Showing posts with label Politik PKR. Show all posts
Showing posts with label Politik PKR. Show all posts

Tuesday, August 14, 2018

Kebimbangan saya telah membunga realiti?

SUSUPAN SUBUH

Abdullah Sani kenyataannya
memanaskan pemilihan PKR.
SEJAK awal-awal lagi apabila melihat kepada bentuk kempen perebutan jawatan dalam PKR ia menimbulkan kebimbangan saya.

Seperti saya katakan sebagai pemerhati kecil acara itu menggusarkan hati saya. Berderau darah saya tatkala melihat cara Rafizi Ramli mengumumkan barisan calon-calonnya tempoh hari bertempat di sebuah hotel di Jalan Ampang.

Tambah berdebar lagi apabila mendapat tahu pasukan Rafizi akan mengadakan road show ke segenap negeri bagi menyampaikan maksud mereka.

Thursday, April 10, 2014

Kumpulan PENYELAMAT, PENGHALANG dan PENENTU dalam PKR

ANALISA                                                                                            

[kemaskini] 2: 59 pm --- Tian Chua telah mengumumkan menarik diri dari ikut sama bertanding merebut jawatan timbalan presiden PKR. Beliau dilaporkan sebagai menyatakan sokongan kepada Saifuddin Nadution Ismail atas lasan sudah lama mengenali Saifuddin.

Perebutan jawatan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), (saya sedikit bingung mana satu akronim yang hendak dipanggil kepada parti ini. Apakah ianya dipanggil KEADILAN, atau pun PKR. Pihak parti berlambang mata itu sendiri tidak pernah mengeluarkan arahan khas untuk media memanggil nama parti itu), nampaknya semakin hangat dan serius.

Kenyataan media dibuat para calon yang merebut jawatan dan kempen-kempen oleh agen masing-masing menerus media baru menjelaskan hal ini. Tampaknya sikap berkompromi tidak ada dalam PKR, walaupun untuk jawatan presiden, dimana suami menentang isteri, di mana perlawanan ini seperti berlaku satu ketegangan dalam PKR, walhal ia adalah gimik semata-mata. Tetapi musuh dan orang luar membuat persepsi demikian.

Walaupun demokrasi itu terbuka, tetapi adalah bodoh kalau suami isteri merebut jawatan yang sama. Sebab itu saya tidak fikir kedua mereka akan meneruskan hajat. Kalau tidak Wan Azizah Wan Ismail, tentulah Anwar Ibrahim akan menarik diri dari bertanding secara serius dan mereka akan melowongkan di antara satu sama lain.

Monday, October 28, 2013

PKR bakal hilang tokoh berwibawa?

SEPAKULASI                                                                                   

PKR berkemungkinan besar mengalami satu kocakan mengejutkan dalam tempoh terdekat ini apabila salah seorang tokoh berwibawanya akan mengumumkan dia tidak akan aktif lagi dalam parti.

Mungkin maklumat ini hanya iseng-isengan sahaja dan tidak akan menjadi kenyataan. Orang-orang PKR termasuk Penasihat Umumnya Anwar Ibrahim sendiri tentu tidak senang dengan spekulasi ini. Tetapi sebagai seorang yang masak politik, tahu membaca gerak badan (body language) dan memahami perasaan Anwar tidak dapat menolak kemungkinan ini.

Tokoh yang dimaksudkan itu adalah menjadi salah seorang pegerak dan penyusunan organisasi di dalam PKR itu sendiri. Perkembangan ini mungin belum disedari banyak pihak tetapi ia sudah dapat dihidu oleh pemerhati politik yang cekap dan bermakrifat. Pihak tertentu dalam PKR sendiri dipercayai sudah dapat mengagaknya.

Wednesday, February 27, 2013

Pengganti Saifuddin di Machang Sudah Ada?

SEBELUM LELAP                                                                                                            

Teka-teka mengenai kedudukan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail sudah terjawab malam tadi apabila Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim mengumumkan ahli parlimen Machang itu akan bertanding di kerusi  Kulim - Bandar Baru di Kedah dalam pilihan raya umum akan datang.

Ini bermakna Saifuddin sah meninggalkan Kelantan dan akan berpindah kerusi ke negeri asalnya Kedah.

Menjelaskan perpindahan itu di Machang malam tadi Anwar mengatakan ia atas permintaan rakyat bukannya kerana apa-apa masalah di sebaliknya. Pemilihan Saifuddin bertanding di Kulim - Baru Baru juga sebagai mengembalikan keyakinan rakyat kepada PKR. Saifuddiin adalah antara empat orang bukan anak Kelantan yang bertanding di Kelantan dalam pilihan raya umum lalu.

Friday, November 2, 2012

Parlimen Machang Yang Diidamkan Umno

ANALISA POLITIK KELANTAN                                                                                                   
                  
Kerusi parlimen Machang merupakan kerusi kedua yang menjadi sasaran Umno selepas Ketereh. Ada beberapa faktor terkini menjadikan sasaran Umno ini mungkin akan menjadi kenyataan. Tindakan PKR membawa lari Saifuddin Nasution Ismail ke Kedah adalah antara penyebab kenapa kerusi ini seperti lemah dan mudah untuk 'dikeronyok' oleh Umno dalam pilihan raya akan datang.

Kisah Saifuddin dibawa ke Kedah, katanya bakal bertanding di Kulim - Badar Baru ada cerita tersendiri. Begitu juga penganugerahan darjah kebesaran membawa panggilan Dato' kepada Saifuddin adalah diusahakan untuk tujuan itu. Anugerah itu untuk memberi nilai tambah kepadanya.

Yang tentunya kalau tidak ada sebab musabab kenapa Saifuddin perlu mudik ke Kedah. Sebab atau faktor itu pasti yang kurang kondusif. Saifuddin bukan termasuk dalam calon luar yang diberi pandangan oleh sesetengah orang 'penasihat' Pas agar nyah keluar dari Kelantan. Kerusi Machang tidak terlibat kerana ia milik PKR. PKR bebas membuat penentuan terhadap nasib setiausaha agung PKR itu.

Kita 'komakan' dulu cerita kenapa Saifuddin ke Kedah, kita tumpukan apakah masalah-masalah yang boleh membawa keuntungan kepada Umno sehingga Umno menandakan kerusi Machang sebagai kelabu tidak hitam dalam pilihan raya akan datang. Serta mengkaji serba ringkas apakah hasil politik dengki khianat Pas - PKR atau politik tidak ikhlas akan menguntungkan dan merugikan kedua parti itu.

Dalam pilihan raya lalu walaupun Saifuddin menang tetapi undi diterimanya berbeza dengan ketiga-tiga undi (majoriti) di tiga Dun; Kemuning, Temangan dan Pulai Chondong. Saifuddin menerima 1,460 undi manakala majoriti dicampur dengan ketiga-tiga Dun itu yang diterima wakil-wakil Pas sebanyak 3,690 kira-kira 2,230 yang tidak mengundi Saifuddin. Logiknya Saifuddin patut mendapat jumlah yang sama, atau setidak-tidaknya majoriti diraihnya 2,000. Tetapi kenapa berbeza, tentu ada yang tidak kena, dimana ia perlu diberikan perhatian oleh Saifuddin dan PKR selepas itu.

Perbezaan itu sedikit sebanyak menyebabkan Saifuddin khasnya PKR merasa terkedu dan boleh beranggapan Pas tidak sepenuh hati menyokong mereka. Implikasi atau terjemahan dari itu bahawa Pas tidak bulat memberi kerjasama terhadap PKR. Di manakah kesilapan menyebabkan ini berlaku?Ia terjawab kalau semua pihak di Machang ikhlas mencari jawabannya.

Statistik atau perbezaan sebegini sangat mahal dan penting dalam politik untuk dibuat lonjakan dan menjadi penyuntik semangat kepada mana-mana pihak terutamanya lawan. Para penganalisa dan pengkaji dipihak Umno akan membuat tafsiran mudah bahawa perbezaan undi diraih itu menunjukkan tidak ada 'kekompakkan' di anatara Pas dengan PKR. Situasi itu memudahkan untuk mereka menyocok jarum atau menahan lukah di pergentingan. Hal itulah mungkin menjadikan Umno meletakkan parlimen Machang sebagai sasaran.

Kelemahan dan kekurangan ini tampaknya gagal diperbetul dan dibaikpulih oleh Pas amnya dan Saifuddin khasnya sehingga saat menjelang pilihan raya baru. Kelemahan atau pengabaian ini sehingga tidak memberi masa untuk memperkuatkan kedudukan kerusi Parlimen Machang menjelang pilihan raya menjadi kedua pihak bergelabah. Bukan saja Saifuddin terpaksa dimudikkan ke Kedah, Pas sendiri juga mula bergerunyut dengan perkembangan yang ada kini. Sesungguhnya Macahang bukan seperti Pengkalan Chepa atau Kubang Kerian kepada Pas. Machang adalah Machang yang pemilikannya silih berganti.

Bukan senang untuk PKR mempertahankan kerusi itu menerusi calon lain. Apa lagi PKR tidak ada tokoh sehebat Saifuddin untuk diletak di Machang bagi menggantinya.Khabarnya PKR telah memilih beberapa nama untuk diletak bertanding di Machang, ini termasuklah setiausaha peribadi kepada Saifuddin, dan timbalan setiausaha agung yang kini berkhidmat di sebuah agensi di Kelantan. Turut sama diletakkan sebagai calon bekas calon Umno yang pernah bertanding di salah satu Dun di Machang tahun 2004.

Zulkifli Mamat
Ketiga-tiga nama yang ditunjuk Saifuddin agar menggantinya itu dilihat sukar untuk mengekalkan kerusi berkenaan. Hakikat ini disedari sama oleh Pas. Lantaran kesulitan itulah maka timbul 'idea songsang' untuk menukar kerusi Machang dengan Bachok sebagai jalan menyelamatkan kerusi Macahang. Kononya kalau berlaku pertukaran calon yang dikira layak untuk mengambil tempat Saifuddin ialah Yang Dipertua Pas Machang, Zulkefli Mamat yang juga Adun Pulai Chondong.

Zulkefli dikatakan sudah pun mula membuat ground work untuk bertanding di parlimen. Katanya beliau telah mencadangkan satu nama untuk diletak di Pulai Chondong untuk menggantinya. Setiausaha Badan Perhubungan Pas ini merasakan dia lebih selesa untuk kerusi parlimen dari kekal di kerusi Dun kini. Zulkefli juga dikatakan bermasalah di Pulai Chondong.

Bagaimana idea ini tidak menjadi kerana perkiraan ke arah itu tidak dibuat secara halus dan cermat. Kegagalan ini boleh diletakkan kepada para perunding kedua pihak terutamanya PKR tidak begitu bijak dan melupai akan tradisi dan selera politik luar bandar Kelantan. Cadangan untuk meletakkan bekas Ketua Umno Bachok Zaiyadi Awang Noh sebagai calon PKR Bachok bukan sesuatu yang tidak bijak, tetapi separuh cerdik kerana usaha itu dilakukan kurang waspada.

Sebaik idea itu diecerkan orang mulai pertikaikan mengenai Zaiyadi. Bukan beliau tidak berkelayakan untuk menentang Awang Adek Hussein, tetapi statusnya yang masih lagi Umno dikatakan menjadi faktor idea itu tertolak begitu saja. Hajat untuk menarik Zayadi tanpa dia terlebih dahulu mengistyharkan diri keluar Umno dan menyertai mana-mana parti Pakatan Rakyat dilihat sebagai songsang. Sebab itulah saya namakan idea songsang. Orang atas boleh faham mengenai kuntai politik atau understanding politik yang belum sampai standard itu tetapi orang bawahan masih perlu diberikan pencerahan.

Politik bukan senang walaupun ada kalanya yang berlaku tanpa dirancang. Begitu orang melihat bagaimana senang Ibrahim Ali yang tidak ahli Pas boleh bertanding atas tikit Pas. Ia kelihatan mudah, tetapi sebenarnya bukan gampang. Kelicinan kemasukan Ibrahim itu disebabkan ada konsultan yang bijak. Tanpa kebijaksaan dan kuasa mempengaruh pihak-pihak tertentu ia tidak akan terjadi. Bukan bererti apabila Ibrahim boleh bertanding atas tikit Pas dalam statusnya masih huduh dan busuk, maka orang berfikir orang lain juga boleh. Tidak.. ia bukan semudah itu.

Ekoran kegagalan idea berkenaan juga menyebabkan Zaiyadi yang juga sudah mula mengaktifkan diri tertekan dan diejak orang ramai kini. Projek untuk menjual imejnya menerusi program Amanah Merdeka Malaysia (Amanah) yang dirancang sebelum Aidiadha baru-baru ini gagal mencapai matlamatnya. Ini menyebabkan Awanag Adek masih bebas menghembuskan asap cigar di Bachok.

Hari ini kerana kesilapan dan kegagalan formula itu menyebabkan kerusi Parlimen Machang kini bergelora sedikit dan sekiranya tidak dapat dilendik dan dicarikan satu formula lain ia mungkin akan hanyut dalam pilihan raya kelak. Saya tidak nampak kalau PKR yang bertanding tanpa sokongan padu Pas kerusi itu akan kekal. Di sini saya tidak mahu mengemukakan apa-apa idea atau formula, terserah kepada pihak PKR yang bijaksana dalam politik! Kesimpulannya sudah dua kerusi milik PKR akan terkubur!

Bersambung ke siri 4, kita akan memperkatakan kerusi Parlimen Bachok, apakah strategi Pas untuk memastikan Awang Adek tertumus? [mw.kl.9:40 pm 01/11/12]

Sunday, September 16, 2012

Pakatan Rakyat Keluar Pengistyharan Kucing 7 Perkara

[kemaskini] Pakatan Rakyat lewat petang ini mengeluarkan peristyharan politik mengandungi Tujuh Perkara yang dinamakan "Pengistyharan Kucing" dalam satu majlis sambutan Hari Malaysia yang diadakan di sebuah taman perumahan di bandaraya Kuching.

Pimpinan tertinggi PR sedang menanandatangani.
Pengistyharan itu berhubung dengan hak-hak dan kepentingan rakyat negeri Sarawak ia merupakan satu janji dan ikrar Pakatan Rakyat untuk melaksanakannya sekiranya gabungan itu berjaya memerintah Sarawak dalam pilihan raya umum akan datang.

Antara pemimpin yang sempat disambar lensa camera saya.
Deklarasi itu dibaca di dalam hujan renyai-renyai yang turun di sepanjang majlis itu diadakan. Ia ditanda tangai oleh ketiga pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat, PKR diwakili oleh Penasihat Umum Anwar Ibrahim, Pas oleh Presiden Abdul Hadi Awang dan DAP oleh penasihatnya Lim Kit Siang serta Wong Ho Leng Pengerusi DAP Sarawak dan Adam Ahid Pesuruhjaya Pas Sarawak.

Kira-kira 3,000 hadir untuk memeriahkan hari Malaysia dan mengikuti pengistharan berkenaan. Antara pemimpin lain yang kelihatan Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu, Naib Presiden Pas Husam Musa, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung Pas Mustapa Ali, Bendahari Agung Pas Dr Mohd Hatta Ramli, Naib Presiden PKR Tian Chua, Ketua Dewan Muslimat Pas Siti Zailah Yusuf, Ketua Angkatan Wanita PKR Zuraidah Kamaruddin dan lain-lain.

Agak menghairankan sedikit tidak kelihatan ketiga-tiga ketua pemuda Pas, DAP dan PKR.

Sebagai simbolik kelima-lima pemimpin itu menanda tangani deklarasi berkenaan di atas sebidang kain bersaiz besar yang digantung di majlis berkenaan.

Pengistyharan Deklarasi Kuching menunjukkan Pakatan Rakyat serius untuk membawa perubahan politik di Sarawak yang mana negeri itu dianggap masih belum mengalami kemerdekaan sebenarnya kerana ia dijajah oleh bangsa sendiri parti UBN.

Berikut adalah deklarasi berkenaan:

PERISYTIHARAN KUCHING
JANGAN SAMPAI KITA LUPA, DAN JANGAN SAMPAI MASYARAKAT MALAYSIA YANG TERBILANG INI BETAH TERLUPA BAHAWASANYA KAMI, YANG BERTANDATANGAN DI BAWAH, SEKALI LAGI DENGAN PENUH TEKAD DAN ILTIZAM SEPENUH JIWA DAN RAGA BERIKRAR DAN BERJANJI BERSAKSIKAN SELURUH WARGANEGARA MALAYSIA, PADA HARI INI YAKNI PADA TARIKH BERSEJARAH 16 HB SEPTEMBER 2012, DI BANDARAYA KUCHING, BAGI PIHAK PARTI-PARTI YANG BERKENAAN DAN PAKATAN RAKYAT SELURUHNYA BILA MANA KAMI MENGIKTIRAFKAN KERAJAAN BARU BUAT MALAYSIA, PAKATAN RAKYAT AKAN MELUNASI SETIAP IKRAR DAN JANJI KAMI PADA SETIAP LAPISAN MASYARAKAT DAN RAKYAT MALAYSIA.

BAHAWASANYA KAMI AKAN MEMELIHARA DAN MENJUNJUNG SETIA DASAR DASAR YANG DITERAPKAN DI DALAM BUKU JINGGA SUPAYA MALAYSIA BAKAL BANGKIT SEMULA SEBAGAI SEBUAH NEGARA YANG MAKMUR, AGAR TERWUJUD RAKYATNYA YANG CEMERLANG, BERSATU PADU DAN BERKEMBANG MAJU, DENGAN MASA DEPAN YANG SELAMAT DAN AMAN DAMAI, AGAR NAMANYA HARUM DI SERATA PELUSUK DUNIA.

BAHAWA SESUNGGUHNYA KAMI BERPEGANG TEGUH DENGAN SEMANGAT PERJANJIAN MALAYSIA 1963 YANG TELAH DICETUSKAN DAN DIKENDALIKAN OLEH PEMIMPIN-PEMIMPIN KAMI YANG TERDAHULU, DAN SEBAGAI BUKTI DAN TANDA UTUHNYA KESETIAAN KAMI TERHADAP RAKYAT SARAWAK DAN SABAH, BERTERASKAN PRINSIP-PRINSIP DEMOKRASI DAN KEADILAN UNTUK RAKYAT MALAYSIA SELURUHNYA, DENGAN PENGKHUSUSAN ISTIMEWA TERHADAP PERKARA-PERKARA BERIKUT:

PERKARA 1: KERJASAMA BERSEKUTU
Kami akan memulihara intipati Perjanjian Malaysia dan memperkasakan kedudukan Sarawak dan Sabah setanding dengan Semenanjung Malaysia dengan mengembalikan autonomi Sarawak dan Sabah mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.
PERKARA 2: PERWAKILAN YANG ADIL
Kami akan mempertingkatkan integrasi nasional di antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia melalui penggemblengan tenaga dan perkongsian kuasa secara adil yang menjunjung semangat Perjanjian Malaysia.

PERKARA 3: KEWARGANEGARAAN
Kami akan menubuhkan Suruhanjaya DiRaja bagi menyelesaikan masalah nasional berkaitan pendatang tanpa izin dan isu-isu kerakyatan, khususnya di Sarawak dan Sabah.
PERKARA 4: PENGIKTIRAFAN HAK KE ATAS TANAH ADAT
Kami akan menghormati dan mengiktiraf hak anak watan ke atas tanah adat sepertimana yang tertakluk dan termaktub dalam Undang-undang Negeri Sarawak dan Sabah dengan menubuhkan Suruhanjaya Tanah untuk menyiasat, menyelesaikan pertikaian, memperbaharui, menyelidik dan memulihkan Hak Adat Peribumi ke atas pemilikan Tanah Adat.

PERKARA 5: KECEKAPAN DAN KEMANDIRIAN SARAWAK DAN SABAH
Kami akan mengiktiraf perlantikan rakyat Sarawak dan Sabah untuk memimpin dan memegang jawatan di Jabatan Kerajaan di negeri masing-masing, dikuatkuasakan oleh Setiausaha-setiausaha kerajaan kedua-dua negeri dan memberikan keutamaan kepada rakyat Sarawak dan Sabah di peringkat Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan tugas di negeri masing-masing.

PERKARA 6: KEADILAN DALAM ISU MINYAK
Kami akan menaikkan bayaran royalti ke atas petroleum dan sumber sumber hidrokarbon kepada Sarawak dan Sabah dari 5% ke 20%.

PERKARA 7: PEMBANGUNAN SEKATA
Kami akan membawa tahap kemajuan infrastruktur di Sarawak dan Sabah setanding dengan perkembangan di Semenanjung Malaysia.

DENGAN INI, KAMI YANG BERTANDATANGAN SEPERTI YANG TERTERA DI BAWAH, MENGIKTIRAF PERISYTIHARAN INI SEBAGAI SATU PERJANJIAN YANG TIDAK BOLEH DISANGKAL DAN DIPERSOALKAN LAGI, TERMAKTUB DI ANTARA PAKATAN RAKYAT DAN SEGENAP LAPISAN MASYARAKAT MALAYSIA, PADA HARI INI, TANGGAL 16 SEPTEMBER 2012, BERSEMPENA DENGAN SAMBUTAN HARI MALAYSIA, AGAR TERSOHORLAH GEGAK GEMPITANYA DARI PUNCAK TERTINGGI DI BUMI MALAYSIA YANG TERCINTA, DAN AKAN TERSEBAR SELUAS SAMUDERA YANG TERBENTANG SUPAYA KEBEBASAN DAPAT KITA CAPAI DAN KITA SEMUA BOLEH HIDUP BERSATU PADU DALAM SUASANA AMAN DAN DAMAI.
Sebagai saksi padanya, penandatangan yang diberi kuasa dalam hal ini, telah menandatangani Perisytiharan ini, dan semua rakyat Malaysia adalah saksi kepadanya.
Dimeterai di Kuching, pada 16 haribulan September tahun 2012, dalam enam salinan di mana setiap satu darinya akan disimpan oleh setiap penandatangan.
Untuk Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
Y.B. DATO ‘SERI ANWAR IBRAHIM, Ketua Umum
Untuk Parti Tindakan Demokratik (DAP)
Y.B. LIM KIT SIANG, Ketua Parlimen
Untuk Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
Y.B. DATO’ SERI HAJI ABDUL HADI AWANG, Presiden
Untuk Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
Y.B. BARU BIAN, Pengerusi PKR Sarawak
Untuk Parti Tindakan Demokratik (DAP)
Y.B. WONG HO LENG, Pengerusi DAP Sarawak
Untuk Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
TUAN HAJI ADAM BIN AHID, Pesuruhjaya Negeri PAS Sarawak
Ulasan lanjut mengenai perkembangan politik Sarawak akan menyusul selepas penat beransur pergi. [kk.srwk 8:38 pm 15/09/12]

Saturday, October 2, 2010

Cerita Hari Sabtu

Khalid Ibrahim Tidak Mudah Diperdayakan

SAYA sungguh seronok mendengar jawaban balas Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim terhadap sesiapa saja mengkritik beliau atau cuba melaga-lagakan beliau dengan seseorang. Sekali lihat cara berpolitik Khalid macam orang bodoh, tetapi sebenarnya itulah sikap ataupun tindakan politik yang bijak.

Khalid seorang yang tenang dan seperti dungu tidak mudah melatah dan mempercayai cerita-cerita orang. Hatta jerat yang dipsang di depan rumahnya boleh lupa begitu saja. Kerana sikap lembu kenyang itulah menyebabkan Khalid terselamat dari beberapa percubaan untuk menghuruhara kerajaanya.

Bayangkan bagaimana beliau tenang dan senyum saja menerima 'pemecatan' beliau sebagai Pengerusi Perhubungan PKR Selangor yang diganti dengan Mohamad Azmin Ali. Tidak ada apa-apa protes terhadap perubahan itu walaupun ia dibuat menjelang pemilihan kepimpinan PKR. Tidak ada rajuk atau pun kekeduhan hati yang ditunjukkan pada umum. Mungkin hatinya terguris tetapi Khalid tidak pernah mempamerkan kepada ahli parti. Itulah orang yang cerdik dan bijak.

Kalau berlaku ke atas orang lain, tentu menjadi masalah. Mungkin PKR Selangor sudah dilanda ribut taufan.

Apa katanya mengenai pertukaran jawatan itu. Dia menyifatkan pertukaran itu sebagai biasa dan wajar dalam politik. Dengan pertukaran itu membolehkan beliau menumpukan kepada mentadbir negeri manakala Azmin pula menyusun PKR. Tidak ada sedikpun nampak yang beliau gusar. Keikhlasan Khalid menerima pertukaran itu menyebabkan sesiapa yang niat hendak ambil kesempatan melagakan dia dengan Azmin tidak menjadi.

Yang kecewa orang yang ada agenda cuba menimbulkan ketegangan itu tetapi bukan Khalid dan Azmin.

Begitu juga pendedahan terbaru oleh bekas ahli MPT PKR kononnya ada perbualan telefon seseorang dengan seseorang yang lain mengenai rancangan nak jatuh Khalid Ibrahim. Rancangan itu dikaitkan dengan Azmin Ali. Khalid biasa saja mengulas pendedahan bekas ahli MPT itu. Kata Khalid dia tidak percaya kepada pendedahan itu. Tamat cerita!

Bila Khalid tidak percaya maka terngangalah orang yang mendedahkan rahsia itu. Harapanya untuk melihat Khalid menjadi kerbau dan Azmin menjadi lembu dan berlaga dalam gelanggang sampai robek kandang tidak menjadi. Mungkin mereka yang mendedahkan itu untuk melihat keduanya bergaduh. Bila Azmin dan Khalid bergaduh ibarat kata berkecailah PKR Selangor.

Apa yang diharapkan bila PKR Selangor berkecai dan bergolok maka senanglah untuk Umno masuk jarum dan merampas balik negeri Selangor. Itu tujuannya. Ertinya mereka yang mendedahkan itu kononnya atas nama untuk tegak demokrasi dalam PKR sebenarnya membawa agenda musuh bagi meruntuh PKR. Jika diperhatikan orang yang mendedah perkara itu ada hubung kait dengan bekas orang kuat PKR maka jelas ia bekerja untuk kepentingan Umno. Bukan itu itu namanya pengkhianatan?

Azmin dan terutamanya Khalid dapat membaca kilau dalam kilat ini. Tanpa disedri segala macam kerenah dan rancangan itu menyerlahkan kecanggihan Khalid sebagai MB. Orang seperti Khalidlah layak menajdi MB dalam keadaan partinya senantiasa dihimpit dan dikekang oleh musuh. Beliau tidak gelabah, tidak mudah percaya kepada ocahan musuh dan bersikap menganlisa sedalamnya apa yang berlaku.

Kepada mereka yang ada agenda busuk terhadap PKR Selangor insaf dan jika anda benar-benar ingin tegakkan demokrasi dalam parti itu cuba tegakan dulu keadilan dalam dri sendiri. Tiliklah kepada diri sendiri sebelum hendak menunding jari mengatakan orang lain buruk dan busuk.

Janganlah mereka-reka cerita yang bukan-bukan. Sikap dan perangai yang ada kepada Khalid usahkan cerita bohong kalau cerita benar yang tidak memberi faedah pun akan dibuang begitu saja. [wm.kl. 11:00 am 02/10/10]

Tuesday, September 21, 2010

Susupan Pagi

Ahli PKR Jangan Peduli Kepada Pengacau

PEMILIHAN kepimpinan dalam PKR yang sedang berlangsung kini mendapat perhatian semua pihak. Bukan saja ahli parti itu serta para pemerhati politik tanah air, tetapi ia juga mendapat perhatian dan intipan berterusan dari bekas-bekas ahli parti berkenaan.

Beberapa orang dari mereka turut sama mengulas dan mencaturkan keputusan pemilihan itu. Antara bekas anggota parti berkenaan yang sudah berkokok termasuklah Ezam Mohammad Noor, Nalakarupan, Zulkifli Nordin, Anuar Shaari dan beberapa yang lain. Mereka juga jadi panas punggung dan tidak sedap duduk. Kenapa?

Jawabanya mereka perlu mencampuri urusan bekas parti mereka itu kerana bimbang parti mereka itu akan kuat seterusnya dapat membentuk kerajaan bersama Pas dan DAP dalam pilihan raya umum akan datang. Jadi untuk memastikan kedudukan mereka tidak terancam maka PKR perlu dikucar kacirkan. Mereka yang berjiwa kecil sangat takut kepada perkembangan itu. Jadi dengan apa cara sekalipun mereka akan menganggui PKR.

Dari sudut lain kepedulian dan keperihatinan mereka itu memberi gambaran yang PKR kini semakin sihat dan gemuk. Ada petunjuk rakyat menerima PKR dan akan bersatu menyokong Pakatan Rakyat. Mereka perlu kucar kacirkan atau memberi imej buruk kerana pangkal perjuangan Pakatan Rakyat berada dalam PKR.

Semua tindak tanduk mereka itu untuk memburukkan Anwar Ibrahim. Ertinya mereka masih percaya dan yakin bahawa pengaruh dan aura Anwar masih berbisa dan ia perlu dimusnahkan. Walaupun usaha berterusan untuk memusnahkan Anwar namun Anwar tidak mudah untuk kojol. Di sinilah kekuatan yang ada kepada Anwar.

Bekas ketua Angkatan Muda PKR, Ezam berkata PKR kini dikuasai oleh Anwar Ibrahim dan keluarganya. Azmin adalah orang Anwar Ibrahim. Ezam cuba memberi penjelasan apa yang orang semua sudah jelas dan faham. Apakah salahnya kalau keluarga Anwar memiliki dan menguasai PKR. Tidak salah. Ezam sudah tidak boleh diharap untuk memimpin kerana ia sudah melarikan kerana takut kepada hanya seorang manusia bernama Azmin.

Berdepan dengan Azmin, Ezam umpama ayam jantan kampung yang takut berlaga, dengar kokokkan lawan sudah lari melintasi tiga buah padang. Sia-sia orang mengangkat Ezam sebagai pahlawan refomrasi kerana dengan rakan sendiri pun dengki dan takut.

Jadi kalau PKR dikuasai Anwar, Azizah atau Azmin, Ezam tidak perlu kesal dan gunda gulana kerana memang tidak ada siapa hendak berlawan ataupun boleh mengatasinya (Azmin). Kalau Ezam sendiri yang dianggap hero penjara, hero kena tangkap dan hero kena dakwa pun takut apa lagi diharap kepada para pengais pagi makan pagi dan pengais petang makan petang dalam PKR ataupun yang menjadikan diri mereka sebagai kumpulan 10 budak hitam.

Dalam tindakan demokrasi ini bekas timbalan PKR Gombak, Bakar Ninggal (foto) itu lebih baik dan berani dari Ezam. Bakar tidak suka kepada Azmin berkali ganda dari Ezam tetapi Bakar tidak tinggalkan parti. Dia ambil keputusan berani seperti memacung tengkok sendiri untuk berdepan dengan Azmin. Bakar lebih faham dan profesional dalam politik berbanding dengan Ezam.

Bakar tahu dia akan kalah berdepan dengan Azmin. Tetapi beliau masih ada semangat demokrasi. Beliau tidak mencaci Azmin di luar gelanggang tetapi mengasak Azmin di dalam gelanggang. Orang seperti Bakar inilah yang perlu disanjung dan dipuji kerana keberanian dan sikap demokratik dan gentlmennya. Kalaupun Bakar kalan (dan akan kalah pun), tetapi Bakar tetap dianggap hero berbanding dengan Ezam. Ezam perlu malu kepada Bakar atas sikap berani dan bertanggungjawab untuk menumbangkan Azmin secara halal. Kalau ada masa Ezam perlu ke rumah Bakar untuk mempelajar politik darinya.

Kepada ahli dan penyokong PKR usahlah rungsing dan mudah panik. Percayalah kokokkan mereka di luar parti tidak akan membawa apa-apa makna. Ahli PKR jangan dengar mereka kerana suara mereka bukan suara perpaduan ataupun pandangan yang membina bagi memperkukuhkan PKR. Suara dan kritikan mereka ialah untuk mejahamkan parti berkenaan. Mereka bersuara bagi pihak musuh PKR iaitu Umno.

Tidak mustahil kalau Umno telah mengupah para pengacau ini. Saya mendapat tahu ada pihak tertentu dari Umno sedang memonitor pemilihan dalam PKR dan mahu memastikan orang tertentu kalah ataupun menjadikan PKR berkucah dan berbalah sesama sendiri. Ahli dan penyokong PKR hendaklah faham jarum halus yang menyusup dalam parti mereka ini.

Begitu juga dengan gelagat seorang lagi bekas ahli parti berkenaan bernama RS Jenapala yang beriya hendak mengadakan sidang akhbar setiap Isnin mengkhritik ketidakadilan dalam parti. Siapa dia untuk berbuat demikian. Apabila beliau dinafikan untuk bertanding jawatan timbalan ketua beliau marah sedangkan dia bukan ahli PKR. Kalau orang waras dia tidak akan mencampuri urusan rumah tangga orang lain, kalau pun dia sendiri tidak ada rumah.

Wajar beliau dinafikan bertanding. Bukan itu saja kalau ada undang-undang membolehkan seseorang pengacau parti lain dibuang daerah maka beliau patut dibuang ke luar dearah. Menurut Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail Jenapala ini sudah lama dipecat dari menjadi ahli parti berkenaan.

Kekalutan dalam PKR masa kini boleh diatasi sekiranya setiap dari mereka yang bertanding terus menjaga tata susila berorganisasi dan tidak membuat provokasi berlebihan. Mereka juga perlu memperbetulkan nawaitu masing-masing. Apa yang dikejar kini bukan jawatan dan kedudukan tetapi bersepakat untuk menuju ke Putrajaya. Tidak ada guna kalau seseroang boleh jadi timbalan presiden atau naib presiden tetapi parti kalah dalam pilihan raya.

Setakat memegang dayung kalau perahu tidak ada kita tidak akan dapat menyeberang samudra.

Makanya semua pihak harus memfokuskan kepada matlamat itu bukannya mencari populariti diri masing-masing dengan pelbagai jawatan. [wm.kl.11:15 am 21/09/10]

Thursday, September 16, 2010

Susupan Pagi

Politik Yang Zalim, Zalim Dalam Politik

SELAMA ini PKR melaungkan akan bawa politik baru yang telus, adil dan demokratik. PKR sering mengecam Umno tidak telus dan tidak demokratik. Bukan sedikit pemimpin PKR dan bukan sekali mereka mengatakan demokrasi dalam Umno sudah mati. Apa yang menimpa Anwar Ibrahim 1998 dulu pun adalah berunsur kekejaman demokrasi dalam Umno. Mahathir Mohamad menggunakan kuasa vetonya untuk memecat Anwar tanpa merujuk kepada ahli akar umbi, walhasilnya Umno jadi 'kucar wak yah'

Kerana sikap itu Umno dibenci. Umno disampahkan oleh PKR. Dalam masa sama PKR mengangkat dirinya sebagai sebuah parti yang profesional, penuh demokrtatik. Sebuah parti yang turun dari dewa dan mengharapkan para ahlinya dari kalangan orang-orang kudus.

Selalunya dalam kehidupan ini manusia hanya nampak ada saja yang berada di depannya saja. Mereka dapat nampak keseluruhan muka, kerana ada cermin. Mereka nampak mata, hidung, kening, dahi dan telinga kerana ada cermin menyuluhkan kepada mereka. Lebih dari itu mereka tidak nampak kalau tidak diminta bantuan orang lain.

Hatta tahu lalat di atas belakang pun sudah tidak nampak, kalau tanpa pertolong orang lain. Jadi kalau benda dalam diri sendiri sudah tidak nampak dan dapat rasa, misalnya najis dipunggung, apalah yang berada jauh di sana. Makinlah tidak nampak. Menuduh memang sedap sebab lidah tidak bertulang...

Dalam masa PKR sedang berdepan dengan proses pemilihan pemimpin ini PKR jadi tidak nampak diri dan lupa kepada yang mereka ucapkan sendiri. Mereka sudah mungkir janji mereka kepada rakyat selama ini. Mereka mahu jadikan PKR parti alternatif untuk rakyat. Yang adil dan terbuka. Yang membawa semangat dan roh politik baru.

Namun melihat kepada beberapa tindak tanduk dan permainan menjelang pemilihan ini sudah tidak mencerminkan apa yang dihasatkan itu. Sudah ada permainan kotor dan jijik. Sudah ada tuduh menuduh antara satu sama lain. Sudah ada elemen dengki dan khianat.

Kehadiran Zaid Ibrahim untuk bertanding timbalan presiden sudah diacah dengan berbagai kerenah yang memabukkan. Macam-macam tuduhan dan sindiran ditujukkan kepada Zaid. Kenapa? Ini sepatutnya tidak berlaku. Biarlah kalau Zaid nak bertanding, biarkan dia bertanding. Suburkanlah demokrasi dalam PKR.

Mungkin sesetengah orang akan menafikan menganggap PKR mengamalkan demokrasi tulen. Tiada apa-apa kecaman dan aktiviti memburukkan Zaid. Tetapi kalau dilihat kepada jawaban Zaid dan ulas atas tuduhan yang dilemparkan kepadanya ia menjelaskan hakikat itu. Ia sungguh menghairankan. Mungkin Zaid juga terkejut dan tidak percaya apa yang berlaku itu.

Sesiapa saja dalam PKR tidak perlu takut kepada Zaid. Beliau menyertai parti itu kerana tidak yakin kepada Umno. Beliau mahu lari dari tindakan non demokratik dalam Umno. Dia mahu melihat sejauh manakah demokrasi dalam PKR. Kalau keadaan dalam Umno sama juga dalam PKR tidak ada guna beliau bersusah payah menyertai PKR. Beliau boleh merayu dan kekal menjadi ahli Umno ataupun beliau tidak menyertai mana-mana parti politik.

Mereka yang cuba menghalang Zaid seharusnya sedar dan malu diri sendiri. Mereka kena yakin kepada diri sendiri. Kalau mereka benar-benar diterima ahli, menjadi jagohan kepada parti banyak berkorban, mereka tidak payah risau. Zaid masuk PKR hanya beberapa hari saja. Dakwat yang digunakan untuk menanda tangani borang pun masih belum kering lagi. Tidak mungkin dalam tempoh terdekat Zaid mengatasi mereka.

Orang yang takut kepada Zaid mereka yang tidak yakin diri. Mereka yang bukan berjiwa besar dan bersemangat demokrasi tulen. Tidak percaya kepada diri sendiri. Orang seperti yang sanggup menodai demokrasi untuk kepentingan diri awal-awal lagi sudah tidak layak untuk menjadi pemimpin kepada Parti Keadilan Rakyat.

Saya juga ingin nasihat Zaid sekali lagi. Kalau beliau juga tidak sedia menghadapi kerenah persis dalam Umno yang kini wujud dalam PKR, keluar sajalah. Beliau atau sesiapa saja tidak akan memperolehi keadilan mutlak, demorkasi tulen serta keihlasan dari sesiapa dalam sebuah badan bernama politik. Saya sudah katakan politik berpaksikan kepada 4C.... 4C. Kalau kamu tidak sedia menerima paksi ini, jadilah seperti saya, penulis, pemerhati dan perakam sejarah politik saja.

Zaid hendaknya jangan peduli apa yang dituduh kepadanya. Beliau juga harus menghadapi pertarungan itu dengan keyakinan dan wibawa yang belau sendiri miliki. Berada dalam politik tak ubah berada atas perahu di samudra luas dan bergelombang. Orang bukan saja setakat sanggup memfitnah membunuh pun boleh dilakukan. [pp kel.9:20 am 16/09/10]

Sunday, June 27, 2010

Susupan Petang

Kerenah PKR Selangor Memeningkan Kepala Anwar

DALAM politik begitulah, jika ada berita spekulasi ianya akan dinafikan sekeras-kerasnya. Dalam masa sama musuh politik dijadikan kambing hitam dikatakan pengacau. Semua isu yang timbul semuanya dicampakkan kepada pihak musuh yang punya kerja. Mereka sengaja menimbulkan untuk mengeruhkan keadaan, itulah ayat yang biasa didengar. Sumpah mati mereka tidak akan mengaku. Mereka akan menafikan sampai timbul urat semereh di leher.

Begitu juga dengan apa yang berlaku di Selangor - kata mengatakan antara Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim dengan Azmin Ali. Kedua mereka nampaknya saling cuba menafikan dan menjaga apa yang ada dalam kain masing-masing. Sikap mereka seakan melindungi apa yang berbau di dalam dari dihidu orang di luar.

Azmin menafikan yang beliau sedang bergerak untuk menjatuhkan Khalid sebagai MB Selangor. Manakala Khalid pula mengatakan beliau masih steday, tidak ada apa-apa yang berlaku. Sokongan kepadanya masih kuat, katanya. Persetiaan dibuat oleh 17 dari 22 ketua bahagian PKR Selangor yang diadakan di rumahnya dijadikan hujah mengatakan beliau masih mendapat sokongan.

Sebelum ini tersebar desas desus mengatakan 15 orang ahli Parlimen akan meminta Khalid Ibrahim melepaskan jawatan Menteri Besar Selangor. Desas desus itu juga dinafikan. Azmin Ali sendiri menafikan dan beliau tidak mengetahui apa-apa mengenai cerita berkenaan. Katanya beliau bukan dalang mengenai konspirasi itu. Tetapi dalam penafian dan kenyataan Azmin mengenai desas desus itu dapat ditafsirkan ia berbunga-bunga dan penuh politik.

Nafi menafi ini akan berterusan. PKR akan cuba menutupnya serapat mungkin. Khalid Ibrahim katanya tidak menghadiri sepenuhnya retreat yang diadakan di PKR selama dua hari di Shah Alam. Hari ini pula Presiden PKR, Wan Azizah Ismail telah mengumumkan pertukaran jawatan Pengerusi PKR Selangor yang dipegang Khalid kepada Azmin Ali. Manakala ketua Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan yang dipegang oleh Azmin diserahkan kepada Zaid Ibrahim.

Pengumuman Wan Azizah itu dikira kemuncak kepada retreat berkenaan walaupun PKR menafikan bahawa retreat itu tidak membincangkan kedudukan Khalid namun pengumuman itu dilihat ia adalah salah satu resolusi utamannya. Sekali lagi PKR cuba menutup sesuatu yang sudah berbau.

Bagi mereka yang makrifat dengan sepak terajang politik dapat mengagak apa yang akan berlaku selanjutnya dalam PKR. Walaupun sejuta kali Khalid mengatakan beliau tidak merasa apa-apa dengan pertukaran itu dan Wan Azizah sendiri mengatakan ia atas permintaan Khalid, namun implikasi politiknya bukan berhenti setakat itu. Orang boleh membaca kilau dalam kilat.

Pertukaran itu akan terus ditafsirkan dengan berbagai marfhumnya. PKR Selangor khasnya tetap juga tidak akan damai selepas ini. Rakyat dibawah sudah lebur bercakap mengenainya. Anwar Ibrahim pula akan terus sakit kepala dengan kerenah yang bakal muncul dan kelihatan beliau sendiri serba salah untuk menyelesaikannya. Khalid dipilih Azmin adalah adik manjanya.

Saya yakin tekanan dan sindiran demi sindiran akan terus dikenakan ke atas Khalid Ibrahim selepas ini. Pertukaran jawatan dipegang Khalid kepada Azmin tidak akan menyelesaikan masalah. Sama ada jawatan itu atas kehendak Azmin atau sebaliknya ia tidak akan menyebabkan Azmin berpuas hati. Azmin mungkin boleh merasa megah dengan diberi kuasa menyelaras PKR Selangor, namun kuasa itu tidaklah memenuhui apa yang diidam-idamkan. Azmin tidak akan berpuas hati kalau beliau tidak dilantik menjadi MB Selangor.

Dalam bacaan politik di Selangor orang melihat Khalid diminta mengundurkan diri sebagai MB. Bacaan ini juga diterjemahkan daripada tindakan dan gelagat Azmin sendiri. Walaupun Azmin cuba menunjukkan keikhlasannya dalam soal menyokong Khalid ini namun apa yang tersirat di dalamanya orang maklum. Azmin semacam menanam tebu di bibir mulut dengan Khalid.

Justeru saya merasakan, keserabutan di Selangor tidak akan berakhir selagi Khalid tidak berundur dari kerusi jawatan Menteri Besar. Sama ada pengunduran itu bakal merobekkan keadaan PKR itu soal lain. Tetapi aspirasi atas segala yang berlaku di Selangor sebelum ini, termasuk isu rasuah dalam syarikat mengendalikan pasir, laporan rasuah terhadap Khalid mengenai lembu, kritikan dan teguran dalam mesyuarat atau pada kongres di Kota Bharu, semuanya tertumpu ke arah rasa tidak senang kepadanya. Semua itu merupakan signal-signal yang perlu difahami oleh Khalid dengan bijak.

Tegasnya masalah PKR di Selangor tidak akan selesai selagi Khalid tidak berundur. Soalnya kalau Khalid berundur apakah Azmin yang akan diangkat menjadi Menteri Besar? Apakah sekiranya Azmin menjadi MB ia disenangi oleh ahli dan penyokong PKR di Selangor serta rakyat seluruhnya.

Sebab, ada juga karektor atau sifat-sifat Azmin yang tidak disenangi di Selangor. Politik Umno masih terbawa-bawa oleh Azmin. Seperkara lagi dan ini paling bahaya, kalau Azmin menjadi MB Selangor maka tuduhan ke atas Anwar yang terlalu menganakemaskan bekas setiausaha politiknya itu selama ini ternyata menjadi benar. [wm.kl. 8:00 pm 27/06/10]

Sunday, May 30, 2010

Ulasan Kongres PKR

Kongres PKR Tetap Meriah Dan Bersemangat

BEBERAPA hari menjelang kongres tahunan PKR kali ke - 6 di Kota Bharu yang akan berakhir hari ini, Ezam Mohamamd Nor, alias Senator Boy telah turun ke Kota Bharu dalam rangka road shownya yang membawa apa yang dinamakan Kisah Benar. Beliau turun bersama boy-boy penjilat air ludah yang lainya.

Senator boy itu telah mengadakan ceramah sekurang-kurang di dua tempat, Kota Bharu dan Bachok. Ketika saya lewati jalan Merbau Kota Bharu petang semalam banner menghebahkan kehadiran Senator Boy berkenaan masih lagi belum diturunkan. Mungkin Bandaran Kota Baru memberu peluang untuk orang ramai mengetahui kegiatan senator boy berkenaan.

Dalam Kisah Benar, senator boy itu menceritakan seribu kebusukan bekas bosnya Anwar Ibrahim. Beliau menggunakan sepenuhnya jawatan senator yang diperolehnya itu untuk menjadi boy bagi menghentam Anwar semahu-mahunya. Ezam dari seorang hero merendah menjadi seorang kuli haprak demi survival politik dan popularitinya.

Seperti mana ulas seorang tokoh akademik, katanya kemasukan Ezam dalam dewan senat memberi peluang membolehkan Ezam terus menghentam dan mendedahkan keburukan Anwar. Pentafsiran yang menyalahi minda seorang pendita itu menjelaskan bahawa Ezam dijadikan perkakas menerusi jawatan berkenaan. Dan nampaknya beliau melaksanakan tanggungjawab itu dengan baik setakat ini.

Pandangan tokoh akademik itu begitu dangkal sekali, tetapi itulah hakikat yang berlaku kepada sesetengah tokoh akademik dalam usaha menjamin keutuhan diri dalam profesyennya sanggup menjadi pengampu. Pandangan seperti itu langsung tidak mencerminkan kualiti dan nilai sebagai seorang akademik yang seharusnya matang dan berwibawa serta melampau sempadan kewarasan orang lain.

Mungkin dinafikan oleh pihak senator boy berkenaan, road show ke Kota Bharu itu ada kena mengena dengan kongres yang sedang berlangsung sekarang ini. Road show itu sengaja dirancangkan untuk mesebotaj kongres berkenaan. Mungkin apa diharapkan dengan pendedahan kisah benar yang kebenarannya boleh dipertikaikan senator boy mengharap kongres itu tidak mendapat sambutan.

Road show yang dibuat itu sedikit pun tidak memberi bekas dan menjejaskan kongres berkenaan. Mereka yang menanti untuk melihat dewan Kelantan Trade Centra (KTC) tempat berlangsungnya kongres berkenaan lenggang dan penuh dengan kerusi kosong ternyata hampa dan kecewa.

Semasa hari perasmian dewan KTC yang boleh memuatkan kira-kira 3,000 orang menjadi penuh sesak. Pemerhati pula melimpah sampai ke luar. Bukan itu saja ada pemerhati yang kesal dan marah-marah kerana tidak dapat masuk untuk mengikuti upacara perasmian.

Limpahan para pemerhati dan orang ramai ini menunjukkan minat orang ramai kepada PKR masih ada. Mereka sanggup datang dari jauh untuk memerhati kongres berkenaan. Rasanya sengaja kongres diadakan di Kota Bharu untuk menguji sejauh mana minat, kesetiaan dan pengorbanan ahli dan penyokong PKR kepada parti itu.

Dari pemerhatian saya apa yang berlaku, tindakan meninggalkan parti oleh beberapa orang ahli parti itu termasuk wakil rakyatnya tidak menjejaskan PKR sebalik membawa rahmat lain kepada PKR. Ia menimbulkan kemarahan kepada pencinta keadilan yang dibawa parti berkenaan dan menjadikan mereka murka kepada tindakan itu. Sebagai hukumannya mereka ramai-ramai datang memberi sokongan kepada kongres berkenaan dan ada juga yang terus menyertai PKR sebagai ahli.

Penambahan ahli parti secara mendadak menjelaskan betapa PKR sedang menuju ke arah pemulihan dan pengukuhan yang jitu. Hari ini kira-kira 5,000 permohonan keahlian diterima pada setiap bulan. Sementara keahlian sah pula sudah mencecah ke angka 300,000. Angka ini sekaligus mengecewakan mereka yang ingin melihat PKR rebah.

Pada saya kongrs ke enam PKR itu ada kelas dan ada rohnya. Ada semangat baru yang berkobar-kobar dicetus atau pun lahir darinya. Mungkin secara keseluruhannya ia boleh disifatkan sebagai sedarhana tetapi sangat mantap. Kongres berkenaan juga boleh disifatkan sebagai penyaringan keahlian untuk membuang mana-mana ahli yang tidak yakin dengan perjuangannya.

Seperti mana kata Setiuasaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, kejayaan kongres di Kota Bharu melambangkan kejayaan PKR. Ia menunjukkan PKR masih utuh, kental dan mampu meneruskan perjuangan membela rakyat. Paling mustahak dari kongres itu ia menyerlahkan bahwa parti itu masih bernyawa dan sedia untuk berhadapan dengan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Seperti biasanya kehadiran pemerhatian dari beberapa buah kedutaan asing dan juga kepimpinan parti gabungan Pakatan menyerlahkan PKR masih hidup dan menjadi perhatian umum. Lebih bermakna lagi Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik juga hadir diberada di atas pentas utama yang diapi oleh Saifuddin dan Anwar Ibrahim. [wk.kl. 10:15 am 30/05/10]


Dr Wan Azizah sedang menyanpaikan ucapan dasar.

Sebahagian daripada perwakilan memenuhi dewan KTC.


Nik Aziz diapik Saifuddin dan Anwar di pentas utama


Dr Wan Azizah dalam skrin.


Beberapa wakil kedutaan asing yang turut hadir.

Kepimpinan Pakatan, kelihatan Mustapa Ali dan Husam Musa.

Salah satu kounter pendaftaran perwakilan.