Friday, October 7, 2016

Pas boleh jadi penyelamat kerajaan UBN Johor

CATATAN JUMAAT

K'jaan Khalid tergugat?
Sebagai negeri menjadi kubu terkuat Umno siapa pernah menduga suatu hari kerajaan UBN di Johor kehilangan suara 2/3 di Dewan Undangan Negeri. Sebelum tahun 1999, sebelum meletus reformasi anjuran Anwar Ibrahim orang juga tidak pernah terfikir yang parti agama (Pas) dapat bernaung di Dun berkenaan.

Semua 13 kali Piraum diadakan Johor ditakluki oleh UBN dengan mendapat majoriti 2/3 atau lebih. Kekuatan dan kehebatan Umno itu menyebabkan orang tidak terfikir pembangkang boleh bertapak di negeri jiran Temasik itu.

Bagaimana pun suatu berita mengejutkan di Johor telah tersembur semalam. Berita berkenaan ialah mengenai  kerajaan UBN Johor kehilangan majoriti 2/3 dalam DUN Johor buat pertama kali. Ia berlaku ekoran serorang  Adunnya, Dr Shahruddin Md Salleh (Jorak) telah dianggap meninggal parti berkenaan apabila dilantik menjadi Setiausaha Agung Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), eh, bukan PBBM.

Pelantikan Dr Khairuddin itu diumumkan oleh Presiden PBBM Muhyiddin Yassin. Dr Shahruddin merupakan Naib Ketua Umno bahagian Pagoh yang tidak bersetuju dengan pemecatan Muhyiddin daripada Umno. Peninggalan Dr Shahruddin itu memberi signifikan kepada politik Johor khasnya kerajaan UBN.

Kedudukan kerusi UBN dalam DUN Johor kini ialah 37 berkurangan satu, manakala kerusi pembangkang pula bertambah satu menjadi 19. Kehilangan kuasa majoriti dalam DUN menyebabkan kerajaan Johor tidak boleh melalukan apa-apa pindaan terhadap atau mengemukakan apa-apa rang undang-undang yang membabitkan Perlembagaan.

Paling mendebarkan lagi apabila ada desas desus mengatakan masih ada beberapa Adun lagi akan keninggalkan Umno. Kalau ini berlaku tidak mustahil kerajaan UBN Johor akan tumbang sebelum parlimen penggal ke-13 dibubarkan?

Perkembangan di Johor itu sesuatu yang menarik dan ia memberi peluang kepada parti agama (Pas) yang kini dilihat bermanja-manjaan (dan bersanggama secara haram) dengan Umno. Pas boleh melakukan sesuatu untuk membantu bagi menyelamatkan kerajaan UBN Johor itu. Pas boleh main tarik-tarik tali dengan Umno jika mereka bijak dalam berpolitik.

Sebagai rakan baik Umno waktu ini Pas harus menjaga maruah kerajaan rakannya itu. Caranya ialah dengan Adun Pas menyatakan sokongan kepada kerajaan UBN Johor dan MB Khalid Nordin. Pesuruhjaya Pas Johor Mahfodz Mohamed perlu membuat kenyataan segera. Sebagai kontrasinya Pas boleh menuntut kerajaan Johor dirombak dan pembentukan kerajaan baharu boleh diadakan dengan memasukkan Adun Pas sebagai Exco.

Pas kini ada tiga Adun selepas seorang Adun (Amninuhudol Hassan - Parit Yaakni) berhirjarah ke AMANAH dan menjadi pengerusinya. Tiga lagi Adun Pas ialah Sheikh Ibrahim Salleh (Sungai Abong), Mohammad Taslim (Maharani) dan Abdullah Husin (Puteri Wangsa).

Cadangan ini dikira munasabah bagi Pas Johor lalukan. Tidak perlu lagi mereka berdolak dalih untuk mengabui mata umum yang terus menabur cerita Pas terus berlawan dengan Umno dalam Piraum akan datang. Lagi pun cara itu menyusahkan Pas. Peluang terbuka kini perlu diambil kesempatan.

Bila disuakan cadangan ini jangan pula ada pemimpin Pas berkokok menunjukkan kebaikan dan keikhlasan kononnya Pas tidak akan mengkhianati rakan. Cara itu adalah lapok dalam mata pelajaran politik. Apakah Pas berani? Pas perlu menggunakan kesempatan sebaik mungkin.

Peluang ini juga mungkin terakhir bagi Pas kerana selepas Piraum akan datang belum tentu Johor diuruskan oleh rakannya itu dan belum tahu apakah Pas masih ada wakil di Adun atau sebaliknya. Silap hari bulan kalau berlaku perlawanan tiga penjuru Pas kehilangan gigi dan tinggal gusi.

Hasrat Pas untuk berta'awun dengan lebih bererti lagi apabila ia dimulakan di Johor. Nah buat permulaan itu. Kalau Pas membuat desakan itu rasanya ia tidak mudah akan ditolak oleh Khalid Nordin. Kalau Khalid berkeras bermakna beliau memimpin kerajaan yang lemah seperti Terengganu, Kedah dan Perak. Kerajaan Khalid kini tergugat?

Kalau dua Adun Pas itu menyatakan sokongan kepada UBN, kedudukan UBN dalam dewan masih mengekalkan majoriti 2/3 dengan penambahan ahli jadi 39 ahli. [wm.kl.12"12 t/hari 07/10/16]

No comments: