Saturday, April 23, 2011

Kecek-Kecek Malam

Mentafsir Kenyataan Husam Yang Mahu Perkasakan Hadi

HUSAM Musa sudah pasti tidak akan melalui pertarungan ulangan untuk merebut jawatan Timbalan Presiden Pas. Pengalaman kalah di round pertama memberi pengajaran buat Exco Kerajaan Kelantan itu. Dia tidak macam Mohamad Sabu. Bila Husam tidak mahu mengulangi perebutan jawatan itu, saya rasa bukan bermakna dia 'kien', tetapi ia adalah tektik dan stretegi.

Politik Husam penuh tektikal dan berstrategis. Dia adalah gamat dalam lautan politik. Saya tidak mahu mengulas apakah strategi beliau untuk mengambil sikap mahasabah dan mendiam diri dari kocakan muktamar kali ini. Tetapi saya cukup yakin dia ada tugasan lain yang lebih penting hendak dikerjakan dari mengejar jawatan. Apakah dia kini sedang menumpukan untuk berhadapan dengan Gelombang Merah di Kelantan?

Apa yang saya rasakan macam benar, apabila hari ini Husam mempertahankan presidennya, Abdul Hadi Awang selalu presiden Pas. Selepas kena kritik kencang oleh Abdul Aziz Bari, Husam mempertahankan Hadi. Apakah ada lambungan, elusan dan gosokan dalam hal ini. Bagaimana pun saya harap Husam ikhlas dalam membela ketuanya.

Kata Husam, Presiden perlu diperkasakan bukan diturunkan. Jangan respon sangat kepada permainan media nanti orang anggap Presiden kita bermasalah. Begitu kata Husam dan ingatan Husam kepada ahli-ahli Pas sewaktu sidang akbar selepas merasmi muktamar Pas Kawasan Batu, Kuala Lumpur. Iya dalam politik bila seseorang itu banyak sangat digomol dan diuli lama kelemahan dia akan lembek dan lebam lepas itu dia akan luyah kemudian terus tidak boleh dipakai.

Saya tertarik bila Husam kata presiden perlu diperkasakan. Kena suntik elemen-elemen baru. Apakah elemen-elemen itu dan macam mana hendak diperkasakan? Apakah pada wajah dan pembawaanya. Misalnya hitamkan janggut dan misai Hadi menjadi hitam legam nampak muda beliau. Rasanya bukan begitu!

Ataupun bawa beliau main fusal atau takraw atau pun berfacebook dengan para pengikutnya. Boleh saja hendak mudakan dari segi perwatakan. Beberapa malam dulu saya makan durian di Jalan Alor, Bukit Bintang. Tempat sebegini rasanya boleh dijadikan ruang untuk memudakan pemimpin. Heret Hadi untuk makan durian dan bergaul dengan anak-anak muda. Sambil makan dia boleh berdakwah kepada anak muda. Tetapi masakan begitu caranya?

Apakah yang dimaksudkan Husam itu dari segi pemikiran, kenyataan-kenyataan politik biar berisi dan kemas serta berpandangan jauh dan dinamik. Berilah pandangan yang baru dan mengejutkan dan bukan berkisar kepada takak lama. Buat kenyataan dan ulasan yang digemari oleh media massa dan mengugatkan minda umum. Misalnya kenyataan seperti DAP barang lupus tarikh yang pernah diucapkan tidak menggambarkan dinamika pemikirannya. Memalukan kerana selepas itu Terengganu jatuh kepada BN, DAP pula menang besar.

Sebenarnya dalam usia seperti Hadi bukan mudah untuk kita perkasakan dia. Dia sudah immune dengan ilmu dan telaga pemikirannya. Kalau pun diberikan ubat kuat atau pun segala macam jamu dari Indonesia atau madu lebah dari Yaman sekalipun belum tentu dia akan jadi perkasa. Diamond siasahnya sudah pudar. Orang tua dia tetap dengan sifat dan perangai ketuaan. Jadi saya simpulkan Hadi tidak boleh diperkasakan dari untuk menyegarkan parti. Kecualilah para pembantunya termasuk Husam ikhlas untuk memperkasakannya sekurang-kurang dalam tempoh setahun dua ini.

Hadi akan kekal dengan stailnya. Stail Tok Guru dan ustaz yang menjadi pakaian dirinya sejak lama dulu. Idealisme perjuangan dan politiknya, akan kekal seperti mana yang dipegangkan hari ini. Mustahil Hadi akan menukar kitab politik dan budaya diri semata-mata untuk dilihat dia perkasa, gagah dan gah seperti mana dikehendaki Husam.

Pendapat Husam mengatakan BN hendak jatuhkan Hadi, saya rasa kurang tepat. BN tidak berhajat menjatuhkan Hadi. Kalau Utusan dapat dijadikan kitab muktabar Umno, akhbar berkenaan tidak menyerang Hadi. Yang diserang ialah Nik Aziz dan Anwar Ibrahim. Apakah sikap menyepi dan diam ke atas Hadi itu boleh diterjemahkan Utusan sukakan Hadi?

Kalau Utusan sukakan Hadi tentu ada sesuatu dari Hadi yang memberi laba kepada Umno. Di sini mungkin saja kerana sikap sedarhana Hadi dalam isu-isu Melayu dan hubungan kepentingan bersama Umno. Jadi kerana itu BN akan terus mengekalkan Hadi. Keperluan mengekalkan Hadi juga kerana UBN akan mendapat untung dalam perlawanan mereka dengan Pas. UBN mengira selagi Hadi kekal dengan kelemahan yang hendak diperkasakan Husam itu maka UBN akan mendapat keuntungannya.

Dari itu maka Utusan dan UBN tidak akan serang Hadi kerana mereka tidak mahu jatuhkan Hadi. Dalam hal ini pendapat Husam itu tidak betul dalam hal ini.

Jadi apakah maksud tersembunyi Husam bila menyeru supaya presiden diperkasakan? Apakah Husam mencari modal baru untuk masa depan politiknya dengan menganjurkan usaha mempertahankan presiden itu dengan harapan selepas ini balasan budi? Memang tugas ahli bawahan mempertahankan presiden. Namun dalam konteks ini saya meragui kalau pandangan Husam itu seperti apa yang difahamkan itu.

Dulu dia ikut bertanding timbalan presiden. Alasannya ialah kerana hendak menukar timbalan presiden. Tujuannya agar ia boleh menjadi pembantu atau timbalan yang baik. Tetapi nampaknya agenda itu sudah tidak ada tahun ini. Dimansuhkan. Apakah bila Husam tidak bertanding bermakna pembantu hari ini sudah baik dan cukup membantu? Atau apabila Kubang Kerian mencadangkan Mohamad Sabu, Husam melihat Mohamad Sabu akan menjadi timbalan yang lebih baik dari yang ada sekarang?

Kalau Husam merasa begitu kenapa tahun 2009 lalu beliau tidak biarkan Mohamad Sabu saja berlawan dengan Nasharudin Mat Isa? Kalau Husam memberi laluan kepada Mohamad Sabu ketika itu mungkin Mohamad boleh menang. Berbekalan kekalahan yang pertama tahun 2009 apakah Mohamad Sabu boleh menang kali ini. Pada saya dari mana juring pun dilihat langkah Husam tidak ikut sama bertanding satu kesilapan, apa lagi kalau tiba-tiba Mohamad Sabu menang. Dalam politik budi, jasa dan bakti jarang dikenang orang, dan apabila sudah berada di atas payah sekali untuk turun. Ingat ini.

Bagaimana pun pada saya pujian Husam kepada Hadi, membenarkan Kubang Kerian mencalonkan bekas MP Kubang Kerian itu ialah sebahagian simpang siur politik dan sepak terang yang harus kita renungi ke arah dalam dan bukan melihat dari atas permukaan saja. Selamilah maknawinya.

Sesungguhnya masa masih tersisa kalau Husam mahu mengubah niatnya untuk ikut sama memeriahkan muktamar dengan bertanding mana-mana jawatan yang lebih tinggi daripada Jawatankuasa Agung. [wm.kl.10:45 pm 21/04/11]

Laporan Malam

Bermesra Dengan Bloger Pertis

DUNIA siber bukan monopoli mereka yang celik mata dan sempurna fizikal saja tetapi ia juga turut menjadi sesuatu keperluan wajib dan ia juga merupakan media baru yang benar-benar memberi pelbagai maklumat kepada golongan yang cacat penglihatan. Bagi mereka yang jahil mengenai kebolehan dan daya upayadiri golongan ini mungkin akan merasa lucu kalau dikatakan orang buta juga mengikut perkembangan internet. Bagaimana ya?

Mereka yang pertama kali mendapat tahu hal ini mungkin sukar untuk mempercayai, dan akan menidakkan dengan rasa mustahil. Tetapi mereka yang hampir dan mesra dengan golongan ini tidak akan merasa ganjil dan hairan sedikipun. Penguasaan mereka ke atas ICT sama juga dengan penguasaan mereka yang sempurna fizikal.

Sebenarnya hanya mereka yang kolot dan berfikir usang saja menidak akan hak orang cacat penglihatan untuk ikut sama mengkuti internet, berblog ataupun berkomunikasi dengan pelbagai peranti ICT. Sebenarnya sudah lama revolusi kehidupan melanda orang kurang penglihatan cuma kita saja bersikap pesimis terhadap mereka kerana masih terkonkgong dengan fahaman dan anggapan lama.

Di negara kita banyak perkara yang masih belum terbuka dan agak canggung bila memperkatakan kehebatan orang kurang upaya ini yang boleh menguasai apa-apa peralatan yang dimonopoli oleh mereka yang sempurna fizikal. Mereka masih lagi kekal dengan tanggapan usang, bahawa orang yang kurang penglihatan hanya wajar diduduk di rumah, meritih nasib sendiri dan tidak perlu disediakan dengan sebarang peralatan moden. Atau paling-paling kalau ingin membantu mereka belikan tongkat atau spek mata hitam untuk mereka merayau mencari rezeki dengan meminta sedekah.

Sikap dan pandangan itu salah dan sudah lapok. Dalam hal ini orang yang celik ditinggalkan jauh oleh orang buta dalam merentasi gunung ganang kehidupan. Dunia sudah lama mengikhtiraf orang kurang penglihatan juga bangkit dan bagun membina diri sama dengan mereka yang sempurna segala-galanya.

Di negara-negara maju mereka menghormati semua golongan manusia dan orang OKU tanpa membezakan keupayaan orang buta dengan orang celik, malahan golongan ini diberikan berbagai anugerah dan sanjungan atas kehebatan dan kualiti mereka bukan kerana simpati terhadap kecacatan mereka.

Malahan dalam bidang-bidang tertentu golongan kurang upaya ini ternyata mengatasi kebolehan mereka yang celik dan sempurna. Bahkan ada yang lebih berjaya berbanding dengan mereka yang matanya celik luas sebesar telor ayam. Cuba buat carian dalam internet dan baca pelbagai kejayaan orang-orang buta ini di seluruh dunia. Di negara ini kita hanya merasa kagum dengan kebolehan orang buta menjadi hafiz, sedang kecemerlangan mereka merangkumi semua bidang.

Pagi tadi saya telah menghadiri satu majlis bicara siber anjuran Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pritis), bertempat di Dewan Utama Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) di Brickfileds, Kuala Lumpur.

Walaupun hari ini saya diundang khas untuk menghadiri muktamar Pas Kawasan Batu, KL tetapi saya tinggalkan kerana ingin bersama rakan-rakan yang kurang bernasib baik ini. Jadi bila Yang Dipertua Pritis, Sdr Zakaria Yahaya mengatakan niat untuk mengundang saya sejak beberapa minggu lalu saya cepat-cepat menyanggupinya, bukan atas dasar simpati tetapi kerana menghormati akan penglibatan mereka dalam dunia siber. Pada saya sendiri usaha Printis itu adalah satu rekod dan mencerminkan akan kehebatan orang buta.

Sungguh mengejutkan saya terhadap apa yang ditunjukkan oleh Pertis ini. Begitu juga dengan Insp Mohd Faizal Zainal dari Jabatan Jenayah Komersial Polis Di Raja Malaysia Bukit Aman kagum dengan usaha berkenaan. Beliau sendiri sukar untuk mempercayai akan kemampuan Pertis mengadakan majlis berkenaan. Baginya itulah pertama kali dalam hidupnya menghadiri majlis anjuran orang cacat penglihatan.

Faizal yang diteman rakannya Insp Redhuan Ismail menyampaikan ceramah berhubung undang-undang dan juga jenayah sivil menerusi ICT. Saya sendiri terkejut dengan statistik ataupun pelbagai bentuk jenayah yang didedahkan oleh Faizal. Apa yang didedah Faizal sesuatu yang agak baru buat saya. Jadi apabila Pertis mengudang penceramah seumpama itu ia merujakan saya, bahawa Pertis sebuah pertubuhan yang bertanggungjawab membekalkan ahlinya dengan maklumat dan mengetahui serba sedikit mengenai undang-undang berkaitan ICT dan akta yang melingkungi penulis (bloger).

Saya rasa usaha seperti ini belum pernah dilakukan mana-kama kelompok bloger di negara ini untuk memberi ilmu dan input informatif mengenai hal ehwal jenayah siber ini. Tetapi ia didahului oleh Pertis. Disinilah saya kata ada sesetengah bidang atau sudut orang kurang penglihatan lebih peka dan terkehadapan daripada manusia sempurna lain yang tidak pernah mengurangkan egonya.

Majlis tadi dihadiri kira-kira 30 orang ahli Pertis yang kebanyakan mempunyai blog, atau merupakan peminat blog pelbagai gerne di negara ini. Saya rasa mereka juga antara pelayar internet (neter) dan blog yang tegar. Ini terbukti apabila diadakan soal jawab soalan-solan yang diajukan atau persoalan yang dilemparkan semuanya persoalan semasa dan ia mencabar minda untuk menjawabnya.

Kepada saya apa yang dilakukan Pertis itu dengan memanggil pihak Jabatan Jenayah Komersial itu adalah sesuatu yang perlu ditiru oleh kelompok lain memandangkan timbul berbagai bentuk penulisan yang tidak bermaruah dalam blog akhir-akhir ini. Selain itu apa yang penting juga syarah dibawah tajuk; Jenayah Siber, Kita Bukan Jenayah itu, (kalau tak silap) cukup bagus merangsang dan berbentuk informatif. Tidak syak lagi dengan adanya ceramah dan maklumat seperti itu ia akan menjadikan bloger kita beretika dan tidak 'babuk' dalam penulisan.

Syabas kepada Pertis kerana berjaya mengadakan majlis berkenaan. Semoga selepas ini kita akan dikejutkan dengan ledakan pandangan dan pendedahan maklumat-maklumat atau ulasan yang canggih dari para bloger Pertis. Semoga. [chrs.9:00 pm 23/04/11]

Thursday, April 21, 2011

Menanti Maghrib

Anwar Adalah 'Binatang Jalang'

AKHBAR pro Umno hari ini telah menyiarkan di muka depan kononnya watak dalam video lucah yang sengaja disebar dan dibesar-besarkan itu adalah sepadan dengan wajah bapak reformis Anwar Ibrahim. Sepadan bukan bermakna itu sahih Anwar. Sepadan adalah iras-irasan yang bukan hakiki.

Laporan dalam akhbar itu juga menyebut polis sudah mengenal pasti di mana video itu diperbuatkan. Ianya dibuat di sebuah kondominum di pinggir Kuala Lumpur, bukan Muangtai. Manakala wanita yang terlibat dalam video berkenaan dikenal pasti sebagai gadis pelajar dari sebuah institusi swasta. Kenapa tidak dikaitkan dengan mana-mana IPTA awam, dari UIA ke UM ke atau UITM rasanya lagi sedap.

Apabila filem lucah itu dibuat di Malaysia maka mulai hari ini bolehlah diikhtrafkan Malaysia sebagai pengeluar filem lucah termahal dan terkelas sekali di dunia. Elok juga kalau festival filem tempatan mengambil kira filem berkenaan untuk menerima apa-apa award. Ia ditonton bukan saja oleh 30 juta rakyat Malaysia termasuk anak-anak di Tadika Kemas, tetapi oleh seluruh penduduk dunia. Apa lagi kalau pemainnya bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, menambahkan gimik kehebatannya.

Malang sungguh negara ini, sebab bekas-bekas timbalan perdana menterinya ditohmohakan dengan berbagai tuduhan yang kotor dan cemar. Satu masa dulu bekas TPM Malaysia dikatakan bertanggungjawab ke atas pembunuh beramai-ramai penduduk Memali mukim Siong Kedah. Selepas itu seorang bekas timbalan perdana menteri juga ditohmoh sebagai terlibat dengan pembunuh warga asing. Bekas TPM itu juga dikatakan terlibat dalam berkahlwat dengan seorang artis di sebuah resort di Port Dickson.

Jadi apabila Anwar yang juga bekas TPM dituduh dan dikaitkan dengan video lucah ia seakan melengkapkan kemisterian atau pun nasib malang dan warna huduh terhadap mereka yang bergelar TPM. Bagi Anwar pula pertuduhan itu melengkapkan segala rukun-rukun kejatan yang dilakukannya bagi menimbuskan kerjaya dan nilia juangnya.

Belum dikorek lagi apakah bekas TPM seperti Mahathir, Ghafar Baba atau Tun Razak Hussein juga ada kisah dan cerita sendiri dalam hidup mereka? Muhyiddin Yassin yang kini menjabat jawatan TPM juga harus waspada dan menjaga diri sebaik mungkin kerana beliau juga mungkin terkena tula jawatan itu.

Kata laporan akhbar pro Umno nombor 2 itu, polis tidak fokus kepada penyiasatan jam Omega yang dikatakan milik Anwar itu. Bagaimana pun jam itu sudah dikenal pasti ianya dibeli di Taiwan. Kata polis kerana ia sudah lama di beli (2004) dan tiada maklumat pemiliknya susah untuk menentukan jam itu kepunyaan siapa.

Bila polis berkata demikian semacam sudah ada kekenduran dari pihaknya dalam isu video lucah ini. Dalam kasus video lucah itu jam adalah bukti utama dan pokok untuk menentukan siapa sebenarnya watak yang mirip atau dikatakan sepadan dengan Anwar itu. Kerana dari jam boleh diambil DNA yang ada kepada pemiliknya.

Apabila tiada sebarang bukti jelas menunjukkan watak dalam video itu Anwar maka pertuduhan tidak boleh dibuat ke atasnya. Sesiapa pun tidak boleh mengesahkan lelaki itu adalah Anwar kerana tidak ada bukti-bukti kukuh.

Masalahnya tape atau CD video itu tidak boleh dipadankan dengan DNA Anwar yang sudah ada ditangan kerajaan hari ini. Jadi apakah maksudnya bila polis mengatakan jam itu tidak menjadi fokus? Kalau ia dibawa atau dilakukan juga tentu Karpal Singh akan mempertikaikan macam mana jam itu diperolehi nanti? Ini samalah dengan isu DNA Anwar yang diawal semasa dalam tahanan lokap dipertikaikan oleh Karpal Singh. Kerana cara pengambilannya tidak sah ia ditolak sebelum dibenarkan semula oleh mahkamah.

Perkara pokok yang akan dipastikan dulu apakah jam Omega itu jam Anwar? Tanpa ada pendaftaran pemiliknya ia sukar untuk dibuktikan. Apa lagi Anwar dan isterinya mengakui jam itu masih ada kepadanya. Kenapa Azizah tidak menunjukkan jam itu kerana mungkin beliau memilih mahkamah untuk dikemukakan bukti itu. Ini tentu atas nasihat peguam. Jadi wartawan dan mereka yang ingin melihat jam itu jangan emosi sangat dan perlu melihat strateginya.

Mudah saja kalau tidak ada bukti pihak pendakwaan tidak akan membuat pertuduhan. Anwar tidak akan dibawa ke mahkamah. Pendakwaan biasanya mempunyai bukti jelas dan konkrit kalau ingin membawa seseorang ke muka peengadilan. Tetapi dalam kes Anwar ini pendakwa boleh juga bawa Anwar atas tujuan hendak menyusahkannya.

Timbul seribu keanihan kepada saya dalam kes-kes membabitkan Anwar ini. Banyak perkara yang misteri, tidak lengkap, mengelirukan dan berlaku 'cocoh tarik' yang jelas. Bukti-bukti yang dibawa bagi mensabitkanya dalam sesuatu kes selalu longgar, bercanggah di antara satu sama lain dan tidak kemas dan boleh diubah-ubah.

Bukan isu liwat dengan pembacuh kopi, tetapi dalam isu liwat pertama dengan Azizan Abu Bakar dan gengnya dulu juga tidak kemas dan mengelirukan. Disebabkan kelemahan bukti-bukti dan alibi itulah maka kes liwat ke atasnya di buang begitu saja. Bila berlaku begini wang rakyat rugi dan maruah Anwar pula tercemar dan yang merugikan pihak berkepentingan rakyat akan marah.

Begitu juga dalam kes liwat dengan pembacuh kopi timbul beberbagai keraguan dan kekeliruan mengenai fakta kes dan bukti-bukti serta saksi yang dikemukakan oleh pihak pendakwa. Percanggahan laporan perubatan, tarikh kejadian dan banyak lagi menjadikan kes itu seperti mahkamah dalam wayang kulit saja.

Mulanya digembar gemburkan pihak pendakwa dibekalkan dengan video atau gambar yang menunjukkan Anwar sedang 'merukah ponggek' pembacuh kopi. Semua orang terngangga dan terkejut untuk melihatnya. Walhasil sampai di mahkamah tidak ada pun gambar yang dimaksudkan itu melainkan gambar 'mangsa liwat' itu dilihat keluar dari sebuah gate kondominum saja. Hai... Kalaulah gambar sebegitu sejuta kali pun ia boleh dibuat dan diadakan.

Ini dalam kes video lucah keadaan sama nampaknya berlaku. Bukti-bukti sahih mengatakan lelaki itu Anwar nampaknya gagal dikemukakan. Apakah tanggapan atau persepsi umum hanya melihat wajah itu sebagai Anwar akan diterima sebagai saksi? Kalau begitu adalah sangat 'tamada', sangat 'kodi', dan sangat naif mahkamah negara ini.

Kalaulah pendakwa turut juga mengheretkan Anwar ke mahkamah, maka jelas ianya satu usaha berterusan untuk menyusah dan memasungkan langkah Anwar agar tidak gugat kerajaan BN. Tindakan berterusan mencerminkan betapa bahayanya seorang Anwar kepada sebuah kerajaan seperti BN. Apakah ini juga boleh difahamkam bahawa kerajaan hari ini begitu takut sekali ianya runtuh kerana dengan keruntuhannya akan bercemperian segala macam noda, kebusukan dan hanyur lendir yang dilakukan ke atas rakyat?

Lakukan apa juga kezaliman dan kekerasan ke atas Anwar, beliau tidak akan mundur dan mengaku kalah. Segala tindakan tidak akan menghentikan Anwar dari terus menyerang dan mengaum. Beliau akan nekad melawan kerana dia adalah binatang jalang yang terbuang dari kumpulannya seperti mana diucapkan Chairil Anwar lebih 60 tahun lalu. Sebagai mana Chairil Anwar hidup sesudah kematiannya, maka begitulah Anwar akan tetap disebut hingga ke hujung zaman. Sesungguhnya api jihad Anwar boleh terpadam bila jasadnya ditinggalkan roh.

kalau sampai waktuku
ku mau tak seorang kan merayu
tidak juga kau
tak perlu sedu sedan itu
aku ini binatang jalang
dari kumpulannya terbuang
biar peluru menembus kulitku
aku tetap meradang menerajang
luka dan bisa kubawa berlari
berlari
hingga hilang pedih peri
dan aku lebih tidak perduli
aku mahu hidup seribu tahun lagi.
- Chairil Anwar.

[wm.kl. 7:00 pm 21/04/11]

Susupan Tengah Hari

Email 1 Malaysia Projek Politik

KITA berbangga kalau negera memiliki jenama kita sendiri. Jenama sendiri itu merupakan identiti kita. Ia menjadi lambang kehebatan dan ketamadunan bangsa. Sesuatu bangsa yang disegani di dunia ialah bangsa yang dapat meletakkan rupa dirinya agar menjadi perhatian sejagat.

Sebab itu berbagai jenama atau ikon telah direka ataupun dipamirkan untuk memperkenalkan Malaysia. Usah kira sama ada projek itu membazir atau tidak, tetapi tujuannya untuk Malaysia. Sebelum ini kita dikenali dengan pelbagai keunikan dan kehebatan tersendiri - yang dibanggai oleh pemimpin kita.

Untuk menyemaikan semangat petriotik kita pernah mempamirkan bendera yang terbesar. Selepas itu kita megah dengan menara berkembar tertinggi di dunia. Kita juga ada pusat pentadbiran yang canggih dan serba lengkap. Kita ada lagi litar lumba kereta F1 di Sepang meskipun manfaat dari itu bukan kita yang perolehi.

Dicelah-celah itu juga kita memiliki pelbagai keunikan dan kepelikan lagi yang jarang ada kepada negara-negara membangun lain. Pencapaian itu semua adalah hasil inisiatif rakyat selepas mendapat ilham daripada kerajaan. Berbagai aktiviti dilakukan rakyat dicatat dalam buku rekod dunia.

Antara rekod-rekod yang tersambar oleh kepala saya seperti, perarakan beca terpanjang, menyusun duit syiling tertinggi, kueh bakul terbesar dan macam-macam lagi yang tidak tergamak dan sangat lucu untuk difikirkan. Mungkin tanpa kita sedari juga buku rekod dunia turut sama mencatat Malaysia mempunyai 'katak-katak' politik yang melompat ke sana ke sini untuk mengisi perut sanggup membaham segala macam unggas dan sisa makanan. Ini juga satu kelebihan dan kehebatan Malaysia.

Tampaknya kegilaan mencatat kehebatan negara dan sekaligus meletakkan negara setanding dengan dunia maju lain, satu lagi jenama baru diperkenalkan. Kali ini oleh kerajaan. Jenama atau brand dimaksudkan itu ialah mewujudkan akaun email sendiri yang dikenali dengan nama email 1 Malaysia.

Rupa-rupanya perkataan atau atau jenama 1Malaysia ini 'menjadi' sungguh. Di mana-mana saja ia dapat ditemui, di kedai makan, kedai pakaian, kedai gunting, kedai kasut dan selipar dan sebagainya. Semasa saya mengunjungi pasar minggu di Serikin, Sarawak baru-baru ini terjumpa juga perkataan 1Malaysia di situ. Kali ini ia ditaruh di atas longgokan sejenis ubi, macam ubi keledek. Jenama 1 Malaysia dipakai untuk sejenis ubi keledek. Hebat.

Perwujudan jenama email 1Malaysia satu lagi produk mengambil nama slogan politik Najib, kali ini dalam bidang IT. Sebanyak RM50 juta diuntukkan bagi mewujudkan email berkenaan. Para penggunaanya ialah rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas. Perdana Menteri, Najib Razak sendiri melancarkannya. Najib tentu bangga kerana ideanya diguna pakai.

Ramai yang mempertikaikan sejauh mana keperluan email 1 Malaysia. Ada yang mengatakan membazir dan tidak perlu memandangkan pengguna sudah ada beberapa email lain yang diberi percuma seperti Yahoo, Gmail dan sebagainya. Menerusi email percuma itu pengguna boleh memilih apa saja yang dia suka. Makanya perwujudan email 1Malaysia tidak begitu praktikal dan memberi nilai tambah banyak untuk negara.

Itu kata orang, tetapi mereka yang memwujudkan email berkenaan ada tujuannya sendiri. Bila mana ianya dikhasnya kepada warga negara berusia 18 tahun ke atas. Apa yang nampak di sini ialah email itu akan digunakan sebagai alat untuk memberi maklumat kepada para penggunanya.

Segala polisi dan dasar kerajaan akan dihantar kepada pengguna menerusi email berkenaan. Kemuncaknya ia akan menjadi saluran berkempen yang paling berkesan untuk UBN. Email bolehlah disifatkan sebagai kamar tidur seseorang yang memilikinya. Segala berita, maklumat, provokasi akan dihantar terus ke dalam email dan boleh diakses di atas katil maupun bilik air.

Walaupun orang lain juga boleh menerobos tetapi pihak pengenadalinya lebih mempunyai 'autoriti' dan peluang lebih luas untuk memasuki ke kamar email berkenaan. Dengan cara itu pemilik email akan dapat menghayati apa juga bahan yang dihantar dengan lebih lunak, tenang dan meninggalkan kesan.

Perwujudan email berkenaan bukan soal perlu atau tidak, tetapi pada saya ia satu idea bijak kerajaan untuk mengadakan satu lagi ruang bagi kerajaan (sebenarnya UBN) berintraksi dengan rakyat yang mana maksud di sebaliknya untuk dijadilan saluran kempen BN.

Tampaknya selangkah lagi UBN ke depan dan meninggalkan Pakatan Rakyat. Makanya Pakatan Rakyat harus responsif kepada perkembangan ini kalau tidak mahu ketinggalan di belakang. Setakat mengkritik atau kewujudannya dengan menuduh sebagai tidak guna, membazir dan sebagainya ia tidak memberi apa-apa kesan dan kebaikan buat Pakatan Rakyat.

Apa yang baiknya mencari alternatif lain bagi mengatasi serangan baru menerusi email bernama 1Malaysia ini. [ttdi.kl12:00 t/hari 21/04/11]

Wednesday, April 20, 2011

Catatan Ke Dalam

Sumbangsih Terima Kasih

RASANYA masih belum terlewat untuk saya merakam terima kasih banyak kepada beberapa individu yang kini merupakan kenalan dan sahabat baru saya di Sarawak yang banyak membantu semasa saya turun ke Sarawak bagi meninjau pilihan raya umum yang lalu.

Khidmat bakti dan layanan mereka berikan untuk saya sungguh tinggi nilainya. Ketinggian itu tentulah melewati puncak Santubung yang nampak bagaikan perempuan sedang baring jika dipandang dari jeti Telaga Air. Matang.

Individu utama ialah sdr Cikgu Din, anak rantau asal Kelantan yang berjaya berdikari di Sarawak. Beliaulah yang menyediakan kemudahan untuk saya bergerak di Kuching. Terharu rasanya atas kebaikan budinya selama saya di Sarawak. Kemesraanya persis abang sendiri.

Beliau menyediakan makan, minum serta penginapan saya secukupnya. Tidak sepantasnya saya menerima segala layanan itu kerana siapalah saya sebenarnya jika dibandingkan fasalitis yang disediakan.

Namun itulah yang saya perolehi yang saya rasa seorang wakil rakyat pun belum tahu akan menerima layanan demikian. Ia berlaku bukan kerana ada sebab musabab berlandaskan kebendaan melainkan kerana ketulusan. Sebab itulah pertemuan yang disapa oleh hati menjadi lebih akrab daripada pertemuan yang disapa oleh pancaraindra zahiriah.

Saya tidak mengenali Cikgu Din, hanya berjumpa bila saya di Sarawak. Sebelum ini beliau adalah pembaca blog saya seperti juga penjenguk-penjenguk lain.

Tidak cukup setakat menyediakan tempat penginapan, makan dan minum saya juga disediakan seorang pengawal yang sedia membawa saya ke mana-mana. Dengan bantuan pembantunya sdr Mus menjadikan saya lincah untuk ke mana saja. Sesuai dengan Mus orang tempatan ia mengetahui ke mana saja denai dan lorong yang harus di tuju. Itulah perjalanan saya lancar dan saya boleh sampai ke mana saja.

Individu lain yang turut membantu saya ialah, Haji Sulai dari kampung Gerisik, seberang sungai Kuching Utara. Banyak maklumat mengenai sosial politik saya perolehi dari beliau. Sebagai bekas pegawai kerajaan yang pencen dan orang yang mempunyai kenalan dan hubungan ramai di Sarawak, dia menjadi semacam kamus kepada saya untuk mengenali budaya dan citarasa orang Melayu Sarawak.

Maklumat yang ada kepadanya darihal hal ehwal kehidupan Taib Mahmud dan longgokkan harta hingga kepada soal kelazatan kueh lapis Dayang Salhah dan khasiat gambir Sarawak diceritakan kepada saya. Beliau juga seorang pemesra dan mudah untuk dibawa berbual.

Selain itu tidak terlupa kepada sdr Isnawawi Morshidi. Kerana sudah tidak mahu menyusahkan Mus dan Cikgu Din saya menggunakan Nawawi untuk menjelajah ke beberapa kawasan yang lebih jauh dari Kuching. Dengan bantuannya Nawawi yang kami panggil Bang Is, saya dibawa hingga ke Serikin, Tasik Biru dan turut ke muka Gua Angin dan Gua Fairy.

Ternyata Bang Is ini seorang yang serba boleh dan lulus 'empat tapan' dalam kehidupan. Tetapi yang jelasnya dia lebih tahu mengenai gerak nadi serta aktiviti kemanusiaan lain di Kuching daripada politik. Ternyata walaupun baru kenal tidak sampai seminggu tetapi kami menjadi akrab seolah-olah sudah kenal berpuluh tahun.

Dalam pada itu tidak terlupa juga saya merakamkan terima kasih kepada rakan yang ikut bersama dari Semenanjung yang menjadi teman peninjau. Mereka ialah sdr Sobree Shafii, Rushdan Mustapa, Mohd Ali dan juga sdr peguam saya Md Radzi Mustapa.

Ohya saya hampir terlupa kepada seorang lagi sahabat yang menyedikan penginapan untuk malam terakhir saya di Sarawak sdr Zulimin Kazin taukeh Kopi Janda... usahawan muda yang kian meningkat naik waktu ini. Atas batuan kerjasama anda semua diucapkan terima kasih.

Pulau Pandang jauh ke tengah,

Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.

[wm.kl. 5:45 pm 20/04/11]

Mengalah Matahari

Menang Yang Tidak Memberi Ketenangan

PUAK pacar-pacar hina UBN di bawah gembira sakan bila BN berjaya mempertahankan kerajaan di Sarawak dalam pilihan raya 16 April lalu. Berbagai istilah atau pun gambaran dibuat atas kemenangan itu. Kononnya Pakatan Rakyat ditolak rakyat dan Anwar Ibrahim sudah tidak mendapat sokongan rakyat lagi.

Para dewa dan maharaja Umno pula membuat berbagai tafsiran dan konklusi yang hampir makna dan ertinya dengan pendapat pacar-pacar yang hina Umno. Apakah benar pendapat mereka dan kesimpulan yang dibuat itu tepat? Bagi mereka yang tidak kenal ilmu hisab dan hanya tahu kemenangan dari segi angka sahaja, memang iya, dan akan menerima apa yang raja-raja dan pacar hina Umno laungkan itu. Tetapi mereka yang tahu membilang, menghitung dan membuat gambaran dan analisa di masa depan sukar untuk menerima apa yang didakwakan itu. Apa yang berlaku di Sarawak itu meresahkan mereka yang memahami alunan politik.

Najib Razak sendiri rasanya tidak menerima kemenangan itu sebagai sebuah kemenangan mutlak. Kemenangan mutlak ialah memberi keselesaan dan rasa tenang hati berpanjang. Kita bergembira dan berpuas hati dengan kemenangan. Dalam konteks politik kemenangan dicapai itu boleh mengekal dan menguatkan kedudukan kita di masa hadapan. Memberi kekuatan untuk berhadapan dengan musuh.

Tetapi tidak begitu dengan kemenangan BN di Sarawak itu. Dari segi bilangan kerusi iya BN masih menang. PBB yang bertanding di 35 kerusi tidak kalah setengah kerusi pun. Kehilangan kerusi BN tidak sampai sesuku pun. Tetapi mungkin ada yang tidak sedar bahawa undi popular BN merosot sebanyak 8 peratus. Dalam perkiraan hisab orang politik dan ahli statistik 8 peratus adalah besar dan membahayakan kedudukan di masa depan.

Perbezaan peraatus undi popular di antara BN dengan Pakatan Rakyat sangat kecil. Perselisihannya tidak sampai 10 peratus. Kalau Najib atau mereka yang tahu menghitung dalam UBN tidak seronok dengan pencapaian itu adalah logiknya. Peratus itu tidak menjadi benteng untuk memastikan BN akan menang dalam pilihan raya umum kelak. Hakikat yang perlu diterima pengaruh dan sokongan BN merosot bukan menambah.

BN sendiri tahu kenapa mereka menang dalam pilihan raya itu. Apa yang dapat disumbat dan digunakan semasa pilihan raya umum itu tidak akan dapat dilakukan pada pilihan raya umum ke-13 kelak. Masa inilah BN akan mulai gelisah. Misalnya soal taburan wang dan segala macam kemudahan datuk nenek lain tidak akan dapat dilakukan, kerana tumpuan bukan saja kepada Sarawak saja lagi tetapi seluruh negara. Mustahil BN mampu melakukan apa dilakukan di Sarawak ke seluruh negara.

Boleh diibaratkan pilihan raya Sarawak itu sebagai pilihan raya kecil di mana BN boleh menyediakan apa saja kemudahan, memenuhi keinginan pengundi. Sebagai pilihan raya kecil oposisi akan tertekan dan ditekan dengan seluruh kekuatan yang ada. Tetapi pilihan umum ke-13 adalah pilihan besar yang mana BN tidak dapat memberi tumpuan khusus seperti Sarawak itu. Oposisi tidak boleh ditekan sebegitu rupa lagi. Keadaan ini menyebabkan Najib tidak 'belebel' banyak sangat dalam mengulas kemenangan itu. Apabila Taib Mahmud sekali lagi angkat sumpah ia mematikan seluruh pancarindra Najib untuk membuat previu kononnya kemenangan itu adalah kemenangan BN seluruhnya.

Pola pengundi di Sarawak itu membimbangkan BN yang patut juga dibimbangi oleh orang Melayu. Yang pastinya kerusi didominasi orang Cina akan terlepas kepada orang Cina (DAP). Orang Cina telah melakukan perubahan besar bukan saja setakat evolusi dan transformasi semangat tetapi sudah melakukan revolusi perubahan. Orang Cina sudah sepakat untuk merampas semua kerusi yang mereka dominasi tanpa berkongsi dengan siapa lagi. Mereka mula berbuat begitu kerana mereka sudah ada kekuatan, sudah ada ruang yang dibuka oleh pacar-pacar politik Melayu.

Kalau ingin tahu berapa kerusi yang akan menjadi milik Cina dalam pilihan raya akan datang cuba hitung sendiri dan lihat kedudukan taburan kaum di dalam sesutau kawasan parlimen. Dari situ nanti akan diketahui berapa kerusi yang bakal dirangkul oleh Cina. Parti yang akan menjuainya ialah DAP.

Dalam hal ini DAP akan menjadi juara. Kalau kerusi milik Cina sebanyak 50 kerusi, maka dalam pilihan raya akan datang kesemua kerusi itu akan menjadi milik DAP. Melihat keadaan sekarang, trend sokongan dan kesungguhan serta keinginan orang Cina, DAP bakal menjadi parti besar dinegera ini yang memiliki kerusi di Parlimen.

Gerakan, MCA, SUPP atau apa saja parti Cina lain sudah tidak menjadi parti pilihan masyarakat Cina lagi. Mereka semua akan bersatu atas satu parti. Apakah ada persepakatan secara semula jadi di kalangan kaum ini, ianya boleh dikaji dan diulas di lain masa dari berbagai sudut dan aspek sosial dan siasah.

Berbalik kepada Sarawak tadi, apa yang dapat disimpulkan yang berlaku dalam pilihan raya tempoh hari, Taib Mahmud menang dan kemenangan itu membolehkan dia tidur lena bersama isterinya tetapi tidak untuk Najib. Taib Mahmud mengangkat sumpah semula menjadi Ketua Menteri. Tujuan Taib Mahmud bertanding bukan ada yang lain melainkan untuk menang dan kekal sebagai Ketua Menteri. Taib Mahmud tidak akan peduli apakah Malaysia akan terus diperintah BN atau tidak kerana baginya yang penting dia menang di Sarawak.

Beliau tidak bimbang sama sekali akan kehilangan kedudukan dalam tempoh setahun dua ini. Seandainya Najib dan Umno tidak senang dengan sikap tamak dan gilanya, Taib boleh buat koner baring dengan menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat. Baginya apa yang penting dia terus jadi KM dan segala harta bendanya selamat.

Ini berbeza dengan Najib. Beliau mahukan kemenangan itu menjana kemenangan berterusan dan menyeluruh. Taib sudah mendapat mandat baru untuk lima tahun lagi, tetapi Najib masih hidup dengan mandat pinjaman dan pesaka dari Abdullah Badawi. Di sinilah perbezaan Najib dengan Taib. Kedudukan Najib sebagai PM masih belum selamat seutuhnya. Apa yang menjadi buruan Najib ialah kemenangan dua pertiga bukannya kemenangan tipis.

Tambahan pula pilihan raya bakal datang adalah yang pertama untuk Najib. Dalam pilihan raya ini dia perlukan kecemerlangan. Kalau dalam pilihan raya pertama itu BN sudah gagal mendapat majoriti dua pertiga, ibarat kata tidak lamalah Najib menjadi perdana menteri. Inilah yang merisaukan Najib menyebabkan keputusan pilihan raya Sarawak itu ditatap dan dihitung sepanjang malam kerana sudah terbayang bahawa beliau akan berhadapan dengan masalah.

Benarlah kata seorang aktivis politik veteran malam tadi; pola pengundian di Sarawak menyebabkan Najib tidak nyenyak tidur kandati BN menang. Itulah yang dikatakan kemenangan yang tidak membawa ketenangan! [wm.kl.9:00 19/04/110

Monday, April 18, 2011

Catatan Tengah Malam

Taib Angkat Sumpah Tanpa Pakai Stoking?

SEBELUM meninggalkan Kuching tengah hari tadi, sebelah pagi saya makan nasi kerabu di kedai orang Kelantan di Satok. Yang bawa saya tentulah sahabat seperjuangan, Cikgu Din. Dia datang jemput saya dan kami terus ke Satok. Di Kedai itu terjumpa pula anak pahlawan Sarawak yang asalnya dari Kelantan.

Orang ini hebat dan dia mengetahui banyak cerita dalam kain politik Sarawak. Saya akan cerita kemudian. Bersama si pahlawan ini ada dua lagi temannya. Mereka juga hebat dan merupakan orang 'besar' Sarawak. "Ini orang besar Kuching, MSO," begitulah beritahu Cikgu Din memperkenalkan kepada saya.

Sambil makan kami bercerita, macam teristimewanya mengenai politik Sarawak. Menarik, saya cadangkan untuk bukukan sejarah siasah Sarawak yang rasanya belum diangkat ke muka umum. Nantilah kalau ada masa free dan sponser saya akan ke Kuching dan cuba mencatatnya. Banyak manfaatnya. Rakyat Sarawak dan orang luar perlu tahu mengenai sejarah ini.

Sambil makan sambil bercerita. Walaupun mereka ini orang niaga tetapi perasaan mereka sama juga dengan rakyat kebanyakan yang lain. Semuanya benci dan marahkan Taib Mahmud kerana terlalu lama sangat jadi ketua menteri dan banyak harta rakyat disonglap dan disamun dengan terhormat.

"You ada dengar cerita mengenai Taib masa dia angkat sumpah jadi CM malam semalam?" tanya si pahlawan itu membuka cerita. Saya dengan pandir, menjawab tidak tahu. "Apa dia?" tanya saya.

"Kerana tergesa-gesa dia pergi angkat sumpat di Astana TYT tanpa sempat pakai stoking?" katanya. "Tak pakai stoking?" ulang saya percaya dan tidak dan disambut ketawa oleh orang lain. "Biar betul?" tekan saya.

"Iya betul tak sempat pakai stoking?" ulangnya, tegas dan kemudian berderai dengan ketawa lucu reamai-ramai. Kalaulah Taib dengar marah dia. "You tenguklah jam berapa dia pergi angkat sumpah kelamrin?" belum habis dia menjawab saya memintas; "iya saya tahu jam 10:30 malam,"

"Kenapa tidak sempat tunggu besok. Kalau iya pun tunggu hari siang,?" katanya. Semua yang ada di meja termasuk cikgu Din sahabat saya Rushdan terheran-heran dengan maklumat itu.

Bukan itu saja semasa majlis angkat sumpah itu menurutnya, Abang Johari Hj Openg yang digembar gemburkan akan menjadi penggantinya tidak hadir? Kenapa? Nantilah saya akan ulas di lain waktu, ini hanya permulaan cerita pelik dan ganjil di Sarawak sebagai ole-ole dari saya untuk para penjenguk blog Merah Tinta. [wm.kl.12:02 18/04/11]

Sunday, April 17, 2011

Pos Lewat

Pakatan Buat Sidang Akhbar Bersama

MAsih ramai pemimpin Pakatan Rakyat berada di Kuching. Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa, Timbalan Presiden PKR Mohd Azmin Ali, Presiden PKR Wan Azizah masih di Kuching. Sebelah pagi Wan Azizah kelihatan sedang minum pagi dengan Setiausaha Politik MB Selangor, Faekah Hussein di lobi hotel penginapan mereka di Grand Continenal. Kebanyakan pemimpin PKR menginap di sini selepas hotel lain tidak benarkan merekah menginap dengan berbagai alasan.

Nasharudin satu satunya pemimpin trrtinggi Pas yang masih berada di sini turut hadir pada sidang akhbar bersama pimpinan Pakatan Rakyat yang dikelolakan DAP. Hampir semua pemimpin tertinggi DAP hadir pada sidang akhbar berkenaan. Pengerusinya, Karpal Singh, penasihat Lim Kit Siang, Setiausaha Agung, Lim Guan Eng. Turut hadir sama bekas Pengerusi DAP Selangor Ronnie Lieu dan Naib Presidennya Tengu Aziz.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah juga turut sama hadir.

Suasana di sidang akhbar bersama itu jelas sekali terpancar kegembiraan dari kalangan pemimpin DAP khususnya. Beberapa orang calon muda DAP yang menang juga turut samaa hadir. Mereka berdiri di belakang di sepanjang sidang akhbar. Kemudaan mereka menyebabkan orang tidak menyangka mereka adalah wakil rakyat dan mungkin akan menyangka sebagai anak para pemimpin.

Kegembiraan juga terbayang diwajah semua para pemimpin Pakatan Rakyat. Sebaik bertemu mata mereka bersaling berpelukan sambil mengucapkan tahniah di atas kejayaan

Timbalan Presiden PKR Mohd Azmin juga masih di Kuching dan kebanyakan mereka akan meninggalkan Kuching esok atau lusa.

Sesudah Subuh

Bila Pilihan Raya Umum Ke 13?

Pilihan raya Sarawak sudah selesai. Taib Mahmud dah selamat untuk terus berkuasa, tidak siapa boleh ganggu dan persoal lagi. Kemenangan beliau adalah mutlak, walaupun hilang lapan kerusi tetapi wibawa kerajaannya tidak terganggu. Ketua Menteri 30 tahun itu tidak perlu gundah dan gerun kepada sesiapa lagi. Beliau boleh mengunjurkan kekayaan dan melakukan kemewahan seberapaa banyaka yang diingininya, tiada siapa lagi boleh menghalang.

Mandat yang diberikan rakyat akan diguna sepenuhanya. Mungkin Cina dan sedikit Iban akan menanagis dan sedih atas kemenangan Taib tetapi Melayau dan Melanau masih bergembira kekayaan Taib adalah kebangaan mereka juga. Bagi Melayu kerakusan Taib tidak memberi kesan kepadanya asalkan Sarawak diperintah oleh orang Melayu.

Dengan kemenangan semalam juga Najib Razak tidak boleh berkata apa kepada Taib. Ternyata Taib kini lebih hebat daripada Najib. Najib tidak boleh cakap banyak kerana Taib sudah mendapat mandat baru yang besar. Persoalan kini bagai mana dengan Najib? Najib belum boleh duduk selesa kerana mandat yang ada ada adalah pesaka dari Abdullah Badawi.

Apakah Najib akan segera memanggil pilihan raya umum ke-13 Najib mengambil peluang atas kemenangan di Sarawak untuk mendapat mandat baru? Ada kemungkinan. Najib dan BN kini sudah benar-benar selesa. Najib boleh mengira kalaulah orang Sarawak masih sayang kepada PBB maka begitu juga dengan orang Melayu Semenanjung masih sayang dan merasakan Umno kena terus disokong untuk meneruskan pemerintahan.

Bilakah Najib akan mengadakan pilihan raya? Ada mengatakan tempoh sesuai ialah antara Jun sampai September. Setengah logistik dan persiapan sudah pun dilengkapkan. Dengan kemenangan BN Sarawak semalam saya yakin Najib kini sedang mencari tarikh dan cerlak sesuai untuk diadakan pilihan raya.

Kepada pembangkang jangan berlengah dan mendakap diri lagi jentera pilihan raya disemua peringkat hendaklaha digerakkan mula sekarang. Jangan tunggu saat saat akhir. Kalaulah pembangkang masih tunggu dan lihat tak mustahil pilihan raya ke 13 ini boleh menyebabkan pembangkang akan menyesal dan menangis tidak berlaku. Jangan perkecilkan kekuatan dan senantiasa sedar akan kehebatan strategi BN. (kcg.Sarawak. 8:9 am 17/04/22). Maaf kalaulah kesalahan ejaan makin ketara kerana saya belum biasa menggunakan alat baru ini.j

Saturday, April 16, 2011

Sisipan Tengahmalam

Tahniah Taib Mahmud


Jam 10:30 malam tadi Pehin Taib Mahmud sudah selamat mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak. Dengan berlangsung angkat sumpah itu maka berakhirlah keresahan yang menghantui diri beliau sejam 10 hari lalu. Kini tidak ada siapa lagi yang boleh mempersoalkan kedudukan beliau sebagai KM Sarawak. Suka tidak suka beliau telah sah sebagai KM. Taib boleh kabar jawatan itu untuk lima tahun lagi.

Tahniah diucapkan kepada Taib atas kemenangan dicapai BN hari ini. Rasanya beliau sendiri tidak percaya dengan pencapaian kemenangan bergaya itu.

Kemenangan hari ini adalah hasil perjuangan yang belum pernag dilaluinya. Mungkin sejak menyertai politik pilihan raya semalam adalah paling pahit buatnya. Walaupun sebelum ini beliau sudah menempuhi apa yang dinamakan peristiwa Mingcourt hotel tahun 80-an dulu dimana satu komplot untuk jatuhkannya, tetapi apa dirasa semalam - pilihan raya ke 10 adalah paling pahit.

Semua pihak hendaklah menerima kemenangan Taib secara pro. Anggaplah ia satu keputusDdan mutlak tanpa ditohmahan dengan pelbagai tohmahan. Pihak yang kalah baik Pas dan PKR terima kemenangany itu. Meletakkan kemenangan BN itu kononnya kerana berlaku penyelewengan dan sebagainya rasanya bukan alasan tepat. Walaupun mungkin ada elemen kotor dalam pilihan raya itu ia harus diterima dengan baik.


Apa yang penting Pas dan PKR kena aku beberapa kelayakan yang ketara dilakukan mereka. Satu hakikat tidak dapat dilupakan ialah BN adalah parti asal dan alama yang mempunyai banyak pengalaman. Saya nampak kemenangan BN ialah kerana parti itu memiliki pengalaman berkenaan. Benar dari segi semangat dan azam PR kuat dan tinggi tetapi kerana kekurangan pengalaman menyebabkan mereka kalah.

Jika diteliti ada beberapa faktor asas yang jelas yang membawa kekalahan kepada PR. InysaAllaha saya akan ulasa kemudian nanti dalam Siasah.

Akhirnya sekali diucapkan tahniah dan syabas kepada pihaka yang menang dan pihak yang kalah jangan berputus asa. Dalam politik dan perjuangan tidak ada istilah kalah, yang ada ialah belum menang. Kepada BN khasnya Taib Mahmud dapat menjadi iktibar atas apa yang berlaku. Kalah beliau takdir enggan melepas kepimpinan BN ia bukan kesalahan KM 30 tahun itu tetapi salahnya rakyat Sarawak sendiri tanah masih menyanyanginya? (kcg 00:00 mlm 17/04/11)