Thursday, September 15, 2016

Korban di Khlong Nueng di sambut hujan..

CATATAN PERJALANAN

Kunjung hormat ke rumah Imam Haji Ismail.
Alhamdulilah lewat tengah hari tadi selamat tiba di tanah dari ibu negara Gajah Putih, Bangkok. Selama tiga hari dua malam di sana. Urusan ibadat korban dalam misi Kebajikan dan Kemanusiaan anjuran blog Merah Tinta selamat dijalan dengan meriah dan sempurnanya.

Paling mengesankan saya sebaik sahaja lembu korban ditumbangkan dengan iringi gema takbir oleh anak-anak yatim, hujan lebat turun membasahi bumi di mana tempat berlangsung ibadah korban 1437H tahun ini.

Sepanjang saya di sana, saya ditemani isteri Naimah Yaacob. Terima kasih.

Untuk kali ini dua ekor lembu dikorbankan disamping sedikit sumbangan kewangan untuk anak-anak yatim, orang miskin dan juga ibu tunggal.

Kawasan yang dijenguki oleh misi Korban 1427H kali ini ialah di perkampungan Khlong Nueng, sebuah perkampungan tradisional orang-orang Pattani. Orang tua mereka berhijrah di sini secara paksa pada abad ke-18, pada zaman Raja Rama III, 45 tahun sebelum perang dunia kedua 1942. Mereka ditangkap dan dibawah ke Utara Bangkok untuk dijadikan buruh paksa.

Menurut imam masjid di kampung ini, Haji Ismail Shamusuddin, 68 kampung berkenaan dihuni kira-kira 5,000 jiwa, majoritinya Melayu dan terdapat juga kaum Rohingya dan bangsa Thai. Perkampungan ini tidaklah mundur sangat, ia lengkap dengan jalan raya dan kemudahan asas lain. Walaupun jalan masuk ke kawasan perkampungan sempit dan  kemudahan air bersih tidak begitu memuaskan, tetapi ia masih boleh dianggap sempurna.

Mata pencarian penduduk, ada berdagang, bercucuk tanam, menjadi boroh kasar dan sebagainya. Keseluruhan kampung berkenaan seluas 4 km persegi itu merupakan bendang padi dan tanah berpaya. Hampir semua penduduk di kampung itu dulu bersawah padi.

Khlong Nueng, bermaksud Sungai Pertama. Terdapat sebanyak 22 buah parit atau saliran air yang digali dengan menggunakan kurdrat manusia, orang-orang Pattani untuk tujuan pertanian.

Sesuai dengan masyarakat minoriti, penduduk kampung Khlong Nueng dan kampung berdekatan masih ketinggalan berbanding dengan penduduk asal Thai yang lebih mendapat kemudahan dan layanan istimewa oleh pemerintah.

Untuk waktu ini terdapat 200 orang ibu tunggal, ia rata-rata bekerja sendiri untuk meneruskan kehidupan. Rumah mereka juga ala kadar, namun tidaklah begitu dhaif. Tiada ada mana-mana pihak atau institusi yang menjaga kebajikan mereka dan anak-anak.

Walaupun kehidupan di perkampungan itu agak ketinggalan, tetapi peranan pendidikan dan penyebaran agama tidak diabaikan. Terdapat empat buah masjid dan dua buah digunakan untuk Jumaat. Kini pula wujud sebuah madrasah atau pun sekolah agama yang didirikan oleh sebuah Ngo secara sukarela.

Waktu ini Ngo berkenaan sedang berusaha untuk membangunkan bangunan bagi dijadikan kompleks sekolah berkenaan dan juga pusat pentadbirannya di atas tanah seluas 7 rai atau kira-kira 3 hektar. Tanah berkenaan adalah wakaf daripada penduduk kampung tersebut.

Menurut Ustaz Muhammad Adam yang menjadi penggerak sekolah berkenaan, buat masa ini terdapat seramai 30 orang anak-anak yatim yang menjadi pelajar perintis. Buat sementara waktu mereka belajar di sebuah bangunan yang serba kekurangan.

"Penduduk di sini sangat memerlukan kepada sebuah sekolah, dan insya-Allah kami akan bermaufakat membinanya," katanya sambil menjelaskan sebahagian besar tanah yang diwakaf itu datangnya dari keluarganya sendiri. 




Apa yang menariknya beberapa pelajar perintis ini bukan sahaja datang dari kampung sekitar tetapi dari luar termasuk Malaysia dan Indonesia.

Untuk melaksanakan cita-cita itu katanya, beliau mengharap ada penderma dan "orang kaya baik hati" untuk membantu pembinaanya.
Tanah untuk tapak sekolah itu sudah pun dibersih dan ditimbus.  Pelancarannya telah disempurnakan baru-baru ini yang dirasmikan oleh Datuk Bandar Bangkok.

"Kalau boleh Tuan tolonglah carikan dermawan untuk membantu kami membangunkan sekolah ini," rayu Muhammad Adam.

Sama-sama kita mendoakan semoga sekolah berkenaan menjadi kenyataan dalam masa terdekat. Sekiranya ia menjadi kenyataan maka sekolah itu akan menjadi mercu tanda pendidikan di Khlong Nueng.

Akhirnya saya seperti biasa mengucapkan terima kasih atas sokongan dan penyertaan rakan-rakan dalam misi kali ini. Sekiranya diberikan kesihatan, dimurahkan rezeki dan panjang uumur misi ini akan diteruskan lagi pada tahun depan.

Inilah Khlong Nueng...
Mungkin kita akan menjenguk ke kawasan lain pula bagi meratakan pengorbanan dan misi kita tidak seberapa ini. Misi seumpama ini sudah tentu ia tidak dapat menyelesaikan masalah ummah, tetapi penyertaan kita adalah sebagai tanggungjawab sosial mengikut kemampuan kita serta sebagai tanda kepedulian kita sesama insan.

Dan apa membanggakan saya ialah para penjenguk dan rakan media sosial saya mempunyai keprihatian yang tinggi untuk misi kebajikan dan kemanusiaan begini. Sekali lagi terima kasih agung daripada saya. [wm.kl.9:21 am 15/091/6]
Post a Comment