Najib sampaikan ucapan dasar yang desperate. |
Bukan sahaja pemerhati di luar kecewa dengan persembahan Najib hari ini, perwakilan dalam Dewan Merdeka juga kecewa dan kelesuan mendengar titah Najib.
Tidak ada apa-apa kejutan dan pembaharuan yang dapat dikutip untuk dijadikan bahan renungan. Tidak ada gagasan besar yang diberikan kepada perwakilan untuk diisi ke dalam kepalanya. Perwakilan Umno sekadar pulang ke kawasan masing-masing membawa perut yang sedikit terisi kerana dibelanja ketua bahagian masing-masing, tetapi minda tetap kosong.
Tidak ada bekalan baik berupa ilmu dan semangat waja yang logikal diberikan presiden parti untuk dibawa pulang. Apa yang ada hanya permintaan lirih oleh Najib supaya terus menyokongnya untuk berkuasa sekurang-kurang satu penggal lagi. Rakyat dan orang ramai yang menunggu-nunggu kepulangan perwakilkan diharap meleraikan masalah yang tersendak di benak mereka, kecewa.
Masa yang diambil Najib selama 1 jam 22 minit menyampaikan ucapan itu, dengan 12 kali sapu mulut (11 kali menggunakan sapu tangan dan sekali menggunakan jari kiri), dan lima kali meneguk air, lebih banyak merintih dan mendayu-dayu kepada ahli agar wala' taat setia kepadanya. Najib cuba menghurai mengenai definasi wala' dalam falsafah Islam. Penggunaan perkataan ini mungkin atas nasihat parti agama (Pas) untuk menunjukkan Umno ke arah assosiasi dengan Pas.
Kononnya pemimpin itu perlu ditaati dan disokong selagi dia tidak melakukan dosa-dosa besar dan kefur kepada Allah. Apakah bagi Najib yang didakwa menyonglapkan wang 1MDB, menerima dana asing RM2.6 billion itu, atau memberi kesempatan kepada anak bini menggunakan kemudahan kerajaan bukan merupakan dosa besar? Apakah sikap itu sikap Umar Abdul Aziz atau Umar Khattab yang menulis menggunakan lilin dan tidak menggunakan lampu kerajaan?
Kekufuran seseorang pemimpin atau umat Islam yang bersyahdah itu tidak payah tunggu seseorang itu menjadi murtad atau kafir, tetapi menyangak harta dan khazanah negara juga termasuk dalam perbuatan mungkar. Perbuatan rasuah juga sebahagian daripada perbuatan kufur, kerana engkar kepada arahan dan tuntutan agama. Menggunakan agensi kerajaan untuk kepentingan diri hatta parti memerintah juga, yang boleh dianggap kufur kerana ia melanggar prinsip demorkasi.
Ingat, Najib tidak menjawab dan menjelas segala tuduhan-tuduhan itu dengan tuntas. Sampai kini ia berlegar dalam benak orang ramai dan juga kepala orang dalam Dewan Merdeka, cuma mereka tidak tergamak untuk bertanya kerana mempunyai sifat "malualah" sebagai ahli politik parti Melayu. Selagi isu-isu tersebut mendindiungi kepala orang ramai maka Najib masih ada hutang dengan rakyat.
Masa yang agak panjang itu sepatutnya Najib ambil bagi membersihkan pesepsi dirinya dengan hal-hal itu. PAU sepatut digunakan untuk menyemak diri sekurang-kurangnya di kalangan ahli Umno. Sayang dia tidak mengambil peluang itu sebaliknya menggunakan ruang itu untuk meracuni kepala perwakilan membenci dua individu atau pihak; Dr Mahathir Mohamad dan parti pembangkang DAP.
Dalam mengharap belash ihsan dan simpati kepadanya Najib memuji Wanita Umno, Pemuda Umno dan juga Puteri Umno serta beberapa individu lain yang membakar diri demi Umno. Pujian di atas pencapaian sayap-sayap itu yang tidak pasti apakah kejayaannya, adalah demi mengharap mereka menjadi pembela kepada masalahnya. Najib membentuk pemikiran mereka agar mengasihi dan simpati kepadanya.
Selain daripada pujian dan tepok sorak, sayap-sayap itu tidak pun mendapat apa-apa jaminan dan penghormatan lebih dari itu daripada presiden. Sepatutnya kalau Najib benar-benar bangga dengan pencapaian sayap-sayap itu beliau sekurang-kurang memenuhi tuntutan dan harapan Pemuda yang mahu anggota sayap itu diberi ruang 30% sebagai calon dalam pilihan raya. Najib tidak layan pun permintaan Khairy Jamaluddin Abu Bakar ini.
Yang paling menyerlah dalam ucapan Najib tadi pembelasahan terhadap Dr Mahathir Mohamad. Tindakan Najib hari ini diluar jangka apabila beliau tergamak menyifatkan bekas presiden Umno itu sebagai penderhaka. Dalam konteks Melayu dan Dr Mahathir bekas anggota parti itu apatah lagi bekas presiden dan PM ia sesuatu yang kurang beradab.
Dr Mahathir disifatkan penderhaka apabila meninggalkan Umno dan bersama pembangkang khas DAP. Mereka yang rasional akan menolak cara Najib itu dan mencari-cari dimana kederhakaan Dr Mahathir kepada Umno yang dituduh Najib itu.
Dr Mahathir bukan sekali keluar Umno, teapi tindakan sebelum ini tidak sampai dia dituduh sebagai derhaka. Sekuat-kuat Abdullah Badawi marahkan Dr Mahathir, dia hanya menyamakan Dr Mahathir sebagai hantui sahaja yang menganggunya.
Kenapa Dr Mahathir tidak dituduh menderhaka? Jawabnya tindakan sebelum ini tidak mengugat mana-mana individu, berbeza dengan tindakan kali ini ia mengugat Najib. Dan apakah menderhaka seseorang bekas ahli Umno itu apabila dia meninggalkan parti atas keyakinan dan kepercayaan dan nawaitunya untuk membetulkan kekhilafan parti?
Dr Mahathir menjelaskan yang beliau bukan tidak sayangkan kepada Umno tetapi tidak suka dengan cara Najib mentadbir dengan cara mewujudkan kerajaan kleptokrasi yang menyanggak, mencuri dan merompak. Mungkin kerana terlalu sakit hati dengan konotasi Dr Mahathir itu maka Najib membalasnya dengan penderhaka. Ertinya tindakan balas Najib kepada Dr Mahathir itu bukan bertitik tolak daripada perjuangan Umno tetapi kerana perasaan sakit hati peribadi.
Ternyata Najib kurang bijak apabila melayan Dr Mahathir sampai ke tahap itu. Walaupun mungkin tindakan Dr Mahathir itu benar (menyusahkannya) dan suatu perbuatan tidak patut, tetapi orang yang menilai dan tahu sejarah sama sekali tidak akan berpihak kepada Najib. Mereka akan menganggap Najib terlebih emosioal. Kecuali budak-budak baju merah yang hingusan dan kulup belum bersih dalam politik tidak mengetahui jasa dan khidmat Dr Mahathir sahaja yang setuju.
Sebab itu sepanjang Najib membelasah Dr Mahathir, Dewan Merdeka tidak riuh dan gamat dengan tepukan dan sorakan. Hanya sebahagian sahaja melaungkan menyambut belasahan Najib kepada Dr Mahathir sebagai betulllll... Itu menandakan tindakan Najib itu tidak disetujui majoriti perwakilan.
Hari ini permainan psikolgi Najib adalah silap. Belasahan beliau kepada Dr Mahathir menjadi bekas PM itu makin popular. Nama Dr Mahathir sepatutnya tidak lagi disebut dan wajahnya tidak lagi berbalam-balam dalam minda perwakilan, tiba-tiba hadir kerana dibawa semula oleh Najib apabila beliau membelasah Dr Mahathir sedemikian rupa.
Kalau saya menjadi Najib Razak, saya kekalkan dengan sikap coolnya dan mengalah sebagai anak selama ini. Sikap Najib yang tidak memberi reaksi berlebihan dan sejuk dalam melayan cemuhan dan cacian kepadanya khasnya oleh Dr Mahathir telah berjaya menjadikan beliau seorang PM yang terbuka dan sedia dikritikan. Sikap Najib selama ini nampak lebih rasional, dewasa dan bertasamuh malahan lebih profesional daripada Dr Mahathir sendiri.
Tetapi apabila beliau hilang sabar dan mengambil peluang di hadapan perwakilan untuk membelasah Dr Mahathir menyebabkan reputasi dan karasmatik beliau seorang pemimpin menjunam. Apa-apa ucapan dalam PAU adalah rasmi. Gelagat dan sikap Najib begitulah yang ditunggu-tunggu Dr Mahathir selama ini. Nasihat diberikan kepadanya agar membelasah Dr Mahathir dan tidak perlu berlembut dan apologetik lagi itu adalah nasihat yang salah.
Hal yang sama juga dilakukan Najib kepada DAP. Najib terus memberikan bayangan menakut tentang DAP kepada para perwakilan dan orang Melayu amnya. Bayangan atau propaganda itu adalah sebahagian modal Umno dan Najib agar parti pembangkang itu ditolak oleh rakyat. Tetapi cara Najib mengoreng isu itu secara mentah-mentah menyebabkan ia bukan sahaja tidak melabakan tetapi merugikan Umno.
Provokasi Najib hari ini kononnya kalau parti pembangkang menang dan menjadi kerajaan, ianya akan dikuasai oleh DAP. DAP akan menjadi induk kepada kerajaan itu nanti. Cerita ini sudah lama kedengaran di kampung-kampung dan kawasan-kawasan Felda. Hari ini ia didendangkan sendiri secara rasmi oleh Najib.
Siapakah DAP itu? Orang Cina. Menjadikan soal kaum sebagai modal politik, menakut-nakutkan orang Melayu adalah politik perkauman dan rasis. Modal ini digunakan pejuang Melayu di tahun 40-an untuk menanamkan kebencian kepada kolonial. Modal ini sudah tidak berkesan lagi setelah kita berusaha membangunkan sebuah negara dinamakan Malaysia.
Kita bercakap soal perpaduan dan integrasi tetapi dalam masa sama kita yang membakarnya. Di sini Najib tidak ada kebijaksanaan dan seolah-olah hilang akal dalam berpolitik. Ingat, kalau kita membakar lalang, yang tumbuh subur nanti adalah lalang bersama "kemiang".
Mungkin perwakilan berusia 60 tahun ke atas, yang telor dengan dailek ethnik masing-masing atau orang Melayu yang rabun maklumat dan sejarah, serta kurang memahami pola-pola demokrasi mempercayai terjahan dah tohmahan Najib dengan isu itu. Tetapi bagi golongan muda yang berpengetahuan dan pantas membaca kilau dalam kilat mereka tidak menelannya propaganda dan provokasi sebegitu. Politik era ini adalah politik realis, bukan politik ilusi berpegang kepada mitos-mitios kurafah.
Seperkara sahaja bagi saya kalau Najib ingin mengesahkan pendapatnya itu dan menyakinkan orang ramai dengan terjahannya itu -- bahawa DAP akan menghapuskan kesemua kepentingan Melayu, seperti Mara, Felda dan sebagainya, haramkan DAP daripada menjadi sebuah parti politik. Habis cerita. DAP tidak akan wujud lagi selepas ini maka parti yang dibimbingi akan merampas hak-hak dan kepentingan Melayu itu pun akan lenyap. Tetapi apakah jaminan orang Cina tidak akan terjun ke dalam gelanggang politik menerusi wadah-wadah dan parti lain? Nah untuk lebih berani lagi buang kewarganegaraan mereka untuk menafikan hak mereka berpilihan raya.
Peristiwa lampau di zaman penjajah perlu diingat. Pemerintah kolonial telah mengharamkan Parti Komunis Malaya (PKM) dalam usaha membentaskan fahaman berkenaan bergerak secara massa. Apakah fahaman komunisme itu hilang? Tidak. Razak Hussein menjalani hubungan diplomatik dengan China tahun 1974 adalah dalam proses menuteralisasikan fahaman dan gerakan komunis di Malaysia. Maksudnya diplomasi adalah cara bijaksana.
Satu masa DAP pernah bersedia untuk bertanding menggunakan lambang PAS. Apa maksudnya itu? Maksudnya orang Cina yang berstatus warganegara mengetahui dan menyedari hak-hak mereka yang dijamin oleh perlembagaan. Mereka akan berusaha dan berikhtiar dengan apa cara jua untuk merealisasikan kedudukan mereka. Dengan memahami realiti itu makanya momokan Najib itu tidak merupakan suatu yang berkesan dan sukar diterima rakyat apa lagi terjahan itu kerana mengharapkan dia terus didaulatkan sebagai PM.
Sama seperti kes Dr Mahathir itu. DAP menjadi makin popular apabila Najib memberi gambaran ketakutan yang sebegitu besar sekali sehingga akan menjadi induk kepada kerajaan Pakatan Harapan. Orang Cina akan jadi tambah yakin kepada parti berkenaan apabila diramalkan begitu. Hari ini Najib memberi kredit besar kepada Dr Mahathir dan DAP.
Hal yang telah dilakukan Dr Mahathir selama ini sepatutnya tidak diflagiat oleh Najib. Dr Mahathir sepanjang dia menjadi presiden Umno tidak ada satu PAU pun yang beliau tidak mengecam Pas dan mengkritik kepimpinan kerohanian Pas, Tokguruku, Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Hasil daripada itu apa yang berlaku, Nik Aziz bukan sahaja terus disokong dan diberikan simpati oleh semua bangsa tetapi kerajaanya di Kelantan bertahan selama lebih 20 tahun.
Najib sepatutnya meminggirkan Dr Mahathir dan DAP dari Dewan Merdeka. Beliau sepatutnya lebih memberi fokus kepada menjawab permasalahan rakyat. Pemikiran rakyat yang diseliputi dengan persepsi dan realiti keburukan ekonomi negara, kenaikan kos sara hidup, masalah sosial patut menjadi mauduk utama dan dileraikan. Jaminan-jaminan berasas oleh Najib patut dihemburkan.
Najib perlu menjawab dan memberi cagaran mengenai perkara ini. Mengheret perwakilan untuk menyelesaikan masalah peribadi tidak afdal dalam keadaan demikian. Perhimpunan seperti PAU itu adalah forum untuk seorang presiden menjelaskan tindakan halu tuju dan jalan penyelesaian masalah yang berputar di sekitar rakyat. Tugas pemimpin bukan sahaja menimbulkan spekulasi politik tetapi menyelesaikan masalah rakyat.
Apabila Najib terkhilaf dan hitungan siasah, maka jadilah PAU kali ini terus tenggelam dalam retorik. Ia hanya riuh dalam dewan tetapi akan sepi seperti sedia kala apabila selesai nanti. Rakyat yang mengharap PAU memberi penyelesaian kepada masalah mereka akan terus kecewa dan hampa. Orang Cina pula yang diberi gambaran buruk menerusi DAP itu akan terus marahkan kepada Umno dan jadi kian berkobar semangat.
Adapun perkara penting yang patut Najib tekankan hari inilah kerjasama politik dengan PAS. Hari ini orang mahu melihat Najib bertanjak dan berselimpang ke rumah Pas untuk mengajak parti agama itu berijab kabul dengannya dan terus mencipta sejarah malam pertama. Sekadar memberi simbolik dengan berdoa, sambil berharap orang ramai menanggap hantu Pas sudah berada dalam tubuh Umno ia tidak memberi kesan besar.
Tidak molek membiarkan Pas terus berair?
Apapun sama-sama kita dengar ulasan dan perbahasan perwakilan nanti. Sejauh mana ahlinya terpanggil dengan doa Najib khasnya dalam menyatakan kesediaan untuk bergabung dengan Pas. Najib sudah memberi isyarat jelas akan isi hatinya. Hendaknya ada resolusi dicapai di hujung persidangan (tapi saya kira tidak yakin ianya berani dilakukan), agar Umno menyegerakan bergabung dengan Pas untuk menghadapi Piraum akan datang. Umno tidak perlu malu mata dengan komponen parti lain dalam BN kalau kita yakin kepada formula politik yang kita ciptakan.
Kalau ini berlaku PAU kali ini mencatat sejarah, dan sejarah terbesar itu ialah bergabungnya Pas dengan Umno. Penggabungan keduanya akan terlaksanalah hajat sekian ramai umat Melayu dan Islam negara ini. [wm.kl.5:31 pm 01/12/16].
No comments:
Post a Comment