Saturday, February 2, 2019

Pandangan Dr Rusdi perlu dihadam oleh semua

REAKSI 

SETELAH membaca dan menghadam 10 sebab dan alasan diberikan oleh Dr Rusdi Omar, (foto) berkenaan pelantikan Mohamed Azmin Ali sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Negeri Kelantan (MTNg) bertema kenapa ia perlu dikaji semula, saya nampak ia mempunyai alasan dan hujah kukuh.

Saya juga yakin pandangan Dr Rusdi mencerminkan pandangan umum khasnya di Kelantan. Justeru elok kalau pandangan beliau itu diambil kira, dihadam dan diberikan tindakan sewajar. Dalam konteks ini bukan sahaja, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang dilihat bertanggungjawab dengan pelantikan ini perlu perihatin, tetapi individu lain juga, termasuk Anwar Ibrahim sebagai Presiden Keadilan dan tuan tubuh sendiri, Azmin.


Dr Mahathir yang juga selaku Pengerusi PH, harus melihat kesan kepada pelantikan Azmin itu, baik kepada matlamat pelantikan itu dan juga side effect kepada senario politik khasnya di Kelantan.

Saya bersetuju dengan pendapat Dekan Ghazali Shafie Graduate School of Government, Universiti Utara Malaysia itu, kedudukan Azmin dijawatan itu di Kelantan ia boleh menimbulkan masalah. Hubungan solidariti di kalangan komponen PH di Kelantan dan juga kelihatan canggung, macam "kepala nat" tak masuk dalam "pelekah".

Hari ini pun sudah nampak reaksi golongan politik daripada PH Kelantan kurang senang dengan pelantikan Azmin itu kecuali rakan-rakan baik Azmin di Kelantan menyambut dengan penuh kegembiraan. Ketua Pemuda AMANAH Hazmi Hassan telah membuat kenyataan mempertikai pelantikan Azmin. Mungkin selepas ini majlis PH Kelantan pula akan memberi pendapat yang sama.

Sambutan dan sokongan kekawannya di Kelantan itu tidak boleh dijadikan asas untuk Azmin bertahan dengan pelantikan itu. Dalam dunia politik apa yang diperlukan ialah sokongan menyeluruh yang ikhlas.

Azmin tidak mengharmonikan situasi.
Seperti dihujahkan oleh Dr Rusdi, Dr Mahathir juga perlu menyedari, kedudukan Azmin di situ tidak mengharmonikan hubungan beliau dengan Anwar Ibrahim. Tidak perlu rasanya Dr Mahathir membiarkan jurang hubungan khasnya di kalangan penyokong kedua individu itu (Anwar dan Azmin) menjadi kian luas dengan pelantikan itu. Sedangkan pelantikan itu boleh dijadikan alasan bagi Azmin untuk mengakui kononnya dia ditunjuk oleh Dr Mahathir.

Sebagai perdana menteri dan pengerusi PH, Dr Mahathir memerlukan suasana dan dukungan padu untuk menggerakkan agenda pembangunan negara. Hubungan kurang mesra di antara Anwar dan Azmin ia boleh menggugat agendanya. Suka atau tidak, selain daripada Najib Razak (Umno) menjadi halangan kepada Dr Mahathir, Anwar Ibrahim juga berada di makam yang sama.

Selain Dr Mahathir, Anwar juga harus perlu sama memberi perhatian kepada persoalan dibangkitkan oleh Dr Rusdi itu. Walaupun pelantikan itu di atas kuasa PM, tetapi selaku Presiden Keadilan, dimana Azmin adalah Timbalan Presiden, Anwar ada hak dan tanggungjawab untuk memberi apa-apa pandangannya sendiri. Anwar boleh memanggil Azmin dan memberi kata nasihat demi kebaikan bersama. Anwar mungkin lebih nampak apa yang berlaku di Kelantan kini dengan kehadiran Azmin ke negeri Cik Siti Wan Kembang atas posisinya itu.

Apakah pelantikan pengerusi-pengerusi MTNg itu tidak dibawa berbincang dalam Majlis Presiden yang merupakan dewan eksekutif tertinggi PH? Jika ini tidak berlaku ada unsur-unsur membelakangkan musyawarah?

Nasihat terbaik ialah meminta Azmin agar memikir kembali pelantikan itu dengan mengambil kira ianya dibantah oleh rakan-rakan dalam PH. Semangat menghormati pandangan rakan dan sahabat adalah penting dalam rangka mengukuhkan komponen.

Apa lagi sebagai bakal Perdana Menteri, Anwar juga perlu menyediakan ruang dan keadaan kondusif untuknya mengambil alih kerusi PM. Makanya beliau memerlukan sokongan bukan sahaja daripada ahli Keadilan tetapi ahli parti komponen PH yang lain juga. Dan jika pelantikan Azmin itu boleh mengeruhkan perpaduan elok ia ditangani.

Dan Azmin Ali, si tuan tubuh juga perlu respon kepada apa yang dibangkitkan oleh Dr Rusdi itu. Beliau tidak boleh sesekali menjadikan atau ada perasaan megah tersemat di lubuk jiwa dengan pelantikan itu kononnya beliau adalah lowongan disiapkan Dr Mahathir untuk menjadi perdana menteri. Jangan! Jika perasaan ini berbunga dalam hati Azmin ia satu kesilapan besar dan perasaan inilah menjadi racun kepada kerjayanya.

Justeru, tindakan paling baik bagi Azmin ialah menolak pelantikan itu dengan penuh berhemat. Jika beliau berbuat demikian beliau melegakan banyak pihak dan tindakan itu juga dilihat beliau pemimpin yang mendengar tegur, dan meletakkan kesejahteraan PH melebihi daripada kepentingan dirinya sendiri.

Yang paling penting sekiranya Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu ada niat untuk jadi Perdana Menteri, beliau kena pastikan yang dirinya bukan sahaja bersih, meminimumkan musuh tetapi juga dihormati oleh semua pihak.

Mengenai jawatan itu beliau juga harus tahu malu kerana ia adalah idea Husam Musa seratus peratus. Jangan pula sampai dituduh kita menciplak idea orang lain. Bagi Husam saya rasa beliau tidak terasa apa-apa kalau pun tidak dilantik ke jawatan itu, kerana baginya yang penting ideanya untuk membangun Kelantan dan rakyatnya sudah tercapai apabila cadangannya itu diterima pakai. Dan saya menunggu juga apa komen Pengerusi PH Kelantan itu.   [wm.kl.9:51 am 02/02/19]

Berikut saya turunkan tulisan Dr Rusdi.

10 SEBAB MENGAPA LANTIKAN PENGERUSI MAJLIS TINDAKAN NEGERI KELANTAN PERLU DIKAJI SEMULA

SEBAB 1: MEMBANYAKKAN SPEKULASI TIDAK PERLU

Lantikan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan berkuatkuasa 1 Januari 2019 telah menimbulkan pelbagai spekulasi tidak perlu di kalangan aktivis dan penganalisis politik mengenai sebab sebenar ia dibuat oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Ramai, termasuk blogger Shahbudin Hashim dalam komentar terbaru bertajuk “BERSATU DAN PKR - PEPAT DI LUAR, RENCONG DI DALAM”, yang mengaitkan lantikan Azmin ini sebagai cubaan Dr Mahathir untuk melemahkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana diketahui ramai bahawa hubungan antara Azmin dan Anwar tidak berapa elok sejak akhir-akhir ini. Spekulasi tidak sihat yang boleh mengacau keharmonian dalam Pakatan Harapan ini boleh dielakkan jika lantikan Azmin sebagai Pengerusi MTNg Kelantan dikaji semula.
     
SEBAB 2: PERANCANG MTNG ADALAH DATUK HUSAM MUSA

Lantikan Azmin sebagai Pengerusi MTNg Kelantan perlu dikaji semula kerana penubuhan MTNg Kelantan ini adalah idea asal Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Datuk Husam Musa, yang mengumumkan sendiri pada 29 Julai 2018 mengenai persetujuan Pakatan Harapan Kelantan untuk menubuhkannya. Komposisi, struktur dan MTNg Kelantan juga telah diumumkan oleh Husam pada waktu itu dengan menyebut bahawa ia akan dipengerusikan oleh beliau sendiri dan dianggotai 10 orang ahli merangkumi dua orang dari setiap parti komponen serta seorang wakil wanita dan seorang wakil pemuda. Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Cikgu Wan Rahim Wan Abdullah, mengesahkan pada 18 September 2018 kertas kerja cadangan penubuhan MTNg Kelantan dalam proses akhir disiapkan oleh Husam sebelum diangkat kepada Dr Mahathir. Oleh itu, sangatlah tidak sesuai bila pemimpin yang tidak terlibat dalam penubuhan MTNg Kelantan dilantik mengetuainya.

SEBAB 3: LANTIKAN DATUK HUSAM MUSA ADALAH KONSENSUS PAKATAN HARAPAN KELANTAN

Seperti dapat dilihat dalam pengumuman yang dibuat oleh Husam pada 29 Julai 2018 dan pengumuman yang dibuat oleh Wan Rahim pada 18 September 2018, konsensus Pakatan Harapan Kelantan adalah supaya Husam dilantik sebagai Pengerusi MTNg Kelantan. Sebarang cubaan untuk menukar keputusan yang dibuat oleh Pakatan Harapan Kelantan dengan melantik pemimpin lain dari Husam sebagai Pengerusi MTNg Kelantan tanpa merujukkannya terlebih dahulu kepada Pakatan Harapan Kelantan adalah satu pencabulan ke atas semangat berorganisasi dalam Pakatan Harapan yang boleh melemahkan keutuhannya. Ini juga akan sekali gus merobek semangat parti menguasai kerajaan yang akan melemahkan Pakatan Harapan Kelantan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15). 
       
SEBAB 4: DATUK SERI MOHAMED AZMIN ALI BUKAN PENGERUSI PAKATAN HARAPAN KELANTAN

Lantikan Azmin sebagai Pengerusi MTNg Kelantan perlu dikaji semula kerana pemimpin yang sepatutnya dilantik mengisi jawatan ini adalah Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan. Ini adalah bagi bertujuan menyelaraskan kegiatan parti dan kegiatan kerajaan di peringkat negeri. Jika Pengerusi MTNg Kelantan bukan datang dari Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan maka Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan tidak akan dilihat sebagai mempunyai aura, ketokohan dan pengaruh di kalangan rakyat Kelantan kerana tidak mempunyai kuasa di dalam MTNg Kelantan sekali gus menyukarkan beliau mempengaruhi rakyat Kelantan supaya menyokong Pakatan Harapan. Jika lantikan Pengerusi MTNg Kelantan diwajibkan mesti datang dari kalangan seorang menteri, maka Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan hendaklah dijadikan seorang menteri bagi membolehkan beliau menjawat jawatan Pengerusi MTNg Kelantan.

SEBAB 5: DATUK SERI MOHAMED AZMIN ALI BUKAN PEMIMPIN AMANAH

Telah dipersetujui oleh Pakatan Harapan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) bahawa Kelantan adalah negeri yang diterajui oleh AMANAH, begitu juga dengan Terengganu dan Melaka. Atas sebab yang sama, walaupun BERSATU hanya memenangi 1 kerusi Dewan Undangan Negeri di Perak, ADUN tersebut tetap dilantik sebagai Menteri Besar Perak selepas PRU 14 untuk menghormati konsensus yang dipersetujui bersama. Sebab itulah lantikan Pengerusi MTNg Kelantan, juga Pengerusi MTNg Terengganu, perlu dibuat dari kalangan pemimpin AMANAH sedangkan Azmin bukanlah pemimpin AMANAH. Lantikan pemimpin AMANAH sebagai Pengerusi MTNg Kelantan juga adalah selari dengan apa yang berlaku di Pahang di mana pemimpin PKR dilantik Pengerusi MTNg Pahang disebabkan Pahang adalah negeri yang diterajui oleh PKR. Jika konsensus ini dicabuli, ia akan memungkinkan kedudukan BERSATU di Perak, Kedah dan Johor dipersoalkan. Kalaupun bukan Husam, jawatan ini perlu diberi kepada Menteri AMANAH lain seperti Mohamad Sabu dan Datuk Salahuddin Ayub yang pernah menjadi Ahli Parlimen di Kelantan.

SEBAB 6: DATUK SERI MOHAMED AZMIN ALI BUKAN ANAK KELANTAN

Lantikan Azmin sebagai Pengerusi MTNg Kelantan perlu dikaji semula kerana pemimpin yang sepatutnya dilantik mengisi jawatan ini adalah anak Kelantan. Ini kerana anak Kelantan lebih mengetahui masalah pembangunan di Kelantan dan lebih mengenali hati budi dan peribadi rakyat Kelantan. Lantikan anak Kelantan yang bermastautin di Kelantan sebagai Pengerusi MTNg Kelantan juga akan lebih menonjolkan bakat kepimpinan anak Kelantan. Lantikan anak Kelantan sebagai Pengerusi MTNg Kelantan juga adalah selari dengan apa yang berlaku di Pahang di mana anak Pahang dilantik Pengerusi MTNg Pahang.

SEBAB 7: DATUK SERI MOHAMED AZMIN ALI TIDAK MENDAPAT DOKONGAN PEMIMPIN PAKATAN HARAPAN KELANTAN

Lantikan Azmin sebagai Pengerusi MTNg Kelantan perlu dikaji semula kerana beliau tidak mendapat dokongan pemimpin Pakatan Harapan Kelantan. Tanpa dokongan padu pemimpin Pakatan Harapan Kelantan tidak dapat digambarkan bagaimana pengendalian MTNg Kelantan akan dapat berjalan lancar. Ini kerana bukan setakat pemimpin AMANAH Kelantan, yang telah membuat keputusan dalam mesyuarat khasnya semalam, 31 Januari 2019, untuk menggesa lantikan Azmin sebagai Pengerusi MTNg Kelantan dikaji semula, malah pemimpin tertinggi PKR Kelantan juga diketahui tidak menyokong Azmin menyebabkan Azmin lebih senang berurusan dengan pemimpin PKR Kelantan yang kalah dalam pemilihan parti baru-baru ini. Tanpa dokongan rasmi pemimpin tertinggi PKR Kelantan, di samping pemimpin tertinggi parti-parti komponen lain, Azmin akan menghadapi masalah besar dalam menjalankan tugas beliau sebagai Pengerusi MTNg Kelantan.       

SEBAB 8: LANTIKAN DATUK SERI MOHAMED AZMIN ALI AKAN MENIMBULKAN KONFLIK KEPENTINGAN

Lantikan Azmin sebagai Pengerusi MTNg Kelantan perlu dikaji semula kerana ia boleh menimbulkan kemungkinan untuk berlaku konflik kepentingan atau berat sebelah dalam pembuatan keputusan bila kesemua Pengerusi Majlis Tindakan Negeri akan terpaksa berurusan dengan dan berada di bawah kawalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, iaitu Azmin sendiri. Dalam keadaan Azmin sebagai Pengerusi MTNg Kelantan tetapi Pengerusi-Pengerusi Majlis Tindakan Negeri Terengganu, Pahang dan Perlis adalah pemimpin lain maka sudah tentulah akan timbul persepsi bahawa Azmin selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi akan melebihkan MTNg Kelantan berbanding MTNg Terengganu, Pahang dan Perlis.

SEBAB 9: DATUK SERI MOHAMED AZMIN ALI ADALAH PENGERUSI PAKATAN HARAPAN SELANGOR

Lantikan Azmin sebagai Pengerusi MTNg Kelantan perlu dikaji semula kerana, selaku Pengerusi Pakatan Harapan Selangor, Azmin seharusnya menumpukan fokus kepada usaha untuk menguatkan dan mempertahankan kedudukan Pakatan Harapan di Selangor.

SEBAB 10: DATUK SERI MOHAMED AZMIN ALI TERLALU SIBUK DENGAN TUGASAN LAIN

Sebab terbesar mengapa lantikan Azmin sebagai Pengerusi MTNg Kelantan perlu dikaji semula adalah kerana beliau terlalu sibuk dengan tugasan lain, khususnya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi. Perkara ini juga turut disebutkan oleh ramai aktivis dan penganalisis politik, termasuk ahli akademik Dr Kamarudin Musa dalam komentar terbaru beliau yang menulis: “Soalnya, bersandarkan kedudukannya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang telah pun dipertanggunjawabkan dengan pelbagai sektor serta agensi yang perlu diberikan tumpuan secara serius, apakah jaminan yang Azmin Ali mampu memberikan tumpuan dalam merancang, menggerak, menggembleng dan menyelaras usaha pembangunan dan pelaksanaan projek-projek infrastruktur pengembangan ekonomi Kelantan?”

Saya telah menyemak laman web rasmi Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA), membaca perutusan Azmin selaku Menteri dan perutusan Dato' Saiful Anuar Lebai Hussen selaku Ketua Setiausaha MEA yang memaparkan betapa besar dan beratnya peranan dan tanggungjawab MEA sebagai satu kementerian yang dipertanggungjawabkan bagi memulihkan ekonomi negara dan mereformasi dasar pembangunan ekonomi negara.

Untuk melihat betapa besar dan beratnya peranan dan tanggungjawab MEA, marilah kita sama-sama meneliti senarai nama unit dan agensi yang berada di bawah MEA.

Dua unit besar kerajaan:
(1) Unit Perancang Ekonomi (EPU)
(2) Unit Penyelarasan Perlaksanaan (ICU)

Satu jabatan kerajaan:
(1) Jabatan Perangkaan Malaysia

Tiga badan berkanun:
(1) Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA)
(2) Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA)
(3) Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA)

11 syarikat kerajaan/syarikat berkaitan kerajaan:
(1) Halal Development Corporation (HDC)
(2) Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB)
(3) Amanah Raya Berhad (ARB)
(4) Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU)
(5) Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS)
(6) Malaysia Petroleum Resources Corporation Berhad (MPRC)
(7) Johor Petroleum Development Corporation (JPDC)
(8) FELDA Global Ventures Holdings Berhad
(9) JKP Sdn. Bhd.
(10) MyHSR Corporation Sdn. Bhd.
(11) Pelaburan Hartanah Berhad

Empat yayasan:
(1) Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera
(2) Yayasan Ekuiti Nasional
(3) Yayasan Pelaburan Hartanah Bumiputera
(4) Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera

13 Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri

Soalnya sekarang ialah dalam keadaan di mana kemampuan Azmin melaksanakan peranan dan tanggungjawab besar dan berat beliau di MEA pun masih lagi dipersoalkan, apakah bijak untuk beliau diberikan tugasan lain di peringkat negeri sebagai Pengerusi MTNg Kelantan?

Jika sangat perlu jawatan Pengerusi MTNg Kelantan diberikan kepada seorang tokoh senior, bagi mengelakkan pelbagai masalah jika jawatan ini diisi oleh Azmin, tidakkah lebih bijak jika dilantik Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri sahaja bagi mengisinya?

Prof. Madya Dr. Rusdi Omar,
Dekan Ghazali Shafie Graduate School of Government,
Universiti Utara Malaysia.

No comments: