Monday, September 5, 2016

Hormatilah gencatan senjata Dr Mahathir - Anwar

ULASAN PETANG

Anwar - Mahathir bersalam erat.
[kemaskini] Pertemuan dan jabat salam antara Dr Mahathir Mohamad dengan bekas timbalannya Anwar Ibrahim hari ini suatu peristiwa mengejutkan. Keterkejutannya apa yang tersaksi hari ini sama dengan peristiwa 18 tahun lalu di saat Dr Mahathir mengumumkan Anwar dipecat daripada Umno dan jawatan timbalan perdana menteri.

Walaupun getaran rasa keterkejutan itu hampir sama, tetapi ia membawa nada berlainan serta sebak yang berbeza kandatipun air mata yang tumpah berwarna sama - putih bersih dan dingin. Rakyat khasnya penyokong Anwar sebak dan menangis apabila Dr Mahathir bertindak memecat Anwar dulu. Banyak air mata yang gugur dan ada yang karam di hati bertahun-tahun mengenang kesengsaraan dilalui Anwar.

Keterkejutan mendengar berita Anwar dilucutkan jawatan TPM dan dipecat daripada Umno 2 September 1998 ia mendukacitakan. Banyak orang mengalir air mata sedih dan pilu atas apa yang berlaku. Mengapa tidak, Anwar yang diharap dan diimpikan bakal menjadi pengganti Dr Mahathir, akhirnya terkanjak dari posisi itu.

Genta rasa terkejutan peristiwa hari ini, tentu berbeza dengan apa yang dirasakan ketika itu. Walaupun peristiwa petang ini, Mahathir berjumpa Anwar tidak memberi atau memenuhi harapan untuk kita melihat Anwar jadi PM dalam waktu terdekat, tetapi genta rasa keterkejutan hari ini membahagia dan mendamaikan semua orang. Hari ini air mata yang menitis bukan sedih dan pilu lagi tetapi sebak bahagia dan bangga. Ramai yang bersyukur atas apa yang berlaku hari ini.

Hari ini apabila kedua mereka yang terpisah sejak 18 tahun bertemu (dalam keadaan mengharukan), tentu ada yang menitis air mata sebak berbaur bangga. Pertemuan mereka di dalam mahkamah merupakan satu simbolik seolah-olah Dr Mahathir datang menziarahi Anwar dan memberi sokongan kepada perjuangannya. Ia juga boleh ditafsirkan satu apologis Dr Mahathir terhadap Anwar dengan apa yang dilakukan? Atau ia juga boleh disifatkan kedatangan Dr Mahathir untuk membebaskan Anwar?

Lewat petang ini Dr Mahathir hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai mengiringi (sekali gus berjumpa dengan) Anwar yang datang ke mahkamah memfailkan bantahan beliau terhadap Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN). Anwar membantah akta berkenaan dari perspektif perlembagaan.

Bekas presiden Umno itu yang juga bersependapat dengan langkah Anwar itu, tidak bersetuju akta berkenaan dilaksanakan kerana ia memberi kuasa kepada Perdana Menteri dan menyapu kuasa Yang di-Pertuan Agong. Bekas PM 22 tahun itu menyenaraikan 14 kuasa berpusat kepada Najib menerusi akta berkenaan. Penentangan terhadap akta berkenaan oleh mereka berdua menunjukkan mereka sehaluan dalam hal ini, dan tidak merelakan Najib terus bermaharejala dan meratah kuasa rakyat.

Tentunya pertemuan kedua mereka itu tidak sangat dilihat kepada kebersamaan berhubung akta berkenaan, walaupun itu alasannya, tetapi ia disuluh dan ditinjau dari sudut lebih jauh dan penting daripada itu. Apakah kesediaan Dr Mahathir berjumpa Anwar dan menyokong tindakan Anwar itu sebagai simbolik mereka akan bersatu untuk menjatuhkan Najib?  Itulah makna dan hakikat dari pertemuan itu kerana kalau tidak ada mengada tempua tidak akan bersarang rendah. Kunjungan Dr Mahathir itu juga satu pengorbanan besar untuk Anwar. Ini perlu difahami dan diterima dengan baik oleh pentaksub Anwar maupun Dr Mahathir.

Itulah yang disuluh umum dan akan diulas secara negatif oleh pendokong Najib selepas ini. Apa pun realitinya pertemuan kedua negarawan itu mengejutkan banyak pihak. Bukan sahaja rakyat tetapi mungkin ia juga tidak diduga oleh Najib dan Rosmah Mansor sendiri. Barang kali Najib ketika ini sudah memanggil biduandanya untuk membuat analisa dan telahan lanjut apa yang bakal berlaku dan dilakukan oleh kedua orang itu dan perlu membina kubu lebih utuh?

Boleh jadi juga pertemuan antara mereka berdua hari ini menganjakkan proses kelulusan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Tentu Najib membuat perhitungan panjang untuk meluluskan pendaftaran parti berkenaan?
 

Perjumpaan mereka berdua ini penting dan membuka sejarah baharu yang diluar dugaan. Walaupun sudah ada pihak yang lama mengatur dan mendoakan, tetapi keyakinan tidak setinggi mana yang ianya boleh berlaku. Apabila ia terjadi petang ini ia bagaikan sebuah mimpi yang disambut sebagai satu pesta oleh rakyat dan mereka pencinta kedamaian.

Lembaran baharu ini boleh membuka momentum baharu. Sudah lama orang berharap mereka berdua duduk bersama demi rakyat dan negara. Kerana selagi mereka bersengketa dan menyerang Najib secara berasingan dan terpisah selama itulah Najib akan kejap di takhtanya. Para pembaca politik telah membaca Najib boleh dijatuhkan apabila ada kepaduan dalam kalangan pembangkang dalam membuat serangan.

Lantaran itu pertemuan mereka hari ini terasa semacam Tuhan mengembalikan semula kedua orang itu berada di tempat yang sama bagi mecapai niat yang sama. Kalau pertemuan hari ini memadukan mereka bererti Tuhan telah mengembalikan semula hak rakyat sebenarnya.  Mereka adalah khazanah rakyat yang pernah disediakan Tuhan untuk negara ini. Sesungguhnya tokoh relevan selepas Dr Mahathir ialah Anwar seperti mana di Kelantan selepas Nik Aziz Nik Mat ialah Husam Musa. Selain dari itu pemenuhnya menyebabkan negara akan huruhara dan songsang.

Betapa tidak semacam 18 tahun sepanjang mereka dalam tempoh bergaduh itu satu penyeksaan dialami rakyat. Rakyat berasakan negara ini tidak ada makna, kerana pemimpin selepas mereka tidak berjaya mempamerkan kepimpinan sebenarnya. Dan pertemuan mereka hari ini adalah anugerah termahal oleh pencinta menjelang hari wukuf dan Haji minggu depan. Ia diraikan semua orang kecuali para pendolor punggung Najib dan mereka yang ingin "bertaawun" dengan BN.

Bagi saya tindakan Dr Mahathir - Anwar bersalam hari ini adalah satu tindakan gentlemen yang memahami kehendak hati dan perasaan rakyat. Mereka membawa harapan baharu dan sebuah tanda mata untuk rakyat. Pertemuan hari ini juga boleh disifatkan satu gencatan senjata oleh mereka berdua yang mengalami perang dingin hampir dua dekad. Janganlah kita cuba meletakkan ada sesiapa pemenang di antaranya, sebaliknya kedua mereka telah berkorban rasa, sanggup melupai sengketa demi rakyat dan negara. Mereka adalah pemenang bersama.

Hendaknya semua rakyat pencinta damai dan mereka yang muak dengan kepimpinan negara, berasa geli gelimen dengan Najib mengalu-alukan pertemuan kedua tokoh ini. Sama-sama memberi tepukan semangat agar mereka berikhtiar menggunakan kepakaran dan kebolehan yang mereka milik untuk memacu masa depan negara. Jangan hendaknya masih ada yang skeptikal terhadap pertemuan berkenaan. Percayalah, mereka berdua juga perlu sokongan untuk berganding bahu bagi menjatuhkan Najib dan membawa cahaya kepada negara.

Sama ada apa yang berlaku hari ini sandiwara atau kebetulan atau sudah diatur Allah s.w.t., tetapi hakikatnya gambar mereka bersama sudah dirakam dan tersaksi mata. Yang akan merealisasikan apa yang kita impikan ialah kita semua. Selamat. [wm.kl.6:27 pm 05/09/16]

Post a Comment