Tuesday, May 12, 2020

Kejayaan Pam kuasai Kedah melampiaskan dendam

ULASAN

Dua Adun yang runtuhkan kerajaan PH Kedah?
KERAJAAN PH di Kedah sudah dianggap tiada lagi apabila dua orang Anggota Dewan Undangan (Adun) yang mendukungnya telah mengistyharkan menarik diri daripada menyokong kerajaan itu. Dua Adun itu kedua-duanya daripada PKR, Adun Sidam (Robert Ling Kui Eee) dan Adun Lunas (Azam Nasrudin). Mereka dikaitkan sebagai penyokong bekas timbalan presiden PKR.

Tidak ada yang pelik dan perlu dikesali dengan apa yang dilakukan oleh kedua-dua Adun itu. Sebagai orang kuat Azmin dan dipercayai akan dilantik jadi PM selepas ini, sudah tentu tidak betah untuk beliau bersama dengan kawan-kawan lain yang terus menyokong kerajaan PH Kedah. Apa lagi, tindakan mereka itu membolehkan kerajaan baru dibentuk, tindakan mereka itu pantas dari prinsip demokrasi Barat.

Dalam pembentukan kerajaan itu kelak, sudah pasti mereka akan diberikan keutamaan atau hadiah sesuai dengan pengorbanan mereka. Kedudukan lebih tinggi itu diharapkan. Mereka tentu tidak akan tergamak merobohkan kerajaan yang dibangun bersama hasil mandat rakyat daripada Piraum sebelum ini kalau tanpa apa-apa habuan atau hadiah setimpal.

Sebelum ini ada disebut terdapat Adun daripada Bersatu yang akan berbuat hal sama, tetapi nampak tidak ada. Mereka tidak pun diperlukan lagi kerana dengan dua Adun itu sudah cukup untuk menafikan majoriti mudah untuk mengekalkan Mukhriz Mahathir sebagai MB dan juga kerajaan PH. Atau pun ia memang ada, tetapi akan dibuat kemudian nanti kerana menghormati seseorang.

Perhatian kini bukan lagi soal nasib kerajaan PH Kedah walaupun semalam Pengerusi Amanah Phahrolrazi Mohd Zawawi mengatakan kerajaan PH masih berfungsi seperti biasa kerana belum ada kata-kata putus daripada mana-mana Adun yang ingin meninggalkan kerajaan PH.

Serentak itu beliau meminta agar mana-mana Adun yang "ada angin" untuk berbuat demikian supaya membuat kenyataan dan menzahirkan pendirian supaya kedudukannya jelas. Dan hari ini apa diminta Phahrolrazi itu sudah terpenuhi. Dua Adun tersebut telah membuat pendirian. Tidak ada lagi tanda tanya berhubung kedudukan kerajaan PH Kedah. Jatuh, khalas.

Yang ditunggu kini ialah proses pembentukan kerajaan baru Kedah itu. Sedikit timbul tanda tanya apakah ia akan tunggu hingga sidang Dun diadakan dimana undi tidak percaya akan diadakan sebagai mengesahkan kerajaan PH sudah hilang majoriti. Atau pun pihak yang mendakwa mendapat majoriti kini akan menghadap Sultan Kedah pohon perkenan MB baru.

Kalau begitu siapakah yang diangkat untuk menjadi Menteri Besar yang baharu dan selepas itu penyusunan barisan Exco. Sudah pasti kerana parti agama (Pam) merupakan parti terbesar memiliki 15 kerusi, segi jumlah kerusi, MB tentu akan datang daripada parti berkenaan. Dalam pembentukan nanti sudah tentu ramai wakil Pam diberi jawatan Exco. 

Relatifnya parti agama Kedah itu berhadapan dengan masalah kepimpinan yang berpengalaman dan senior apabila ramai pemimpin mereka telah bertindak meninggalkan parti itu untuk tubuh Parti Amanah Negara. Antara mereka Phahrolrazi Zawawi, Mahfuz Omar, Dr Ismail Salleh, Dr Amiruddin Hamzah sertai Bersatu dan lain-lain.

Yang tinggal kini adalah barisan pemimpin muda yang masih lembut. Merekalah yang perlu bertanggungjawab memikul apa yang berlaku kini. Ekoran itu beberapa nama disebut-sebut di kalangan Adun Pam akan mengepalai kerajaan baru itu kelak. Antara mereka Adun Jeneri, Muhammad Sanusi Mohd Noor, (foto) Adun Tokai Dr Mohd Hayati dan beberapa Adun lain tetapi tidak begitu ditonjolkan. Tetapi dua nama ini dikira menonjol dan memiliki kelebihan tersendiri.

Sanusi adalah Timbalan Pesuruhjaya II Pam Kedah, manakala kedudukan itu menjadi beliau ke depan, jika dipilih dari segi senioriti dalam parti beliau lebih berhak. Sebalik kalau MB itu nanti mahu diutamakan kepada pengalaman dalam parti dan seorang berpertawakan tenang, Adun Tokai sesuai.

Mohd Hayati sebelum ini pernah menjadi ahli parlimen, sedikit sebanyak pengalamannya semasa jadi ahli Parlimen boleh digunakan untuk jadi MB.

Sesiapa pun bakal dinobatkan sebagai MB Kedah mereka mempunyai tanggungjawab berat. Kekurangan pengalaman menjadi hambatan. Tentunya rakyat Kedah akan membandingkan MB baru itu dengan MB sebelum ini Mukhriz Mahathir. Tertakdirnya kerajaan itu kekal lama, masalah yang bakal berlaku kelak ialah selepas habis penggal sewaktu hendak menghadapi pilihan raya. Umno tidak mudah akur dengan apa yang ada kini dan senario waktu itu sudah berubah.

Kelangsungan dan kemajuan kerajaan Kedah dibawah gabungan Pam - Umno selepas ini bergantung kepada sejauh mana semangat kerjasama dan perpaduan di antara kedua itu terjalin dan di dibentuk. Jika tidak ada kejadian khianat, dengki atau cemburu kerajaan itu mungkin dapat bertahan hingga ke akhir penggal.

Sekiranya MB Kedah nanti daripada Pas saya hanya mahu menyimpul begini sahaja. Apa yang berlaku itu adalah satu perjuangan lama parti gemulah Chek itu untuk menguasai Kedah semula selepas kerajaannya tumbang apabila kalah dalam pilihan raya 2013 ditangan BN.

Apa yang terjadi hari ini walaupun prosesnya mendapat kuasa dan kerajaan sedikit berbeza, tetapi dendam Pam Kedah sudah berjaya dibalas, tetapi kepada siapa? Sebab yang melawan Pam dahulu bukan daripada PH tetapi rakan baru kini yang menyatu dengannya, Umno. Berlakukah pembalasan dendam itu? [wm.kl.2:08 pm 12/05/2020] 

No comments: