SUSUPAN PETANG
RANG Undang-undang (RUU), Anti Berita Tidak Benar 2018 dibentang di parlimen hari ini. Rang undang-undang itu memperuntukkan denda sebanyak RM50,000 atau penjara 10 tahun kepada sesiapa didapati bersalah mengikut undang-undang itu kelak.
Di sini saya tidak mahu mempertikaikan jumlah denda dan hukuman diperuntukkan itu. Denda dan hukuman boleh dikurang atau ditambah mengikut keperluannya tetapi yang penting apakah signifikan dan relevensinya undang-undang itu diwujudkan.
Sesiapa bertanggungjawab melakukan atau menyebarkan berita tidak benar, atau membuat apa-apa aktiviti yang dilarang oleh undang-undang itu sewajarnya dihukum. Bukan sahaja jumlah peruntukan ditetapkan itu, kalau lebih besar dari itu pun tidak mengapa.
Berita tidak benar, atau berita palsu sangat bahaya dan boleh memusnahkan negara. Berita palsu sama sifatnya dengan fitnah, yang dianggap perbuatan fitnah lebih bahaya daripada mata pedang. Ia disamakan dengan mata pendang yang boleh membunuh, maka berita palsu juga boleh membunuh sesiapa sahaja.
Tepat kalau mereka melakukan perbuatan itu menerima hukuman setimpal.
Tetapi apa yang hendak dipersoalkan apakah keperluan undang-undang itu diwujudkan? Apakah negara belum mencukupi dengan set undang-undang yang sedia ada. Menurut bekas Menteri Penerangan yang juga Penasihat Budaya Negara Dr Rais Yatim, perwujudan undang-undang itu tidak perlu dibuat tergesa-gesa. Undang-undang yang ada sekarang sudah memandai untuk membenters perkara itu.
Lagipun katanya, difinasi berita yang dikategorikan sebagai tidak benar itu masih belum jelas lagi. Apakah yang dimaksudkan berita palsu dan apakah kategorinya? Baginya pihak kerajaan harus mendifinasikan sebelum rang undang-undang itu dibawa untuk dibahas di parlimen.
Dengan mengambil kira kebimbangan Dr Rais itu ia menunjukkan perwujudan undang-undang itu ada motif lain. Dr Rais bukan sahaja bekas menteri yang senior tetapi beliau juga adalah pakar perlembagaan negara dan dikenali seorang pemimpin yang berfikir dan bertindak secara cermat dan profesional mengikut bidang ilmunya.
Menerima pertikaian Dr Rais itu, dalam kata lain perwujudan undang-undang itu bukanlah untuk kepentingan umum dan negara seperti mana ditegaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman Said, mengatakan kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas untuk mewujudkan undang-undang berkenaan demi membendung berita palsu yang boleh mengancam kestabilan politik, menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara. tetapi kerana tujuan lain.
Soalnya apakah berita palsu yang dikatogerikan boleh mengancam keselamatan awam dan negara itu. Dan apakah undang-undang yang sedia ada tidak mampu untuk mengawalnya? Jangan pula Azalina berselindung disebalik kepentingan awam dan negara kerana ingin melindungi seseorang yang berbudi kepadanya atau menjadi bosnya?
Kerana keraguan dan pertanyaan itulah menyebabkan timbul sangkaan bahawa perwujudan undang-undang itu lebih untuk menjaga kepentingan individu. Apa diungkitkan oleh pembangkang di sebalik perwujudan undang-undang itu ada munasabahnya.
Justeru, penggubalan undang undang itu semacam ada motif lain bukan sangat bersebabkan apa yang dinyatakan Azalina. Dalam koteks ini ia bukan digubal untuk kemaslahatan ummah dan negara tetapi menjaga seorang manusia sahaja yang kini diagung-agungkan kerana dia dapat memenuhi kehendak pihak tertentu. Dalam hal ini manusia itu ialah Perdana Menteri Najib Razak.
Apa yang kita dapat suluh berita yang dibimbang itu dan dikategorikan sebagai palsu itu, ialah berita mengenai skandal 1MDB dan segala maklumat mengenainya. Berita-berita tentang itulah yang dikategorikan sebagai palsu dan sesiapa menyebar atau mensponserkannya akan terkait dengan undang-undang baru itu.Dan penting bagi penguasa hari ini melindungi segala maklumat itu menerusi akta itu kerana ia sangat merbahaya kepada kuasa mereka.
Jika inilah maksud dan tujuan ia digubal untuk melindungi Najib semata-mata, maka jelas telah berlaku penyalahgunaan parlimen bukan untuk kepentingan rakyat tetapi untuk individu. Tindakan ini sangat tidak bermoral dan busuk menyebabkan kemuliaan parlimen itu tercemar. Seluruh ahli parlimen perlu menolak rang undang-undang itu demi menjaga maruah diri dan kemuliaan parlimen. [wm.kl.1:38 pm 26/03/18]
1 comment:
Saya kira jika undang2 ini boleh mencegah individu membuat tuduhan tanpa bukti dan meminta org yg dituduh itu menyamannya bg membuktikan org yg dituduh tidak bersalah maka ianya wajar kerana tidak perlu org yg dituduh itu keluar belanja yg banyak nk upah peguam mcm sekarang...zaman sekarang orang yg kena fitnah jd seperti sudah jatuh ditimpa tangga...sudahlah difitnah dan dicabar pula oleh pemfitnah suruh saman dan kalo tak saman bermakna benar dan nk saman pula kena keluar belanja...adil kah begitu...wasalam
Post a Comment