Sunday, July 10, 2016

Saya juga merasai apa yang Dr Maza rasakan

REAKSI

Saya berkongsi perasaan yang sama dengan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin (Maza) berkaitan dengan "kebebasan akhbar" diamalkan portal berita MalaysiaKini yang menaik turunkan berita tentang pendakwah bebas Dr Zakir Naik yang memberi gambaran seolah-olah pendakwah itu menggalakan keganasan.

Dr Mohd Asri Zainal Abidin
Perkara itu sempat menjadi isu dan mendapat reaksi beberapa pihak sehari dua lepas.

Saya membaca artikel dalam portal berkenaan dan perasaan saya, samalah dengan apa yang menjadi tanggapan Dr Maza. Sebagai penulis kecil dan terlibat dalam dunia kewartawanan dan akhbar, saya memahami tujuan artikel begitu ditulis. Iya mungkin benar mahu mengamalkan kebebasan berakhbar, tetapi tidak dapat tidak di celah-celahnya ada nawaitu mencari keuntungan.

Sepatutnya portal berkenaan tidak menyiarkan artikel berkenaan yang sumbernya diambil daripada luar, atau daripada pihak lain yang tidak dapat disahkan kerana berkemungkinan ia berniat jahat. Bukankah ia meragukan? Walaupun selepas itu ada penjelasan atau komentar balas, tetapi ia meninggalkan sesuatu yang negatif.

Apabila Dr Maza melahirkan keterkilannya atas apa yang berlaku itu, bahawa portal berita berkenaan semacam ada niat halus untuk memburukkan Islam, itu persepsi yang diperolehi daripadanya oleh mereka yang bersifat intelegensi.

Teguran dibuat Dr Maza itu kena dengan kedudukannya sebagai seorang Mufti. Mufti perlu berpandangan lebih luas terhadap isu-isu kentemporari daripada terbelenggu dengan perasaan untuk menjatuhkan hukum atau "mengharbikan" mana-mana pihak. Kepekaan Dr Maza patut dicontohi oleh Mufti dan agamawan lain.

Berbalik kepada isu dimainkan oleh MalaysiaKini berhubung Dr Zakir Naik itu,  perkara ini memang disedari kalau kita mengikuti apa yang didedahkan oleh portal berkenaan. Kebebasan dan kepentingan awam itulah motto yang digunakan, tetapi di hujung yang terpendam ada niat tidak baik dan motif tersendiri.
Bagi saya portal ini kurang tanggungjawab kepada agama bangsa (0sendiri?), tetapi lebih mementingkan kepada komersil dan figure (pelawat)nya. Kalau ia ada tanggungjawab itu, berita dan kebebasan yang diperjuangkan itu akan dikawal dengan tertib sehingga tidak menimbulkan kecurigaan dan tanggapan seperti apa dirasai oleh Dr Maza dan saya.

Kita memang inginkan sebuah media yang bebas, tetapi kebebasan itu mesti terarah kepada kebaikan bagi sebuah negara dan bangsa. Piagaman yang perlu digunakan oleh portal itu dan juga media lain ialah piagam kebebasan cara kita bukan piagam dunia yang dijuarai Barat.

Kebebasan itu juga perlu dilingkungan dengan adat sopan dan mampu membawa kebaikan, wal hikmah. Jauh sekali kalau ia menjadi agen murahan kepada mana-mana pihak dengan ketara, seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, TV3 atau RTM. Media berkenaan menjijik dan menjelek serta membelakang etika sebenarnya dalam melaksanakan tanggungjawab sosialnya.

Walaupun Malaysiakini telah membela dirinya dengan memberi fakta apa yang ditulis itu adalah sumber dari luar, dan telah berlaku adil dengan menyiarkan kenyataan balas (penjelasan), tetapi ia tidak dapat menghilangkan tanggapan tadi. Kalau ia sudah diketahui sumber kenapa dipetik. Inilah menjadi persoalan dan menyebabkan timbul syak wasangka buruk kepada portal tersebut yang ia mempunyai agenda tertentu.

Wujud implikasi lain apabila berita atau perkara itu disensasikan. Mungkin niat portal berkenaan tidak sejauh itu. Tetapi apa jadi dengan pelawatnya? Penyiaran itu telah memberi ruang untuk pelawatnya berargumentasi, berforum dan bebas meluahkan pendapat sehingga mengecam pendakwah itu secara melulu. Ruang yang disediakan itu telah mewujudkan reforendum idea. Inilah kesan dan dapatan negatif daripada penyiaran artikel berkenaan.

Saya kira pihak Editornya arif akan kesan pengutipan bahan luar itu, dan ia tentu dibuat dengan ada motif tertentu. Ia tahu tindakan balas daripada penyiaran artikel itu. Sebuah media dianggap profesional tidak mungkin berbuat sesuatu tanpa motif. Pada asasnya semua media massa ada konsep dan prinsip serta nilai perjuangan sendiri. Apakah perjuangan MalaysiaKini dalam hal ini?

Sebenarnya, apa yang berlaku dalam portal ini bukan sahaja suka memainkan isu sensasi dapat mengaut pengunjung, tetapi turut juga memecah mecilkan pemikiran orang di luar sana. Sedar atau tidak MalaysiaKini telah menjadi atau membuka ruang untuk membolehkan orang bertelagah sesama sendiri, khasnya dalam aspek agama dan politik. Kesungguhan mereka mendomoinasi perkara ini seolah-olah menjadi modal perniagaan bagi mereka.

Peranan atau sikap demikian bolehlah disamakan sebagai menahan lukah dipergentingan. Tidak salah bagi portal berkenaan mencari untung dan laba besar, tetapi biarlah berpada-pada dan dibuat atas semangat mendokong pembangunan bangsa, negara dan agama (Islam).  [wm.kl.8:41 am 10/07/16]

Post a Comment