Tuesday, August 9, 2011

Susupan Petang

Pas Tidak Perlu Jumpa Jais, Gereja

Parti Islam SeMalaysia (Pas) telah mengutus surat kepada Jais dan gereja Methodist Damansara Utama untuk berjumpa bagi mendapat penjelasan berhubung kejadian 'masuk tanpa diundang' oleh Jais ke gereja itu beberapa hari lalu. Surat untuk tujuan itu telah pun dihantar oleh Pas. Tarikh untuk bertemu dengan Jais ialah pada 15 Ogos manakala dengan gereja pada 16 Ogos.

Tujuan pertemuan itu menurut Setiausaha Agung Pas, Mustapa Ali ialah berhubung isu yang timbul sekarang ini. Pas nampaknya mengambil peranan untuk menjernihkan suasana. Peranan Pas itu memang pantas tetapi apakah dalam isu itu ia relevan?

Maaflah bagi saya rasanya tidak perlu untuk Pas mengambil peranan dan membuat pertemuan itu. Sebabnya mudah saja, isu itu sensitif dan ia bukan isu asal Pas walaupun ada kepentingan dengan umat dan negara ini. Pas pula gerakan politik Islam bukan gerakan Islam konvensional.

Kerana isu itu sudah 'dipolit' menjadi isu politik saya bimbang langkah Pas itu akan berbidas ke mukanya. Kata orang untung tak seberapa malu dan sakit pula yang diperolehi.

Sebelum ini sudah banyak pihak yang bercakap mengenai perkara itu baik atas nama peribadi sebagai seorang Islam, politician maupun penganut agama atau atas nama persatuan. Nadanya pro kontra dan menyebabkan ada ulasan dan komen itu berpihak dan ia mula menjadi polimek pula. Polimek itu bukan membawa kepada kekenduran tetapi menjadi lebih tegang.

Kerana telah timbul keadaan itulah saya bimbang bila Pas turut meminta penjelasannya akhirnya Pas terpaksa melakukan sesuatu yang boleh membebankan diri sendiri. Sebenarnya Pas tidak payah mendapat penjelasan baik dari Jais ataupun gereja. Bagi uruskan soal Jais, Pas serahkan kepada kepada Hasan Ali. Hasan adalah Exco dan dia adalah orang Pas. Pas boleh mendapat penjelasan daripada Hasan Ali dan mempercayai apa yang diperolehinya.

Saya sudah katakan isu itu bukan isu Pas. Ia isu semua orang khasnya isu Jais dan gereja berkenaan. Kalau benar dakwaan Jais ada aktiviti mengkristiankan Melayu, tanggungjawab membenterasnya bukan saja satu-satu pihak tetapi semua pihak. Saya tenguk dalam hal ini tidak semua memberi reaksi kepada isu berkenaan. Umno sebagai parti terbesar dan mengaku parti Islam nombor dua di dunia juga diam membisu. Begitu juga dengan rakan Pas dalam Pakatan Rakyat, PKR dan DAP tidak bersuara dan mereka tidak sesrius Pas untuk memain peranan.

Jangan pula kesungguhan Pas itu untuk menunjukkan dia parti dinamik! Kalau terlebih aji no moto pula susah juga nanti.

Jadi usahlah Pas memandai-mandai untuk mencari masalah. Apa juga ulasan Pas setelah mendapat penjelasan itu ia akan dilihat serong baik oleh lawan maupun oleh Islam dan Kristian. Kalau Pas memberi simpati kepada gereja dan menganggap masuk tanpa izin itu salah, orang Melayu akan marah kepada Pas. Sebalik begitu juga kalau Pas memberi kenyataan memuji Jais orang Kristian akan berkecil hati.

Jalan sebaiknya Pas mendiamkan diri dan jangan ada apa-apa ulasan dan pandangan. Rasanya tidak berdosa kalau Pas tidak mengambil peranan itu, atas maslahat politik dan agama dan juga bangsa.

Peristiwa sebelum ini patut direnung oleh Pas. Bagaimana perasaan orang Melayu dan Islam bila mana Mursyidul Am dan Presiden Pas pergi ke gereja dan menghulurkan bantuan bila gereja dibakar? Pas mungkin ikhlas dan suci hati tetapi ingatlah keikhlasan itu kadang kala tidak ada nilai dalam politik sekular.

Niat itu baik sebagai sesama insan dan toleran beragama. Tetapi apa kesan. Iya Pas mendapat perhatian dan pujian dari penganut Kristian tetapi dalam masa sama Pas juga mendapat kejian dari sesetengah penganut Islam. Apa yang kena faham, apa juga bantuan, derama dan nawaitu bila ia dilakukan dalam baju politik ia akan disuluh dari mentol politik. Apa lagi sekarang ini bersepak macam kacang butir jatuh ke tanah para NGO yang semuanya mendabik dada memperjuangkan Islam dan Melayu.

NGO inilah nanti akan menjadi macam angsa terlihat biawak akan membuangkan suaranya menempikkan ke arah Pas.

Saya sudah memesan kepada seorang pemimpin tertinggi Pas supaya menjaga hal ini. Pas jangan begitu jauh terlagak dalam usaha untuk mendamaikan keadaan. Entah pemimpin berkenaan sampaikan atau tidak. Tetapi bila Pas telah mencadang untuk menemui Jais dan gereja itu mungkin pesanan itu tidak sampai, ataupun diabaikan.

Pada saya, orang tidak akan menuduh Pas tidak bertanggungjawab kalaupun Pas tidak mengambil peranan dalam isu berkenaan. Orang sudah faham dengan kedudukan Pas dan perjuangannya. Sebaliknya kalau tidak kena cara dan kaedah tindakan Pas itu akan memakan diri sendiri. Makanya sekali lagi dikatakan elok kalau Pas batalkan saja untuk bertemu dengan Jais dan gereja secara rasmi. Pas tunggu sajalah laporan Jais dan denganlah penjelasan Exco Selangor yang juga ahli Pas itu, Hasan Ali.

Cara itu lebih afdal dan lebih selamat buat Pas. [wm.kl.6:13 pm 09/08/11]

Ulasan Isu

Sidang Parlimen Khas Perlu
Untuk Bincang Isu Daftar Pemilih


KATA Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri Aziz beliau tidak tahu bagaimana orang boleh mendaftar sebagai pengundi kalau seseorang itu berstatus kad pengenalan merah. Menurutnya seseorang yang memegang kad pengenalan biru saja boleh mendaftar sebagai pengundi. Apa yang Nazri cakapkan itu adalah mengikut law dan peraturan lazim.

Memanglah peraturan begitu. Hanya warganegara Malaysia yang mempunyai kad pengenalan biru saja yang cukup umur 21 tahun layak didaftar sebagai pengundi. Itu kehendak perlembagaan. Justeru secara diplomasi beliau menolak dakwaan pembangkang kononya ada pemegang kad pengenalan merah yang menjadi pengundi.

Beliau lantas meminta pembangkang mengemukakan bukti kepada SPR untuk ambil tindakan. Bila ada bukti itu maka SPR akan melakukan pembersihan.

Bukti apa lagi yang Nazri mahukan? Bukankah apa-apa yang didedahkan oleh media dan juga pembangkang itu merupakan bukti-bukti jelas mengenai kecacatan dan kelemahan SPR dalam mengendali dan menguruskan pilihan raya. Tidak cukup lagikah dengan segala bukti itu.

Cakap Nazri itu boleh dianalogikan begini, macam mana masih ada lagi pencuri dalam sebuah negara yang ada polis. Memanglah kalau kita menerima logik itu sudah tidak ada pencuri. Tetapi hakikatnya masih ada pencuri. Nah begitu juga apa yang berlaku dalam pendaftaran mengundi, masih ada penyelewengan terjadi.

Apabila Nazri menyuruh pembangkang mengemukakan bukti nampak akan keikhlasan menteri berkenaan terhadap isu yang ditimbulkan. Tetapi dalam masa sama beliau masih mengelak dan cuba menafikan apa yang berlaku. Dengan meminta dikemukakan bukti, sedangkan sudah berdozen buktinya menunjukkan dolak dalik Nazri.

Barang kali ada baik dan benarnya juga dalam menyelesaikan isu ketidaksempurnaan daftar pemilih ini kerajaan menerima cadangan pembangkang bagi mengadakan sidang parlimen khas bagi membincangkan perkara berkenaan. Jangan pula ditolak dengan alsan ia tidak perlu dan remeh.

Semalam pembangkang telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri meminta agar diadakan sidang parlimen khas.

Kalau Najib Razak ingin membaiki kelukaan yang dialaminya disebabkan tindakan kurang tegas dan tidak profesional sebagai seorang PM mengenai isu Bersih baru-baru ini Najib boleh menebus dengan memberi kebenaran mengadakan sidang parlimen untuk membincangkan apa yang ditimbulkan pembangkang itu.

Bukan saja untuk membaiki imej diri yang tercemar kerana sikap tidak tegas Najib tetapi sidang itu juga penting untuk mengembalikan martabat SPR sebagai sebuah badan bebas. Dalam sidang itu nanti buka seluasnya peluang kepada ahli-ahli Parlimen untuk membahas. Pembangkang pula akan menyediakan beberapa bukti yang dikumpulnya dan SPR menerusi Nazri boleh menjawab satu persatu.

Apabila Parlimen sudah mengambil keputusan berhubung perkara itu selepas ini tidak ada siapa lagi boleh mempertikaikannya. Kalau bukti-bukti dan dakwaan pembangkang itu betul SPR tidak payah 'memendekkkan lidahnya' untuk mengelak dari mengambil tindakan. SPR kena bertindak segera memperbetulkannya dan cara itu juga orang akan tidak persoalkan wibawa suruhanjaya bebas itu.

Begitu juga di sebelah pembangkang setelah kerajaan membenarkan sidang Parlimen khas itu nanti selepas ini jangan lagi diadakan apa-apa takwil. Mereka kena menerima keputusan sidang Parlimen itu sebagai penyelesaian. Sama ada penyelesaian itu negatif atau positif ia kena diterima sebagai 'konsensusnya' kerana ia telah diambil dari sebuah forum rasmi negara. Chau...[wm.kl.10:58 am 09/08/11]

Monday, August 8, 2011

Susupan Petang

Betulkah Menantu TPM Dapat Projek Biometrik?

KETIKA menghadiri majlis berbuka puasa di rumah Tengku Razaleigh Hamzah petang semalam saya didatangi oleh seorang kawan. Beriya dia menarik tangan saya ke tepi, menjauhi dari orang lain. Cara dia berbuat begitu seolah-olah apa yang beliau hendak beritahu itu perkara yang sulit dan amat penting.

Saya sambil membetulkan kain samping akur dengan tarikan tangannya. Berceritalah dia dalam keadaan serius dan meminta saya dedahkan. "You kena dedah ini untuk kebaikan negara. Negara kita sudah habis," katanya.

Dia ini adalah bekas Ketua Pemuda Umno di sebuah bahagian di Utara yang kini sudah tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti lagi kerana kecewa dengan apa yang berlaku dalam partinya itu.

"Biar rakyat tahu, dan jangan sampai rakyat dan negara terus kerugian," katanya bersungguh. Iya..iya saja apa yang diberitahunya. Kawan ini lalu bercerita bukan main serius lagi, siap dengan mimik muka dan mata yang terkebil-kebil. Peliknya dia selalu menceritakan sesuatu dan memberi maklumat tambahan tetapi tidak mahu tulis sendiri. Setahu saya dia juga ada blog yang dibangunkan dengan penuh kerahsiaan.

Apa ceritanya? Ceritanya sudah saya ketahui serba sedikit sebelum ini. Iaini mengenai penglibatan menantu Timbalan Perdana Menteri, Udin anak Yassin dalam dunia perniagaan. Menantu Udin anak Yassin itu dikatakan mendapat kontrek membekalkan komputer untuk sistem biometerik yang bernilai berjuta-juta ringgit yang hendak dilaksanakan kini.

Menurut kawan itu menantu Udin anak Yassin dikatakan memperolehi tander membekalkan komputer kepada lebih 300 buah syarikat yang mendapat tander untuk menguruskan Pendatang Tanpa Izin (Pati) dalam program pemutihan. Kawan itu siap sebut dengan nilai dan juga keuntungan yang diperolehi syarikat menanti Udin anak Yassin itu.

Katanya peruntukan untuk membekalkan komputer kepada 300 syarikat saja melibatkan RM15 juta dan peruntukan untuk Jabatan Imigresen RM600 juta. Jumlah itu katanya belum untuk Polis, SPR dan lain-lain.

Apa yang kawan itu persoalkan syarikat itu baru saja ditubuhkan dan tidak pun ada pengalaman dalam bidang perniagaan. Bukan itu saja tambahnya ada lagi hal-hal yang ganjil yang berlaku di sebalik tander berkenaan.

Sebenarnya saya tidak pelik dengan kejadian seperti itu. Sebelum ini pun sudah banyak kali kita dengar kroni PM dan menteri mendapat projek itu dan ini. Dr Mahathir bergaduh dengan Anwar bukan fasal liwat sangat tetapi fasal Anwar cegah kerajaan bailout syarikat anak Mahathtir yang hendak mampus dan mengalami kerugian berbillion ringgit.

Itulah puncanya. Sebab itu Mahathir marah dan terkilan dengan Anwar. Mahathir merasa tindakan Anwar itu bagaikan lumoran tahi ke mukanya sebagai PM dan menganggap Anwar tidak mengenang budi. Cuba kalau Anwar menyokong bailout syarikat anak Mahathir itu mungkin Anwar tidak terpenjara dan nasibnya tidak jadi seperti hari ini.

Begitu juga di zaman Abdullah Badawi jadi PM. Kisah menantunya Khairy Jamaluddin dijaja dan dijual mendapat berbagai projek. Malahan Khairy dikatakan mempunyai kuasa pemutus dalam pentadbiran Abdullah terutama melihat projek-projek besar.

Kesimpulannya apa yang diceritakan oleh kawan itu tentang penglibatan menantu TPM dalam perniagaan tidak menghairankan. Cuma apa yang dibimbangkan kalau semasa bapa mertua jadi TPM menantu sudah untung besar bagaimanalah nanti setelah bapak jadi PM tentu untung berlipat kali ganda lagi.

Harap-harap ada orang akan hantar gambar menantu Udin anak Yassin untuk sama-sama kita tetap dan juga nama syarikatnya untuk kita semak berapakah modal berbayar di dalam syarikat berkenaan dasn siapa-siapa lagi rakan kongsinya. Jangan-jangan syarikat RM2 sahaja? [ttdi.kl.4:55 pm 08/08/11]

Gurauan Subuh

Pas Alah Sokmo: BN - Benang Nipu

PRIMADONA Umno bernama Mashitah Ibrahim (foto) menggelarkan Pas sebagai 'parti alah sokmo' atau parti senantiasa kalah. Pandai juga Mashitah menggunakan dialek Kelantan mencari akronim untuk mempersendakan Pas. Beliau lantas menyusun beberapa fakta atau bukti menunjukkan Pas kalah. Jika dipadan dengan rupa paras yang ayu dan berkulit putih kuning tidak seharusnya pemikiran kotor begitu tertempel di kepala Mashitah. Sayang...

Pemikiran begitu layak bertompok dalam kepala beberapa orang ahli Parlimen bebas saja, bukannya singgah dan bertempel di kepala Mashitah. Wajah yang cantik dan belengas itu dicatati oleh kenahilan politik.

Intipati kepada dakwaan Mashitah itu ialah Pas kalah kerana tidak berani bersuara membela agama dan sanggup menukarkan slogan ataupun melacurkan perjuangan demi menghormati DAP. Dalam kata lain kerna mementingkan kuasa Pas sanggup melupai perjuangan asalnya.

Perubahan slogan Pas dari Negara Islam kepada Negara Kebajikan dimomokkan demikian rupa tanpa memahami isi di sebalik perubahan nama itu yang tidak memesong perjuangan Pas dari hakikinya. Kalau Mashitah baca dan terima padangan Dr Haron Din mengenai huraian Negara Berkebajikan ini, nesccaya Mashitah tidak akan keliru, bahkan akan menjadi semakin jelas. Demikian juga kalau beliau arif mengenai sifir-sifir politik beliau tidak akan mempertikaikan di sebalik penggunaan slogan baru itu.

Selain itu banyak lagilah butiran atau pun hujah-hujah yang Mashitah tulis untuk membuktikan Pas 'alah sokmo'. Kesediaan Pas untuk menobatkan orang lain menajdi PM tetapi bukan Abdul Hadi Awang juga dianggap sebagai satu kekalahan Pas.

Saya tidak mahu mengulas kesemua sekali apa yang dicatat oleh Mashitah dan cuba memberi penjelasan terhadap butiran yang diturunkan oleh Mashitah itu. Tetapi saya hendak membalas akronim Pas Alah Sokmo dengan mengakronimkan BN sebagai Benang Nipu atau maksudnya menang dengan cara menipu.

Memang dalam demokrasi sekular yang diterima pakai di negara ini kaedah menipu diterima seadanya. Kaedah itulah yang memenangkan Umno dan BN selama ini kecuali di zaman Tunku Abdul Rahman yang mana penipuannya ditahap minima. BN - menenang nipu. Pelbagai bentuk penipuan dilakukan BN di sepanjang pilihan raya. Orang yang menipu akan menjawab atau mengiyakan dakwaan ini di balik pintu. Mereka tidak akan mengaku dikhalayak ramai kecuali mereka yang mukanya dilempar sambal...

Apakah ada perbezaan di antara kalah sokmo dengan menang menipu? Memang ada. Kalah sokmo lebih bernilai dan suci daripada menang cara menipu. Di manakah maruah parti Mashitah yang menang dengan cara menipu? Orang yang mementingkan soal maruah, soal kebenaran, soal hak akan merasa bersalah bila kemenangannya diambil secara menipu. Tipu adik beradik mencuri. Mencuri adik kepada merompak dan melanun.

Mungkin Mashitah akan bertanya bagaimana penipuan berlaku? Mustahil kalau Mashitah tidak mengetahuinya. Partinya selalu mengajar cara-cara dan teknik menipu. Penipuan itu bukan saja untuk mendapat kerusi tetapi penipuan juga sesudah menang dan menjadi menteri. Ibu perompak akan melahirkan anak pencuri. Tidak boleh lari.

Sebagai seorang yang berkecimpung dalam politik hingga menjadi timbalan menteri, Mashitah mungkin ada pengalaman sendiri bagaimana dia tertipu. Kisah TV Hijrah adalah sejarah adalah iktibar terbaik untuk mengenali bagaimana berlaku penipuan! Untuk mengatakan Mashitah menipu tidak mungkin kerana dia dilihat sebagai insan yang memahami hukum hakam. Lagipun tidak senonoh kalau orang perempuan ikut melakukan perbuatan menipu kerana menipu adalah kehidupan para jalang.

Tindakan Bersih menuntut pilihan raya adil dan bersih jelas membuktikan berlaku penipuan dalam pilihan raya yang dikelolakan oleh kerajaan Menang Nipu. Kalau tidak ada penipuan kenapa harus diwujudkan Bersih. Tidak ada orang mahu menyusahkan diri untuk keburukkan dan kedurjanaan kecuali orang tidak kurang cerdik (baca bodoh). Kerana penipuan itulah yang menenangkan BN. Tanpa penipuan BN tidak akan memang. Kalau Mashitah seorang muslimum yang mementingkan kesucian dan kebenaran beliau tidak akan menerima kemenangan BN dengan cara menipu itu.

Maruah kalah sokmo dengan menang sokmo dengan cara menipu jauh lebih baik dan murni kalah sokmo. Dalam Islam bukan soal menang dan kalah yang dihisab, tetapi soal hak dan kebenaran. Lebih baik Pas kalah beribu kali daripada menang dengan cara penipuan sejuta kali. Tetapi itu tidak menjadi masalah kepada BN kerana ia sudah menjadi budaya dan habit.

Kerana kemenangan dengan cara menipulah maka kerajaan BN kini menjadi huruhara. Tidak ada keberkatan. Bila rakyat sudah sedar dan mereka tidak boleh ditipu lagi maka BN ketika itu akan kalah. Sudah kelihatan ciri-ciri ini. Pilihan raya ke-12 lalu sehinggakan BN hilang empat buah negeri adalah kerana kesedaran rakyat. Rakyat sudah mengetahui bahawa mereka ditipu dan sudah tidak mahu tertipu lagi.

Saya rasa orang Pas yang insaf dan faham perjuangan tidak berdukalara atas kekalahan sokmo kerana ditipu BN itu. Orang Pas kena terima istilah dicipta Mashitah itu - kalah sokmo. Pas akan kalahan sokmo selagi berlaku penipuan dan rakyat belum sedar semuanya. Pas alah sokmo kerana BN menipu. Ingat BN ingat Benang Nipu. [wm.kl.6:42 am 08/08/11]

Sunday, August 7, 2011

Bingkas Penjenguk

Isu Kristianisasi Bukan Baru

PAGI ini saya menerima satu email dari penjenguk setia (saya kira) blog Merah Tinta. Penjenguk ini terpanggil untuk memberi pandangan berhubung isu yang kini dalam pemerhatian umum – isu serbuan gereja oleh Jais.

Saya memahami apa yang hendak disampaikan oleh penjenguk ini. Ianya pengalaman yang cukup menyedihkan dihadpai beliau dalam usaha menjaga akidah umat Islam dan juga pengalaman merasai bagaimana kegiatan Kristianisasi di Sabah.

Sebenarnya bukan saja penjenguk ini mempunyai pengalaman merasai sendiri bagaimana dakwah Kristian berlaku dalam negara ini. Lama sebelum ini sekitar akhir tahun 1980-an saya telah mendedah dan membongkarkan kegiatan ini menerusi akhbar Mingguan Islam - ditarik permit tahun 1988.

Pendedahan itu tidak disenangi oleh Perdana Menteri ketika itu. PM itu membuat kenyataan sebagai membalas pendedahan saya di dalam akhbar itu dengan mengatakan pada tahun itu hanya terdapat tujuh orang saja yang memohon untuk menukarkan nama kerana mereka bertukar agama. Saya masih ingat pendedahan itu dibuat semasa PM itu mengadakan lawatan kerja ke Pahang.

Angka yang saya perolehi untuk membuat pendedahan ketika itu diambil dari berbagai sumber. Salah satu ialah dari iklan pengistyharan oleh mereka yang ingin menukar nama kerana mereka bukan beragama Islam lagi di dalam The Star. Iklan pengistyharan seperti itu kini sudah tidak dibenarkan lagi.

Cabaran dalam memperjuangkan agama memang hebat. Tidak mudah untuk membenteras gejala ini kerana tiada kerjasama dan tindakan tegas oleh agensi dan pihak berkuasa kerajaan. Perlembagaan dan undang-undang kita yang dibentuk dari semangat sekular juga memayahkan lagi tindakan ini.

Apa yang diluah dan dibimbangi oleh penjenguk itu saya sangat terasa dan itulah hakikatnya.

Kita yang berusaha membendungnya akan dilihat sebagai serong termasuk dituduh melanggar hak asasi manusia dan anti kebebasan beragama yang dibenarkan perlembagaan. Selain itu ada juga ancaman yang datang langsung kepada kita. Saya sendiri sewaktu mendedahkan gejala itu pernah dihantar Al-Kitab (Bible) di dalam Bahasa Melayu ke pejabat. Bible itu dikeluarkan oleh The Bible Society of Singapore, Malaysia & Brunei 1987. Saya faham mesej dengan pengiriman Bible itu.

Tetapi itu bukan boleh mengurangkan kewajiban dan tanggungjawab menjaga akidah umat Islam. Mungkin kerana saya tidak terbelenggu dalam arina politik maka kekecamukan tidak seperti mana berlaku hari ini. Semua itu ditangani dengan bijaksana dan berhemah.

Apa yang hendak ditegaskan di sini kebimbangan seperti mana diluahkan penjenguk itu dan orang Islam lain yang mencintai agamanya memang berlaku. Pengakuan pihak Kristian kononya mereka tidak mengambil kesempatan dari badan-badan kebajikan (sosial) untuk menyebarkan agama mereka tidak mudah untuk dipercayai. Semua pihak perlu mengawasi terutamanya pihak berkuasa kerajaan.

Saya turunkan di bawah ini rintihan dan rasa sedih penjenguk setia itu terhadap isu berkenaan. Mudah-mudahan apa yang dicatat itu dapat dijadikan iktibar kepada kita semua. Kepada pengirim diucapkan berbanyak terima kasih semoga saudara diberkati Allah. [wm.kl.2:50 pm 07/08/11]

Assalamualaikum wbt..Semoga Abg Ti sentiasa dirahmati Allah SWT.

Saya ingin memberi sedikit respon dan input mengenai isu geledah gereja di Damansara oleh JAIS.

Isu ini cukup panas dan menggusarkan semua pemimpin PR hatta penyokongnya. Pemimpin PAS sudah semestinya panas punggung. Mereka nak salahkan Hassan Ali (kemungkinan dia betul) takut orang-orang Islam menjauhi PAS, nak sokong JAIS takut komponen dalam PR melenting.

Pemimpin DAP pula mesti terloncat-loncat. Mestilah ia tidak akan menyokong justifikasi JAIS:bukan apa takut org2 cina dan pengikut Kristian menjauhi DAP dan beranggapan DAP diperkudakan PAS.

Abg Ti,

Sememangnya pendakwah2 Kristian aktif menyebarkan kristian. Pengalaman saya
mengajar di Sabah selama 5 tahun membenarkan perkara ini. Gejala murtad (muallaf) di sana semudah ABC, malah mereka tanpa gerun mengakui mereka pernah menjadi Islam khususnya sewaktu zaman Tun Mustapha.

Satu kes pernah terjadi kepada saya sendiri: Seorang pelajar tahun 1 mengatakan dia Muslim. Kawan-kawan dia kata dia memang kristian. Saya tengok rekod salinan Surat Beranak memang budak itu Islam. Maka saya ajar sampailah budak tu masuk tahun 2. Satu hari budak tu jumpa saya seraya berkata: Ustaz, saya silap, saya sebenarnya Kristian:Aduh, macam nak luruh jantung saya! "Nenek saya tidak mahu pelihara saya jika saya jadi Muslim", tambahnya.

Saya siasat lagi, rupa-rupanya ibu budak ini memang Muslim, dia dipelihara oleh neneknya yang murtad. Kini budak itu berada dalam tahun 4.Saya ada mengadu perkara ini kpd pihak pentadbiran sekolah, namun tiada tindakan diambil.

Seorang pelajar tahun 1 yang terang-terang Muslim mengikut surat beranak tidak mahu mengkiuti M.Pelajaran Agama Islam.Dia mengatakan dia Kristian dan selalu pergi ke gereja.Setelah saya siasat, budak ini tinggal dengan neneknya yg kristian. Ibunya muallaf tinggal di tempat lain.(Mengikut cerita budak ini, ibunya mahu dia jadi Kristian).Saya laporkan kes ini kepada pihak sekolah,sekali lagi pihak sekolah berdiam diri.
(Sebenarnya banyak kes seperti ini berlaku khususnya dikawasan pedalaman)

Saya musykil kenapa pihak berkuasa di sana (JHEAINS dan JAKIM) berdiam diri, sedangkan perkara seperti ini berada dalam pengetahuan mereka.

Longgokan pendakwah Kristian dari Eropah dan Korea yang berkeliaran di kampung2, dipulau2 di Sabah bukan lagi perkara rahsia.Mereka ziarah ke rumah2 orang Islam yang dhaif dan mula berdakwah.

Saya hairan dengan pihak berkuasa di sana( JHEAINS, polis dan ahli politik:BN) yang hanya berdiam diri melihat perkara ini. Tapi saya tidak pasti samada Sabah mempunyai enakmen seperti JAIS ataupun tidak.

Isu Hassan Ali yang menyokong JAIS sudah tentu akan jadi buah tanglung bagi UMNO dan medianya membelasah dan melagakan PAS dan DAP apatah lagi tatkala BN sdg menghadapi krisis keyakinan rakyat. Zul Kulim, Silentia Gila dan prof2 kangkung mesti melalak di akhbar selepas ini.

Abg Ti boleh menggunakan info yang saya ceritakan di atas untuk membalas hujjah dan mendedahkan kebobrokan pemimpin BN (UMNO) Sabah yang kononya membela JAIS, tapi buat pekak badak menangani kes yang lebih parah di Sabah.

Akhir sekali saya berdoa semoga Allah mengurniakan idea untuk menulis dan memberi pandangan kepada Abg Ti dalam merungkai masalah terbaru ini.Kepada pemimpin PAS sama-sama kita doakan semoga membuat keputusan yang bijak ibarat menarik rambut dalam tepung: rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.

Wallah hu a'alam.

Sesudah Subuh

Hasan Tidak Patut Jinakan Diri Dengan Utusan

HARI ini ada dua berita yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia (MM) yang saya merasakan penyiarannya bermotif politik yang sangat jelas, bukan atas semangat kebebasan bersuara ataupun menempati prinsip-prinsip journalisme. Dua berita itu ialah, penegasan Exco Selangor Hasan Ali yang mengatakan dia rela dipecat demi kepentingan akidah umat Islam. Berita berkenaan disiarkan di muka hadapan di jadikan headline dengan judul "Saya rela dipecat."

Berita kedua di sebelah dalam mengenai kenyataan Timbalan Dewan Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz. Antara lain berita itu melaporkan Nik Abdul menggesa supaya pemimpin Islam sepakat dalam isu akidah. Berita itu dibawah tajuk "Pemimpin Melayu perlu bersatu dalam isu akidah."

Kalau dibaca kepada tajuk laporan itu tidak menyeleweng ia merupakan pendirian dan sikap yang terpuji dan hasanah. Misalnya Hasan sedia untuk dipecat oleh parti dan juga digugurkan dari jawatan Exco kerana tindakannya itu. Ini bermakna beliau yakin dengan apa yang dilakukan. Laporan itu juga memberi gambaran Hasan adalah hero dalam membela Islam di Selangor.

Saya setuju atas ketegasan dan tanggungjawab Hasan. Sesiapa pun dan pada bila-bila masa tidak boleh bertolak ansur dalam soal agama atau akidah. Bila ada unsur cuba merosakkan keimanan orang Islam ia hendaklah diperangi habis-habisan. Apa lagi kalau orang itu mempunyai kuasa. Dalam konteks ini peranan dan tanggungjawab menjaga kesucian agama lebih penting dari menjaga kuasa politik.

Benar begitu. Kerana Allah dan Nabi menuntut menjaga kesucian dan maruah itu. Tahap penjagaan bukan saja setakat kena pecat dari jawatan hatta walaupun terpaksa menggadai nyawa sekalipun. Kerana mati di dalam agama adalah mati syahid. Kebanyakan para tabin dan sahabat Rasulullah s.a.w. syahid kerana mempertahankan kesucian agama Islam. Dan semua kita merindui syurga akhirat.

Bagaimana pun di sini satu perkara yang Hasan kena fikirkan dan orang lain juga; dalam konteks Hasan itu bukankan dia bersuara itu dari kuasa politik? Maksudnya kedudukkanya itu terhasil dari kuasa politik. Setelah partinya menang kemudian membentuk kerajaan PR Selangor lalu melantik beliau sebagai Exco? Kuasa politiklah yang melantik beliau dan beliau berada di situ adalah kerana politik.

Kita faham perlantikan itu amanah yang perlu dipikul. Satu tanggungjawab yang bukan boleh dimain-mainkan. Tetapi apa yang perlu diawasi ialah beliau harus bijaksana dalam melaksanakan tanggungjawab menerusi kuasa itu. Tanggungjawab Exco dalam membela agama bukan setinggi tanggungjawab Mufti yang dilantik khas oleh Sultan yang mempunyai bidang kuasa mutlak ke atas agama. Perlantikan Hasan adalah perlantikan menerusi instrumen politik.

Di sini kepentingan politik (kuasa) itu tidak kurang peri mustahaknya. Hasan tidak boleh bercakap seperti hari ini dan nilai suaranya tidak sehebat hari ini kalau beliau tidak seorang anggota Exco. Kalau tidak percaya cuba.. Hasan bercakap atas kapasiti dan kediriannya sebagai Hasan atau sebagai seorang fasilitator atau moderator yang handal. Nescaya kenyataanya tidak ada nilai langsung. Dia tidak pun akan diberikan ruang prime di akhbar berkenaan.

Apa yang saya hendak katakan di sini, maslahat mendapat kuasa politik (seperti hari) ini dan maslahat hendak menjaga agama itu sama penting. Jadi apabila Hasan mengatakan dia sanggup digugur atau dipecat adalah satu kenyataan yang merugikan dirinya dan merugikan umat Islam seluruhnya kandati pemecatan demi agama. Dari sudut lain kenyataan itu ada nada angkuh dan sombong.

Untuk menunjukkan keberanian dalam menegakkan kebenaran Hasan tidak perlu menjawab pertanayan soalan wartawan yang dipetik dari satu andaian direka-reka oleh manusia yang rosak akidah politik itu. Wartawan MM itu melontarkan pertanyaan itu setelah mementik andaian dibuat oleh seorang blogger yang juga ahli Parlimen yang kini demam akan kehilangan kerusi.

Sepatutnya Hasan tidak melayani persoalan itu dengan mengeluarkan pengakuan sejujur itu. Beliau boleh berhenti setakat mengatakan sekiranya parti merasakan tindakannya tidak benar dan bertentangan, terserah kepada parti. Tetapi apabila beliau meluahkan pengakuan begitu seolah beliau mencabar partinya dan meletakkan beliau dalam keadaan 100 peratus betul. Sikap merasakan kita betul, hebat dan tepat adalah bukan sifat mazmumah.

Kita memahami perasaan pejuang seperti Hasan. Dia mahu membela Islam dan bangsa. Mungkin luahan itu dilayani kerana kekecewaannya kepada parti yang tidak menyokongnya. Itu tidak menjadi masalah, sebagai pemimpin dan orang mukmin Hasan sudah terlepas dari dosa. Mempertahankan kesucian agama dalam bentuk itu adalah kewajiban umum (fardu kifayah). Hasan harus merasa senang kerana usaha itu telah memerdekakan orang lain dari menanggung dosa. Tindakannya sudah mendapat pahala.

Hasan tidak boleh mengharap segala masalah selesai dalam satu malam saja. Kain tidak akan kering kalau disidai di hari senja. Kuasa politik yang ada kepadanya adalah sedikit saja. Beliau sangat mengharapkan keberanian dan conscience beliau terhadap Islam beliau disokong oleh umat Islam lain. Tetapi apabila ada rakan sendiri yang skeptikal dengan usahanya inilah menyebabkan beliau kecewa dan sanggup untuk diambil tindakan oleh parti.

Semua yang Hasan lakukan itu betul, dari nawaitu kepada syariahnya. Cuma silapnya Hasan di sini menggunakan wadah milik parti lawan untuk meluahkan kekecewa dan membela diri. Sepatut beliau sedar akan realiti itu. Hasan boleh berkawan dengan wartawan atau penerbit, tetapi Hasan tidak boleh menerima atau berkawan dengan akhbar berkenaan yang ada agendanya sendiri. Inilah yang saya nampak satu kesilapan Hasan.

Apa yang hendak saya huraikan dan persoalkan di sini kenapa Hasan dan juga Nik Abduh memberi ruang kepada akhbar berkenaan untuk memberi semangat dan membela kepada mereka. Iya, mungkin kerana akhbar lidah parti tidak bersedia berkerjasama, memberi siaran kepada Hasan. Tetapi Hasan harus pandai menilai mana lebih menguntungkan dirinya dan politiknya dari MM yang menyiarkan kenyataan bersifat adu domba dengan akhabr lidah parti yang tidak menyiarkan kenyataanya, dan terlepas dari adu domba?

Kenyataan atau berita Hasan hari ini sudah tentu akan menjadi perhatian. Saya sangat merasakan tindakan MM memberi ruang begitu besar adalah untuk memerangkap Hasan dan juga Pas. Akhabr itu sudah tahu yang Pas akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa hari ini. Mesyuarat itu tidak akan terlepas membincangkan soal serbuan gereja oleh Jais itu. Jadi apa yang diharap akhbar berkenaan mesyuarat Pas itu akan menghimpit Hasan. Kemuncak harapannya ialah Hasan akan terpelanting dan kalau itu berlaku maka berjayalah akhbar berkenaan mencaing-caingkan Pas agar memudahkan Umno merampas Selangor.

Sama ada sedar atau tidak cara Hasan itu telah membantu musuhnya sendiri. Kalau kebetulan pula ada ahli jawatankuasa yang berkepala panas, mereka akan mengusulkan apa-apa cadangan yang boleh membawa kepada kemusnahan Hasan dalam politik dan juga Pas. Tetapi saya berdoa berkat Ramadhan al Mubarak ini tidak adalah apa-apa yang tidak baik dalam mesyuarat itu kelak.

Saya lihat kemesraan Hasan dengan akhbar Umno itu bukan hari ini saja, tetapi sudah lama. Beberapa isu-isu lain sebelum ini memperlihatkan akan kejinakan Hasan dengan akhbar itu. Hasan senang dan selesa menggunakan wadah berkenaan. Sikap Hasan ini bertentangan dengan partinya yang kurang selesa dengan akhbar itu.

Kemesraan inilah yang memberi liabiliti kepada Hasan. Menyebabkan parti mencurigai beliau. Betapa baik, ikhlas dan molek hasrat Hasan dan kenyataannya dalam akhabr itu, ia tetap akan diprejudis kerana ia disiarkan oleh akhbar itu. Walhal sepatutnya itu hak Hasan, tetapi itulah hukum alam yang patut diketahui oleh Hasan. Selagi beliau berada dalam jelumun politik beliau tidak akan terlepas dari hukum dan peraturan klasik itu. Politik itu penuh dengan persepsi dan sedikit sangat realitinya.

Untuk tidak terus dibaham delima dan rasa serba salah dan berdosa, elok kalau Hasan membuat mahasabah. Istikharah. Kalau sudah tidak betah untuk mengikut lenggang lengguk perlarian politik, bersaralah dengan baik. Undur saja secara sukarela dan carilah wadah yang lebih harmoni dan bukannya meminta parti untuk bertindak ke atas kita.

Tetapi saya percaya, kehandalan dan kehebatan Hasan dalam pancak mempertahankan agama selepas ini tidak sebesar kuasa yang dimilikinya kini. Tidak percaya cubalah buat. Sudah banyak sejarah pejuang-pejuang agama (mujhidin) yang berada atas landasan politik, yang sebelum ini tersebut, tersohor tetapi setelah terkehel dari rahang politik mereka diam membisu menjadi ular air yang kesirnaan bisa.

Sesungguhnya hukum karma dalam buana politik sangat menakutkan. Tepatlah kata bidalan, politik itu membeliti seluruh sendi-sendi kehidupan. Politik itu bagaikan ular sawa yang sentimental menjerut dan mematahkan tulang temulang mangsanya sehingga lemah longlai. Wahalahu'alam. [wm.kl.7:04 am 07/08/11]

Saturday, August 6, 2011

Susupan Petang

Serbuan Jais Ke Atas Gereja
Elok Pemimpin Pas Tidak Bersuara


Saranan supaya pemimpin tidak bercakap atau mengulas tentang serbuan Jais ke atas gereja Methodist di Damansara Utarama tiga hari lepas adalah tepat. Tidak perlu mana-mana pemimpin Pas mencari publisiti ataupun melepaskan kahak di mulut dengan ikut sama mengulas kejadian berkenaan.

Biarlah pihak Jais membuat penjelasan berhubung apa tindakan yang dibuat kerana badan itu yang bertanggungjawab dan tahu apa yang dibuat. Dalam hal ini Exco agama Selangor, Dr Hasan Ali perlu diberi ruang untuk bercakap sesudah Jais membuat semakan dan siasatan ke atas apa yang berlaku

Kalau lagi ramai yang cuba hendak bercakap, isu itu makin celaru dan ia akan berpolek kepada Pas.

Ulasan dan cakap pemimpin lain akan mengusutkan lagi suasana. Meneliti beberapa orang pemimpin Pas yang bercakap mengenai isu berkenaan saya nampak ia telah dimanipulasikan oleh media sehingga tindakan Jais itu telah menampakkan memberi simpati kepada puak gereja.

Jais dalam hal ini digambarkan oleh media sebagai bersalah dan tidak bertanggungjawab. Saya percaya semua kenyataan yang diberi kepada media itu adil atau tidak menggambarkan cenderong kepada mana-mana pihak tetapi ia dipulas dan dicerakin oleh media untuk memihak kepada gereja.

Kerja media sepatutnya disedari oleh para pemimpin Pas kerana mereka membawa agenda tersendiri. Kata orang peringatan cakap malam dengar-dengar cakap siang pandang-pandang hendaklah diguna pakai dalam hal ini atau apa saja isu yang sensitif.

Maka semua pemimpin kena berhati-hati. Usahlah memberi apa-apa kenyataan atau komen kepada media kecuali kepada media lidah parti. Wartawan pula hendaklah pandai memetik atau pun melaporkan kenyataan yang dibuat. Lebih baik jangan sesiapa bercakap lagi bagus.

Seperkara yang saya nampak dengan menelitikan kepada laporan yang dikeluarkan setakat ini, Pas nampaknya gagal mengeluarkan isu berkenaan dari berbelit dengan dirinya. Isu itu sepatutnya menjadi isu kerajaan Selangor, atau bukan isu Hasan Ali secara peribadi. Hasan Ali dalam hal ini tidak perlu disindir sehinggakan menguntungkan musuh.

Kalau Pas cuba hendak bercakap, sepatutnya orang berhak mengenai serbuan Jais itu ialah Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Mohd Rani Othman bukannya orang lain. Biarlah Dr Rani menjadi jurucakap tidak usah ditokok tambah oleh orang lain sebab dia adalah Pesruhjaya.

Saya rasa pemimpin Pas perlu mendisiplinkan diri dalam apa saja kalau tidak keadaan akan mudah menjadi celaru. [wm.kl.5:44 pm 06/08/11]

Sesudah Subuh

Calon: Pas Perlu Pakai Formula 40:30:30

[kemaskini] UMNO Kelantan khabarnya telah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13. Umno negeri itu telah pun meminta kesemua 14 Umno bahagian menghantar nama-nama calon untuk dipertimbangkan. Senarai calon sudah pun ada dalam tangan Mustapa Mohamed.

Hakikat ini diakui Mustapa sendiri. Menurutnya dia sedang memikirkan dan sukar juga untuk memutuskan siapa yang paling layak. Untuk setiap kerusi baik Dun atau Parlimen ada sekurang-kurang dua calon yang dikirimkan oleh bahagian. Jelas, Umno sudah pun bersiap sedia.

Bagaimana pula dengan Pas? Baru-baru ini Pas telah mengadakan itjimak (himpunan) di Genting, Tumpat Kelantan. Itjimak itu adalah gerakan semangat untuk menghadapi pilihan raya ke-13. Khabarnya itjimak itu mendapat sambutan hangat, lebih 10,000 hadir. Semua pemimpin Pas tidak memecilkan diri. Pas sendiri mempercayai bahawa pilihan raya umum ke-13 akan diadakan tahun ini. Persoalan kini sejauh manakah Pas Kelantan sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya.

Apakah Pas Kelantan sudah mengenal pasti calon-calon mengikut kedudukan kerusi Dun dan Parlimen? Atau Pas kini dalam proses membuat penilikan terakhir untuk menentukan calon-calon mereka? Atau sebahagiannya sudah dikenal pasti cuma ia menjadi pengetahuan pemimpin-pemimpin tertentu saja?

Pihak Pas Kelantan tentu ada formula tersendiri untuk membuat pemilihan calon kali ini. Sudah tentu Pas ada kayu pengukurnya sendiri untuk meletakkan calon atau pun untuk merihatkan mana-mana wakil rakyat yang dirasakan perlu diistirehatkan kerana berbagai masalah. Tidak dinafikan daripada 38 orang wakil rakyat Dun dan sembilan Parlimen ada yang cemerlang dan ada yang hanya setakat memanaskan kerusi saja.

Dari itu juga ada yang tidak dapat berkhidmat dengan baik kerana dirundung malang, sakit dan mengalami berbagai masalah termasuk isu-isu rumah tangga yang boleh menjadikan liabiliti kepada wakil rakyat berkenaan dan juga parti. Mungkin Pas Kelantan sudah mengenal pasti segala masalah ini dan tahu akan natijahnya jika mereka terus dipilih untuk menjadi calon.

Sebenarnya mereka yang demikian - bermasalah, tidak perlu menanti namanya dipangkah. Kalau mereka sendiri ikhlas mereka secara sukarela perlu berundur. Harus difahami sukar bagi Pas untuk membuang mereka kerana setengahnya ada yang menjawat jawatan Yang di Pertua Pas Kawasan ataupun mempunyai hubungan peribadi yang baik dengan pemimpin tertinggi Pas.

Apa yang hendak dikongsikan di sini sedikit pandangan mengenai kritria atau pun latar belakang calon yang akan dipilih atau diputuskan. Tidak dinafikan Pas mempunyai ramai calon berkelayakan. Ramai juga mereka yang sedang membersih janggut ataupun mempelajari sebutan terma dipakai oleh Pas. Sementara calon-calon yang sebelum ini 'monyok' dan selalu sakit kini sudah ceria dan menjadi sihat dengan tiba-tiba. Selalu menunjukkan kegagahan di khalayak. Semangat dan api plihan raya rupa-rupanya menjadi penawar mujarab buat mereka.

Seorang wakil rakyat yang sebelum ini agak liat untuk menegur dan mengenali orang tiba-tiba jadi aktif dan cerah bersinar biji mata. Semasa himpunan anak Kelantan di perantauan di Kelana Jaya baru-baru ini tatkala berjumpa dengan wakil rakyat ini, bukan main lagi rancak bualnya. Macam-macam idea yang ditumpahkan. Kita faham semua itu. Selalunya bila hampir pilihan raya semua wakil rayat jadi kenal orang, mengaku waris dan banyak bercakap.

Dalam keadaan Pas dilihat akan dapat mengekalkan pemerintahan di Kelantan - mengikut perkembangan semasa, maka makin ramai yang menawarkan diri untuk menjadi calon. Perebutan kecil juga belaku dan lobi melobi secara diam juga terjadi. Tok Guru pula semakin kerap dijejaki, ke mana Tok Guru solat akan adalah bakal-bakal calon pilihan raya mengikutinya.

Keadaan berlainan dengan suasana tahun 1980-an dulu di mana ada setengahnya dipaksa untuk bertanding kerana situasi waktu itu tidak begitu menyakinkan. Hari ini berlainan. Sebenarnya bagus kalau situasi tahun 80-an itu menjadi amalan dan ikutan ahli Pas. Berjuang dalam Pas atau dalam mana-mana harakah sepatutnya tidak semestinya perlu jadi wakil rakyat. Wakil rakyat hanya kebetulan saja. Itu ikhlas namanya.

Bukan saja mereka yang lahir di Kelantan tetapi yang beranak dan luruh tali pusat jauh di negeri lain juga ingin sama bertanding. Orang luar menjadikan Kelantan sebagai kawasan selamat atau negeri yang akan menobatkan mereka menjadi wakil rakyat.

Apakah kali ini orang Kelantan masih terus menerima orang luar? Sebelum ini terdengar ada juga desakan supaya orang luar tidak lagi diberikan 'suaka' politik di Kelantan. Katanya, konsensus tidak rasmi menyebut mana-mana calon yang sudah dua penggal berkhidmat di Kelantan perlu dirihatkan. Atau pun kalau Kelantan ingin bermurah hati eloklah diambil untuk satu atau dua kerusi saja.

Saya ada sedikit cadangan berhubung pemilihan calon kali ini. Tok Guru Nik Aziz sewajarnya tidak menekan kepada calon yang boleh menang saja atau mereka yang berlatar belakang agama atau mirip ustaz dan ulama. Ciri-ciri lain hendaklah dipentingkan sama. Satu perkara yang perlu diingati Pas sudah memerintah Kelantan selama 21 tahun.

Justeru calon atau kerajaan yang akan dibentuk di masa depan ialah yang dinamik atau boleh mengangkat martabat Kelantan ke tahap lebih tinggi dan mampan lagi. Ertinya calon bukan saja boleh menang untuk meneruskan kepimpin ulama yang idealis tetapi dapat mengisi kemenangan 20 tahun itu dengan perlaksanaan program dan projek yang realistik.

Makanya kepada saya ada tiga kategori calon yang perlu diutamakan untuk tujuan itu. Pertama, calon yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam bidang pentadbiran, pengurusan dan iktisas. Mereka yang tahu tentang politik, ekonomi, budaya, perhubungan luar negara. Juga mereka yang bijak dan kreatif dalam membawa apa-apa perubahan dan membawa idea baru. Calon ini hendaklah mewakili 40 peratus dari jumlah calon-calon Pas.

Kedua, kategori yang berlatarkan pendidikan Islam, yang tahu mengenai hukum hakam Islam dan prinsip Islam. Tahu mentafsir al-Quran dan al-Hadith. Yang masak dengan budaya Islam. Yang zuhud dan tawadduk. Calon ini hendaklah mewakili 30 peratus dari keseluruh calon. Kategori inilah yang akan jadi pancang atau teras kepada perjuangan atau kepimpinan ulama. Mereka yang akan memastikan Pas berada dilandasan asal perjuangannya dan tidak mudah diresapi dengan elemen luaran.

Kategori ketiga ialah calon yang mesra rakyat atau pun mengambil peduli kepada rakyat tidak kira di mana mereka berada. Mereka akan bertindak menjadi duta Pas di mana saja tanpa mengira kawasan. Dalam erti kata lain mereka dikenali oleh seluruh rakyat. Menjadi wakil rakyat kepada seluruh Kelantan. Untuk calon jenis ini mereka tidak memerlukan kepakaran, kelulusan peringkat Phd atau tidak semestinya seorang ustaz. Kategori ini perlu mewakili 30 peratus calon Pas.

Dalam pada itu Pas Kelantan atau Tok Guru Nik Aziz juga perlu memberi peluang lebih banyak kepada calon-calon muda yang berbakat atau pun tergolong dalam kategori berkenaan. Calon-calon yang sudah berusia lebih 55 tahun tidak perlu diperbanyakan. Adun yang sudah tiga penggal berkhidmat mungkin tidak diperlukan lagi melainkan mereka ada keistimewaan dan dapat membantu kemenangan. Kesempatan yang seluasnya harus diberikan kepada orang muda kerana ditangan merekalah negeri atau negara ini akan diserahkan.

Satu hakikat yang kena sedar dan insaf Pas sudah memerintah Kelantan selama 21 tahun. Hampir suku abad. Satu tempoh yang agak lama. Kerajaan Pas Kelantan sudah matang sebenarnya. Jadi sebagai sebuah kerajaan yang matang, Pas tidak lagi perlu menerangkan dasar dan matlamat parti. Kerja menerangkan dasar dan matlamat perjuangan Pas sepatutnya sudah berlalu. Era kini ialah era mengisi kemenangan dengan matlamat yang syumul. Jadi tumpuan yang perlu diberikan ialah pembangunan fizikal yang berlandaskan prinsip-prinsip perjuangan Pas.

Rakyat hari ini perlu disogokan (dibuktikan) kesan kepimpinan ulama itu bukannya setakat membaca ataupun menyebutnya saja. Salah satu aspek yang penting diberi perhatian kepada Pas dalam pilihan raya akan datang ialah menjadikan pembangunan fizikal melibatkan seluruh jajahan hingga ke luar bandar. Pembangunan iktisas biarlah menyeluruh dan jangan tertumpu di Kota Bharu saja.

Misalnya Pas boleh menjadikan kebersihan di seluruh jajahan di Kelantan sebagai agenda utamanya. Dalam pilihan raya akan datang molek kalau pembangunan atau soal kebersihan di PBT dijadikan fokus dan manifestasi jihad parti. Sudah sampai masanya bukan saja Kota Bharu perlu diorentasinya dengan budaya dan tradisi Islam tetapi jajahan dan daerah lain juga.

Untuk melaksanakan inilah rasionalnya calon profesional atau mempunyai pengalaman dalam aspek pengurusan dan pembangunan perlu diperbanyakan iaitu mewakili 40 peratus dari keseluruhan calon Pas. Sesungguhnya pilihan raya ke-13 adalah pilihan raya kritikal buat Pas Kelantan dalam usaha menyakinkan rakyat khasnya 30 peratus pengundi atas pagar memberi sokongan kepada parti berkenaan. [wm.kl.7:00 am 06/08/11]

Friday, August 5, 2011

Tazkirah Jumaat

Jalinan Kerjasama Antara Penganut Agama
Perlu Bijaksana

PENYERBUAN (masuk secara mengejut) pihak penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap majlis makan malam di Gereja Methodist Damansara Utama dua hari lepas sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Apa lagi kalau aktiviti yang berlaku ketika itu hanya majlis makan malam sosial untuk mengutip dana bagi membantu mereka yang susah.

Penyerbuan itu telah menjadi percakapan umum kini dan menimbulkan kekeliruan sejauh mana wajar atau tidak penyerbuan itu. Ini kerana hakikat sebenar di sebalik majlis itu tidak jelas apakah ianya sekadar majlis sosial atau bermotif tertentu. Justeru ada pihak yang beranggapan kejadian itu tidak menghormati hak asasi orang lain.

Di pihak gereja berkenaan seperti mana dijelas Pastor Daniel Ho majlis itu adalah majlis makan malam yang berkonsepkan 1 Malaysia. Ia dianjurkan oleh sebuah persatuan muhibah. Dalam penjelasannya tidak menampakkan ada unsur-unsur negatif di sebalik majlis berkenaan. Jauh sekali seperti mana tuduhan atau tanggapan di pihak Jais kononnya majlis itu ada motif negatif, untuk memurtadkan orang Islam.

Kalau benarlah ia setakat majlis makan malam, adalah kewajarannya kalau serbuan itu dipertikaikan. Tetapi apakah benar begitu? Penjelasan dan laporan penuh di sebalik kejadian itu hendaklah ditunggu. Jangan mana-mana pihak mengambil mudah membuat dakwaan dan pertuduhan yang boleh mengerohkan keharmonian hidup di negara ini. Jangan mudah menerima penjelasan pihak gereja itu yang majlis itu setakat makan malam saja tanpa niat dan nawaitu lain.

Logiknya Jais tentu ada alasan tersendiri kenapa mereka membuat penyerbuan itu. Tidak mungkin penyerbuan itu dibuat tanpa sebab. Sebagai badan penguatkuasa agama, yang bertindak menjadi pemantau untuk memastikan perkara mungkar tidak berlaku menjadi tanggungjawab institusi itu untuk membenteraskan apa saja kemungkaran. Cuma dalam hal ini Jais perlu bertindak profesional sejajar dengan ajaran Islam sendiri bagi mengelakkan ia ekstrem.

Seperti mana dijelaskan oleh Exco Kerajaan Selangor yang menjaga hal ehwal agama Islam, Dr Hasan Ali (foto) serbuan itu dibuat setelah adanya maklumat mengatakan di majlis makan makan itu ada kegiatan cuba hendak mengkrsitiankan orang Melayu. Antara bukti yang disebut beliau semasa ucapan di majlis itu ada menyebut al-Quran dan pray (doa).

Bukti-bukti lain sama ada risalah atau apa-apa dokumen yang boleh mensabitkan tuduhan itu tidak ditemui. Kegagalan menemui bukti lain menyebabkan dakwaan itu longgar.

Bagaimana pun apa yang mungkin menimbulkan keraguan di majlis itu terdapat kira-kira 12 orang Melayu. Kehadiran mereka itu yang dikatakan untuk berbuka puasa menimbulkan tanda tanya dan keraguan. Mungkin kalau tidak ada 12 orang Melayu itu Jais tidak akan membuat serbuan.

Harus difahami oleh semua orang termasuk media. Tindakan Jais itu dilakukan berdasarkan maklumat. Bila disebut maklumat sudah tentu Jais sendiri tidak dapat menentukan apakah berlaku usaha mengkristiankan Melayu dalam majlis itu. Serbuan itu merupakan langkah untuk menyiasat dakwaan berkenaan. Tiada apa-apa tangkapan yang dibuat.

Kejadian itu sudah mulai diperkatakan. Berbagai tanggapan juga sudah mulai wujud. Ada orang Islam sendiri nampak seakan kesal dengan tindakan Jais itu dengan berhujah tidak murtad seseorang Islam itu kalau dia hanya memasuk gereja. Kenapa harus membuat kenyataan itu yang seolah-olah cuba meremehkan tindakan Jais?

Memang benar seseorang Islam itu tidak akan jatuh murtad sekadar dia memasuki ke dalam gereja. Tuhan tidak pernah menegaskan demikian dan Muhammad s.a.w. tidak melarangnya. Bahkan rumah sembahyang bukan Islam boleh dijadikan tempat berlindung jika berlaku darurat. Demikian juga dengan surau dan masjid. Tidak menjadi masalah kalau mereka masuk ke dalam masjid hatta duduk di atas mimbar sekali pun.

Bagaimana pun perkara yang kena difahami, untuk masuk ke gereja bagi orang Islam ada peraturan dan adat-adatnya. Begitu juga dengan mereka bukan Islam untuk memasuki ke surau atau masjid ada adat-adatnya. Kemuliaan dan kesucian rumah ibadat itu perlu dijaga jangan sampai ia menjadi fitnah dan menyinggung penganutnya.

Dalam kasus gereja Methodist di Damansara Utama itu ia boleh dielakkan kalau semua pihak memahami adat-adat dan peraturan tersebut. Tetapi kerana ada sedikit kelalaian di sini menyebabkan berlaku apa yang tidak sepatutnya itu.

Misalnya kejadian itu boleh dielakkan kalau pihak gereja memahami akan pantang larang orang Melayu di dalam beragama. Maksunya adat dan peraturan yang terpakai dalam masyarakat negara ini, orang Melayu dilihat canggung kalau mereka memasuk atau berada dalam gereja kerana perbuatan itu asing. Apa lagi kalau pada ia masuk itu sedang berlangsung majlis makan malam atau berbuka puasa baginya.

Bagi orang Islam untuk berbuka puasa lebih afdal di masjid. Kalau pihak gereja mengerti akan hal ini pengajur tidak akan mengundang orang Melayu 12 orang atau lebih itu kandati atas niat yang baik dan tidak ada pun unsur-unsur kristianisasikan sekalipun.

Begitu juga dengan orang Melayu yang berada dalam gereja pada waktu itu tidak wajar mereka berada di situ. Mereka sepatutnya tahu adat dan peraturan agama. Sekali lagi saya katakan dalam konteks sensitiviti masyarakat (sosial) negara ini. Mungkin mereka jahil dalam hal ini atau menganggap tidak mengapa kerana nawaitu mereka baik. Tetapi mereka perlu menyemak dulu perbuatan mereka itu apakah sempurna atau pun bakal menimbulkan masalah.

Begitu juga dengan Jais. Memang tugas Jais untuk menjaga kesucian Islam. Tetapi dengan membuat pemeriksaan ala-ala serbuan itu ia tidak berapa elok. Apa salah kalau Jais setelah mendapat laporan menghantar sekadar dua atau tiga orang pegawai untuk menyiasat dan memastikan apa yang berlaku.

Pegawai Jais boleh kenal pasti sesiapa yang berada di dalam majlis berkenaan kerana jumlahnya sekitar 150 hingga 200 orang saja. Selepas dipastikan memanggilnya kemudian. Lebih lunak lagi kalau pegawai Jais memanggil pihak penganjur dan mendapatkan maklumat terperinci kemudian 'atukkan' - disemak dengan maklumat yang diperolehi. Sekiranya apa yang didapati itu benar, lebih bijaksana kalau Jais mengeluarkan peringatan ataupun amaran.

Rasanya kalau semua pihak, gereja, orang Islam 12 orang dan Jais bijaksana dalam menjalankan tanggungjawab dan peranan masing-masing kekalutan tidak timbul berhubung perkara itu. Tetapi kerana ada sedikit kelemahan dan kurang kebijaksana di sini maka kejadian tersebut sudah menjadi isu. Lebih parah dan kronik lagi bila ia ditarik ataupun diambil oleh orang politik untuk dijadikan modal dunia politik mereka. [wm.kl 2:20 pm 05/08/11]

Sesudah Sahur

Qaryah Ramadhan Terus Mendapat Sambutan

SETIAP kali menjelang bulan Ramadhan, Qaryah Ramdhan akan didirikan di perkarangan stadium Sultan Mohamad Ke IV di Kota Bharu yang sudah menjadi tradisi atau budaya yang tidak asing lagi di Kelantan. Qaryah Ramadhan ini adalah satu identiti Kelantan yang tidak kedapatan di mana-mana negeri di negara ini.

Rakyat Kelantan dan juga pelancong akan datang beramai-ramai untuk mendirikan solat terawih di Qaryah ini yang bermula dari 1 Ramadhan hingga ke akhirnya. Ternyata dari setahun ke setahun Qaryah ini semakin mendapat sambutan dari orang ramai dan ia sudah popular.

Tahun ini khabarnya khemah untuk menampung tempat sembahyang ditambah dan diperbesarkan lagi. Pun begitu kehadiran orang ramai yang makin bertambah menyebabkan khemah yang sudah cukup besar itu belum mencukupi.

Paling terasa ialah apabila ada program khas yang diadakan di Qaryah berkenaan sebagai aktiviti keagamaan tambahan. Selain dari mendirikan solat terwaih secara berjemaah aktiviti lain seperti tadarus Quran, tazkirah dan juga syarahan agama diadakan.

Majlis semalam yang mengundangkan Ustaz Azahar Idrus yang waktu ini merupakan ustaz disukai ramai, telah mendapat sambutan hangat. Lebiuh 5,000 hadiri kebanyakan anak-anak muda remaja hadir. Majlis atau aktiviti menjinakan anak-anak muda dengan keagamaan.

Untuk lebih menarik perhatian dan mendedahkan para jemaah Qaryah berkenaan dalam bidang pembancaan al Quran, untuk kali ini seorang al Hafiz dari Mesir diundang untuk menjadi imam solat terawaih di samping beberapa imam tempatan. Imam berkenaan mempunyai beberapa keistimewaan yang tidak sepatutnya dilepaskan pelung untuk mengenalinya.

Imam itu katanya boleh mengalunkan 14 jenis lagu ada lagu yang belum pernah diperdengarkan di Kelantan. Beliau juga khabarnya boleh meniru atau mengajukan gaya bacaan empat imam terhebat di dunia termasuk imam di Masjid Haram di Makkah dan masjid Nabawi di Madinah.

Ilham untuk membangunkan Qaryah Ramadhan ini datangnya dari Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Manakala ianya dikendali langsung oleh sebuah jawatankuasa dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandaraya Islam (MPKB-BRI).

Semalam saya menerima beberapa keping gambar yang dihantar oleh sdr Rzely untuk tatapan dan cenderamata khas untuk penjenguk blog Merah Tinta. Kepada Rzely diucapan berbanyak terima kasih. [wm.kl.5:20 am 05/08/11]


Tok Guru Nik Aziz ketika menyampaikan tazkirah di Qaryah Ramadhan.

Imam dari Mesir yang dibawa khas ke Qaryah Ramadhan.

Sebahagin daripada ribuan yang bersolat di Qaryah Ramadhan.

Di sebelah kanan kelihatan sebahagian jemaah muslimat.

Sujud mengagungkan Allah yang memberi segala nikmat.

Berjemaah mengeratkan tali persaudaraan.