Saturday, February 9, 2019

Saman SR, Hadi terperangkap?

ANALISA 
(Bhg kedua dan akhir]

Hadi diperangkap?
AL HAMDULILAH, pagi ini kita sambung kisah yang dipos semalam berkaitan persetujuan bersama di antara Abdul Hadi Awang (Pas) dengan Clare Rewcastle-Brown (Sarawak Report) yang menarik balik saman berkenaan tuduhan pemimpin Pas terima RM90 juta daripada Najib Razak.

Penarikan balik saman itu dengan persetujuan bersama tanpa memberi tahu apa sebab dan butirannya dirahsiakan mengejutkan ramai orang serta memecahkan polemik baru dalam dunia politik. Pemerhati politik terheran-heran termasuk juga ahli parti agama itu sendiri, bingung.

Dari segi moral dan politiknya tindakan itu dilihat ia merugikan Abdul Hadi dan Pas. Moral Pas tetap tercemar apabila Clare tetap tidak menarik-buang dari portal itu artikel yang menuduh Pas terima wang RM90 juta itu. Bermakna bila-bila masa orang terus boleh membaca artikel itu dan kekal dengan persepsi apa yang dituduh, Pas betul menerima RM90 juta.

Ia juga memberi erti, tuduhan Clare itu sebagai benar?

Sementara dari sisi politik pula Pas tetap akan diperli dengan tuduhan tersebut. Musuh politik Pas yang menggunakan isu sebagai modal politik terus boleh mengungkitnya kerana ia tidak terhalang oleh apa-apa peraturan dan sekatan. Mohamad Sabu tentunya akan terus ketawa kah kah kah mengenang hal itu.

Ahli parti tertanya-tanya.

Ahli-ahli yang berkorban memberi sumbangan untuk bantu Abdul Hadi menghadapi saman itu akan tertanya-tanya dengan keputusan itu. Walaupun mereka mungkin sudah ikhlaskan wang diberikan itu, tetapi timbul rasa tidak puas hati. Dari segi syarak pula wang yang diberi untuk sesuatu tujuan tetapi tidak sampai atau batal ia perlu dipulangkan kepada pendermanya.

Mengenai wang untuk kos saman itu sebaik-baiknya wang itu dikembalikan kepada pendermanya, memandangkan musim sekarang musim rakyat dalam “qaat” (miskin dan sesak) kerana tekanan ekonomi di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Namun kerana tidak mungkin untuk dikembalikan sebab pendermanya ramai, semoleknya Pas membuat pengumuman atau uar-uarkan wang itu akan digunakan untuk dimasukan ke mana-mana tabung kemanusiaan kelolaan Pas.

Apabila Pas menyaman Sarawak Report (SR), apa yang ahli dan penyokong Pas mahu tengok ialah, Clare Rewcastle-Brown mengaku kalah dan memohon maaf. Abdul Hadi pula mendapat sedikit wang bayaran ganti rugi ke atas kerosakan moralnya yang teruk angkara Clare. Pengakuan Clare atau Abdul Hadi menang dalam kes itu, menyebabkan Abdul Hadi boleh menuntut kemaafan dan ganti rugi daripada orang lagi juga, termasuk Rafizi Ramli, Ambiga Sreenevasan dan Husam Musa yang ikut mengungkit perkara itu.

Sebaliknya apabila ia ditarik dengan persetujuan bersama, maka harapan itu terlepas dan Hadi tidak mendapat apa-apa melainkan terlucut daripada memikul beban kos perbelanjaan saman yang tinggi begitu juga dengan ahli Pas yang terpaksa menanggung beban "asmara" yang mungkin akan diminta terus menghulurkan derma jika saman itu berterusan.

Kenapa ditarik balik?

Yang menitik tanda soal dalam kepala umum kini, kenapa ia ditarik balik? Kenyataan empat perenggan oleh setiausaha politik Abdul Hadi itu tidak menjawab persoalan itu. Setiausaha Agung, Takiyuddin Hassan juga tidak ada ulasan lanjut mengenainya hingga kini.

Pun begitu pihak Pas tidak melihat situasi itu sebagai penting. Dengan mengambil contoh ke atas beberapa kes yang diselesai diluar mahkamah termasuk di antara Anwar Ibrahim dengan pihak-pihak menyamannya untuk menjustifikasikan tindakan penuh misteri itu. Pas bersandarkan (mengambil sanad) kesnya kepada kes-kes lain.

Ahli Pas yang taat dan tunduk tidak akan pertikai sampai khiamat. Mereka sudah didoktrinkan agar patuh dan sujud, yakin dan percaya kepada kata-kata pemimpin. Mereka terima apa sahaja. Molek kepada pemimpin molek jugalah kepada mereka. Naif.

Tetapi dunia ingin mengetahuinya, dan ia tetap akan diselongkor setiap yang tidak tersaul dek akalnya. Dunia tidak dapat ditidurkan dengan cara Pas taksub itu. Para pemerhati akan menganalisa dan mencungkilnya. Prinsip perundangan dan politik terus berlegar di kepala umum dan ia dijadikan formula untuk menyelaminya.

Abdul Hadi terperangkap? 

Dalam hal ini semalam (kelmarin) saya menerima panggilan dari seseorang yang dikira luas pengetahuan dan jaringan politiknya sampai ke peringkat antabangasa untuk bercakap khusus mengenai penarikan balik saman itu. Menurut individu ini, ada beberapa penemuan dan teori berhubung kes berkenaan yang perlu dianalisa.

Dan hasil maklumat dan percakapan dengan individu inilah yang membuka pintu ijtihad untuk menganalisa kenapa ia berlaku. Individu itu memesan agar namanya tidak didedahkan, tetapi membenarkan maklumat diperolehi untuk dianalisa. Jadi saya terpaksa akur atas kehendaknya.

Beliau sendiri tidak yakin penyelesaian kes itu semudah itu setelah ia berjalan lebih setahun. Beliau juga hairan dan beranggapan tentu ada sesuatu di sebalik tindakan itu. Kautim?

Sambil bertanya saya beliau memberi tahu apa yang diketahuinya, konon Clare dibayar untuk persetujuan itu? Ada logikalnya. Setelah menyedari pihak Abdul Hadi dan Pas bakal berhadapan dengan masalah dalam saman itu, apa tidaknya kalau Clare menerima persetujuan dengan mendapat bayaran? Kan itu menguntungkannya.

Di sini dan saat ini, saya tidak mahu membuat analisa dan terjahan berapa jumlah penyelesaian itu. Kita terima sahajalah ia sebagai atas persetujuan bersama tanpa melibatkan kos seperti mana kenyataan dikeluarkan pihak Hadi. Tidak mahu prajudis dalam soal ini. Yang perlu dijelaskan, kalau ada pun bayaran kepada Clare itu bukan Pas yang membayar, tetapi pihak lain. Siapa?

Kalau pun bayaran itu daripada Pas, “taubat” ia tidak akan mengakui kerana ia melibatkan maruah dan merosakkan reputasinya sebagai parti agama. Dan saya sendiri tidak fikir masakan Pas tergamak untuk mengambil duit ahli dan penyokongnya untuk membayar kepada sesuatu yang tidak berfaedah.

Di bahagian kedua dan akhir ini, apa yang hendak dianalisa dua perkara sahaja, saman dan selesai saman. Subjek ini penting. Siapakah yang menyuruh Abdul Hadi menyamana Clare? Yang pastinya tidak ada mesyuarat atau persetujuan diambil oleh Pas untuk mengambil tindakan itu? Maksudnya ia bukan keputusan parti. Kalau ada pun, siapakah yang mengeluarkan idea agar saman Clare. Ini yang hendak dan patut diketahui.

Timbalan presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan ada menyebut Pas akan saman Husam Musa tetapi tidak menyebut akan sama Sarawak Report. Itu sikap dan pendirian asalnya. Apakah idea ini datang daripada beliau?

Setahu kita tidak ada kenyataan hasrat daripada Pas akan menyaman Clare. Tidak ada faedah bagi Pas berbuat demikian. Awal-awal Pas sudah dapat menangkis isu itu sebagai fitnah. Rakyat Malaysia akan menolak begitu sahaja tuduhan itu kerana Pas adalah parti berintegriti.

Dan ia tidak mungkin idea Abdul Hadi sendiri apa lagi Tuan Ibrahim. Apa lagi saman di London. Hadi bukan seorang yang mesra mahkamah. Jangkauan strategi politiknya tidak sampai ke London. Apa-apa isu membabitkan dirinya dan Pas tidak atau jarang sampai ke mahkamah. Bukan sedikit media asing membuat tuduhan liar kepadanya, tetapi tidak pernah diambil tindakan. Fitnah media asing tidak menjejaskan makamnya sebagai seorang pemimpin bertaraf ulama dalam Pas.

