Insiden dalam DUN Kelantan semalam masih terngia-ngia di telinga. Insiden itu mungkin satu kejadian terhangat dan paling memalukan dari konteks DUN sebagai dewan legislatif tempat menggubal undang-undang, membincang permasalahan rakyat, mencari solusi demi kebaikan bersama yang sepatutnya dimusyawarahkan dengan semangat ukhwah Islamiyah dan secara anak beranak.
Insiden itu sepatutnya tidak berlaku jika semua pihak tidak menjadikan dewan seperti lokasi-lokasi awam lain umpama di atas batas padi atas wakaf ataupun di kedai gunting, pasar dan sebagainya, sementara para anggotanya pula senantiasa menghormati kemuliaan dewan dan mematuhi etikanya.
Malangnya hakikat itu tidak dihormati malahan sesetengah anggotanya terlupa yang mereka berada dalam dewan yang mulia, menjadi wakil kepada rakyat yang dipilih menerusi satu instrumen yang sedemikian rupa. Lupa dan lalai. Kealpaan itu mungkin kerana dipengaruhi pelbagai elemen; rasa lebih, rasa cerdik, rasa berkuasa, rasa pandai dan bijak ataupun memang kerana perangai pandir semulajadi menyebabkan insiden mencemarkan kemuliaan dewan itu berlaku.
Apabila semua pihak melupai fungsi dan kedudukan dewan itu serta tanggungjawab mereka maka berlakulah insiden seperti semalam; cabar mencabar, keluar perkataan yang huduh dan buruk, hina menghina, tuduh menuduh, perli memerli sehingga lupa kepada integriti dewan dan kedudukan sebagai seorang Yang Berhormat sehingga suasananya menjadi jauh lebih teruk daripada perbalahan sekawan budak hitam dengan budak hitam yang lain.
Kenapa? Perilaku seperti semalam tidak sepatutnya berlaku dan mereka yang berperangai seperti semalam tidak layak ditempatkan dalam dewan. Elok kalau untuk pilihan raya akan datang pengundi di kawasan masing-masing membuat mahasabah dan semakan semula terhadap keupayaan dan preatasi wakil-wakil itu. Juga tidak terlupa menilik sama akhlak dan perangainya.
Lebih malang lagi kata-kata huduh, sinis melampau dan sikap arragont terpamer daripada anggota yang kerap membaca ayat-ayat Quran dan memetik hadith-hadith Nabi menyulami ucapan mereka dengan cerita dan kisah sunnah dimana ini (perangai buruk yang ditunjukkan) sangat kontradik. Mereka sudah tidak tahu malu dan berasa takut dengan ayat Tuhan yang dibaca. Mereka baca, mereka dengar tetapi mereka ingkar.
Ayat-ayat Tuhan dipetik dan dibaca untuk dijadikan panduan dan iktibar tetapi si pembaca sendiri melupai makna dan tidak menghayati maksud yang dikandungi ayat-ayat berkenaan. Mereka membaca untuk menghukum orang tetapi lupa kesalahan dan dosa sendiri. Jadi apakah erti dan maknanya kalau kita sekadar menjadi burung gembala kerbau atau tiong yang tahu bercakap tetapi buta dan jahil mengenai makna dan maksudnya?
Apakah guna kita menimbang kesalahan orang tetapi dosa sendiri tidak diletak atas mirzam. Bukankah itu satu kemunafikan? Inilah saya katakan mereka yang bersandiwara dengan ayat-ayat Quran; baca dan dengar tetapi tidak mengikutinya adalah mereka yang menghina Kitabulah.
Sikap beginilah yang boleh dikatakan perbuatan menggunakan ayat Quran dan menjual ayat-ayatNya dengan begitu murah sekali. Kalau ayat-ayat Quran dijual dan dipermainkan oleh kuffar (orang kafir) tidak menjadi masalah sebab mereka tidak mengakui beriman kepada Allah, anihnya ini dilaku sendiri oleh orang yang mengangkat Syahadat dan boleh ditolak ke hadapan saf untuk menjadi imam. Keadaan ini lebih sadis dan bagi saya mereka bersikap begini adalah pengkhianat sebenarnya, lebih khianat dan bahaya daripada pengedar dadah.
Berbalik kepada insiden di DUN Kelantan semalam kalau kita tonton semula rakaman video apa yang berlaku disepanjang sidang dewan itu ia memberi jawaban kepada kita kenapa kekecohan berlaku. Dapat kita selami dari mana punca dan asalnya. Ada beberapa faktor atau pun penyebab bermula dan pencetus kepada kejadian yang sangat memalukan itu.
Antara yang sempat digariskan di sini ialah;
1. Sudah tidak ada semangat ukhwah sesama anggota dewan terutamanya apabila seseorang itu berada di pihak lain. Hatta sebelum ini orang itu bersama dalam satu parti tetapi apabila dia sudah tidak bersama parti itu maka ia dikecam dan dipersendakan. Di sinilah saya katakan anggota dewan sudah hilang rasa hormat yang sepatut mereka amalkan. Sikap tawakus dan profesionalisme sama sekali tidak ada.
Seharusnya apabila mereka berada dalam dewan mereka perlu melupakan soal warna parti, pergeseran peribadi, kedudukan dan pangkat, sebaliknya menumpukan hala kepada satu arah untuk membela dan memperjuangkan nasib rakyat yang mereka wakili, memperjuangkan membela agama, negeri dan bangsa.
2. Sikap profesionalisme sebagai anggota dewan sangat naif sekali. Pengertian DUN sebagai dewan yang mulia sudah tertanggal dari minda menyebabkan anggota dewan (sesetengahnya) melaukan atau berbuat apa sahaja seolah-olah dewan itu sepeti dalam sebuah jamban. Darjah dan status mereka sebagai wakil rakyat yang menjadi role model kepada rakyat juga hilang, mereka jadi lebih busuk dan hapak daripada najis.
3. Ahli dewan juga tidak mempunyai etika sebagai anggota dewan. Tatatertib dewan diabaikan. Segala peraturan dewan yang ditulis dalam kitab bernama Peraturan Bermesyuarat tidak lagi dihormati. Apakah mereka tidak membacanya atau kalau baca sekadar baca sahaja tetapi tidak sedia mempraktikkan.
Apabila peraturan dewan tidak dipatuhi maka berlakulah kekecohan. Jadilah mesyuarat itu seperti mesyuarat anjing dengan kucing. Mengenai peraturan dewan ini bukan sahaja ahli yang hendak bercakap kena mendapat kebenaran Speaker atau diberi laluan oleh rakan lain atau bukan setakat disuruh duduk, tetapi termasuk juga dalam menggunakan bahasa di sepanjang percakapan dalam dewan.
Ahli dewan juga tidak dibenar sama sekali berbohong, memanipulasi fakta atau membuat fitnah dan sebagainya. Juga tidak dibenar menyindir kepada anggota dewan yang lain. Ada perkataan-perkataan yang diboldkan tidak boleh disebut sama sekali. Peraturan itu sangat cantik dan comel. Tatacara untuk memulakan persidangan juga penuh beradat tradisi. Kerana peraturan begitu kemas dan cantiklah maka dewan dianggap sebagai dewan yang mulia. Nah, apabila semua itu tidak dipatuhi dan dituruti dewan itu sudah tidak menjadi dewan yang mulia lagi. Kemuliaanya sudah disirnakan oleh ahli yang tidak beretika.
Dan disebabkan kegagalan mematuhi beberapa peraturan dan etika asas itulah maka berlakulah apa yang berlaku semalam insiden yang sungguh menyesalkan.
4. Selain daripada perkara tadi, insiden semalam juga berlaku disebabkan kegagalan Speaker memainkan peranannya sepanjang menguruskan perjalanan mesyuarat berkenaan terutamanya pada saat kritikal perbalahan anggota dewan. Spekaer tidak menggunakan kuasa yang ada kepadanya untuk mengawal perbalahan atau perang mulut yang berlaku. Walhal Speaker ada kuasa veto untuk bertindak. Kelemahan Speaker dan timbalannya ini menjadikan insiden itu berpanjangan meletakkan dewan seperti sebuah medan perang.
Seharusnya Speaker bijaksana dalam hal ini. Bersikap tegas mengawal perjalanan dewan. Perlu disedari persidangan itu dipancar ke seluruh dunia di mana ia boleh diakses menerusi streamyx. Insiden semalam boleh memberi persepsi buruk kepada orang di luar sana terhadap kerajaan Kelantan yang dianggap sebagai sebuah kerajaan Islam.
Gambaran yang terpancar dalam sidang DUN semalam tidak mencerminkan persidangan itu berlaku di sebuah negeri Islam. Paling menyedihkan lagi kesemua 45 anggota yang bersemayam di dalam dewan itu termasuk Speaker beragama Islam dan berbangsa Melayu kecuali seorang Exco berbangsa Cina tetapi beliau adalah mualaf.
Untuk dimasa akan datang kita berharap insiden seperti semalam tidak akan berulang lagi. Cukuplah ia menjadi pemulaan yang mentragiskan dan pengakhiran yang membawa iktibar.
Pihak kerajaan terutamanya harus memperkemaskan kredibiliti mereka sebagai anggota Kerajaan terutamanya dalam memberi jawaban dan penjelasan terhadap pertanyaan anggota yang lain. Pihak kerajaan tidak perlu takut untuk mendedahkan apa-apa yang dianggap kontroversi hatta menjatuhkan reputasinya kerana bersikap berterus terang dan berani itu akan dipuji orang. Apa juga yang ditanya selagi ia tidak terkawal oleh mana-mana akta, jelas dan dedahlah secukupnya.
Rasa tidak puas hati yang timbul di kalangan pembangkang khasnya akan berlaku apabila jawaban yang diberikan tidak memuaskan. Selalu berlaku jawaban yang diberikan berbentuk escape dan tidak tepat atau dielakkan dengan alasan-alasan yang tidak masuk akal dan konkrit. Di sinilah selalunya tercetus perang mulut dan perbalahan.
Apa perlu ditekankan juga pihak kerajaan khasnya para Exco kurangkan memberi jawaban beretorik, elakkan menyinis anggota lain serta tunjukkan sebagai anggota dari Kerajaan yang bertanggungjawab, terbuka dan sedia berkerjasama. Mungkin sikap atau pendekatan beberapa orang Exco dalam memberi jawaban dan berhujah boleh ditiru dan dijadikan trade mark kepada pihak Kerajaan, di mana mereka ini menyerlahkan profesionalisme yang cukup anggun.
Kecemerlangan atau kesenangan kepada penglibatan mereka dalam memberi jawaban dapat dilihat semasa mereka memberi jawaban dan membuat penjelasan di mana mereka tidak diganggu dan semua anggota dewan memberi perhatian.
Antara mereka Dr Mohd Fadzli Hassan, Che Abdullah Nawi, hatta MB Ahmad Yakob sendiri yang selalu tampil dengan penuh berhemah dan merendah diri serta mempamerkan sikap apolegetik apabila disedari ada melakukan kekhilafan. Inilah wibawa sebenar wakil rakyat yang mendokong prinsip dan uslub Islam.
Mungkin untuk mengharmoniskan persidangan di masa akan datang pihak Speaker atau kerajaan negeri boleh mengadakan program memberi taklimat atau kursus kepada anggota dewan agar mereka lebih mengenali tatacara dewan, personaliti mereka sebagai wakil rakyat dan tahu menghormati kemuliaan dewan. Walahu'alam. [wm.kl. 10:00 am 28/10/16]
No comments:
Post a Comment