yang mengalu-alukan kepulangan beliau. Mungkin ada yang membawa sepanduk, berbunyi "Kami Bersama Tunku", atau "Umno Mahukan Tengku" ataupun "Tengku Raja Berjiwa Rakyat" dan macam-macam lagi bunyi yang lunak dan indah.

Mungkin Tengku tatkala melihat sepanduk itu akan tersenyum dan faham kenapa sambutan itu diberikan kepadanya. Ia lebih meriah dan gah lagi kalau Pemuda Umno, Puteri Umno, Wanita dan Muhyiddin Yassin sendiri menanti kepulangan Tengku. Lebih indah lagi kalau Mustapa Mohamed membawa bungga malai untuk dikalungkan di leher Tengku Razaleigh Hamzah.

Ataupun kalau hendak jadikan sambutan itu lagi besar cubalah rancang kepulangan Razaleigh itu serentak dengan kepulangan Mahathir dari Australia. Cuma saya nak sebutkan jangan pula kepulangan Razaleigh, Mahathir itu bertembung dengan kepulangan Anwar Ibrahim. Dan kalau bertembung juga bagus untuk melihat bagaimana orang Melayu bersatu menyambut kepulangan wira masing-masing di KLIA.

Khabarnya juga Nik Abdul Aziz Nik Mat akan ke Singapura. Kalau boleh biarlah kepulangan Nik Aziz juga serentak. Kalaulah ini berlaku saya rasakan lapangan terbang KLIA itu akan penuh sesak dan akan menjelmakan satu suasana baru dalam politik negara ini.

Apa macam Mat Maslan, setuju ke? [wm.kl.6:00 pm 05/10/10]

Monday, October 4, 2010

Selepas Subuh

Tanding Di Galas
Penyokong
Setia Tengku Razaleigh Bantah

BEBERAPA orang kuat dan sang setia Tengku Razaleigh Hamzah menzahirkan rasa kurang senang terhadap tindak tanduk pemimpin Umno yang tiba-tiba mengingati dan memuji kehebatan ahli parlimen Gua Musang itu beberapa hari ini. Rata-rata mereka yang menghantar SMS atau mengirimkan email kepada saya melahirkan rasa kesal serta menyelar sikap hipokrit mereka itu yang memuji Tengku Razaleigh disaat terjempit.

Menurut mereka, apa yang dilakukan terhadap Tengku Razaleigh seolah-olah ahli parlimen itu boleh diperdagangkan begitu saja. Mereka langsung tidak menghormati maruah Tengku Razaleigh sebagai tokoh veteran Umno apabila membuat pengumuman tanpa pengetahuannya.

Pandangan mereka ini sama dengan pandangan Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meyifatkan cadangan supaya Tengku Razaleigh dilantik menajdi calon di pilihan raya kecil Galas adalah melampau.

Kata Nik Aziz cadangan itu cuba menjatuhkan maruah Tengku Razaleigh sebagai tokoh politik berpengalaman dan tokoh sanjungan Umno Kelantan.

Salah seorang penyokong setia Tengku Razaleigh yang kesal dan berbulu dengan telatah Umno ialah sdr Nasaruddin Rais, bekas ketua Pemuda Umno Bagan Datuh, Perak. Tulis beliau kepada saya dalam SMS; Ku Li tak nak jadi Adun, dia dah jadi Adun sejak tahun 1967 lagi. Ketika itu ramai pemimpin Umno belum lahir termasuk Khairy Jamaluddin. Ku Li juga jadi ketua bahagian sejak tahun 1962 lagi.. ketika itu pekan Gua Musang hanya ada 160 orang saja, Felda dan Kesedar pun belum wujud lagi.."

Nada Nasaruddin itu jelas sekali marah kerana mempermain-mainkan bosnya. Nasa dikenali antara lapisan politician muda yang menjadi penyokong nombor satu Tengku Razaleigh Hamzah di Perak.

Seorang lagi penyokong setia Tengku Razaleigh yang mengirimkan SMS kepada saya ialah sdr Tamrin Ghafar. Kata Tamrin; "Dulu ketepikan TR.. kata TR dah tua, out of touch, nyanyuk dll. Tapi hari ini nak menang semua puji, kata he is the best itu dan ini... Katanya 9hb September Tok Pa (Mustapa Mohamed) akan lead delegation Umno Kelantan nak cium tangan TR di KLIA. Kalau menang mereka kata rakyat sokong 1Malaysia, kalau kalah mereka akan kutuk TR dia tak dak taring dll. Itulah budaya Umno.."

Manakala seorang lagi penyokong yang mengirim SMS kepada saya mengatakan; "Umno memang muka sepuloh sen tidak malu betul. Masa mereka nak mereka dekati Tengku, masa tak suka mereka caci dan hina Tengku.. Ingat Tengku bukan budak boleh disuruh dan dibentak-bentak."

Merumuskan pandangan dan rasa terkilan itu bahawa penyokong Tengku Razakleigh tidak bersetuju kalau bekas menteri kewangan itu dilantik menjadi pengarah atau calon dalam pilihan raya Galas. Mereka kesal dengan cara Umno melayani tokoh veteran itu.

Suara akar umbi penyokong Tengku Razaleih itu tentu akan diberi perhatian oleh Tengku Razaleigh sendiri. Tengku Razaleigh biasanya tidak akan mengambil keputusan sebelum berunding dengan penyokongnya. Tengku Razaleigh seorang yang menghormati pandangan orang lain.

Manakala seorang lagi penyokong Tengku Razaleigh memberi cadangan kepada Tengku Razaleigh agar beliau tidak terperangkap dalam tektik para pemimpin Umno itu. Katanya kalau Muhyiddin Yassin atau Najib Razak ikhlas untuk mendapat bantuan tenaga dan pengaruhnya di GAlas, Tengku Razaleigh hendak demand sesuatu dari Najib. Sebaik-baik demand katanya ialah minta Najib lantik jadi Penasihat Petronas.

Sekiranya beliau menerima pelawaan Umno itu, ini bermakna Tengku Razakleig boleh diperkotakaktikkan. Sememangnya wajar kalau Tengku Razaleig tidak memenuhi harapan Umno itu, (sebenarnya pemimpin tertinggi Umno termasuk Muhyiddin dan Najib). Tengku Razaleigh harus ingat apa yang Najib lakukan keapdanya semasa berdepan dengan Mahathir tahun 1987. Siapa yang mengkhianati Tengku Razaleigh kalau bukan Najib yang belut di saat-saat akhir?

Kalau Tengku Razaleigh tidak sedia untuk akur atas keputusan parti, bukan bermakna beliau degil atau ingin membalas dendam, tetapi penolakan Tengku Razaleigh nanti adalah untuk memberi keinsafan kepada mereka yang tidak tahu menilai budi dan dalam pada itu juga bagi mengelakkan beliau akan disorak sekali lagi.

Najib juga tidak perlu kecewa kalau Tengku Razaleigh tidak sedia untuk jadi calon ataupun pengarah pilihan raya. Najib perlu sedar diri dan tanya diri sendiri apa yang beliau telah membantu Tengku Razaleigh sejak beliau jadi PM atau sebelum ini. Walhal kalau hendak dikira beliau lebih manja dan mesra dengan Tengku Razaleigh berbanding dengan Dr Mahathir. Sejak beliau jadi PM menurut Tengku Razaleigh Najib tidak pernah memberi apa-apa peranan untuk beliau membantu kerajaan Najib.

Mungkin Najib sudah faham sikap Tengku Razaleigh berhubung pilihan raya Galas itu sebab itu beliau tidak mengulas banyak mengenai cadangan Muhyiddin Yassin supaya Tengkiu Razaleigh dilantik jadi pengarah atau calon BN di Galas. [wm.kl.8:30 am 04/10/10]

Sunday, October 3, 2010

Berita Terkini

Keadaan Mahathir Bertambah Baik

KEADAAN Tun Dr Mahathir Mohamad yang dimasukkan ke hospital Melbourne, Australia semalam kerana jangkitan kuman dilaporan baik.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan pejabat beliau di Putrajaya hari ini menyatakan doktor yang merawat bekas PM itu gembira dengan tahap kesihatan Dr Mahathir yang memberi respons baik terhadap rawatan antibiotik serta fisioterapi.

Pagi tadi anaknya Mukhriz bersama ibunya Tun Siti Hasmah Mohd Ali telah bersarapan pagi dengannya.

Bagaimana pun doktor menasihati agar Mahathir terus berihat dan terus mendapat rawatan di hospital itu beberapa hari lagi.

Seluruh rakyat negara hendaklah mendoakan kesihatan bekas Perdana Menteri berkenaan. [wm.kl. 6:45 pm 03/10/10]

Renungan Ahad

Tahniah Zahid Kerana Berjaya Mengesan Enjin Jet Hilang

Menteri Pertahanan Ahmad Zahid Hamidi telah memaklumkan mahkamah Uruguay telah memutuskan bahawa dua enjin jet F-5E jenis GE J85 21A yang dalam kawalan kerajaan negara itu adalah milik Malaysia. Katanya perkara itu diberitahu oleh Ghani Patail kepadanya dua hari lepas.

Sehubungan itu katanya satu pasukan pegawai tertinggi tentera akan dihantar untuk mengambil balik enjin jet berkenaan.

Pengumuman itu melegakan rakyat negara ini. Ia juga satu kejayaan kepada Zahid selaku menteri pertahanan. Calang-calang orang dapat mengambil balik enjin jet buruk yang dijual kepada syarikat pembeli besi buruk di negara Amerika Latin itu. Hebat. Seluruh rakyat negara ini harus mengucap tahniah kepada Zahid. Tahniah!

Malaysia sudah mempunyai beberapa menteri pertahanan tetapi tidak berkesempatan menunjuk bakat mencari dan membawa balik enjin jet buruk yang hilang. Sebabnya semasa mereka menjabat jawatan menteri tidak berlaku kejadian jual enjin jet buruk ke luar negara. Hanya semasa Najib Razak menjadi menteri pertahanan saja kem tentera dan workshop tentera boleh dicerobohi dan enjin jet boleh dicuri dan hilang.

Negara sungguh bernasib baik apabila Zahid menjadi menteri pertahanan. Kalau menteri itu terus dipangku oleh Najib belum tahu lagi nasib enjin berkenaan. Mungkin kes kehilangannya tidak pun dilaporkan dan rakyat tidak mengetahuinya. Setelah Zahid masuk ke dalam Mindef barulah segala-galanya terbongkar satu persatu.

Ada dua kes lagi yang belum terungkai sampai kini dan ia memerlukan penjelasan Zahid ialah bagaimana boleh berlaku perompakan senjata oleh kumpulan Al Maunah untuk merampas kerajaan Yang Dipertua Agong lebih 10 tahun lalu dan juga bagaimana bom C4 yang dalam kawalan tentera boleh dibawa keluar untuk meletupkan Altantuya. Kedua-dua kejadian itu berlaku sewaktu Najib menjadi Menteri Pertahanan.

Kita percaya kepada kehandalan Zahid dalam hal ini. Kalau enjin yang hilang sampai ke Amerika Latin boleh ditemui masakan kes yang berlaku di depan mata, di Jenalek, Perak dan hutan simpanan dekat Puncak Alam, Selangor tidak dapat dihidunya.

Berbalik kepada penemuan enjin jet yang hilang itu, di sebalik kita merasa bangga atas kejayaan dan kehebatan menteri pertahanan bersama Peguam Negara Abdul Ghani Patail yang menguruskan dari segi undang-undang, ingin juga ditanya berapakah kos pencarian itu termasuk bayaran kepada kos mahkamah? Dan berapakah pula kos untuk menghantar sepasukan pegawai tinggi tentera bagi membawa balik enjin berkenaan. Berapakah pula kos membawa balik keseluruhannya.

Harga enjin itu pula menurut Zahid bukan RM100 juta seperti mana dihebohkan tetapi hanya RM2.45 juta. Kalaulah harga itu benar kekal seperti kata Zahid itu rasanya tidak payahlah membawa balik enjin jet berkenaan. Kalaupun ianya hendak dijadikan bukti dalam pendakwaan mereka mencuri dan menjualnya juga tidak memadai. Rasanya daripada negara menghabiskan duit rakyat baik enjin itu disedekahkan saja kepada penjual besi buruk Uruguay.

Belum tentu lagi kalau ia dibawa balik enjin itu boleh digunakan. Mungkin kos untuk memperbaiki dan memasangnya lebih mahal dari harga asalnya. Kalaupun pasang belum tentu dapat digunakan. Selalu berlaku kerosakan teknik dalam peralatan perang negara ini. Yang belum rosak teknik ialah menteri pertahanan!

Kita tahu usaha pencarian enjin berkenaan bagi menjaga maruah negara dan mengelakkan persepsi buruk terhadap negara. Yang lebih penting untuk membuktikan kepada pihak dunia bahawa enjin jet itu tidak tersasar ke negara-negara lain bagi tujuan membantu peperangan di negara berkenaan. Kerana sebelum ini terdengar juga desas desus mengatakan enjin itu di hantar ke Iran ataupun Iraq.

Kerajaan begitu takut dengan desas desus itu kerana tidak mahu disabitkan membantu mana-mana negara. Amerika Syarikat sedang memerhati dan turut mengesani enjin jet berkenaan.

Jadi dengan penemuan semula enjin berkenaan ia menjawab desas desus berkenaaan bahawa enjin itu tidak tersasar ke negara lain. Ia hanya satu pengkhianatan rakyat negara ini kepada negaranya saja. Jangan pula ada apa-apa bayaran kepada mana-mana pihak untuk memalsukan maklumat sebenar mengenai kedudukan enjin jet berkenaan. Jangan pula ada bayaran kepada mahkamah Uruguay. Jangan! [wm.kl.9:40 am 03/10/10]

Saturday, October 2, 2010

Susupan Petang

Menghadiri Rumah Terbuka Hassan Ali

TAHUN ini tidak banyak saya menerima undangan menghadiri rumah terbuka orang politik. Hanya beberapa tokoh saja. Antaranya Mohamad Azmin Ali, Zaid Ibrahim, Dr Mohd Hatta Ramli, Dr Halimah Ali dan Dr Hassan Ali. Kecuali Zaid Ibrahim, Azmin, Mohd Hatta, Dr Halimah tidak pernah melupai saya. Setiap tahun saya menerima undangan mereka.

Sebelum Zohor tadi saya baru balik dari rumah terbuka Hassan Ali di Taman Tun Dr Ismail bersama sdr Rsudhan Mustapa anak-anaknya dan juga isteri dan dua orang saya.

Rumah terbuka pemimpin lain tidak kesempatan saya menghadirinya. Kebetulan sewaktu berlangsung rumah terbuka Mohamad Azmin Ali, Dr Halimah dan Mohd Hatta Ramli saya berada di luar negara. Manakala rumah terbuka Zaid Ibrahim hari ini, saya terpaksa lepaskan kerana menghadiri rumah terbuka Hassan Ali. Tidak larat untuk ke rumahnya. Kesemua jemputan mereka itu saya menerima langsung dari SMS mereka.

Saya sengaja mengagahkan diri menghadiri rumah terbuka Exco Selangor itu. Lagipun saya menjadikan rumah terbuka beliau itu sebagai mewakili rumah terbuka pemimpin-pemimpin Pas lain.

Kata orang rumah terbuka bebas untuk pergi tanpa ada jemputan rasmi. Tetapi ada juga sesetengah orang politik tidak begitu gemar untuk menerima tetamu tanpa diundang. Apa lagi tetamu seperti saya (penulis dan bloger) bimbang kalau-kalau dicatat dan dinukilkan sesuatu yang tidak enak di sepanjang rumah terbuka berkenaan.

Dan saya sendiri tidak akan memurahkan diri untuk menghadiri mana-mana rumah pemimpin baik parti mana sekalipun. Kalau hanya melihat bennar jemputan di tiang lampu tanpa ada jemputan khusus saya takkan hadir. Bukan apa untuk tidak menganggu tuan rumah dan tetamunya.

Baik rumah terbuka menteri, rumah terbuka Anwar Ibrahim atau rumah terbuka Nik Abdul Aziz Nik Mat maupun rumah Abdul Hadi Awang (yang tidak pernah saya menghadirinya) kalau yang mengajaknya bukan orang dalam, tidak 'berani' saya untuk hadirnya.


Hassan Ali menyambut tetamunya Mufti Selangor yang turut meraikan rumah terbukanya.

Razali Ismail berbaju biru bersama isteri dan orang kuatnya paling kanan.

Turut hadir Sasterawan Negara, Tan Sri Annuar Redhuan bersama isteri. Saya tumpang sekaki bergambar kenangan.

Orang kuat DAP Selangor Ronnie Liu juga turut hadir. Kelihatan sama setiausaha politik Presiden Pas, Dr Samsuri Ahmad Mokhtar (paling kiri).

Sebahgain ribuan orang ramai di rumah terbuka Hassan Ali terdiri dari segenap lapisan masyarakat.

Rumah terbuka Hassan Ali tadi boleh dikira meriah juga. Sewaktu saya sampai orang ramai sudah berpusu-pusu. Kereta menuju ke rumahnya penuh sesak. Kereta terpaksa di parking jauh dan setengah kilometer juga kena menapak ke rumahnya. Melihat susana dan kemeriah itu semacam Hassan Ali MB Selangor pula. Jelas kehadiran itu menunjukkan beliau Exco yang popular dan digemari rakyat.

Ketika saya sampai jam 2:30 petang Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Haron Din baru berangkat pulang. Tak sempat untuk bertemu mata dengannya. Begitu juga dengan Naib Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali sudah pulang. Azmin tentu sibuk kerana esok cabangnya Gombak akan mengadakan persidangan. Yang ada ketika itu ialah Ronnie Liu kelihatan duduk semeja dengan Setiausaha Politik Abdul Hadi Awang, Dr Samsuri Ahmad Mokhar. Bekas setiausaha politik Abdul Hadi yang kini Ketua Penerangan Pas Selangor Roslan Datuk Ahmad Shahir juga hadir.

Orang yang selama ini saya cari-cari juga muncul di rumah terbuka Hassan Ali itu. Dia ialah Mohd Fauzi bekas setiausaha akhbar Menteri Besar Kelantan. Selepas dipecat dari jawatan itu beliau menghilang entah ke mana. Baru hari ini saya dapat tahu beliau menginap di Makkah selama lima tahun dan selama di sana beliau menyiapkan tesis Phd. Sudah siap, katanya.

Turut sama hadir ialah rakan laman Hassan dalam bidang motivasi, Fadzilah Kamsah. Dan semasa saya hendak balik orang kuat air Selangor Razali Ismail tiba bersama isteri mudanya. Dan semasa permisi hendak balik, muncul pula Mufti Selangor, Datuk Tahyes Taib.

Hassan mengadakan sidang akhbar selepas itu namun saya tidak dapat mengikutnya kerana masih ada satu lagi rumah terbuka di kawasan kediaman. kepada Dr Hassan, isteri dan keluarga diucapkan selamat Idiifitri. [wm.kl.4:00 pm 02/10/10]

Ulasan Galas

Tengku Razaleigh Akan Diperangkap Kali Ketiga?

TUAN tubuh masih belum mengesahkan apakah beliau menerima atau tidak tawaran BN untuk menjadi Pengarah pilihan raya kecil Galas. Beliau masih diluar negara dan diberitakan akan pulang ke tanah air pada 9 September ini. Cuma media sudah mengwar-warkan kononnya beliau, (Tengku Razaleigh Hamzah) sedia untuk menggalas tanggungjawab itu.

Kenyataan Muhyiddin Yassin itu yang mengatakan beliau telah bercakap sendiri dengan Tengku Razaleigh, dikuatkan dengan kenyataan orang kanannya, Adun Nenggeri, Mat Yusuf Abdul Ghani yang memberi tahu sebuah portal berita kononnya bosnya itu sudah menerima jawatan itu.

Sejauh manakah Yusuf mempunyai autoriti untuk mengesahkan kenyataan Muhyiddin itu bagi pihak Tengku Razaleigh.

Selagi pengakuan terima tanggungjawab itu tidak keluar dari mulut Tengku Razaleigh sendiri ia tidak boleh dipercayai. Kerja dilakukan kini bolehlah dianggap kerja memancing dan mengumpan Tengku Razaleigh semata-mata. Kalau Tengku Razaleigh kelabu mata mungkin kailnya akan mengena.

Tengku Razaleigh memang layak dan sesuai menjadi pengarah pilihan raya kecil Galas. Dialah paling berwibawa kerana sudah lama menjadi ahli parlimen Gua Musang. Sebab itu BN beriya mahukan dia. Sebab itulah Muhyiddin tiba-tiba memuja dan memuji Tengku Razaleigh Hamzah tidak semena-mena.

Muhyiddin bukan saja menawarkan Razaleigh sebagai pengarah, bahkan calonnya sekali. Benar kata Naib Presiden Pas, Sallahuddin Ayub, Muhyiddin lari dari tanggungjawabnya apabila menghulurkan jawatan itu kepada Tengku Razaleigh. Apakah itu bukan pengecut? Selalunya kalau ada pilihan raya maka timbalan presidenlah menjadi pengarahnya.Mungkin Muhyiddin masih menghidu jebat kemaluan semasa di Manik Urai dulu.

Muhyiddin mungkin sudah serit dengan beberapa pilihan raya sebelum ini. Kemenangan BN di Hulu Selangor tidak memberi kepuasan kepadanya kerana beliau sendiri tahu rahsia kemenangan itu tidak berapa halal. Manakala kekalahan di pilihan raya kecil Manik Urai pula menjadi Muhyiddin tahu sejauh mana ledakan rakyat Kelantan kepada Umno. Jadi beliau tidak mahu lemas dalam lubuk sama dalam satu masa.

'Tok Empat Umno Kelantan', Mustapa Mohamed nampaknya tidak berkata apa-apa dengan cadangan Muhyiddin itu. Mungkin Muhyiddin langsung tidak menanyai dirinya. Apakah Mustapa sudah mulai sedar yang Umno Kuala Lumpur sudah tawar hati benar kepadanya?

Begitu pun Muhyiddin kena ingat, Tengku Razaleigh bukan pelahap nak jadi MB Kelantan. Dia nak jadi PM. Dia tidak perlu bertanding kerusi Dun. Dia mahu bertanding kerusi presiden Umno. Sebenarnya kalau Muhyiddin ikhlas menghormati Tengku Razaleigh, menyanjungi Tengku Razaleigh dia tidak berikan kerusi Galas, tetapi kerusi Perdana Menteri. Muhyiddin seharusnya berusaha memberi laluan kepada Razaleigh kalau beliau sudah tidak yakin dan tahu sejauh mana kredibiliti Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

Semacam ada juga iras-iras yang Muhyiddin mahu menggunakan Tengku Razaleigh agar menjatuh Najib demi menyelamatkan kedudukannya. Apakah cadangan itu satu konspirasai yang diilhamkan Dr Mahathir Mohamad?

Justeru dalam tilikan saya bukan mudah Tengku Razaleigh hendak buat keputusan. Dia mungkin menghormati tawaran Muhydidin itu. Tetapi dia kena fikir. Dalam hal ini Tengku Razaleigh tidak boleh memikirkan maruah Umno Kelantan, tetapi beliau kena fikir kedudukan dan maruah sendiri dulu. Itu lebih penting.

Kalau Umno menang dalam pilihan raya itu ia tidak memberi banyak kelebihan kepadanya. Kedudukannya dalam politik Umno tidak berubah. Cita-citanya juga tidak akan tergamit. Beberapa hari saja selepas kemenangan Umno akan lupa peranan dan jasa Tengku Razaleigh memenangkan kerusi Galas itu. Umno akan mendabit dada kemenangan itu adalah hasil gembleng tenaga yang mantap sesama mereka. Lepas itu Tengku Razaleigh hanya akan terkulat-kulat macam cicak mabuk kapur.

Tetapi kalau kalah Umno akan persalahkan kepada Tengku Razaleigh. Umum akan melihat Tengku Razaleigh juga sudah hilang pengaruh dan taring. Dalam hal ini Umno sengaja nak menguji pengaruh Tengku Razalegih dalam pada itu kalau menang mendapat untung. Kalau BN kalah, Tengku Razaleigh akan dipersalahkan. Kehinaan yang besar akan diperolehi anak raja itu.

Penerimaan Tengku Razaleigh itu juga boleh merosakan reputasinya dengan Pakatan Rakyat khasnya Pas dan PKR. Ura-ura kononnya beliau akan mengganti atau diharap mengganti tempat Anwar Ibrahim juga akan termusnah. Sudah tentu Pas dan PKR akan melihat Tengku Razaleih bukan kawan tetapi lawan mereka. Demikian juga hasrat nak wujudkan kuasa ketiga bagi penentukan kerajaan selepas pilihan raya umum ke-13 nanti akan rosak.

Saya tidak fikir kalau Tengku Razaleigh akan jadi sejinak itu. Pun begitu sukar juga nak tolak sebab dia orang politik apa lagi anak raja, mudah dipuja dia pujuk. Asalkan ada orang memikul tandunya ke hulu ke hilir ia akan ikut saja. Anak raja memang suka ketawa dari atas tandu.

Tengku Razakeigh perlu menoleh ke belakang dan mengenang sejarah jatuh bangunnya dalam politik serta apa yang Umno sudah perlakukan kepadanya. Tengku Razaleigh kena ingat kegemilangannya dan pengaruhnya di Gua Musang sudah mengecut sesuai dengan usianya. Hakikat ini boleh dilihat kepada sejarah pencapaiannya dalam pilihan raya di kerusi Parlimen Gua Musa sejak tahun 1974 hingga 2008.

Sebanyak sembilan kali Tengku Razaleig menyertai pilihan raya itu. Kesemua pilihan raya itu beliau menang. Tetapi kemenangannya naik turun. Ini dapat dilihat kepada majoriti yang diraihnya. Yang jelas selepas beliau kembali semula ke dalam Umno takala membubarkan Semangat 46, (1995) pengaruhnya terus menurun. Sokongan juga merosot. Dalam pilihan 1999 beliau menang dengan majoriti 2,923. Itupun kerana lawannya orang baru dalam Pas, iaitu Razak Abbas. Sudah pasti kalau Pas meletakkan calon lebih berwibawa Tengku Razaleigh mungkin kalah dalam pilihan raya 1999.

Pilihan raya 2004 majoriti Tengku Razaleigh naik kembali, tetapi ia tidak melebih 10,000. Majoriti tertinggi dicatatnya ialah dalam pilihan raya 1990 ketika bergabung dengan Pas di mana majoritinya 13,246 undi.

Majoriti Tengku Razaleigh dalam pilihan raya 2008 terus merosot di mana dalam pilihan raya itu beliau meraih majoriti 4,394 undi saja.

Putaran atau pasang surut pengaruh dan kekuatan ini perlu direnung oleh Tengku Razaleigh. Beliau tidak boleh syok dengan masa lalu. Beliau juga kena faham keadaan politik hari ini yang jauh berbeza. Jumlah pengundi muda juga sudah mengatasi pengundi tua yang mana sebelum ini menjadi penyokong kuatnya. Begitu juga sikap pengundi Cina sudah banyak berubah. Demikian juga Orang Asli yang selama ini menjadi rakyat marhaennya, tetapi kini sudah ada yang tahu membezakan warna bendera parti.

Dan apa yang saya bimbangkan sekiranya Tengku Razaleigh terpesona dengan pujian dan tepokkan Umno terhadapnya kini ianya sebuah perangkap terakhir untuk menghancurkan kerjaya politiknya. Pada saya kalau takdir calon BN kalah manakala Tengku Razaleigh menjadi pengarahnya kekalahan itu akan disandarkan kepadanya, walaupun apa yang dipikulnya hanya tanggungjawab demi cintanya kepada Umno namun beliau tetap menerima risikonya.

Catatan pencapaian Tengku Razaleigh dalam pilihan raya Gua Musang dari tahun 1974 hingga 2008.

1. 1974 – Menang tanpa bertanding
2. 1978 – 4,562 lwn Khaidir Khatib (Pas)
3. 1982 – 5,763 lwn Pak Chu Hji Hassan Tok Wali (Pas).
4. 1986 – 7,319 lwn Wan Rahim Abdullah (Pas).
5. 1990 – 13,246 Wan Ismail Wan Ibrahim (BN).
6. 1995 – 8,980 lwn Nik Ismail Wan Idris (Akim).
7. 1999 – 2,923 lwn Razak Abbas (Pas).
8. 2004 – 6,548 lwn Zulkefli Mohamad (Pas).
9. 2008 – 4,394 lwn Zulkefli Mohamad.
[wm.kl. 8:00 pm 01/10/10]

Cerita Hari Sabtu

Khalid Ibrahim Tidak Mudah Diperdayakan

SAYA sungguh seronok mendengar jawaban balas Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim terhadap sesiapa saja mengkritik beliau atau cuba melaga-lagakan beliau dengan seseorang. Sekali lihat cara berpolitik Khalid macam orang bodoh, tetapi sebenarnya itulah sikap ataupun tindakan politik yang bijak.

Khalid seorang yang tenang dan seperti dungu tidak mudah melatah dan mempercayai cerita-cerita orang. Hatta jerat yang dipsang di depan rumahnya boleh lupa begitu saja. Kerana sikap lembu kenyang itulah menyebabkan Khalid terselamat dari beberapa percubaan untuk menghuruhara kerajaanya.

Bayangkan bagaimana beliau tenang dan senyum saja menerima 'pemecatan' beliau sebagai Pengerusi Perhubungan PKR Selangor yang diganti dengan Mohamad Azmin Ali. Tidak ada apa-apa protes terhadap perubahan itu walaupun ia dibuat menjelang pemilihan kepimpinan PKR. Tidak ada rajuk atau pun kekeduhan hati yang ditunjukkan pada umum. Mungkin hatinya terguris tetapi Khalid tidak pernah mempamerkan kepada ahli parti. Itulah orang yang cerdik dan bijak.

Kalau berlaku ke atas orang lain, tentu menjadi masalah. Mungkin PKR Selangor sudah dilanda ribut taufan.

Apa katanya mengenai pertukaran jawatan itu. Dia menyifatkan pertukaran itu sebagai biasa dan wajar dalam politik. Dengan pertukaran itu membolehkan beliau menumpukan kepada mentadbir negeri manakala Azmin pula menyusun PKR. Tidak ada sedikpun nampak yang beliau gusar. Keikhlasan Khalid menerima pertukaran itu menyebabkan sesiapa yang niat hendak ambil kesempatan melagakan dia dengan Azmin tidak menjadi.

Yang kecewa orang yang ada agenda cuba menimbulkan ketegangan itu tetapi bukan Khalid dan Azmin.

Begitu juga pendedahan terbaru oleh bekas ahli MPT PKR kononnya ada perbualan telefon seseorang dengan seseorang yang lain mengenai rancangan nak jatuh Khalid Ibrahim. Rancangan itu dikaitkan dengan Azmin Ali. Khalid biasa saja mengulas pendedahan bekas ahli MPT itu. Kata Khalid dia tidak percaya kepada pendedahan itu. Tamat cerita!

Bila Khalid tidak percaya maka terngangalah orang yang mendedahkan rahsia itu. Harapanya untuk melihat Khalid menjadi kerbau dan Azmin menjadi lembu dan berlaga dalam gelanggang sampai robek kandang tidak menjadi. Mungkin mereka yang mendedahkan itu untuk melihat keduanya bergaduh. Bila Azmin dan Khalid bergaduh ibarat kata berkecailah PKR Selangor.

Apa yang diharapkan bila PKR Selangor berkecai dan bergolok maka senanglah untuk Umno masuk jarum dan merampas balik negeri Selangor. Itu tujuannya. Ertinya mereka yang mendedahkan itu kononnya atas nama untuk tegak demokrasi dalam PKR sebenarnya membawa agenda musuh bagi meruntuh PKR. Jika diperhatikan orang yang mendedah perkara itu ada hubung kait dengan bekas orang kuat PKR maka jelas ia bekerja untuk kepentingan Umno. Bukan itu itu namanya pengkhianatan?

Azmin dan terutamanya Khalid dapat membaca kilau dalam kilat ini. Tanpa disedri segala macam kerenah dan rancangan itu menyerlahkan kecanggihan Khalid sebagai MB. Orang seperti Khalidlah layak menajdi MB dalam keadaan partinya senantiasa dihimpit dan dikekang oleh musuh. Beliau tidak gelabah, tidak mudah percaya kepada ocahan musuh dan bersikap menganlisa sedalamnya apa yang berlaku.

Kepada mereka yang ada agenda busuk terhadap PKR Selangor insaf dan jika anda benar-benar ingin tegakkan demokrasi dalam parti itu cuba tegakan dulu keadilan dalam dri sendiri. Tiliklah kepada diri sendiri sebelum hendak menunding jari mengatakan orang lain buruk dan busuk.

Janganlah mereka-reka cerita yang bukan-bukan. Sikap dan perangai yang ada kepada Khalid usahkan cerita bohong kalau cerita benar yang tidak memberi faedah pun akan dibuang begitu saja. [wm.kl. 11:00 am 02/10/10]

Friday, October 1, 2010

Ulasan Khutbah

Apakah Kita Melakukan Pembaziran Diri

KHUTBAH Jumaat di masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur hari ini menarik perhatian dan menyentuh kalbu saya. Isu atau temanya mengenai pembaziran. Khatib telah menghuraikan ada sembilan bentuk pembaziran (diri) dilakukan manusia. Sememangnya pembaziran ini jarang disedari oleh setiap daripada kita.

Selalunya bila disebut pembaziran ia terfokus kepada makanan, wang, masa dan tenaga saja. Bahawa hal-hal hubungan dan tanggungjawab diri kita dengan Tuhan juga sebenarnya berlaku pembazairan.

Di sini saya cuba mengulas dan memperluaskan lagi apa yang dimaksudkan pembaziran itu dan bagaimana ianya berlaku. Mudah-mudahannya ada manfaat untuk semua.

Antara sembilan pembaziran itu ialah;

i) Pembaziran ilmu pengetahuan - Banyak manusia mempunyai ilmu pengetahuan tetapi sayangnya ia tidak dimanfaatkan untuk kegunaan orang lain. Tidak mahu berkongsi dengan orang lain.

Misalnya banyak para sarjana atau intelektual kita dalam berbagai bidang, tetapi ilmu para ilmuan itu hanya tersimpan dalam khazanah hati mereka saja. Mereka menuntut atau mempelajari ilmu itu bertahun-tahun tetapi tidak digunakan sepenuhnya. Ada yang sekadar belajar untuk lulus periksa atau mendapat master dan Phd saja. Selepas itu mereka terus diamkan saja dalam diri mereka.

Begitu juga dengan para ulama dan ustaz. Mereka tidak menggunakan ilmu yang dimilikinya seoptimanya. Mereka hanya menggunakan atau pun mengajar sanak saudara atau keluarga sendiri saja. Kalau ustaz mengajar hanya di surau-surau di kampung mereka saja. Malas untuk merantau jauh menyebarkan ilmu dan berdakwah. Walhal ilmu yang ada kepada mereka itu perlu disebar luaskan dan ia juga adalah satu tanggugnjawab wajib mereka yang tahu. Ia satu amanah Allah kepada mereka. Inilah dikatan pembaziran ilmu pengetahuan.

Seharusnya mereka tulis dan terbitkan ilmu yang mereka perolehi itu sebagai kitab, VCD atau vedio. Sebar kepada umum biar orang ramai dapat memetik dan menggunakan ilmu berkenaan untuk dijadikan pandaun untuk hidup di dunia dan akhirat. Dan ingat kalau sudah establish sebagai pendakwah nanti jangan pula meletakkan harga bayaran dengan nilai tertentu. Menerima bayaran juga pada saya satu pembaziran!

ii) Pembaziran kekayaan - Banyak manusia kaya raya, punya wang jutaan ringgit tujuh keturunan makan tidak habis. Ada yang sampai RM4 billion. Tetapi malangnya wang itu disimpan begitu saja dan tidak dimanfaat oleh orang lain. Orang miskin dan dhaif patut mendapat batuan mereka terus tinggal dalam kemiskinan dan kedaifan tanpa mendapat sejemput pun bantuan mereka.

Sikap ini menyebabkan orang miskin tidak dapat merasai kekayaan mereka dan si kaya pula tidak mendapat pahala dari si miskin. Jadilah kekayaan mereka untuk dimegahkan saja tetapi bukan membantu orang lain. Kekayaan seperti itu kekayaan yang tidak memberi guna sedikitpun. Kekayaan yang tidak diredhai Allah. Kekayaan ala Hamman dan Firauan.

Kekayaan yang mulia, ialah kekayaan yang dapat dikecapi sama oleh orang lain. Seperti mana kekayaan Allah s.w.t. menurunkan setitik hujan. Bila Allah turunkan hujan semua makhluk-Nya dapat merasai nikmatnya. Segala hidupan di atas gunung, bukit bukau curam dan lembah dapat merasai nikmat hujah. Rumput, lumut, pokok, semut, gajah, kambing, kucing, ayam, itik, semua dapat merasai air hujan itu.

Hatta ikan, belut, dan segala hidupan dalam sungai dan laut juga dapat merasai kekayaan Allah itu. Inilah dikatakan kekayaan yang tidak membazir. Kekayaan yang meliputi kegunaan dan manfaatnya.

Sebaliknya setengah orang kaya ini suka menghabiskan wang untuk keburukan dunia dan akhirat. Bukan dibelanjakan untuk membaiki dunia dan membawa dirinya hampir dengan akhirat. Inilah yang dimaksudkan kekayaan yang dibazirkan. Contohnya ada manusia yang memilik kasut sampai 3,000 pasang, kereta mewah pulahan dan sekali berbelanja terpaksa pakai trak atau lori untuk memunggah barang ke rumah.

iii) Pembaziran kesihatan - Allah memberi kesihatan tubuh badan kepada seseorang. Tetapi malangnya kesihatan itu tidak digunakan untuk kebaikan. Misalnya diberikan tubuh sasa, otak cergas tetapi kesihatan itu digunakan di jalan yang tidak benar. Bunuh orang, bakar orang jadi abu dan sebagainya. Kesihatan seperti ini juga tidak memberi faedah kepada dunia dan dapat memenuhi filsafat manusia itu sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini. Inilah kesihatan yang merugikan.

iv) Pembaziran ibadat - Anih ibadat pun ada pembaziran juga? Ibadat itu dikira membazir sekiranya ia tidak sampai kepada hakikatnya. Memang ada orang kuat beribadat, berzikir ribuan seharian, berpuasa setiap Isnin dan Khamis, berkhalwat di dalam gua dan gunung, atau tinggal anak dan isteri berbulan kerana dakwah atau sembahyang sampai dahi lekuk dan menjadi hitam. Tetapi kalau ibadat itu tidak dapat merubah sikap dan perangainya baik lahir dan zahir ia hanya pembaziran saja. Kerja itu sia-sia saja. Ia lebih kepada ibadat untuk menunjuk-nunjuk. Inilah dinamakan ibadat syaitan.

Ibadat yang sampai ke kemuncaknya ialah bila dapat merubakan kehidupan diri, fiil dan perangainya mendekati akhlak Rasulullah s.a.w. Memiliki sifat mahmudah dan membuang perangai mazmumah yang bersarang di istana kalbun di dalam diri. Hoi...

v) Pembaziran zikir - Iaini mereka yang berzikir tetapi tidak mengingati Allah. Ingat hanya ketika zikir saja tetapi selepas zikir ia kembali ke dunia asalnya. Juga dikira membazirkan bagi mereka yang berzikir tahu menyebut dan mengulang-ulanginya tetapi tidak tahu makna dan pengertiannya. Zikir seperti ini samalah cakap burung gemala kerbau atau tiong yang tahu berkata-kata tetapi tidak mengerti makna dan maksudnya. Kemuncak zikurullah ialah zaouk (mabuk).

vi) Pembaziran cinta - Tidak mencurahkan cinta jiwa raganya kepada Allah yang berhak menerima cinta setinggi-tinggi dan sekudus-kudusnya. Manusia rela berkorban dan memberi cinta kepada mahkluk dan bukan kepada Penciptanya. Belum ada kita mendengar berita manusia terjun dari bangunan tinggi kerana kecewa cinta kepada Allah, sebaliknya yang kita dengar mereka membunuh diri kerana kecewa cinta dengan kekasihnya. Meletakkan perasaaan yang suci dan agung itu kepada manusia ini juga pembazhiran.


vii) Pembaziran kasih - Tidak mengasihi saudara sendiri tidak kasih kepada dunia dan tidak kasih kepada diri sendiri. Allah memberikan kawan dan saudara untuk saling kasih mengasihi dengan cara itu menguatkan keimanan dan ketakwaan. Sebaliknya kita bergaduh sesama sendiri, tuduh menuduh dan dengki mendengki. Tentang dunia dan makhluk ini pula kita tidak sayang dan kasih. Kita khianati sungai, khianati pokok, khianati bukit bukau, gondolkan untuk jadikan kawasan penempatan. Perbuatan ini juga menunjukkan kita tidak kasih, dan perasaan kasih itu adalah pembaziran.

viii) Pembaziran akal - Allah menganugerahkan akal kepada manusia menjadi manusia makhluk yan paling mulia. Akal membezakan manusia dengan haiwan dan makhluk lain. Sayangnya manusia tidak menggunakan akal untuk melihat dan menghayati perbezaan itu sepenuhnya. Lebih malangnya lagi ada manusia bersikap dan berperangai macam haiwan. Inilah dikatakan pembaziran akal anugerah tertinggi bagi manusia.

Nah... cubalah renungi secara mengdalam dan menghalusi apakah tiap daripada kita tidak terlibat dalam melakukan pembaziran itu? [wm.kl. 3:00 pm 01/10/10]