Tetapi tiba-tiba sahaja bersetuju untuk menyaman SR,ini yang menghairankan. Ini satu kepelikan dan aneh. Selalunya Pas menghadapi serangan dan fitnah ke atasnya dengan bersolat hajat dan berdoa di atas tanah lapang sahaja. Lantaran itu apabila kali ini Pas mengambil sikap agresif itu tentu ada yang mendesak berbuat demikian. Ada “penasihat" ghaib yang menasihatinya. Siapa?

Dari percakapan dengan individu semalam, ia melemparkan teori kemungkinan dalam hal ini Abdul Hadi sudah diperalat. Kedudukan serta hubungan baiknya dengan pemimpin Umno telah diambil kesempatan oleh seseorang yang dinamakan "penasihat" ghaib. Kemungkinan di sini ada. Apa yang cuba diterangkan, penasihat ghaib itulah yang mungkin menasihat Hadi mengambil tindakan mahkamah terhadap SR.

Kenapa? Mungkin sesuatu yang diluar pengetahuan Hadi telah berlaku. Mungkin ia melibatkan berlaku transaksi kewangan. Apabila SR telah mendedahkan hal itu maka SR dan Clare perlu dihentikan. Cara untuk menghentikannya ialah dengan menggunakan mahkamah. Individu berharap apabila diheret ke mahkamah Clare tidak akan terus membuat pendedahan. Individu inilah yang mungkin menasihati dan mencadangkan kepada Hadi menyaman SR untuk menghentikan pendedahan.

Habis kenapa pula tiba-tiba ia ditarik semula? Penarikan saman itu menurut andaiannya ada kena mengena dengan bukti baharu ditemui berhubung dakwaan Clare. Ianya adalah rakaman video orang yang mirip suara Nik Abduh Nik Abdul Aziz. Pendedahan dibuat "Nik Abduh" itu mencemaskan penasihat ghaib berkenaan.

Sekiranya perbicaraan diteruskan, dan Nik Abdul dipanggil memberi keterangan di mahkamah ia akan membongkarkan segala maklumat dan rahsia yang tidak diketahui sebelum ini. Dipercayai rahsia itu tidak pun diketahui sesiapa di kalangan pemimpin Pas, dan termasuk juga Abdul Hadi apa lagi Tuan Ibrahim dan ahli jawatankuasa kerja lain. Kalau pun berlaku pengambilan wang, mungkin Abdul Hadi juga tidak mengetahui.

Makanya untuk mengelakkan ada keterangan mendedahkan rahsia di mahkamah, maka saman itu hendaklah ditarik balik. Jika kita masih ingat dalam satu kenyataan Abdul Hadi pernah memberi tahu ada pihak ketiga yang memujuknya agar menyelesaikan kes itu di luar mahkamah. Siapakah orang ketiga itu? Apakah mungkin si penasihat ghaib yang telah mendapat untung itu?

Dari segala maklumat dan teori ini hipotesis yang dapat dibuat ialah, tindakan saman dibuat Pas dan Hadi itu adalah dirancang atas cadangan penasihat ghaib itu demi kepentingannya. Begitu juga usul menarik balik saman itu dengan mengadakan persetujuan bersama Clare juga dirancang oleh entiti sama untuk kepentingannya dan menyelamatkan dirinya.

Kesimpulannya disini, hipotesis dari teori itu Abdul Hadi tidak terlibat secara langsung dengan pengambilan wang daripada Umno seperti mana dituduh oleh SR itu. Yang mungkin berlaku di sini Abdul Hadi terperangkap dan dikhianati. Beliau diperalat sahaja.

Saya tidak mahu menyebut "penasihat ghaib" itu tetapi cukuplah kalau saya mengutip kata sumber itu, oknum berkenaan sangat rapat dengan Abdul Hadi dan mereka juga pernah berjumpa di luar negara. Identiti dan karektor individu itu juga sangat berpotensi untuk menjadi mediator untuk keuntungan dirinya.

Sangat celakalah si penasihat ghaib itu kalau dia memungguh wang daripada Najib dengan menggunakan Abdul Hadi sebagai modalnya. Orang Pas harus terus menyiasat duduk perkara ini  demi menjaga integiri dan nama baik presidennya Tuan Guru Abdul Hadi.

Untuk menjelaskan perkara ini elok kalau Pas sedia mendedahkan apakah rahsia sebenar di sebalik persetujuan bersama Clare untuk menarik saman itu. Orang ramai sedang menunggunya.  Walhu'alam. [wm.kl.3:00 pm 09/02/19]

No comments: